(Disiarkan pada 16. 11. 2013)
Ilmu
akhlak adalah membahaskan tentang pengertian
baik buruk, serta menerangkan apa yang patut manusia lakukan dalam
hubungan sesama mereka. Ia juga menerangkan tujuan yang perlu dicapai oleh
mereka dalam tingkahlaku mereka di samping menunjuk jalan tentang apa yang perlu untuk sesuatu pekerjaan.
Akhlak ialah asas utama untuk
memelihara hakikat kewujudan bangsa-bangsa. Dengan sebab itu ahli-ahli
penyelidik dan ahli-ahli falsafah bersetuju bahawa akhlak itu wajib ada pada seseorang demi untuk kebajikan dirinya
sendiri dan masyarakat seluruhnya. Kalaulah individu dapat dirosakan oleh
perbuatannya yang dusta, dengki, jahat dan tipu maka demikian juga
masyarakat menjadi rosak dengan
merebaknya salah satu dari sifat-sifat itu dalam masyarakat.
Dengan sebab itulah ahli-ahli
falsafah dan ahli-ahli perundangan, dalam memajukan masyarakat manusia, pertama
sekali menyeru kepada akhlak yang mulia sebab akhlak mulia itu menjadi tiang
pertama dalam pembinaan masyarakat yang sejahtera serta berwawasan dalam segala
segi pembangunan.
Tangan di atas adalah lebih baik
daripada tangan di bawah membawa maksud tangan di atas ditamsilkan sebagai
orang-orang yang mempunyai akhlak
yang luhur, suka menolong orang dalam mengatasi segala kesulitan dalam
menangani hidup. Orang demikian kadang-kadang disifatkan sebagai ringan
tangannya hendak menolong orang lain yang memerlukan bantuan.
Agama menyifatkan orang yang
ringan tangan menghulurkan bantuan kepada orang lain akan dimudahkan hidupnya
oleh Allah s.w.t.. Orang yang suka membantu
menolong kesulitan orang lain secara istiqamah hidupnya sentiasa dilindungi
Allah dari segala kesulitan serta luas rezekinya. Tidak ada yang dibanggakan
dalam hidup ini jika kita tidak mambantu orang lain untuk mengatasi kesulitan
yang dialaminya. Bantuan yang kita hulurkan akan mengeratkan hubungan
siraturahim antara sesama manusia.
Bantuan itu wajar menjadi budaya
kepada sesiapa pun kerana dengan jalan demikian lah maka lahir suasana ukhuwah
kemanusiaan yang wajar hidup di kalangan masyarakat yang bersepadu. Ukhuwah
kemanusiaan akan melahirkan rasa kekitaan yang tidak memilih bangsa, warna kulit,
kedudukan mahupun keturunan dalam pembangunan akhlak manusia.
Dalam hidup ini setiap individu
diwajibkan memperbaiki tingkahlakunya terhadap orang lain mahupun terhadap amal
ibadahnya. Amalan ini biasa dikenali sebagai berhijrah dari yang biasa kepada
yang lebih baik. Perubahan dalam menangani kehidupan merupakan sifat melahirkan
pembangunan. Kita membangun wajar dalam hidup mengikut arus perkembangan faktor
masa. Masa lalu, masa kini dan masa akan datang sewajarnya ada perubahan dalam
segala segi terutama sekali dari segi akhlak setiap individu.
Kita berhijrah dari yang biasa
kepada yang lebih baik seharusnya mengikut faktor masa kerana ia menentukan peringkat
usia setiap individu. Kita berhijrah dari alam kanak-kanak kepada alam remaja
wajar melalui menuntut ilmu kerana ilmu adalah faktor memanusia kan manusia.
Dari remaja berpindah kepada alam dewasa seharusnya dalam peringkat pengukuhan
amal ibadah atau menterjemahkan segala ilmu yang diperolehi kepada pembaharuan
diri. Dengan amalan melalui penguasaan ilmu yang telah diperolehi dari
gedung-gedung ilmu seseorang itu telah berhijrah daripada hidup yang biasa
dianuti kepada hidup yang lebih bertamadun.
Tingkahlaku seseorang itu juga
wajar berubah kepada yang lebih baik yang diterima pakai oleh masyarakat atau
yang diredhai Allah s.w.t.. Kehidupan ini wajar dimurnikan dengan suasana ukhuwah
kemanusiaan, kerana segala kejayaan kita samada pencapaian dalam berbagai
bidang mahupun kejayaan memperolehi sesuatu yang membolehkan kita lebih
menyerlah
berbanding orang lain adalah disebabkan ada orang lain bersama kita yang kurang
penampilan
dalam hidupnya.
Kalau hidup ini tidak diserikan
dengan kehadiran orang lain, pencapaian serta kejayaan kita tidak dapat
dinilaikan kerana tidak ada pengukurnya terhadap pencapaian tersebut. Maka
itu kehadirian orang lain adalah penting
dalam pembangunan manusia seutuhnya. Manusia diwujudkan Allah untuk membiak
menambahkan bilangan penduduk maka itu wajar ada suasana tolong menolong antara satu sama lain maka lahirlah
masyarakat manusia.
Pepatah Melayu mengatakan bahawa
tangan yang di atas adalah lebih mulia berbanding tangan yang di bawah membawa
maksud orang yang memberi pertolong adalah lebih baik berbanding dengan orang
yang menerima pertolongan. Orang yang menolong mempunyai sifat ukhuwah
kemanusiaan. Ia merasakan suasana pembangunan
hidup harus diserikan dengan budaya tolong menolong.
Orang yang bersifat pemurah hatinya
akan sentiasa menghulurkan pertolongan, tidak kira kedudukannya adalah lebih
baik berbanding dengan orang yang ditolong. Sewajarnyalah orang yang
berkemampuan seperti orang yang kaya
wajib menghulurkan pertolongan kepada mereka yang memerlukan bantuan. Dengan
suasana demikian akan mengeratkan hubungan kasih sayang antara sesama.
Walaubagaimana pun orang yang
berhati mulia tidak semua dari golongan masyarakat yang berada. Penampilan
seseorang untuk memberi pertolongan disifatkan sebagai melaksana kan amal
ibadah kerana Allah. Para Nabi dan Rasulullah s.a.w. adalah orang yang
kehidupan nya seperti pepatah Melayu: “Kais pagi makan pagi dan kais petang
makan petang.” Tetapi soal membantu orang lain merekalah yang ringan tangannya
menghulurkan bantuan.
Allah s.w.t. berfirman kepada
Nabi-Nya, dan kekasih-Nya dengan memuji
kepadanya dan memperlihatkan nikmat-Nya di hadapannya: “Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbuat pekerti yang agung.” (Al-Qalam:
4)
Aisyah ra. berkata, “Budi
pekerti Rasulullah s.a.w. adalah
Al-Quran.” Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w. mengenai kebaikan
budi pekerti. Lalu baginda membaca firman Allah s.w.t. yang bermaksud
(terjemahan): “Jadilah kamu pemaaf dan
serulah orang mengerjakan yang ma’ruf
serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh.” (Al-A’raf: 199)
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Yang paling berat di antara apa yang
diletakkan di timbangan amal pada hari kiamat adalah takwa kepada Allah dan
kebaikan budi pekerti.”
Nabi
Muhammad saw. Pernah ditanya, “Manakah amal yang lebih utama?” Baginda
menjawab, “Budi pekerti yang baik.”
Perbuatan-perbuatan yang baik
menghindarkan dari jatuhnya seseorang pada perbuatan yang buruk. Sedekah secara
rahsia dapat memadamkan kemurkaan Tuhan dan menyambung hubungan kerabat akan
memperpanjang umur dan setiap perbuatan yang
baik merupakan sedekah. Pelaku kebaikan di dunia adalah pemilik kebaikan
di akhirat dan pelaku perbuatan mungkar di dunia mereka adalah pemilik mungkar
di akhirat.
Di dalam satu riwayat lain milik
Ath-Thabrani dan milik Ahmad dikatakan, “Bagaimana dengan sedekah itu ya
Rasulullah?” Baginda bersabda, “Beberapa
pahala yang dilipatgandakan dan disisi Allah masih terdapat tambahan lagi.” Kemudian
baginda membaca firman Allah yang bermaksud (terjemahan):
“Sesiapa
yang mahu memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkah hartanya
di jalan Allah), maka Allah akan melipatgandakan pembanyaran kepadanya dengan
kelipatan yang banyak.” (Al-Baqarah: 245)
Allah s.w.t. berfirman dalam al-Quran
surah Al-Maidah ayat 3 yang bermaksud (terjemahan): “Dan bertolong-tolonglah kamu di dalam kebaikan dan takwa.”
Rasulullah s.a.w. bersabda,“Sesiapa yang memenuhi suatu keperluan bagi
saudaranya
yang muslim, maka
aku akan berdiri di samping timbangan amalnya. Jika amal kebaikan menang, maka
sudahlah begitu dan jika tidak aku akan memberi syafaat kepadanya.” Hadis ini
diriwayatkan Abu Nu’aim di dalam Al-Hilyah.
Amalan bersedekah merupakan
ibadah yang paling mulia terutama sekali apabila orang yang memberi sedekah tidak diketahui. Bersedekah
adalah menghulurkan atau memberi bantuan
terutama sekali kepada fakir miskin, anak yatim piatu dan orang-orang musafir.
Berlaku satu kejadian yang
dialami oleh penulis semasa beliau dalam perjalanan jauh ke bandar Kota
Kinabalu dari Pedalaman atas, Keningau. Waktu itu mata hari memancar cahayanya
tanpa dilindungi awan di langit begitu terik panasnya, tepat jam dua tengah
hari. Seorang lelaki sedang duduk di tepi jalan menjaga barang hasilan dari
kebunnya seperti ubi keledik begitu banyak.
Tergiur dalam hati hendak membeli ubi
keledik lalu berhenti sejenak. Mengambil sekilo dengan harga RM 3.00. Melihat
muka orang tua berkenaan dengan hitam merah kepanasan. Sebelum masuk ke kereta
hendak meneruskan perjalanan, terlintas dalam hati memikirkan mungkin orang tua
itu hendakkan seteguk air. Lalu beliau memberinya sebotol air minum.
Dengan air muka yang amat gembira ia
mengambil se botol air itu dengan kedua belah tangannya sambil berkata “Syukur
Alhamdulillah.” Rupanya dia berada di tepi jalan itu sejak jam 9 pagi tanpa
apa-apa bekalan. Kereta yang mengangkat hasilan kebunnya rosak dan terpaksa
diturunkannya di situ menungguh kereta itu dibaiki. Dengan rasa kesyukurannya
mendapat sebotol air minum, dia hadiahkan dua kilo ubi keladik lagi tanpa
harga! Orang tua berkenaan mendapat air minum dengan ihsan penulis yang menyelamatkanya dari seksa kering tekak, kerana dahaga
dan kehausan.
Kedudukan ihsan dalam Islam, al-Quran
menerangkan bahawa ihsan wajib menjadi tabiat seseorang. Allah telah memberi
nikmat kepada manusia dengan ihsan-Nya maka manusia juga perlu berbuat ihsan
dengan nikmat itu kepada makhluk. Firman Allah dalam surah Al-Qasas ayat 77
yang bermaksud (terjemahan):
“Dan
berbuat baiklah (kepada orang lain)
sebagaimana Allah telah berbuat baik
kepada mu”
Al-Quran juga menyatakan bahawa manfaat
ihsan akan kembali kepada tuannya sendiri. Firman Allah dalam surah Al-Isra’
ayat 7 yang bermaksdu (tejemahan);
“Jika
kamu berbuat baik (bererti) kamu berbuat bagi dirimu sendiri dan jika kamu
berbuat jahat, maka (kejahatan itu) bagi dirimu sendiri.”
Orang-orang yang melakukan ihsan akan
mendapat ketenangan yang tidak diperolehi oleh orang-orang lain. Orang yang
menerima ihsan akan merasa senang, merasa kasih serta sayang kepada pelaku
ihsan. Hal ini semua memberi kebahagiaan jiwa. Sebaliknya, melakukan keburukan
(al isa’ah) akan menjadikan seorang itu hina dan tidak memperolehi ketenangan
hidup. Oleh sebab itulah, Allah memberi galakan kepada manusia supaya melakukan ihsan dengan
firman-Nya dalam surah An-Nahl ayat 90 yang bermaksud (terjemahan):
“Sesungguhnya
Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan bernuat kebajikan, memberi kepada kaum
kerabat (apa yang mereka perlukan) dan melarang dari perbuatan
keji, kemungkaran dan permusuhan.”
Al-Quran juga mengangkat martabat ihsan.
Adanya ihsan yang disertakan dengan ikhlas dikira sebagai sifat yang paling tinggi
yang patut ada pada seseorang yang beragama. Firman Allah dalam surah An-Nisa’
ayat 125 yang bermaksud (terjemahan)
“Tidak
ada orang yang paling baik agamanya selain daripada orang yang hatinya
ikhlas kepada
Allah serta menyerahkan jiwa mereka kepada-Nya sahaja.”
Orang seperti itu ialah orang muksin yakni yang mengerjakan ihsan dan
meninggalkan perbuatan keji. Firman Allah dalam surah Luqman ayat 22 yang
bermaksud (terjemahan):
“Dan barang siapa yang
menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia orang yang berbuat kebaikan, maka
sesungguhnya ia telah berpegang buhul tali yang kukuh”.
Sesungguhnya orang-orang yang
demikian sifatnya, sebenarnya telah berpegang dengan tali yang sangat kukuh.
Bermakna mereka itu akan mendapat keredaan Allah dan dikasihi-Nya. Mereka itu
akan mendapat pembalasan di atas kebaikan amal dengan sebaik-baik pebalasan.
No comments:
Post a Comment