Saturday, May 3, 2014

NAFSU PEMBANGUNAN DAPAT REDHA ALLAH S.W.T.

 (Disiarkan pada 3. 5. 2014)
Setiap kewujudan makhluk Allah sewajarnya mempunyai naluri hendak berubah dari segi keadaan fisikalnya mahupun pembangunan dalamannya (rohaninya) terutama sekali makhluk manusia yang telah diamanahkan oleh Allah sebagai pemakmur alam kehidupan. Manusia merupakan makhluk bersosial dan suka hidup bermasyarakat maka itu mewujudkan pembangunan memerlukan kehadiran orang lain kerana adalah sukar bagi  manusia  hidup sendirian. Hidup ini semestinya di atas disiplin tolong menolong dan kasih mengasihi antara satu sama lain.
               Allah mewujudkan makhluk manusia antara ciptaan-Nya yang amat sempurna berbanding makhluk-makhluk lainnya yang ada di alam ini. Allah bekalkan berbagai nikmat dan rahmat kehidupan demi kemanfaatannya dalam membangunkan kehidupan. Manusia dibekalkan dengan fitrah kemahiran berfikir yang membolehkannya memahami dan mentafsir ciri-ciri pembangunan mengikut disiplin keadaan semasa.
Firman Allah surah Al-Tin ayat 4 yang bermaksud (terjemahan): “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya”.
Manusia diciptakan dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Manusia dihiasi dengan ilmu pengetahuan, fahaman, akal fikiran dan daya membezakan serta dapat pula bercakap-cakap, selain mempunyai adab dan kesopanan.
Manusia adalah makhluk termoden, mempunyai susunan tubuh yang lebih sempurna, mempunyai akal dan fikiran sehingga dengan akal fikiran itu, manusia hidup mempunyai kebudayaan dan peradaban, semakin maju dan maju tidak tetap. Manusia yang hidup 20 abad yang silam akan lain sekali dengan kehidupan manusia dalam abad ke 21 sekarang ini. Dan pasti  lebih lain lagi  manusia yang hidup 21 abad yang akan datang. Manusia selalu maju dan berubah.
               Manusia sentiasa inginkan pembaharuan dalam hidupnya. Ia tidak suka melihat keadaan yang statik atau keadaan yang tidak berubah maka itu suka membandingkan antara keadaan yang lama dengan sesuatu yang baru. Nalurinya sentiasa ingin melihat sesuatu yang indah pada mata memandang.
               Para pengkaji dan peneliti Al-Qur’anul Karim semenjak zaman Mekkah mendapat bahawa Al-Qur’anul Karim sentiasa mengarahkan pandangan kaum Muslimin ke masa hadapan yang penuh dengan cita-cita dan harapan. Al-Qur’anul Karim menjelaskan bahawa alam raya ini terus berputar, dunia sentiasa berubah dan keadaan manusia selalu berganti-ganti.
               Pihak yang tadinya kalah, boleh  kemudian menjadi pemenang, dan yang pada  mulanya menang berubah menjadi ‘kecundang’; yang lemah menjadi kuat, dan yang kuat  pula beransur-ansur menjadi lemah. Pendek kata, seluruh gugusan alam raya ini terus mengalami perubahan, perputaran dan pergantian.
               Oleh sebab itu, kaum Muslimin diperintahkan untuk sentiasa berjaga-jaga dan mempersiapkan diri bagi menghadapi setiap kemungkinan yang akan datang di hari esok. Mereka tidak boleh bergantung kepada keadaan semasa dan leka daripada mengambil setiap sebab dan perbuatan yang menambah kekuatan, kebaikan dan kemajuan di masa-masa mendatang.
               Perubahan pada itu juga bukan hanya tertumpu kepada keadaan fisikal tetapi juga kepada keadaan ilmu yang dikuasai pada setiap individu. Menuntut ilmu tidak ada titik penghujungnya. Selagi nyawa dikandung badan selagi itu kita memerlukan ilmu yang baru kerana semakin banyak ilmu yang kita perolehi semakin banyak lagi ilmu yang belum kita ketahui. Kata-kata pujangga berbunyi: “semakin saya tahu semakin saya tidak tahu”.
               Baginda Rasul Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam menasihatkan bahawa
“menuntut ilmu adalah seumur hidup”, atau menuntut ilmu mulai dari buaian hingga ke liang lahad. Tidak ada kata pencen dalam menuntut ilmu. Ilmu itu mengikut kesesuaian pada usia individu berkenaan, kerana semakin usia tinggi semakin tinggi nilai ilmu yang wajar diperolehi.
               Memandang kepada keadaan manusia itu sebagai makhluk Tuhan setiap detik masa keadaan hidupnya juga berubah. Usianya, jasmaninya, kemampuannya mengolah ibadah kepada Allah dan sebagainya semuanya berubah mengikut peredaran masa. Begitu juga mengenai keinginannya hendak berubah sesuatu untuk kehidupannya.
               Manusia dibekalkan dengan berbagai nikmat yang tidak  terkira banyaknya untuk meninggikan darjat dan martabat manusia di sisi Allah. Jikalau manusia buta hatinya dan tidak menggunakan akal fikiran maka segala nikmat yang  Allah curahkan kepada manusia menjadi sia-sia dan akan mengalami kerugian yang besar di akhirat nanti. Allah berfirman Surah Al-Isra’ ayat 72 yang bermaksudu (terjemahan): “Barang siapa buta  (hati) di (dunia) ini, nescaya ia buta di akhirat nanti dan lebih sesat jalannya”.
               Nikmat Allah yang besar kepada manusia ialah nikmat datangnya Islam sebagai agama yang benar, menunjukkan kepada manusia cara hidup yang diredai Allah s.w.t. Islam sebagai agama yang sebenar telah dilengkapi dengan pengajaran-pengajaran dan panduan kepada Jalan yang lurus dan jauh dari kesesatan.
               Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud (terjemahan): “Telah ku tinggalkan kepada kamu dua perkara jika kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya; iaitu Al-Qur’an dan Sunnah Rasul .
(riwayat kebanyakan ahli Sunah)
               Di dalam Al-Qur’an kita difahamkan juga bahawa Allah telah membekalkan satu petunjuk hidup yang wajib manusia amalkan dalam hidupnya. Jika manusia kufur kepada-Nya maka manusia akan kufur  kepada segala nikmat Allah yang ditaburkan ke atas hidup manusia. Firman Allah Surah Al-An’am (6) ayat 153 yang bermaksud (terjemahan):
               “Dan sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama-Ku) yang lurus, maka hendaklah kamu ikutnya dan janganlah  kamu mengikut jalan yang lain, kelak akan memporak peranda kamu (menyesatkan kamu) dari jalan-Nya (Allah).
               Manusia diperintahkan memilih jalan yang telah dibentangkan oleh Allah di hadapan mereka melalui pesuruh-Nya  Nabi Muhammad Shalalahu Alaihi Wasallam memerintahkan manusia supaya mereka menerima Islam itu sepenuhnya; iaitu mereka hendaklah menjadikan diri mereka Islam segala-galanya.
Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 208 yang bermaksud (terjemahan): “Wahai orang-orang yang beriman masuklah kamu ke dalam Islam (perdamaian) selurunya
dan janganlah  turut langkah-langkah syaitan. Sesunggunya syaitan itu musuh musuh kamu yang nyata”.  
               Al-Qur’an menganjurkan umat Islam supaya sentiasa peka terhadap perubahan dan mengambil ikibar dari situ untuk membudayakan pembaharuan tersebut agar kita tidak hanya menjadi penonton tetapi bersemangat mara ke hadapan sebagai pemain. Manusia  wajar kembali kepada sumber asal dan pangkal ajaran Islam baik dari sudut Aqidah, Pemikiran dan Akhlaq yang wajib kita jadikan sebagai pegangan hidup dan penyuluh jalan.
               Konsep-konsep tersebut akan menjadi kurang bernilai jika tidak dilahirkan dalam kenyataan kerja-kerja amali. Perasaan berbangga dan berbesar hati dengan konsep-konsep besar ini akan menjadi satu fenomena ‘penyakit’ jika ianya hanya dijadikan sebagai bahan percakapan dan perbincangan sahaja.
Islam mempunyai banyak tokoh yang boleh diambil sebagai idola dan mencontohi kejayaan-kejayaan mereka, seperti Ali Ibn Talib r.a., jika kita berusaha memiliki keberanian dan keluasan ilmu seperti yang dicapainya. Mencontohi Umar al-Faruq r.a., mengenai
keupayaannya memiliki sifat kematangannya. Tokoh-tokoh yang telah  menunjukkan kemata- ngan mereka berfikir telah memberi satu budaya  fikir kepada generasi Islam di abad ini dan ketokohan mereka telah membuka era pembangunan untuk dicontohi dan diamalkan.
               Dalam fenomena pembangunan keluarga fokusnya melihat jejak langkah seorang ayah. Seorang anak harus melihat pencapai ayahnya terlebih dahulu. Jika pencapain seorang ayah menjadi idola kepada seorang anak menjadinya “a stepping stone” bagi si anak untuk mengorak langkah membudayakan perubahan pembangunannya.
               Adalah bermanfaat kepada pembangunan anak jika perubahan hidupnya dapat dilaksanakan lebih baik berbanding pencapai dari seorang ayah. Walau bagaimana pun jika pencapaian anak dalam membina kehidupan agak lebih rendah berbanding kejayaan seorang ayah maka suasana perubahan pada pembangunan seorang anak tidak tercapai.
               Membuat perubahan pada pembangunan kehidupan itu semestinya dilengkapi dengan ilmu. Baginda Rasul Nabi Muhammad Shallallau Alaihi Wasallam menyarankan bahawa memperolehi kebahagian dunia semestinya dengan ilmu dan jika kita inginkan kebahagian di akhirat juga dengan ilmu. Dan jika ingin kebahagian di kedua-duanya dunia dan akhirat semestinya dengan ilmu (Hadith Shaih).
               Ilmu dan amal semestinya berjalan sama kerana ilmu tanpa amal kurang bermanfaat kepada manusia. Ilmu yang tidak diamal diibarat manusia yang lumpuh. Ia mempunyai segala idea untuk pembangunan manusia tetapi ia tidak ada keupayaan untuk bergerak, oleh itu ilmu yang ada padanya tidak memberi kemanfaatan kepadanya.
Untuk menyalurkan ilmunya kepada orang lain juga sukar kerana kemampuan untuk berkomunikasi amat terhad; begitu juga dengan usaha mencatat segala pandangannya amat sukar kerana anggota tangannya tidak mempunyai keupayaan berbuat demikian.  
               Orang yang tidak berilmu tetapi beramal juga tidak mendatangkan sebarang keman- faatan hidup kerana manusia sepertinya dianggap sebagai orang buta. Apabila manusia tidak diberi kenikmatan untuk melihat maka keadaan alam ini sentiasa gelap gelita. Kemuskilan utama yang dialaminya ialah kemampuan berjalan. Dia tidak dapat menentukan arah tujunya dan ia hanya berpandukan kepada pendengaran dan perasaannya semata-mata.
Orang sedemikian mempunyai kesulitan untuk memahami alam dan lebih sukar lagi untuk mengajar orang lain mengenai hubungan kita dengan alam. Begitulah keadaan orang yang tidak mempunyai ilmu tetapi cuba mendidik orang lain. Panduannya  akan lebih menyesatkan daripada memberi kemanfaatan  kepada orang yang dipimpinnya.          
Manusia yang berilmu dan menggunkan ilmu kepentingan pembangunan manusia adalah insan yang dikategorikan sebagai orang yang hidup. Cintanya kepada ilmu membentuk dirinya sebagai manusia yang bertanggungjawab untuk membuat perubahan kepada masyarakat agar lebih peka untuk memahami peranannya sebagai ahli masyarakat yang membudayakan kemuafakatan demi kestabilan ukhuwah kemanusiaan.
Kita hidup harus berpegang kepada satu idologi bahawa dengan kehadiran ilmu dalam diri insan memberikan satu tanggungjawab untuk membudayakan pemikiran yang proaktif. Dengan amalan demikian kehadiran ilmu dalam diri kita dapat dimanfaatkan untuk membangunkan manusia.
Tetapi manusia tidak mempunyai ilmu dan tidak pula membuat sebarang amalan, dikategorikan sebagai bangkai bernyawa. Kumpulan manusia ini adalah sampah masyarakat atau dalam erti kata lain manusia yang tidak  melihat pembangunan itu sebagai satu ketamadunan hidup. Apa yang penting baginya ialah untuk mendapatkan makanan apabila lapar, soal apakah perancangan masa depannya tidak menjadi agenda dalam hidupnya. Dia lebih suka menjadi penonton daripada pemain.
Menurut Al-Ghazali dalam bukunya yang bertajuk: “Ayyuh al-Wallad” katanya: “Sekiranya  tujuan anda mencari ilmu adalah untuk mendapat tempat, untuk merasa sombong
kepada rakan-rakan anda, rugilah anda. Tetapi sekiranya tujuan anda mencari ilmu itu adalah untuk mendalami syariat yang diturunkan melalui Nabi dan untuk pembersihan diri (nafs amarah), anda akan dirahmati.”
               Dalam suatu tulisan-tulisan yang lain pula, Al-Ghazali beranggapan tujuan mencari ilmu ialah sebagai pengembaraan untuk melengkapkan diri bagi kehidupan yang akan datang dan bukan bertujuan untuk mendapatkan kuasa, pengaruh dan kemewahan. Ilmu diibaratkan pakaian yang menuntup tubuh badan. Oleh itu manusia yang tidak berilmu laksana seorang manusia yang berbogel.
               Penggunaan ilmu yang sempurna akan melahirkan akal kemalaikatan. Ia akan menguasai keinginan manusia melayani nafsu dan kiblatkan fikiran kepada kebaikan dan kemanfaatan dalam hidup. Selain daripada menguasai ilmu pengetahuan yang dipusakai dari ahli-ahli fikir yang lain atau wahyu Allah yang diturunkan kepada Rasulullah Shallalahu Alaihi Wasallam, para ilmuan atau ahli fikir dapat mempunyai hikmahnya kepada manusia.

No comments:

Post a Comment