(Disiarka pada 15. 12. 2012)
Sesungguhnya memuji sesuatu kebaikan adalah suatu budi yang luhur. Pujian terhadap sesuatu kebaikan ataupun keindahan dan kemesraan, bererti penghargaan kepada kebaikan atau keindahan dan kemesraan itu, yang menunjukkan kebersihan batin. Merasa syukur adalah menunjukkan keiklasannya terhadap sesuatu yang membahagiankan jiwa.
Syukur akan Allah ialah: “Mempergunakan segala bahagian anggota pada wadhifahnya (kesanggupan dan tempatnya) masing-masing yang telah diturunkan baginya oleh Allah” Orang-orang yang mensyukuri Allah, tiada sekali-kali mahu mempergunakan matanya selain untuk memandang segala yang diharuskan dan diwajibkan Allah memandangnya. Demikianlah juga sentiasa melakukan dengan anggota-anggotanya yang lain-lain, seperti tangan, telinga, hidung, gigi mulut., kaki, otak dan lain-lain sebagainya, akan segala yang diharus atau diwajibkan Allah melakukan dengan semestinya.
Syukur pada asalnya ialah: “Mengakui kebaikian orang dan sentiasa mengingat-ingat dan membicara-bicarakan kebaikan-kebaikan itu”
Allah befirman surah Al-Baqarah:152 yang bermaksud (terjemahan): “Maka ingatlah akan Daku, supaya Aku ingat akan kamu bersyukulah kepada-Ku dan janganlah kamu mengingkari nikmat.”
Allah s.w.t. menyuruh kita mengingatkan Tuhan, nescaya Tuhan kelak mengingatkan kita, dan jangan sekali-kali kufur atau derhaka kepada-Nya. Suruhan zikir (mengingat Allah) di sini, oleh para Mufassirin dibahagaikan kepada tiga bahagian:
1 Mengingat Allah dengan lisan – bertasbih, tahmid dan tamjid – yakni mensucikan-Nya, memuji-Nya dan menyangjung-Nya – yang merupakan bacaan-bacaan yang diucapkan dengan lisan.
2 Mengingat Allah dengan hati – memikirkan kebesaran dan kekuasaan Allah yang terdapat pada tanda-tanda ciptaan-Nya dan alam yang terciptakan-Nya – yang dapat difikirkan dengan mengambil contoh dan iktibar daripadanya.
3 Mengingat Allah dengan anggota tubuh – dengan amalan dan kerja-kerja yang diperintahkan oleh-Nya – seperti; sembahyang, puasa, berbuat baik, berusaha dalam segala rupa khidmat yang memerlukan kepada gerak anggota tubuh badan.
Maka setiap manusia yang mengingat Allah dengan cara yang disubutkan tadi, pasti
Allah akan mengingat pula kepadanya. Orang yang mengingat Allah dengan mentaati-Nya, Allah akan mengingatnya dengan bantuan-Nya. Orang yang mengingat Allah pada masa lapang hidupnya dan pada masa kesusahannya dan kemalangannya. Orang yang mengingat Allah dengan beriman dan mentauhidkan-Nya, Allah akan mengingatinya dengan menjajikan syurga dan keredhaan-Nya.
Orang yang mengingati Allah dengan berhati ikhlas, Allah akan mengingatinya dengan melapangkan pada waktu kesempitan. Seterusnya mengingat Allah dengan sepenuh hati, dosa akan Allah ampuni, dan mengingat Allah dengan berdoa, Allah kurniakan apa-apa yang dipinta.
Surah yang sama ayat 172 yang bermaksud (terjemahan): “Wahai mereka yang beriman! Makanlah kamu dari yang baik yang telah Kami rezekikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah jika kamu benar-benar menyembah dia.”
Allah menyeruh orang-orang Mukmin agar memakan daripada rezeki-Nya yang baik-baik, kemudian menyeruhnya berterima kasih, kalau benar-benar mereka menyembah Allah. Makanan yang baik-baik itu ada dua macam: Pertama, baik pada mutunya dan kedua, baik kerana halal dimakan.
Makanan yang baik mutunya, manusia telah banyak yang tahu memilihnya – selain makanan itu enak rasanya – ada pula mengandungi vitamin (khasiat). Makanan yang halal pula, adalah ketentuan yang ditetapkan oleh agama. Ada kalanya jenis makanan yang tidak bermutu, tetapi halal untuk dimakan. Maka manusia diseru mengutamakan makanan yang bermutu (yang baik) – baik dari segi kesopanan mahupun kesihatan – serta halal pula dalam segi agama.
Janganlah memakan makanan-makanan yang sangat rendah mutunya serta hina pula jenisnya apalagi yang menjijikkan, sedang makanan-makanan yang baik-baik amat banyak disediakan oleh Allah untuk makanan manusia. Dengan segala rahmat Allah sediakan kepada manusia wajarlah anda bersyukur dan berterima kasih.
Firman Allah dalam al-Quran surah Luqman ayat 14 yang bermaksud (terjemahan): “Dan telah Kami pesankan kepada manusia terhadap (tentang) ibu bapanya: ibunya mengandung akan dia dengan sangat menderita lemah dan menyusukan dia selama dua tahun bersyukurlah kamu akan Daku dan akan (kepada) kedua ibu bapamu. Kepada Dakulah tempat kembalimu”.
Dalam Al-Quran kerap disebutkan tentang ketaatan terhadap Allah yang disertakan pula dengan ketaatan terhadap kedua ibu bapa. Hal ini sebagaimana ada tersebut pada ayat 27 surah al-Isra’ yang bermaksud (terjemahan): “ Tuhan mu telah memerintahkan janganlah kamu menyembah melainkan Dia (Allah) dan kepada kedua ibu bapa hendaklah berbuat baik.
Setelah itu Allah menyebutkan alasannya mengapa manusia disuruh berbakti kepada kedua ibu bapanya, tak lain kerana mengenangkan jasa-jasanya. Lebih-lebih lagi jasa ibu terhadap anaknya – dengan firman-Nya :
Ibunya telah mengandungkannya dengan menderita kelemahan di atas kelemahan.
Jasa ibu disebutkan di sini secara khusus, memandangkan kepada adanya berbagai-bagai penderitaan yang dialaminya. Seorang ibu mula-mula akan merasakan sedikit lemah apabila telah mengandungkan anak. Kelemahan itu semakin bertambah pada sekujur anggotanya apabila kandungannya semakin besar. Hingga apabila telah cukup bulannya, bayinya akan dilahirkan, dia pun merasakan sakitnya melahirkan anak suatu derita yang tak terperikan.
Derita itu tidak dapat hendak digambarkan oleh penduduk langit dan bumi, kecuali orang yang mengalami sebagai ibu. Itulah masanya ibu menyambung nyawa, dia berjuang semasa melahirkan kandungannya antara hidup dengan mati layaknya.
Apabila bayi selamat dilahirkan, jadilah bayi itu sebagai ubat penawar kepada ibu, yang menyebabkan lupa kepada penderitaan yang pernah dialaminya, ini tak lain kerana kegirangan semasa menyambut dan menetapkan wajah buah hatinya. Namun kesan-kesan lemah masih juga terdapat pada tubuhnya hingga sampai kepada hari-hari berpantang (nifas) itu berakhir.
Kemudian sebaik-baik sahaja bayi itu dilahirkan dia perlu disusukan. Air susulah bahan makanan yang Tuhan bekalkan pada diri ibu yang melahirkan anak, dan dia kaya dengan zat-zat yang tidak dapat ditandigi oleh lain-lain bahan makanan bayi.
Ini juga merupakan jasa ibu, yang bukan hanya setakat menyusukan bahkan juga memberikan kasih sayang yang dicurahkan dan belaan berat yang dipikulnya. Dua tahun adalah jangka masa yang agak lama menjadi batas masa menceraikan tetek, atau menyusukan anak mulai diberhentikan. Dalam tempuh selama itulah seorang ibu tidak mengenal jerih payah membelai anak, tidak mengenal siang atau malam ia dikejutkan oleh tangisan anak, dan sentiasa melayaninya bila-bila diperlukan.
Tersangat berat tanggungan ibu kepada anaknya, lantaran itulah Baginda Rasul Nabi Muhamad s.a.w. tatkala di tanya oleh seseorang: “Kepada siapakah mula-lula sekali saya mesti berbakti?” Jawab Baginda: “Ibumu kemudian ibumu kemudian ibumu lagi, selepas itu baharulah kepada ayahmu.”
Maka itu hendaklah engkau berterima kasih kepada Allah di atas nikmat yang dikurnia kan-Nya. Dan hendaklah juga berterimakasih kepada kedua ibu bapamu, kerana keduanyalah yang menjadi sebab kelahiranmu, membela dan mendidik agar engkau menjadi manusia yang baik tanpa ia menghiraukan penat lelah dan kesusahan yang mereka derita.
Engkau disuruh bersyukur, supaya beringat bahawa kepada Allah sahaja engkau dikem- balikan - bukan kepada yang lain – bagi mendapatkan pembalasan. Oleh sebab itu awaslah! Jangan sampai engkau menyalahi perintah Allah dan jangan menderhakai ibu bapa atau mengingkari jasa-jasanya.
Nikmat Allah yang diperolehi para makhluk tak dapat dihitung-hitungkan tetapi mengapa kah ada di antara mereka yang memalingkan diri dari bersyukur? Yang memalingkan mereka dari bersyukur ialah, kebodohan dan kelalaian. Kebodohan dan kelalaian menghalangi mereka memahamkan nikmat. Seseorang itu tidak mensyukuri sebelum mengetahui nikmat yang disyukuri.
Akan tetapi, jika sesudah mengetahui nikmat dan mengetahui erti syukur, masih juga tidak mahu bersyukur, nyatalah bahawa dia itu telah digagahi nafsu yang murka dan dijajah jiwanya oleh syaitan yang terkutuk.
Udara yang kita masih dapat menghirupnya walaupun kita dalam suatu kurungan; cahaya matahari yang masih dapat kita lihat, walaupun kita di dalam pagar berduri, suatu nikmat yang sangat besar. Sekiranya udara itu tertahan barang sekejap saja, tentulah kita mati tecekek. Alangkah besarnya nikmat ilahi.
Kesyukuran mempunyai mata untuk melihat merupakan antara ibadah yang terpenting dalam menangani kehidupan. Dengan adanya mata kita dapat melihat dan memahami keadaan alam kehidupan. Orang yang tidak mensyukuri segala nikmat hidup Allah berikan akan merasakan kepayahan demi kepayahan untuk menangani hidup jika Tuhan tarik balik nikmat mempunyai mata.
Dengan kecanggihan teknologi mata itu membolehkan manusia membuat berbagai aktiviti kehidupan di dunia ini. Nikmat mata ini adalah segala-galanya untuk memahami nikmat hidup di sisi Allah s.w.t. Benda-benda bermacam-macam bentuk, warna yang cantik menyegar kan perasaan dan menyerap ke dalam hati yang sentiasa senyum menerima keidahan bumi Allah ini.
Segala aktiviti kehidupan samada menimba ilmu pengetahuan, bermasyaraka, berkasih sayang semuanya dapat dilakukan dengan mudah disebabkan adanya nikmt mata. apabila manusia mengkufuri kenikmatan mata maka Allah akan mengambil balik nikmat mata dan akan hidup dalam kegelapan.
Kesyukuran dan keikhlasan tunjang keimanan kepada Allah. Kita berlaku ikhlas ialah kita melaksanakan sesuatu amal semata-mata kerana Allah, yakni semata-mata kerana iman akan-Nya dan semata-mata kerana mengharapkan akan Dia.
Ibadat yang dipandang sah oleh Allah, ialah ibadat yang dikerjakan kerana dan untuk Allah sendiri tiada dicemari oleh sesuatu tujuan yang lain. Sesungguhnya ikhlas itulah ruh (jiwa) sesuatu amalan. Maka barangmana amal yang ditunaikan oleh seseorang hamba dengan tak ada ikhlas padanya, hendaklah diyakini, bahawa amalan yang ditunaikan itu tidak mempunyai ruh. Memanglah dan sesungguh ikhlas itu syarat diterima amal.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud (terjemahan): “Dan tiadalah diperintahkan mereka, melainkan supaya mereka beribadah kepada Allah seraya mengikhlaskan hatinya kepada Allah
lagi condong kepada kebenaran:. (Surah Al-Bayyinah ayat 98).
Apabila sesuatu pekerjaan yang ada hubungan sesama manusia atau sesuatu amalan yang ada hubungan dengan Allah s.w.t. tidak disertai dengan hati yang ikhlas maka segala pekerjaan dan amalan itu akan tertolak. Sebab itu orang-orang yang dapat mengikhlaskan diri dan amalannya hanya kerana Alla s.w.t. dan tidak kerana selain dari Dia maka itulah darjat yang mulia disisi Allah s.w.t..
No comments:
Post a Comment