Saturday, February 16, 2013

ANTARA PEMBANGUNAN DAN KEMUDARATAN


 (Disiarkan pada 16. 2. 2013)
Setiap yang baik itu semestinya ada yang buruk atau tidak baik. Allah wujudkan sedemikian keadaan hidup adalah untuk menguji kepekaan manusia memahami yang mana antara kedua-dua fenomena tersebut yang sesuai bagi pembangunan tamadun manusia samada di alam jasmani mahupun di alam rohani. Ini bermakna untuk mendapatkan sesuatu yang sempurna dalam menangani hidup, kita kena usahakan untuk memilih keadaan yang sesuai. Usaha merupakan tawakal atau ibadat demi kelangsungan hidup yang diredai Allah s.w.t.
                Agama Islam memahami manusia  adalah makhluk yang teristemawa dari kejadian Tuhan yang lain. Baik dari segi fisikal atau kejiwaan. Kedudukannya lebih tinggi dari darjat para malaikat, ianya ditugaskan ke dunia ini untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. dengan amal bakti sebagai khalifah Allah s.w.t.. untuk memajukan dunia ini di atas tuntutan-tuntutan yang digariskan oleh Islam di samping berjasa kepada alam sejagat. Memajukan dunia ini merupakan usaha, tawakal atau ibadat kerana Allah.
                Peranan manusia bukan sebagaimana yang dianggap oleh ajaran Krestian sebagai manusia yang berdosa sejak dari awal lagi yang dipercayai sebagai dosa warisan atau original sin. Agama Islam memahami manusia yang lahir ke dunia, bersih dan suci ibarat kain putih. Ia menjamin hidup manusia di muka bumi ini untuk menikmati segala apa yang dijadikan oleh Allah s.w.t. mengikut garis panduan yang telah ditetapkan dan sesuai  dengan kejadian  manusia itu sendiri. Lantaran itu Islam sering mengarahkan  manusia supaya selalu mengkaji dan mengingati kembali segala sejarah hidupnya, asal-usulnya, matlamat kejadian dan detik-detik serta kesudahan perjuangan manusia.
                Untuk memelihara kesucian serta kebersihan insan dalam menelusuri kehidupan di alam dunia ini kita kena bekalkan dengan ilmu dunia dan ukhrowi yang akan membentuk insan yang saleh yang sentiasa beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t..  Ilmu, Iman dan amal merupakan teras pembangunan insan di dunia dan di akhirat. Tanpanya manusia akan mengalami kemudaratan hidup di dunia, lebih-lebih lagi kehidupan di akhirat.   
                Nabi Adam a.s. dipilih Allah sebagai khalifah-Nya di atas bumi ini atas sebab kehadiran ilmu dalam dadanya yang mana para malaikat dan iblis tidak mempunyai. Ilmu adalah antara nilai yang tertinggi yang dibawa oleh Islam serta dibangunkan kehidupan  maknawai atau kebendaan, kehidupan  Akhirat atau dunia, menjadikannya sebagai jalan keimanan dan peransang kepada amalan.
                Islam adalah agama Ilmu, al-Quran al-Karim adalah kitab ilmu dan ayat yang pertama diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. ialah berkenaan dengan ilmu iaitu “Bacalah dengan Nama Tuhanmu yang telah menciptakan.” Membaca  adalah pintu keilmuan sementara al-Quran merupakan: “Kitab yang diperjelaskan ayat-ayatnya, iaitu  bacaan di dalam bahasa Arab, untuk kaum yang berilmu.” (Fussilat:3)
                Al-Quran telah menjadikan ilmu sebagai asas perbezaan antara manusia. Firman Allah surah Al-Zumar: 9 yang bermaksud (terjemahan): “…..Katakanlah: Adakah  sama orang-orang yang berilmu  dan orang-orang yang tidak berilmu. Hanyasanya yang mengambil pelajaran itu ialah orang-orang yang berakal ”
Jawapannya tentulah tidak sama. Ayat ini sebagai melengkapkan kenyataan Allah yang dimulai dengan amal dan diakhiri dengan ilmu. Amal itu merupakan perjuangan  dalam pembangunan dan ilmu merupakan penyingkapan. Kalau manusia beramal dengan berilmu menunjukkan kesempurnaan dan kelebihan dirinya.
                Orang-orang yang mahu mengambil teladan mengenai bukti-bukti yang diberikan Allah 
dan mengambil pelajaran daripadanya  itulah  dikatakan  berakal – bukan orang yang jahil dan cuai – kerana orang yang berakal dapat membezakan antara yang baik  dengan yang buruk.
Sedang orang yang tidak berakal tidak pula dapat membezakan.
                Orang-orang yang berilmu adalah orang-orang yang paling takut kepada Allah serta bertakwa kepada-Nya. Firman Allah yang bermaksud(terjemahan): “Sesungguhnya yang takut kepada Allah di kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang berilmu.” (Fathir: 28).
                Tidak ada orang yang takut kepada Allah kecuali orang yang mengenali Allah s.w.t.. Allah s.w.t. hanya dapat dikenali berdasarkan kepada kesan-kesan kekuasaan dan rahmat-Nya terhadap makhluk. Lantaran itu, kenyataan  bahawa manusia berilmu sahajalah yang takut kepada Allah  telah disebutkan di dalam konteks ayat yang dibicarakan tentang tanda-tanda kekuasaan Allah terhadap alam semesta.
                Melaksanakan pembangunan semestinya berilmu tetapi ilmu tanpa amal umpama pohon tanpa buah. Ilmu juga merupakan hasil dari keimanan yang benar kerana tidak dapat digambarkan wujudnya keimanan tanpa amal. Tamadun yang ingin dibangunkan  oleh Islam ialah perlaksananya mempunyai ciri-ciri ilmu, amal dan iman. Ketiga-tiga fenomena ini saling berkaitan antara satu sama lain untuk mewujudkan pembangunan yang mendapat keredaan Allah s.w.t..
                Jika satu daripada nilai-nilai kemanusiaan itu hilang pasti agenda pembangunan akan mengalami kemudaratan. Sebagai contoh, jika pelaksananya tidak punya ilmu mengenai agenda yang hendak dibangunkan maka tidak ada kesudahannya; dan jika amal yang hilang dalam perlaksanaan agenda berkenaan maka ilmu yang dipunyainya tidak ada kemanfaatan. Dalam semua ibadat iman menjadi teras pembangunan kerana tanpanya perlaksanaan hanya diwarnai oleh kepentingan diri yang berbentuk rasuah.    
                 Allah s.w.t. berfirman surah al-Baqarah: 29, yang bermaksud (terjemahan): “Dialah Tuhan yang menjadikan segala apa yang di bumi ini untuk kepentingan manusia.”
                Oleh itu maju dan mundur, baik dan buruknya keadaan pembangunan alam kehidupan adalah bergantung kepada manusia. Manusialah yang layak memegang  amanah ini yang tidak dapat ditanggung oleh makhluk-makhluk lain. Perkara ini ditegaskan oleh Allah s.w.t. di dalam firman-Nya yang bermaksud (terjemahan):
“Kami telah menawarkan amanah ini kepada langit, bumi dan gunung, maka semuanya tidak sanggup memikulnya, mereka takut akan mengkhianatinya dan manusialah yang layak memikul amanah ini, tetapi manusia ini amat zalim dan bodoh”. (Al-Ahzab: 72)
Tanggungjawab manusia terhadap  Tuhan  tentang  amanat itu bukanlah suatu perkara yang ringan malah ianya haruslah melaksanakannya  dengan baik dan jujur. Amanah yang disebutkan di sini ialah segala sesuatu yang dipertaruhkan kepada seorang menjadi kepecayaan, berupa perintah dan tegahan mengenai urusan agama dan dunia.
Dan yang dimaksudkan dengan amanat pula ialah: Bebanan dalam segi keagamaan seperti sembahyang, puasa, zakat, haji, bercakap benar, menjelaskan hutang, menyukat dan menimbang dengan cukup, bahkan anggota badan dan kehormatannya  hendaklah diguna sesuai dengan maksud ia dijadikan dan lain-lain perkara lagi.
Dia dinamakan amanat kerana dia merupakan kewajipan-kewajipan yang ditetapkan oleh Allah kepada orang-orang mukallaf sebagai suatu amanat yang mesti dipikul dengan patuh  dan taat. Namun  demikian, amanat yang diterimanya oleh setengah manusia  telah diabaikannya, sehingga ia berlaku aniaya terhadap dirinya, dan bertindak secara jahil terhadap perintah
Tuhannya.
Mengapakah manusia yang ada mempunyai persediaan untuk menerima bebanan itu
setengahnya telah mengabaikannya. Hal ini tidak  lain kerana pada diri manusia itu terdapat  naluri atau pembawaan suka marah yang mengakibatkan ia berlaku aniaya dan  zalim. Begitu juga ingin menurut kemahuan nafsu  syahwatnya yang mengakibatkan ia jahil untuk mengambil tahu dan memperhatikan terhadap kesudahan sesuatu perkara. Oleh itu Allah  bebankan kewajipan-kewajipan agama kepadanya, maka bebanan-bebanan itulah yang menjadi pengekang dari mengikuti berterus-terusan kehendak nalurinya yang tidak terbatas, agar tidak celaka.(Al-Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamad Milatu. 1989)
                 Keamanan hidup  adalah di antara  kelebihan  manusia dari makhluk-makhluk lain, ianya lahir dari keluhuran budi, keutamaan pekerti  dan perangai yang baik yang menghasilkan rasa cita  dan kasih di antara mereka  serta rasa suka dan menghormati terhadap hak  milik orang lain.
                Jika suatu ketika keamanan itu terganggu maka kesetiakawanan sosial menjadi mangsa mudarat. Ini disebabkan segulungan manusia hilang  sifat peri kemanusiaan. Mereka melakukan kerosakan dan menggangu  serta  mencabul kehormatan orang lain. Terjaminnya keamanan di kalangan manusia adalah hasil daripada didikan agama, di mana manusia disuruh bermaaf-maafan di antara satu sama lain, andainya terdapat kesalahan dan kesilapan  dalam pergaulan harian.    
                Adalah wajar menghargai jasa dan kebolehan orang lain, dianjurkan supaya mengorban kan sebahagian  hak miliknya untuk kepentingan umum, digesa supaya sentiasa mengamalkan sikap bantu membantu, tolong menolong, pesan memesan ke arah bersifat  sabar dan berlaku adil terhadap dirinya sendiri dan kepada orang lain.
                Tegasnya manusia disuruh berperangai baik terhadap semua makhluk  sama ada kawannya sendiri mahupun orang lain atau pun makhluk-makhluk binatang dan sebagainya, di samping itu manusia seharusnya bersikap sabar dalam menghadapi perjuangan hidup ini baik berupa senang atau pun susah serta sentiasa menghiasakan diri dengan akhlak yang mulia yang tidak terdapat di kalangan binatang, (Mohd Ali bin Abu Bakar, 2007).
                Banyak ayat-ayat suci al-Quranul-karim menganjurkan supaya menusia  berperangai baik dan kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. adalah membuktikan  ajaran-ajaran ini, seperti sabdanya: “Diutus aku ini adalah untuk  menyempurnakan akhlak yang mulia.”
                Memang tujuan  utama kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. ialah untuk mengembalikan manusia  supaya tetap berada di atas keperibadiannya yang asal iaitu  tetap di dalam keutamaan budi  pekertinya.
                Maka kerana itulah, al-Quran sering kali menyerankan kepada manusia  tentang ketinggian akhlak ini, antaranya: “Hendaklah kamu memberi kemaafan dan hapuskan kesalahan.” (Al-Baqarah: 109)
                “Bahawa pemaafan kamu itu lebih dekat  kepada takwa.” (Al-Baqarah: 237)
                “Mereka berpesan tentang kesabaran dan pesan-memesan tentang kasi sayang.” (Al-Balad: 17)
                Mengenai keamanan, Allah s.w.t. menerangkan yang bermaksud (terjemahan): “Wahai orang-orang yang beriman masuklah kamu ke dalam Islam (keselamatan) keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu.” (Al-Baqarah: 208)
                Manusia sentiasa mengalami proses pembaharuan dalam hidupnya. Ini disebabkan manusia mempunyai kecerdasan, daya fikir dan ilmu pengetahuan  serta  keinginan dan suka menerima sesuatu perubahan demi kepentingan dirinya. Walaubagaimanapun dalam menerima perubahan kadang kala mengalami kemudaratan, ini harus diterima atas dasar memahaminya sebagai ujian Allah dalam hidup.
Kemuderatan itu datang tanpa disedari. Pada lazimnya ia menjelma pada masa yang tidak diduga maka itu harus waspada dan berhati-hati agar ia tidak mempengaruhi daya juang dalam menerima pembaharuan demi pembanguna tamadun kehidupan.

Wednesday, February 13, 2013

KASIH SAYANG MEMBINA HIDUP SEMPURNA


 (Disiarkan pada9. 2. 2013)
Wujudnya perasaan kasih sayang atau cinta antara lelaki dan perempuan dalam tamadun kehidupan manusia maka berlakulah pembiakan zuriat manusia dari dahulu hingga sekarang. Persoalannya ialah mengapakah perasaan kasih sayang atau rasa cinta itu wujud dalam hati kedua-dua lelaki dan perempuan?
Untuk memahami fenomena tersebut haruslah menyelidiki dari kejadian manusia pertama iaitu Adam dan Hawa. Para ulama antara bangsa telah berbincang mengenai fenomena berkenaan, bertempat di Universiti Al-Azhar, telah mendapat kata putus bahawa kedua-dua makhluk manusia (Adam dan Hawa) asalnya dari badan yang satu. Apabila Allah jadikan Hawa dari tulang rusuk Adam maka terkeluarlah sebahagian daripada jasad adam secara ghaib.
Maka disitulah wujudnya perasaan cinta kerana Adam ingin benar mendapat kembali bahagian yang hilang dan begitu juga keadaannya kepada Hawa ingin betul mencari asal usulnya. Kedua-dua mereka, lelaki dan perempuan, apabila bertemu jodoh bermaksud tarikan hendak mendapatkan semula dan ingin kembali kepada asal adalah yang biasa dikenali sebagai jodoh.(Ustaz Abu Hurairah - University Al-Azhar)
Perasaan kasih sayang yang ingin kita bina dalam generasi manusia ialah perasaan ukhuwah kemanusiaan. Kasih sayang ini tertanam dalam hati sanuberi setiap insan yang telah dimurnikan oleh seorang ibu yang melahirkan anak. Walaubagaimana pun perasaan kasih sayang yang ada pada anak itu sebenar dipusakai dari kedua ibubapa.
Kebahagiaan hidup seorang insan terletak kepada kehadiran kedua ibubapa. Merekalah membuntuk peribadi mulia anak hingga terbinanya perasaan kasih sayang antara ibubapa dengan anak yang akan menjadinya mengenali perasaan yang sama terhadap sesama manusia. Pengenalan kepada suasana kasih sayang dengan orang di sekelilingnya akan dimurnikan atau ditarbiahkan oleh Islam iaitu wahyu dari Zat yang Maha Pencipta maka akan membawa anak itu untuk mengenali felosofi ukhuwah kemanusiaan.
Manusia dikenali sebagai makhluk yang bersosial. Tanpa kehadiran orang lain tidak banyak yang boleh dilakukan kerana kejayaan itu sebenar akan menggamit kebahagiaan atau kasih sayang yang akan mendekatkannya kepada jiran sekeliling kelak mendidiknya untuk memahami disiplin tersebut sebagai keredhaan Allah s.w.t. Zat yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Hidupnya seorang insan wajar mengenali perasaan kasih sayang kerana manusia  adalah makhluk bersosial maka memerlukan kehadiran orang lain. Perasaan kasih sayang perlu dalam perlaksanaan aktiviti seharian  yang membabitkan  perlaksanaan beberapa tugas  yang tertentu  bagi memenuhi tanggungjawab kepada diri dan tanggungjawab kepada manusia lain. Secara khusus, aktiviti, aktiviti seharian membabitkan dua kegiatan, iaitu aspek  ilmu dan aspek amal.
Aspek ilmu melibatkan dua kegiatan, iaitu pembinaan kefahaman  tentang perkara yang  halal dan haram menurut persepktif Islam, dan pembinaan kefahaman tentang kehidupan yang sempurna seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.w.s.. Perlu ditegaskan di sini bahawa Rasulullah adalah perlaksanan al-Quran dan penjelmaan bagi ajaran Islam.
Dalam aspek amal pula kita antara lainnya  perlu  mengamalkan  lapan jenis adab yang khusus, iaitu adab makan dan minum,, adab perkahwinan, adab berusaha dan bekerja, adab pergaulan sosial, adab mengasingkan diri, adab berjalan jauh, adab menikmati muzik, dan adab menggalakkan kebaikan serta mencegah kemungkaran.
Menyayangi sesuatu amal bererti kita rasa khusyuk melaksanakannya dengan iringan doa meminta keredaan Allah s.w.t.. Maka itu kelahiran adab pada amalan berkenaan amatlah penting. Amal tanpa diserikan dengan adab tidak melahirkan perasaan sayang pada ibadat berkenaan.
Menempuhi perkahwinan tanpa adab, sebagai contoh, akan hilang kemanisannya berumah tangga. Apabila sifat manis itu tidak ada maka kasih sayang akan dengan sendirinya lenyap dari perasaan dan musibah keruntuhan berkeluarga akan menjelang bila-bila masa.     
                Adab makan dan minum adalah sesuatu amal yang wajar dititik beratkan sifat-sifat khusyuk  dan tawadhu agar timbul rasa kasih sayang dalam ibadat makan kerana Allah. Segala yang kita makan dan minum adalah rezeki dari Allah yang pengasih dan penyayang. Kalau kita sayangkan kesihatan tubuh badan kita maka makanan yang disuapkan ke dalam mulut wajar bersifat bersih dan halal yang Allah redai maka wajar kita rasa khusyuk dan tawadhu memikirkan kebersihan makanan berkenaan.
                Adab berusaha dan berkerja memerlukan sifat kasih sayang diri terhadap ibadat berkenaan kerana tanpanya ibadat itu tidak akan sempurna dilaksanakan. Kesempurnaan dalam mengerjakan ibadat, Allah kasih dan redha kerana sifat perlaksanaan adalah ikkhlas dan jujur kerana Allah maka di situlah dapat memikirkan ganjaran pahala dari-Nya.  
                Sebagai makhluk bersosial pergaulan antara sesama memerlukan adab-adab kemanu- siaan. Antara adab-adab bersosial ialah hormat menghormati, kasih mengasihi serta saling bantu membantu antara satu dengan lain dalam segala hal muamalah. Amalan-amalan yang dilaksana kan dengan kesungguhan serta ikhlas merupakan tawakal kerana Allah.
                Tawakal merujuk penyerahan nasib diri dan nasib usaha  kita kepada Allah setelah kita berikhtiar dengan bersungguh-sungguh serta jujue untuk melaksanakan sesuatu tugas dan kita berdoa dengan ikhlas kepada Allah untuk mendapat kebaikan daripada usaha yang kita telah lakukan. Semangat tawakal sebenar mengimplikasikan bahawa kita sedar  dan yakin bahawa penentuan terakhir berada pada kekuasaan Allah.
Sesungguhnya Allahlah yang menentukan kebaikan, kejayaan, dan kebahagiaan hidup manusia. Bagaimanapun, Allah menetapkan sesuatu ketentuan di atas diri manusia  dengan adil. Allah berfirman yang bermaksud (terjemahan): “Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim terhadap hamba-hamba-Nya.” (Surah Ali Imran 3:18).
                Manusia sebagai khalifah Allah perlu memelihara hubungannya dengan makhluk  lain. Perlu diingat bahawa manusia adalah lebih tinggi darjatnya dari Malaikat dan binatang. Kita diberi akal  untuk menimbang yang mana benar dan yang mana salah  atau yang mana suruhan Allah s.w.t. dan yang mana larangan-Nya serta yang mana ajakan  syitan dan larangan-Nya. Tetapi yang mendukacitakan ialah ramainya orang yang melakukan perbuatan yang boleh menghumbankan diri mereka kedalam azab dan jurang kemusnahan. (Karangan Bahasa Malaysia Sijil Persokolahan m.s. 145 Omar Brothers Pulication)
                Al-Quran melukiskan penilaian yang rendah terhadap kehidupan dunia ini. Ianya sebagai permainan,  peleseran, perhiasan dan sebagainya seperti firman Allah s.w.t. yang bermaksud (terjemahan) “Ketahuilah bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan (peleseran), perhiasan dan bermegah–megah antara kamu  serta berbagga tentang banyak harta dan anak  seperti hujan yang tanam-tanamannya mengkagum kan para petani  kemudian tanaman  itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian dia menjadi hancur. Dan akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ke ampunan dari Allah serta keredhaan-Nya dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.” (Al-Hadid 20)                                                                                                                                                                                                                                       
                Allah memaklumkan dengan perempumaannya mengenai hal ehwal kehidupan dunia , yang cepat menghilang: Wahai sekalian manusia, ketahuilah  oleh kamu! Sesungguhnya kehidupan di dunia ini, tidak lain  yang diagung-agungkan oleh manusia hanyalah mengadakan permainan demi permainan yang akan memenatkan orang seperti kanak-kanak yang dipenatkan  oleh permainannya.
                Dan senda gurauan yang melalaikan daripada mentaati Allah dan daripada mengingat akhirat – hanya untuk bersuka-suka sahaja.
                Dan merupakan perhiasan, yang dengannyalah orang-orang yang jahil itu menjadikan nya bermacam-macam model pakaian yang cantik-cantik, dipakai  untuk menghiasi kendraan yang bagus-bagus dan melengkapkan rumah-rumah besar yang mewah dengan beraneka rekresi yang menarik.
                Meggahkan keturunan, kebangsawanan, nama dan pangkatnya yag tinggi serta kekuasaan nya yang besar terhadap golongan lain yang kurang dan lebih  rendah daripadanya.
                Mengumpulkan harta daripada hasil yang dimurkai Allah lalu membangga-banggakan kepada hamba-hamba yang mentaati Allah dan dibelanjaankannya pula pada perkara yang dimurkai Allah.
                Inilah gambaran kehidupan dunia laksana bunga-bunga yang indah yang akan layu dan fana dan merupakan nikmat-nikmat menyenangkan yang cepat  menghilang. Telah digambarkan oleh Allah seperti air hujan yang turun dengan lebatnya menimpa bumi, akan menyuburkan tanam-tanaman menyebabkan petani merasa kagum melihatnya dan bergembira mendapatkan hasilnya. Tetapi sayang! Kemudian para petani  itu keadaannya bertukar menjadi panik apabila melihat  tanam-tanaman tersebut  berubah menjadi kering, warnanya kuning,
                Agama Islam tekah memberikan suatu  pegangan kepada manusia supaya menjaga keseimbangan antara lepentingan hidup  duniawi dengan kepentingan hidup ukhrawi. Matlamat hidupnya diarahkan kepada persiapan hidup di akhirat  di samping tidak mengabaikan dirinya untuk kemajuan dunia.
                Sikap inilah yang digambarkan oleh Allah s.w.t. sebagai sifat orang-orang mukmin di mana dia menghayati dunia  ini dengan iman, amal dan selaras dengan saranan Tuhan seperti firman-Nya  yang bermaksud (Terjemahan): “Dan dikatakan kepada orang-orang yang bertakwa: ‘Apakah yang tela diturunkan  oleh Tuhan kamu?’ Mereka menjawab: ‘Allah telah menurunkan kebaikan.’ Orang-orang yang berbuat baik  di dunia ini akan mendapat pembala- san yang da sesungguhnya kampung akhirat  itu adalah lebih baik  dan itulah sebai-baik tempat bagi orang yan bertakwa.” (An-Nahl: 30)
                Cintakan dunia dicela oleh seluruh agama bahkan ianya  dikira sebagai faktor  dalam melakukan segala bentuk kejahatan. Para Al-Arifin pernah berkata  cintakan dunia itu kepala segala kejahatan. Begitu juga sebaliknya bencikan dunia kepala segala ketaatan. Setiap individu tidak harus  meletakkan  kasih kepada dunia yang boleh menghalang hubungannya dengan Tuhan. Tetapi sebaliknya rasa kasih dan cinta  itu hendaklah ditumpukan kepada Allah s.w.t. dan Rasul sahaja kerana sabda Nabi s.a.w. yang bererti seseorang itu tidak akan merasa kelezatan iman kecuali dia telah kasih kepada Allah s.w.t. dan Rasul s.a.w. melebihi dari kasihnya  yang lain.
                Hidup di dunia ini penuh dengan berfoya-foya dan hiburan yang boleh melalaikan kita dari mengingati matlamat kita dijadikan itu. Allah s.w.t. sentiasa mengingatkan kita  supaya berhati-nati dalam melayari hidup di dunia ini.
                Ali bin Abi Talib pernah berpesan kepada orang ramai. “Aku takut kepada kamu dua perkara iaitu panjang angan-angan dan mengikut hawa nafsu, kerana panjang angan-angan akan melupakan akhirat dan mengikut hawa nafsu akan menghalang kamu dari kebenaran, bahawa dunia sesungguhnya akan ditinggalkan  dan akhirat akan dihadapi. Oleh itu jadilah kamu anak-anak pencinta akhirat  dan janganlah kamu jadi anak-anak pengampu dunia kerana hari itu  amal tidak  ada hisab dan esok  hisab yang tidak ada amal.” 
                Ibrahim bin Adham ketika diminta nasihat daripadanya beliau berkata, “Apabila kamu
melihat manusia sibuk dengan urusan  dunia hendaklah kamu bersibuk  dengan urusan akhirat dan jika kamu melihat mereka mengindahkan atau meghiasi tubuh zahir mereka, hiasilah batin kamu dan kiranya mereka berlumba membina bangunana-bangunan, tanaman-tanaman indah dan istana-istana, berlumbalah kamu ke kubur. Kalau mereka sibuk membicarakan tentang keaiban manusia hendaklah menyiasat keaiban dirimu dan jika mereka sibuk  untuk memberi khidmat bakti kepada makhluk hendaklah kamu pula mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Tuhan semesta alam.”

Monday, February 4, 2013

APAKAH TANGGUNGJAWAB SAYA SEBAGAI HAMBA ALLAH


 (Disiarkan pada 2. 2. 2013)
Kewujuan manusia di bumi Allah ini mempunyai beberapa faktor yang wajar setiap insan  mema haminya demi untuk membolehkannya melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah. Antaranya ialah memahami sejarah bagaimana Allah menciptakan manusia, kemudian menelu suri felosofi kejadian manusia sebagai makhluk Tuhan, dan seterusnya meneliti mengenai disiplin pembangunan insan sebagai khalifah Allah s.w.t..
                Dalam kejadian manusia daripada tidak ada kemudian ada atas kekuasaan Allah maka itu wajarkah kita sebagai ciptaan Allah mengabdikan hidup kita kepada Zat yang Maha pencipta itu? Mengabdikan hidup ini membawa maksud menjadi hamba Allah untuk melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.   
 Makhluk manusia semuanya berasal dari Nabi Adam a.s. dan isterinya Siti Hawa sebagai manusia pertama Allah wujudkan. Adam tercipta dari saripati tanah yang kemudiannya Allah meniupkan roh-Nya ke dalam jasad Adam yang membolehkannya berkesedaran serta berperasaan. Kemudian Allah wujudkan Siti Hawa, dari tulang rusuk Adam maka terciptalah seorang perempuan. Allah ijab kabulkan mereka berdua dengan meminta Adam membaca selawat Nabi. Orangnya belum wujud lagi tetapi namanya sudah digunakan sebagai mas kawin.
Di zaman moden ini manusia menggunakan wang ringgit sebagai mas kawin dan ada yang sampai jutaan ringgit. Keadaan demikian telah menyalahi kerukunan beragama dan juga pernikahan itu seolah-olah dijadi sebagai jual beli barangan. Nilai manusia bukan terletak kepada kekayaannya atau kepangkatannya tetapi manusia yang mulia dan tinggi nilainya di sisi Allah s.w.t. ialah manusia yang lebih bertakwa kepada Allah s.w.t.
Masyarakat Kelantan mengatur mas kawin mereka dengan meminta pihak lelaki hafis al-Quran. Cara demikian amat sesuai untuk mendirikan rumah tangga kerana si suami telah melengkapkan dirinya dengan ilmu pengetahuan mengenai pembangunan keluarga, rohani dan seterusnya pembangunan manusia keseluruhannya.
Pada keadaan biasa manusia sukar menjadi hafis Quran tetapi sekurang-kurangnya mengetahui ilmu al-Quran seperti hafis surah Luqman sebagai contoh. Allah memuji Luqman bagaimana ia mendidik anaknya dan mentarbiahkan mereka agar tidak mensyirikkan Allah sehingga Allah peruntukan sebuah surah yang dipanggil surah luqman untuk dipelajari.
Pernah berlaku pada satu keluarga Islam di Pedalaman atas Sabah yang mana si suami amat jauh dengan akidah Islam. Dia menjadi Islam kerana dilahir dalam keluarga Islam tetapi bapanya tidak mendidiknya cara hidup sebagai Islam disebabkan dia(bapa) sendiri pun kurang ilmu pengetahuan mengenai agamanya. Semasa anak gadisnya diijab kabulkan dengan seorang jejaka Islam, tuan Imam yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pernikahan mereka meminta bapa yang hendak kahwin itu untuk membaca surah Al-Fatihah terlebih dahulu.
Di situ bapanya mengalami kebuntuhan fikiran kerana beliau tidak hafal atau pandai membaca surah Al-Fatihah. Akibat kegagalannya membaca surah berkenaan, pernikhan terpaksan ditangguh sehingga beliau dapat menghafalnya.Maka pada malam itu juga ia menghafal surah berkenaan hingga jauh malam barulah dapat diijab kabulkan anaknya dengan bakal suaminya.
                Daripada kedua mereka, Adam dan Hawa, berlakulah pembiakan makhluk manusia hingga ke hari ini. Kewujudan pasangan manusia mempunyai tanggujawab terhadap Allah. Firman Allah yang bermaksud “Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya menyembah kepada-Ku”.(Surah Az-Zaariyat (51)56).  Allah mewujudkan makhluk manusia tiada lain tujuan adalah semata-mata mengabdikan diri kepada Allah serta mengerjakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.
                Sebelum Allah wujudnya manusia Tuhan memaklumkan kepada para malaikat bahawa Allah akan menciptakan makhluk manusia dan menjadikannya sebagai khalifah-Nya di bumi Allah. Rancangan Allah tersebut dibantah oleh para malaikat yang mengkategorikan diri mereka sebagai yang lebih layak menyandang jawatan tersebut.
                Allah mematahkan hujah para malaikat dengan menguji ilmu mereka untuk menamakan barang-barang yang dipersembahkan Allah di hadapan mereka dengan terlebih dahulu membekalkan Adam dengan ilmu mengenai barang-barang berkenaan. Maka itu Adam dapat menamakan benda-benda yang ada di hadapan mereka tetapi para malaikat gagal untuk berbuat demikian. Maka itu para malaikat akur kepada rancangan Allah menjadikan manusia sebagai khalifah-Nya dikecuali iblis. Kedegilan iblis mematuhi perintah Allah mengakibatkan iblis dikeluarkan dari syurga Allah dan diharamkan menikmati segala kemewahan hidup yang ada di syurga.
                Walaubagaimana pun Adam bersama isteri tersayang diberi kemewahan hidup di syurga Allah. Tetapi mereka diberi satu amanah agar nereka tidak menyentuh buah khuldi yang ada di syurga. Iblis mengambil kesempatan ini untuk membalas dendam kepada manusia kerana gara-gara Adam, iblis terkeluar dari syurga Allah.
                Sifat semulajadi manusia sememangnya mepunyai kelemahan untuk melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan Allah, maka itu iblis berjaya memperdayakan Adam supaya melanggar amanah Allah tersebut. Akibat dari perbuatan manusia itu maka Allah murkah kepada Adam lalu Allah keluarkan mereka bedua dari menikmati hidup di syurga. Iblis amat gembira mengenai tindakan Allah itu kerana kedua-dua makhluk Allah, iblis dan manusia sudah terkeluar dari menimmati hidup di syurga.
                Makhluk manusia menyedari dirinya terhadap perbuatannya maka Adam memohon ampun kepada Tuhan dan berjanji tidak membuat kesilapan lagi. Tetapi Allah perintahkan Adam turun ke bumi dan melaksanakan ibadat untuk mendapat ganjaran pahala sebagai tikit masuk ke syurga semula setelah selesai agenda hidup di dunia nanti.
                Ibadat tersebutlah menjadi tanggungjawab manusia atau amanah Allah yang kedua sebagai hamba Allah di bumi Allah untuk melihat sejauh mana amanah tersebut dapat dipelihara oleh manusia. Untuk melaksanakan amanah tersebut Allah bekalkan manusia dengan berbagai fitrah sebagai kekuatan diri untuk menangani ujian Allah di samping melawan dugaan iblis laknatutallah.
                Fitrah-fitrah berkenaan adalah seperti iman dan takwa kepada Allah, kemahiran berfikir, nafsu, kesihatan, kegagalan dan kejayaan dalam menelusuri pembangunan kehidupan, kasih sayang, kesyukuran, ukhuwah kemanusiaan dan sebagainya. Setiap fitrah itu ada kemanfaatan kepada manusia  yang menggunakan kepekaannya berfikir bagaimana ia menyumbang kepada kebahagian dan kemuliaan manusia di sisi Allah s.w.t..
                Allah membekalkan kita dengan iman dan takwa kepada segala nikmat yang kita perolehi dalam hidup tujuan untuk mendekatkan kita kepada zat yang Maha Berkuasa itu.Tanggungjawab kita sebagai hamba Allah ialah memelihara keimanan dan ketakwaan kepada Allah sebagai tanda kesyukuran kepada menikmatan hidup yang tidak terkira banyaknya.
                Apakah tanggungjawab manusia sebagai hamba Allah? Adalah menjadi kewajipan manusia mukmin mengetahui tujuan Allah menciptakan manusia di buminya ini. Manusia adalah antara makhluk Allah yang mempunyai rohaniah maka itu ia berperasaan, dan boleh berfikir serta dapat melihat alam pengalaman dengan menggunakan mata hatinya. Ahli sains mengkategorikan manusia sebagai “thinking animal”.
                Tanggungjawab utama manusia di sisi Allah ialah menjadi khalifah-Nya. Allah menyeruh kita supaya melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Antara perintah-Nya yang wajib ialah mentauhidkan serta mengesakan Allah bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah.
                Mengagamakan ilmu wajar dalam pembinaan tamadun kehidupan. Ilmu dan amal teras kesejahteraan ummah. Tetapi ilmu semata yang bersifat sekulastik atau duniawi semata tidak membawa manfaat kepada pembangunan rohani. Kemanfaatan ilmu tersebut hanyalah bersandarkan kepada falsafah hak guna pakai semata dan bukan hakiki, semasa hidup di alam dunia yang berupa sementara sahaja. 
                Mengamakan ilmu dapat menyingkap rahsia alam kehidupan yang berkiblat kepada pahala dan dosa. Manusia secara umum tidak mementingkan sangat mengenai pahala dan dosa apabila ia berhadapan dengan kebahagian dan kemewahan dunia terutama sekali mereka yang imannya tidak seberapa kuat melawan nafsu yang membelakangi alam akhirat.
                Dunia membangun di zaman sains dan teknologi masa kini tertumpu kepada kemurnian pembangunan dunia semata tanpa mengimbangi pembangunan rohani atau akhirat, akibatnya manusia menjadi sasaran untuk menjadi mangsa keganasan. Negara yang kuat persenjataannya serta juga dari perekonomian menindas negara yang miskin. Ukhuwah kemanusiaan dijadikan taruhan tanpa memikirkan bahawa manusia itu sebenarnya semua berasal dari keturunan yang sama iaitu Adam Hawa. 
                Manusia diwujudkan Allah sebagai khalifah-Nya untuk memakmurkan kehidupan di dunia dan di akhirat kelak. Tetapi kegagalan manusia mengamakan ilmunya, landasan hidup berkiblatkan kepada pembangunan dunia semata. Rohani manusia dipinggirkan dari menikmati dana pahala yang menjamin kebahabian hidup di akhirat nanti.
                Tugas utama manusia sebagai hamba Allah ialah mengimbangi pembangunan jasmani dengan pembangunan rohani. Ini peting kerana kanusia wujud dalam dua unsur iaitu jasad dan roh, kedua-duanya penting dan kedua-duanya menjadi tanggungjawab setiap insan dalam menelusuri hidup sebagai hamba Allah.
Maka itu menuntut ilmu adalah kemestian dalam hidup tetapi ilmu itu wajar disebatikan dengan ilmu keagamaan. Allah telah menurunkan ilmu kepada para rasulnya untuk dimanfaatkan bersama dalam pembangunan manusia maka murnikan hidup mu dengan ilmu dunia bersama dengan ilmu akhirat agar pintu syurga akan terbuka untuk mu memasukinya. Insyallah