(Disiarkan pada 18. 07.2015)
Kehidupan
di dunia wajar dimuliakan dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T.
maka itu segala bentuk pembangunan wajar dibina dengan kemurnian, keimanan dan
ketakwaan kepada Allah SWT yang sentiasa menurunkan rahmat serta nikmat-Nya ke atas
kehidupan hamba-hamba-Nya di dunia.
Perlaksanaan konsep pembangunan
yang bersifat positif, wajar berlandaskan kepada suasana kehidupan yang
dimuliakan oleh pembangunan berkiblatkan kepada falsafah hidup berkonsepkan akidah Islam sebagai cara hidup.
Dalam melaksanakan agenda pembangunan dunia wajar memberi elaun kepada pemikiran
perlaksanaan mengenai rahmat Tuhan yang luar biasa dalam membantu hamba-Nya
mengatasi masalah pembangunan kehidupan yang dihadapi sebagai iktibar seperti
yang terjadi kepada hamba-hamba Allah yang dipilih-Nya.
Mariam, Ibu Nabi Isa a.s.
dikirimkan Allah berbagai-bagai macam makanan dari langit. Firman Allah dalam
al-Qur’an surah Ali-Imran ayat 3:37 yang bermaksud:
“Maka Allah telah menerima Maryam dengan penerimaan yang baik, dan dipeliharalah
ia oleh Zakaria. Setiap Zakaria masuk ke mihrab didapati ada disisi Maryam
rezeki (makanan), seraya berkata: “Hai maryam! Dari mana engkau dapati makanan
ini?”. Jawabnya: “Ia daripada Allah.” Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada
sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tiada terkira.”
Allah telah
menerima Maryam sebagai bayaran niat (nazar) ibunya yang dimerdeka kan untuk
beribadat dan berkhidmat di rumah ibadat sekalipun kecil lagi pula perempuan,
pada hal tugas yang demikian itu hanya terkhas bagi lelaki yang baliqh dan
berdaya bagi berkhidmat. Maka Maryam melaksanakan khidmatnya di masjid dengan
jujur, ikhlas dan penuh bertanggugjawab.
Setelah Maryam berusia lebih
kurang 16 tahun (mengikut beberapa pendapat orang iaitu setelah Maryam
mengalami haid sebanyak dua kali) dengan kudrat Allah Maryam pun mengandung
setelah Allah memerintahkan Malaikat Jibril meniupkan roh Allah (Isa) ke dalam
belahan baju yang dipakai oleh Siti Maryam. Surah Maryam ayat 19:19 yang
bermaksud:
“ (Jibril) menjawab: “Hanyasanya
aku utusan Tuhanmu, untuk memberikan
kepada mu seorang anak lelaki yang suci.”
Mendengar ucapan
Maryam dengan perasaan keraguan, maka Malaikat Jibril menjawab untuk
menghilangkan keraguan dan ketakutan Siti Maryam dengan berkata: Aku bukanlah
berniat jahat. Kedatanganku janganlah ditohmah hendak melakukan sebarang
pencerobahan. Sebenarnya aku hanyalah utusan Allah Tuhanmu, yang sengaja
mengutus aku untuk memaklumkan, bahawasanya Allah akan mengurniakan kepadamu
seorang anak lelaki yang suci dan bersih perangainya bernama Isa.
Nabi Isa a.s. bersama para
pengikutnya dikirim Allah hidangan lezat dari langit ketika beliau kekurangan
makanan dan lapar berhari-hari lamanya dalam pengejaran musuh-musuh beliau.
Firman Allah dalam al-Qur’an surah al Maidah ayat 5:114 yang bermaksud:
“Isa anak Maryam pun berdoa; “Ya Allah Tuhan kami! Turunkanlah kiranya
kepada kami hidangan dari langit yang akan menjadi perayaan bagi kamu untuk
orang yang pertama dan yang terakhir (beriman), dan juga sebagai bukti
kebenaran daripada-Mu. Dan limpah kanlah rezeki kepada kami sedang Engkau
sebaik-baik Tuhan yang memberi rezeki.”
Tujuan mereka
meminta hidangan itu bukanlah menandakan yang mereka ragu-ragu terhadap
kekuasaan Allah, mereka memang percaya. Ini adalah untuk menambahkan keten-
teraman hati mereka sekiranya dapat menikmati hidangan yang diturunkan dari
langit. Ini samalah dengan kata-kata Nabi Ibrahim a.s. yang meminta kepada
Allah supaya menunjukkan kepadanya bagimanakah Allah menghidupkan orang mati
seperti dalam ayat 2:260 surah Al-Baqarah. Allah berfiman yang bermaksud:
“Dan ingatlah ketika Ibrahim berkata: “Tuhan!
Perhatikanlah kepadaku bagaimana engkau menghidupkan orang mati?” Allah
menjawab: “Adakah engkau belum percaya?” Sahutnya: “Bahkan, akan tetapi untuk
mententeramkan hatiku.” Allah berkata: “Maka ambil lah empat ekor burung,
dekatkan kepadamu dan potong-potonglah! Kemudian letakkan di atas tiap-tiap
bukit sebahagian daripada burung yang dipotong-potong itu. Maka serulah
semuanya!Nescahaya datang semuanya kepadamu dengan segera. Ketahui sesungguhnya
Allah Maha Pekasa lagi Bijaksana.”
Sebenarnya Nabi
Ibrahim a.s. tidak syak lagi atau ragu-ragu tentang kuasa Tuhan boleh
menghidupkan orang mati, hanya ia bermaksud supaya Tuhan mengabulkan keinginan
nya. Dan Allah mengabulkan permintaannya seketika itu juga, kerana susunan
ayat-nya amat sopan, dan lebih baik dari susunan kata-kata Uzair dahulu, yang
bertanya: “Betapa Allah boleh memakmurkan negeri ini sesudah musnah?”
Benarlah, apa yang diminta oleh
Nabi Ibrahim a.s. terkabul seketika itu juga, kerana dengan tiba-tiba Allah
menyurunya yang bermaksud:
“Maka ambillah empat ekor burung, dekatkan kepadamu dan
potong-potonglah ia,
kemudian letakkan
di atas tiap-tiap bukit sebahagian daripada burung yang dipotong itu. Maka
serulah semuanya, nescaya datanglah semuanya kepada engkau dengan segera.
Ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Bijaksana.”
Mendengar ini, Nabi Ibrahim pun
mengambil empat ekor burung yang berlainan jenisnya iaitu: Seekor burung merak, seekor burung helang,
seekor burung gagak dan seekor ayam jaguh. Disembelihnya semua, kemudian
dipotong-potong, dicampuradukkan daging dan bulu menjadi satu, lalu
dibahagaikan menjadi empat bahagian. Tiap-tiap bahagian diletakkan di atas
bukit yang berlainan arah mata angingnya iaitu; di utara, di timur, selatan dan
barat.
Hikmah memilih jenis burung ini, kerana
burung ialah jenis binatang yang paling hampir menyerupai manusia ,
berkepala bulat, berjalan dua kaki dan melengkapi seluruh kejadiannya dengan
kejadian haiwan yang lain – malahan ia mempunyai kelebihan dari lain-lain haiwan – iaitu boleh terbang tinggi
mengawan. Sifat yang terdapat pada burung-burung ini, terdapat juga pada diri
manusia.
Burung merak gemar kepada kebesaran dan
kemegahan, kerana ia tahu bulunya indah dan cantik. Burung helang gemar makan
yang banyak, kerana berparuh kuat dan berkuku tajam serta suka memperkosa apa
sahaja mangsa yang dapat ditangkapnya. Burung gagak amat haloba dan tamak,
tidak memilih apa sahaja bangkai pasti disingahinya. Dan ayam jaguh sangat
gemar benar kahwin dengan tidak memilih tempat dan ketika.
Maka keempat-empat sifat yang menjadi
watak binatang-binatang itu, ada terdapat di dalam peribadi manusia. Manusia
yang dapat menahan dari mengekang keempat-empat sifat yang tercela itu, akan
dapat meningkat ke darjat yang tinggi.
Maka Nabi Ibrahim telah mengorbankan
keempat-empat burung itu, sebagai lambang bahawa ia telah dapat menundukkan
keempat-empat sifat yang tercela untuk meningkat ke darjat yang
setinggi-tingginya iaitu darjat Khalilullah – gelaran yang bererti rakan Allah
– yang dikurniakan oleh Allah kepadanya sahaja.
Seterusnya, Nabi Ibrahim berdiri di
sebuah tempat lapang yang boleh kelihatan oleh nya keempat-empat gunung
tersebut dengan memegang empat kepala
burung yang telah dipotongnya, lalu diseruhnya burung-burung tersebut. Dengan
izin Allah berterbanganlah daging dan bulu masing-masing hingga bercantum
menjadi burung yang sempurna bentuknya, hanya masing-masing tidak berkepala.
Nabi Ibrahim terus memanggil maka berlarilah burung-burung yang berada di keempat-empat arah mata angin
itu menuju kepadanya, dan masing-masing bercantum dengan kepalanya hingga
hiduplah semuanya sebagai sediakala.
Nabi Muhammad SAW dalam perang
Khandak mendapat sajian makanan buat sepuluh orang, tetapi dapat mengenyangkan
semua tentara yang berjumlah seribu lebih orang. Air jernih mencurah dari
jari-jari tangan beliau, untuk memberi minum beribu-ribu tenteranya. Ini lebih
hebat dari air terpancar dari batu atau makanan turun dari langit (Dari
Hadis-hadis Sahih).
Di zaman sekarang dan masa-masa yang
akan datang, sekalipun kejadian-kejadian
hebat seperti terjadi pada para Nabi dan Rasul tersebut di atas ini,
sudah tidak terjadi lagi, kerana sudah tidak ada Nabi dan Rasul, tetapi beberapa
manusia yang benar-benar telah mendapat rahmat
mendapatkan kecintaan Allah, dapat juga kita saksikan sendiri
rahmat-rahmat Allah yang luar biasa itu berupakan do’a yang makbul daripada
Wali Allah, yang kita namakan keramat.
Di zaman moden ini konsep
persepsi pembangunan yang bersifat
positif harus dilihat dari segi iman dan ketakwaan kepada Allah SWT. Jika hidup
kita sering berserta Allah, akan dimudahkan urusan lewat pengetahuan dan petunjuk yang besar, yang
penting atau maha penting yang dikirim Allah kepada kita dengan perantaraan
guru, sekolah atau buku-buku tetapi langsug dikirim Tuhan ke hati kita tanpa
perantaraan apa-apa.
Dalam suasana mentafsirkan
permasalahan pembangunan dengan hati yang khusyuk
dan
tawadu Allah kirimkan satu penyelesaian yang berbentuk ilham dalam hati kita.
Ilham itu satu petunjuk atau tunjuk ajar dari Tuhan yang tergerak di hati.
Sesuatu yang menggerakkan hati untuk mencipta sesuatu hasil.
Orang yang beriman dan taqwa
terhadap Allah, yaitu orang yang tak ragu sedikit pun tentang Allah dan
kekuasaan-Nya, serta patuh taat dengan menjalankan segala perintah dan
menghentikan segala larangan dari Allah, akan mendapat petunjuk atau ilham dan
pengeta- huan dari Allah. Firman Allah Surah Al-Anfal ayat 8:29 yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya
Dia akan memberikan kepada kamu petunjuk dan dihapuskan segala kesalahan-kesalahan kamu dan mengampuni (dosa-dosa)mu.
Dan Allah mempunyai karunia yang besar.”
Allah menjamin
kepada orang-orang yang beriman, iaitu sekiranya mereka bertakwa kepada Allah
dengan mentaati perintah-Nya dan meninggalkan perbuatan-perbuatan maksiat,
nescaya Allah akan menjadikan mereka orang-orang yang berbakti dengan ilmu
pengetahuan yang dapat membezakan di antara yang benar dengan yang salah.
Bakat ilmu pengetahuan itulah
yang membezakan mana yang mendatangkan manfaat bagi seseorang dan mana pula
yang mendatangkan muderat. Bakat membezakan antara kufur dengan iman. Bakat
yang dapat memperlihatkan kebenaran agama dan ketinggiannya, dapat
menyingkapkan kesalahan pihak yang kufur dan kerendahannya. Selanjutnya berkat
ilmu pengetahuan itu dapat menyelamatkan seseorang dari kesengsaraan di dunia
dan akhirat.
Seterusnya dengan sebab ketakwaan
kepada Allah, seseorang itu akan dimaafkan kesalahannya yang telah lalu dengan
dihapuskan dosanya, dan diampunkan pula, iaitu kesalahannya akan ditutup dari
penglihatan manusia, baik di dunia ini mahupun di akhirat nanti. Ini adalah
merupakan janji Allah kepada orang-orang yang takwa, iaitu akan memberikan
pahala yang besar tanpa mengharapkan sebarang balasan.
Firman Allah lagi dalam al-Qur’an
surah At-Taghaabun ayat 64:11 yang bermaksud:
“Tidak ada sesuatu musibah pun (mala petaka) yang menimpa seseorang
kecuali dengan izin Allah. Dan barangsiapa yang beriman dengan Allah, nescaya
dia (Allah) akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui
segala sesuatu.”
Musibah ialah apa
yang mengenai manusia daripada perkara yang baik atau buruk. Oleh sebab itu
setiap orang digesa supaya melakukan
sesuatu mengikut yang terdaya olehnya. Maka apa yang berlaku kepadanya selepas
itu samada baik ataupun buruk bukanlah urusannya. Bahkan beriman dengan qadak
dan qadar Allah jua.
Yang penting di dalam
menghadapinya, jika musibah itu datang juga ialah beriman kerana Allah
bersabda: “Dan barang siapa yang beriman
kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk pada hatinya.” Apabila iman
ada, pastilah Allah memberi petunjuk untuk mengatasi masalah itu. Tetapi kalau
iman tidak ada, musibah akan membuatnya jadi hancur
atau
jatuh.
Dengan sebab iman hati manusia
menjadi terang, atau dipenuhi oleh cahaya. Tuhan Maha Tahu segala hal. Maka
berkat cahaya imannya itu, datanglah sinar petunjuk Tuhan ke dalam hatinya
sehingga dia selamat terlepas dari musibah.
Berkata ahlul-ma’ani,
ertinya orang yang mendalami memahamkan maksud al-Qur’an; “Allah akan memberi
petunjuk dalam hatinya,” ialah diberi petunjuk supaya bersyukur ketika diberi
kesenangan dan bersabar ketika ditimpa bala bencana.
Demikianlah contoh-contoh
rahmat Allah yang luar biasa yang membantu hamba-hamba-Nya mengatasi masalah
pembangunan kehidupan. Maka itu wajar manusia sentiasa meningkatkan keimanannya
kepada Allah dan terus memikirkan bahawa Allah itu sentiasa bersama kita
membantu mengatasi masalah dalam perlaksanaan agenda pembangunan dalam
kehidupan di dunia.
Bicara Minda mengambil kesempatan di
bulan Rahmadan yang mulia ini untuk mengucapkan “ Selamat Hari Raya Aidil
Fitri, maaf Zahir dan Batin” kepada semua kaum muslimin dan muslimat, khususnya
yang sejati mengikuti Bicara Minda setiap minggu di siarkan di surat khabar The
News Sabah Times, semoga diberi
kesihatan yang baik dan dipanjangkan usia agar dapat bersua dalam ruang bicara
Minda ini. Insya Allah! Amin.
No comments:
Post a Comment