((Disiarkan pada 30. 9.2016)
Apabila kita memikirkan dunia, kita
memahami bahawa ia tempatnya berbagai
makhluk yang diwujudkan oleh Allah (S.W.T.) yang bersifat hidup atau sebaliknya.
Makhluk yang hidup terbahagi kepada haiwan berbagai jenis seperti binatang,
burung, serangga, ikan, manusia dan sebagainya. Makhluk yang tidak hidup adalah
seperti udara, air, logam berbagai jenis, tanah, batu dan lain-lainnya. Manusia
merupakan makhluk Allah yang mempunyai ketinggian ilmu sehingga Allah mengamanahkannya
sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.
Dalam agenda memakmurkan alam kehidupan
di dunia, manusia kadangkala meng- kufuri amanah tersebut kerana kegagalan
manusia melaksanakan kekhalifahannya, manusia pula menjadi perosak kepada
kehidupan bangsanya sendiri. Peranan manusia sebagai bangsa pemakmur bumi telah
bertukar kepada bangsa perosak bumi.
Di mana pun sudut dunia ini sudah tidak
ada lagi tempat tinggal yang aman dan damai untuk didiami bukan sahaja sistem
kehidupan bangsa manusia yang telah dirosakkan oleh manusia itu sendiri, tetapi
dengan kedurjanaan dan kerakusan, manusia yang telah rosak ini juga telah merosakkan
sistem ekologi kehidupan. Kehidupan yang lain hinggalah kepada ekologi bumi
ini, yang merupaka amanah Tuhan ke atas manusia untuk dimakurkan.
Islam teristimewa daripada agama-agama
lain. Kesederhanaan dan keadilannya kerana mengambil jalan tengah antara
tuntutan rohani dengan kehendak jasad. Ia tidak melarang seseorang menggunakan
kebendaan selama diperolehinya kebendaan itu dengan cara-cara yang betul.
Allah telah berfirman dalam Al-Quran
yang memberi galakan untuk mendapatkan kedudukan yang baik dalam kedua-dua
bidang, rohani dan kebendaan secara bersama. Firman Allah dalam surah Al-Qasos
ayat 28:77 yang bermaksud: (Terjemahan)
“Dan
carilah pada apa yang telah dianugerahkan oleh Allah kepada kamu (kebahagian)
di akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagian kamu (keni’matan) duniawi dan
berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepada
kamu”.
Hendaklah engkau tuntuti keselamatan di
kampung akhirat dengan kekayaan yang dianugerahkan Allah kepada Engkau.
Hendaklah engkau cari pahala yang ada disisi Allah di akhirat dengan
membelanjakan harta yang dikurniakan Allah kepada mu pada jalan yang
mendatangkan keredaan Allah. Hendaklah engkau rebut kebahagiaan hidup di kampung
akhirat itu dengan membelanjakan kemewahan dunia yang sedang engkau nikmati,
kerana kebahagian hidup di kampung akhirat itu lebih baik dan lebih kekal dari
bersenang-senang dengan kemewahan dan kelezatan dunia.
Caranya adalah banyak, misalnya: Dengan
memberi sedekah atau derma kepada fakir miskin, untuk mendirikan masjid, surau,
sekolah madrasah, kelas-kelas bimbingan agama, taman didikan kanak-kanak dan
perpustakaan. Untuk membangunkan rumah sakit, klinik, rumah-rumah kebajikan,
pemulihan akhlak, musafir-khana dan lain-lain.
Maka membelanjakan harta, menggunakan
kekayaan yang melimpah-limpah, kenikmatan, kemewahan dan kemudahan moden yang ada, untuk
perkara-perkara yang disebutkan tadi adalah merupakan jalan ke arah
mendampingkan diri kepada Allah, dengan mendapat balasan di dunia dan pahala
serta kebahagiaan hidup di akhirat.
Jangan engkau meninggalkan penghidupan
di dunia yang menjadi bahagian engkau seperti makan, minum, berpakaian,
berhibur dan sebagainya dengan
mengutamakan kampung akhirat semata-mata seperti sembahyang, puasa, iktikaf di
masjid dan berwirid sepanjang masa. Salah sekali perbuatan setengah orang yang hanya mengerjakan sembahyang,
puasa dan zikir-zikir di masjid dengan
tidak berusaha dan mencari rezeki.
Begitu juga sebaliknya, iaitu orang yang hanya memetingkan penghidupan di dunia
dengan melupakan akhirat.
Hendaklah engkau berbuat baik
kepada sesama mahkluk. Suruhan berbuat baik ini
adalah
sebagai mengenang dan mengingat serta bersyukur kepada Allah, yang telah mengurniakan nikmat dan kebaikan
kepadamu – tanpa menghampakan balasan daripadanya. Pergauli mereka dengan muka
yang manis, tegur sapa yang baik dan pujian di belakangnya jika memang
selayaknya dipuji.
Janganlah engkau teringin hendak
melakukan tindakan atau usaha yang akan mendatangkan kesusahan kepada orang, atau merosakakan penghidupan
masayarakat, sehing ga mendatangkan bencana dan huru-hara di muka bumi.
Dewasa ini, sememangnya ramai
manusia yang membuat rekaan-rekaan baru, dengan tujuan hendak merosakkan moral
dan akhlak, juga menghilangkan akal dan nyawa manusia, misalnya menerusi
fesyen-fesyen pakaian yang tidak sopan,
bacaan dari buku-buku dan majalah serta gambar dan filem-filem luca, pil-pil
dan dada dengan penggunaannya yang salah, alat-alat senjata yang mengandungi
kimia beracun dan kuman yang membunuh, dan bermacam-macam rekaan lagi serta
bermacam-macam gerakan jahat yang
mendatangkan bencana di muka bumi. Semua yang mendatangkan bencana dan
kerosakan ini hendaklah dihindarkan.
Allah tidak sekali-kali akan memuliakan orang yang
berbuat bencana dan kerosakan di muka bumi. Sebaliknya mereka akan dihinakan-Nya, bahkan mereka akan
mendapat seksaan yang pedih, yang setimpal pula dengan kejahatan yang mereka
lakukan.
Manusia diwujudkan Allah sebagai
makhluk yang mempunyai ciri-ciri kejadiannya jauh lebih baik dan mulia
berbanding makhluk ciptaan Allah yang lain yang menghuni bumi-Nya ini. Keistemewaan manusia adalah
kehadiran roh serta fakulti-fakuliti lain seperti ilmu, akal, kemahiran
berfikir yang membolehkan manusia memahami teka-teki pembangunan kehidupan.
Dengan akal tersebut Allah
sempurnakan dengan perasaan kasih sayang antara sesama yang mengikatkan
hubungan yang erat dan mesrah antara sesama yang dikenal dengan ukhuwah
kemanusiaan. Ilmu yang membina persaudaraan manusia sejagat diperkukukan Allah
dengan menurunkan wahyu-Nya yang mengandungi berbagai ilmu tauhid dan
pembangunan yang dibawa oleh Malaikat Jibril untuk dipertanggungjawabkan kepada
manusia pilihan Allah iaitu Baginda Rasul Nabi Muhammad s.w.t.
Walaubagaimana pun ilmu pada masa
kini diguna untuk membuat berbagai persenjataan untuk tujuan menghapuskan
manusia di muka bumi Allah ini. Kecanggihan sains dan teknologi membina senjata
yang serba canggih itu yang tidak kenal saudara! Manusia menganggap senjata itu
adalah pemusnah manusia tetapi sebenarnya manusia yang mengendalikan senjata
itu untuk ditujukan kepada manusia adalah yang pembunuh dan pemusnah manusia
sebenar.
Perpaduan adalah satu agenda yang
melahirkan kasih sayang antara sesama manusia. Antara elemen yang terpenting
demi keselamatan dalam kelangsungan hidup ialah mengenali dan memahami antara
‘akidah Islamiah dan ciri-ciri jahiliyah, antara cara hidup Islam dan cara
hidup masyarakat jahiliah. Dengan cara itu seseorang itu berupaya untuk
mengetahui bagaimana Islam mampu membuat perubahan dalam masyarakat secara
global.
Hidup beragama menunjukkan satu
disiplin pembangunan yang sentiasa berlandaskan peraturan hidup serta
kesempurnaan bermasyarakat kerana Allah s.w.t.. Hidup yang mempu- nyai disiplin
adalah satu keadaan yang sentiasa dikawal oleh peraturan dan undang-undang awam
untuk melindungi keselamatan masyarakat dan menegakkan kebenaran. Agama Islam
sentiasa menunjukkan jalan yang benar, lurus dan mengesakan keagungan Allah
s.w.t..
Makhluk manusia diciptakan Allah
dengan satu tujuan iaitu menjadi khalifah-Nya, dan memakmurkan kehidupan di
alam dunia ini demi kesejahteraan hidup sebagai persediaan hidup di akhirat
kelak. Allah bekalkan akal dan kemahiran berfikir kepada umat manusia sebagai
kekuatan mengolah disiplin kehidupan. Allah yang Maha Pengasih dan Maha
Penyayang kepada manusia melengkapkan berbagai
ilmu pengetahuan apabila turunnya
wahyu
Illahi yang diterima oleh Rasul Nabi Muhammad s.a.w. kekasih Allah s.w.t.
dengan
perantaraan
malaikat Jibril.
Hidup berdisiplin kesejahteraan
ummat kerana manusia adalah makhluk bersosial yang memerlurkan kehadiran orang
lain dalam kelangsungan hidup bermasyarakat. Disiplin merupakan cara bagaimana
menangani hidup bersama orang lain agar kehidupan itu mempunyai peraturan dan
peradaban yang memelihara kesejahteraan bermasyarakat.
Hormat menghormati, tolong
menolong, bertolak ansur di mana sahaja ada peluang, serta bertoleransi
terhadap masalah antara sesama menjadi budaya hidup masyarakat berdisiplin.
Suasana demikian akan menguatkan hubungan kemanusiaan yang akan melahir kan
kasih sayang sebagai faktor menghidupkan ukhuwah kerana Allah s.w.t..
Disiplin yang mustahak sekali
untuk mengekalkan hubungan kemanusiaan yang diredhai Allah s.w.t. ialah hormat
menghormati yang diikat dengan kasih sayang sesama insan. Kehadiran merekalah
hidup ini menyeronokkan.
Mostesquieu, seorang penulis
Francis yang masyhur mengatakan bahawa kemewaan menjadi punca kepada kerosakan
republik. Dalam sistem demokrasi, kemewahan mengubah kan manusia dari cintakan
tanah air, dan dalam sistem Aristokrat menjadikan tokoh-tokoh pemimpin mementingkan diri sendiri yang menyebabkan berlakunya bencana.
Al-Quran berpendapat bahawa
kemewahan adalah menjadi faktor pembinasa umat seluruhnya. Oleh yang demikian
perlu diperangi golongan mewah yang rosak sehingga mereka tidak meliwati batas
yang dibenarkan. Ini kerana kebinasaan bukan sahaja akan menimpa orang-orang
mewah tetapi juga akan menimpa masyarakat seluruhnya.
Firman Allah dalam surah Al-Isra’
ayat 17:16 yang bermaksud: (terjemahan)
“Dan jika Kami
membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup
mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kederhaka
an dalam negeri itu, maka sudah
berhaklah berlaku terhadapnya ketentuan Kami, kemudian Kami hancurkan
negeri itu sehancur-hancurnya”.
Di dalam ayat ini dikhaskan
kepada orang yang hidupnya mewah, kerana merekalah golongan masyarakat yang
selalunya ditiru perbuatannya dan tindak-tanduknya oleh orang awam, dan
orang-orang yang hidupnya mewah itu jugalah yang paling cepat terpengaruh oleh
anasir-anasir maksiat lalu membuat penderhakaan kepada Allah.
Apabila Allah hendak membinasakan
sesebuah kampung kerana banyak maksiat dan dosa-dosa dilakukan di kampung itu
maka Allah tidak segerakan dengan
penyeksaan, malah Allah menyuruh orang-orang yang hidup mewah supaya taat, dan
apabila mereka masih ingkar maka mereka sebenarnya patut mendapat seksaan
akibat dosa yang mereka lakukan.
Kemewahan yang diamalkan oleh
segolongan manusia dalam sesuatu bangsa mengakibatkan kemiskinan kepada
orang-orang lain dalam bangsa itu. Kekurangan makanan dan barang-barang perlu
yang dialami oleh sesuatu bangsa pula akan menjadi sebab timbulnya kebencian,
dendam dan hilanglah perasaan kasih sayang dalam diri rakyat terhadap orang
yang berada dan mewah. Oleh sebab itulah kita lihat Allah menggambarkan
orang-orang yang mewah dengan dua sifat iaitu “zalim dan “melakukan dosa”.
Allah bayangkan orang-orang yang
mewah seperti dalam surah Hud ayat 11:116 yang bermaksud: (terjemahan)
“Dan orang-orang
yang zalim hanya mementingkan keni’matan mewah yang ada pada mereka, dan mereka
adalah orang-orang yang berdosa”.
Orang yang aniaya itu telah
dikurniakan oleh Allah kemewahan hidup, tetapi kemudian bermegah dan
menyombongkan diri dengan menghalang tersiarnya agama Allah. Mereka merupakan
juara pembuat dosa yang bermaharajarela kerana jiwa mereka telah terasuh di
dalam kemewahan dan dimajakan oleh
nikmat dan kesenangan. Suasana kemewa- han dan kederhakaan inilah yang lebih
mereka ikuti dalam kehidupan mereka daripada mengikuti ajaran rasul yang menyeru mereka ke jalan yang benar.
Sesungguhnya pengalaman telah
mengajar kita tidak berdosa bahawa: kemewahan itulah yang membangkitkan
kederhakaan untuk berbuat zalim dan melakukan dosa yang pada mulanya berkisar dariada kalangan pembesar dan orang
terkemuka, kemudian perlahan-lahan menjelar ke seluruh orang awam. Maka inilah
yang menyebabkan kebinasaan dan kehancuran sehingga meruntuhkan kemuliaan dan
kemerdekaan.
Kalangan pembesar dan orang-orang
terkemuka sepatutnya menjadi pemangkin kepada mayarakat umum supaya hidup
merendahkan diri dan jauhi budaya meminggirkan kumpulan tertentu kerana ras
diskriminasi akan meruntuhkan persaudaraan sejagat. Sebenarnya semua kita manusia adalah seketurunan dari
manusia pertama nabi Adam dan Siti Hawa. Seruhan kepada manusia agar
fahaman persaudaraan sejagat itu terus dijunjung dan dipertahankan; serta
dipelihara seperti memelihara nyawa sendiri. Jika manusia dapat memelihara
serta menjaga persaudaraan sejagat itu maka sesungguhnya manusia ini akan
menjadi bangsa yang paling mulia dikalangan bangsa-bangsa yang lain dan dapat
rahmat dan berkat serta keampunan dari Tuhan.
Oleh yang demikian hidupkan
perpaduan sejagat kerana ia menjadi pemangkin kepada keluruhan perlembagaan hidup
di sisi Allah s.w.t.. Hindarkan budaya menyombongkan diri kerana kemewahan itu
tidak ada manfaatnya di sisi Allah s.w.t. dan banyakkan kesepakatan dalam
segala urusan hidup. Allah akan sentiasa memudahkan hidup orang yang sentiasa
memikirkan kebahagian hidup orang lain. Agenda perpaduan jadikan sebagai tulang
belakang dalam hidup bermasyarakat kerana rahmatnya akan
membawa kita hidup bahagia di akhirat kelak, Insya Allah.
No comments:
Post a Comment