(Disiarkan pada 16. 2. 2013)
Setiap
yang baik itu semestinya ada yang buruk atau tidak baik. Allah wujudkan sedemikian
keadaan hidup adalah untuk menguji kepekaan manusia memahami yang mana antara
kedua-dua fenomena tersebut yang sesuai bagi pembangunan tamadun manusia samada
di alam jasmani mahupun di alam rohani. Ini bermakna untuk mendapatkan sesuatu
yang sempurna dalam menangani hidup, kita kena usahakan untuk memilih keadaan
yang sesuai. Usaha merupakan tawakal atau ibadat demi kelangsungan hidup yang
diredai Allah s.w.t.
Agama Islam memahami
manusia adalah makhluk yang teristemawa
dari kejadian Tuhan yang lain. Baik dari segi fisikal atau kejiwaan.
Kedudukannya lebih tinggi dari darjat para malaikat, ianya ditugaskan ke dunia ini
untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. dengan amal bakti sebagai khalifah
Allah s.w.t.. untuk memajukan dunia ini di atas tuntutan-tuntutan yang
digariskan oleh Islam di samping berjasa kepada alam sejagat. Memajukan dunia
ini merupakan usaha, tawakal atau ibadat kerana Allah.
Peranan manusia bukan
sebagaimana yang dianggap oleh ajaran Krestian sebagai manusia yang berdosa
sejak dari awal lagi yang dipercayai sebagai dosa warisan atau original sin. Agama Islam memahami manusia
yang lahir ke dunia, bersih dan suci ibarat kain putih. Ia menjamin hidup
manusia di muka bumi ini untuk menikmati segala apa yang dijadikan oleh Allah
s.w.t. mengikut garis panduan yang telah ditetapkan dan sesuai dengan kejadian manusia itu sendiri. Lantaran itu Islam
sering mengarahkan manusia supaya selalu
mengkaji dan mengingati kembali segala sejarah hidupnya, asal-usulnya, matlamat
kejadian dan detik-detik serta kesudahan perjuangan manusia.
Untuk memelihara kesucian serta
kebersihan insan dalam menelusuri kehidupan di alam dunia ini kita kena
bekalkan dengan ilmu dunia dan ukhrowi yang akan membentuk insan yang saleh
yang sentiasa beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t.. Ilmu, Iman dan amal merupakan teras
pembangunan insan di dunia dan di akhirat. Tanpanya manusia akan mengalami
kemudaratan hidup di dunia, lebih-lebih lagi kehidupan di akhirat.
Nabi Adam a.s. dipilih Allah
sebagai khalifah-Nya di atas bumi ini atas sebab kehadiran ilmu dalam dadanya
yang mana para malaikat dan iblis tidak mempunyai. Ilmu adalah antara nilai
yang tertinggi yang dibawa oleh Islam serta dibangunkan kehidupan maknawai atau kebendaan, kehidupan Akhirat atau dunia, menjadikannya sebagai
jalan keimanan dan peransang kepada amalan.
Islam adalah agama Ilmu,
al-Quran al-Karim adalah kitab ilmu dan ayat yang pertama diturunkan kepada
Rasulullah s.a.w. ialah berkenaan dengan ilmu iaitu “Bacalah dengan Nama Tuhanmu yang telah menciptakan.” Membaca adalah pintu keilmuan sementara al-Quran
merupakan: “Kitab yang diperjelaskan ayat-ayatnya,
iaitu bacaan di dalam bahasa Arab, untuk
kaum yang berilmu.” (Fussilat:3)
Al-Quran telah
menjadikan ilmu sebagai asas perbezaan antara manusia. Firman Allah surah
Al-Zumar: 9 yang bermaksud (terjemahan): “…..Katakanlah:
Adakah sama orang-orang yang
berilmu dan orang-orang yang tidak
berilmu. Hanyasanya yang mengambil pelajaran itu ialah orang-orang yang berakal
”
Jawapannya tentulah tidak sama. Ayat ini
sebagai melengkapkan kenyataan Allah yang dimulai dengan amal dan diakhiri
dengan ilmu. Amal itu merupakan perjuangan
dalam pembangunan dan ilmu merupakan penyingkapan. Kalau manusia beramal
dengan berilmu menunjukkan kesempurnaan dan kelebihan dirinya.
Orang-orang yang mahu mengambil
teladan mengenai bukti-bukti yang diberikan Allah
dan
mengambil pelajaran daripadanya
itulah dikatakan berakal – bukan orang yang jahil dan cuai –
kerana orang yang berakal dapat membezakan antara yang baik dengan yang buruk.
Sedang
orang yang tidak berakal tidak pula dapat membezakan.
Orang-orang yang berilmu adalah
orang-orang yang paling takut kepada Allah serta bertakwa kepada-Nya. Firman
Allah yang bermaksud(terjemahan): “Sesungguhnya
yang takut kepada Allah di kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang
berilmu.” (Fathir: 28).
Tidak ada orang
yang takut kepada Allah kecuali orang yang mengenali Allah s.w.t.. Allah s.w.t.
hanya dapat dikenali berdasarkan kepada kesan-kesan kekuasaan dan rahmat-Nya
terhadap makhluk. Lantaran itu, kenyataan
bahawa manusia berilmu sahajalah yang takut kepada Allah telah disebutkan di dalam konteks ayat yang
dibicarakan tentang tanda-tanda kekuasaan Allah terhadap alam semesta.
Melaksanakan pembangunan
semestinya berilmu tetapi ilmu tanpa amal umpama pohon tanpa buah. Ilmu juga
merupakan hasil dari keimanan yang benar kerana tidak dapat digambarkan
wujudnya keimanan tanpa amal. Tamadun yang ingin dibangunkan oleh Islam ialah perlaksananya mempunyai ciri-ciri
ilmu, amal dan iman. Ketiga-tiga fenomena ini saling berkaitan antara satu sama
lain untuk mewujudkan pembangunan yang mendapat keredaan Allah s.w.t..
Jika satu daripada nilai-nilai kemanusiaan
itu hilang pasti agenda pembangunan akan mengalami kemudaratan. Sebagai contoh,
jika pelaksananya tidak punya ilmu mengenai agenda yang hendak dibangunkan maka
tidak ada kesudahannya; dan jika amal yang hilang dalam perlaksanaan agenda
berkenaan maka ilmu yang dipunyainya tidak ada kemanfaatan. Dalam semua ibadat
iman menjadi teras pembangunan kerana tanpanya perlaksanaan hanya diwarnai oleh
kepentingan diri yang berbentuk rasuah.
Allah s.w.t. berfirman surah al-Baqarah: 29,
yang bermaksud (terjemahan): “Dialah
Tuhan yang menjadikan segala apa yang di bumi ini untuk kepentingan manusia.”
Oleh itu maju dan mundur, baik
dan buruknya keadaan pembangunan alam kehidupan adalah bergantung kepada
manusia. Manusialah yang layak memegang
amanah ini yang tidak dapat ditanggung oleh makhluk-makhluk lain.
Perkara ini ditegaskan oleh Allah s.w.t. di dalam firman-Nya yang bermaksud
(terjemahan):
“Kami
telah menawarkan amanah ini kepada langit, bumi dan gunung, maka semuanya tidak
sanggup memikulnya, mereka takut akan mengkhianatinya dan manusialah yang layak
memikul amanah ini, tetapi manusia ini amat zalim dan bodoh”. (Al-Ahzab: 72)
Tanggungjawab manusia terhadap Tuhan
tentang amanat itu bukanlah suatu
perkara yang ringan malah ianya haruslah melaksanakannya dengan baik dan jujur. Amanah yang disebutkan
di sini ialah segala sesuatu yang dipertaruhkan kepada seorang menjadi
kepecayaan, berupa perintah dan tegahan mengenai urusan agama dan dunia.
Dan yang dimaksudkan dengan amanat pula
ialah: Bebanan dalam segi keagamaan seperti sembahyang, puasa, zakat, haji,
bercakap benar, menjelaskan hutang, menyukat dan menimbang dengan cukup, bahkan
anggota badan dan kehormatannya hendaklah
diguna sesuai dengan maksud ia dijadikan dan lain-lain perkara lagi.
Dia dinamakan amanat kerana dia
merupakan kewajipan-kewajipan yang ditetapkan oleh Allah kepada orang-orang
mukallaf sebagai suatu amanat yang mesti dipikul dengan patuh dan taat. Namun demikian, amanat yang diterimanya oleh
setengah manusia telah diabaikannya,
sehingga ia berlaku aniaya terhadap dirinya, dan bertindak secara jahil
terhadap perintah
Tuhannya.
Mengapakah manusia yang ada mempunyai
persediaan untuk menerima bebanan itu
setengahnya
telah mengabaikannya. Hal ini tidak lain
kerana pada diri manusia itu terdapat
naluri atau pembawaan suka marah yang mengakibatkan ia berlaku aniaya
dan zalim. Begitu juga ingin menurut
kemahuan nafsu syahwatnya yang
mengakibatkan ia jahil untuk mengambil tahu dan memperhatikan terhadap
kesudahan sesuatu perkara. Oleh itu Allah
bebankan kewajipan-kewajipan agama kepadanya, maka bebanan-bebanan
itulah yang menjadi pengekang dari mengikuti berterus-terusan kehendak
nalurinya yang tidak terbatas, agar tidak celaka.(Al-Ustaz Ahmad Sonhadji
Mohamad Milatu. 1989)
Keamanan hidup
adalah di antara kelebihan manusia dari makhluk-makhluk lain, ianya
lahir dari keluhuran budi, keutamaan pekerti
dan perangai yang baik yang menghasilkan rasa cita dan kasih di antara mereka serta rasa suka dan menghormati terhadap
hak milik orang lain.
Jika suatu ketika keamanan itu
terganggu maka kesetiakawanan sosial menjadi mangsa mudarat. Ini disebabkan
segulungan manusia hilang sifat peri
kemanusiaan. Mereka melakukan kerosakan dan menggangu serta
mencabul kehormatan orang lain. Terjaminnya keamanan di kalangan manusia
adalah hasil daripada didikan agama, di mana manusia disuruh bermaaf-maafan di
antara satu sama lain, andainya terdapat kesalahan dan kesilapan dalam pergaulan harian.
Adalah wajar menghargai jasa dan
kebolehan orang lain, dianjurkan supaya mengorban kan sebahagian hak miliknya untuk kepentingan umum, digesa
supaya sentiasa mengamalkan sikap bantu membantu, tolong menolong, pesan memesan
ke arah bersifat sabar dan berlaku adil
terhadap dirinya sendiri dan kepada orang lain.
Tegasnya manusia disuruh
berperangai baik terhadap semua makhluk
sama ada kawannya sendiri mahupun orang lain atau pun makhluk-makhluk binatang
dan sebagainya, di samping itu manusia seharusnya bersikap sabar dalam
menghadapi perjuangan hidup ini baik berupa senang atau pun susah serta
sentiasa menghiasakan diri dengan akhlak yang mulia yang tidak terdapat di
kalangan binatang, (Mohd Ali bin Abu Bakar, 2007).
Banyak ayat-ayat suci
al-Quranul-karim menganjurkan supaya menusia
berperangai baik dan kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. adalah
membuktikan ajaran-ajaran ini, seperti
sabdanya: “Diutus aku ini adalah
untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”
Memang tujuan utama kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. ialah
untuk mengembalikan manusia supaya tetap
berada di atas keperibadiannya yang asal iaitu
tetap di dalam keutamaan budi
pekertinya.
Maka kerana itulah, al-Quran
sering kali menyerankan kepada manusia
tentang ketinggian akhlak ini, antaranya: “Hendaklah kamu memberi kemaafan dan hapuskan kesalahan.” (Al-Baqarah:
109)
“Bahawa pemaafan kamu itu lebih
dekat kepada takwa.” (Al-Baqarah: 237)
“Mereka berpesan tentang
kesabaran dan pesan-memesan tentang kasi sayang.” (Al-Balad: 17)
Mengenai keamanan, Allah s.w.t.
menerangkan yang bermaksud (terjemahan): “Wahai
orang-orang yang beriman masuklah kamu ke dalam Islam (keselamatan)
keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan sesungguhnya
syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu.” (Al-Baqarah: 208)
Manusia sentiasa
mengalami proses pembaharuan dalam hidupnya. Ini disebabkan manusia mempunyai
kecerdasan, daya fikir dan ilmu pengetahuan
serta keinginan dan suka menerima
sesuatu perubahan demi kepentingan dirinya. Walaubagaimanapun dalam menerima
perubahan kadang kala mengalami kemudaratan, ini harus diterima atas dasar
memahaminya sebagai ujian Allah dalam hidup.
Kemuderatan itu datang tanpa disedari.
Pada lazimnya ia menjelma pada masa yang tidak diduga maka itu harus waspada
dan berhati-hati agar ia tidak mempengaruhi daya juang dalam menerima
pembaharuan demi pembanguna tamadun kehidupan.
No comments:
Post a Comment