Saturday, November 24, 2012

KEPENTINGAN DALAM BUDAYA ISTIQAMAH

 (Disiarkan pada  24. 11. 2012)
Setiap yang hidup itu memerlukan budaya istiqamah dalam menangani hidup. Kita hidup kerana jatung kita setiasa mengepum darah ke seluruh anggota badan secara istiqamah. Mikanisme pergerakan jantung secara intiqamah dengan kehadiran roh adalah kekuasaan Allah s.w.t. sebagai Zat yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana. Darah yang aktif membawa oxygen serta zat makanan ke seluruh anggota sebagai tenaga dalam semua proses pembinaan sel-sel jasmani.
                Bermula dengan diri kita sendiri sebagai hamba Allah, kemudian beralih kepada alam haiwan, diikuti dengan alam tumbuh-tumbuhan dan seterusnya kepada alam ghaib, fenomena istiqamah itu sentiasa berada dalam felosofi kehidupan setiap makhluk Tuhan. Mengambil dari fenomena hidup pada setiap makhluk Allah, budaya istiqamah itu sentiasa berlaku sebagai aktiviti kehidupan.
                Mekanisme pernafasan pada setiap makhluk semestinya mengikuti budaya istiqamah. Tidak ada makhluk yang hidup tanpa bernafas secara istiqamah. Inilah yang dikenali sebagai sunatullah dan untuk hidup semestinya mengambil makanan setiap kali ia merasa lapar. Budaya istiqamah itu mendidik kita untuk menterjemahkan kepada amal untuk menangani pembangunan demi mendapat keredhaan Allah s.w.t. 
                Istiqamah ertinya teguh hati, tetap pendirian. Walaupun tidak semua orang dapat membu- dayakan istiqamah namun memeluk agama untuk mendapatkan hikmah secara mendalam sangat memerlukan budaya istiqamah ini. Keperluan terhadap budaya istiqamah ini sangat digunakan pada setiap masa, lebih-lebih lagi ketika di zaman moden ini.
                Istiqamah  mengandungi erti kemantapan, namun tidak bererti tidak bergerak untuk maju. Umpamanya semakin tinggi teknologi suatu kereta semakin mampu ia melaju dengan cepat tanpa goncangan. Maka disebuah kereta itu memiliki istiqamah atau kekuatan dan kemantapan. Kereta itu mantap dan tidak bergoncang  bukan  ketika ia berhenti namun ketika ia bergerak laju.
                Begitu juga halnya dalam pembangunan kehidupan di zaman moden ini, kita harus bergerak maju, namun tetap pada dasar pertama tanpa goyang. Ini dapat terwujud kepada orang-orang yang betul-betul memiliki jiwa dan pengetahuan keislaman yang mendalam. Bukan itu sahaja bahkan mereka tetap menjalani nilai-nilai keislaman tersebut.
                Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Jin:16, yang bermaksud (terjemahan). “Dan bahawa- sanya, jikalau mereka  tetap berjalan lurus (istiqamah) di atas jalan itu  (agama Islam) benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar atau rezeki yang banyak.”
                Allah menyambung pula perkhabaran yang berupa wahyu, untuk disampaikan kepada Rasul-Nya  Muhammad s.a.w. iaitu: Dan diwahyukan pula kepada Rasul-Nya  Muhammad s.a.w. seandainya bangsa manusia dan bangsa jin itu tetap berjalan di atas jalan itu  yakni mahu beragama Islam, pasti Allah akan meluaskan rezeki kepada mereka dan memberi minum pula kepada mereka air yang segar – dimaksudkan di sini ialah dilimpahkan kepada mereka kemewa- han dunia.
                Lafaz “air yang segar”  itulah punca kehidupan, dan dengan banyaknya air pula datanglah kemewahan. Lantaran itu ada peribahasa yang menyebutkan: “Di mana ada air disitulah ada harta, dan di mana ada harta di situlah dia menjadi ujian.”
                Begitulah gambaran istiqamah yang dituntut di zaman moden ini. Namun kenyataan pada sebenarnya menunjukkan banyaknya terjadi perubahan nilai istiqamah dalam diri masyarakat maju. Kebanyakannya lebih memperturutkan hawa nafsu dan kehendak diri sendiri tanpa mem- perhitungkan akan nilai-nilai kebenaran dalam ajaran Islam.
                Jiwa yang kosong lebih banyak dari mereka yang tidak teguh pendirian dan tidak memiliki istiqamah. Keresahan dan kebingungan lebih banyak melanda masyarakat yang mulai jauh dari nilai-nilai agama lantaran cuba mencampuradukkan kesucian dan kebenaran itu dengan
debu kemaksiatan.
                Istiqamah berkaitan dengan kemampuan manusia  dalam berjuang untuk menghadapi ujian dan penderitaan kerana semakin tinggi nilai iman seseorang itu semakin besar pula cubaannya yang harus dihadapinya. Dengan datangnya berbagai cubaan, ujian dan penderitaan itu, jiwa seseorang menjadi kuat dan tabah.
                Namun sebaliknya bagi mereka yang tidak memiliki iman yang kuat, yang mudah terpengaruh dengan suasana lingkungan, mereka akan merasa lemah dan terus tumbang apabila cubaan atau bencana datang dari Allah. Mereka mengeluh, menyalakan orang lain bahkan menyalahkan Allah s.w.t.. Keimanan seseorang harus dibuktikan dengan cubaan untuk melihat sejauh mana seseorang itu mampu mempertahankan nilai kesucian iman yang ia miliki.
                Firman Allah yang bermaksud (terjemahan): “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan: “Kami telah beriman,” sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Al-Ankabut: 2-3.
Melihat dari sudut sejarah sejak manusia itu diciptakan oleh Allah s.w.t. dan sejak diciptakan kebaikan dan keburukan, sejak itulah antara keduanya mendapat perlawanan. Kebenaran memerangi kemungkaran; sebaliknya kemungkaran atau kebatilan itu hadir di tengah-tengah kebenaran untuk mengganggu dan mencampur adukkan keduanya. Begitulah seterusnya sampai  ke saat ini. Antara yang benar dengan yang salah terus terjadi perlawanan, namun kenyataan yang dapat kita saksikan bahawa kebatilan itu  pasti akan menerima kehancuran. 
Allah s.w.t. telah memberi beberapa cubaan terhadap Nabi-nabi yang telah terdahulu. Betapa besarnya cubaan dan ujian yang harus  mereka terima.
Istiqamah dalam kehidupan Nabi Adam menempuhi berbagai ujian dan kesengsaraan. Setelah Adam disiptakan oleh Allah s.w.t. di dalam syurga lalu memerintah kepada semua Malaikat supaya sujud kepada Adam a.s. maka sujudlah para semua Malaikat  kecuali yang sombong dan tergolong kafir, iaitu iblis laknatullah.
Tinggallah Adam as.  sendiri di dalam syurga. Namun Allah mengetahui bahawa Adam merasa kesepian kemudian Allah menciptakan seorang wanita bernama Hawa. Allah berfirman maksudnya:
“Hai Adam diamilah oleh kamu dan isterimu  syurga ini, dan makanlah makanan-makanannya yang banyak lagi baik di mana saja yang kamu sukai, dan jangan kamu dekati pohon ini, yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim.” (Al-Baqarah: 35)
Nabi Adam tidak lama bertahan di syurga, lantaran tergoda oleh pujukan syaitan (Iblis) dengan rayuannya. Dilanggarnya perintah Allah, didekatinya pohon khuldi yang terlarang itu, dimakannya buah pohon tersebut. Kemudian keduanya dikeluarkan dari syurga. Allah berfirman maksudnya:
“Maka syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya apa yang tertutup dari mereka iaitu auranya dan syaitan berkata: “Tuhan kamu tidak melarang mu dari mendekati pohon ini, melainkan supaya kamu berdua  tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang-orang yang kekal (Dalam syurga). (Al-A’raf: 20)
Firman Allah lagi: “Tatkala keduanya telah merasai buah kayu itu, nampaklah bagi keduanya aurat-auratnya, dan mulailah keduanya menutupinya dengan daun-daun syurga.
Kemudian Tuhan menyeru mereka; Bukankah Aku telah melarang  kamu berdua dari pohon kayu itu dan Aku katakan kepadamu: “Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu.” (Al-A’raf: 22)
                Akhirnya Nabi Adam as. oleh Allah s.w.t. Adam dan Hawa dilimparkan ke dunia, hidup sampai waktu  yang ditentukan. Keduanya menyesali atas dosa yang dilakukan ketika di syurga dan memohon keampunan kepada Allah s.w.t..
Allah berfirman yang bermaksud; “Kemudian Adam menerima beberapa kalimat dari Tuhannya maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”  (Al- Baqarah 37.
Kemudian Adam as. yang ditugaskan oleh Allah s.w.t. sebagai khalifah  di permukaan bumi  memulai hidupnya bersama Hawa dengan berbagai  cubaan, namun Adam tetap bertakwa kepada Allah s.w.t. dan bertambah teguh istiqamahnya.
Istiqamah dalam kehidupan Nabi Ibrahim as. dalam menengakkan kebenaran dan menghancurkan kepalsuan juga mendapat  tentangan yang hebat dari kaumnya. Kehadirannya di tengah-tengah umat  yang sombong dan angkuh akan perintah Allah tidak berubah sikapnya dalam menegakkan kebenaran dan keadilan. Dia mencari kebenaran itu.
Di sekelilingnya  manusia menyembah berhala-berhala, yang direka oleh mereka sendiri. Manusia dalam kekufuran dan kemusrikan, mereka ingkar dengan segala ketentuan Yang Maha Esa. Nabi Ibrahin berusaha mencari kebenaran yang hakiki, kebenaran yang dianugerahkan  oleh Penciptanya yang Agung, bukan kebenaran pada patung-patung  dan berhala, yang disembah oleh orang-orang yang tidak mampu menganalisa dan mengerti itu.
Nabi Ibrahim menyaksikan keadaan alam seperti kejadian siang dan malam serta kemunculan matahari, bulan dan bintang-bintang di waktu malam, tetapi semuanya menghilang pada masa-masa tertentu maka Ibrahim tidak meyakininya adalah Tuhan! Nabi Ibrahim mencari sesuatu kebenaran dan memahami bahawa kebenaran yang hakiki bukan pada mata hari, tetapi kebenaran yang sesungguhnya adalah yang mencipta matahari serta benda-benda yang ada di alam semesta ini.
Kemudian Ibrahim berkata lagi:
“Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi dengan cendrung kepada agama yang benar, dan aku bukanlah termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah.” (Al-An’nam: 79)
Nabi Ibrahim as. berusaha meyakinkan mereka yang menyemba berhala supaya beriman kepada Allah namun mereka tetap ingkar dan menyembah benda-benda yang tidak bergerak itu. Perjuangan Nabi Ibrahim dalam menegakkan kebenaran sungguh-sungguh mendapat tentangan.
Pada satu ketika apabila raja Namrud berserta kaumnya meninggalkan kampungnya sehingga kosong, ketika itu Nabi Ibrahim as. menggunakan kesempatan itu dengan sebaik-baiknya. Nabi Ibrahim as, pergi ke tempan peribadatan mereka kemudian berhala-berhala yang ada di dalamnya dimusnahkan kecuali berhala yang paling besar. Kemudian kepak yang digunakan untuk memusnah berhala-berhala disangkutkan ke leher berhala yang paling besar.
Ketika mereka pulang dan langsung ke rumah berhala tempat peribadatan mereka, alangkah terkejut mereka melihat tuhan mereka telah hancur berselerakan. Mereka tidak ragu lagi sudah tentu Nabi Ibrahim as. yang melakukan perkerjaan itu.
Nabi Ibrahim dihadapkan kepada raja Namrud untuk disiasat siapa punya angkara memusnahkan patung-patung sembahan mereka. Nabi Ibrahim mengatakan bahawa yang melakukannya ialah berhala yang besar itu dengan boktinya kelihatan kepak ada pada lehernya! Akibat dari perbuatan Ibrahim itu ia  dihukum mati dengan mencampakkannya ke dalam api
yang sangat besar. Namun  Allah s.w.t. lebih berkuasa atas segalanya, maka Nabi  Ibrahim as. tidak mendapat bahaya sedikitpun walau di dalam unggun api yang sangat besar itu. Kemudian Allah berfirman maksudnya:
“Kami befirman: Hai api menjadi dinginlah dan menjadi keselamatanlah bagi Ibrahim.”  (Al-Anbiya: 69)
                Istiqamah  dalam kehidupan Nabi Ibrahim ialah dengan menerima cubaan yang lebih berat lagi iaitu agar mengorbankan putra yang disayanginya  Ismail as. Namun kerana keimanan yang ada di lubuk hatinya Nabi  Ibrahim as. telah kuat dan kukuh, maka perintah dan cubaan itu dengan senang hati dilaksanakannya.                                                                                                                                                     

Friday, November 16, 2012

KEMURNIAN HIDUP DITUNJANGI TAWAKAL

 (Disiarkan pada 17. 11. 2012)
Setiap ibadah atau usaha yang kita laksanakan merupakan tawakal kepada Allah s.w.t. kerana hanya Allah sahaja yang berkuasa untuk menghasilkan atau membuahkan segala aktiviti amal dalam hidup. Maka itu tidaklah terkeluar dari garis tawakal, jika kita berusaha menghindarkan diri dari kemelaratan, baik yang menimpa diri, atau harta benda, anak turunan.
                Firman Allah surah Al-Muzzammil: 9 – 10 yang bermaksud (terjemahan) “Ambillah Dia (Allah) menjadikan wakil (tempat bertawakal) dan sabarlah menanggungkan yang dikatakan orang.”
                Allah mengingatkan supaya Nabi s.a.w. bersabar di atas tindakan orang-orang kafir yang bodoh, jahil, mendustakannya dan memperolok-oloknya dengan perkataan “Engkau ahli sihir, seorang penyair dan orang gila”. Sesungguhnya Allah sahajalah yang akan menolong mengalah kan mereka. Bahkan Allah menyuruh  Nabi s.a.w. menjauhi golongan orang-orang tersebut dengan cara yang baik tanpa membalas dengan menyakiti atau memaki-maki.
                Adapun kesabaran atau tawakal menghadap ular yang hendak menggigit, binatang besar yang hendak menerkam, kala yang mengejar kaki, maka jika sabar juga menunggu, tidak berusaha menangkis, tidak bermakna tawakal lagi, tetapi bernama sia-sia juga. Berusahalah untuk menyelamatkan diri dari bahaya, setelah usaha itu ada barulah tawakal ada.
                Tidaklah terkeluar dari garis tawakal jika dikuncikan pintu lebih dahulu sebelum keluar rumah, ditutup kandang ayam sebelum hari malam, dimasukan kerbau ke kandang sebelum hari senja. Kerana menurut Sunatullah, dikunci rumah dahulu barul pencuri tertahan masuk, ditutupkan pintu kandang baru musang tak mencui ayam.
                Demikianlah telah terjadi di zaman Rasulullah s.a.w. seorang dusun tidak mengikat untanya sehingga unta itu terlepas, kerana katanya bertawakal kepada Tuhan. Oleh Rasulullah perbuatannya itu tiada disetujui, melainkan  baginda berkata kepada orang tu: “Ikatlah dahulu untamu barulah bertawakal!”
                Ingatlah ketika Rasulullah s.a.w. meninggalkan negeri Makkah hendak berhijrah ke Medina, bersembunyi di dalam gua di atas bukit Jabal Tur ketika dikejar oleh kafir Quraisy, berdua dengan sahabatnya Abu Bakar. Setelah bersembunyi dan tidak kelihatan oleh musuh lagi, barulah dia berkata kepada sahabatnya itu: Jangan takut Allah ada bersama kita.”
                Tawakal adalah menyerahkan diri dan berpegang teguh kepada Allah s.w.t. Firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 51 yang bermaksud: “Katakanlah: tiada sekali-kali akan menimpa kami, melainkan apa yang dituliskan Allah bagi kami, dan hendaklah orang-orang yang beriman itu bertawakal (berserah) kepada Allah”.
                Allah menyuruh rasul-Nya mengatakan kepada orang-orang munafik yang girang jika melihat Baginda itu ditimpa kemalangan begini: “Tidaklah sekali-kali akan menimpa kami sesuatu kemalangan, melainkan jika kemalangan itu telah  ditakdirkan oleh Allah Azza Wajalla ke atas seseorang – samada perkara itu  baik atau buruk, untung atau rugi, selamat atau bahaya, mujur atau celak dan lain-lain  sebagainya – tak ada siapa-siapa yang dapat menahan daripada mengenai dirinya. Allah itulah  yang memimpin kami, untuk memimpin dan memelihara akan diri kami. Dialah yang mematikan dan Dialah pula yang menghidupkan. Oleh sebab itu hendaklah  bagi orang-orang yang beriman dan bertawakal, yakin berserah kepada Allah dalam segala urusan.”              
                Dalam surah Hud ayat 123, Allah berfirman yang bermaksud (terjemahan): “Dan kepunyaan Allah apa yang tersembunyi di langit dan di bumi, dan kepada-Nya seluruh urusan dikembalikan, maka sembahlah  Dia. Dan tiadalah Tuhanmu lalai tentang apa yang kamu kerjakan.”        
                Allah menyatakan, bahawa Allah mengetahui apa yang terdapat  di langit mahupun yang ada di bumi, dan segala urusan makhluk akan kembali kepada-Nya, maka Tuhan yang sedemi- kian sifat-Nya yang layak  untuk disembah. Oleh sebab itu sembahlah Allah – jangan menyembah kepada yang lain, dan beribadatlah  kepada –Nya – jangan beribadat kepada yang lain.                
                Begitu pula bertawakallah kepada-Nya. Yakni serahkanlah segala urusanmu kepada-Nya, kerana Tuhanmu sedikitpun tidak akan terlalai daripada mengetahui tentang apa yang engkau kerjakan dan sabarlah di atas segala penganiayaan orang kafir,pasti Ia akan memberikan balasan-Nya kepada kamu di dunia dan akhirat.
                Kemurniaan hidup ditunjangi tawakal kerana Allah. Sesungguhnya Allah itu benar mematuhi janji-Nya dan menolong hamba-Nya dan meninggikan agama-Nya di atas segala agama. Mudah-mudahan Allah memberi kita taufik dan hidayah-Nya untuk  beramal dengan suruhan-Nya, sesuai dengan yang disyariatkan. Tuhanlah sebaik-baik pelindung  dan sebaik-baik penolong.   
                Menyerahkan atau bertawakal dirimu kepada Tuhan yang Maha Mulia dan Maha Penyayang. Allah berfirman dalam al-Quran surah Asy Syu’araa’ ayat 19 : 217 yang bermaksud (terjemahaan): “Dan bertawakallah kepada (Allah) Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.”        
                Hendaklah engkau  serahkan segala urusanmu kepada Tuhan yang Maha Pekasa untuk menolok segala bahaya, dan juga yang dapat membalas kepada musuh-musuhmu yang hendak mencelakakan engkau. Dialah juga Tuhan yang penyayang  kepadamu, kerana Dia akan memban tumu untuk mengalahkan mereka kerana rahmat-Nya.                
                Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Hibban yang bermaksud: “Sekiranya kamu benar-benar bertawakkal kepada Allah tentulah Tuhan merezekikan kamu, sebagai Tuhan merezekikan burung, ia pergi dengan lapar, ia pulang dengan kenyang pula.”
                Usaha itu merupakan ibadah kerana Allah. Manusia diwujudkan Allah dengan satu tujuan supaya makhluk manusia menyembah dan beribadah kepada-Nya. Surah Az-Zaariyat ayat 56 yang bermaksud (terjemahan) “Tidak Aku jdikan jin dan manusia melainkan supaya menyembah kepada Ku.” Manusia dilengkapkan dengan berbagai fasiliti untuk melaksanakan amanah tersebut seperti mempunyai akal dan kemahiran berfikir untuk menimbang dan mentafsirkan amalan yang diredhai Allah s.w.t. demi kelangsungan hidup bertamadun.
                Walaubagaimana pun ibadah atau usaha yang dilaksanakan mempunyai matlamatnya iaitu untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t. kelak mendapat pahala sebagai imbalan kepada usaha tersebut. Usaha yang dilaksanakan merupakan tawakkal kerana Allah. Maka memurnikan kehidupan di dunia wajar ditunjangi dengan tawakkal.
                Dalam pembangunan manusia sejagat setiap insan diamanahkan untuk memakmurkan alam kehidupan. Tanggungjawab tersebut dikenali sebagai khalifah Allah. Memakmurkan alam kehidupan, seseorang itu semestinya dengan ilmu. Ilmu adalah zat pembangunan, maka usaha menuntut ilmu merupakan tawakkal kerana Allah.
                Manusia yang dipilih sebagai pemimpin seharusnya mempunyai credibility atau keboleh- percayaan diri dalam semua hal kepimpinannya. Untuk mempunyai sifat pembangunan demikian individu berkenaan seharusnya mempunyai pengetahuan sebagai kekuatan diri dalam melaksana kan tanggungjawab sebagai pemimpin.
                Maka usaha melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan merupakan tawakkal kerana tanpa usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh ilmu tidak datang dengan sendirinya. Setelah berusaha sepenuhnya kita berserah kepada Allah untuk memudahkan urusan mengilmukan diri. Mereka yang malas berusaha terkeluar dari garis tawakal kerana Allah tidak suka melihat hamba-Nya hanya menyerahkan untung nasib tanpa tawakkal.              
                Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Seorang mukmin yang kuat tegap lebih sangat disukai Allah dari seorang mukmin yang lemah lesu. Kerana itu pegang teguhlah di tiap-tiap kebajikan yang akan memberi manfaat. Mohonlah pertolongan kepada Allah dan janganlah kamu menjadi orang lemah. Jika engkau ditimpa sesuatu bencana, janganlah engkau mengatakan: sekiranya aku berbuat begini, tentulah begini akan tetapi katakanlah: telah ditakdirkan oleh Allah….apa yang Allah kehendaki. Allah membuatnya….., kerana perkataan “sekiranya” itu, membukakan amalan syaitan” (Hadith riwayat Muslim: Al-wabilus saiyib).      
                Dengan ini jadilah amal dan usaha-usaha itu pokok yang utama dan terpenting bagi hidup bermasyarakat dan hidup bernegara. Islam mewajibkan dengan jalan-jalan yang lemah-lembut (yakni jalan-jalan yang diredhai Allah), serta Islam memerintahkan bertawakkal kepada Zat Yang Maha Kuasa dan Maha Penentu sambil berusaha itu. Supaya dengan demikian, pengharapan hasil usaha lebih kuat dan lengkap, supaya semangat untuk melancarkan usaha lebih tajam dan dinamis.
                Pada suatu hari Saidina Umar berjumpa dengan segolongan manusia dari penduduk negeri Yaman yang tidak berusaha, yang hanya suka berpangku tangan, yang hanya bertawakkal buta.. Maka Saidina Umar berkata: “Kamu sekalian bohong semata-mata, kamu sekalian bukan orang yang bertawakkal kepada Allah; kerana orang-orang yang bertawakkal kepada Allah itu, menaburkan bibit ke dalam tanah subur, dan kemudian lalu menyerah diri atau berpegang kuat kepada Allah.”              
                Dengan penjelasan ini nyatalah, bahawa membasmi pengangguran dengan sehabis-habisnya di muka bumi ini dan mewajibkan usaha-usaha dengan jalan-jalan yang diredhai Allah untuk memperolehi harta kekayaan, adalah salah satu dari cita-cita dan perintah Islam. Islam membenci sifat berpangku tangan, sifat bertawakkal buta, sifat pengangguran bahkan Islam (Allah) memerintahkan supaya sifat-sifat yang rendah itu dibasmi sehabis-habisnya di permuka an bumi ini.
                Islam tidak menyukai pengangguran dan pengemis kerana mereka malas dan tidak berusaha. Luqman pernah menasihati anak-anaknya: “Wahai anak-anakku! Lepaskanlah diri mu dari kepapaan dan tuntutkanlah kekayaan dunia dengan usaha-usaha yang halal. Ketahuilah, bahawa orang-orang yang papa, akan tertimpa atas dirinya tiga perkara: Tipis agamanya, lemah akalnya dan hilang maruahnya. Dan yang lebih besar dari itu, manusia memandang ringan kepadanya.”
                Islam menggerakkan manusia untuk menegakkan dan kewajipan kemanusiaan, iaitu kewajipan beramal dan kewajipan berusaha. Mengerjakan amal-amal untuk akhirat dengan secukup-cukupnya dan berusaha dengan segala daya upaya yang mungkin dan halal untuk memperlengkapi segala rupa keperluan-keperluan hidup dan mencari kekayaan dunia, adalah dua kewajipan seseorang Islam yang ta’ dapat dielakkan. Kerana itu orang-orang yang tidak bekerja atau menganggur, bukan kerana kelemahan, terjauhlah orang itu dari kemanusiaan dan terlepaslah ia  dari tuntutan Islam. Ia dipandang orang telah mati, walaupun ia masih hidup.             
                Berusaha dengan segala kesanggupan yang ada dan dengan jalan-jalan yang diredhai Allah, kemudian menunaikan segala hak-hak yang telah difardhukan-Nya, sederhana dalam perbelanjaan, membendaharakan harta-harta dan kekayaan untuk hari tua dan untuk hal yang mungkin terjadi, itulah tujuan yang dikasadkan Islam di dalam segala peradaban-peradaban dan ajaran-ajarannya.

Wednesday, November 7, 2012

KEJAYAAN MEMBENTUK KITA LEBIH TAWADHU'

 (Disiarkan pada 10. 11. 2012)
Allah bekalkan manusia dengan berbagai fitrah yang menjadikan kita sebagai makhluk yang terunggul antara makhluk-makhluk ciptaan Allah di muka bumi ini. Dengan kehadiran ilmu disajikan dengan hati yang mulia manusia dipilih Allah s.w.t. sebagai khalifahnya. Walaubagai mana pun mengkufuri ilmu serta hati yang suci yang ada padanya, manusia kadang-kadang jatuh martabat kemanusiaannya jauh lebih rendah daripada haiwan yang melata. Tetapi jika dimanfaatakan segala nikmat hidup Allah bekalkan maka manusia lebih mulia daripada malaikat.
                Kejayaan  merupakan satu sifat pembangunan yang setiap insan inginkan dalam menelu- suri kehidupan di alam dunia. Kehidupan yang berjaya menekankan kepentingan kepada keman- faatan hidup dalam kedua-dua unsur manusia ia itu rohani dan jasmani, atau duniawi  dan ukhrowi.
Memperolehi kejayaan semestinya dengan ilmu. Baginda Rasul  Nabi Muhammad s.a.w. telah berjaya  mentarbiahkan masyarakat jahiliah dan seterusnya kepada masyarakat dunia dengan ilmu Allah s.w.t. yang diterimanya dari langit melalui Malaikat Jibril. Baginda Rasul telah menerima ilmu dari Zat yang Maha Agung kemudian dimanfaatkannya untuk membina tamadun manusia.
Sifat manusia yang berilmu membentuk jiwanya lebih tawadhu’ dalam segala hal pembangunan. Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. mempunyai pembawaan diri yang amat digeruni oleh masyrakat dunia sama ada masa dahulu mahupun zaman sains dan teknologi ini. Kehormatan Baginda kepada semua lapisan masyarakat amat tinggi sekali. Bermula dengan keluarga Baginda sendiri, kemudian kepada masyaakat umum dan seterusnya kepada kumpulan elit, Baginda Rasul telah menunjukkan kepentingan kepada kebajikan mereka lebih daripada kebajikan diri beliau sendiri.
Memelihara ukhuwah kemanusiaan tidak kira kawan mahupun musuh, Baginda telah berjaya menembusi dinding perbezaan antara kekufuran dengan kebaikan dan dapat mentarbiahkan masyarakat yang bersifat keras hati sekali pun. Hati Baginda dalam urusan memperbetulkan akhlaq manusia sentiasa tabah dan rendah diri demi memperbaiki keadaan hidup yang serbah mencabar.
Baginda adalah seorang yang ummi, tidak pernah menjejajaki kaki ke sekolah untuk menuntut ilmu. Tetapi apabila baginda dipilih sebagai Rasul oleh Allah dan menerima ilmu tauhid  yang diturunkan dari langit melalui Malaikat Jibril beliau telah membentuk  diri sebagai insan yang tawadhu’, atau rendah diri terhadap ilmu yang telah diturunkan kepada Baginda.
Sifat tawadhu’nya merangkumi seluruh alam kehidupan terutama sekali hubungan dengan sesama manusia  serta berbagai haiwan dan makhluk Allah yang lain. Beliau lebih mementingkan kebajikan orang lain daripada dirinya sendiri. Pernah Allah menawarkan bulan kepada Baginda tetapi menolaknya kerana mementingkan amanah yang dipertanggungjawab kepadanya untuk membentuk akhlak manusia sejagat. 
Pepatah mengatakan: “Semakin saya tahu semakin saya tidak tahu,” membawa makna bahawa semakin banyak ilmu diperolehi semakin banyak lagi ilmu yang belum diketahui atau belum dikuasai. Ambil analogi lain seperti apabila kita culupkan jari kita ke dalam laut kemudian angkat; air yang membasahi jari, itulah ilmu  yang mungkin kita telah menguasai, tetapi ilmu yang belum dapat diketahui atau dikuasai ialah seperti air lautan yang tidak bertepi itu.
Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. semakin bertambah ilmu akidahnya semakin tinggi rasa tawadhu’ dalam hati beliau. Rasa rendah diri sentiasa menemani Baginda dalam menelusuri pembangunan kehidupan. Merasa tawadhu’ atau rendah diri merupakan fakulti kesabaran menangani sesuatu isu.
Antara kesabaran Baginda ialah hendak mentarbiahkan masyarakat musrikin ke landasan hidup yang diredhai Allah s.w.t. Mentarbiahkan akidah Islam ke dalam jiwa  masyarakat  Quraisy adalah seolah-olah seperti memasukkan seekor untah ke lobang jarum. Ia amat sukar tetapi dengan izin dan kekuasaan Allah s.w.t. tidak ada yang mustahil. Walaubagaimana pun Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. telah mengharungi kehidupan yang amat getir  dan kesusahan akibat perjuangannya untuk membetulkan persepsi manusia jahiliah ke jalan agama Allah atau Islam.
Baginda bersabar apabila  diludahi semasa ke masjid memimpin jemaah melaksanakan solat Zohor. Giliran orang yang meludahi beliau jatuh sakit Nabi adalah orang yang pertama menziarahinya serta membawa buah tangan hendak diberi kepada orang berkenaan. Mulia betul hati Baginda!
Dalam mempertahankan akidah Islam Rasul  adalah orang di hadapan menentang musuh Islam. Berlaku satu masa setelah Baginda rihat di bawah pohon kurma kerana letih berperang dengan penentang Islam; tiba-tiba ia didatangi oleh seorang musuh Islam dengan pedang yang terhunus hendak sedia menenetak lehir Baginda.
Ia dikejutkan dengan pertanyaan “Siapa yang akan menolong engkau jika pedang itu menghabiskan riwayat mu?” Dengan kalimah: “Allah yang menolong saya!”, maka pedang itu terasa panas seperti barah api lalu terlepas dari tangan musuh Islam itu. Diambil Rasul pedang itu kemudian diajuhkan kepada musuh itu dan limparkan kembali  pertanyaan yang sama.  Musuh itu mengatakan bahawa tiada yang menolongnya dikecuali jika Rasul sendiri mengampuni nya. Rasul bersabar dan mengampuni orang itu.
Peristiwa lain yang menunjukkan kesabaran Rasul menangani musuh ialah semasa berhijrah  ke Medina Al-Mukaramah. Baginda Nabi sedang berjalan bersama Abu Bakar  melalui  padang pasir. Seorang jejaka Quraisy bernama Surokoh menyahut cabaran pemimpinnya Abu Jahal untuk mendapatkan Muhammad yang sedang berhijrah ke Medina,  hidup atau mati dengan ganjaran seratus ekor untah!
Apabila kelihatan Baginda berjalan bersama Abu Bakar, Surokoh pecut kudanya lalu menghunus pedangnya untuk bersedia membunuh Nabi. Jarak sepuluh meter dari Baginda  tiba-tiba kaki kudanya termasuk lobang lalu terjatuh dan Surokoh terhumban dan jatuh persis di kaki Nabi. Baginda Nabi tahu dari Malaikat Jibril bahawa Surokoh berniat membunuh beliau. Baginda bangunkan Surokoh serta mengambil pedangnya yang terbuang lalu berkata “Kalau menunggang kuda hati-hati.” Surokoh kembali dengan hati yang kagum mengetahu kesabaran Muhammad. Mengikut sejarahnya Surokoh mendapat hidayah dari Allah s.w.t. dan masuk Islam.
Setiap kejayaan itu ditemui dengan kehadiran ilmu. Ilmu adalah fitrah Allah yang membentuk manusia tawadhu’. Ia terbahagi kepada dua komponen, iaitu ilmu syariyyah dan ilmu keduniaan. Ilmu syriyyah adalah ilmu agama atau ulum-al-din. Ilmu keduniaan mempunyai dua komonen kecil ia itu ilmu kemanusiaan atau ulum-al-insaniyyah dan ilmu sains atau ulum-al-tabbiya.
Penguasaan yang lengkap serta seimbang dalam ketiga-tiga komponen ilmu tersebut membolehkan manusia menjayakan matriks perhubungan di antara manusia dengan Allah s.w.t., di antara manusia dengan manusia dan di antara manusia dengan alam. Ilmu itu adalah pem- bangunan manusia, ia menjadi prasyarat ke arah menjayakan cita-cita membangun sebuah negera, bangsa yang maju, berwibawa dan cemerlang
Ilmu agama bersifat abadi dan sesuai dengan segala zaman. Mengikut Profesor Syed Mohd Naquib Al-Attas, “Islam is for ever modern”. Ini bermakna Islam bersifat “futuristic”. Ia mempunyai dinamika yang membolehkan pengikutnya menggarap dan menangani kehidupan yang sentiasa berkembang dan berubah.
Pendidikan agama yang lengkap bukan sahaja melihat duniawi dan ukhrowi dalam satu
jalinan padu tetapi unsur-unsur yang tetap dan yang berubah dapat diadun dalam satu acuan yang harmonis. Keunikan ini memberikan muslim keseimbangan justru dapat memenuhi tuntutan-tuntutan ukhrowi dan duniawi serta rohani dan jasmani. 
                Ilmu kemanusiaan atau ulum-al-insaniyyah diperolehi melalui pengalaman dan intuisi. Ilmu ini terbahagi kepada dua jenis iaitu pertama, fenomena (yang nyata dan bersifat ghaib), dan kedua, kejiwaan. Fenomen yang bersifat nyata iaitu  ilmu tentang  dunia kebendaan seperti fenomana alam semula jadi. Fenomena yang ghaib seperti fenomen sejarah, fenomena perkauman, dan sebagainya
                Ilmu kejiwaan pula ialah ilmu yang bersangkut paut dengan hakikat kejiwaan seperti  soal ketuhanan dan kerohanian. Ilmu ini dianggap jenis ilmu yang paling tinggi dan mulia berbanding ilmu-ilmu yang lain, iaitu bergantung kepada intuisi.
                Ilmu sains atau ulum-al-tabiyah menjurus kepada segala isi bumi termasuklah haiwan, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya. Matematik juga di bawah kumpulan sains yang mana setiap individu wajib mempelajari dan menterjemahkan dalam hidup. Ilmu sains dan matematik saling lengkap melengkapi. Tanpa keilmuan di antara kedua-dua fenomena, seseorang itu tidak akan dapat memahami dirinya sebagai khalifah Allah untuk memakmur alam kehidupan sekelilingnya.
                Misi perjuangan dalam hidup adalah untuk memperolehi kejayaan kelak menempah pahala yang menemani kita di alam akhirat. Dengan ilmu yang dimanfaatkan kita memperolehi kejayaan. Kejayaan merupakan nikmat hidup yang dikurniakan Allah kepada setiap pemain dan pembangunan kehidupan.
                Perogative atau hak Allah yang mengurniakan kejayaan kepada kita sebagai imbalan kepada ibadah yang sempurna dilaksanakan semestnya diterima dengan hati yang syukur dan tawadhu’ dan bukan dijadikan sebagai faktor untuk menyobongkan diri serta memahaminya sebagai hak mutlak peribadinya.
                Memperolehi kejayaan semestinya ada hubungan dengan kejiwaan manusia kerana ia melahirkan satu perasaan yang menumbilkan faktor bahagia maka itu hakikatnya ialah hubungan manusia sebagai hamba Allah dengan Zat Yang Maha Pemurah dan Pengasih. Maka itu wajar merasakan tawadhu’ serta rendah diri kerana Allah s.w.t.  
                Membudayakan sifat mementingkan diri yang diwarnai oleh rasa sombong terhadap kejayaan yang ada pada diri bukan sesuai untuk manusia kerana kita adalah dicipta oleh Allah s.w.t. dengan tujuan supaya menyembah, menghormati dan merasa syukur kepada Allah yang mewujudkan segala yang ada di alam kehidupan.
Nikmat yang amat besar Allah berikan kepada hamba-Nya ialah nikmat hidup dengan segala nikmat-nikmat yang ada pada kehidupan itu. Jika tidak ada rasa kesyukuran terhadap nikmat-nikmat Allah berikan setiap saat dan waktu dalam menangani hidup maka anda telah menempah kehidupan di neraka jahanam setelah selesai agenda dunia berakhir.  
Sejarah telah mendidik manusia mengenai makhluk Allah yang merasa sombong dan tidak bersyukur terhadap nikmat Allah berikan kepadanya. Makhluk iblis pada mulanya hidup senang dan bahagia di syurga Allah dengan segala fasiliti kehidupan tanpa susah dan kepayahan untuk mendapatkannya. Akibat mementingkan diri dan merasa diri lebih mulia berbanding makhluk Allah yang lain (manusia) maka Allah keluarkan iblis dari syurga-Nya dan diberi kehidupan di lembah kehinaan.
Maka kejayaan dan kemuliaan yang dapat diperolehi dalam perjuangann hidup harus
membentuk manusia dengan sifat tawadhu’ dan rendah diri sebagai rasa kesyukuran terhadap pemberian Allah s.w.t.

Sunday, November 4, 2012

KEGAGALAN MERUPAKAN KEJAYAAN YANG TERTUNDA

 (Disiarkan pada 3. 11. 2012)
Fenomena kehidupan  sentiasa berhadapan dengan dua faktor pembangunan iaitu kejayaan dan kegagalan. Kejayaan merupakan faktor kehidupan yang positif manakalah kegagalan pula satu keadaan yang bersifat negatif. Kedua-dua fenomena tersebut mempunyai ciri-ciri yang tersendiri, tetapi keberadaannya dalam hidup sentiasa menghiasi ibadah kita kerana Allah.
                Allah s.w.t. mewujudkan keadaan demikian untuk menguji manusia sejauh mana kekua- tan dan ketabahan hatinya menghadapai kehidupan yang serbah mencabar itu. Walaubagaimana pun kedua-dua keadaan pembangunan merupakan ujian. Menempuhi kejayaan atau kegagalan dalam melaksanakan ibadah kerana Allah pasti manusia berhadapan dengan ujian Allah s.w.t.
                Manusia apabila berhadapan dengan kegagalan pasti dua faktor yang mendorongnya untuk bertindak sebagai akibat ibadah yang tidak sempurna itu. Pertama ialah kegagalan itu mempengaruhi semangat juangnya menjadi kendur dan tidak berwawasan untuk melakar kejayaan hidup. Dalam keadaan demikian pemikiran yang negatif sentiasa berlegar di ruang pemikirannya kelak akan membawanya mengenali kegagalan.
                Tumpuan kefahamannya mengenai ibadah berkenaan semata-mata adalah dalam cakere- wala alam kehidupan dunia semata. Jika ia memikirkan keadaan demikian bermakna yang menempuhi dua kegagalan sebagai pemain dalam pembangunan. Pertama ialah mengkufuri amanah yang dipertanggungjawabkan Allah kepadanya sebagai pemain dalam memakmurkan pembangunan manusia dan kedua ialah kegagalannya melaksanakan amanah Allah s.w.t..
                Allah bekalkan segala fasiliti hidup untuk  dimanfaatkan dalam melaksanakan pemba- ngunan tetapi ia mengkufuri nikmat mempunyai fasiliti tersebut. Fasiliti seperti kemahiran berfikir, mempunyai akal. semangat juang atau nafsu untuk melakar pembangunan diri, melaksanakan amanah yang dipertanggugjawabkan sebagai khalifah Allah, dan sebagainya. Mengkufuri nikmat-nikmat  Allah yang diamanahkan kepadanya akan menempah kedosaan yang akan menempatkannya di neraka jahanam.
                Setiap insan wajar memahami tujuan hidup di alam dunia.  Mengapa Allah wujudkan manusia sebagai khalifah-Nya di alam dunia? Apakah matlamat hidup manusia sebagai hamba Allah?  Untuk apa pembangunan itu kepada kehidupan? Allah s.w.t. menyeruh manusia supaya membaca kalam alam yang tercipta oleh Allah dan kalam Allah yang terucap oleh-Nya, iaitu al-Quranul Karim untuk tujuan apa? Apakah sumbangan kita sebagai rasa kesyukuran terhadap berbagai nikmat hidup yang Allah berikan? Semua persoalan tersebut memerlukan jawapan yang jujur dan ikhlas untuk memahami diri sebagai manusia.
                Untuk memahami tujuan manusia dihidupkan, kita perlu merenung kejadian diri kita sendiri. Di antara seluruh makhluk yang diciptakan Tuhan, manusialah makhluk yang tersem- purna, terindah, terbaik  dan terhormat sekalipun manusia bukan makhluk yang terbesar, terberat atau tertinggi. Firman Allah dalam surah Al-Tiin ayat 4 yang bermaksud (terjemahan): 
           “Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sebaik-baik kejadian.”
                Bumi dan matahari, bulan dan bintang, sekalipun besar, tinggi dan kokoh kuat, tetapi terdiri daripada benda mati, tidak ada perasaan dan kecekapan. Begitu juga binatang dan tumbuhan, sekalipun jauh lebih besar dan kuat daripada manusia, tetapi tak dapat berbuat apa-apa kerana tidak ada akal dan fikiran padanya.
                Adapun manusia, adalah makhluk termoden, mempunyai susunan tuguh yang lebih sempurna, mempunyai akal dan pemikiran, sehingga dengan akal dan fikiran itu, manusia hidup mempunyai kebudayaan dan peradaban, semakin maju dan maju, tidak ada penghujung kepada kemajuannya. Manusia sentiasa menerokai alam kehidupan serta memperbaharui keadaan hidup yang sedia ada.
                Manusia yang hidup 20 abad yang silam akan lain sekali dengan kehidupan manusia dalam abad ke-21 sekarang ini. Dan pasti lebih lagi manusia yang hidup 20 abad yang akan datang. Manusia selalu maju dan berubah.      
                Tidak ada suatu makhluk lain di dunia ini yang dapat melebihi manusia. Dengan kepandaian dan ilmu pengetahuan yang ada pada manusia, ia dapat menguasai daratan dan lautan dengan segala isinya, bahkan dapat menguasai udara atau sebahagian dari ruang angkasa.
                Sebab itu memikirkan kejadian manusia atau kejadian diri kita sendiri, adalah satu pemikiran yang besar dan amat berbekas terhadap fikiran manusia. Sebab itu  dalam berbagai ayat Al-Quran kita manusia dituntut benar oleh Tuhan untuk memikirkan kejadian manusia atau diri kita sendiri.
                Firman Allah Surah  Ath-Thaariq ayat 5 yang bermaksud (terjemahan): “Hendaklah manusia fikirkan, dari apa dia dijadikan.”
                Manusia yang mempunyai hati yang keras, yang sentiasa mengenali faktor kegagalan dalam hidup,  kalau mahulah dia sering memikirkan kejadian dirinya sendiri, tentu hatinya yang keras, serta sombong dan jahat, akan berkurang kesombongan dan kejahatannya. Rasa kesyukuran terhadap nikmat hidup akan timbul yang akan membuatnya menjadi pemain yang berwibawa dan sentiasa bersemangat untuk memakmurkan pembangunan kehidupan.
                Mengapa Allah wujudkan manusia sebagai khalifah-Nya? Diajarnya di dalam agama Islam bahawa Tuhan memerintahkan agar umat-Nya (manusia) selalu  menyembah dan menjun- jung Tuhan.
                Allah s.w.t. itu adalah Zat Yang Maha Agung, Maha Sempurna, Maha Suci dan Maha Terpuji, jauh dari segala sifat kekurangan, jauh dari segala kecacatan. Dialah asal pemulaan dari segala dan Dialah kesudahan dari segala yang ada. Hual Awaalu wal Akhiru. Manusia adalah jenis makhluk yang penuh kelemahan dan kekurangan. Manusia dicipta oleh Allah,  Segala sesuatunya tentang manusia dan lainnya bergantung  atas kesayangan dan kekurangan dan kemurahan Allah. Jadi kalau manusia menyembah Allah, memuja dan memuji Allah adalah hal yang wajar.
                Allahlah hanya yang layak dipuji dan disembah. Kita manusia penuh dengan cacat dan kelemahan jika dibanding dengan Zat  Tuhan. Kita adalah makhluk yang rendah dan hina dina, sudah sepantasnya kita menghormati dan menyembah terhadap Allah yang menciptakan segala nya, yang Maha Agung dan Maha Suci itu. Maka Al-Quranul Kariem, menyatakan manusia diciptakan Tuhan adalah dengan tujuan agar manusia menyembah Allah.
                Firman Allah yang bermaksud (terjemahan): “Tidaklah Aku jadikan Jin dan Manusia, melainkan adalah untuk menyembah kepadaku”(Surah Az-Zaariyat ayat (51) 56. Tujuan manusia dihidupkan di dunia ini adalah dua. Pertama ialah sebagai hamba Allah  dan Wajib sujud menyembah dan memuji-Nya. Dan kedua memelihara hubungan sesama manusia yang diikat dengan perasaan kasih sayang dan seterusnya memelihara hubungan manusia dengan Allah.
                Manusia diberi keistemewaan oleh Allah dengan adanya fakulti akal dan fikiran maka  itu dapat membezakan di antara yang baik dengan yang buruk. Akal dan fikiran itu sentiasa berteman dengan hati sebagai raja dalam diri manusia. Sentuhan hati dalam hubungan sesama insan akan melahirkan kasih sayang yang menjadi pemangkin kepada pembangunan manusia itu sendiri.
                Matlamat hidup manusia di sisi Allah ialah melaksanakan pekerjaan yang mulia kerana Allah. Manusia hidup di dunia ini dapat melakukan beratus bahkan beribu pekerjaan yang baik, dan dapat pula melakukan beratus  bahkan beribu macam pekerjaan-pekerjaan yang buruk. Di antara pekerjaan-pekerjaan yang baik yang dapat kita lakukan itu, yang paling mulia atau yang paling tinggi pada sisi Allah s.w.t. ialah menyeru manusia untuk beriman dengan Allah serta
melakukan pekerjaan-pekerjaan yang baik (amal saleh).
                Pekerjaan manusia yang menyeru kepada beriman dan beramal saleh kepada Allah dapat keselamatan dan kebahagiaan dunia dan juga akhirat nanti. Menyeru manusia untuk beriman dan beramal saleh bererti  mencabut dan menghindarkan manusia dari jurang  kesengsaraan dunia dan jurang kesangsaraan akhirat.
                Maka itu  para Rasul seluruhnya dan para sahabat menumpahkan segala waktu dan umur mereka, semua tenaga, fikiran dan harta mereka untuk menyeru manusia kepada Allah dan beramal saleh. Sekalipun diancam dengan beraneka ragam ancaman, mereka takkan mundur selangkah pun dari pekerjaan yang paling mulia itu. Mereka lakukan pekerjaan itu tanpa mengharapkan upah dari siapa pun, kecuali ganjaran pahala dari Allah semata.
                Dalam melaksanakan pekerjaan yang mulia itu mereka tidak kenal kegagalan. Menem- puhi kejayaan, mereka bersyukur dan menjadikannya sebagai pemangkin untuk terus mengukuh- kan amal saleh serta meningkatkan keimanan kepada Allah s.w.t. Apabila kejayaan tidak menyebalahi amal ibadah mereka, semangat juangnya semakin kuat serta merasa syukur kerana telah menempuhi ujian Allah s.w.t.
                Menempuhi kejayaan adalah lebih berat untuk disajikan dalam pembangunan diri berbanding dengan kegagalan kerana apabila manusia berjaya dalam usahanya memperbaiki  keadaan hidupnya, akan lahir kelemahan manusia yang ingin dipuji dan disanjung. Ia merasa sombong dan memencilkan diri dari orang yang memerlukan pertolongan. Maka itu ia lupa bahawa kejayaan itu adalah pemberian Allah s.w.t. Ia mengkufuri nikmat Allah yang berjaya diperolehinya.
                Kegagalan dan kejayaan yang kita temui dalam melaksanakan amal ibadah harus kita bersyukur kerana mungkin giliran kita belum sampai  untuk diberi kejayaan, maka Allah s.w.t. telah menguji kesabaran kita untuk menangani kegagalan
                Walaubagaimana pun jangan kesabaran itu disalagunakan. Sebagai contoh seorang datang tanpa apa-apa alasan tiba-tba memukul kepala kita dan kita berdiam sahaja. Apabila ditanya  orang mengapa tidak bertindak, kita mengatakan, “Saya lagi sabar!”
                Kesabaran semacam ini adalah salah pasang! Kesabaran harus diiringi dengan keikhlasan dan kemahiran berfikir. Kita hanya bersabar dan besyukur apabila ujian itu datang daripada Allah s.w.t. Kalau difikirkan  secara mendalam bahawa kegagalan itu merupakan satu kesyu- kuran kerana individu  berkenaan berpeluang mengenali dirinya lebih khyusuk lagi. Dengan kegagalan yang menimpa kepada usaha kita akan membawa kita mengingati Allah s.w.t.
                Jestru itu merasa lebih insaf terhadap kegagalan tersebut dan membawa kita untuk mengenali  kelemahan  yang ada pada diri kita. Dari perception demikian kehormatan  kepada orang yang telah berjaya pasti menjadi barometer untuknya lebih gigih lagi berusaha. Kemam- puan manusia hendak menangani kehidupan hanya setakat bertawakal semata, ketentuan kepada penghasilan adalah prerogative Allah s.w.t.Tetapi apa yang sentiasa menjadi masalah mengenai fenomena ini ialah tidak semua manusia memahami keadaan demikian.
                Hidup  adalah perjuangan, dan kejayaan atau kegagalan dalam berjuang wajar ditangani dengan hati yang sabar dan ikhlas kerana segala usaha yang kita laksanakan adalah berupa tawakal kerana Allah. Tujuan hidup ini ialah mengumpul pahala sebanyak mungkin demi kesejahteraan hidup di akhirat kelak. Insyallah!