Saturday, November 15, 2014

PENULIS RUANG BICARA MINDA TOKOH MAAL HIJRAH 1436H/2014M

 (Disiarkan pada 15. 11. 2014)
Berkelulusan Sarjana dalam Pendididkan dari Universiti Southern Illinois at Carbondale Amerika Syarikat, Datuk Haji Mohd Farid Linggi (HAMFAL), selaku columnist atau penulis ruang Bicara Minda, The News Sabah Times  sejak bulan Jun 2002; telah dianugerah Tokoh Maal Hijrah oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin, sempena sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Negeri  1436H/2014.
Datuk  telah bersara dalam perkhidmatan kerajaan di Jabatan Pendidikan, sebagai guru, pensarah, pentadbir dan pengetua pada 22 Disember 1989. Kini, Datuk aktif sebagai pendakwa bebas melalui penulisannya dalam ruang “Bicara Minda”.  
“Perpaduan Nadi Transformasi Negara”, Tema Maal Hijrah kali ini; di mana Datuk telah menyumbangkan berbagai pemikiran mengenai suasana perpaduan dalam pembangunan ummah melalui penulisannya. Sejak Datuk menjadi columnist atau penulis ruang yang disiarkan pada hari Sabtu setiap minggu, telah menghasilkan beberapa buah buku (13 buah) khusus penekanan kepada dakwa Islamiah sebagai cara hidup (addin), serta melapuhtinggikan budaya ukhuwah kemanusiaan dalam membangunkan negara.
 Setakat ini Datuk telah menerbitkan empat buah buku masing-masing bertajuk: Samudera Kemahiran Hidup, diterbitkan oleh Datuk sendiri; Kehidupan Dalam Tiga Dimensi, diterbit oleh Pustaka Syuhada, Kuala Lumpur; Kebudayaan Suku Kaum Ganna, diterbit oleh Persatuan Masyarakat Ganna Sabah; dan Warna-Warni Kehidupan, diterbit  oleh Al-Hidayah Kuala Lumpur. Kesemua buku tersebut memaparkan intisari perpaduan dalam menangani pembangunan berteraskan Islam sebagai agama Allah Subhanahu wa Tala.
Sebuah buku yang sedang dicetak untuk diterbit oleh Sandapak Enterprise, Keningau bertajuk: “Profesion Keguruan Membina Tamadun”, yang memperincikan ibadah seorang pendidik demi memanusiakan manusia! Pembangunan ummah berlandaskan ilmu yang membetulkan persepsi manusia ke jalan yang diredhai Allah Subhanahu wa Tala.
Sebuah karya Datuk yang sedang diedit sebelum diterbit, bertajuk: “DIMENSI IMAN LAMBANG KEUNGGULAN ISLAM”, mempunyai 473 muka. Buku ini menghuraikan mengenai asas utama terbinanya mayarakat mukmin ialah akidah Islam. Amanah yang dipertanggngjawabkan kepada masyarakat Islam ialah memelihara, menjaga, dan menegakkan akidah Islam serta menyinarkan cahayanya ke seluruh cakerawala alam kehidupan.
Ada sembilan buah buku yang siap ditulis  menungguh diterbit seperti: Iman dan Takwa Kepada Allah S.W.T. Kesempurnaan Hidup Akhirat; Mutiara Hidup; Konsep Islam Sebagai Addin; Samudera Kehidupan; Jendela Iman; Istiqamah Beribadat Kesempurnaan Hidup Dunia dan Akhirat; dan sekarang ini Datuk sedang menulis  buku bertajuk “Tanam Padi Rumput Turut Tumbuh Sama Tetapi Tanam Rumput Padi Tidak Ikut Tumbuh”. Falsafah disebalik pengertian tajuk ini ialah hidup dengan agama (ilmu Akhirat), dunia ikut sama terbelah tetapi jika hidup untuk kemanfaatan dunia semata maka akhirat tidak akan terpelihara.
Karya Datuk yang bertajuk: “Konsep Islam Sebagai Addin” mempunyai 10 Bab. Dalam Bab ke dua - “Ilmu Merupakan Zata Rohani”. Datuk memperincikan konsep perjuangan ‘mengagamakan ilmu’ sebagai perpaduan ummah. Kesempurnaan  kewujudan manusia adalah disebabkan kehadiran akal dan pemikiran (ilmu), yang dapat memandu manusia untuk mengenali diri dan memahami fenomena alam kehidupan.
Walaubagaimana pun ilmu semata tidak membawa kepada tranfomasi pemikiran manusia yang sempurna tanpa kehadiran ilmu agama. Ilmu akidah yang akan membuka cakerawala kefahaman mengenai keEsahan, Kekuasaan, Keunggulan dan Keagungan Tuhan yang bertanggingjawab dalam mewujudkan alam kehidupan.
Dengan ilmu akidah akan melahirkan iman dan takwa kepada Allah Subhanahu wa Tala yang menjanjikan kebahagian hidup di dunia dan juga diakhirat kelak. Segala keperluan hidup manusia di alam dunia ini semestinya atas keredhaan Allah Subhanahu wa Tala. Tidak ada kekuasaan manusia sendiri dalam menangani pembangunan kehidupan tanpa keredhaan Allah Subhanahu wa Tala.
Dalam arena pekerjaan, Datuk mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang Pendidikan. Pada tahun 1967, beliau bertugas sebagai Penolong Kanan dan bersama Pengetua telah membuka dan membangunkan Sekolah baru iaitu SMK. Putatan. Seterusnya menjawat jawatan Pengetua di SMK Bingkor(1971-1973), pensyarah Lingustik di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Ceras, Kuala Lumpur (1974) dan pensyarah di Maktab Perguruan Kent, Tuaran, sebagai Ketua  Jabatan Bahasa Inggeris (1975 – 1977).
Antara tahun 1977 hingga 1978, bertugas sebagai Penolong Setiausaha Peperiksaan Jabatan Pendidikan Sabah. Kecemerlangan dalam tugas, membolehkan Datuk dilantik sebagai Pegawai Pendidikan Bahagian Pantai Barat Selatan Kota Kinabalu (1980 – 1982) dan Keningau (1982 – 1989).
Berikutnya beliau telah dilantik  oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai Penolong Pengarah Pendidikan Kanan, untuk menyelaras Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) di negeri Sabah (1989 – 1994).
Pengalaman Datuk yang luas dalam dunia pendidikan, telah menyebabkan Jabatan Pendidikan Sabah melantik Datuk menjadi  Pengetua SMK. Mat Salleh, Ranau (1995) dan pada tahun 1996, sebagai Pengetua di SMK Gunsanad, Keningau di mana Datuk bersara wajib pada Disimber 1998.
Buku “Kehidupan Dalam Tiga Dimensi” dihasilkan oleh Datuk berdasarkan pengalam annya sendiri menganut tiga kepercayaan. Datuk Haji Mohd Farid Linggi, dilahirkan dalam kelompok masyarakat yang mengamalkan ‘Paganisme’, iaitu mempercayai kejadian alam sekeliling dan roh serta adat resam yang diamalkan oleh nenek moyang.
Seterusnya  di peringkat menengah, dengan nama asalnya Alfred Linggi, Datuk menganut agama  Kristian dan aktif sebagai ahli Vergin of Mary. Antara tahun 1967 hingga  1974 Datuk mula mengenali dunia Islam. Selama tujuh tahun, Datuk  mula berdampingan dengan Islam, dengan cara mengkaji dan menerokai dunia Islam, dalam erti kata yang sebenarnya.
Pencarian Datuk mengenai kebenaran dalam hidup, akhirnya mendapat hidayah daripada Allah dan telah memeluk Islam pada tahun 1974 sebagai Pegangan Hidup hingga sekarang. “Theory Without Practical, is nothing”, tetapi Datuk Haji Mohd Farid Linggi telah menghasilkan buku “Kehidupan Dalam Tiga Dimesi, berdasarkan apa yang dialami dan dirasainya iaitu “niat, Lafaz, dan perbuatan” dalam ketiga-tiga kepercayaan ini.
               Datuk merumuskan  segala pengalamannya dalam tiga kepercayaan tersebut sebagai suatu perbandingan yang sangat menarik untuk dibaca dan diketahui oleh pembaca. Setelah menganut Islam, Datuk mula berfikir dan mengkaji mengenai kemanusiaan dan kerohanian di mana menurutnya : “berfikir adalah suatu alat untuk  mengenali diri sendiri”, seperti mana yang telah dilakukan oleh Hamzah Fansuri, Abdul Rauf Al-Singkel dan lain-lain ulama’ di zaman Acheh yang “mengenali Tuhan setelah terlebih dahulu mengenali diri sendiri.”
               Buku bertajuk “Dimensi Iman Lambang Kunggulan Islam”, merupakan satu nukilan pemikiran Datuk yang bersifat perpaduan ummah secara menyeluruh berlandaskan ilmu tauhid. Keunggulan Islam berpaksi kepada budaya ukhuwah kemanusiaan yang dibalut dengan perasaan kasih sayang antara sesama serta ditunjangi dengan iman dan takwa kepada Allah Subhanahu wa Tala.
               Lahirnya buku ini adalah atas permintaan Ustaz Abu Hurairah yang berkhidmat dengan  USIA, meminta Datuk untuk menulis mengenai keunggulan Islam sebagai agama manusia. Beliau (ustaz) sering berdepan dengan masyarakat penganut Krestian dalam usahanya mengetengahkan konsep Islam sebagai cara hidup, yang mereka lantang mengatakan bahawa agama Islam tidak unggul seperti agama Krestian!
Walaubagaimana pun, Ustaz Abu Hurairah mengatakan bahawa jika kita mempunyai   sesuatu kepercayaan (agama) itu unggul maka boktikan dalam penulisan sebuah buku dengan memperincikan segala hujah mengenai keunggulannya. Tidak ada makna hanya dibawa dalam perbahasan lisan semata tanpa memboktikan kesaihannya dalam melahirkan sebuah buku.
Buku ini telah dibaca oleh Ustaz Jumain Abdu Ghani, pegawai bahagian sebaran Am di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam  Negeri Sabah (JHEAINS) dan beliau telah memberi pandangan berikut sebagai kata-kata aluan.
“Sesungguhnya buku “Dimensi Iman Lambang Keunggulan Islam” telah memaparkan betapa luasnya pengertian Iman dan Islam itu sendiri. Akar umbi iman diperlihatkan dalam setiap dimensi umpamanya dari sudut kegiatan, muamalah, sudut ciptaan Allah Subhanahu wa Tala, sudut rohani dan jasmani serta sudut alam.
               Islam juga diperkatakan dengan cukup melebar dengan menekankan keunggulan dalam pelbagai sudut. Suatu yang menarik apabila beliau menjelaskan keunggulan ISLAM itu sebagai satu Agama Benar (Deen Al-haq)  yang meliputi Islam sebagai agama Allah Subhanahu wa Tala dan tanggungjawab setiap individu terhadap agama tersebut.
               Saya pernah membaca karya beliau sebelum ini, antaranya buku “Tiga Deminsi Kehidupan” dan “Warna-Warni Kehidupan”. Berbanding dengan karya ini, karya beliau sebelumnya banyak menceritakan berkenaan pengalaman realiti beliau singga sebentar dalam suasana tanpa agama dan agama Kristian sebelum menerima hidayah Allah Subhanahu wa Tala untuk menerima Islam.
               Ketajaman pemikiran beliau banyak dipaparkan di dada akhbar Sabah Times dalam ruang Bicara Minda dan mendapat maklum balas yang positif dari pembaca. Saya berpendapat buku ini merupakan perjalanan pemikiran beliau setelah banyak mengkaji dan membuat penelitian mengenai betapa luasnya pengertian Iman serta Islam dan seterusnya mengecapi keindahan beragama.
               Tahniah kepada Tuan Haji Farid Linggi di atas kesungguhan menghasilkan karya yang kreatif dan kritis demi memertabatkan dunia penulisan”. (Jumain Abdul Ghani).
               Usaha-usaha selain dari berdakwa melalui penulisan, Datuk juga telah memimpin Masjid Nur Hidayah pekan Bingkor semasa Datuk dalam perkhidmatannya dan kini sebagai penasihat jawatan kuasa masjid berkenaan.
Datuk juga telah mendirikan sebuah sekolah agama rakyat (SAR) di pekan Bingkor sejak tahun 2004 untuk anak-anak Islam di mukim Bingkor terutama sekali keluarga Mualaf. Disamping memimpin sekolah berkenaan Datuk mengambil kesempatan pada setiap hari Sabtu untuk bersama para jemaah masjid At-Taqwa Keningau menghidangkan ceramah agama yang memfokoskan mengenai perpaduan serta kefahaman Islam sebagai cara hidup.
Datuk merakamkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah Subhanahu wa Tala dan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan Negeri Sabah kerana memilih Datuk sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah tahun 1436/2014.
Anugerah ini merupakan satu tanggungjawab yang tinggi  untuk melaksanakan amanah Allah demi memperkasakan dakwah Islamiah di Sabah khasnya dan di seluruh negara amnya. InsyAllah dengan izin Allah Suhanahu wa Talah yang memurnikan kesihatan hamba-Nya, Datuk akan meneruskan usaha yang mulia dan murni ini dan sentiasa menjadikannya sebagai  tetamu khas setiap hari dalam kehidupan Datuk hingga ke akhir hayatnya. Amin!  

No comments:

Post a Comment