Friday, August 26, 2016

KASIH SAYANG INTIPATI BERMASYARAKAT DALAM KONSEP ISLAM

 (Disiarkan pada 26 . 8. 2015)
               Rasulullah SAW, bersabda, “Tidak akan masuk syurga kecuali orang penyayang.” Baginda juga bersabda, “Orang yang penyayang itu bukan orang yang hanya menyayangi dirinya sendiri, tetapi orang yang menyayangi dirinya dan orang lain.” Erti sayang kepada dirinya sendiri ialah menyayanginya agar terhindar dari seksa Allah.
Dengan meninggalkan maksiat kepada Tuhan, taubat dari maksiat itu dan mengerjakan taat dengan ikhlas. Sedang erti sayang kepada orang lain ialah tidak menyakiti muslim lain.* (*Dipetik dari kitab Mukashafah Qulub yang ditulis oleh Imam Al-Ghazali yang bertajuk “Penenang Jiwa Pengubatan dan Rawatan)
               Orang yang mempunyai sifat kasih sayang dalam hatinya terhadap sesuatu, bermakna hidupnya sentiasa dekat dengan Allah, kerana kewujudan sesuatu itu adalah kerana Allah yang Maha Berkuasa maka semestinya ada kemanfaatnya dalam hidup. Dalam kontek bermasyarakat sewajarnya yang membina kesatuan masyarakat itu ialah perasaan kasih sayang dari ahli-ahli yang membentuk masyarakat tersebut.
               Membentuk masyarakat lewat budaya ukhuwah kemanusiaannya merupakan hasil kesatuan dan persatuan pada setiap jiwa manusia. Hubungan antara sesama insan diwajibkan oleh Islam dalam fenomena bermasyarakat kerana nadi pembangunannya ialah kerana Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Orang yang menyantuni perasaan penyayang terhadap orang lain berupakan ibadah kerana Allah.
               Kasih sayang Allah s.w.t. menjadikan mereka sebagai saudara yang saling mencintai, bersatu dan saling menolong, saling berhubungan dan saling berbalas kasihan. Maka Allah s.w.t. berfirman dalam surah Al-Hujurat ayat 49:10 yang bermaksud:
               “Sesungguhnya orang Mukmin besaudara.”
               Orang Mukmin hanya bersaudara dengan orang mukmin, dan persaudaraan yang hakiki adalah pesaudaraan atas dasar kesamaan iman. Maka tidak ada persaudaraan yang benar tanpa iman dan tidak ada iman yang benar tanpa rasa persaudaraan terhadap orang-orang beriman dan melaksanakan hak-hak terhadap mereka. Maka persaudaraan dan keimanan adalah dua hal yang tidak dapat dipisahkan, dan  menyayangi orang-orang mukmin adalah tanda benarnya keimanan. Hal ini merupakan pengukuh kecintaan Allah s.w.t. berfirman dalam surah Al-Maidah ayat 5:55-56 yang bermaksud:
               “Sesungguhnya penolong kamu hanylah Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan solat dan menunaikan zakat seraya mereka tunduk kepada Allah. Dan barang siapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang beriman sebagai penolong nya maka sesunghnya pengikut agama Allah itulah yang pasti menang.”
               Kerjasama adalah suatu faktor untuk meningkatkan kehidupan bermasyarakat ditingkat yang tinggi atau ke tingkat kemewahan bersama. Tamadun moden mendapati kerjasama ini sangat penting. Oleh demikian diadakan berbagai-bagai institusi kerjasama pada setiap bandar. Dan ini jelas menunjukkan betapa penting wujud kerjasama itu untuk kebahagian individu dan untuk kebahagian masyarakat.
               Asas kerjasama ini disebut dalam al-Quran surah Al-Ma’idah ayat 5:2 yang bermaksud:
               “Bertolonglah kamu kepada kebaikan dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada  perkara dosa dan permusuhan.”
               Allah menyeru umat Islam itu hendaklah antara satu sama lain bertolong-tolongan dalam  perkara kebajikan, iaitu segala kerja yang baik dan membawa faedah kepada masya rakat, dan bertolong-tolongan dalam kebaktian, iaitu beramal yang baik yang menghubungi jasa – sesuai dengan  yang diperintahkan oleh Allah dan jauh dari apa yang ditegah-Nya.
               Dan Allah melarang bertolong-tolongan dalam perkara maksiat yang mendatangkan dosa, demikian pula dalam perkara permusuhan dan melanggar hukum. Jika seruan ini dipegang, dan dilaksanakan sepenuhnya dalam hubungan bermasyarakat, maka akan tercipta
lah kusucian, kebahagian dan perdamaian dalam perhubungan umat manusia.
               Al-Qur’an menyuruh umat Islam supaya berkerjasama dalam membuat kebaikan dan takwa. Kebaikan atau Al-Birru daripada segi bahasa boleh membawa pengertian: “pemberian, taat, benar dan membuat damai”. Jadi al-Birru merupakan suatu kalimah yang banyak mengandungi sifat-sifat baik. Sedangkan takwa itu pula ialah takutkan Allah dan beramal dengan patuh kepada-Nya.
               Jadi al-Birru dan at-Taqwa ialah kerjasama kepada setiap perkara yang dapat menghasilkan kebaikan sama ada ianya berkerjasama untuk mendapatkan kebahagiaan di akhirat atau kerjasama bagi kemajuan umat seperti membina sekolah, hospital, tempat-tempat perlindungan atau kerja-kerja amal yang lain.
               Dalam bahagian kedua dari ayat di atas, ditegah berkerja sama dalam perkara-perkara dosa dan permusuhan. Ithmun dari segi bahasa ialah kerja-kerja yang hina. Sedang permusuhan (‘udwan) ialah kezaliman. Temasuk dalam dosa dan permusuhan ialah setiap kerja yang mendatangkan keburukan kepada individu atau masyarakat.
               Sesiapa yang mengamati ayat al-Qur’an akan dapat melihat bahawa ayat al-Qur’an bukan sahaja menyeruh manusia supaya berkerjasama dalam hal al-biru dan takwa, malah al-Qur’an juga memberi amaran jangan berkerjasama untuk melakukan maksiat dan perkara-perkara kemuderatan.
               Jadi kerjasama yang sebenar yang diturunkan oleh Islam ialah kerjasama untuk kebahagian individu dan masyarakat dan kerjasama yang apabila dilakukan oleh masyarakat akan menimbulkan perdamain di kalangan mereka.
               Antara sifat mulia yang patut ada pada manusia ialah sifat ithar, yang banyak mem- bawa kebaikan kepada manusia. Ianya sentiasa menjadi lambang kepada orang-orang yang berjiwa besar yang berusaha untuk kebajikan umat manusia.
               Pengorbanan atau ithar mempunyai kesan besar dalam memperkukuhkan kaih sayang di kalangan anggota masyarakat. Menjadikan mereka berperasaan tolong menolong. Inilah kebahagian yang dibawa oleh ithar kepada tuannya. Salah satu penemuan yang penting yang ditemui oleh ilmu jiwa moden ialah “kebahagian tidak akan diperolehi tanpa pengorbanan oleh seorang untuk kebaikan.”
               Al-Quran menyeru kepada ithar serta memuji orang-orang yang bersifat demikian. Fiman Allah dalam surah Al-Hasyr ayat 59:9 yang bermaksud:
               “Dan mereka mengutamakan (orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan
siapa yang dipelihara dari kekirian dirinya, maka itulah orang-orang yang beruntung.”
               Allah memuji orang-orang Ansor serta menerangkan kelebihan dan kemuliaan mereka. Mereka itu ialah orang-orang yang telah sedia mendiami kota Medinah dan menetap di sana serta  telah beriman dengan Allah dan rasul-Nya sebelum kedatangan Nabi Muhammad saw. dan kaum Muhajirin ke Medinah dengan mempunyai keimanan yang tulus ikhlas. Mereka  mencintai saudara-saudara mereka daripada kaum Muhajirin dan menggembirakan hati kaum Muhajirin itu dengan memberi sebahagaian hartanya  kepada mereka  serta mengajak mereka tinggal serumah bersama-sama.
               Dan kaum Ansor itu sedikit pun tidak menaruh keinginan di dalam hati ataupun sifat dengki terhadap apa yang dikurniakan daripada harta Ghanimah kepada kaum Muhajirin. Mereka adalah golongan kaum Mukminin yang kedua
Kata para Mufasirin: Bahawasanya Rasulullah (s.a.w.) telah membahagikan harta rampasan perang kaum Bani Nadhir kepada kaum Muhajirin sedangkan kaum Ansor sedikit pun dari harta tersebut tidak yang diberikan kepada mereka, kecuali 3 orang daripada kalangan mereka, sedang hati orang-orang Ansor itu merasa senang dengan pembahagian Rasulullah (s.a.w.) tersebut.
Malahan kaum Ansor lebih megutamakan orang lain dengan pemberian harta tersebut
daripada diri mereka sendiri, serta di dalam hati mereka tidak ada perasaan mengingininya sekalipun mereka sebenarnya sangat berhajat kepadanya. Sikap mengutamakan orang lain itu bukanlah menunjukkan mereka tidak berhajatkan kepada harta tapi sebenarnya mereka adalah juga orang yang berhajat. Hal ini menunjukkan besarnya pengorbanan mereka dengan mendahulukan orang lain daripada kepentingan diri sendiri.
Dan barang siapa yang dipelihara lokek dan kikir disebabkan rakus dan tamak yang merupakan suatu naluri dan sifat semulajadi pada diri seseorang – maka siapa yang dipelihara  oleh Allah daripada sifat-sifat yang  tercela itu – kata Tuhan, maka mereka itulah orang-orang yang beruntung.
Kata Ibnu Umar: Bukanlah yang dikatakan lokek itu orang yag menahan hartanya, hanyasanya lokek itu ialah orang yang tamak matanya memendang kepada apa yang tidak dimilikinya. Dalam hadis disebut:
“Takutlah oleh kamu sifat kikir. Kerana sesunguhnya dia telah membinasakan orang-
orang yang ada sebelum kamu. Didorongnya mereka supaya menumpahkan darah mereka
(berbunuh-bunuhan) dan supaya menghalalkan apa yang haram atas mereka.         
         Jika anda ikuti masalah-masalah yang timbul disekitar keluarga dan masyarakat, anda  pasti akan melihat  bahawa dalam banyak keadaan ianya  perpunca dari percakapan yang buruk yang dikeluarkan oleh seseorang tanpa berfikir.  Percakapan seperti ini sering membawa kepada pergaduhan.
               Percakapan yang baik menjadi punca besar untuk mencapai kejayaan dan untuk mencapai suatu masyarakat yang maju. Dengan sebab itulah kita lihat sifat itu mendapat perhatian para pendidik. Mereka menyeru seorang supaya sentiasa bercakap baik. Penggunaan percakapan yang baik serta penggunaan dailek bahasa yang betul akan menjadikan seseorang itu dikasihi oleh masyarakatnya. Ini memberi peluang kepadanya untuk mendapat kawan yang lebih ramai yang akan bersedia memberi pertolongan kepadanya, dan juga  memberi kemungkinan kepada orang-orang itu untuk mencapai kejayaan dalam  pekerjaannya.
               Al-Quran menyeruh orang-orang mukmin supaya menggunakan percakapan yang baik. Firman Allah dalam surah Al-Isra’ ayat 17:53 yang bermaksud:
               “Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku (supaya)  mereka mengucapkan kata-kata yang lebih baik. Sesungguhnya syaitan itu merosakkan hubungan di antara mereka, sesung guhnya syaitan itu  bagi manusia adalah musuh yang nyata.”
               Allah mengajurkan kepada orang-orang Mukmin apabila menghujah orang-orang yang menentang mereka dan yang  mendebat mereka, hendaklah diajak berhujah dengan cara yang lemah lembut. Jangan mengelurkan kata-kata yang kasar, atau mencaci atau memaki. Dengan mengucap kata-kata yang baik, tetaplah akan menarik dan menawan hati orang hingga dapat dimenangi, kerana mereka akan berpuas hati. Lebih-lebih lagi dengan orang yang musrik
               Bandingan ayat ini samalah dengan ayat  dalam surah an-Nahl ayat 18:125 yang bermaksud:
               “Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu (agama Islam)dengan kebajiksanaan dan pengajaran yang baik, dan ajaklah mereka bermujahadah (berbahas) dengan cara yang lebih baik.”
               Adalah diriwayatkan bahawa ayat 53 ini telah diturunkan untuk ditunjukkan kepada Sayidina Umar Ibnul Khattab, manakala dia dimaki oleh seorang laki-laki maka Sayidina Umar pun memakinya pula lalu hendak membunuhnya.  Perbuatan itu hampir menimbulkan fitnah, maka Allah turunkan ayat ini.
               Kemudian Allah menyatakan: Sesungguhnya syaitan itu merosakkan hubungan di antara mereka.
               Syaitan kerjanya merosakkan hubungan di antara orang-orang Mukmin dengan orang-orang musyrik, dan membangkitkan permusuhan di kalangan mereka.
               Itulah sebabnya Nabi (saw) menegah manakala dilihatnya seorang lelaki mengacu-
acukan sebatang besi kepada saudaranya sesama Muslim, diingatkannya bahawa syaitan itu akan menikam menerusi tangan orang itu, dan boleh jadi akan mengeniayanya.
               Hal tersebut telah dijelaskan dalam sebuah hadis riwayat Ahmad daripada Abu Hurairah. Ia mengatakan bahawa Rasulullah (s.a.w.) telah bersabda:
               “Janganlah seseorang kama mengacu-acukan sebuah senjata kepada saudara saudaranya, kerana dia tidak  tahu boleh jadi syaitan akan menikamkan dengan tangannya, yang menyebabkan dia termasuk ke dalam lobang neraka.”
               Jasa yang baik dan budi yang tinggi, kita harus beroleh kehormatan dari sesama manusia. Kehormatan dan pandangan orang kepada kita dapatlah menimbulkan kegiatan hati berusaha membuat yang lebih indah dan bagus. Tetapi kita melangkah dan berhasil, akan ada sahaja orang yang dengki. Maka timbulah yang sangat sayang dan sangat benci. Orang yang benci, makanya benci lantaran diakuinya lebih dahulu kemuliaan dan kehormatan kita. Kepercayaannya bukan kerana kita tidak patut dihormati. Kebenciannya ialah hendak memungkiri kehormatan kita itu.

               Sebab itu hendaklah selalu diusahakan supaya budi  bertamah tinggi. Kehalusan dan kertinggian budi akan menambah jumlah yang sangat sayang dan yang sangat benci tadi. Lantaran menjaga kehormatan dan lantaran menjaga serangan yang bertubi-tubi timbullah perjuangan yang  sengit, mempertahankan kehormatan sambil menjaga budi pekerti.

Friday, August 12, 2016

BERMASYARAKAT MEMAKMURKAN KEHIDUPAN

 (Disiarkan pada 12. 08. 2016)
               Hidup bermasyarakat tunggak keperibadian ummah. Hidup itu menyeronokan kerana kehadiran orang lain. Manusia diwujudkan Allah menyantuni perasaan kasih sayang kerana Allah. Perasaan kasih sayang merupakan faktor utama dalam melahirkan keluarga bahagia kelak membentuk masyarakat yang berwawasan.
Dimana sahaja kita hidup memerlukan kehadiran orang lain atau semestinya ada masyrakat. Tanpa kehadiran orang lain yang akan membentuk masyarakat, sukar merasakan kenikmatan hidup ini. Walaupun kita hidup di syurga Allah tanpa teman, kurang menyeronok kan seperti halnya manusia pertama, Nabi Adam a.s..
Dia tidak dapat merasakan kemanisan hidup seorang diri, walaupun hidup di syurga Allah yang semuanya disediakan apa sahaja yang dia ingini. Pada mulanya, kesunyian hidup  Adam, dapat diselesaikan Allah dengan mewujudkan seorang teman yang diciptakan dari bahagian diri Adam sendiri. Allah  wujudkan seorang wanita dari bahagian diri Adam sendiri, iaitu dari tulang rusuknya sebelah kiri.
               Oleh sebab, asal temannya itu dari dirinya sendiri maka bertambahlah perasaan kasih sayang atau cinta antara sesama manusia khususnya lelaki dan wanita dalam membentuk masyarakat bahagia. Adam, oleh Allah diijabkabulkan menjadi sepasang suami isteri dengan Siti Hawa  setelah Adam terlebih dahulu menunaikan emas kahwinnya kepada Siti Hawa.
Oleh sebab Adam tidak ada sesuatu yang boleh dijadikan sebagai mas kahwin maka Allah perintahkan Adam mengucap salawat Nabi - Allahuma salih ala saidina Muhammad wala alihi saidina Muhammad. Orangnya belum wujud lagi tetapi namanya sudah dijadikan mas kahwin kepada perkahwinan manusia pertama.
Dari zuriat nabi Adam maka manusia mula berkembang membentuk masayarakat lewat pernikahan disebabkan naluri cinta yang ada pada setiap manusia sama ada lelaki atau perempuan menjai fitrah. Cinta lelaki pada seorang wanita adalah  fitrah disebabkan si lelaki ingin benar mendapatkan bahagian dirinya yang hilang, kembali semula; manakala cinta wanita kepada lelaki adalah wanita ingin benar kembali semula kepada asalnya. Maka demikianlah asal usul mengapa perasaan cinta itu wujud pada setiap manusia yang menggalakkan manusia untuk mendapatkan pasangan hidupnya.
               Dalam hidup bermasyarakat banyak manfaat yang kita dapat perolehi lewat hubungan ukhuwah kemanusiaan. Manusia banyak keindahan hidup yang merupakan fitrah Allah dapat kita perolehi lewat hubungan kemanusiaannya. Oleh sebab manusia diwujudkan Allah dalam dua unsur, rohani dan jasmani maka manusia mendapat manfaat dari kedua-dua unsur tersebut.
               Dari segi jasmaninya kita dapat merasakankan keenakan dalam pergaulan serta kerjasama dalam semua urusan sama ada dari segi sukan atau muamalah lainnya. Manakala dari segi rohani pula kita dapat menikmati manisnya iman kepada Allah serta kasih sayang antara sesama manusia. Satu buah dalam pergulan yang dapat kita nikmati yang amat tinggi nilainya di sisi Allah ialah merasa cinta kepada amal ibadat kita lewat hubungan dengan Allah, habluminallah dan juga hubungan dengan sesama manusia, hablum minannas.
               Hidup bermasyarakat akan dapat kita membina solidaritas sosial kelak menghidupkan suasana falsafah persaudaraan sejagat. Fenomena falsafah ini wujud sejak bapa manusia  pertama lagi iaitu Nabi Adab a.s. Tidak ada yang dibanggakan dalam hidup ini kerana semua kita adalah dari keturunan yang sama dan mempunyai idologi yang serupa yang telah diwujudkan Allah sejak kewujudan manusia.
Berlakunya perbezaan antara sesama manusia ialah dari roman mukanya. Ada warna kulitnya kekuning-kuningan langsat; manakala lainnya bercahaya putih dan tidak kurang pula yang berwarna hitam legam. Semua jenis warna kulit  manusia itu telah diwujudkan Allah s.w.t. atas dasar Allah ciptakan manusia daripada tanah. Tanah yang mempunyai berbagai warna, seperti putih, hitam, kekuning-kuningan langsat dan sebagainya.Tetapi semua manusia adalah  sama hanya yang membezakan kita ialah ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. Allah berfirman dalam Al-Qur’an surah Hujerat ayat 49:13 yang bermaksud:
“....Sesungguhnya orang yang termulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertakwa.”
Kewajipan manusia sebagai pemakmur alam kehidupan merupakan satu agenda yang perlu ditangani oleh setiap insan sebagai ahli dalam membina masyarakat. Allah telah mewujudkan manusia sebagai khalifah-Nya di muka bumi. Rancangan Allah tersebut telah disanggah oleh para malikat kerana bagi mereka (malaikat) manusia mempunyai kelemahan dalam melaksanakan amanat Allah s.w.t.
Tetapi kehadrian ilmu pada manusia yang dibekalkan Allah,  yang mana fitrah tersebut tidak diberi kepada para malaikat, tanpak kelemahan pada malaikat. Maka malaikat dan iblis diperitahkan Allah tunduk (tanda hormat) kepada manusia. Malaikat tunduk hormat kepada manusia tetapi makhluk iblis menentang perintah Allah mengakibatkan iblis dicabut segala kenikmatan hidupnya dan dilaknat oleh Allah s.w.t. Iblislah penghuni neraka yang sah.
Mengikut pendapat ahli Sains, manusia adalah makhluk bersosial. Hubungannya dengan orang lain menampilkan identiti kemansiaannya. Manusia memerlukan keberadaan orang lain. Tidak banyak yang manusia boleh laksanakan seorang diri tanpa  bantuan orang lain. Hidup bermasyarakat menggamit kesetiakawanan sosial kelak dapat membina suasana kerjasama yang padu.
Tolong menolong dalam semua agenda kehidupan akan melahirkan suasana kasih
sayang yang menjadi tunjang kesejahteraan bermasyarakat. Sebuah falsafah pembangunan manusia mengatakan “hidup satu haluan dan sehaluan” menjadikan satu perjuangan dalam memurnikan hidup bermasyarakat.
               Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah adalah budaya yang sentiasa mementingkan kebajikan orang lain. Kata-kata prinsip pembagunan kerajaan Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang ke enam Datuk Seri Najib  bin Tun Razak ialah “Rakyat di dahulukan,  Pencapaian diutamakan.”
               Slogan “Rakyat di dahulukan, Pencapaian Diutamakan” menjadi satu tunjang utama, semangat ini terus kian membara di kalangan rakyat Malaysia. Selain itu, untuk mencapai status negara maju sepertimana yang diilhamkan oleh mantan Perdana Meteri Malaysia yang ke lima Tun Dr. Mahathir Muhammad melalu Wawasan 2020, syarat yang paling utama ialah sebuah negara yang kukuh dan stabil dan ini hanya akan dicapai apabila rakyatnya bersatu padu.
               Nilai kemanusiaan masyarakat yang dianjukan oleh Islam ialah persaudaraan atau ukhuwah. Manusia hidup di
sebuah masyarakat yang sayang menyayangi, mempunyai perhubungan yang erat dan saling bantu membantu. Mereka dihimpunkan oleh perasaan sebagai anak keluarga yang satu yang saling menyayangi antara satu sama lain sehingga setiap orang di dalamnya merasa kekuatan saudaranya adalah kekuatannya; kelemahan saudaranya adalah kelemahannya.
               Naluri kasih sayang yang ada pada setiap manusia sememangnya berpunca daripada kehadiran rohaninya yang dibekalkan oleh Allah s.w.t.. Rasa keinsanan merupakan rasa kemanusiaan yang berunsur rohaniah yang mempunyai ciri-ciri kasih sayang terhadap sesama insan kerana Allah s.w.t.. Sifat kasih sayanglah yang membentuk tamadun kehidupan manusia dan memberi satu kekuatan dalam melahirkan masyarakat yang bersosial.
               Kekhalifaan manusia berdasarkan kehadiran ilmu dan naluri kasih sayang yang membentuk satu ikatan antara manusia sebagai pemakmur alam kehidupan dengan makhluk Allah s.w.t. yang hidup bersamanya di alam buana ini. Perasaan kasih sayang merupakan satu kualiti atau sifat yang mendekatkannya kepada Allah s.w.t. yang mempunyai sifat Pengasih dan Penyayang.
               Kasih sayang dalam membina masyarakat menjadi agenda utama dalam pembangunan ummah. Islam sungguh-sungguh menjadikan kasih sayang satu perwatakan yang maksimum untuk membina masyarakat penyayang. Mengeratkan hubungan antara anggota masyarakat berlandaskan kasih sayang, pertolongan, ikhlas, nasihat, saling berkomunikasi, bersatu padu, saling tolong menolong dan saling menyayangi.
               Cinta antara saudara adalah sifat fitrah dan kecendrungan yang suci pada diri manusia. Islam sentiasa menjaga dan memelihara sifat tersebut, semakin mendarah daging, kebesaran kemampuannya dan menjelas hak-haknya.
               Kasih sayang itu puncanya ialah Allah s.w.t.. Setiap kali kita memula sebarang ibadat kepada Allah kita dituntut untuk mengucapkan “Bimillahirahmanirahim”, yang bermaksud dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Sifat Ar-Rahman maksudnya memberi rahmat kepada sesiapa pun sama yang beriman atau tidak beriman kepada Allah. Rahmat yang dimaksudkan ialah rahmat yang kecil selama hidup di dunia sahaja.
               Sifat Ar-Rahim maksudnya memberi rahmatnya hanya kepada tertentu sahaja. Iaitu yang dikasihi dan disayangi oleh Allah s.w.t. sahaja dan rahmat ini adalah rahmat yang besar yang tidak terbatas waktunya selama hidup di dunia. Rahmat-rahmat besar tersebut dapat dirasakan nikmat dan manfaatnya yang berkekalan buat selama-lamanya  iaitu kebahagian di akhirat.
               Masjid harus memakmurkan kehidupan masyarakat. Masjid tidak harus digunakan sebagai tempat ibadah sahaja. Namun, masjid diharapkan menjadi pusat kegiatan yang dapat memakmurkan masyarakat di sekitarnya. Masjid diharapkan menjadi pusat perlaksanaan habluminallah (hubungan dengan Allah) dan habluminannas (hubunan dengan manusia).
               Masjid akan berfungsi dengan baik apabila  boleh memakmurkan masyarakat. Adalah tidak sewajarnya berlaku jika kelihatan di sekitaran masjid yang  megah  dan indah, masih ada warga yang hidupnya susah. Cara memakmurkan masyarakatnya ialah membentuk komuniti, boleh menjadi lembaga pendidikan, lembaga sosial, kesihatan , hingga ekonomi.
               Di samping beribadah, umat Islam dituntut mampu memajukan kehidupan sosial, termasuklah  kondisi perekonomian. Maka kita harus seimbang fungsi masjid itu. Khatib jangan hanya bercakap tentang halal dan haram, neraka dan syurga, tetapi juga bicara bagaimana kita boleh maju, menyuarakan agar  umat Islam boleh menjaga keseimbangan antara kehidupan dunia  dengan kehidupan akhirat.
               Dalam perspektif orang Islam kasih sayang kepada diri tertumpu kepada perhatian untuk memperolehi ilmu pengetahuan sehinggalah ilmu pengetahuan boleh dianggap sebagai suatu tanggungjawab agama yang suci, yang dikenakan ke atas setiap Islam baik lelaki mahu pun perempuan.
               Ilmu pengetahuan mestilah bersifat benar dan hakikat seperti apa yang dikatakan oleh  Al-Qur’an sebagai haq dan mestilah diperolehi  untuk tujuan kegunaan dalam kehidupan seharian.. Supaya hidup yang dijalani oleh manusia menurut tujuan dan matlamat dijadikan-Nya dan perintah yang diberikan mestilah dipenuhi.
               Tidak dapat dinafikan lagi bahawa ilmu merupakan faktor terpenting dalam menentu kan kebahagian individu dan kejayaan serta kekuatan sesuatu bangsa atau umat. Semua agama dan system sosial manusia menganjurkan ahlinya ke arah ilmu pengetahuan sekurang-kurangnya sebagai satu faktor penerusan agama, kepercayaan atau warisan daripada satu generasi ke generasi yang lain. Tujuannya yang paling utama ialah untuk kepentingan duniawi seperti semua system sosial manusia dan setengahnya seperti Islam dan beberapa agama lain meliputi kebahagian ukhrowi
               Dalam surah Al-Asr ayat ayat 103:1-2 yang bermaksud:
               “Demi masa manusia  sentiasa dalam kerugian.”
Masa begerak tidak menungguh sesiapa pun. Manusia sentiasa tidak  dapat memanfaat kan masa sebaik mungkin, yang bergerak pantas. Ada orang yang beranggapan  bahawa masa itu masih banyak; tetapi tahukan anda setiap saat dalam hidup ini denyutan jantung sentiasa memberi tahu bahawa umur manusia sentiasa berkurangan.
                    Setiap hari perjalanan hidup menjadi pendek menghampiri liang lahad. Bagaimana pula dengan bekalan kita di akhirat nanti? Manusia sentiasa lupa dan tidak memahami mengenai kewujudannya di dunia ini. Kita memakmurkan kehidupan kita dengan menghiasi nya dengan amal ibadat kerana Allah, di samping melaksanakan tugas memakmurkan kehidupan  makhluk lain di alam ini.
                    Hidup manusia dilengkapi oleh Allah dengan berbagai nikmat hidup. Segala nikmat berkenaan membuatkan hidup ini selesa dan menggembirakan. Oleh itu manusia tentu besedia untuk menunaikan janji kepada Allah. Satu nikmat yang paling unggul dan membahagiakan
ialah nikmat hidup. Maka itu kalau kita menerima nikmat hidup kita wajar berjanji kepada Allah untuk melaksanakan tanggungjawab tujuan Allah wujudkan kita.
                    Seia kepada janji merupakan bahagian daripada iman. Menyempurnakan janji ialah  salah satu sendi hidup bersosial. Islam menuntut  sekeras-kerasnya kepada sekalian mukmin supaya sentiasa tetap berperangai dengan menyempurnakan janji. Jika berjanji wajib menepati. Itulah ajaran Islam dan itulah peribadi muslim, sehingga dekenal dilingkungannya, setiap perkataannya merupakan perjanjian yang kuat, tidak dikhawatirkan akan menyalahi dan mengingkarinya.

                    Akhlak yang mulia merupakan buah keimanan dan punca akhlak itu ialah amanah dan menepati janji. Siapa yang telah hilang sifat amanah dan tidak menepati janji, yang demikian itu merupakan suatu tanda  merosotnya iman dan jauh dirinya dari ketakwaan  kepada Allah. Akhlak yang buruk itu betentangan dengan keimanan dan tidak akan dapat bertemu antara keimanan dengan akhlak yang keji (Al-Hadis). 

Friday, August 5, 2016

HIDUP MERUPAKAN AMANAH ALLAH S.W.T. SEBAGAI KHALIFAHNYA

  ((Disiarkan pada 6. 8. 2016)
               Allah  S.W.T. berfirman  dalam  al-Qur’an surah Az-Zariyaat ayat 51:56 yang bermak sud: “Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyemba Aku.”
               Bahawasanya Allah menciptakan jin dan manusia tidak ada gunanya yang lain, melain kan buat mengabdikan diri kepada Allah. Jika seorang telah mengakui beriman kepada Tuhan, iaitu telah mengucap dua kalimah syahadah, “Asahdu allaillahillah wa ashadu anna Muhammad Rasulullah” – Tiada Tuhan yang wajar disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah; khusus kepada saudara baru (mereka yang baru menganut agama Islam) maka ia wajar berpegang kepada amanah Allah sebagai khalifah-Nya.
               Kepada keluarga muslim lahirnya zuriat ia sudah Islam hanya ditarbiahkan untuk memahami hidup sebagai Islam maka itu setiap anak itu diwajibkan mempelajari akidah Islam di sekolah agama yang ditarbiahkan oleh Ustaz yang bertauliah untuk mendidik anak-anak cara bagaimana memegang amanah Allah sebagai tanggungjawab utama dalam hidup. Maka mulai dari usia kanak-kanak setiap insan itu dilatih mengucap atau melafazkan  dua kalimah syahadah yang dilaksanakan setiap kali tibanya waktu fardu sembahyang.
               Melatih anak-anak  mengikuti cara hidup Islam wajib bagi setiap insan dan ibubapa nya wajar menghantarkan anaknya ke institusi berkenaan. Islam itu wajar dijadikan sebagai darah dan daging setiap hidup muslim. Maka itu ada institusi yang mengajurkan sekolah tahfiz atau menghafal al-Quran.
               Walaubagaimana pun anak itu  perlu dipaksarela oleh orang tuanya. Kalau anak tidak mengikuti disiplin sekolah tahfiz maka ibubapa wajar berkompromi dengan pentadbiran sekolah, tanpanya eloklah jangan memasukkan anak mereka ke instiusi berkenaan. Kalau tidak ada kerjasama  dari pihak ibubapa maka sekolah tahfiz sukar nak berfungsi.
               Setiap insan itu  dia tidak akan mahu  jika hidupnya di dunia  ini kosong saja. Dia tidak boleh menganggur. Selama nyawa  dikandung badan, manusia  harus  ingat bahawa tempohnya tidak  boleh kosong dari pengabdian. Seluruh hidup hendaklah dijadikan ibadat.
               Menurut riwayat dari Ali bin Abu Thalhah, yang diterimannya dari Ibnu Abbas, erti untuk beribadat, ialah  mengakui diri adalah budak atau hamba dari Allah, tunduk menurut kemahuan Allah, baik secara sukarela atau secara terpaksa, namun kehendak Allah berlaku juga (thau’an aw karhan). Mahu tidak mahu diri pun hidup. Mahu tidak mahu kalau  umur panjang mesti tua. Mahu tidak mahu jika datang ajal mesti mati. Ada manusia yang hendak melakukan di dalam  hidup ini menurut kemahuannya, namun yang berlaku ialah kemauan Allah jua.
               Ayat ini memberi ingatan kepada manusia bahawa sedar atau tidak sedar dia pasti mematuhi kehendak Tuhan. Maka jalan yang lebih baik bagi manusia ialah menginsafi kegunaan hidupnya, sehingga dia pun tidak merasa keberatan  lagi mengerjakan berbagai ibadat kepada Tuhan.
               Apabila manusia mengenali budi yang luhur, nescaya dia mengenal apa yang dinamai berterima kasih. Ada orang  menolong kita melepaskan dari malapetaka, kita pun segera mengucapkan terimakasih! Kita mengembara di satu padang pasir. Dari sangat jauhnya perjalanan, kita kehausan, air sangat sukar. Tiba-tiba di suatu tempat yang sunyi sepi  kita bertemu  seorang yang menyuruh kita berhenti berjalan sejenak.
               Kitapun berhenti. Lalu dia bawakan seteguk air. Kitapun mengucapkan banyak terima kasih. Kita ucapkan terimakasih dengan merendahkan diri. Sebab kita merasa berhutang budi kepadanya. Dan tidaklah ada manusia  beradab di dunia yang membantah keluhuran budi orang yang berterima kasih.
               Maka bandingkanlah semuanya dengan anugerah Illahi bagi menjamin hidup kita. Sejak mulai dari perut ibu sampai kepada masa habis tempoh di dunia ini dan kita menutup mata, tidaklah dapat dihitung dan dinilai betapa besar nikmat dan kurnia Allah kepada kita.
Maka timbullah pertanyaan. Apakah tidak patut kita berterimakasih kepada-Nya atas seluruh kurniaan itu?
               Di sinilah Tuhan menjuruskan hidup kita, memberi kita pengarahan. Allah menciptakan kita, jin dan manusia tidak untuk yang lain, hanya untuk satu macam tugas saja, iaitu mengabdi, beribadat. Beribadat iaitu  mengakui  bahawa kita ini hambaNya, tunduk kepada kemahuanNya.           
               Ibadat itu diawali atau dimulai dengan IMAN. Iaitu percaya bahawa ada Tuhan yang menjamin kita. Percaya akan adanya Allah ini saja, sudah jadi dasar pertama dari hidup ini sendiri. Maka IMAN yang telah tumbuh itu, wajib dibuktikan dengan amal yang salih. Iaitu perbuatan yang baik. Iman DAN AMAK SALIH inilah pokok ibadat. Bila kita telah mengaku beriman kepada Allah, nescaya kita percaya kepada RasulNya. Maka pesan Allah yang disampaikan oleh Rasul itu kita perhatikan. PerintahNya kita kerjakan laranganNya kita hentikan
               Maka dapatlah kita jadikan seluruh hidup kita ini ibadat kepada Allah. Sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, berzakat kepada fakir miski, adalah bahagian kecil, sebagai pematri dari seluruh ibadat yang umum itu. Semuanya itu kita kerjakan, kerana kita IMAN  kepadaNya, dan kita pun beramal yang salih untuk faedah sesama kita manusia. Kalau tidak ini yang kita kerjakan, tidaklah ada ertinya hidup kita yang terbatas di dalam dunia  ini.
               Melakukan dakwa kepada jalan yang baik adalah  tugas utama dalam hidup. Kalau tidak beribadat kepada Allah apalah ertinya hidup itu. Umur telalu pendek  di dunia ini, dan umur yang pendek itu mesti diisi,, sehingga setelah manusia mati sekalipun,namun Iman dan Amal salihnya masih hidup dan tetap hidup.
               Kehidupan dunia sekarang ini diciptakan Allah bukanlah satu cara penghidupan yang sempurna tetapi satu cara penghidupan yang tidak sempurna, satu kehidupan sementara, penghidupan yang penuh serba macam kekurangan, kekecewaan dan lain-lain sebagainya. Firman Allah dalam al-Quran surah Al-Imran ayat 3:185-186 yang bermaksud:
               “Tiap yang berjiwa akan mengalami mati, dan tidak akan disempurnakan ganjaran kamu, kecuali pada hari kiamat. Kerananya barang siapa dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga, maka selamatlah dia. Sedang penghidupan dunia ini tidak lain hanya benda tipuan saja.”
               “ Sesungguhnya kamu akan dikenakan percobaan-percobaan dalam harta dan dirimu. dan sesungguhnya kamu akan mendengar banyak dari orang-orang yang diberi Kitab dahulu sebelum kamu dan orang-orang yang syirik akan celaan yang banyak. Dan jika  kamu sabar dan takwa, maka itulah sebaik-baik urusan.”
               Dalam surah Al-Hadid ayat 57:20 yang bermaksud:
               “Ketahuilah olehmu, bahawa kehidupan dunia ini hanya satu permainan, satu hiburan, satu perhiasan, bersombong-sombong antara kamu, dan berbanyak-banyak tentang harta dan anak-anak, seperti hujan yang tumbuh-tumbuhannya menyenangkan kaum kafir (petani-petani), kemudian kelihatan segar, lalu menjadi kekuningan (layu), kemudian itu dia menjadi lapuk. Sedang di akhirat ada seksa yang sangat dan ada pula ampunan dari Allah dan keredhaan. Dan penghidupan dunia (yang rendah ini) hanya benda tipuan belaka.”
               Dalam ayat-ayat lainnya dinyatakan oleh Allah bahawa kehidupan di dunia sekarang ini adalah penghidupan kecil (tidak bererti), sempit sedikit, rendah dan di akhiratlah yang sebenar-benar hidup. Tetapi  sungguhpun begitu, penghidupan dunia ini amat penting, kerana dialah menentukan baik buruknya nasib manusia dalam penghidupan di akhirat yang kekal dan abadi itu.
               Berbahagia dan beruntunglah manusia yang mengerti dan menyedari sesedar-sedarnya, merugi dan celakalah manusia yang tak mengerti dan tak mahu sedar. Mudah-mudahan Allah menjadikan kita  orang yang sedar dan bahagia, sekalipun tidak begitu kaya atau mampu dalam kehidupan dunia sekarang ini.
               Antara amanah Allah pertanggungjawabkan kepada manusia ialah cintanya  terhadap Allah. Iman dan takwa yang hidup subur pada diri seorang akan berbuah. Buah Iman dan Takwa itu banyak sekali, dan terus menerus sepanjang masa, tidak bermusim seperti mangga atau durian, sehingga buahnya di musim susah ialah kesabaran, di musim senang dan beruntung ialah syukur, di musim perang dan kekacauan ialah ketenangan, di kala bersalah ialah ampunan dan taubat. Dan buahnya yang terus ada di segala musim, ialah rasa bahagia dan puas hati. Dan buahnya yang paling tinggi kedudukannya, ialah timbulnya perasaan “cinta” tehadap Allah.
               Bila seorang hamba sudah  berhasil mendapatkan rasa cinta terhadap Allah, berbuah lah dunia dan segala isinya dalam pandangan hidupnya. Bayangkanlah bagaimana indahnya perasaan seorang  pemuda mendapatkan kekasih si jantung hati dan bagaimana bahagia dan lega hatinya bila berada di smping kekasihnya itu.
               Cinta seorang lelaki terhadap wanita atau  cinta seorag suami terhadap isterinya adalah hanya cinta kecil, sedang cinta seorang hamba yang Iman dan Taqwa terhadap Tuhannya adalah cinta kalibar besar, cinta teragung dan tertinggi, serta terindah, melebihi segala cinta. Dan merasa dirinya selalu di samping Tuhan yang dicintainya. Tuhan yang Maha Gagah Perkasa, Maha  Penyayang, Maha Kaya.
               Bila orang sudah merasa cinta kepada Allah dan merasa diri selalu di samping Tuhannya, tak satu perkara lagi yang dikhwatirkannya dalam hidup atau sesudah mati. Tak takut miskin atau melarat, tak takut musuh siapa jua, tak takut ditangkap atau diculik, dan tak takut ditahan atau dipenjar. Di mana saja dia berada, dia berada di samping Tuhannya.
               Sebab itu orang yang telah mengenal akan Tuhannya, sesudah Iman dan Takwa (menjalankan segala ibadat dan perintah Allah), ia berjuang untuk mendapatkan rasa cinta terhadap Tuhan. Tinggi gunung akan didakinya, dalam jurang akan dituruninya, samudera luas akan diselami dan direnanginya, jalan apa saja akan ditempuhinya sekalipun penuh onak dan duri. Ia akan memeras keringat berhabis tenaga, sekalipun akan  mengorbankan seluruh harta atau jiwanya untuk memperoleh cinta terhadap Tuhan, dan agar dia dicintai oleh Tuhan.
               Ke arah itulah ditujukan perjuangan tiap-tiap orang yang beriman dan taqwa itu. Umur panjang atau pendek, hidup susah atau  senang, orang benci atau suka, tidak  menjadi persoalan dalam hidupnya, tidak menjadi halangan dalam perjuangan hidupnya.
               Allah berfirman dalam al-Quran surah Al-Maidah aya 5:54 yang bermaksud:
 “Hai orang-orang yang beriman! Barang siapa daripada kamu murtad (berbalik)) dari agamanya (Islam), maka  nanti Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mengasihi mereka  dan mereka mengasihi Allah, mereka bertimbang rasa terhadap orang-orang mukmin, berkeras terhadap orang-orang kafir, berpegang pada  jalan Allah dan tiada takut celaan orang. Demikianlah kurnia Allah yang diberikanNya kepada  siapa-siapa yang dikehendaki-Nya dan Allah itu luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.”
Cinta adalah perasaan. Perasaan itu tak dapat dilihat oleh mata. Semua orang mungkin saja merasa mencintai Allah, sehingga dengan gampang sekali dapat berkata: “Aku cinta akan Allah; si Anu dicintai oleh Allah”. Agar manusia jangan dapat dibohongi oleh perasaannya sendiri. Maka di dalam berbagai-bagai ayat dan hadis Allah dan RasulNya menerangkan tanda-tanda kencintaan manusia terhadap Allah. Perhatikanlah  ayat-ayat dan hadis tersebut di bawah ini.
Pernah sekelompok manusia di zaman Rasulullah saw. sama-sama berkata cinta terhadap Allah, lalu turunlah ayat tersebut di bawah ini.
Surah Al-Imran ayat 3:31 dan 32 yang maksudnya:
“Katakanlah: Jika kamu cinta akan Allah, maka ikuti (taatilah) olehmu akan aku (Muhammad), nescaya Allah cinta akan kamu dan ampuni dosa-dosamu, kerana Allah Maha Pengampun dan Maha Pengasih.”
“Katakanlah: Hendaklah kamu taat terhadap Allah dan Rasul. Jika kamu berpaling,
maka susungguhnya Allah tidak cinta terhadap orang-orang kafir (yang berpaling itu).”
Hadis Sahih dari Anas Malik r.a. mengatakan bahawa Rasulullah saw. telah bersabda yang bermaksud:
“Tiga perkara, siapa yang memilikinya akan dapat merasakan manisnya Iman, iaitu: Bahawa Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai-nya dari selain keduanya;Bahawa dia mencintai  seseorang hanya kerana Allah; Bahawa dia benci kembali kekufuran sesudah Allah membebaskannya dari kekufuran itu, sebagaimana dia benci untuk ditempatkan ke dalam Neraka.”
Jadi di antara tanda-tanda bahawa seorang mencintai Allah ialah: Mentaati perintah Allah. Mentaati perintah Rasulullah. Cintanya terhadap Allah, Rasul dan jihad fi Sabillah melebihi cintanya terhadap bapa, anak, saudara, isteri, keluarga, harta perdagangan dan tempat tinggal. Mencintai sesama manusia kerana Allah. Benci terhadap kekufuran seperti bencinya terhadap Neraka. Dan Tidak takut dicela dibenci, digertak, oleh manusia.

Bila seorang telah cinta terhadap Allah dan Rasul-Nya dengan memenuhi tanda-tanda di atas, maka Allah akan cinta kepadanya. Mencintai dan dicintai Allah, adalah setinggi-tinggi nya rahmat Iman dan Takwa. Maka demikianlah halnya amanah Allah kepada manusia yang wajib dijaga dan dipelihara selagi hidup dikandung badan.