Saturday, July 11, 2015

KONSEP PERSEPSI PEMBANGUNAN YANG POSITIF

 (Disiarkan pada 11. 07. 2015)
Konsep pembangunan yang positif mengarah kepada sifat kemodenan yang seimbang dari segi infrastrutur pembangunan dalam kedua-dua alam iaitu jasmani dan rohani. Kepen- tingan pembangunan dalam kedua-dua alam memberi keutamaan kepada pembangunan spiritual atau rohani  kerana misi kehidupan manusia di alam dunia ialah membuat persediaan kepada kehidupan di akhirat kelak setelah agenda di dunia selesai nanti.
Hidup di dunia hanya buat sementara sahaja dan setiap insan tertakluk kepada usianya yang ditetapkan Allah SWT. Ada diberi usia panjang dan ada yang diberi umur yang sederhana panjang, orang lain hanya beri hidup buat seketika sahaja dan ada juga tidak ada kesempatan hidup di dunia terutama bayi yang masih di dalam rahim ibu dan Allah tarik balik jiwanya sebelum lahir ke dunia. Semua keadaan tersebut adalah kekuasaan Allah SWT menentukannya.
Pembangunan manusia bermula dari alam rahim hinggalah ke dunia di mana insan itu menjadi pemain dalam pembangunan diri(rohani), dan pembangunan jasmani (alam kehidu- pan).  Kehidupan manusia amat komplek berbanding kehidupan haiwan di dunia ini kerana Allah bentukkan manusia dalam dua unsur iaitu unsur rohani yang bersifat ghaib dan unsur jasmani yang bersifat jelas atau nyata.
Unsur rohani bersifat zat, asalnya dari roh Allah yang ditiupkan-Nya ke dalam janin semasa usia bayi mencapai 120 hari atau empat bulan dalam rahim ibu maka jadilah makhluk bernama manusia. Manakala unsur jasmani yang sifatnya nyata berasal dari tanah iaitu segala makanan yang kita ambil yang asalnya tumbuhan di atas tanah menjadi zat melalu proses metabolism (metabolisme) atau pemecahan makanan.
Daging juga yang kita makan asalnya dari tanah iaitu haiwan berkenaan memakan rumput yang tumbuh di atas tanah dan rumput itu akan menjadi zat makanan haiwan seperti menjadi daging dan sebagainya. Serupalah juga dengan haiwan ternakan seperti ayam, itik dan sebagainya memakan padi yang asalnya tumbuh daripada tanah kemudian menjadi zat dalam badannya seperti daging.
Pembangunan yang positif menekankan kepada pembangunan dua alam iaitu alam rohani dan alam jasmani (dunia). Oleh sebab kehidupan manusia bermula dalam alam rahim, kemudian berpindah ke alam dunia dan ke distinasi mutlaknya ke alam akhirat di mana ia bertemu dengan zat yang Maha Pencipta, Allah SWT.
Kesedaran manusia mengenai unsur rohani yang ada pada dirinya menandakan keimanan kepada Allah maka tanggungjawab sebagai khalifah-Nya menjadi agenda utama dalam pembangunan kehidupan. Beriman kepada yang ghaib merupakan ciri utama seseorang yang beriman kepada Allah SWT.
Tiada yang lebih selamat sebagai pemain dalam pembangunan di dunia selain  mengutamakan pembangunan rohani. Nadi ibadahnya ialah ketakwaan kepada Allah di samping memelihara ukhuwah dan kasih sayang sesama insan. Ukhuwah kemanusiaan menjadi agenda terpenting dalam pembangunan kehidupan di dunia.
Pembangunan rohani perpaksi kepada amal ibadah semasa hidup di dunia. Setelah selesai agenda di dunia (mati) maka tidak ada pembangunan di akhirat lagi. Semua bekalan di akhirat nanti adalah hasil usaha ibadah kita semasa di dunia. Maka itu setelah kita meninggal dunia  maka tidak ada hubungan kita lagi kepada dunia dikecuali tiga perkara.     
Pertama mempunyai anak yang salih. Dalam memilih pasangan hidup satu daripada ciri-ciri yang ada pada wanita yang dijadikan teman hidup atau isteri ialah mempunyai ilmu keagamaan. Rasulullah SAW telah mengingatkan umatnya terutama pihak lelaki ialah  apabila mendirikan rumah tangga pilihlah wanita yang cintakan agama atau mempunyai ilmu keagamaan.
Anak dapat didikan bermula dari rahim ibu maka itu seorang ibu wajar hidup berlan-
daskan Islam. Sebagai contoh  seorang ibu yang sedang mengandung wajar mendekati ibadah-ibadah keagamaan. Ibu yang sentiasa mengidam dengan suka mengaji akan melahirkan anak yang patuh agama. Didikan agama sudah bermula sejak dalam rahim ibunya maka itu apabila ia lahir jiwanya setiasan berpaut kepada agama.
Mempunyai ilmu keagamaan adalah penting kerana zuriat yang bakal kita lahirkan wajar ada didikan agama. Ia kenal  dirinya dan kenal Tuhan apabila ia membesar. Ilmu agama yang ada pada dirinya  diamal dan dipraktikkan dalam hidup. Anak yang mulia mempunyai falsafah hidup berlandaskan kepada ilmu dan amal. Ilmu yang diperolehinya dari didikan seorang guru di sekolah diamal dan diterjemahkan dalam kehidupan. Ilmu dan amal akan melahirkan iman dan ketakwaan kepada Allah SWT yang menjadikannya sebagai anak yang salih.  
Anak yang salih akan membawa imej ibubapa dalam pergaulan dengan masyarakat. Anak yang salih menjadi idola kepada masyarakat untuk dicontohi akhlaknya oleh masyarakat remaja. Jiwanya sentiasa dengan agama demi melahirkan ukhuwah dan kasih sayang antara sesama. Maka itu walaupun orang tuanya sudah balik ke rahmatullah, namanya masih disebut-sebut orang kerana hakisan akhlaq serta ibadah yang anaknya telah lakukan.
Perkara kedua yang nama orang yang telah meninggal dunia masih berada di dunia ialah amal jariah. Dalam hidupnya di dunia dia menyumbangkan kebajikan kepada masya- rakat seperti mendirikan masjid atau rumah-rumah ibadah. Mendirikan sekolah madrasa terutama sekali kepada anak-anak yang kurang mampu, amat penting dalam membina sekolah agama.
Orang yang menghantar anaknya ke sekolah tersebut akan mengenang jasa orang yang membina sekolah berkenaan. Maka namanya sentiasa dikenang dalam pembangunan kehidu- pan. Rumah-rumah ibadah seperti masjid, surau dan sebagainya adalah antara bangunan yang memaparkan nama orang yang membina walaupun orangnya telah balik ke rahmatullah. Maka itu namanya masih mekar dalam ingatan orang yang hidup bila-bila masa pun.
Perkara ketiga di mana nama orang yang telah meninggal dunia masih berada di dunia ialah ilmu yang dimanfaatkan dalam hidup. Satu daripadanya ialah orang yang berdakwa melalui penulisan. Buku-buku yang dihasilkan itu menjadi kegunaan orang yang hidup di dunia. Buku yang berbentuk ilmiah juga adalah banyak manfaatnya kepada pembangunan manusia di dunia.
Buku-buku karya kita yang ada dalam pasaran sentiasa di tangan orang; dibaca dan diterjemahkan ilmu yang ada kepada pembangunan diri keluarga dan masyarakat. Buku yang penulisannya berbentuk dakwa Islamiah sentiasa menjadi agenda dalam perbincangan mengenai pembangunan sosial. Maka itu ilmu yang kita sebarkan melalui penulisan akan namanya mekar dalam ingatan orang terutama sekali mereka yang cintakan agama Islam.
Persepsi pemangunan yang positif berlandaskan kapada keimanan mengenai rahmat-rahmat Allah yang luar biasa. Persepsi ini akan mengukuhkan keimanan kita kepada Tuhan bahawa segala pembangunan (ibadah) yang kita laksanakan sandarannya ialah kepada kekuasaan Allah untuk meredhainya. Usaha yang kita laksanakan hanya berupa tawakal kepada Allah semata.
Berbagai-bagai rahmat yang luar biasa telah terjadi dalam sejarah sebagai bukti kecintaan Allah atas sebahagian dari hamba-bamba-Nya. Sebagai bukti kenyataan dari apa yang difirmankan Allah dalam ayat-ayat dan hadis-hadis yang tersebut seperti berikut di bawah ini.
Nabi Ibrahim a.s. tidak menjadi hangus, meskipun dibakar musuh-musuhnya dalam gejolakan api sebesar bukit. Mala api itu memberikan perasaan dingin dan lega kepada Nabi Ibahim a.s. seakan-akan ditempat sejuk atau di kamar yang mempunyai  air-conditioning. Firman allah surah Al-Anbiya’ ayat 21:69 yang bermaksud:
“Kami (Allah) bertitah: “Hai api! Hendaklah engkau menjadi dingin dan selamat atas
Ibrahim!”
               Apakala mereka telah menyalakan api, dan melemparan Nabi Ibrahim ke dalamnya, lalu Allah bertitah dengan memerintahkan supaya api itu berkeadaan dingin, iaitu sejuk. Tetapi tidak pula sejuknya itu mendatangkan muderat kepadanya, bahkan mendatangkan kesejahteraan.
               Nabi Musa a.s. bersama para pengikutnya dikirimkan makanan yang bernama Manna dan salwa dari langit kerana kehabisan makanan di daerah di mana mereka berada. Firman Allah dalam al-Qur’an surah Al-Baqarah ayat 2:57 yang bermaksud:
               “Dan Kami lindungi kamu dengan awan, dan Kami turunkan makanan yang bernama “manna” dan burung yang bernama “salwa” (seraya Kami berkata): Makanlah oleh kamu dari rezeki yang baik-baik yang telah Kami anugerahkan kepada kamu, dan tiadalah mereka menganiaya Kami tetapi mereka menganiaya diri mereka sendiri.”
               Maka  kaum Bani Israel yang hidup di padang pasir At-tih itu dalam kesukaran hidup dan dalam kepanasan yang amat sangat. Oleh Allah mereka ini telah dilindungi dengan awan untuk mereka berteduh dari panas matahari yang terik. Di samping itu diturunkan penganan atau manisan. Manisan itu diturunkan dengan cara berterbangan seperti embun pagi atau salji yang putih ke atas pohon-pohon kayu pada waktu fajar menyinsing hingga terbit matahari – lalu dipungut oleh mereka, segantang sorang untuk dibuat pencuci mulut.
               Diturunkan juga ke atas mereka sejenis makanan yang bernama salwa, sejenis burung puyuh. Tiap-tiap seorang dibenarkan menangkap secukupnya sahaja untuk disembelih dan dijadikan makanan hari itu. Kecuali hari Jumaat dibenarkan menangkapnya – kadar makanan untuk dua hari – kerana hari Sabtu burung itu tiada diturunkan Tuhan kepada mereka. Tetapi mereka masih juga aniaya. Bukannya siapa yang  mereka aniaya, melainkan diri mereka sendiri seperti dinyatakan Tuhan.
               Mereka dilarang menyimpan makanan yang melebihi dari kadar yang dihajati dalam sehari. Tetapi larangan itu telah mereka langgar, hingga makanan-makanan itu menjadi busuk. Ini adalah perbuatan mereka yang aniaya.
               Dipancarkan air dari celah-celah batu seperti pipa di zaman kita sekarang ini, ketika Musa a.s. dan pengikut beliau tiba di daerah kering. Firman Allah dalam Al-Qur’an surah Al-Baqarah ayat 2:60 yang bermaksud:
               “Ingatlah ketika Musa minta air untuk kaumnya, maka berkata Kami: “Pukulah batu itu dengan tongkat engkau!” Maka terpancarlah (keluar) dua belas mata air dari padanya. Sesungguhnya telah mengetahui tiap-tiap manusia akan tempat minumnya masing-masing. Berkata Kami: “Makanlah kamu dan minumlah daripada rezeki Allah, dan janganlah kamu berbuat bencana di atas bumi.”
               Allah memberi ingatan ketika kaum Bani Israel sedang menderita kehausan dipadang pasir At-Tih yang  tidak berair, maka Nabi Musa a.s. memohon kepada Allah agar dapat kiranya mengurniakan air kepada kaumnya. Oleh Allah permohonannya itu diperkeanankan, dengan mewahyukan kepada Musa, supaya  memukul akan batu dengan tongkatnya.
               Apabila dipukul sahaja batu itu dengan tongkatnya, memancarlah dua belas mata air daripadanya – mengikut  bilangan dua belas asbat yakni dua belas suku keturunan kaum Bani Israel yang berpangkal dari dua belas orang anak Nabi Yakub a.s.
               Lautan Merah belah sehingga terbentang jalan raya untuk ditempuh Musa a.s. berserta pengikut-pengikutnya menghindar diri dari pengejaran tentera Firaun yang ganas. Firman Allah dalam al-Qur’an surah Al-Baqarah ayat 2:50 yang bermaksud:
               “Ingatlah ketika Kami belah air laut (untuk meneruskan perjalanan kamu) maka Kami lepaskan kamu dengan selamat dan Kami tenggelamkan Firaun sedang kamu melihat mereka.”
               Allah mengingatkan suatu nikmat atau rahmat yang kedua kepada kaum Bani Israel iaitu apabila Allah memerintahkan Nabi Musa besama-sama kaum Bani Israel yang berjumlah lebih dari 60,000 orang meninggalkan negeri Mesir, mereka telah dikejar oleh Firaun dan tenteranya untuk membinasakan mereka, sampai ke tepi Laut Merah. Mereka telah terperangkap, di hadapan laut terbentang tidak dapat disebarangi, sedang di belakang musuh makin dekat menyerang, tidak ada lagi tempat lari. Dengan kurnia  Allah Nabi Musa a.s. telah diwahyukan, supaya memukul laut itu dengan tongkatnya – iaitu mukjizat yang dibekal Allah kepada Rasul-Nya. Nabi Musa pun memukul laut itu dengan tingkatnya, seketika itu juga laut terbelah menjadi dua belas lorong yang dapat dilalui.

               Dengan melalui lorong itulah kamu Bani Israel menyebarang laut Merah hingga sampai ke pantai semananjung Sinai dengan selamat. Firaun pula bila melihat kaum Bani Isrel melarikan diri melalui lorong-lorong itu, lalu diukutinya bersama bala tenteranya. Maka dengan takdir Allah bila Firaun dan bala tenteranya berada di tengah-tengah lorong itu, Allah balikkan semula air laut yang terbela itu seperti sediakala, sehingga mereka tenggelam dan binasa semuanya. (bersambung)

No comments:

Post a Comment