Wednesday, January 9, 2013

FATAMORGANA ALAM KEHIDUPAN UJIAN KEPADA KEIMANAN


 (Disiarkan pada 5. 1. 2013)
Faktor jelmaan fenomena fatamorgana alam mendidik manusia untuk memahami kewujudannya di sebalik sesuatu yang nyata. Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. sering berdoa: “ Ya Allah berilah aku kekuatan untuk melihat yang putih itu adalah putih dan yang hitam itu adalah hitam”. Ini bermakna dalam menelusuri kehidupan dunia banyak elemen serta permasalahan yang mengganggu penglihatan serta pemikiran manusia menjadikan sesuatu yang nyata itu diselubungi oleh fatamorgana alam.
                Perkara kedua ialah Rasul berdoa untuk meminta perlindungan Allah  agar ia tidak tertipu dengan keadaan sesuatu fenomena. Baginda juga mengelakkan diri dari tertipu oleh fatamorgana alam yang akan menghayalkan beliau dari kebenaran kelak mengabaikan tanggungjawab sebagai Rasul untuk memelihara  akidah Islam.
                Mengambil satu kejadian alam, apabila kita sedang memandu kereta di atas jalan raya yang berturap, semasa mata hari sedang memancarkan cahayanya  yang  panas pada masa pukul dua belas tengah hari, kelihatan nun di hadapan di atas jalan raya, seolah-olah ada sebuah kolam air yang sedang bergerak bagikan gelombang air yang ditiup sang bayu yang sepoi-sepoi. Kejadian demikian sebenar adalah disebabkan wap yang panas dipantul dari bumi yang berturap ke udara memukau pada mata memandang maka otak memempunyai kefahaman bahawa kehadiran air ada di situ.
                Keadaan alam demikian adalah kekuasaan Allah s.w.t. sebagai satu tamsil kepada manusia untuk mengambil iktibar bahawa segala hidangan Allah di alam kehidupan mempunyai maknanya yang tersendiri. Terpulanglah kepada setiap insan mentafsirkan dan menterjemahkan nya dalam membangunkan tamadun kehidupan.
                Allah telah menurunkan wahyu-Nya yang pertama kepada manusia(Muhammad) supaya membaca alam ini serta memahami fenomena kejadiannya sebagai satu teka teki kehidupan kelak mendekatkan kita kepada Zat yang Maha Pencipta alam iaitu Allah s.w.t.. Kalam Allah terbahagi kepada dua fenomena, iaitu kalam yang terucap oleh Allah iaitu al-Quran al-Karim dan kedua ialah kalam yang tercipta  oleh-Nya iaitu alam ini dengan berbagai jenis makhluk yang ada di dalamnya.       
Kedua-dua kalam Allah tersebut mempunyai tamsil kepada kehidupan manusia di dunia yang fana ini. Tamsil atau kias bahasa pada kalam Allah itu mendidik kita untuk memahami kekuasaan Allah s.w.t. dan mengambil iktibar darinya untuk memurnikan pembangunan kehidupan di alam dunia demi kemanfaatan hidup di akhirat kelak.
                Jelmaan fatamorgana alam menguji kita untuk jangan mudah terpedaya dengan sesuatu yang belum ada kepastian kewujudannya. Mengambil satu contoh lagi yang mudah saja seperti pepatah Melayu yang mengatakan “Mendengar guruh di langit air di tempayan dicurahkan!” Membawa maksud, apabila kedengaran bunyi guruh di langit, hati memberi tahu bahawa hujan akan turun, maka itu air yang ada ditempayan dibuang untuk membersihkannya sebagai persediaan menanti hujan turun. Apabila hujan tidak jadi turun maka kita telah melakukan sesuatu yang merugikan. Air di tempayan yang sedikit itu mugkin boleh digunakan untuk mencuci alat pinggan mangkuk sementara menanti hujan turun.
                Fenomena demikian berlaku kepada kehidupan masyarakat kampung masa dahulu yang serbah serbih kekurangan, tidak mempunyai kemudahan hidup seperti masa kini. Tidak punya air paip dan bekalan air hanya didapati dari sungai, perigi atau air hujan sahaja. Maka itu segala kegunaan air hanya  mengharapkan dari punca air tesebut.
                Faktor fatamorgana alam juga menjelma dalam pemikiran manusia yang tidak disusuli dengan amal ibadatnya. Pepatah Melayu mengatakan “Indah berita dari rupa” yang membawa maksud keindahan pembangunan yang disebarkan melalui berbagai media masa mahupun dalam ucapan pemimpin tertentu di khalayak ramai amat hebat dan mengkagum pada telinga mendengar. Tetapi daya perlaksanaannya jauh panggang dari api. Kenyataan pada perancangan nya tidak disusuli dengan kenyataan.
                Fatamorgana dalam diri manusai sering berlaku yang tanpa berhati-hati tentang kehadiran nya akan merosakkan iman dan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. Faktor fatamorgana yang sentiasa mengganggu perlaksanaan ibadat manusia sebenar ialah kefasikan iblis dan syaitan menggelincirkan manusia di jalan yang diredai Allah s.w.t.. Tanpa mematuhi ajaran Allah dan hanya mementingkan diri sendiri akan melahirkan kekufuran kepada Allah yang kelak mengudang kedosan
                Iblis merupakan musuh ketat manusia dalam hidup sebagai membalas dendam kerana gara-gara manusialah (Adam) iblis dikeluarkan oleh Allah dari syurga-Nya. Faktor ini telah diberikan Allah kebenaran kepada iblis untuk menuntut bela dengan peringatan bahawa iblis hanya dapat melakukan rancangannya  kepada manusia yang jauh dari akidah Islam atau jauh dari Allah s.w.t.
                Manusia yang jauh dari Allah  ialah mereka yang tidak mempunyai ilmu tauhid, kerana amal adalah hasil dari ilmu. Lantaran itu pepatah pernah mengatakan: Ilmu tanpa amal umpama pohon tanpa buah atau ilmu tanpa amal umpama awan tanpa hujan. Ilmu juga merupakan hasil dari keimanan yang benar kerana tidak dapat menggambarkan wujudnya keimanan tanpa amal.
                Al-Quran al-Karim telah mengaitkan antara  iman dan amal  di dalam puluhan ayat. Sebab itulah generasi Salaf telah berkata: “Keimanan ialah apa yang telah diakui di dalam hati serta dibenarkan oleh amal.” Amal yang dituntut ialah; mengerahkan keupayaan yang rasional untuk melaksanakan matlamat syarak terhadap manusia di atas permukaan bumi.
                Iman sering dilemahkan oleh fantasi mencari kekayaan dunia. Setiap masyarakat mempunyai system ekonomi yang khusus yang menjadi falsafah, akidah, teladan dan pandangannya terhadap individu, masyarakat, harta, tugasnya serta ideanya terhadap agama, dunia, kekayaan dan kemiskinan. Semua ini mempengaruhi manusia dalam hubunganya terhadap penghasilan kekayaan, cara memperolehi serta terbentuknya sistem ekonomi sesebuah masyarakat.               
                Kekayaan menjadi agenda setiap individu dalam menelusuri kehidupan bertamadun. Tetapi kekayaan itu kadangkala menjadi pemangkin kepada individu tertentu untuk membentuk hidupnya lebih mulia dan meremehkan perjuangan orang lain. Maka kefahamannya untuk memperolehi kebahagian yang diberi  oleh kekayaan pasti mengeretnya untuk melihat di dalam fantasi hidangan-hidangan fatamorgana alam.
                Di alam fantasi tersebut iman dan akal tidak lagi memimpin diri untuk membina tamadun kehidupan yang diredai Allah s.w.t.. Maka timbullah budaya-budaya yang tidak sihat serta membelakangi faktor ibadat kerana Allah. Pencarian kekayaan cara demikian telah memimpin diri untuk melihat benda yang haram menjadi halal baginya.
                Manusia mempunyai adab yang akan mewarnai kehidupannya di landasan yang diterimapakai oleh msyarakat dan mendapat jaminan keredaan Allah s.w.t.. Akal dan nafsu adalah dua fakulti dalaman manusia yang sentiasa bertelingkah dalam memurnikan kehidupan. Tetapi dengan kehadiran iman dan takwa akan  wujud jiwa yang bersih dan akal yang sentiasa memandu manusia ke arena kehidupan yang mementingkan dana pahala dari Allah s.w.t.. Manusia diwujudkan Allah di alam ini dengan satu tujuan iaitu  beribadat kepada Allah. yang timpuannya ialah memurnikan suasana kehidupan masyarakat dan melahirkan ukhuawah kemanusiaan.
                Menjadi khalifah Allah disarankan mencari kekayaan sebagai faktor memurnikan alam kehidupan. Mempunyai anak yang salih merupakan satu kekayaan dalam hidup manusia di dunia ini yang akan menempah syurga di akhirat nanti. Anak yang berakhlak mulia dan beriman kepada Allah akan menjadi nadi pembangunan umat kelak menjadi kunci kepada kemuliaan bermasyarakat. Model insan yang ingin dibentuk oleh kerajaan Malaysia ialah individu yang mempunai ciri-ciri keperibadian mulia yang dipengaruhi oleh kehadiran iman dan takwa serta mempunyai “towering personality”.
                Kekayaan kedua yang wajar dikejar oleh setiap individu mukmin ialah mempunyai ilmu yang dimanfaatkan dan diterjemahkan dalam hidup agar ia menjadi kemanfaatan kepada orang lain. Kaya dengan ilmu yang diguna untuk kemanfaatan pembangunan manusia sejagat terutama sekali pembangunan rohani adalah merupakan satu pusaka yang menyelamatkan umat manusia di dunia dan juga di akhirat. Kekayaan material atau kekayaan dunia yang dimanfaatkan untuk kebahagian orang lain merupakan kekayaan yang sentiasa menempah  dana pahala dari Allah s.w.t.
                Kekayaan material di pentas dunia tanpa dimanfaatkan sebagai landasan beribadat, dikategorikan sebagai Fatamorgana semata kerana harta dunia yang berupa sementara itu tidak akan menjamin kebahagiaan hidup di akhirat kelak kerana ia tidak bersama kita ke alam barzakh setelah ajal menjemput nyawa. Jika kekayaan itu menjadikan manusia takabur dan menganggap orang lain lebih rendah dan hina dari pandangan mata kepala anda maka kekayaan material yang disalah gnakan akan mengheret kita ke lembah kehinaan kelak akan mengundang kepada kekufuran yang matlamatnya ialah neraka jahanam.
                Pembangunan sosial yang dimuatkan dalam perfiliman yang ditayangkan di kaca televisyen sering menghayalkan hati para remaja dan juga masyarakat emas mengakibatkan agenda pembangunan yang telah dimuatkan dalam takwim kehidupan menjadi keutamaan kedua. Kadangkala penonton lupa diri bahawa apa yang disaksikan itu hanyalah  fatamorgana alam kehidupan yang sukar dijadikan sebagai iktibar dalam pembangunan tamadun. Agama memberi jalan yang benar yang boleh dilaksanakan oleh setiap individu dalam membangunkan umat dan bukan sesuatu yang berupa khayalan di dunia fantasi.
                Begitu jugalah  perlakuan orang yang inginkan sesuatu dari kita yang tersirat sentiasa menghidangkan perlakuan yang baik yang dipandang manis. Kalau kita tidak berhati-hati akan mengheretkan kita ke lembah kemaksiatan. Di mana-mana di alam ini ada sahaja perkara yang tidak kena pada tempatnya dan kita perlu berhati-hati agar fenomena fatamorgana demikian tidak menimpa kepada kita.
                Kemolekan pada seorang gadis itu tidak semestinya mempunyai akhlak yang luhur kerana hati manusia boleh berubah menjadi kehaiwanan apabila keadaan di sekelilingnya mempengaruhi akhlak yang cantik itu. Maka itu dunia yang cantik itu bersifat fatamorgana yang tidak menjamin kestabilan kehidupan  tanpa berlandaskan kepada ketakwaan kepada Allah s.w.t..
                Hanya kepada Allah sahaja kiblat pemikiran itu mendapat jaminan kebahagian di dunia dan di akhirat. Masalahnya ialah sifat  kecantikan itu pada kelazimannya tidak dihiasi dengan kesyukuran kepada Allah. Di sebaliknya ia dijadikan sebagai satu kebanggaan yang sering  mempersembahkan akhlak yang mengundang kekufuran.
                Mereka yang berwajah cantik dan molek merasakan dirinya bahawa dia adalah lebih mulia dan memandang sinis terhadap orang lain yang urat  wajahnya agak kurang menyerlah. Sepatutnya penampilan orang yang berwajah cantik adalah lebih merendahkan diri sebagai tanda syukur kepada Allah s.w.t. Kecantikan itu diibaratkan seorang yang mempunyai ilmu yang tinggi. Semakin luas ilmu seseorang itu semakin merendahkan diri terhadap orang lain barulah ia hidup serasi dengan pembangunan masyarakat.

No comments:

Post a Comment