Wednesday, January 23, 2013

IBADAT KERANA ALLAH S.W.T. TANGGUNGJAWAB SEORANG MUKMIN

(Disiarkan pada 19. 1. 2013)
Allah s.w.t. berfiman yang bermaksud (terjemahan): “Dan tiadalah Aku (Allah) menjadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah kepadaku.” (Adz-Dzariat ayat (51:56).
                Allah menjelaskan bahawa tujuan-Nya menjadikan makhluk  dari bangsa jin dan manusia tidak ada maksud yang lain, kecuali untuk memberi tugas kepada mereka supaya menyembah Allah dengan mengabdikan diri kepada-Nya  dan mengesakan-Nya – bukan supaya mereka  mencari kepentingan hidup di dunia dan bertungkus-lumus untuknya. Kerana mereka tidak memiliki manfaat atau muderat bagi diri mereka, bahkan tunduk  kepada kadak-Nya.
                Disitulah Tuhan menjuruskan hidup kita, kepada mengarah arahtuju hidup ini yang diredai-Nya. Allah menciptakan kita, jin dan manusia tidak untuk yang lain, hanya untuk  satu macam tugas saja iaitu mengabdi, beribadat. Beribadat iaitu  mengakui bahwa kita ini hambah-Nya, tunduk kepada kemahuan-Nya.
                Ibadat itu dimulai dengan IMAN, iaitu percaya bahawa ada Tuhan yang menjamin kita. Percaya akan adanya Allah itu sahaja, sudah jadi dasar pertama dari hidup itu sendiri. Maka iman yang telah tumbuh itu wajib dibuktikan dengan amal yang salih. Iaitu perbuatan yang baik, iman dan amal salih inilah pokok ibadat
                Bila kita telah mengaku beriman kepada Allah, nescaya kita pun percaya kepada Rasul-Nya. Maka pesan Allah yang disampaikan oleh Rasul itu kita perhatikan. PerintahNya kita kerjakan, larangan-Nya kita hentikan.
                Maka dapatlah kita jadikan seluruh hidup kita ini ibadat kepada Allah. Sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, berzakat kepada fakir miskin adalah bahagian, sebagai pematri  dari seluruh ibadat yang umum itu. Semuanya itu kita kerjakan kerana kita iman kepada-Nya, dan kita pun beramal yang salih, untuk faedah sesama kita manusia. Kalau tidak ini  yang kita kerjakan, tidaklah ada ertinya hidup kita yang terbatas di dalam dunia ini.
                Mengadakan dakwa kepada jalan Allah tidaklah boleh berhenti, meskipun akan dituduh orang tukang sihir atau orang gila, namun dakwah yang baik akan diterima orang yang beriman. Malakukan dakwah kepada jalan yang baik adalah tugas utama dalam hidup. Umur di dunia ia terlalu pendek maka itu mestilah diisi dengan berbagai ibadat, sehingga setelah ajal menjemput nyawa sekalipun, namun iman dan amal sekalinya masih hidup dan tetap hidup.  
                Dia Maha Kuasa memberi kita makan. Tetapi misalnya kita kaya raya, lebih dari cukup sedia harta buat persediaan makanan, namun makanan itu tidak akan boleh dimasukkan ke dalam rongga perut kita kalau misalnya kita sakit. Maka yang empunya kekuatan dan keteguhan atas diri kita itu jelaslah Tuhan jua adanya.
                Maka tersebutlah dalam sebuah Hadis Qudsi:
“Dari Abu Hurairah r.a. berkata dia: Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa Allah berfirman: “Wahai anak Adam! Penuhilah hidupmu dengan beribadat kepadaKu, nescaya akan Aku penuhi dada engkau dengan kekayaan dan Aku tutup pintun fakir (miskin) dari engkau. Tetapi jika tidak engkau berbuat begitu, nescaya dadamu engkau penuhi dengan rasa bimbang dan tidaklah akan Daku tutup pintu kemiskinan engkau.” (Riwayat al-Imam Ahmad, termidzi dan Ibnu Majah)
                Berdasarkan kepada Hadis ini dapatlah kita mengambil keimpulan bahawasanya kesetiaan beribadat kepada Tuhan adalah menjadi kekayaan sejati bagi seorang mukmin. Hati yang lapang dan fikiran yang tidak pernah merasa bimbang dan ragu akan pertolongan Tuhan melebihi dari segala kekayaan harta benda.
                Firman Allah kepada surah yang sama ayat 59 yang bermaksud (terjemahan): “ Maka sesungguhnya bagi orang-orang yang aniaya itu sudah ada ketentuan azab sebagaimana ketentuan kawan-kawan mereka juga…..”
                Allah memberi peringatan kepada manusia bahawasanya suatu kesalahan, suatu dosa akhirnya sudah sedia bagian  azab yang akan diterimanya. Manusia mungkin dapat bersembunyi  dari mata manusia lain, namun dia tidak dapat bersembunyi dari mata Tuhan. Bahkan dari mata manusia sendiri pun akhirnya tidak dapat juga bersembunyi.(HAMKA 1982)
                Tanggungjawab utama manusia dalam membangunkan kehidupan ialah memurnikan hubungannya dengan Allah s.w.t.. Peranan utama manusia ialah mengabdikan diri dan memberi sepenuh ketaatan terhadap perintah Allah dalam segala aspek kehidupan. Peranan ini disebut sebagai Ibadah.
                Konsep ibadah bukan hanya bermakna solat, puasa, mengeluarkan zakat, dan menunai kan haji sahaja, tetapi ia juga meliputi segala usaha dan aktiviti yang dilakukan oleh manusia. Malah sebarang tindakan dan asperasi yang dijalankan oleh  manusia dianggap sebagai ibadah selagi ianya bertujuan mendapatkan  keredaan Allah. Oleh itu tanggungjawab asas manusia ialah mematuhi segala suruhan Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. 
                Menurut Islam, manusia mempunyai dua tugas yang berbeza, tetapi saling berkait antara satu sama lain, iaitu tugas sebagai hamba Allah dan tugas sebagai khalifah-Nya di dunia. Dengan penyempurnaan kedua-dua tugas ini, manusia dianggap beribadah kepada Allah.
                Secara khusus, pengabdian diri kepada Allah membabitkan perlaksanaan empat hubungan asas, iaitu mencancang dengan Allah dalam konteks tanggungjawab manusia sebagai hamba Allah (ubudiyah), hubungan mengufuk  dengan manusia dalam konteks tanggungjawab manusia sebagai makhluk bermasyarakat, hubungan mengufuk dengan alam dalam konteks tanggungjawab manusia  sebagai pengguna atau pentadbir sumberi alam yang bijaksana, dan hubungan dalaman dengan diri sendiri dalam konteks tanggungjawab manusia sebagai khalifah Allah di dunia (rububiyyah).
                Pada amnya, tanggungjawab kepada Allah yang menjadi paksi kepada ketiga-tiga tanggungjawab yang lain dilaksanakan dalam bentuk ibadah khusus, manakala tiga tanggungjawab yang lain dilaksanakan dalam bentuk ibadah umum (Nik Aziz 1986).
                Misi untuk menjadi khalifah di dunia merupakan misi yang dipertanggungjawabkan terhadap manusia dan makhluk lain yang ada dalam persekitarannya. Oleh itu tugas sebagai khalifah Allah meliputi tiga tanggungjawab asas, iaitu tanggungjawab kepada manusia, tanggung jawap kepada alam dan tanggungjawab kepada diri sendiri.
                Dalam menjalani kehidupan duniawi, al-Qur’an memberi peringatan kepada manusia  bahawa mereka tidak dijadikan dengan sia-sia. Allah berfirman yang bermaksud (terjemahan): “Adakah kamu menyangka bahawa Kami menciptakan kamu secara main-main (sia-sia) sahaja, dan bahawasanya kamu tidak dikembalikan kepada Kami?” (Surah al-mu’minun 23:115.
 Adakah kamu menyangka wahai orang-orang yang celaka bahawa Kami telah menjadikan kamu hanya untuk menjadi permainan dan sia-sia belaka? Bukan! Sebaliknya Kami telah jadikan kamu untuk membimbing kamu dan mengajar kamu, supaya kamu dapat meningkat ke taraf yang lebih tinggi dari kedudukan kamu yang ada sekarang. Dan bukanlah seperti yang kamu sangkakan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami untuk diperkirakan  amalan kamu dan diberi pembalasan.
Dalam ayat ini Allah telah mengisyaratkan tentang adanya hikmat atau rahsia mengapa mereka dibebani dengan hukum syarak dan supaya mereka beramal dengan hukum-hukum tersebut dan mereka dibangkitkan pula pada hari akhirat untuk diberi pembalasan di atas amalan yang telah mereka kerjakan, begitu pula dari apa yang mereka usahakan selama hidup di dunia.
Allah befirman lagi yang bermaksud (terjemahan): “Apakah manusia mengira bahawa ia akan dibiarkan begitu saja tanpa pertanggung jawaban?) (Surah al-Qiyamah 75:36). Malah, setiap perbutan manusia, walaupun sebesar zarah (atom) sekalipun akan dinilai dan diberi balasan yang sewajarnya.(Surah al-Zalzalah 99:7-8). Kehidupan yang paling baik ialah kehidupan yang bersifat sederhana.(Surah al-Baqarah 2:143). Gambaran kehidupan yang sederhana adalah seperti yang berikut:
                “Dan carilah daripada apa yang telah dianugerahkan oleh Allah kepadamu (kebahagian) negeri akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) bagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Surah al-Qasas: 28:77).
                Firman Allah ini ada kaitan dengan kisah Qarun dari bangsa kaum Bani Israel yang menyombongkan diri dengan kekayaannya yang banyak. Lantaran itu ditegur dan dinasihati oleh kaumnya, supaya ia jangan  leka dengan bersenang-lenang  sahaja.
                Ia diingatkan dengan nasihat-nasihat yang baik seperti yang tersebut dalam ayat ini. Tentunya yang menjiwai  nasihat-nasihat  itu ialah Allah sendiri. Walaupun pada lahirnya kepada Qarun, namun tujuan naihat-nasihat itu untuk umum, supaya dijadikan panduan oleh siapa sahaja, iaitu seperti berikut:
                Dan carilah dengan perantaraan (kekayaan) yang dikurniakan Allah kepada mu akan (kebahagiaan) kampung akhirat.
                Hendaklah engkau tuntut keselamatan di kampung akhirat dengan kekayaan yang dianugerahkan Allah kepada Engkau. Hendaklah engkau cari pahala yang ada di sisi Allah di akhirat dengan membelanjakan harta yang dikurniakan Allah kepadamu pada jalan yang mendatangkan keredaan Allah. Hendaklah engkau rebut kebahagian hidup di kampung akhirat itu dengan membelanjakan kemewahan yang sedang engkau nikmati, kerana kebahagiaan hidup di kampung akhirat itu lebih baik dan lebih kekal dari bersenang-lenang dengan kemewahan dan kelezatan dunia.
                Caranya adalah seperti memberi sedekah atau derma kepada fakir miskin, untuk mendirikan masjid, surau, sekolah, madrasah, kelas-kelas bimbingan agama, taman didikan kanak-kanak, klinik, rumah-rumah kebajikan, pemulihan akhlak, musafir-khanah dan lain-lain. Membelanjakan harta, menggunakan kekayaan yang melimpah-limpah, kenikmatan, kemewahan dan kemudahan moden yang ada, untuk perkara-perkara yang disebutkan tadi adalah merupakan jalan ke arah mendampingkan diri kepada Allah, dengan mendapat balasan di dunia dan pahala serta kebahagiaan hidup di akhirat. 
                Beribadat menurut perspektif  Islam, ialah bukan sekadar memuaskan keperluan yang sesuai dengan tabiat jasmani atau tabiat rohani sahaja, sebaliknya, manusia perlu hidup secara sederhana dan realistik dengan menggabungkan keperluan rohani dan jasmani. Untuk mengawal kedua-dua keperluan tersebut  daripada menjadi keterlaluan, manusia memerlukan perantaraan yang kekal dan suci, seperti yang terkandung dalam Syariah Islam.
                Dari sudut pembangunan manusia hari ini tidak banyak berbeza dari manusia pada masa dahulu, melainkan manusia di zaman ini lebih beruntung dari segi kemajuan sains dan teknologi. Bagaimanapun kemajuan sains dan teknologi bukan merupakan  kriteria utama untuk mengukur pembangunan manusia. Sebaliknya, pembangunan manusia bergantung pada darjah ketakwaan.
                Istilah ketakwaan bermaksud penyerahan diri kepada Allah, kesedaran tentang keesahan-Nta., kepatuhan kepada suruhan-Nya, dan keinginan untuk mendapat keredaan-Nya. Manusia yang paling membangun ialah manusia yang berjaya mengabdikan diri secara  menyeluruh kepada Allah, manakala suruhan manusia yang paling mundur  ialah manusia yang gagal mematuhi suruhan dan larangan Allah.(Nik Aziz Nik Pa 1999)
                Menurut Naquib (1992), konsep pembangunan yang diuruskan oleh Islam merujuk usaha manusia untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenar seperti yang disarankan dan diamalkan oleh Nabi Muhammad, para sahabat baginda dan para mukmin yang sejati. Dalam konsep ini, konsep pembangunan berhubung rapat dengan konsep lain seperti adab keadilan, dan hikmah. Mala, pembangunan manusia menurut Islam merupakan pembangunan yang bertumpu  kepada usaha memaksimumkan penghayatan adab, keadilan, dan hikmah dalam seluruh aspek kehidupan manusia.
                Pembangunan yang dimaksudkan di sini ialah apa yang difahami sebagai ibadat kerana Allah. Segala muamalah dalam hidup demi kemanfaatan pada kehidupan manusia disifatkan sebagai ibadat kerana Allah kerana segala usaha memerlukan keredaan Allah s.w.t.

No comments:

Post a Comment