Friday, December 26, 2014

MENJAGA SYAHWAT DAN KEMARAHAN

 (Disiarkan pada 26. 12. 2014)
Fitrah manusia yang sentiasa merendahkan  sifat kemanusiaannya  ialah syahwat dan kemarahan. Maka itu kesihatan batin hendaklah dijaga dikongkong jangan sampai terpengaruh oleh kekuatan syahwat dan marah. Syahwat itu menimbulkan rindunya. Jika rindu telah timbul, timbullah daya upaya menyembah. Untuk itu manusia lupa pada apa yang patut dan janggal. Waktu itulah dia kehilangan pedoman.
               Orang yang berakal tidak akan membangkitkan angan-angan nafsu, tidak  mencari  dan mengorek yang akan menimbulkan marah. Melainkan dibiarkannya syhawat dan marah itu tidak untuk menyerang tetapi untuk mempertahankan diri.
               Walau bagaimana pun kalau syahwat dan marah tidak ada pada manusia, nescaya mereka tidak pula selamat dalam hidupnya, yang tidak bersyahwat dan tidak  berperasaan marah, akan ditindas oleh orang yang berperasaan marah. Gunanya pada diri manusia, ialah penjaga keselamatannya, bukan mengganggu dan menyerang keselamatan orang lain.
               Sebagai langkah supaya nafsu (batin) terpelihara, hendaklah  orang berjuang menying- kirkan perangai rendah. Biasakan diri untuk tidak menyetujui sesuatu kehendak tanpa sandarannya. Jika orang lain mengerjakan-nya, biasakan melatih diri  di dalam keutamaan. Paling berbahaya buat kesihatan rohani ialah  memandang murah kejahatan yang kecil.
               Jangan memikirkan enting perkara kecil kerana perkara kecil itu  menjadi pintu  buat yang lebih besar. Kalau dari kecil  sudah biasa menjaga perangai, dan lidah dari tutur kata yang tidak tentu arah, kelak akan terbiasalah mengerjakan pekerjaan itu di mana perlu, pada hal orang lain jauh daripadanya, sebab-sebab tidak diajar dan dibiasakan.
               Misalnya seorang khadam yang berkerja dengan seorang tuan yang kotor mulutnya dan kasar perangai. Mula-mula dia mendengar perkataan-perkataan yang keras itu  mende- nging telinganya. Tetapi lama-lama kerana sudah biasa, telinganya sudah tebal mendengar perkataan itu, sehingga pada suatu waktu, bagaimana marah tuannya dan bagaimana keras perkataannya, tidaklah akan memberi bekas kepada  perangai khadam itu, bahkan diterimanya dengan senyum saja.
               Manusia akan terdidik dengan keadaan alam di mana ia sering berada di tempat yang serbah serbih berbeza dengan pengalamannya sebelum itu. Diambil satu misalan semasa Nabi Adam a.s. bersama isterinya Siti Hawa tinggal di syurga Allah menikmati kehidupan yang serba mewah dan jauh dari suasana yang menyayatkan kepada perasaan. Segalanya dalam keadan sempurna. Keadaan alam yang cantik serta mempunyai bau-bauhan yang amat wangi dan menyegarkan pada perasaan.
               Walau bagaimana pun hidup dalam keadaan yang begitu mewah serta sempurna dari segi kewujudan kehidupannya Nabi Adam bersama isteri lupa terhadap kesyukuran yang Allah telah sediakan kepada mereka. Lalu mereka telah menghianati perintah Allah Subhanahu wa Tala yang mengakibatkan mereka disingkir dari Syurga dan ditempatkan di dunia sebagai manusia pertama menghuninya.
               Pada saat mereka ditempatkan di dunia seakan-akan mereka tidak dapat bertahan mencium bau bumi begitu menjijikan perasaan mereka. Tetapi tiada tempat lain hendak pergi lagi terpaksa bertahan membiasakan hidup yang tidak pernah dialami mereka sebelumnya. Bukan hanya itu sahaja mereka menanggung derita, tetapi mereka dipisahkan Allah selama lebih kurang dua ratus tahun baru dipertemukan semula di padang Arafah di Mekkah Al-Mukaramah, tempat para haji mengerjakan wukuf semaja musim haji.  
               Setelah sekian lama mereka hidup dalam keadaan begitu seksa, lama-lama mereka pun terbiasa dengan keadaan hidup tersebut dan tidak lagi merasa jijik dengan bau tanahnya hinggalah kepada keturunan Adam sekarang ini, anak dilahir dan membesar dalam keadaan
alam yang serba kekurangnya.
Untuk membina kehidupan baru mereka terpaksa berusaha sendiri untuk mendapatkan keperluan hidup. Allah telah menyediakan segala nikmat hidup di alam sekelilingnya tetapi mereka terpaksa menggunakan tenaga serta tawakal kepada Allah untuk menterjemahkan nikmat tersebut kepada pembangunan kehidupan manusia.
Pergaulan yang baik menjadi syarat utama dalam membentuk batin, ajaran sejak kecil menjadi tiangnya. Dalam membentuk kemuliaan batin contohilah kerajaan yang siasah. Sebelum musuh menyerang ke negerinya, dia cukup persiapan dalam segala segi kerana kadang-kadang musuh menyerbu ke dalam batin ialah kerana di dalamnya telah ada kekacauan lebih dahulu. Kemarahan dan syahwat telah berada maka jika benteng tidak cukup pertahanan, dalam sebentar waktu, jatuhlah kota itu dari tangan musuh.  
Maka benteng penjaga supaya syahwat dan marah itu tidak keluar dari batas penjagaannya, ialah sabar. Disinilah terpakainya pepatah Melayu mengatakan: “Sediakan payung sebelum hujan.” Kalau musuh masuk, baru akan mulai  bersiap atau kalau hunjan telah turun, baru hendak mencari payung, meskipun, berhasil juga, tetapi sukar. Lebih banyak bahaya dan kerugian dari keuntungan.
Dalam Surah Al-Baqarah ayat 2:45 Allah berfirman yang bermaksud:
“Minta tolonglah kamu  kepada Tuhan dengan sabar dan mengerjakan sembahyang, sesungguhnya sembahyang itu amat berat, kecuali di atas orang-orang yang khusyuk (taat).”
Allah telah menyuruh hamba-Nya, agar sentiasa memohonkan pertolongan-Nya, dengan mengurniakan sifat kesabaran di dalam melaksanakan sebarang kerjanya, dan mengur- niakan keteguhan hati di dalam menunaikan ibadat sembahyangnya, serta menahan diri dari perkara yang tidak disukai oleh kehendak hati. Dengan kesabaran akan tercapai kejayaan. Hingga pekerjaan sembahyan pun hanya dapat disempurnakan dengan banyak menggunakan sifat kesabaran.
Akan ibadat sembahyang pula, adalah satu-satunya ibadat yang paling utama, kerana ia mengandungi segala jenis ibadat, baik mengenai rohani mahupun mengenai jasmani. Setiap petugasnya mestilah bersiap diri di dalam waktu-waktunya. Hendaklah menyucikan dirinya terlebih dahulu, bersih badan, pakaian dan tempat, tertutup aurat dengan pakaian yang sopan, mengeluarkan wang kerana keperluan yang dihajati dalam menunaikan sembahyang. Menghadap kepada yang satu, ke arah yang satu dengan tujuan yang satu.
Waktu mengerjakan benar-benar dilakukan dengan sepenuh tugas, khuyuk dan ikhlas sepenuh hati, semata-mata  hanya untuk Allah. Berjuang bersungguh-sungguh melawan godaan syaitan yang sentiasa hendak memalingkan hati manusia. Merayu-rayu dan ber- munajat kepada Allah memohon kepada yang hak. Memohon dan meminta, bebas berkata-kata dengan tiada payah memakai pengantara.  Kalimat suci al-Qur’an dibaca, dan dua kalimah syahadah sebagai penyaksian diucapkan, dan banyak lain-lain lagi.
“Sesungguhnya sembahyang itu amat berat, kecuali di atas orang-orang yang khusyuk.”
Sesungguhnya ibadat sembahyang itu amat berat untuk dipikul, berat untuk dijalankan, kerana banyak syarat-syaratnya, banyak rukun-rukunnya dan banyak pula pantang  larangnya. Kecuali bagi orang-orang yang khusyuk yakni taat dan takut kepada Allah . Sembahyang itu merupakan ibadat yang ringan dan mudah, apabila telah merasakan kelezatannya akan merasa ketagih. Betapa tidak, kerana dengan sembahyang ia telah merasa dirinya benar-benar dihadapan Allah, terasa aman dan tenteram jiwanya. Meskipun Tuhan itu tiada dapat dilihatnya. Tetapi ia pecaya Tuhan ada melihatnya. Ia yakin di akhirat kelak dapat berjumpa Allah – sebagai mana yang difirmankan Allah dalam ayat ke 46 itu surah yang sama.
“Iaitu orang-orang yang yakin mengetahui bahawa mereka akan berjumpa dengan Tuhan, dan mereka akan kembali kepada-Nya.”
Dalam Surah Ali Imran ayat 3:200 Allah berfirman yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman! Sabarlah kamu (dalam ketaatan) bersabarlah (menghadapi musuh) besiap sedialah (menentang mereka), dan takutlah kamu kepada Allah, semoga kamu mendapat kemenangan.”
Bahawasanya Allah menyeru orang-orang mukmin itu supaya sabar di dalam sebarang usaha yang membawa kepada mentaati Allah dan melaksanakan kewajipan agamanya. Juga diseru supaya sabar di dalam menghadapi cubaan dan menghadapi musuh  dari sebarang gangguan serta cabarannya.Seraya bersiap sedia  dengan secukup-cukup kelengkapan yang menjadi kewajipan setiap umat Islam mengadakannya.
.Ketiadaan sifat marah pada diri manusia juga dianggap sebagai sifat yang tercela kerana seorang kehilangan harga diri sama sekali untuk menentang sesuatu yang menggangu kehormatan diri atau kehormatan keluarganya. Ini menimbulkan sikap tidak peduli ketika peribadi isterinya dihina oleh orang yang buruk akhlak.
Seterusnya sifat  marah dan lemah juga dianggap sebagai sifat yang tercela. Misalnya, manusia merasa terlalu lemah dan kecil untuk mempertahankan masuh isterinya daripada kecaman orang  lain. Perbuatan seperti ini termasuk dalam sifat yang buruk, sebab ia memupuk sikap tidak sensitif dan tidak  cemburu ke atas kemurnian maruah diri atau maruah keluarga, pada hal melindungi maruah tersebut daripada pencabulan merupakan suatu kewajipan asas (al-Ghazali, 1990).
Walaupun unsur syawat dan unsur marah dicipta oleh Allah untuk kepentingan manusia, mereka juga boleh menjadi punca kejahatan manusia. Misalnya, unsur syawat dan unsur marah yang patuh kepada daya intelek dalam roh rasional akan mendorong manusia membina budi pekerti yang mulia.
Sebaliknya, unsur syawat dan unsur marah yang memberontak dan membangkang tehadap daya intelek sehingga mereka dapat menguasai mekanisme pendorong akan menggalakkan manusia untuk melakukan maksiat. Dalam keadaan seperti itu, rosaklah akhlak manusia dan terputuslah perjalanan hidup manusia ke arah mencapai kebahagiaan yang abadi. Keinginan yang terbit  daripada mekanisme pendorong yang dikuasai unsur syahwat dan unsur marah dikenali sebagai hawa nafsu atau nafsu syahwat.
Pada umumnya, unsur syawat dan unsur marah agak mudah dipengaruhi syaitan yang memang berkerja mengajak manusia ke arah kejahatan. Sebab itulah kedua-dua unsur ini kadangkala disebut sebagai agen syaitan (hizb ash syaitan)
Allah berfirman dalam al-Quran surah al-Furqan ayat 25:29 yang bermaksud: “Sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari Al-Qur’an ketika al-Qur’an itu telah datang kepadaku. Dan adalah syaitan itu tidak mau menolong manusia.”
               Jasad  merupakan alat bagi roh dalam kehidupan duniawi. Oleh itu, jasad perlu dipelihara dan dilindungi dengan baik. Manusia perlu mengambil bahan yang berfaedah dan bersesuaian dengan kesihatan badan (keperluan fisiologi) dan menolak atau mengelakkkan diri daripada sebarang perkara yang boleh mencacatkan dan membinasakan badan (keperluan keselamatan)’
               Keperluan fisiologi merupakan keperluan untuk mendapatkan makanan, minuman, oksigen, tidur, rehat, aktiviti fizikal, seks, dan kepuasan deria. Keperluan keselamatan pula merupakan keperluan untuk mengelakkan diri daripada kecederaan dan kesakitan, mendapat jaminan ketenteraana yang lahir daripada keadaan yang berstruktur, dan merasa terlindung daripada ancaman luaran dan dalaman.
               Allah telah mewujudkan dua mekanisme dalam roh kehaiwanan bagi memenuhi keperluan fisiologi dan keperluan keselamatan, iaitu  mekanisme pendorong dan mekanime penggerak. Mekanisme pendorong  mengarahkan dan memfokuskan keperluan yang ditimbul  kan oleh unsur syahwat dan unsur marah, manakala mekanisme penggerak pula menggerak kan anggota badan untuk mencapai pelbagai matlamat, termasuk memuaskan keperluan yang ditimbulkan oleh unsur syahwat dan unsur marah.
               Unsur syahwat terbit daripada sifat kehaiwanan. Unsur ini bertanggungjawab terhadap tabiat kehaiwanan yang ada pada diri manusia seperti makan, tidur, dan seks. Matlamat utama unsur syahwat ialah memuaskan keperluan fisiologi. Jika dikawal dengan baik, keinginan syahwat dapat memberi beberapa manfaat kepada manusia.

               Unsur marah pula terbit daripada sifat kekerasan, kebuasan, dan kebengisan. Matlamat utama unsur marah ialah untuk  memuaskan keperluan keselamatan. Sekiranya mekanisme pendorong dikuasi unsur marah, maka manusia akan memaparkan sifat-sifat yang ganas dan buas seperti dengki, dendam, suka membangkang tanpa pembaikan, buruk perangai, suka bermusuh, tidak  sabar, degil mempertahankan kelemahan dan keburukan diri, suka menghina dan merendakan usaha orang lain, tamak, suka memfitnah, cepat marah, bercakap luca suka menghukum, buruk sangka, suka mencarut dan suka mencerca. 

Saturday, December 20, 2014

BUDAYA BERFIKIR MANTAPKAN IMAN KEPADA ALLAH S.W.T.

 (Disiarkan pada 20. 12 2014).
Berfikir adalah menggunakan  akal untuk membuat sesuatu keputusan atau mentafsir sesuatu fenomena alam kehidupan. Nikmat berfikir pemangkin insan mengolah alam dan menyingkap rahsia-rahsia di dalamnya yang masih dibelakang tabir rahsia ciptaan Allah Subhanahu wa Tala yang Maha Esa lagi Maha Mengetahui.                                                                                                            
          Kemahiran berfikir mempunyai keterikatan dengan keunggulan akal manusia memandunya menyelami lautan ilmu yang masih belum diterokai oleh jangkauan para ilmuan dan cerdikiawan.  Akal yang memberikan kekuatan berfikir dan menyelidik, telah menjadi kita manusia makhluk yang berperadaban dan berkebudayaan, selalu maju dalam segala hal.
Bakat dan ilmu merupakan fitrah Allah Subhanahu wa Tala yang memurnikan budaya berfikir. Kehadirannya dalam diri manusia akan membina serta memurnikan ketamadunan hidup umat untuk mendekati serta mengenali nikmat-nikmat Allah yang masih terpendam di alam ini. Penerokaan rahsia-rahsia alam tidak semudah yang difikirkan tanpa ilmu yang memantapkan kepekaan berfikir.
Untuk menjaga kesihatan jiwa, biasakan berfikir setiap hari walau fikiran yang kecil sekalipun. Bila otak dibiarkan menganggur, boleh pula ditimpa sakit, menjadi bengung. Tiap-tiap otak mesti dilatih. Kalau otak malas berfikir kita menjadi dungu. Banyaknya orang adalah kerana malas berfikir. Itulah mati di dalam hidup. Haruslah diajar kekuatan berfikir sejak kecil kerana orang yang kuat berfikirlah yang dapat menghasilkan hikmat. Jika besar kelak dia akan menjadi  bintang pergaulan yang gemerlapan, menjadi garam, yang tanpa dia, sambal masyarakat tidak ada rasa.
Fikir berdekatan dengan pengalaman. Seseorang pemikir yang berpengalaman, boleh mengambil natijah (kesimpulan) suatu perkara dengan segera, sedang orang lain memandang perkara itu besar dan sulit. Sebab dari fikirannya dan pengalamannya, dia sudah biasa menjalankan manthiknya. Kalau perkara ini asanya begitu, tentu akibatnya begini. Perjalanan sunnatullah ini tidaklah akan salah.
Setelah dia menjadi ahli fikir dan berpengalaman, tambah berseri jika  dia berilmu. Laksana seorang yang mempunyai sebuah keris pusaka yang tajam, sentiasa diasah, dan digosoknya. Kalau keris itu disimpan sahaja, tidak diasah, digosok, akan berkerat, walaupun dahulukala dia bertuah, sebab tuah semasa tajamnya.
Demikian ilmu dengan fikiran, seorang ahli ilmu tidaklah enggan menambah ilmu, sebab ilmu adalah laksana lautan, bila diselami bertambah barang-barang ajaib yang belum pernah dilihat dan didengar. Orang umpamakan rahsia dan keajaiban alam ini dengan lautan besar. Ombaknya memecah, membawakan mutiara yang tesimpan di dasar lautan masih banyak, sampai dunia kiamat, pembedaharaan laut itu tidak akan  habis-habisnya.
Berkata Hasan Basri: “Pimpin dan kendalikan jiwa dengan baik, kerana amat liarnya, dan beri ingatlah, kerana dia lekas lupa.”
Ikhtiar intelektual atau ijtihad membabitkan gabungan proses, berfikir, berzikir, bertafakur, dan bertaakul yang berlandaskan prinsip Islam. Proses ijtihad merupakan teras  bagi budaya ilmu dan proses ini memerlukan pembacaan yang luas, disiplin yang tinggi dalam semua tindakan, kebolehan yang tinggi dalam penyelesaian masalah dan kebijaksanaan dalam keputusan. Rengkasnya, budaya ilmu memerlukan ketahanan akal untuk sentiasa berada dalam cabaran intelektual, di samping ketahanan jiwa untuk sentiasa berada dalam kebenaran.
Dalam zama sains dan teknologi ini budaya membaca dan budaya berfikir mendapat tentangan atau persaingan yang hebat daripada budaya hiburan dan budaya berpesta. Pada umumnya, potensi pintar cerdas sukar untuk berkembang ke tahap yang maksimum dan suasana hidup yang tidak  memberi tempat yang istemewa kepada perbincangan yang mendalam dan meluas tentang konsep ilmu, proses membina ilmu, konsep akal, dan proses menggunakan akal (berfikir dan berzikir) yang diinspirasikan dan dilandaskan kepada ajaran tauhid.
Akal merupakan satu entiti yang abstrak. Bagaimana pun sebagai langkah ke hadapan, akal boleh diiberatkan sebagai sebindang tanah yang boleh diusahakan dengan bijaksana atau dibiarkan begitu sahaja. Namun sama ada tanah itu diusahakan atau dibiarkan, ia akan mengeluarkan hasil yang tertentu. Jika benih yang berfaedah tidak disemaikan, maka rumput dan lalang akan tumbuh di atas tanah tersebut. Akibatnya, tanah itu akan mengeluarkan hasil yang tidak produktif. Untuk mendapat hasil yang produktif, kita perlu mematuhi adab bersawah.  
1.       Menyediakan dan membajak tanah dengan baik.
2.       Menanam benih yang baik.
3.       Menyiram air dan menabur baja.
4.       Membuang rumput dan tumbuhan lain yang tidak berfaedah.
5.       Mengawal serangga dan ancaman luar.
6.       Memetik hasil secara sistematik.
7.       Menggunakan atau menjual hasil dengan bijaksana.
Dalam kerja bersawah atau berladang, tidak ada jalan pintas untuk mendapatkan hasil
yang  baik. Aktiviti pada setiap peringkat perlu dibuat dengan sempurna. Begitu juga dengan proses perkembangan akal fikiran. (Covey (1992 dan Givens (1993).  
Dari makhluk yang dilahirkan dalam keadaan telanjang, menjadi makhluk yang berpakaian, menciptakan berbagai-bagai alat modern yang ta’ terhingga  macam, ragam dan kegunaannya. Ia menterjemahkan fenomena alam kepada pembangunan kehidupan sebagai fitrah Allah yang menyeruh manusia untuk membaca alam yang tercipta itu.
               Bukan hanya mendapatkan alat-alat modern, tetapi dengan akal dan fikiran itu kita  manusia dapat memperbedakan antara yang baik, dengan yang buruk, yang membawa kebai kan dan kerosakan dalam pembangunan kehidupan. Maka itu manusia hidup menjadi  makhluk bersosial, tolong menolong antara satu dengan yang lain, mengerjakan bermacam-macam kebaikan, yang bermanfaat kepada makhluk lainnya. Hanya kerana kebaikan-kebaikan inilah kita manusia menjadi makhluk paling tinggi dan dapat memakmurkan alam kehidupan.
               Manusia mempunyai identiti yang unik kerana kehadiran fitrah berfikir yang dibekal oleh Allah Subhanhu wa Tala. Fitrah berfikir mempunyai keunggulannya dalam diri manusia. Malah para ulama mengatakan bahawa berfikir itu adalah satu ibadat dan jika budaya berfikir itu sentiasa bertemankan manusia, kelak akan membolehkan insan itu mengenali dirinya dan seterusnya akan membolehkannya mengenali Tuhan.
               Kemahiran berfikir adalah fitrah Allah Subhanahu wa Tala yang memberi kekuatan kepada manusia dari godaan elemen-elemen yang bersifat kekufuran yang akan melemahkan semangat manusia untuk berjuang mencapai wawasan kehidupan yang telah dimuatkan dalam takwim pembangunan.
               Kesyukuran terhadap kehadiran fakulti tersebut menjadi pemangkin diri anda membina semangat untuk berubah yang bakal menjanjikan kecemerlangan manusa dalam membina kehidupan. Antara faktor yang terpenting dalam membudayakan kemahiran berfikir demi mendekatkan kita kepada  Zat yang Maha Pencipta, ialah merenungkan umur manusia di dalam kehidupan sekarang ini.
               Umur manusia adalah satu rahsia besar yang belum sanggup pula kita manusia menyingkap seluruh rahsianya. Sehingga dengan mengenangkan umur manusia itu semakin percayalah kita terhadap Allah, dan akan semakin kokohlah keimanan kita terhadap Tukan.
               Hidup dimulai dengan kelahiran dan diakhiri dengan kematian. Jangka waktu antara kelahiran dan kematian itulah yang dikatakan umur. Ada jangka yang pendik, yang hanya beberapa detik atau beberapa hari saja. Dan ada pula jangka itu yang panjangnya bertahun-tahun sampai berpuluh tahun, bahkan ada yang lebih 100 tahun. Semua makhluk yang hidup
pasti menjadi calun kematian sebagai mengakhiri agendanya di dunia.
               Tidak seorang juga manusia, bagaimana juga ahli dan pintarnya dapat menetapkan panjang atau pendik umurnya manusia lain. Sekalipun seorang ahli yang dapat membuat pesawat atau, namun dia ta’ sanggup menentukan panjang pendeknya umur seseorang
manusia.
               Firman Allah Surah Al-An’aam ayat 2 yang bermaksud:
               “Dialah yang menjadikan kamu daripada tanah, sesudah itu ditentukan-Nya ajalmu dan ajal yang ditetapkan-Nya pada sisi-Nya, kemudian kamu masih juga ragu-ragu.”
               Setelah Allah menerangkan makhluk yang diciptakan-Nya, iaitu langit, bumi dan cahaya, maka diterangkan-Nya pula ayat ini bagaimana manusia itu dijadikan Nabi Adam as.
Diutus-Nya Malaikat Jibril ke bumi supaya mengambil tanah segenggam. Bumi telah berkata
kepada Jibril: “Aku berlindung kepada Allah (aku ta’ mahu) engkau mengambil tanahku.” Jibril pun kembali dan sedikit pun tidak mengambilnya seraya mengadu kepada Allah: “Ya Tuhan, bumi telah berlindung kepada-Mu. Dia tidak mahu aku mengambil tanahnya.”
               Maka diutus-Nya pula Malaikat Mikail supaya pergi ke bumi mengambil tanahnya, tetapi bumi juga tidak membolehkan diambil tanahnya. Ahirnya diutuslah Malakulmaut, bumi juga tidak mahu. Malakumaut berkata kepada bumi: “Aku juga berlindung kepada Allah, aku pun tidak  mahu menyalahi perintah Tuhanku.” Lalu diambilnya segenggam tanah, dicampur-.  kannya tanah-tanah yang berwarna merah, hitam dan putih.
               Oleh sebab itu bermacam-macamlah warna kulit anak-anak Adam. Kemudian diulitnya pula dengan bermacam-macam air. Ada air tawar, ada yang masin dan ada pula yang pahit. Oleh sebab itu bermacam-macam pulalah kelakuan dan pekerti mereka. Kemudian Allah telah berkata kepada Malakumaut: “Jibril dan Mikail berasa belas dan kasihan terhadap bumi, tetapi engkau tidak kasihan kepadanya, maka tidak syak lagi Aku letakkan kuasa mencabut roh dari makhluk yang terjadi daripada tanah ini kepadamu.”
               Keturunan Nabi Adam itu pun asalnya dijadikan daripada tanah juga. Mengikut kata ulama ilmu Tasyrih, manusia itu terjadi daripada “sel mani” lelaki yang bertemu dengan “sel telur” perempuan dalam rahim (kandungannya). Kedua-dua sel ini terjadi daripada darah terjadi dari makanan, dan makanan pula berasal dari benda-benda yang ditumbuhkan oleh tanah atau dari binatang-binatang yang juga hidupnya dari makanan yang ditumbuhkan oleh tanah. Jadi benarlah bahawasanya manusia itu  dijadikan  dari tanah, kemudian akan dikembalikan pula menjadi tanah ketika matinya, bila telah sampai ajalnya. Itulah sebabnya Allah menyebutkan:
“Sesudah itu  ditentukan-Nya ajalmu dan ajal yang ditetapkan-Nya pada sisi-Nya.”
Ajal atau tempoh untuk hidup dan matinya bagi seseorang itu  telah ditetapkan oleh Allah dalam “Lohmahfuz”. Tiada yang mengetahuinya selain Allah,
Kata sesetengah ulama, manusia mempunyai dua ajal:
1.       Ajal dari masa  dilahirkan ke dunia hingga dimatikan.
2.       Ajal dari masa dimatikan hingga dibangkitkan dari kubur pada hari ba’ath, iaitu dalam alam barzakh. Ada pula mengatakan dua ajal itu ialah ajal dalam dunia dan ajal di akhirat.
Namun setelah keterangan-keterangan itu dijelaskan, masih juga ada di antara kamu yang ragu-ragu tentang adanya hari ba’ath atau hari kebangkitan manusia dari kuburnya.
               Manusia sebagai makhluk berakal selalu berfikir menyelidik dan menetapkan kesimpulan-kesimpulan dari apa saja yang difikirkan dan diselidiki itu. Dan berdasarkan atas  kesimpulan  dari pemikirnnya itulah dia bertindak, berbuat dan berlaku dan baiklah segala laku dan perbuatan yang dihasilkan manusia itu. Tetapi bila jalan pemikirannya salah, maka akan salah dan jahatlah segala laku dan perbuatan yang muncul (keluar) dari manusia itu.
               Orang yang jalan pemikirannya benar, sehingga tindak perbuatannya benar dan baik, orang ini dikatakan mendpat hidayat (petunjuk) dari Allah. Sedang orang yang jalan pemiki-
rannya salah, sehingga tindak dan pemikirannya salah dan jahat, bererti tidak mendapat
petujuk dari Allah, tetapi mendapat petunjuk atau pengaruh dari syaitan atau iblis.
               Dengan keterangan yang ringkas ini, dapatlah kita mengetahui betapa tinggi nilai petunjuk atau hidayat dari Allah itu. Nikmat pemberian Allah yang paling penting, yang paling  tinggi , harta kekayaan atau pangkat yang tinggi nilainya yang diberikan Allah kepada kita manusia, bukanlah nikmat atau pemberian yang berupa makanan atau minuman, harta kekayaan atau pangkat yang tinggi, tetapi adalah nikmat atau pemberian yang berupakan hidayat dan petunjuk.
     Sebab itu, hidayat atau petunjuk dari Allah inilah yang harus selalu kita cari dalam hidup di dunia ini, disamping kita mencari harta kekayaan atau pangkat. Apa erti kekayaan atau pangkat kalau hidup kita tersesat, hidup kita bergelmang dengan kesesatan dan kejahatan. 

Friday, December 12, 2014

GAULI UMAT BUDIAN DEMI KEMURNIAN HIDUP DUNIA DAN AKHIRAT



 “Disiarkan pada 13. 12. 2014”
“Orang berbudi kita berbahasa”, membawa maksud, jika kita dihidangkan oleh seseorang dengan tingkahlaku dan perangai yang mulia maka wajar kita diimbali dengan kata-kata yang dibalut dengan kemanisan serta kemuliaan, tatatertib yang sempuna kelak akan melahirkan kasih sayang yang menjemput kemurnian suasana ukhuwah kemanusiaan. 
                Pepatah Melayu mengatakan mengawal kerbau adalah dengan menggunakan talinya tetapi memimpin manusia wajar dengan menggunakan kata-kata lembut yang besifat mulia kelak akan menjemput jiwa mendukung  perasaan kasih sayang. Pembinaan akhlak dan budi perkerti yang unggul menjadi teras kesepaduan umat yang ada pada ciri-ciri keIslaman sebagai cara hidup.
                Membina masyarakat mukmin wajar dengan bibit-bibit bersifat budiman sebab merekalah yang dekat dengan Allah. Sifat Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang, Al-Rahman Al-Rahim, maka ciptaan-Nya wajar meyerupai acuan yang ada pada Sang Pencipta.
Jika kita mendekati orang yang memakai wangi-wangian, jasmani kita turut sama berbauh wangi. Dan kalau kita bergaul dengan orang yang tuturkatanya mulia maka kita akan turut sama membudayakan bahasa yang serupa.
                Bergaul dengan orang yang sentiasa konsisten memegang agamanya, akhlaq kita akan terdidik berbuat demikian tetapi jika bergaul dengan orang yang jauh dari agamanya dan mementingkan keseronokan dunia semata maka lambat laun kita sendiri turut sama berakhlak serupa. Maka itu mendidik jiwa kita mendekati Allah wajar mempelajari akidah Islam yang dibawa oleh baginda Rasul Nabi Muhammad Shallallahu alaihi wasallam.
                Allah Subhanahu wa Tala menciptakan manusia lengkap dengan berbagai fitrah yang membantunya dalam menangani kehidupan. Antara fitrah yang amat penting dalam menter- jemahkan Islam dalam diri kita ialah otak, akal, iman dan kemahiran berfikir. Akal merupakan rasul dalam diri kita maka untuk memahami kerenah-kerenah hidup wajar diletakkan pada peranan akal untuk mentafsirnya mengenai kemanfaatannya dalam pembangunan kehidupan.
                Kenali dirimu sebelum mengenali Tuhan merupakan satu budaya hidup orang-orang budiman. Mereka befikir dan mengkaji mengenai kemanusiaan dan kerohanian di mana menurut mereka berfikir adalah suatu alat untuk mengenali diri sendiri seperti mana yang telah dilakukan oleh Hamzah Fansuri, Abdul Rauf Al-Singkel dan lain ulama’ zaman Acheh, yang mengenali Tuhan, setelah terlebih dahulu mengenali diri sendiri.
                Gauli orang budiman merupakan satu langkah mendekati dan memurnikan hubungan antara Tuhan dengan manusia, makhluk-Nya yang terindah, terbaik dan paling sempurna. Kejadian manusia bermula dengan setitis air yang paling halus. Sesudah 40 hari  berubah menjadi segumpal darah, 40 hari kemudian berubah menjadi segumpal daging, lalu diberi kerangka tulang belulang dan urat syaraf, dan 40 hari kemudian ditiupkan kepadanya roh, sehingga sejak waktu itu  kita berubah menjadi makhluk yang hidup.
                Akhirnya kita dilahir ke dunia, memulakan hidup di alam yang luas ini merupakan anak bayi yang amat kecil dan lemah. Lama kelemahan semakin besar dan kuat, semakin bertumbuh akal dan fikiran, sehingga telah mencapai umur 18 tahun, kita menjadi manusia yang sempurna segalanya. Di antara kita ada yang meninggal di waktu masih muda dan ada pula yang mencapai umur lanjut, sampai 70 atau 80 tahun lebih.
                Semenjak kita berupakan setitis air yang amat halus, sampai kita mati di dalam umur 70 atau 80 tahun  atau lebih, setiap detik dengan tak putusnya, kita selalu dihujani rahmat dan nikmat oleh Tuhan yang menciptakan dan menghidupkan. Tidak pernah satu detik atau seperempat detik sekali pun kita putus dari rahmat Tuhan itu.
                Ribuan macam rahmat dan nikmat Tuhan datang dari  semua arah yang tidak putus-
putus sejak lahir sampai kita mati, Tuhan berikan kepada mu segala rupa keperluan hidup
Firman Allah dalam al-Qur’an Surah Ibrahim ayat 14:34 yang bermaksud:
                “Dan dia memberikan kamu daripada setiap apa yang kami pinta. Dan sekiranya kamu coba menghitung nikmat Allah, sungguh kamu tidak akan sanggup menghitung kerana terlalu banyak, tetapi sayang masih banyak manusia yang zalim, tidak pandai berterma kasih atas nikmat Allah itu.
                Setelah Allah menyebutkan tentang nikmat-Nya yang besar itu dan dimudahkan-Nya bagi kegunaan dan maslahat hamba-hamba-Nya, lalu diterangkan-Nya pula di sini: Bahawa- sanya Allah itu tidak cuma dengan memberikan nikmat itu, bahkan juga mengurniakan kepada hamba-hamba-Nya apa sahaja yang mereka hajati asalkan sahaja mereka meminta kepada-Nya, malahan apa yang tidak  mereka pinta pun dikurniakan juga.
                Allah bukan hanya mencipta kita, tetapi saban detik dari kehidupan kita  Allah selalu  menghubungi kita dengan bermacam rahmat dan nikmat. Allah tidak pernah putus hubungan nya dengan kita.
                Nikmat Allah yang berupakan bumi dengan segala isinya, matahari bulan dan bintang dengan sinarannya, hawa, udara, air, buah-buahan yang menjadi keperluan hidup yang amat penting, adalah sebahagian kecil dari rahmat dan nikmat Allah itu. Apa lagi nikmat yang  berupa kaki, tangan, paru-paru, jantung dan semua bahagian dalam badan kita, yang berupa mata, hidung, otak dan fikiran, jiwa atau roh yang menghidupkan kita, adalah nikmat yang tidak dapat dinilai dengan emas dan perak sekalipun berapa saja banyaknya.
                Semua itu saban waktu dan ketika kita terima dan kita peroleh dari Allah yang menciptakannya, yang kita harus mengingatnya dan jangan sampai dilupakan begitu saja.
Coba kita renungkan dan khayalkan agak sejenak, alangkah susah dan sengsaranya seorang manusia yang ta’ mempunyai kaki atau  tangan. Kalau kita dapati seorang manusia tidak biberi Tuhan kaki atau tangan, itu adalah sebagai contoh dan peringatan kepada semua manusia, agar manusia ingat selalu akan hebat dan pentingnya nikmat Tuhan yang bernama kaki dan tangan itu.
Manusia sekalipun pintar dengan akal dan fikiran, dengan ilmu pengetahuannya, tetapi untuk mereka masih perlu contoh yang berupakan manusia yang cacat ta’ berkaki atau tidak bertangan itu.
Coba renungkan bagaimana sengsaranya manusia kalau tidak punya mata atau telinga, manusia yang buta atau pekak. Tuhan jadikan manusia ada yang buta dan pekak agar kita jadikan contoh, agar kita mengertilah faedahnya mata dan telinga, agar kita dapat merasakan hebatnya nikmat Allah yang bernama mata dan telinga itu.
Coba pula renungkan bagaimana sengsaranya menusia yang dicabut otak dan fikirannya, sehingga dia menjadi orang yang gila atau setengah gila. Kita seakan-akan tidak sampai hati membicarakan sengsaranya manusia yang gila atau setengah gila itu. Kalau Tuhan ciptakan pula manusia yang gila atau setengah gila, adalah sebagai contoh dan peringatan kepada setiap orang yang punya otak dan fikiran, yang tidak gila, supaya dapat menilai nikmat Allah yang bernama otak atau fikiran itu.
Pendik kata, tidak ada satu nikmat dari rahmat Allah yang kecil ertinya, tidak ada pemberian Allah yang rendah nilainya. Semua pemberian Allah mempunyai erti yang penting bagi hidup, mempunyai nilai yang amat tinggi dalam hidup manusia.
Kalau nikmat dan pemberian Allah begitu besar erti dan nilainya, maka sudah selayaknya semua manusia itu  jauh lebih besar erti dan jauh lebih tinggi nilainya.
Tetapi kenapa masih ada manusia yang berakal, yang begitu tinggi memberikan ert dan penilaian terhadap nikmat dan pemberian Allah, tetapi mereka ta’ sedikit pun jua memberi nilai terhadap Tuhan yang  menciptakan semua nikmat dan pemberian itu.
Manusia berakal yang semacam inilah yang dicap oleh Allah dalam ayat al-Qur’an sebagai manusia zalim, iaitu orang yang ganas dan aniaya pula sebagai manusia-manusia kaffar, yang ingkar ta’ tahu budi dan ta’ tahun membalas budi, iaitu yang hanya terbuka mata,
telinga dan mulutnya, tetapi tertutup pintu hati dan kalbunya.
Manusia semacam ini dapat jugalah merasakan sebahagian kecil kebahagian di dunia ini, tetapi tertutup baginya segala macam nikmat dan kebahagiaan di akhirat nanti.
Mencari teman yang baik merupakan satu jenis ibadah yang dianjurkan oleh Islam. Mengapkan para rasul diwujudkan Allah di dunia? Para rasul merupakan utusan Allah Suhanahu wa Tala untuk memimpin manusia  cara hidup yang betul dan mengenali Zat yang menciptanya.
Kehidupan dunia sekarang ini diciptakan Allah bukanlah satu cara penghidupan yang sempurna tetapi satu cara kehidupan yang tidak sempurna, satu kehidupan sementara, penghidupan yang penuh serba macam kekurangan, kekecewaan dan lain-lain sebagainya.
Perhatikanlah penyataa-penyataan Allah dengan perantaraan Kitab Suci-Nya Al-Qur’an dan Rasul-Nya Muhammad Sallallahi alahi wasallam.
Al-Imran ayat 3:185 – 186 yang bermaksud:
“Tiap yang berjiwa akan mengalami mati, dan tidak akan disempurnakan ganjaran kamu, kecuali pada hari kiamat. Kerananya, barang siapa dijauhi dari Neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga, maka selamatlah dia. Sedang penghidupan dunia ini tidak lain hanya benda tipuan saja.”
                Tiap-tiap nyawa atau jiwa seseorang itu akan merasakan bagaimana dia bercerai dari jasadnya, atau yang dinamakan mati. Sebenarnya nyawa itu tidaklah sekali-kali mati dengan sebab matinya tubuh badan atau jasad. Sebab yang merasakan itu, sesuatu yang masih wujud (ada)  sedang yang mati (tidak ada) tentu tidak dapat merasakan. Jadi nyawa itu kekal hidup, dan penceraiannya dari tubuh badan bagi seseorang itulah yang dinamakan mati. Dan kematian itu  mesti dirasai oleh tiap-tiap yang bernyawa.
                Upah dari amalan kamu – sama ada baik ataupun buruk – bakal diberikan oleh Allah pada hari kiamat. Malah kadang-kadang di dunia ini pun pernah upah itu dapat diterima secara tunai dengan tidak tertangguh-tangguh lagi. Dan sebelum menjelang datangnya hari kiamat, telah disongsong terlebih dahulu oleh peristiwa-peristiwa lain – sebagai pendahulun – yang akan diterimanya  di dalam kubur.
                Hal tersebut telah dikuatkan oleh kenyataan sebuah hadis marfu’ yang dikeluarkan oleh at-Tirmidzi dan at-Tobari berbunyi: Kubur itu merupakan taman dari taman-taman syurga, atau lubang dari lubang-lubang neraka.
                Di dalam kubur, roh orang yang baik itu akan merasakan kenikmatan syurga,  dan roh orang yang jahat pula akan merasakan seksa neraka.
                Orang yang dapat menghindarkan dirinya dari terkena seksa lalu berusaha untuk memperoleh pahala, berjayalah ia. Jelasnya, Allah itu ada menyediakan syurga dan neraka pembalasan amalan-amalan manusia. Dan manusia itu tidak dapat memasuki syurga sebelum ia menjauhkan dirinya – terlebih dahulu – dari neraka. Yang bermakna: Sebelum dapat mengalahkan nafsu kebinatangannya yang sentiasa mengajaknya ke neraka, maka selama itu sukarlah baginya untuk memasuki syurga, dan dengan demikian payahlah ia akan terselamat atau memperolehi kejayaan.
                Kelezatan hidup yang lahir – seperti makan, minum dan bersuka-sukaan – begitu pula kelezatan hidup yang batin seperti kebesaran, ketinggian pangkat dan kekuasaan, semuanya itu dapat memperdayakan manusia. 
                Manusia yang sedang menikmati kelezatan-kelezatan hidup yang seperti itu biasanya akan terlena, hanyut dibawa oleh arus kelezatannya, asyik dengan menuruti nafsu dan selera nya. Hendaklah manusia itu menyedari bahawa semua kelezatan dan kemewahan hidup itu tidak dapat dijamin boleh memberikan kepuasan sepenuhnya. Jika diturutkan kemahuan nafsu, sememangnya nafsu itu tidak mengenal puas selama-lamanya. Kerana setiap ia merasa kan kelezatan, dicarinya bagi tambahannya. Dan setiap ia mengecap kemewahan, dicarinya lagi hingga tidak ada kesudahan.
                Ayat ini mengingatkan manusia, manakala menikmati kelezatan hidup dan kemewa
hannya, janganlah lupa akan kedudukannya sebagai manusia yang mesti memperlengkap dirinya dengan serba serbi ilmu pengetahuan, dan menghiasi dirinya dengan budi pekerti yang mulia serta akhlak yang tinggi. Kerana manusia itu bukanlah jenis haiwan yang mudah diperdayakan oleh kelezatan atau dikalahkan oleh kemewahan.

Friday, December 5, 2014

KHUSYUK DAN TAWADUK KESEMPURNAAN IBADAH

 (Disiarkan pada 6. 12. 2014)
Dalam melaksanakan ibadah kerana Allah seseorang itu memerlukan dua fakulti dalam dirinya sebagai hamba Allah. Orang yang mendirikan solat disiplin kekhusyukkan amatlah diperlukan. Khusyuk bermaksud  dengan punuh tumpuan kepada ibadah yang dilaksanakan. Mendirikan solat, tumpuan atau concentration dalam minda kita ialah Allah Subhanahu wa Tala.
Tawaduk adalah satu daripada sifat yang terpuji iaitu merendahkan diri, tidak sombong, tidak membesarkan diri, tidak angkuh. Pemimpin yang baik dan berwibawa wajar mempunyai akhlak yang bersifat  tawaduk. Abu bakar, sahabat Rasul Nabi Muhammad shallallhu alahi wasallam adalah pemimpin yang mempunyai sifat rendah diri atau tawaduk terhadap rakyat di bawah pimpinannya.
Setelah dia dipilih menjadi pemimpin (Khalifah) beliau berpidatuk di hadapan orang-orangnya dan menyampaikan amanat yang berunsur tawaduk. “Saya telah dipilih oleh kamu menjadi pemimpin tuan-tuan. Jika saya lari dari kepimpinan yang adil tegur saya dan jika saya laksanakan tuga saya dengan adil dan saksama sokong saya”.
Begitulah sifat pemimpin yang tawaduk. Dia tidak meloncat  tinggi dan merasa sombong malah perasaan rendah diri semakin memuncak kerana ia memikirkan bahawa menjadi pemimpin adalah satu tanggungjawab yang berat. Kalau mengikut hatinya, ia tidak mahu menjadi pemimpin tetapi oleh kerana kecintaannya kepada rakyat yang inginkan kepimpinannya maka dia menerima tugas dengan penuh keikhlasan.
Pemimpin yang amat berwibawa dan cintakan kepada rakyatnya berkata: “Kalau rakyat saya  kaya biarlah saya orang yang terakhir merasa kenyang; tetapi jika rakyat saya jatuh miskin biarlah saya orang yang pertama merasa kelaparan”. Inilah sifat tawaduk atau rendah diri. Dia meletakkan dirinya sebagai orang yang terakhir merasa kenikmatan dalam menempuhi kekayaan dan mendahului rakyatnya dikalah kesusahan melanda kehidupan mereka.
Orang yang melaksanakan ibadah solat adalah orang yang tawadhu kerana Allah Subhanahu wa Tala. Dalam diri seseorang itu bahagian kepalalah yang amat kita sayangi dan hormati kerana disitulah letaknya organ otak sebagai pusat pemprosessan maklumat. Dalam erti kata lain organ otak adalah CPU atau central Processing Unit dalam kehidupan manusia.
Jika bergurau dengan kawan ia memukul tangan kita, masih kita senyum; dipukul belakang kita masih kita bersabar. Tetapi dipukul kepala kita jangan coba-coba! Kerana bahagian kepalalah yang kita jaga dan kita sayangi benar kedudukannya dalam badan kita. Tetapi semasa mendirikan sembahyang kepada Allah Subhanahu wa Tala kita sujud dengan meletakkan kepala kita sama rata dengan telapak kaki, Allahuakbar, tiada yang lebih besar, lebih tinggi kekuasaannya dan lebih disayangi dan dihormati selain kekuasaan Allah Subhanahu wa Tala. 
Dalam diri seseorang yang mendirikan solat paling penting ialah kekhusyukkannya kepada Allah. Pada kebiasaannya semasa mendirikan solat minda kita sukar memberi tumpuan  kepada yang disembah kerana sibuk melihat dengan mata hati kita pengalaman yang telah dilalui sebelum mendirikan solat. Orang yang boleh mengawal mindanya dan hanya khusyuk kepada Zat Yang Maha Berkuasa adalah orang yang mempunyai iman yang mantap.
Kekhusyukan dalam melaksanakan ibadah sewajarnya telah berjaya menutup pancaindera yang lain seperti pendengaran, perasaan pada sentuhan, penglihatan, menghidu dan sebagainya. Pendengaran, penglihatan dan menghidu merupakan fakulti iman yang kalau dapat dikawal semasa mendirikan solat, hubungan kita dengan Allah Subhanau wa Tala dapat dimanfaatkan.
Penglihatan dan pendengaran merupakan dua fakulti iman yang amat sukar dikawal semasa mendirikan solat. Deria-deria tersebut mudah menggugat tumpuan kita dalam sembahyang kerana kedua-duanya mempunyai hubungan yang rapat kepada pemikiran kita. Penglihatan mempunyai dua salurannya seperti melihat kepada pengalaman dengan menggunakan mata hati kita atau pemikiran dan kedua melihat kepada yang disaksikan semasa solat dengan menggunakan mata kepala sendiri.
Kadang-kadang kita mendengar orang berkata: “I see but I don’t look”, membawa maksud dia nampak tetapi tidak melihat. Orang yang dalam kekhusyukan, matanya nampak sesuatu tetapi sebenarnya dia tidak melihat. Maklumat yang dipandang oleh mata tidak dapat disalurkan kepada otak untuk diproses maklumatnya kepada mata maka itu tidak sampai kepada kefahaman mengenai apa yang dipandang oleh mata.
Begitu juga dengan sentuhan pada perasaan. Jika orang itu dalam kekhusyukkan memikirkan tentang sesuatu maka apa yang dirsentuh oleh kulit badannya, perasaan itu tidak sampai maklumatnya kepada otak untuk diproses. Maka dia tidak merasai apa yang menyentuh badannya.
Sayidina Ali a.s. pada suatu ketika mengalami penyakit bisul dalam badannya di bahagian belakang. Ia tidak memecakan bisulnya sebab beliau kurang mampu menahan kesakitan. Maka itu ia meminta rakannya untuk memecanya semasa beliau mendirikan solat. Beliau memilih masa yang dia sedang khyusuk solat kerana pancaindera pada sentuhan tertutup kerana otaknya menumpukan kepada Allah Suhanahu wa Tala yang disembah sahaja. Maka itu orang yang mendirikan solat wajar khusyuk memikirkan Allah agar solatnya bermanfaat.
Allah berfirman dalam Al-Qur’an ayat 23:1-2 yang bermaksud: “Benar-benar telah beruntung orang-orang yang beriman (iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solat mereka).”
               Khyusuk  dimaksudkan “merendah diri dan merendah hati”. Dia mempunyai dua pengertian, iaitu pertama pada segi perbuatan hati yang tidak nampak. Kedua pada segi perbuatan anggota lahir yang nampak.
Adapun sehabis-habis khusyuk di dalam sembahyang ialah orang yang merendah diri kepada yang disembah dan hatinya sedikitpun tidak terlintas untuk mengingati yang lain kecuali Allah semata-mata, yakni ingatannya hanya tertumpu kepada Allah. Inilah perbuatan hati.
Adapun merendah diri atau khusyuk dengan perbuatan anggota lahir pula, iaitu semasa sembahyang dia tidak  menoleh-noleh, tunak sahaja (tidak bergerak) tidak memejamkan mata, hanya memandang ke tempat sujudnya, hinggalah tidak menyedari siapa yang ada di kanan dan di kirinya. Maka khusyuk yang sebaik-baiknya, ialah yang meliputi kedua-duanya sekali, iaitu segi perbuatan hati dan perbuatan anggota lahir.
Dalam hubungan ini Aisyah telah meriwayatkan katanya: Saya bertanya kepada Rasulullah Shallallahi alaihi wasallam berkenaan menoleh-noleh di dalam sembahyang, Baginda menjawab: “Itu curi pandang dari perbuatan syaitan semasa seorang hamba itu sedang sembahyang”.
Daripada Abu Dzar pula meriwayatkan, bahawa Nabi Shallallhi alaihi  wasallam telah bersabda:
“Allah masih lagi berhadap-hadapan dengan seorang hamba yang sedang dalam sembahyang selagi hamba itu tidak menoleh. Maka apabila menoleh, Tuhan akan berpaling daripadanya”.
Firman Allah dalam al-Qur’an surah Taha ayat 20:14 yang bermaksud:
“Sesungguhnya  Aku ini ialah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Aku, oleh sebab itu  sembahlah Aku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Aku.”
Di sini Allah menjelaskan apa yang penting sekali di dalam wahyu yang disampaikan kepada Nabi Musa iaitu, mula-mula yang wajib atas orang mukallaf ialah mengakui serta mengetahui bahawasanya tidak ada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apapun.
Begitu pula dirikanlah sembahyang mengikut peraturan yang Aku perintahkan kepadamu dengan sempurna syarat rukunnya, dan gunanya sembahyang itu ialah untuk mengingat Aku dan memohon kepada-Ku apa yang engkau hajati dengan ikhlas – tidak bercampur perbuatan syirik atau ditujukan kepada yang lain.
Dikhaskan sebutan sembahyang dari lain-lain ibadat di sini, kerana sembahyang itu mempunyai kelebihan daripada yang lain. Sebab di dalam sembahyang, orang dapat mengingati Tuhan yang disembah, dan melupakan segala ingatan yang ada di dalam hati. Seterusnya sembahyang itu jika diamalkan akan dapat mencegahkan seorang daripada perbuatan keji dan yang salah.
Khusyu’ dalam solat merupakan kesempurnaan amal ibadah seorang mukmin. Ketahui lah sesunggunya ada riwayat, bahawa yang petama kali dilihat dari amal seorang hamba besok hari kiamat adalah solat. Apabila solatnya ditemukan  sempurna, maka diterimalah solat itu  dan seluruh amalnya yang lain. Tetapi apabila solatnya ditemukan kurang sempurna dikembalikanlah solat itu kepadanya dan seluruh amalnya yang lain. Nabi Muhammad Shallallahu alaihi wasallam bersabda:
“Perumpamaan solat maktubah adalah seperti timbangan. Sesiapa yang memenuhi solatnya, akan dipenuhi timbangan itu.”
Baginda mengisyaratkan tentang kekhusyukkan, “Allah tidak akan melihat seorang hamba besok hari kiamat yang tidak meluruskan, menegakkan tulang punggung di antara ruku dan sujudnya,” Nabi Muhammad Shallallahu alaihi wasallam bersabda:
“Sesiapa yang solat pada waktunya, menyempurnakan wuduk dan rukunya, sujud dan kekhusyukkannya, maka  solat itu diangkat ke langit dalam keadaan terang cemerlang.”
Solat itu berkata, “Mudah-mudahan Allah memeliharamu sebagaimana engkau telah memeliharaku”. Dan sesiapa yang solat tidak pada waktunya, tidak menyempurnakan wuduknya dan tidak menyempurnakan rukuk, sujud, dan kekhusyukkannya, maka solat itu diangkat dalam keadaan gelap dan hitam kelam. Solat itu berkata, “Mudah-mudahan Allah mensia-siakanmu sebagaimana kamu telah mensia-siakanku.
Solat adalah tempat bekhudu’an (ketenangan semua anggota tubuh) dan sumbur tawaduk dan khusyu’. Semua ini adalah ciri solat diterima. Kerana untuk sah  dan diterimanya solat itu ada syaratnya. Syarat sahnya adalah melaksanakan kewajipan solat itu, sedang syarat diterimanya solat adalah khusyu’.
Ahli makrifat mengatakan, “Solat itu ada empat syarat hal, melaksanakannya dengan ilmu, berdiri dengan rasa malu, menunaikannya dengan disertai sikap mengaggungkan dan keluar darinya dengan disertai rasa takut.” Sebahagian Masyayikh berkata, “Sesiapa yang tidak membulatkan hatinya dengan sungguh-sungguh maka rosaklah solatnya.” Dan Nabi Muhammad Shallallahu alaihi wasallam bersabda:
“ Di dalam syurga terdapat sebuah sungai yang disebut Alfiyah, di dalamnya terdapat bidadari-bidadari yang diciptakan Allah dari za’faron.”
Mereka mempermainkan mutiara dan yaqut serta membaca tasbih kepada Allah dengan tujuh puluh ribu bahasa. Suara  mereka lebih merdu dari suara Nabi Daud as. Mereka berkata, “Kami diperuntukkan bagi orang yang mengerjakan solatnya dengan khusyu’ dan kehadiran hati.” Allah lalu berfirman,
Dikatakan sesungguhnya ramai orang yang melakukan solat tetapi orang yang khusyu’ di dalam solatnya adalah sedikit. Ramai orang yang beribadah haji tetapi yang berbuat baik hanya sedikit. Dan ramai orang yang alim, tetapi sedikit yang beramal. Allah Subhanahu wa Tala berfirman:
“Benar-benar beruntung orang-orang yang beriman. Orang-orang yang khusyu’ di dalam solatnya.” (Al-Mukminu: 23:1-2)
Allah Subhanahu wa Tala berfirman:

               “Sesungguhnya Allah hanya menerima solat dari orang-orang yang bertakwa”. (Al-Maidah 5:27).