(Disiarkan pada 17. 11. 2012)
Setiap ibadah atau usaha yang kita laksanakan merupakan tawakal kepada Allah s.w.t. kerana hanya Allah sahaja yang berkuasa untuk menghasilkan atau membuahkan segala aktiviti amal dalam hidup. Maka itu tidaklah terkeluar dari garis tawakal, jika kita berusaha menghindarkan diri dari kemelaratan, baik yang menimpa diri, atau harta benda, anak turunan.
Firman Allah surah Al-Muzzammil: 9 – 10 yang bermaksud (terjemahan) “Ambillah Dia (Allah) menjadikan wakil (tempat bertawakal) dan sabarlah menanggungkan yang dikatakan orang.”
Allah mengingatkan supaya Nabi s.a.w. bersabar di atas tindakan orang-orang kafir yang bodoh, jahil, mendustakannya dan memperolok-oloknya dengan perkataan “Engkau ahli sihir, seorang penyair dan orang gila”. Sesungguhnya Allah sahajalah yang akan menolong mengalah kan mereka. Bahkan Allah menyuruh Nabi s.a.w. menjauhi golongan orang-orang tersebut dengan cara yang baik tanpa membalas dengan menyakiti atau memaki-maki.
Adapun kesabaran atau tawakal menghadap ular yang hendak menggigit, binatang besar yang hendak menerkam, kala yang mengejar kaki, maka jika sabar juga menunggu, tidak berusaha menangkis, tidak bermakna tawakal lagi, tetapi bernama sia-sia juga. Berusahalah untuk menyelamatkan diri dari bahaya, setelah usaha itu ada barulah tawakal ada.
Tidaklah terkeluar dari garis tawakal jika dikuncikan pintu lebih dahulu sebelum keluar rumah, ditutup kandang ayam sebelum hari malam, dimasukan kerbau ke kandang sebelum hari senja. Kerana menurut Sunatullah, dikunci rumah dahulu barul pencuri tertahan masuk, ditutupkan pintu kandang baru musang tak mencui ayam.
Demikianlah telah terjadi di zaman Rasulullah s.a.w. seorang dusun tidak mengikat untanya sehingga unta itu terlepas, kerana katanya bertawakal kepada Tuhan. Oleh Rasulullah perbuatannya itu tiada disetujui, melainkan baginda berkata kepada orang tu: “Ikatlah dahulu untamu barulah bertawakal!”
Ingatlah ketika Rasulullah s.a.w. meninggalkan negeri Makkah hendak berhijrah ke Medina, bersembunyi di dalam gua di atas bukit Jabal Tur ketika dikejar oleh kafir Quraisy, berdua dengan sahabatnya Abu Bakar. Setelah bersembunyi dan tidak kelihatan oleh musuh lagi, barulah dia berkata kepada sahabatnya itu: Jangan takut Allah ada bersama kita.”
Tawakal adalah menyerahkan diri dan berpegang teguh kepada Allah s.w.t. Firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 51 yang bermaksud: “Katakanlah: tiada sekali-kali akan menimpa kami, melainkan apa yang dituliskan Allah bagi kami, dan hendaklah orang-orang yang beriman itu bertawakal (berserah) kepada Allah”.
Allah menyuruh rasul-Nya mengatakan kepada orang-orang munafik yang girang jika melihat Baginda itu ditimpa kemalangan begini: “Tidaklah sekali-kali akan menimpa kami sesuatu kemalangan, melainkan jika kemalangan itu telah ditakdirkan oleh Allah Azza Wajalla ke atas seseorang – samada perkara itu baik atau buruk, untung atau rugi, selamat atau bahaya, mujur atau celak dan lain-lain sebagainya – tak ada siapa-siapa yang dapat menahan daripada mengenai dirinya. Allah itulah yang memimpin kami, untuk memimpin dan memelihara akan diri kami. Dialah yang mematikan dan Dialah pula yang menghidupkan. Oleh sebab itu hendaklah bagi orang-orang yang beriman dan bertawakal, yakin berserah kepada Allah dalam segala urusan.”
Dalam surah Hud ayat 123, Allah berfirman yang bermaksud (terjemahan): “Dan kepunyaan Allah apa yang tersembunyi di langit dan di bumi, dan kepada-Nya seluruh urusan dikembalikan, maka sembahlah Dia. Dan tiadalah Tuhanmu lalai tentang apa yang kamu kerjakan.”
Allah menyatakan, bahawa Allah mengetahui apa yang terdapat di langit mahupun yang ada di bumi, dan segala urusan makhluk akan kembali kepada-Nya, maka Tuhan yang sedemi- kian sifat-Nya yang layak untuk disembah. Oleh sebab itu sembahlah Allah – jangan menyembah kepada yang lain, dan beribadatlah kepada –Nya – jangan beribadat kepada yang lain.
Begitu pula bertawakallah kepada-Nya. Yakni serahkanlah segala urusanmu kepada-Nya, kerana Tuhanmu sedikitpun tidak akan terlalai daripada mengetahui tentang apa yang engkau kerjakan dan sabarlah di atas segala penganiayaan orang kafir,pasti Ia akan memberikan balasan-Nya kepada kamu di dunia dan akhirat.
Kemurniaan hidup ditunjangi tawakal kerana Allah. Sesungguhnya Allah itu benar mematuhi janji-Nya dan menolong hamba-Nya dan meninggikan agama-Nya di atas segala agama. Mudah-mudahan Allah memberi kita taufik dan hidayah-Nya untuk beramal dengan suruhan-Nya, sesuai dengan yang disyariatkan. Tuhanlah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.
Menyerahkan atau bertawakal dirimu kepada Tuhan yang Maha Mulia dan Maha Penyayang. Allah berfirman dalam al-Quran surah Asy Syu’araa’ ayat 19 : 217 yang bermaksud (terjemahaan): “Dan bertawakallah kepada (Allah) Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.”
Hendaklah engkau serahkan segala urusanmu kepada Tuhan yang Maha Pekasa untuk menolok segala bahaya, dan juga yang dapat membalas kepada musuh-musuhmu yang hendak mencelakakan engkau. Dialah juga Tuhan yang penyayang kepadamu, kerana Dia akan memban tumu untuk mengalahkan mereka kerana rahmat-Nya.
Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Hibban yang bermaksud: “Sekiranya kamu benar-benar bertawakkal kepada Allah tentulah Tuhan merezekikan kamu, sebagai Tuhan merezekikan burung, ia pergi dengan lapar, ia pulang dengan kenyang pula.”
Usaha itu merupakan ibadah kerana Allah. Manusia diwujudkan Allah dengan satu tujuan supaya makhluk manusia menyembah dan beribadah kepada-Nya. Surah Az-Zaariyat ayat 56 yang bermaksud (terjemahan) “Tidak Aku jdikan jin dan manusia melainkan supaya menyembah kepada Ku.” Manusia dilengkapkan dengan berbagai fasiliti untuk melaksanakan amanah tersebut seperti mempunyai akal dan kemahiran berfikir untuk menimbang dan mentafsirkan amalan yang diredhai Allah s.w.t. demi kelangsungan hidup bertamadun.
Walaubagaimana pun ibadah atau usaha yang dilaksanakan mempunyai matlamatnya iaitu untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t. kelak mendapat pahala sebagai imbalan kepada usaha tersebut. Usaha yang dilaksanakan merupakan tawakkal kerana Allah. Maka memurnikan kehidupan di dunia wajar ditunjangi dengan tawakkal.
Dalam pembangunan manusia sejagat setiap insan diamanahkan untuk memakmurkan alam kehidupan. Tanggungjawab tersebut dikenali sebagai khalifah Allah. Memakmurkan alam kehidupan, seseorang itu semestinya dengan ilmu. Ilmu adalah zat pembangunan, maka usaha menuntut ilmu merupakan tawakkal kerana Allah.
Manusia yang dipilih sebagai pemimpin seharusnya mempunyai credibility atau keboleh- percayaan diri dalam semua hal kepimpinannya. Untuk mempunyai sifat pembangunan demikian individu berkenaan seharusnya mempunyai pengetahuan sebagai kekuatan diri dalam melaksana kan tanggungjawab sebagai pemimpin.
Maka usaha melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan merupakan tawakkal kerana tanpa usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh ilmu tidak datang dengan sendirinya. Setelah berusaha sepenuhnya kita berserah kepada Allah untuk memudahkan urusan mengilmukan diri. Mereka yang malas berusaha terkeluar dari garis tawakal kerana Allah tidak suka melihat hamba-Nya hanya menyerahkan untung nasib tanpa tawakkal.
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Seorang mukmin yang kuat tegap lebih sangat disukai Allah dari seorang mukmin yang lemah lesu. Kerana itu pegang teguhlah di tiap-tiap kebajikan yang akan memberi manfaat. Mohonlah pertolongan kepada Allah dan janganlah kamu menjadi orang lemah. Jika engkau ditimpa sesuatu bencana, janganlah engkau mengatakan: sekiranya aku berbuat begini, tentulah begini akan tetapi katakanlah: telah ditakdirkan oleh Allah….apa yang Allah kehendaki. Allah membuatnya….., kerana perkataan “sekiranya” itu, membukakan amalan syaitan” (Hadith riwayat Muslim: Al-wabilus saiyib).
Dengan ini jadilah amal dan usaha-usaha itu pokok yang utama dan terpenting bagi hidup bermasyarakat dan hidup bernegara. Islam mewajibkan dengan jalan-jalan yang lemah-lembut (yakni jalan-jalan yang diredhai Allah), serta Islam memerintahkan bertawakkal kepada Zat Yang Maha Kuasa dan Maha Penentu sambil berusaha itu. Supaya dengan demikian, pengharapan hasil usaha lebih kuat dan lengkap, supaya semangat untuk melancarkan usaha lebih tajam dan dinamis.
Pada suatu hari Saidina Umar berjumpa dengan segolongan manusia dari penduduk negeri Yaman yang tidak berusaha, yang hanya suka berpangku tangan, yang hanya bertawakkal buta.. Maka Saidina Umar berkata: “Kamu sekalian bohong semata-mata, kamu sekalian bukan orang yang bertawakkal kepada Allah; kerana orang-orang yang bertawakkal kepada Allah itu, menaburkan bibit ke dalam tanah subur, dan kemudian lalu menyerah diri atau berpegang kuat kepada Allah.”
Dengan penjelasan ini nyatalah, bahawa membasmi pengangguran dengan sehabis-habisnya di muka bumi ini dan mewajibkan usaha-usaha dengan jalan-jalan yang diredhai Allah untuk memperolehi harta kekayaan, adalah salah satu dari cita-cita dan perintah Islam. Islam membenci sifat berpangku tangan, sifat bertawakkal buta, sifat pengangguran bahkan Islam (Allah) memerintahkan supaya sifat-sifat yang rendah itu dibasmi sehabis-habisnya di permuka an bumi ini.
Islam tidak menyukai pengangguran dan pengemis kerana mereka malas dan tidak berusaha. Luqman pernah menasihati anak-anaknya: “Wahai anak-anakku! Lepaskanlah diri mu dari kepapaan dan tuntutkanlah kekayaan dunia dengan usaha-usaha yang halal. Ketahuilah, bahawa orang-orang yang papa, akan tertimpa atas dirinya tiga perkara: Tipis agamanya, lemah akalnya dan hilang maruahnya. Dan yang lebih besar dari itu, manusia memandang ringan kepadanya.”
Islam menggerakkan manusia untuk menegakkan dan kewajipan kemanusiaan, iaitu kewajipan beramal dan kewajipan berusaha. Mengerjakan amal-amal untuk akhirat dengan secukup-cukupnya dan berusaha dengan segala daya upaya yang mungkin dan halal untuk memperlengkapi segala rupa keperluan-keperluan hidup dan mencari kekayaan dunia, adalah dua kewajipan seseorang Islam yang ta’ dapat dielakkan. Kerana itu orang-orang yang tidak bekerja atau menganggur, bukan kerana kelemahan, terjauhlah orang itu dari kemanusiaan dan terlepaslah ia dari tuntutan Islam. Ia dipandang orang telah mati, walaupun ia masih hidup.
Berusaha dengan segala kesanggupan yang ada dan dengan jalan-jalan yang diredhai Allah, kemudian menunaikan segala hak-hak yang telah difardhukan-Nya, sederhana dalam perbelanjaan, membendaharakan harta-harta dan kekayaan untuk hari tua dan untuk hal yang mungkin terjadi, itulah tujuan yang dikasadkan Islam di dalam segala peradaban-peradaban dan ajaran-ajarannya.
No comments:
Post a Comment