Friday, January 24, 2014

PEMIMPIN DAN MEMIMPIN DALAM PERSEPSI ISLAM

 (Disiarkan pada 18. 01. 2014)
Pemimpin adalah orang yang memimpin. Pemimpin harus  membudayakan keadilan dan memikirkan mereka yang dipimpin lebih diutamakan daripada segala-galanya. Pemimpin yang baik, unggul dan berkaliber dapat melahirkan kumpulan mutu kerja yang dinamik dan berwawasan dalam satu-satu sektor kerana setiap individu dalam sektor dapat memimpin diri mereka masing-masing untuk melaksankan agenda pembangunan demi mencapai wawasan tamadun kehidupan yang diredhai Allah subhanahu wa Ta’ala.
Memimpin  adalah menunjuk arah atau melaksanakan sesuatu amal demi kemanfaatan orang lain. Sebagai contoh memimpin orang buta berjalan; memimpin bala tentera di medan peperangan; memimpin pancaragam dan sebagainya. Memimpin merupakan ibadah yang wajar pemimpin turun ke lapangan untuk melaksanakan agenda bersama.
Memimpin orang buta berjalan merupakan amalan yang mulia kerana orang yang melaksanakan ibadah tersebut mempunyai naluri perasaan kasih sayang terhadap sesama. Di samping itu ia bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana diberi nikmat dapat melihat alam kehidupan. Rasa syukur memotivasikannya untuk mengeratkan hubungan siraturahim kepada semua lapisan masyarakat terutama sekali kepada mereka yang kurang upaya.
Memimpin orang kurang upaya merupakan ibadah yang digalakkan dalam Islam kerana amalan itu adalah satu tingkahlaku yang melahirkan kasih sayang kerana Allah di samping mendekatkannya kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Insan yang kurang upaya harus difahami bahawa Allah yang Maha Kuasa menjadikan ia sedemikian keadaan. Allah juga menguji manusia sejauh mana keimanannya kepada Allah Suhanahu wa Ta’ala.
Membantu orang kurang upaya adalah merupakan perjuangan setiap individu dalam memakmurkan kehidupan. Usaha itu  adalah antara amanah yang dipertanggungjawabkan Allah kepada manuia sebagai khalifah-Nya di muka bumi ini. Memakmurkan alam kehidupan termasuklah manusia,  haiwan dan segala makhluk yang tidak bernyawa menjadi ibadah dan tanggungjawab setiap individu mukmin.
Kelahiran manusia di alam dunia sememangnya ditemani dengan berbagai kelemahan untuk memimpin dirinya sebagai pemain dalam pembangunan kehidupan. Maka itu kelahiran seorang insan sewajarnyalah dilengkapi dengan ilmu pengetahuan sebagai kekuatannya untuk membina diri sebagai pemain yang berwibawa.
Kelemahan manusia sering tertumpu kepada tingkah laku  atau akhlak peribadi manusia maka Allah turunkan para nabi dan rasul untuk membetulkan akhlak manusia. Baginda Rasul Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam berfirman: “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak manusia.” (HR. Ahmad dan Al-Bazzar)  
   Nabi Muhammad sahllallahu ‘alaihi wasallam diturunkan ke bumi untuk memimpin umat manusia  hidup di atas landasan agama Islam.  Islam adalah agama yang mengesakan Tuhan dan memberi sifat-sifat kesempurnaan. Mengesakan Tuhan dalam Islam termasuklah salah satu rukun Iman. Islam mengajak seluruh umat manusia kepada ajaran tauhid dan menegakkan keesaan Allah tanpa ada Tuhan yang lain.
Firman Allah Ta’ala yang bermaksud (terjemahan): “Katakanlah: Dialah Allah Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tiada ada seorangpun yang setara dengan Dia.” (Surah Al-Ikhlas: 1 – 4)    
Allah Subhanahu wa Ta’ala turunkan Al-Qur’an ke bumi untuk memimpin umat manusia ke jalan yang benar.  Melalui khidmat seorang Rasul yang dituliahkan Allah maka Al-Qur’an dapat dimanfaatkan dengan sempurna serta mengikut kehendak Allah Suhanahu wa Ta.ala. Siti Aisyah berkata, apabila ditanya  orang mengenai akhlak Baginda Rasul Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasalam, bahawa akhlak Baginda ialah Al-Qur’an. Bermakna di situ kepimpinan Baginda kepada umatnya  berisikan al-Qur’an yang telah diterjemahkan dalam diri Baginda.
Baginda Rasul Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “semua umatku aka masuk syurga kecuali orang yang enggan.” Mereka bertanya, “Siapa yang enggan itu?” Baginda bersabda, “Sesiapa yang taat padaku dia akan masuk syurga dan sesiapa yang derhaka pada ku dia benar-benar telah enggan, setiap perbuatan yang tidak berdasarkan pada sunahku, maka itu adalah perbuatan derhaka.” (Dipetik dari kitab Syir’atil Islam).
               Sesungguhnya rasul-rasul itu  terdiri dari manusia biasa, terdapat di kalangan mereka yang diberikan kelebihan-kelebihan tertentu oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada mereka. Kelebihan itulah yang membizakan mereka dari segi kepimpinan kepada umatnya dan menjadi pengaruh kepada keimanan kepada Allah.
Umpamanya Nabi Musa diberi mukjizat tongkat yang boleh menjadi ular dan mengalahkan  ular-ular yang dicipta oleh ahli-ahli sihir Firaun. Begitu juga peristiwa semasa umat Nabi Musa dikejar oleh tentera Firaun tersekat di tepi lautan merah. Dengan menggunakan tongkat Nabi Musa untuk memukul air laut  tersebut maka terjadilah satu jalanan untuk umat Nabi Musa melarikan diri.
Apabila tentera Firaun mengikuti jalanan tersebut untuk melintasi lautan itu maka tongkat Nabi Musa juga menyelamatkan umatnya dengan Nabi Musa memukul air laut  yang kemudiannya jalanan yang ada menjadi lautan semula dan menenggalamkan Firaun berseta tentera-tenteranya.
Nabi Isa boleh menyembuhkan  penyakit kusta dan menghidupkan orang mati. Nabi Ibrahim tidak terbakar walaupun di campak ke dalam unggun api yang sedang menyala. Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam dapat mengeluarkan air dari jari-jarinya apabila umatnya dalam keadaan genting memerlukan air untuk diminum.  
Mukjizat ialah perkara luar biasa yang berlaku kepada  rasul-rasul sebagai penyokong  dan membenarkan dakwaan rasul-rasul tersebut dalam dakwaanya sebagai utusan (rasul) Allah Subhanahu wa Ta’ala. Perkara luar biasa yang berlaku  itu tidak mampu dan tidak boleh dipelajari oleh sesiapa.   
Kebijaksanaan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam menangani masalah masyarakat Mekkah merupakan satu bentuk kepimpinan yang sangat unggul. Pergaulan Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasalam dalam kehidupan masyarakat sehari-hari tidak pernah terputus. Pada saat itu masyarakat sedang sibuk kerana bencana banjir besar yang turun dan gunung, menimpa dan merata dinding-dinding Kaabah yang memang sudah rapuh, kerana umurnya sudah tua, hampir mencapai 6,000 tahun, dibangun oleh Nabi Ibrahim a.s. semasa hidupnya.
Secara gotong royong pembaikan Kaabah itu dilaksanakan. Dengan suka rela setiap penduduk Makkah membantu pekerjaan itu. Tetapi pada saat yang terakhir, ketika pekerjaan tinggal mengangkat dan meletakkan Hajar Aswad atau batu hitam di tempatnya semula, dengan tidak disangka tibullah perselisihan. Setiap orang berkeinginan untuk dapat mengangkat dan meletakkan pada tempatnya semula, setiap orang berkeinginan untuk dapat memindahkannya dengan tangannya sendiri.   
Masalah demikian diserahkan kepada Baginda Rasul Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. Baginda setuju untuk menyelesaikan perselesian itu. Baginda meminta  kepada setiap kepala suku agar ikut serta merasakan mengangkat dan memindakan Hajar Aswad pada tempat dahulu.
Baginda hamparkan serbannya dan diletakkan Hajar Aswad itu  di tengah-tengah serbannya seraya berkata: “Saya minta setiap kepala  suku memegang tepi kain ini dan
mengangkatnya secara bersama-sama.”
Mereka semua menerima dan menyambut ajakan Muhammad itu, dengan perasaan yang amat senang. Maka mereka bersama-sama mengangkat hujung serbannya dan mereka kemudian bersama-sama mengangkatnya sampai ke tempat asalnya. Demikianlah selesainya masalah memindah kembali Hajar Aswad ke tempat asalnya.
Baginda Rasul Nabi Muhammad shallallahuu ‘alaihi wasallam memimpin umatnya agar hidup dalam keadaan sempurna dan tidak mendekati perbuatan-perbuatan yang keji.yang
nyata mahupun yang tersembunyi.
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah Al-An’am ayat 151 yang bermaksud (terjemahan): “.........dan janganlah kamu mendekati perbuatan yang keji baik yang nampak di antaranya mahupun yang tersembunyi...”
Allah subhanahu wa Ta’ala melalui Rasululah Shallallahu ‘alaihi wasallam, telah melarang seluruh  umat manusia mendekati perbuatan keji yang nyata mahupun tersembunyi, kerana perbuatan keji itu hanya akan menimbulkan kerugian dan kehancuran bagi umat manusia itu sendiri.
Perbuatan keji ialah perbuatan dosa yang  hanya akan menimbulkan kerugian bagi manusia. Sedangkan lawan dari perbuatan keji ialah perbuatan baik. Perbuatan keji yang tersembunyi, sengaja disembunyaikan atau dilakukan secara sembunyi-sembunyi ialah perbuatan dosa batin yang tidak nampak dengan jelas oleh orang lain, kerana berhubungan dengan jiwa dan hati dari pelakunya sendiri. 
Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang bermaksud: “Perbuatan baik ialah suatu perbuatan yang membuat jiwa tenteram dan hati menjadi tenang dan perbuatan dosa  (keji) ialah perbuatan yang menjadikan jiwa goncang  dan hati gusar, sekalipun kamu mendapatkan petua dari ahli fatwa (mufti). (HR. Imam Ahmad)  
Yang dinamakan dosa ialah, sesuatu yang terasa menggelisahkan jiwa, dan kamu tidak mahu menampakkannya kepada orang lain. (HR. Imam Ahmad)
Untuk mendapatkan gambaran lebih jelas dari jenis perbuatan keji yang biasa dilakukan umat manusia dapat kita semak beberapa ayat suci Al-Qur’an. Firman Allah Ta’ala surah Al-Ma’idah ayat 90 – 91) yang bermaksud (terjemahan):
“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah pebuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat  keberun- tungan. Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingati Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu).     
Allah melarang orang-orang Islam meminum arak, kerana arak itu menghilangkan akal orang yang meminumnya tatkala ia mabuk. Banyak orang  yang akan rosak binasa akal fikirannya dan menjadi rendah budi pekertinya disebabkan meminumnya.
Begitu pula Allah mengharamkan judi. Dengan berjudi orang dapat memperolehi harta dengan mudah, tidak dengan bersusah payah. Maka perolehan ini didapati secara batil, dan memakan hasil judi itu adalah haram.
Allah juga melarang membuat patung yang akan dijadikan berhala. Allah telah melarang  menjadikan berhala dan mengharamkan makan binatang  yang disembelih atas nama berhala itu. Perbuatan mengundi nasib dilarang oleh Allah. Haram hukumnya melihat nasib atau mengundi nasib. Ta’ ada orang yang ingin melihat nasibnya kecuali yang kurang sihat pemikirannya.
Ke empat-empat jenis, iaitu arak, judi, berhala dan mengundi nasib dengan anak panah itu adalah sesuatu yang kotor serta buruk benar akibatnya. Allah memerintahkan orang-orang Islam supaya menjauhkan diri dari pekara yang kotor itu, kerana sesungguhnya arak judi, berhala dan mengundi nasib itu sangat kuat penarikannya.

Dalam memimpin melaksanakan satu-satu ibadah setiap orang dibawah kepimpinannya harus dianggap sebagai keluarga sendiri sebab dalam Islam orang yang beriman adalah bersaudara. Maka itu wajar seorang pemimpin memohon kapada Allah agar dimudahkan urusan mereka dengan melembutkan hati untuk khusyuk melaksanakan ibadah kerana Allah. Maka itu kerjasama yang padu dapat dijelmakan demi penyelesaian masalah yang dihadapi.

No comments:

Post a Comment