Saturday, July 9, 2011

RINTANGAN-RINTANGAN HIDUP KEMODENAN MENURUT ISLAM
(Disiarkan pada 9. 7. 2011)
Kebudayaan, kesopanan dan adat-adat telah diwujudkan oleh Islam di dalam masyarakat Islam bertujuan untuk menjadikannya berkhidmat kepada akidah, syiar, pemahaman, emosi, akhlak dan tata susila Islam. Antara bentuk-bentuk budaya masyarakat Islam ialah tidur awal dan bangun awal. Seorang itu akan menikmati tidur yang tenang serta nyenyak di sepanjang malam yang Allah s.w.t. jadikannya sebagai pakaian. Setelah itu manusia boleh menggunakan waktu pagi yang berkat itu untuk menunaikan kewajipan “solat Subuh”
Hidup kemodenan membawa maksud menjalani kehidupan sesuai dengan tuntutan keadaan manusia yang hidup di masa kini, bukan dengan manusia yang telah lama meninggal dunia. Hidup sesuai dengan situasi dan kondisi semasa, bukan dengan kenangan di masa silam. Untuk itu kewajipan memahami keadaan semasa menjadi agenda utama agar kita tidak dihayalkan oleh budaya kemodenan itu.
Unsur pertama yang terpenting bagi mencapai makna kemodenan adalah kita wajib memahami keadaan “zaman” yang sedang kita tempuh sekarang ini secara terperinci, benar dan mendalam. Jika kita tidak mengerti dan tidak mengenal “wajah zaman” kini dengan sebenar dan mendalam, maka akan mengakibatkan terjadinya perkara yang sangat buruk, seperti seorang pakar perubatan yang mencadangkan ubat yang mahal untuk seorang pesakit, namun dia tidak melakukan pemeriksaan dan ‘diagnose’ yang teliti dan benar kepada pesakitnya terlebih dahulu. Boleh jadi obat tersebut boleh menambah buruk keadaan si pesakit atau menyebabkan kematian.
Menangani budaya globalisasi atau hidup tanpa sempadan wajar memahami berbagai kerenah hidup yang dibawa oleh budaya masyarakat Barat. Kalau ia tidak ditanganai dengan iman yang kukuh akan menggelincirkan manusia dari landasan pemikiran yang membina tamadun ke lembah kehancuran akidah yang menjadi petunjuk arah kehidupan yang diredhai Allah S.W.T.
Pembangunan masyarakat manusia terutama sekali gulungan remaja masa kini sudah hampir tidak terkawal oleh kerajaan. Kemaksiatan di sana sini bermaharajarela tanpa menghirau kan kerukunan bernegara. Pembunuhan manusia bukan lagi asing bagi mereka sehingga manusia dikerat bagikan memotong daging lembu di pasar hendak dijual kepada masyarakat umum.
Para remaja tidak mengindahkan lagi pintu pernikahan, melakukan seks bebas. Akibatnya meningkatkan kelahiran anak luar nikah yang mengakhiri riwayatnya di tong sampah, dibuang di sungai, ditinggalkan di mesjid, di jalanan di mana difikirkan manusia sentiasa lalu lalang di situ. Pembiakan manusia sedemikian rupa seolah-olah digalakan oleh pihak berwajib dengan wujudnya taman asuhan kanak-kanak luar nikah.
Apa yang penting ialah membincangkan ‘pemikiran keimanan’ yang sedang berkembang dan menguasai ‘medan’ intelektual dewasa ini hasil usaha gigih para ulama ulung dan pemikir Islam dewasa ini. Mereka mesti mengerahkan tenaga dan fikiran untuk mencari jalan penyelesaian yang paling sesuai dengan tuntutan Islam dan kondisi kehidupan manusia semasa.
Islam mengingkari sikap orang-orang yang jumud, vakum dan tidak memiliki inisiatif dan daya inovatif dalam kehidupan ini. Al-Qur’an menegur dan mengingkari sikap ‘pak turut’ umat terdahulu yang hanya mampu ‘mengikuti’ dan ‘mengekori’ cara kerja dan berfikir nenek moyang.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Ikutlah yang telah diturunkan Allah,” mereka menjawab “(Tidak), tetapi kami hanya mengikut apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami” (Apakah mereka akan mengikut juga), walaupun nenek moyang itu tidak mengetahui sesuatu apapun, dan tidak mendapat petunjuk.” (Surah Al-Baqarah :170.
Firman Allah lagi, bermaksud: “Apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah mengikuti apa yang diturunkan Allah dan mengikuti Rasul”. Mereka menjawab: “Cukuplah untuk kami apa yang kami dapati dari ayah-ayah kami (dahulu) mengerjakannya”. Dan apakah mereka akan mengikuti juga nenek moyang mereka walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui apa-apa dan tidak (pula) mendapat petunjuk…?” (Surah Al-Ma’idah: 104)
Mengenal, mengerti dan memahami perkembangan semasa adalah merupakan tuntutan yang dimestikan dan kadang kala sebagai satu kewajipan. Jika hal itu merupakan salah satu cara untuk melaksanakan kewajipan-kewajipan yang telah ditetapkan Agama, sesuai dengan pengertian kaedah Usul Fiqh yang termasyhur iaitu: “Apabila sesuatu kewajipan (yang telah ditetapkan Agama) tidak dapat dilaksanakan melainkan dengan satu perkara lain, maka perkara tersebut hukumnya wajib.”
Kemodenan dalam hidup yang difahami oleh sebilangan besar masyarakat remaja masa kini adalah sebagai perubahan kepada penampilan akhlak dan peribadi seseorang mengikut Jahiliyah iaitu tamadun Barat. Kebudayaan Islam asli memelihara rasa malu terutama sekali hubungan antara lelaki dan wanita. Pandangan Islam terhadap akhlak di dalam masyarakat, nilai penjagaan kesucian diri serta sifat malu dengan menganggapnya sebagai nilai kesopanan manusia yang tinggi.
Kecanggihan sains dan teknologi ditambah lagi dengan pembangunan sejagat yang menghalalkan persempadanan atau melahirkan budaya globalisasi telah membina satu idelogi hidup yang mempengaruhi masyarakat remaja mukmin terjebak dalam kanca kemorosatan moral. Penyakit-penyakit ngeri menjalar, membunuh, hasil daripada cara hidup yang liar tanpa pedoman.
Krisis nilai hasil dari keruntuhan akhlak menjadi kebiasaan; penganiayaan, salahguna kuasa, kezaliman, kerakusan berleluasa. Masyarakat moden membawa satu keadaan kehidupan yang kucar-kacir tanpa tatasusila rohaniah yang tidak dapat dibendung lagi oleh sistem-sistem yang dibikin oleh manusia sendiri.
Manusia moden walaupun teknologinya canggih telah menjadi sesat, kehilangan prinsip-prinsip lama yang benar, warisan Nabi-Nabi. Aturan dan perundangan moden yang dianuti tidak pula dapat menyelesaikan masalah-masalah sosial yang bertambah – tetapi hanya dapat menambahkan lagi kekacauan dan kekeliruan manusia (confusion of man).
Kemajuan sains dan teknologi masa kini telah mengambil budaya pemikiran individu muslim yang mempunyai kecetikan keimanan kepada kekuasaan Allah S.W.T. Kemodenan yang ditunjukkan oleh sains dan teknologi di pentas perfiliman memukau manusia dan memesongkan pemikiran mereka sehingga menganggapkan akidah Islam itu adalah ketinggalan zaman.
Budaya Islam sudah dianggap anih dan tidak sesuai dengan keadaan semasa yang telah ditonjolkan oleh masyarakat Barat. Sebagai contoh, al-Quran menegaskan bahawa menutup aurat adalah wajib bagi wanita untuk memelihara kesopanan kewanitaan dan kesucian Islam. Penutupan aurat mempunyai satu elemen yang menghindarkan budaya masyarakat yang ingin mengetahui lebih dekat lagi tentang keadaan sesuatu aurat yang menghairahkan.
Tidak menutup aurat akan mengundang budaya kemaksiatan kelak akan mengancurkan kesucian akidah terutama sekali gulungan remaja yang ingin menerokai alam keseronokan dunia. Walaubagaimanapun menutup aurat cara moden tidak jauh bezanya dengan wanita yang tidak menutup aurat. Bahagian kepala ditutup dengan tudung tetapi badannya khusus bahagian kewanitaannya dibungkus seperti membungkus buah nangka yang jelas kelihatan bentuknya. Tidak cukup dengan bungkusan yang ketat, di bahagian punggungnya terdedah tanpa sehelai kain pun.
Gejala sosial di kalangan masyarakat Malaysia semakin merunsingkan. Pihak-pihak berwajib tidak menunjukkan semangat untuk membentraskan kemaksiatan, malah menambahkan pula dengan aktiviti yang menggairahkan kumpulan yang inginkan keseronokan dunia yang menghayalkan.
Akademi fantasia sebagai contoh, kurang memberi kemanfaatan kepada pembangunan rohani. Tidak ada cerita yang menekankan kepada kesucian akidah Islam. Hidup ini seolah-olah dibina untuk menempuhi budaya galak ketawa semata.
Benarkah negaraMalaysia adalah negara Islam? Pembangunan rohani hanya ditumpukan kepada sekolah-sekolah madrasa yang hanya sebilangan kecil sahaja ibubapa menghantar anak-anak mereka mengikutinya. Para ibubapa muslim lebih suka menghantar anak-anak mereka menuntut ilmu yang menitik beratkan kepada knowledge dari worldview “secular”.
Punca segala ilmu ialah Allah tetapi manusia boleh berusaha untuk mencapai ilmu. Ilmu yang manusia terokai dilihat sebagai hidup, dan mengembang. Ilmu juga boleh dibandingkan kepada suatu pokok, di mana berbagai bidang ilmu itu ialah dahan-dahan dari pokok yang satu, yang memanjang, mengeluarkan daun dan buah tetapi sentiasa selaras dan serasi dengan hakikat asal pokok itu (yakni tidak bercanggah dengan hakikat asal), bagaimanapun dahan-dahan pokok tidak secara tabiee memanjang ke tahap yang luar biasa, begitu juga sesuatu bidang ilmu itu mengikut pandangan Islam, tidak seharusnya diterokai sehingga melampaui batas-batas tertentu.
Penerokaan bidang ilmu itu dilihat sebagai tidak sah atau tidak berguna kalau tujuan penorokaan ilmu itu hanya untuk tujuan mendalami bidang itu sahaja tanpa mengira keberkaitan nya atau kegunaannya untuk manusia. Jadi penerokaan sesuatu ilmu mesti berlandaskan kegunaan dan kemanfaatannya kepada masyarakat. Ini menjadi satu-satu daripada prinsip kepada pengembangan ilmu dan penyelidikan dalam Islam.
Bagaimanakah manusia menangani hidup ini? Bukankan manusia telah diberi pedoman dan bimbingan untuk hidup oleh Tuhan? The loss of serenity in the minds of man atau kehilangan ketenangan dalam minda manusia berakar umbi daripada kejahilan manusia sendiri.
Tauhid memberi pengertian tentang kepenguasaan (rulership) dan kehakiman Allah S.W.T. atas alam semesta. Al-Qur’an memberi tahu bahawa “Dia adalah Pencipta langit dan bumi”. Worldview tauhid mengajar manusia melihat alam. kehidupan, fenomena hidup sebagai kesatuan (unity) yang berbagai tetapi dengan mempunyai tujuan yang satu.
Semua kejadian alam adalah di dalam hakikat teratur, rapi, dynamis, saling berkaitan, saling bersangkutan, harmonis, seimbang terus lengkap dan setia mengikut hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Pencipta, Allah S.W.T. iaitu Sunatullah.
Rintangan-rintangan hidup kemodenan tertumpu kepada kebendaan duniawi dan manfaat karier menguasai hidup manusia. Orang-orang yang hidup di zaman moden ini cendrung sentiasa mengikuti ajakan dan dorongan hawa nafsu. Pencemaran berlaku di setiap sudut kehidupan insan. Kemodenan adalah zaman yang lebih mengutamakan perantaraan dan sarana bukan tujuan dan matlamat.
Walaubagaimanapun boleh kita mengatakan bahawa “Dunia Barat” tidak semuanya buruk dan menyesatkan, kerana banyak sekali perkara-perkara yang baik seperti perkembangan sains dan teknologi yang bermanfaat; projek-projek besar yang berguna untuk kemanusiaan dan sumberdaya manusia yang sangat berharga seperti para pakar dan saintis.
Baginda Nabi Muhammad s.a.w. sendiri telah menyetujui beberapa perkara yang pernah terjadi pada masa jahiliah dengan beberapa “pembetulan” agar ianya sesuai dan selari dengan
Syari’at Islam dan kaedah Akhlak al-Karimah.

No comments:

Post a Comment