Sunday, January 27, 2013

HUBUNGAN KITA DENGAN MAKHLUK ALLAH YANG LAIN


(Disiarkan pada 26. Jan 2013)
Mengikut kamus Bahasa Melayu yang ditulis oleh Arbak Osman, makhluk bermakna segala benda bernyawa yang dijadikan  oleh Tuhan seperti manusia, binatang, haiwan dan tumbuhan-tumbuhan. Setiap makhluk yang ada di muka bumi ini akan mati juga kesudahannya. Dalam semua jenis makhluk yang hidup di permukaan bumi ini, manusia merupakan makhluk intelek yang berupaya mengendalikan kawalan diri dalam aktiviti seharian. Mereka mempunyai persedia an semulajadi untuk menerima ilmu dan tanggungjawab moral (Surah al-Baqurah 2:31 ).
                Dalam ayat 30 – 36 surah al-Baqarah, Tuhan memberi ingat  kepada Rasul-Nya, iaitu Muhammad tentang cerita  bagimana asal mulanya bapa kita Adam a.s. itu dijadikan oleh Allah iaitu apabila Allah hendak menjadikan jenis manusia sebagai khalifah-Nya.
Allah memberi tahu kepada malaikat-malaikat-Nya: Bahawa Dia (Allah) melantik seorang khalifah yang akan duduk  di bumi melaksanakan hukum-hukum-Nya  iaitu Nabi Adam a.s., maka malaikat-malaikat itu membuat bantahan dengan mengatakan bahawa Allah tidak patut menjadikan orang yang menduduki bumi itu bangsa pembinasa dan menumpahkan darah, seperti yang pernah berlaku kepada bangsa jin yang dahulunya tinggal di bumi dan membuat kebinasaan dan derhaka.
                Para malaikat mengatakan bahawa merekalah yang amat sesuai untuk tugas itu kerana mereka adalah makhluk yang taat dan sentiasa mengucap tasbih memuji dan mensucikan Tuhan. Maka merekalah yang layak  tinggal di bumi.
                Allah menjawab: Aku lebih mengetahui apa-apa yang tidak kamu ketahui. Allah tahu hikmat dan tujuan menjadikan manusia, kerana ada yang taat dan ada yang derhaka, masing-masing kelak akan diberi balasannya.
                Setelah Adam dijadikan Tuhan, lalu diajarkan-Nya  berkata-kata dengan menggunakan beberapa bahasa. Dengan bahasa itu diajar-Nya  segala nama benda, sehingga hatinya  penuh berisi pengetahuan.
                Sampailah masanya Tuhan menempelak malaikat, yang dahulunya memperkecilkan Adam dengan anggapan merekalah yang lebih mulia, lebih layak berjawatan khalifah. Tuhan mendatangkan segala macam barang-barang di hadapan malaikat untuk menamakan nama tiap-tiap satu barang tersebut. Mereka sudah tentu tidak tahu  apa nama barang  itu, kerana Tuhan tiada mengajarkannya. Bila datang giliran Adam ditanya  apa nama barang-barang  itu, dengan mudah  ia menyebutkannya satu persatu.
                Malaikat itu pun semuanya tunduk kepada Adam, mengakui akan kelebihannya, bahawa Adam lebih mulia dari mereka, kerana ternyata Adam lebih ilmunya. Kecuali iblis sahaja tiada mahu  tunduk kepada Adam, pantang  ia kerendahan, enggan menerima kekalahan, tumbuh rasa bongkaknya, timbul perasaan melawan Tuhan. Oleh Tuhan iblis itu dihalau sehingga terjauh ia dari rahmat-Nya, dan jadilah ia orang yang kafir.
                Kemudian Tuhan menyuruh  Adam bersama isterinya tinggal di syurga, dan disuruh menikmati isi syurga itu dengan makan minum sepuas-puasnya, tetapi “awas!” Tuhan memperingatkan bermaksud: Jangan mendekati pohon ini – apa lagi memakan buahnya (buah khuldi), kelak kamu akan teraniaya.
                Iblis dengan anak cucunya  syaitan  yang telah terusir dari rahmat Tuhan , tidak putus  dendam kesumatnya terhadap Adam dan Hawa , dua sejoli yang sedang bersenang-lenang di dalam syurga. Berikhtiarlah ia dengan sedaya upaya  untuk menggoda keduanya.
                Akhirnya  berjaya juga tipu muslihatnya membuat Adam dan isteri Hawa melanggar pantang larang di syurga. Hawa telah memakan buah khuldi  yang dituruti oleh Adam juga memakannya. Dengan melanggar pantang larang itu , terlucutlah mereka dari kebesaran dan
kemewahan yang ada di syurga. Terhalau dengan telanjang bulat  ke dalam dunia. Barulah iblis itu merasa puas kerana sama-sama berputih mata.
Tetapi iblis terus akan menggoda sejak dari Nabi Adam hingga kepada anak cucunya dan terus akan menjerumuskan anak-anak itu ke dalam permusuhan di antara satu dengan  yang lain, sehingga dengan demikian dapatlah bersama-sama dengan mereka kelak menerima seksa Tuhan di dalam neraka.
Adam sedar dengan kesalahannya, timbul kesal dan sesalnya, kerana melanggar larangan Tuhannya. Tetapi sesal kemudian tiada gunaya. Ia pun taubat meminta ampun kepada Tuhan  dengan sepuas-puasnya. Akhirnya Tuhan ampunkan akan kesalahannya. Dengan itu terlaksana lah tujuan Tuhan menjadikan khalifah di bumi (Ahmad Sonhadji Mohamad 1989)
Hubungan manusia dengan makhluk Allah yang ada di bumi ini terbahagi kepada empat kategori iaitu hubungan dengan sesama manusia, hubungan dengan binatang dan haiwan, hubungan dengan tumbuh-tumbuhan, dan hubungan dengan makhluk Tuhan yang hidup di alam ghaib. Hubungan kita dengan makhluk Allah membawa maksud bagaimana manusia memakmurkan alam kehidupan makhluk yang ada di alam nyata dan di alam ghaib.  
Setiap manusia bertanggungjawab untuk memenuhi keperluan kebendaan dan keperluan kerohanian secara yang sewajarnya. Keperluan manusia terhadap kebendaan hanyalah merupakan suatu  keperluan yang bersifat sementara dan ia boleh  dikategorikan sebagai satu kepentingan yang relatif. Ini adalah kerana kehidupan duniawi  bukan menjadi matlamat utama kewujudan manusia.
Firman Allah surah al-Qasos 28:60 yang bermaksud (terjemahan): “Dan apa yang diberi kan kepada kamu itu tidak lain hanyalah kesenangan hidup di dunia dan perhiasannya, dan apa yang di sisi Allah terlebih baik dan lebih kekal, mengapa tiada kamu fikirkan?
Apa yang telah diberi kepada manusia dari jenis harta kekayaan dan anak-pinak, tidak lain itu hanyalah merupakan kemewahan hidup yang manusia nikmati di dunia dan menjadi perhiasannya, kerana sesebuah rumah tangga itu menjadi indah oleh adanya harta kekayaan dan anak-pinak yang hidup senang. Tetapi semuanya itu tidak mendatangkan sesuatu apa dan tidak bererti sedikit pun bagi Allah.
Tetapi apa yang ada di sisi Allah, iaitu pahala, syurga, dan keredaan-Nya di akhirat, itulah yang baik dan lebih kekal dinikmati oleh manusia yang mengabdi dan taat kepada –Nya kerana dia tidak akan fana atau berakhir. Lain halnya apa yang pada manusia, lambat laun akan habis dalam tempuh yang sengkat.
Hubungan manusia antara sesama mementingkan nilai kemanusiaan yang dianjurkan oleh Islam iaitu persaudaraan atau ukhuwah. Ia bermaksud manusia hidup di dalam  sebuah masyara- kat yang sayang menyayangi, mempunyai hubungan yang erat dan saling bantu membantu. Mereka dihimpunkan oleh perasaan sebagai anak bagi keluarga yang satu yang saling menyayangi antara satu sama lain, memberi peransang antara satu sama lain sehingga setiap orang di dalamnya merasa kekuatan saudaranya adalah kekuatannya, kelemahan saudaranya  adalah kelemahannya. Ia akan merasa kecil apabila bersendirian dan berasa banyak apabila bersama saudara-saudaranya.
Al-Quran al-Karim telah menjadikan persaudaraan sebagai saudara kandung kepada keimanan di dalam masyarakat yang beriman. Kedua-duanya tidak boleh  berpisah sepertimana firman Allah s.w.t. Yang bermaksud (terjemahan):  “ Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara,”
Al-Quran juga menjadikan persaudaraan itu sebagai nikmat yang paling besar (Ali Imran:103). Didalam surah yang lain, Allah s.w.t. telah berfirman bahawa persaudaraan itu
memperkuatkan dengan pertolongan-Nya dan dengan orang-orang yang beriman serta memper- satukan hati-hati mereka (orang-orang yang beriman) (al-Anfal 62 – 63) 
                Hubungan kita dengan binatang dan haiwan adalah antara sumber harta yang Islam wajib menjadikannya  sebagai aset pembangunan manusia. Di bidang menternak lembu kita mendapat pulangan ekonomi yang lumayan hasil dari memerah susunya intuk menseimbangankan zat makanan demi menjaga kesihatan.
                Negara-negara  seperti Australia, New Zealand, Argentina dan sebagainya mempunyai kawasan tanah rata yang luas serta suhu udara yang sesuai untuk menternak binatang seperti lembu, kambing biri-biri yang mengukuhkan serta menstabilkan ekonomi negara. Negara-negara tersebut adalah antara negara di dunia yang mengikspot bahan makanan seperti susu tepung dan daging kepada negara-negara lain di dunia.
                Sumber laut juga seperti ikan adalah antara haiwan yang mengukukan ekonomi negara khususnya negara-negara yang mempunyai persisiran pantai di mana pelaut-pelaut menjalankan aktiviti menangkap ikan dalam skala besar dengan menggunakan peralatan seperti  pukat tunda dan kilong. Ikan di laut atau di sungai yang terbuka tidak memerlukan usaha manusia untuk memeliharanya tetapi sumbangannya kepada ekonomi dan kehidupan manusia amat besar sekali.
                Ikan mempunyai zat makanan seperti proten untuk membina sel-sel tubuh badan (body building food) dan karbohidrat, sebatian yang menghasilkan tenaga badan amat penting kepada kesihatan tubuh manusia.
                Hubungan ikan dengan manusia juga mempunyai bahasa tamsil kepada kehidupan yang mendidik manusia menggunakannya untuk diterjemahan kepada pembangunan manusia. Ibarat ikan di laut hidup di dalam air masin tetapi rasa dagingnya tidak merasa masin. Ia membawa makna kepada kehidupan manusia bahawa jika bahan yang membentuk  manusia itu bahan yang diredai Allah maka anak itu akan hidup sebagai insan yang sentiasa mencintai Allah dan sentiasa mematuhi perintah Allah. Maka itu Allah menyeruh manusia supaya membaca kalam Allah iaitu yang terucap oleh Allah seperti al-Quran dan yang tercipta oleh Allah iaitu alam ini serta segala isinya.(Al-‘Alaq: 1)
                Hubungan manusia dengan alam tumbuh-tumbuhan bagikan garam dengan gulai. Ta’ ada garam gulainya kurang sesuai sebagai sayur, begitu juga garam tanpa gulai tidak banyak manfaat nya sebagai makanan. Pokok-pokok kayu juga mempunyai banyak faedahnya kepada manusia sebagai bahan binaan berbagai cara dan pengunaannya. Bahan kayu juga boleh digunakan oleh manusia untuk keperluan hidup seperti membina perabut, bangku meja dan sebagainya.  
                Hubungan manusia dengan makhluk halus yang hidup di alam ghaib mempunyai beberapa manfaatnya. Antaranya ialah membuat manusia sentiasa mendekati Allah agar iblis dan syaitan tidak ada kuasa untuk memporak-poranda manusia. Allah telah membayangkan kepada iblis bahawa manusia yang dekat dengan Allah sukar iblis melaksanakan rancangannya.
                Para malaikat terutama sekali yang sentiasa menjaga perlakuan manusia seperti mencatat kan kebaikan dan juga keburukan amalan manusai sering mengingatkan manusia supaya sentiasa berwaspada dalam melaksanakan ibadatnya agar tidak tergelincir dari landasan yang di redai Allah. Dalam erti kata lain kehadiran malaikat dalam hidup manusia amatlah penting kerana ia berperanan sebagai mekanisme menyedarkan manusia untuk hidup dengan iman dan sentiasa mengingati Allah.
                Menggunakan sumber-sumber ekonomi dan keupayaan material dengan bijak dapat dilakukan dengan tidak membiarkan sesuatu pun tanpa digunakan serta memeliharanya sebagai amanah yang wajib dilaksanakan dan sebagai nikmat yang wajib disyukuri. Lantaran itu ia hendaklah digunakan sebaik mungkin.     
Untuk tujuan itu, al—Quran  telah menarik pemikiran kita kepada apa saja yang telah dijadikan untuk kepentingan manusia yang terdapat di langit dan bumi, serta di daratan dan lautan.   

Wednesday, January 23, 2013

IBADAT KERANA ALLAH S.W.T. TANGGUNGJAWAB SEORANG MUKMIN

(Disiarkan pada 19. 1. 2013)
Allah s.w.t. berfiman yang bermaksud (terjemahan): “Dan tiadalah Aku (Allah) menjadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah kepadaku.” (Adz-Dzariat ayat (51:56).
                Allah menjelaskan bahawa tujuan-Nya menjadikan makhluk  dari bangsa jin dan manusia tidak ada maksud yang lain, kecuali untuk memberi tugas kepada mereka supaya menyembah Allah dengan mengabdikan diri kepada-Nya  dan mengesakan-Nya – bukan supaya mereka  mencari kepentingan hidup di dunia dan bertungkus-lumus untuknya. Kerana mereka tidak memiliki manfaat atau muderat bagi diri mereka, bahkan tunduk  kepada kadak-Nya.
                Disitulah Tuhan menjuruskan hidup kita, kepada mengarah arahtuju hidup ini yang diredai-Nya. Allah menciptakan kita, jin dan manusia tidak untuk yang lain, hanya untuk  satu macam tugas saja iaitu mengabdi, beribadat. Beribadat iaitu  mengakui bahwa kita ini hambah-Nya, tunduk kepada kemahuan-Nya.
                Ibadat itu dimulai dengan IMAN, iaitu percaya bahawa ada Tuhan yang menjamin kita. Percaya akan adanya Allah itu sahaja, sudah jadi dasar pertama dari hidup itu sendiri. Maka iman yang telah tumbuh itu wajib dibuktikan dengan amal yang salih. Iaitu perbuatan yang baik, iman dan amal salih inilah pokok ibadat
                Bila kita telah mengaku beriman kepada Allah, nescaya kita pun percaya kepada Rasul-Nya. Maka pesan Allah yang disampaikan oleh Rasul itu kita perhatikan. PerintahNya kita kerjakan, larangan-Nya kita hentikan.
                Maka dapatlah kita jadikan seluruh hidup kita ini ibadat kepada Allah. Sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, berzakat kepada fakir miskin adalah bahagian, sebagai pematri  dari seluruh ibadat yang umum itu. Semuanya itu kita kerjakan kerana kita iman kepada-Nya, dan kita pun beramal yang salih, untuk faedah sesama kita manusia. Kalau tidak ini  yang kita kerjakan, tidaklah ada ertinya hidup kita yang terbatas di dalam dunia ini.
                Mengadakan dakwa kepada jalan Allah tidaklah boleh berhenti, meskipun akan dituduh orang tukang sihir atau orang gila, namun dakwah yang baik akan diterima orang yang beriman. Malakukan dakwah kepada jalan yang baik adalah tugas utama dalam hidup. Umur di dunia ia terlalu pendek maka itu mestilah diisi dengan berbagai ibadat, sehingga setelah ajal menjemput nyawa sekalipun, namun iman dan amal sekalinya masih hidup dan tetap hidup.  
                Dia Maha Kuasa memberi kita makan. Tetapi misalnya kita kaya raya, lebih dari cukup sedia harta buat persediaan makanan, namun makanan itu tidak akan boleh dimasukkan ke dalam rongga perut kita kalau misalnya kita sakit. Maka yang empunya kekuatan dan keteguhan atas diri kita itu jelaslah Tuhan jua adanya.
                Maka tersebutlah dalam sebuah Hadis Qudsi:
“Dari Abu Hurairah r.a. berkata dia: Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa Allah berfirman: “Wahai anak Adam! Penuhilah hidupmu dengan beribadat kepadaKu, nescaya akan Aku penuhi dada engkau dengan kekayaan dan Aku tutup pintun fakir (miskin) dari engkau. Tetapi jika tidak engkau berbuat begitu, nescaya dadamu engkau penuhi dengan rasa bimbang dan tidaklah akan Daku tutup pintu kemiskinan engkau.” (Riwayat al-Imam Ahmad, termidzi dan Ibnu Majah)
                Berdasarkan kepada Hadis ini dapatlah kita mengambil keimpulan bahawasanya kesetiaan beribadat kepada Tuhan adalah menjadi kekayaan sejati bagi seorang mukmin. Hati yang lapang dan fikiran yang tidak pernah merasa bimbang dan ragu akan pertolongan Tuhan melebihi dari segala kekayaan harta benda.
                Firman Allah kepada surah yang sama ayat 59 yang bermaksud (terjemahan): “ Maka sesungguhnya bagi orang-orang yang aniaya itu sudah ada ketentuan azab sebagaimana ketentuan kawan-kawan mereka juga…..”
                Allah memberi peringatan kepada manusia bahawasanya suatu kesalahan, suatu dosa akhirnya sudah sedia bagian  azab yang akan diterimanya. Manusia mungkin dapat bersembunyi  dari mata manusia lain, namun dia tidak dapat bersembunyi dari mata Tuhan. Bahkan dari mata manusia sendiri pun akhirnya tidak dapat juga bersembunyi.(HAMKA 1982)
                Tanggungjawab utama manusia dalam membangunkan kehidupan ialah memurnikan hubungannya dengan Allah s.w.t.. Peranan utama manusia ialah mengabdikan diri dan memberi sepenuh ketaatan terhadap perintah Allah dalam segala aspek kehidupan. Peranan ini disebut sebagai Ibadah.
                Konsep ibadah bukan hanya bermakna solat, puasa, mengeluarkan zakat, dan menunai kan haji sahaja, tetapi ia juga meliputi segala usaha dan aktiviti yang dilakukan oleh manusia. Malah sebarang tindakan dan asperasi yang dijalankan oleh  manusia dianggap sebagai ibadah selagi ianya bertujuan mendapatkan  keredaan Allah. Oleh itu tanggungjawab asas manusia ialah mematuhi segala suruhan Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. 
                Menurut Islam, manusia mempunyai dua tugas yang berbeza, tetapi saling berkait antara satu sama lain, iaitu tugas sebagai hamba Allah dan tugas sebagai khalifah-Nya di dunia. Dengan penyempurnaan kedua-dua tugas ini, manusia dianggap beribadah kepada Allah.
                Secara khusus, pengabdian diri kepada Allah membabitkan perlaksanaan empat hubungan asas, iaitu mencancang dengan Allah dalam konteks tanggungjawab manusia sebagai hamba Allah (ubudiyah), hubungan mengufuk  dengan manusia dalam konteks tanggungjawab manusia sebagai makhluk bermasyarakat, hubungan mengufuk dengan alam dalam konteks tanggungjawab manusia  sebagai pengguna atau pentadbir sumberi alam yang bijaksana, dan hubungan dalaman dengan diri sendiri dalam konteks tanggungjawab manusia sebagai khalifah Allah di dunia (rububiyyah).
                Pada amnya, tanggungjawab kepada Allah yang menjadi paksi kepada ketiga-tiga tanggungjawab yang lain dilaksanakan dalam bentuk ibadah khusus, manakala tiga tanggungjawab yang lain dilaksanakan dalam bentuk ibadah umum (Nik Aziz 1986).
                Misi untuk menjadi khalifah di dunia merupakan misi yang dipertanggungjawabkan terhadap manusia dan makhluk lain yang ada dalam persekitarannya. Oleh itu tugas sebagai khalifah Allah meliputi tiga tanggungjawab asas, iaitu tanggungjawab kepada manusia, tanggung jawap kepada alam dan tanggungjawab kepada diri sendiri.
                Dalam menjalani kehidupan duniawi, al-Qur’an memberi peringatan kepada manusia  bahawa mereka tidak dijadikan dengan sia-sia. Allah berfirman yang bermaksud (terjemahan): “Adakah kamu menyangka bahawa Kami menciptakan kamu secara main-main (sia-sia) sahaja, dan bahawasanya kamu tidak dikembalikan kepada Kami?” (Surah al-mu’minun 23:115.
 Adakah kamu menyangka wahai orang-orang yang celaka bahawa Kami telah menjadikan kamu hanya untuk menjadi permainan dan sia-sia belaka? Bukan! Sebaliknya Kami telah jadikan kamu untuk membimbing kamu dan mengajar kamu, supaya kamu dapat meningkat ke taraf yang lebih tinggi dari kedudukan kamu yang ada sekarang. Dan bukanlah seperti yang kamu sangkakan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami untuk diperkirakan  amalan kamu dan diberi pembalasan.
Dalam ayat ini Allah telah mengisyaratkan tentang adanya hikmat atau rahsia mengapa mereka dibebani dengan hukum syarak dan supaya mereka beramal dengan hukum-hukum tersebut dan mereka dibangkitkan pula pada hari akhirat untuk diberi pembalasan di atas amalan yang telah mereka kerjakan, begitu pula dari apa yang mereka usahakan selama hidup di dunia.
Allah befirman lagi yang bermaksud (terjemahan): “Apakah manusia mengira bahawa ia akan dibiarkan begitu saja tanpa pertanggung jawaban?) (Surah al-Qiyamah 75:36). Malah, setiap perbutan manusia, walaupun sebesar zarah (atom) sekalipun akan dinilai dan diberi balasan yang sewajarnya.(Surah al-Zalzalah 99:7-8). Kehidupan yang paling baik ialah kehidupan yang bersifat sederhana.(Surah al-Baqarah 2:143). Gambaran kehidupan yang sederhana adalah seperti yang berikut:
                “Dan carilah daripada apa yang telah dianugerahkan oleh Allah kepadamu (kebahagian) negeri akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) bagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Surah al-Qasas: 28:77).
                Firman Allah ini ada kaitan dengan kisah Qarun dari bangsa kaum Bani Israel yang menyombongkan diri dengan kekayaannya yang banyak. Lantaran itu ditegur dan dinasihati oleh kaumnya, supaya ia jangan  leka dengan bersenang-lenang  sahaja.
                Ia diingatkan dengan nasihat-nasihat yang baik seperti yang tersebut dalam ayat ini. Tentunya yang menjiwai  nasihat-nasihat  itu ialah Allah sendiri. Walaupun pada lahirnya kepada Qarun, namun tujuan naihat-nasihat itu untuk umum, supaya dijadikan panduan oleh siapa sahaja, iaitu seperti berikut:
                Dan carilah dengan perantaraan (kekayaan) yang dikurniakan Allah kepada mu akan (kebahagiaan) kampung akhirat.
                Hendaklah engkau tuntut keselamatan di kampung akhirat dengan kekayaan yang dianugerahkan Allah kepada Engkau. Hendaklah engkau cari pahala yang ada di sisi Allah di akhirat dengan membelanjakan harta yang dikurniakan Allah kepadamu pada jalan yang mendatangkan keredaan Allah. Hendaklah engkau rebut kebahagian hidup di kampung akhirat itu dengan membelanjakan kemewahan yang sedang engkau nikmati, kerana kebahagiaan hidup di kampung akhirat itu lebih baik dan lebih kekal dari bersenang-lenang dengan kemewahan dan kelezatan dunia.
                Caranya adalah seperti memberi sedekah atau derma kepada fakir miskin, untuk mendirikan masjid, surau, sekolah, madrasah, kelas-kelas bimbingan agama, taman didikan kanak-kanak, klinik, rumah-rumah kebajikan, pemulihan akhlak, musafir-khanah dan lain-lain. Membelanjakan harta, menggunakan kekayaan yang melimpah-limpah, kenikmatan, kemewahan dan kemudahan moden yang ada, untuk perkara-perkara yang disebutkan tadi adalah merupakan jalan ke arah mendampingkan diri kepada Allah, dengan mendapat balasan di dunia dan pahala serta kebahagiaan hidup di akhirat. 
                Beribadat menurut perspektif  Islam, ialah bukan sekadar memuaskan keperluan yang sesuai dengan tabiat jasmani atau tabiat rohani sahaja, sebaliknya, manusia perlu hidup secara sederhana dan realistik dengan menggabungkan keperluan rohani dan jasmani. Untuk mengawal kedua-dua keperluan tersebut  daripada menjadi keterlaluan, manusia memerlukan perantaraan yang kekal dan suci, seperti yang terkandung dalam Syariah Islam.
                Dari sudut pembangunan manusia hari ini tidak banyak berbeza dari manusia pada masa dahulu, melainkan manusia di zaman ini lebih beruntung dari segi kemajuan sains dan teknologi. Bagaimanapun kemajuan sains dan teknologi bukan merupakan  kriteria utama untuk mengukur pembangunan manusia. Sebaliknya, pembangunan manusia bergantung pada darjah ketakwaan.
                Istilah ketakwaan bermaksud penyerahan diri kepada Allah, kesedaran tentang keesahan-Nta., kepatuhan kepada suruhan-Nya, dan keinginan untuk mendapat keredaan-Nya. Manusia yang paling membangun ialah manusia yang berjaya mengabdikan diri secara  menyeluruh kepada Allah, manakala suruhan manusia yang paling mundur  ialah manusia yang gagal mematuhi suruhan dan larangan Allah.(Nik Aziz Nik Pa 1999)
                Menurut Naquib (1992), konsep pembangunan yang diuruskan oleh Islam merujuk usaha manusia untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenar seperti yang disarankan dan diamalkan oleh Nabi Muhammad, para sahabat baginda dan para mukmin yang sejati. Dalam konsep ini, konsep pembangunan berhubung rapat dengan konsep lain seperti adab keadilan, dan hikmah. Mala, pembangunan manusia menurut Islam merupakan pembangunan yang bertumpu  kepada usaha memaksimumkan penghayatan adab, keadilan, dan hikmah dalam seluruh aspek kehidupan manusia.
                Pembangunan yang dimaksudkan di sini ialah apa yang difahami sebagai ibadat kerana Allah. Segala muamalah dalam hidup demi kemanfaatan pada kehidupan manusia disifatkan sebagai ibadat kerana Allah kerana segala usaha memerlukan keredaan Allah s.w.t.

Wednesday, January 9, 2013

FATAMORGANA ALAM KEHIDUPAN UJIAN KEPADA KEIMANAN


 (Disiarkan pada 5. 1. 2013)
Faktor jelmaan fenomena fatamorgana alam mendidik manusia untuk memahami kewujudannya di sebalik sesuatu yang nyata. Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. sering berdoa: “ Ya Allah berilah aku kekuatan untuk melihat yang putih itu adalah putih dan yang hitam itu adalah hitam”. Ini bermakna dalam menelusuri kehidupan dunia banyak elemen serta permasalahan yang mengganggu penglihatan serta pemikiran manusia menjadikan sesuatu yang nyata itu diselubungi oleh fatamorgana alam.
                Perkara kedua ialah Rasul berdoa untuk meminta perlindungan Allah  agar ia tidak tertipu dengan keadaan sesuatu fenomena. Baginda juga mengelakkan diri dari tertipu oleh fatamorgana alam yang akan menghayalkan beliau dari kebenaran kelak mengabaikan tanggungjawab sebagai Rasul untuk memelihara  akidah Islam.
                Mengambil satu kejadian alam, apabila kita sedang memandu kereta di atas jalan raya yang berturap, semasa mata hari sedang memancarkan cahayanya  yang  panas pada masa pukul dua belas tengah hari, kelihatan nun di hadapan di atas jalan raya, seolah-olah ada sebuah kolam air yang sedang bergerak bagikan gelombang air yang ditiup sang bayu yang sepoi-sepoi. Kejadian demikian sebenar adalah disebabkan wap yang panas dipantul dari bumi yang berturap ke udara memukau pada mata memandang maka otak memempunyai kefahaman bahawa kehadiran air ada di situ.
                Keadaan alam demikian adalah kekuasaan Allah s.w.t. sebagai satu tamsil kepada manusia untuk mengambil iktibar bahawa segala hidangan Allah di alam kehidupan mempunyai maknanya yang tersendiri. Terpulanglah kepada setiap insan mentafsirkan dan menterjemahkan nya dalam membangunkan tamadun kehidupan.
                Allah telah menurunkan wahyu-Nya yang pertama kepada manusia(Muhammad) supaya membaca alam ini serta memahami fenomena kejadiannya sebagai satu teka teki kehidupan kelak mendekatkan kita kepada Zat yang Maha Pencipta alam iaitu Allah s.w.t.. Kalam Allah terbahagi kepada dua fenomena, iaitu kalam yang terucap oleh Allah iaitu al-Quran al-Karim dan kedua ialah kalam yang tercipta  oleh-Nya iaitu alam ini dengan berbagai jenis makhluk yang ada di dalamnya.       
Kedua-dua kalam Allah tersebut mempunyai tamsil kepada kehidupan manusia di dunia yang fana ini. Tamsil atau kias bahasa pada kalam Allah itu mendidik kita untuk memahami kekuasaan Allah s.w.t. dan mengambil iktibar darinya untuk memurnikan pembangunan kehidupan di alam dunia demi kemanfaatan hidup di akhirat kelak.
                Jelmaan fatamorgana alam menguji kita untuk jangan mudah terpedaya dengan sesuatu yang belum ada kepastian kewujudannya. Mengambil satu contoh lagi yang mudah saja seperti pepatah Melayu yang mengatakan “Mendengar guruh di langit air di tempayan dicurahkan!” Membawa maksud, apabila kedengaran bunyi guruh di langit, hati memberi tahu bahawa hujan akan turun, maka itu air yang ada ditempayan dibuang untuk membersihkannya sebagai persediaan menanti hujan turun. Apabila hujan tidak jadi turun maka kita telah melakukan sesuatu yang merugikan. Air di tempayan yang sedikit itu mugkin boleh digunakan untuk mencuci alat pinggan mangkuk sementara menanti hujan turun.
                Fenomena demikian berlaku kepada kehidupan masyarakat kampung masa dahulu yang serbah serbih kekurangan, tidak mempunyai kemudahan hidup seperti masa kini. Tidak punya air paip dan bekalan air hanya didapati dari sungai, perigi atau air hujan sahaja. Maka itu segala kegunaan air hanya  mengharapkan dari punca air tesebut.
                Faktor fatamorgana alam juga menjelma dalam pemikiran manusia yang tidak disusuli dengan amal ibadatnya. Pepatah Melayu mengatakan “Indah berita dari rupa” yang membawa maksud keindahan pembangunan yang disebarkan melalui berbagai media masa mahupun dalam ucapan pemimpin tertentu di khalayak ramai amat hebat dan mengkagum pada telinga mendengar. Tetapi daya perlaksanaannya jauh panggang dari api. Kenyataan pada perancangan nya tidak disusuli dengan kenyataan.
                Fatamorgana dalam diri manusai sering berlaku yang tanpa berhati-hati tentang kehadiran nya akan merosakkan iman dan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. Faktor fatamorgana yang sentiasa mengganggu perlaksanaan ibadat manusia sebenar ialah kefasikan iblis dan syaitan menggelincirkan manusia di jalan yang diredai Allah s.w.t.. Tanpa mematuhi ajaran Allah dan hanya mementingkan diri sendiri akan melahirkan kekufuran kepada Allah yang kelak mengudang kedosan
                Iblis merupakan musuh ketat manusia dalam hidup sebagai membalas dendam kerana gara-gara manusialah (Adam) iblis dikeluarkan oleh Allah dari syurga-Nya. Faktor ini telah diberikan Allah kebenaran kepada iblis untuk menuntut bela dengan peringatan bahawa iblis hanya dapat melakukan rancangannya  kepada manusia yang jauh dari akidah Islam atau jauh dari Allah s.w.t.
                Manusia yang jauh dari Allah  ialah mereka yang tidak mempunyai ilmu tauhid, kerana amal adalah hasil dari ilmu. Lantaran itu pepatah pernah mengatakan: Ilmu tanpa amal umpama pohon tanpa buah atau ilmu tanpa amal umpama awan tanpa hujan. Ilmu juga merupakan hasil dari keimanan yang benar kerana tidak dapat menggambarkan wujudnya keimanan tanpa amal.
                Al-Quran al-Karim telah mengaitkan antara  iman dan amal  di dalam puluhan ayat. Sebab itulah generasi Salaf telah berkata: “Keimanan ialah apa yang telah diakui di dalam hati serta dibenarkan oleh amal.” Amal yang dituntut ialah; mengerahkan keupayaan yang rasional untuk melaksanakan matlamat syarak terhadap manusia di atas permukaan bumi.
                Iman sering dilemahkan oleh fantasi mencari kekayaan dunia. Setiap masyarakat mempunyai system ekonomi yang khusus yang menjadi falsafah, akidah, teladan dan pandangannya terhadap individu, masyarakat, harta, tugasnya serta ideanya terhadap agama, dunia, kekayaan dan kemiskinan. Semua ini mempengaruhi manusia dalam hubunganya terhadap penghasilan kekayaan, cara memperolehi serta terbentuknya sistem ekonomi sesebuah masyarakat.               
                Kekayaan menjadi agenda setiap individu dalam menelusuri kehidupan bertamadun. Tetapi kekayaan itu kadangkala menjadi pemangkin kepada individu tertentu untuk membentuk hidupnya lebih mulia dan meremehkan perjuangan orang lain. Maka kefahamannya untuk memperolehi kebahagian yang diberi  oleh kekayaan pasti mengeretnya untuk melihat di dalam fantasi hidangan-hidangan fatamorgana alam.
                Di alam fantasi tersebut iman dan akal tidak lagi memimpin diri untuk membina tamadun kehidupan yang diredai Allah s.w.t.. Maka timbullah budaya-budaya yang tidak sihat serta membelakangi faktor ibadat kerana Allah. Pencarian kekayaan cara demikian telah memimpin diri untuk melihat benda yang haram menjadi halal baginya.
                Manusia mempunyai adab yang akan mewarnai kehidupannya di landasan yang diterimapakai oleh msyarakat dan mendapat jaminan keredaan Allah s.w.t.. Akal dan nafsu adalah dua fakulti dalaman manusia yang sentiasa bertelingkah dalam memurnikan kehidupan. Tetapi dengan kehadiran iman dan takwa akan  wujud jiwa yang bersih dan akal yang sentiasa memandu manusia ke arena kehidupan yang mementingkan dana pahala dari Allah s.w.t.. Manusia diwujudkan Allah di alam ini dengan satu tujuan iaitu  beribadat kepada Allah. yang timpuannya ialah memurnikan suasana kehidupan masyarakat dan melahirkan ukhuawah kemanusiaan.
                Menjadi khalifah Allah disarankan mencari kekayaan sebagai faktor memurnikan alam kehidupan. Mempunyai anak yang salih merupakan satu kekayaan dalam hidup manusia di dunia ini yang akan menempah syurga di akhirat nanti. Anak yang berakhlak mulia dan beriman kepada Allah akan menjadi nadi pembangunan umat kelak menjadi kunci kepada kemuliaan bermasyarakat. Model insan yang ingin dibentuk oleh kerajaan Malaysia ialah individu yang mempunai ciri-ciri keperibadian mulia yang dipengaruhi oleh kehadiran iman dan takwa serta mempunyai “towering personality”.
                Kekayaan kedua yang wajar dikejar oleh setiap individu mukmin ialah mempunyai ilmu yang dimanfaatkan dan diterjemahkan dalam hidup agar ia menjadi kemanfaatan kepada orang lain. Kaya dengan ilmu yang diguna untuk kemanfaatan pembangunan manusia sejagat terutama sekali pembangunan rohani adalah merupakan satu pusaka yang menyelamatkan umat manusia di dunia dan juga di akhirat. Kekayaan material atau kekayaan dunia yang dimanfaatkan untuk kebahagian orang lain merupakan kekayaan yang sentiasa menempah  dana pahala dari Allah s.w.t.
                Kekayaan material di pentas dunia tanpa dimanfaatkan sebagai landasan beribadat, dikategorikan sebagai Fatamorgana semata kerana harta dunia yang berupa sementara itu tidak akan menjamin kebahagiaan hidup di akhirat kelak kerana ia tidak bersama kita ke alam barzakh setelah ajal menjemput nyawa. Jika kekayaan itu menjadikan manusia takabur dan menganggap orang lain lebih rendah dan hina dari pandangan mata kepala anda maka kekayaan material yang disalah gnakan akan mengheret kita ke lembah kehinaan kelak akan mengundang kepada kekufuran yang matlamatnya ialah neraka jahanam.
                Pembangunan sosial yang dimuatkan dalam perfiliman yang ditayangkan di kaca televisyen sering menghayalkan hati para remaja dan juga masyarakat emas mengakibatkan agenda pembangunan yang telah dimuatkan dalam takwim kehidupan menjadi keutamaan kedua. Kadangkala penonton lupa diri bahawa apa yang disaksikan itu hanyalah  fatamorgana alam kehidupan yang sukar dijadikan sebagai iktibar dalam pembangunan tamadun. Agama memberi jalan yang benar yang boleh dilaksanakan oleh setiap individu dalam membangunkan umat dan bukan sesuatu yang berupa khayalan di dunia fantasi.
                Begitu jugalah  perlakuan orang yang inginkan sesuatu dari kita yang tersirat sentiasa menghidangkan perlakuan yang baik yang dipandang manis. Kalau kita tidak berhati-hati akan mengheretkan kita ke lembah kemaksiatan. Di mana-mana di alam ini ada sahaja perkara yang tidak kena pada tempatnya dan kita perlu berhati-hati agar fenomena fatamorgana demikian tidak menimpa kepada kita.
                Kemolekan pada seorang gadis itu tidak semestinya mempunyai akhlak yang luhur kerana hati manusia boleh berubah menjadi kehaiwanan apabila keadaan di sekelilingnya mempengaruhi akhlak yang cantik itu. Maka itu dunia yang cantik itu bersifat fatamorgana yang tidak menjamin kestabilan kehidupan  tanpa berlandaskan kepada ketakwaan kepada Allah s.w.t..
                Hanya kepada Allah sahaja kiblat pemikiran itu mendapat jaminan kebahagian di dunia dan di akhirat. Masalahnya ialah sifat  kecantikan itu pada kelazimannya tidak dihiasi dengan kesyukuran kepada Allah. Di sebaliknya ia dijadikan sebagai satu kebanggaan yang sering  mempersembahkan akhlak yang mengundang kekufuran.
                Mereka yang berwajah cantik dan molek merasakan dirinya bahawa dia adalah lebih mulia dan memandang sinis terhadap orang lain yang urat  wajahnya agak kurang menyerlah. Sepatutnya penampilan orang yang berwajah cantik adalah lebih merendahkan diri sebagai tanda syukur kepada Allah s.w.t. Kecantikan itu diibaratkan seorang yang mempunyai ilmu yang tinggi. Semakin luas ilmu seseorang itu semakin merendahkan diri terhadap orang lain barulah ia hidup serasi dengan pembangunan masyarakat.