(Disiarkan pada 29. 12. 2012)
Secara
kasar, takwa merujuk kesedaran mengenai kehadiran dan kekuasaan Allah di sepanjang masa.
Prinsip takwa pula merujuk satu gagasan mertritokrasi yang menyeluruh, yang
merang kumi aspek keimanan, keilmuan, kerohanian, kebendaan, akhlak, dan amalan
yang soleh.
Menurut Islam, kalbu menjadi
bercahaya apabila manusia sentiasa berzikir kepada Allah. Konsep berzikir
merujuk proses merenung sesuatu dengan tujuan mengingatinya. Konsep ini
menggambarkan hubungan yang akrab antara insan dengan Pencipta (Syed Muhamad
Dawilah, 1993). Amalan berzikir secara berterusan hanya dapat dilakukan oleh
orang yang bertakwa kepada Allah. Jadi, takwa berfungsi sebagai paksi bagi
perlaksanaan zikir yang berterusan. Zikir pula merupakan satu mekanisme utama
bagi memperolehi ilham daripada Allah. Melalui ilaham, manusia memperoleh ilmu
kerohanian dan hikmah daripada Allah.
Takwa ertinya ialah telah menjalankan
semua yang diperintahkan oleh Allah dan menjauhi
segala yang dilarang oleh Allah. Takwa ertinya menyesuaikan diri dalam hidup
ini dengan kehendak dan keredhaan Allah. Takwa bererti berhati-hati dalam
segala gerak-gerik, tidak tunduk dalam hidup. Gerak-gerik dan tindak
tanduk hidup itu tidak hanya semahunya
saja, tetapi disesuaikan dengan ajaran Allah dan Rasul-Nya.
Kalau ada manusia yang sudah
yakin dan iman terhadap Allah tetapi berlaku semau-maunya di dalam hidup, tidak
peduli perintah dan larangan Allah, tidak kenal halal atau haram, maka inilah
manusia yang terpedaya, atau tertipu di dalam hidup ini, tertipu atau terpedaya
oleh kehidupan dunia.
Firman Allah Surah Luqman ayat
33 yang bermaksud (terjemahan): “Sesungguhnya
janji Tuhan itu benar, maka janganlah kamu tertipu oleh kehidupan di dunia ini, dan jangan kamu
sampai tertipu oleh tipuan apa saja terhadap Tuhanmu.”
Orang yang iman
dan takwa terhadap Tuhan, Tuhan bukan hanya memuji, tetapi menjanjikan beberapa
janji yang besar: Firman Allah Surah Al-A’raaf ayat 96 yang bermaksud (terjemahan)
“Sekiranya penduduk dari satu negeri
(negara) beriman dan takwa, niscaya akan Kami curahka kepada mereka berkat
(kurnia) dari langit dan dari bumi, tetapi mereka mendustakan, maka Kami
turunkan siksaan sebagai akibat perbuatan-perbuatan mereka sendiri.”
Rasa iman dan
takwa bukan hanya diperlukan untuk mendapatkan syurga di alam akhirat nanti,
tetapi keperluan pula untuk mencapai kebahagian, keselamatan dan ketenteraman
hidup di dunia fana ini.
Manusia yang sebenarnya kaya dan
keluaran sekolah tinggi, yang ta’ dapat menciptakan rumah tangga yang bahagia,
hendaklah mulai sedar dan berfikir, kenapa dengan kekayaan yang berlimpah dan
pengetahuan yang melangit tingginya ini, saya ta’ sanggup menciptakan rumah
tangga yang aman dan tenteram, rumah tangga yang gembira dan bahagia? Mengapa
mudah betul berlaku perselisihan faham antara saya dan isteri atau antara anak-anak, antara saya dan mentua
atau tetangga dan teman-teman.
Bagi saudara yang mengalami
nasib demikian, jangan bersusah payah mencari sebab dan musabab, jangan terlalu
lekas menyalahkan isteri, anak, mertua
dan sebagainya, tetapi coba menyalakan diri sendiri. Kalau kesalahan diri
sendiri pun tidak diketahui pula, maka segala
kerumitan ini adalah siksaan dari Tuhan, lantaran saudara tidak cukup
iman dan takwa terhadap Allah s.w.t. Saudara terlalu banyak menerima nikmat dan
berkat dari Allah, tetapi selalu lupa atau menentang terhadap Tuhan.
Begitu juga saudara lainnya yang
merasakan diri pintar dan kuat, merasakan diri gagah
dan
pekasa, diri cantik dan rupawan tetapi gagal dalam mengatasi berbagai kesulitan
yang dihadapi, baik kesulitan rumah tangga, jawatan, kesulitan bangsa atau
negara, kesulitan dunia atau antarabangsa, janganlah lekas menimpakan kesalahan
kepada orang lain, tetapi carilah kesalahan diri sendiri. Dan kalau tak
terdapat kesalahan peribadi, sedari pulalah, itu siksaan Tuhan, siksaan yang diturunkan Tuhan kerana lupanya manusia
kepada Tuhan. Ubatnya yang termujarab ialah lekas tobat dan minta ampun,
perdalamkan iman dan ketakwaan terhadap Allah.
Firman Allah surah At-Thalaaq
ayat 2 dan 3 yang bermaksud (terjemahan): “Barangsiapa
yang takwa dan berbakti terhadap Allah, nescaya Allah tunjukkan kepadanya jalan
keluar (way out), dan Allah akan berikan dia kurnia atau rezeki dengan jalan
yang dia tidak sangka.”
Jadi jalan keluar dan
penyelesaian yang membawa kejernihan fikiran dan urusan akan dapat dicapai oleh
manusia yang benar-benar beriman dan takwa. Bukan hanya jalan keluar atau penyelesaian, tetapi malah Allah akan berikan
kepadanya rezeki atau kurniaan yang tidak tersangka.
Perkataan takwa terbitnya dari
tiga huruf iaitu: ta’, kof, dan wau. Ta’
adalah asas kepada perkataan tawadhuk atau rendah diri; kof dari perkataan
kenaah atau merasa cukup apa yang
ada; dan wau dari perkataan warak atau
tidak subahat, lebih-lebih lagi koropsi atau rasuah. Ketiga-tiga perkataan
tersebut adalah ciri-ciri seorang yang mempunyai sifat ketakwaan kepada Allah
s.w.t.
Apakah itu yang dikatakan
tawadhuk? Tawadhuk ialah “Manusia berpendapat bahawa ia berasal dari tanah,
seluruh manusia bersamaan pada asalnya dan ta’ ada kelebihan yang satu atas
yang lain melainkan dengan takwa”.
Apabila pendapat seperti yang
tersebut di atas ini telah memberi bekas dan kesan pada seseorang, maka dengan
otomatis iapun merendahkan sayapnya serta hilanglah ujub dan takab- burnya dan
berjalanlah ia di atas bumi ini dengan tiada bongkak, terjauh dari sombong dan
angkuh.
Sabda Nabi s.a.w. “Hendaklah mereka berhenti dari
bermegah-megah dengan orang-orang tua
mereka yang telah meninggal, hanyasanya (yang dimegah-megah) itu
sepotong orang dari orang-orang jahanam, atau biarlah mereka menjadi lebih
sangat hina di sisi Allah dari binatang kumbang yang mengambil tahi dengan
hidungnya. Bahawasanya Allah telah menghilangkan dari kamu perasaan jahiliyah
dan bermegah-megah dengan orang-orang tua. Hanyasanya manusia itu mukmin yang
takwa atau fasiq yang celaka, manusia itu semuanya anak Adam, dan Adam
(dijadikan dari tanah). (HR Abu Daud, At Tirmidzi – Majmu’ah Ahadiets Naah)
Dengan sabda Nabi ini, nyatalah
kepada kita bahawa di antara tawadhuk ialah tiada membangga-banggakan diri
dengan kerana keturunan baik dan dengan kerana berpangkat, berpengetahuan
tinggi, berharta dan berkepandaian.
Untuk mewujudkan tawadhu yang
hakiki, para manusia harus merenungi: “Dari mana dan ke mana?” Hendaklah ia
menginsafi, bahawa ia dari tanah, kemudian menjadi setitis air mani, kemudian
menjadi segumpal darah, kemudian menjadi seketul daging, kemudian menjadi tubuh
yang beku, kemudian diberi roh, kemudian lahir hidup ke dunia.
Sesudah melalui bertahap-tahap
hidup, ia pun menghadapi mati, tubuhna hancur berserak-serak, menjadi makanan
ulat dan kembali suku-suku anggotanya
kepada asalnya masing-masing. Walhasil, dari nuthfah yang hanyir menuju kepada
bangkai yang dijijiki. Ini sebab pertama yang menghasilkan tawadhuk.
Agama menghendaki tawadhuk,
bukan tadzallul bukan merasa hina diri ta’ berani mengangkatkan kepala,
menyisih-nyisih diri ke tepi masyarakat. Maka tawadhuk yang dikehendaki agama,
menghasilkan berbagai rupa faedah untuk diri masyarakat.
Orang yang tawadhuk dicintai
orang, kerana ramah-tamahnya, kerana halus budinya,
kerana
lemah-lembutnya, tidak sombong dan bongkak.
Jika orang yang bertawadhuk itu,
orang yang berilmu, maka dengan tawadhuknya, dapatlah bertambah ilmu-ilmunya,
lantaran dia tidak merasa rendah menanya atau mengambil faedah dari orang yang
rendah kedudukan daripadanya dan tidak enggan menerima yang hak dari siapa
saja. Jika ia orang hartawan, dengan sifat tawadhuknya, dapatlah ia menggauli
fakir miskin.
Dengan pergaulan itu, timbullah
rasa sayang, rasa rahmat dan bergeloralah semangat memberi pertolongan.
Hartawan yang tawadhuk tidak menyukai kebesaran yang palsu, kebesaran khayalan.
Jika ia seorang yang berkedudukan tinggi tawadhuknya memberi pengertian yang
benar kepada kedudukannya. Kedudukan yang tidak dipergunakan untuk
kemashlahatan masyarakat dan
anggota-anggotanya, tidak ada ertinya. Pembesar yang sombong, tidak dirapati manusia.
Kemegahannya hanyalah buat dia sendiri. Masyarakat tidak mengecap apa-apa dari
kemegahannya.
Cuma saja kita peringatkan:
hendaklah pembesar-pembesar itu berhati-hati, jangan sampai ketawadhukkannya
menyebabkan kurang dihormati, kurang disegani, kurang dipedulikan aturan-aturan
yang dijalankan.
Sabda Nabi saw. “Kebahagian itu untuk orang-orang tawadhuk
di bukan tempat menghinakan dirinya, membelanjakan harta-harta yang dikumpul di
bukan maksiat, merahmati orang-orang
yang hina dan miskin dan menggauli orang-orang yang baik dan berilmu tinggi”. (HR
Bukhari Jami ‘ Shaghiri).
Dalam perkataan takwa kita
mempunyai suku kata “kof” dari perkataan qanaah yang bermaksud menerima dengan
cukup. Qanaah itu mengandungi lima perkara:
1.
Menerima
dengan rela akan apa yang ada.
2.
Memohon
kepada Tuhan tambahan yang pantas, dan berusaha.
3.
Menerima
dengan sabar akan ketentuan Tuhan
4.
Bertawakal
kepada Tuhan.
5.
Tidak
tertarik oleh tipu daya dunia.
Itulah
yang dinamai Qanaah, dan itulah kekayaan yang sebenarnya.
Rasulullah s.a.w. berabda: “Bukanlah kekayaan itu lantaran banyak
harta, kekayaan ialah kekayaan jiwa.” Rasulullah s.a.w. bersabda juga yang
bermaksud: “Qanaah itu adalah harta yang
ta akan hilang dan pura (simpanan) yang tidak akan lenyap.” HR: Thabrani dari
Jabir)
Orang yang mempunyai sifat
qanaah telah memagar hartanya sekadar apa yang dalam tangannya dan tidak
menjelar fikirannya kepada yang lain.
Barang siapa yang telah beroleh rezeki,
dan telah dapat yang akan dimakan sesuap pagi sesuap petang, hendaklah
tenangkan hati, jangan merasa ragu dan
sepi. Tuan tidak dilarang bekerja mencari penghasilan, tidak disuruh berpangku tangan dan malas lantaran
harta telah ada, kerana yang demikian bukan qanaah, yang demikian adalah
kemalasan. Bekerjalah, kerana manusia dikirim ke dunia untuk bekerja, tetapi
tenangkan hati, yakinlah bahawa di dalam pekerjaan itu ada kalah dan menang.
Jadi tuan bekerja lantaran memandang harta yang telah ada belum mencukupi,
tetapi bekerja lantaran orang hidup tak boleh mengganggur
Qanaah, adalah tiang kekayaan yang
sejati. Gelisah adalah memiskinan yang sebenarnya. Tidak dapat disamakan lurah
dengan bukit, tenang dengan gelisah, kesusahan dan kesukaan, kemenangan dan
kekalahan, putus asa dan cita-cita. Tak dapat disamakan orang yang berjaya
dengan orang yang muflis. Keadaan-keadaan yang terpuji itu terletak pada
qanaah, dan semua yang tercela itu terletak pada gelisah.
‘Wau’ terbitan dari perkataan warak yang
bermaksud taat dan patuh kepada perintah
Allah; tidak melakukan yang dilarang oleh agama Islam; sentiasa mengerjakan
perintah Tuhan. Ia terpelihara baik yang subahat lebih-lebih lagi yang haram.
Tidak sama sekali mendekati amalan korupsi atau corruption.
Murnikan hidup anda di dunia yang fana
ini dengan ketakwaan kepada Allah s.w.t. demi membangunkan peradaban manusia
sebagai khalifah Allah s.w.t.. Allah akan perkenankan ganjaran-Nya yang tidak
terhitung banyaknya. Insallah!
No comments:
Post a Comment