Saturday, May 10, 2014

MATA HATI YANG MEMBANGUN

 (Disiarka pda 10. 5. 2014)
Mata hati membawa maksud pemikiran atau melihat dalam hati mengenai pengalaman yang telah dilalui atau dialami. Untuk memetahkan pembangunan seharusnya menggunakan mata hati atau kemahiran berfikir apa yang hendak dibangunkan. Satu agenda biasa dilaksanakan oleh setiap badan-badan kerajaan ialah mengadakan lawatan sambil belajar di negara-negara yang telah membangun.
Tujuannya ialah memberi satu incentive atau perangsang kepada perajurit pelaksana pembangunan satu-satu negara serta melihat bentuk apa pembangunan yang sesuai dilaksana kan demi memertabatkan pembangunan satu-satu sektor.
Walau bagaimana pun terdapat individu tertentu yang mempunyai visi serta wawasan pembangunan yang tersendiri tidak memerlukan agenda tersebut dilaksanakan. Dalam kontek ini manusia seharusnya membudayakan tolong menolong dalam mewujudkan pembangunan tamadun kehidupan kerana ilmu itu amat luas dan tidak dapat dikuasai oleh seorang. 
Allah berfirman kepada Nabi Musa a.s. bahawa ilmu itu amat luas dan tidak dapat dikuasai oleh seorang. Firman Allah demikian yang ditujukan kepada Nabi Musa a.s. apabila beliau merasa meggah dalam hatinya dan mengisytiharkan diri bahawa dialah mempunyai ilmu yang tinggi di alam ini kerana ia berjaya menjatuhkan kerajaan Firaun, dan membelah lautan dengan menggunakan tongkatnya. Ia juga dapat berkomunikasi secara langsung dengan Allah.
Oleh Allah, diperintahkan Nabi Musa untuk mengikuti Nabi Khidjir buat seketika. Nabi Musa mengikuti Nabi Khidjir ke mana ia pergi dan menyaksikan perlakuan Nabi Khidjir yang mengikut Nabi Musa, tidak bermanfaat sekali. Nabi Khidjir mempunyai keilmuan yang jauh lebih luas daripada Nabi Musa. Nabi Khidjir boleh melihat kejadian-kejadian sesuatu fenomena di masa akan datang.
Manusia sebagai makhluk berakal selalu berfikir, menyelidik dan menetapkan kesimpulan-kesimpulan dari apa saja yang difikirkan dan diselidiki itu. Dan berdasarkan atas kesimpulan dari pemikirannya itulah dia bertindak, berbuat dan berlaku dan baiklah segala laku dan perbuatan yang dihasilkan manusia itu. Tetapi bila jalan pemikirannya salah, maka akan salah, akan buruk dan akan jahatlah segala laku dan perbuatan yang keluar dari manusia itu.
Orang-orang yang jalan pemikirannya benar, sehingga tindakan perbuatannya benar dan baik, orang itu dikatakan mendapat hidayah atau petunjuk dari Allah. Sedang orang yang jalan pemikirannya salah sehingga tindakan dan perbuatannya salah dan jahat, bererti tidak mendapat petunjuk  dari Allah, tetapi mendapat petunjuk atau pengaruh dari syaitan atau iblis.
Dengan keterangan yang ringkas ini, kita mengetahui betapa tinggi petunjuk atau hidayah dari Allah itu. Nikmat pemberian Allah yang paling penting, yang paling tinggi nilainya, yang diberikan Allah kepada kita manusia, harta kekayaan atau pangkat yang tinggi, tetapi adalah nikmat atau pemberian yang berupa hidayah dan petunjuk.
Maka itu hidayah dan petunjuk dari Allah yang harus selalu kita cari dalam hidup di dunia ini, di samping kita mencari harta kekayaan atau pangkat. Apalah erti kekayaan atau pangkat kalau  hidup kita  tersesat, bergelumang dengan kejahatan. Sebab itu  Rasulullah Shallallahu Alaihi Wassalam dan orang yang beriman setiap dari kehidupan mereka selalu bermunajat dan memohon kepada Allah agar Allah memberikan petunjuk-petunjuk-Nya, dan agar  jangan membelokkan hati-hati mereka dari petunjuk-petunjuk Allah itu. Mereka tidak takut kehilangan harta dan jiwa, tetapi takut bila kehilangan  hidayah Allah.
Doa mereka ialah: “Rabbana la tuzigh qulubana ba’da izh hadaitana, wa hablana min ladunka rahmatan innaka antal wahhab.”
Yang bermaksud: “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau belokkan hati kami sesudah
Engkau beri petunjuk dan berilah kami rahmat dari sisi-Mu, kerana hanya Engkau yang suka
memberi.”
Doa tersebut menunjukkan, bahawa apabila kita mendapat petunjuk dari Allah, kita harus selalu berdoa agar hati kita jangan sampai membelok dari petunjuk Allah itu, kerana tidak sedikit manusia yang sebenarnya sudah mendapat petunjuk dari Allah, tetapi hatinya lalu membelok dari hidayah itu.
               Setiap orang Islam diwajibkan oleh Allah untuk bermohon minta petunjuk 17 kali dalam sehari, iaitu dalam tiap-tiap rakaat solat yang berbunyi:
               “Ihdina sh shirathal mustakim, shirathal la zhina an’am ta ‘alaikim gahiril magdhuubi ‘alaihim, wa la dh dhallin. Ertinya:
               “Ya Allah, tunjukilah kami jalan yang benar, iaitu jalan yang sudah ditempuh oleh orang-orang yang Engkau beri nikmat atas mereka, jangan jalan orang-orang yang dimarahi, tidak pula jalan orang-orang yang sesat.”
               Gunakanlah akal fikiran yang Allah S.W.T. bekalkan kepada kita manusia tapi jangan akal fikiran itu menggunakan kita. Janganlah pula kita kufur kepada akal fikiran kerana takut menggunakannya kelak mengakibatkan manusia menjadi bodoh.
               Ahli falsafah Perancis yang terkenal, Gassendi (1592 – 1655) terbaring di tikar kema- tiannya telah mengucapkan kata-kata terakhir:
               “Saya telah dilahirkan ke dunia, namun saya tidak juga tahu apa sebab saya dilahirkan. Saya pun telah hidup, namun saya juga tidak tahu apa erti hidup ini. Sekarang saya akan mati, namun saya juga  tidak tahu mengapa saya mesti mati dan apakah ertinya mati.”
               Dunia Islam, di bawah pimpinan ulama-ulama agama, pernah menutup rapat pintu mempelajari falsafah, sehingga mendengar nama falsafah pun bencilah yang tumbuh. Ini kerana mereka takut kalau-kalau orang akan tersesat dari agama. Tetapi bahaya yang ditimbulkan dari menutup pintu ini ialah kelesuan berfikir dan hilang kemampuan menghadapi peredaran zaman.
Pada hal Al-Qur’an ini sendiri selalu menasihati dengan positif supaya menggunakan fikiran. Ayat Al-Qur’an dengan tegas mengatakan bahawa orang yang tidak menggunakan fikirannya lebih sangsi hidupnya daripada binatang peliharaan.
Sayid Jamaluddin Al-Afghani, menyimpul pendapat beliau tentang ahli falsafah dan kedudukan Nabi-nabi. “Berfikir yang mendalam, tidak dapat tidak akhirnya akan membawa kita ke dalam alam falsafah.” Memang berfalsafah adalah puncak kesempurnaan berfikir, dengan belajar dan menyelidik. Kenabian dan kerasulan adalah anugerah Illahi yang limpah kurnian-Nya kepada  hamba-Nya yang dipilih-Nya.
Nabi maksum dan dituntun oleh wahyu Illahi. Adapun ahli hikmat dan ahli falsafah ada pejuang  mencari hakikat, yang kadang-kadang bertemu, kadang-kadang tidak. Kadang-kadang tersalah, kadang-kadang benar. Kadang-kadang berjaya kadang-kadang gagal.
Demikianlah Jamaluddin membawa kembali falsafah yang telah di “talak” ke dalam rumah tangga Islam. Berfalsafahlah, tetapi jangan ditinggalkan pangkalan. Laksana memburu  mengharungi rimba mencari kijang. Sebelum berangkat berilah tanda kepada permulaan jalan, sehingga tidak akan tersesat bagimana jua pun jauh jalan yang telah dilalui.
Allah S.W.T. berfiman dalam wahyu-Nya yang pertama yang berbunyi “Iqra” yang bermaksud “Baca”. Allah seolah-olah mengatakan kepada seluruh umat manusia: “Hai manusia janganlah hidup menjadi bodoh.”
Kemurnian manusia dalam percaturan hidup, disebabkan kehadiran ilmu dan akal pada dirinya. Jika akal itu tempat menyimpan segala hikmah dan hidayah dari Allah ia berfungsi sebagai rasul dalam diri manusia. Akal memainkan peranan yang cukup besar dalam tamadun kebendaan dan juga tamadun kerohanian. Cukup kita mengatakan  bahawa tamadun barat,
seluruhnya daripada sebatang jarum sehingga ke rocket, daripada dapur  arang ke tong gas
sehingga alat-alat elektronik kesemuanya adalah daripada usaha akal.
               Hati yang membangun sentiasa berlandaskan pekerjaan termulia. Manusia hidup di dunia ini dapat melakukan beratus bahkan beribu macam pekerjaan yang baik, dan dapat pula melakukan sebanyak itu pekerjaan-pekerjaan yang tidak mendatangan kebaikan atau yang buruk. Antara pekerjaan yang termulia manusia lakukan ialah untuk beriman kepada Allah serta melakukan amal-amal kebajikan atau amal salih.
               Menyeru manusia untuk beriman dan beramal salih bererti mencabut dan menghindar kan manusia dari jurang kesengsaraan dunia dan jurang kesengsaraan akhirat. Kerana itu para Rasul dan para sahabat seluruh menumpukan seluruh tenaga, fikiran dan harta mereka untuk menyeru manusia beramal salih kepada Allah; sekalipun diancam dengan beraneka ragam ancaman.
               Sesudah 5 tahun menjadi Rasul, Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wassalam hanya berhasil mendapatkan pengikut kira-kira 50 orang sahaja yang kebanyakan terdiri darpada orang-orang yang lemah dan miskin. Tetapi halangan dan rintangan serta hinaan sudah hebat sekali. Namun semuanya itu ta’ berkesan. Mereka lakukan pekerjaan suci siang dan malam, pagi dan petang, di waktu senang dan di waktu susah, mereka dalam keadaan lapar sekali pun, mereka lakukan pekerjaan itu tanpa mengharapkan upah dari siapa pun, kecuali ganjaran pahala dari Allah semata.
               Pemimpin-pemimpin bangsa quraisy mulai memikirkan jalan lain dari ancaman untuk menghentikan Rasulullah Shallallahu Alaihi Wassalam terus berdakwa itu. Kemudian dipilihlah Utbah bin Rabi’ah yang paling pandai berkata-kata untuk menemui Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wassalam dan mengemukakan 3 tawaran kepada Baginda.
               Pertama, menawarkan kekayaan sehingga menjadi orang yang terkaya di kalangan  bangsa Quraisy. Kedua memilih 10 orang di antara wanita-wanita Quraisy yang cantik menjadi isteri Baginda; dan ketiga ialah menjadi raja bangsa Quraisy yang dihormati dan disegani.
               Setelah mendengar ke tiga macam tawaran Quraisy itu, Rasulullah Shallallahu Alaihi Wassalam menjawab dengan membaca Surah Sejadah mulai ayat 1 hingga ayat 13:
               Setelah Rasul selesai membaca Surah tersebut, Utbah menjadi terpukau mendengar ayat-ayatnya, kerana kata-kata dan susunannya yang indah dan pengertinya yang amat mendalam, yang berisi seruan untuk beriman dengan Allah agar mendapatkan kebahagian, dan mengancam jangan mengabaikan apa yang diturunkan Allah agar jangan ditimpa  siksa..., seperti siksa yang pernah menimpa kaum ‘Aad dan Tsamuud. Utbah tidak berkata apa-apa lagi lalu meminta untuk  kembali pulang.
               Beberapa bulan kemudian, pemuka-pemuka Quraisy kembali berkumpul membincang strategi baru bagaimana hendak menghentikan Muhammad  meneruskan dakwanya. Mereka memutus akan datang bersama-sama menemui Abu Thalib paman Rasulullah Shallallahu Alaihi Wassalam untuk menyampaikan ultimatum. Mereka datang 5 orang, terdiri atas pemuka yang paling terkemuka di kalangan bangsa  Quraisy, iaitu Abu Jahl bin Hisyaam, Umayyah bin Khalaf, Abu sofyan bin Harab, dan Utbah bin Rabi’ah.
               Setelah bertemu dengan Abu Thalib, mereka memberi tahu bahawa mereka khawtir akan terjadinya apa-apa antara mereka dengan beliau (Abu Thalib) akibat perbuatan kemanakannya, Muhammad itu. Mereka suruh dia menghentikan atau mereka sendiri menghentikan usahanya menyebarkan dakwanya.
               Abu Thalib memanggil kemanakannya kemudian menyerunya untuk menghentikan dakwanya. Nabi Muhammad berkeras hati tidak setuju untuk menghentikan dakwanya dan mengatakan kepada pamannya: “Hai panmanku, sekiranya matahari diletakkan di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku, tidaklah aku akan berhenti dari pekerjaan ini, sehingga Allah memenengkan apa yang aku akan ajarkan itu atau aku binasa dalam memperjuang kannya.”
               Sehabisnya mengucapkan kata-kata itu, Rasulullah lalu menangis. Demikianlah tinggi nya nilai pekerjaan yang bernama dakwah, iaitu menyeru manusia untuk beriman dan beramal salih, sehingga pekerjaan itu tidak dapat ditukar dengan harta benda yang bagai mana jua banyaknya; tidak dapat diganti dengan wanita-wanita yang bagaimana jua cantiknya; dan ta’ dapat ditukar dengan pangkat atau kedudukan yang bagaimana jua tingginya. Bahkan ta’ dapat ditukar dengan bulan ditambah matahari sekalipun.

               Mata hati yang membangun menyeruh manusia beriman dan beramal salih merupakan satu pekerjaan yang amat mulia di sisi Allah S.W.T. Sudahkan saudara turut berdakwa menyeruh manusia beriman kepada Allah dan beramal salih? Syukurlah kalau sudah. Tetapi kalau belum, bilakan saudara akan menjadi pengikut Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wassalam yang setia?

No comments:

Post a Comment