Monday, January 14, 2019

TANGGUNGJAWAB SEBAGAI KHALIFAH ALLAH DI BUMI NYATA


TANGGUNGJAWAB SEBAGAI KHALIFAH ALLAH DIBUMI NYATA
(Disiarkan pada 12. 1.2019)
               Manusia merupakan sejenis makhluk ciptaan Allah yang bersifat unik dan mempunyai identiti yang istemewa. Mereka dikurniakan oleh Allah dengan sifat khusus untuk memboleh kan mereka menaggung amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi dengan menegakkan agama Allah yang tidak tertanggung oleh makhluk yang lain. Allah berfirman surah al-Baqarah ayat 2:30 yang bermaksud: (terjemahan)
               “(Dan ingatlah hai Muhammad) ketika Tuhanmu (Allah) berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku menjadikan seorang khalifah di atas bumi (Adam).” Maka jawab mereka itu: “Adakah Engkau menjadikan seorang khalifah di atas bumi yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), sedang kami tasbih memuji Engkau dan mensucikan Engkau,” berfirman Allah: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa-apa yang tiada kamu ketahui.”
               Al-Qur’an menjelaskan penciptaan manusia dalam dua tahap yang berbeza, iaitu tahap awal dan tahap biologi. Pada tahap awal, Allah mencipta Nabi Adam a.s. sebagai manusia yang pertama. Jasad Nabi Adam dicipta dari tanah yang dibentuk oleh Allah dalam bentuk yang seindah-indahnya  Kemudian Allah meniupkan roh-Nya ke dalam jasad yang telah dibentuk itu. Berita mengenai penciptaan manusia diisytiarkan sendiri oleh Allah di hadapan para malaikat.
               Firman Allah surah al-Hijr ayat 15:28 – 29 yang bermaksud: (terjemahan)
               “Ketika Tuhanmu berkata kepada malaikat: Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia dari tanah kering  (yang berasal) dari lumpur hitam, yang telah berubah. Apabila Aku telah sempurnakan kejadiannya, dan Aku tiupkan ke dalamnya daripada roh-Ku, maka tunduklah kamu (malaikat) kepadanya (Adam) dengan bersujud.”
               Allah menjelaskan bahawa manusia terdiri daripada dua unsur, iaitu jasad dan roh. Jasad manusia boleh dilihat kerana ia dibentuk daripada bahan tanah lumpur yang terdapat di bumi, manakala roh manusia tidak boleh dilihat kerana ia terbentuk daripada bahan roh Allah yang hanya terdapat di sisi Allah. Roh manusia termasuk perkara ketuhanan bersifat ghaib dan kekal, manakala jasad manusia yang termasuk perkara keduniaan bersifat nyata dan semantara. Cantuman dua unsur yang mempunyai cirian, sumber, keadaan, orientasi dan bentuk yang berbeza itulah menghasilkan sejenis makhluk yang dikenali sebagai manusia.
               Dengan tercipta Nabi Adam a.s. dan Hawa, maka terbentuklah zuriat manusia. Dengan itu, proses kejadian manusia selepas Nabi Adam dan Hawa adalah berbeza daripada proses kejadian yang dialami oleh mereka berdua. Pada tahap biologi itu, jasad manusia tidak lagi dicipta secara langsung daripada tanah, tetapi terhasil daripada percantuman sel sperma lelaki (spermatozoon) dengan telur matang wanita (ovum). Walaupun begitu, manusia masih mempunyai unsur jasad dan unsur roh sebagaimana kejadian NabiAdam pada tahap awal.
         Allah berfirman menjelaskan kejadian manusia pada tahap biologi seperti dalam firman-
Nya dalam surah al-Mu’minun ayat 23:12 – 14 yang bermaksud: (terjemahan)
               “Dami sesungguhnya Kami(Allah) telah menjadikan manusia(Adam) itu daripada pati (yang dikeluarkan) dari tanah. Kemudian manusia (keturunan Adam) itu Kami jadikan (berasal daripada) setitis air mani (yang dipertaruhkan) di dalam simpanan yang kukuh (rahim ibu). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu darah yang segumpal itu Kami jadikan seketul daging, lalu seketul daging itu Kami jadikan rangka tulang, maka tulang itu Kami bungkus dengan daging, kemudian Kami jadikan dia makhluk yang lain,  maka Maha berkat Allah, Tuhan sebaik-baik pencipta.”
               Dari ayat di atas, kita boleh dapati perkaitan di antara kejadian manusia pada tahap biologi dengan tanah. Perkaitan itu memang jelas kerana air benih (nutfah) dari lelaki dan perempuan yang membentuk zigot adalah hasil dari proses pemakanan dimakan oleh manusia, dan  asal pemakanan itu adalah dari bahan tanah.
               Kemudian Allah telah menjadikan air mani berupa darah yang beku, iaitu setelah 40 hari lamanya air mani itu tersimpan di dalam rahim. Jangka masa itulah merupakan perkembangan yang pertama kemudian setelah berubah menjadi segumpal darah yang beku merupakan perkembangan yang kedua dan mengambil masa selama 40 hari juga.
               Kemudian Allah jadikan pula benih manusia itu dalam proses perkembangannya yang ketiga menjadi seketul daging dalam jangka masa yang serupa, iaitu 40 hari.
               Dari seketul daging dijadikan bahagian-bahagian tulang yang menjadi rangka kepada tubuhnya. Tulang itu pula disalut dengan daging, ototnya menjadi pembungkus yang penutupnya. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang lain. Dapatlah dibezakan di antara  ciptaan pada peringkat yang mula-mula dahulu dengan kejadiannya pada kali ini sebagai makhluk yang lain. Adapun perubahan keadaannya menjadi makhluk yang lain pada kali ini, kerana sudah ditiupkan roh ke dalam tubuhnya, yang membolehkan bercakap-cakap pada hal sebelumnya dia bisu, membolehkan dia mendengar sebelumnya dia pekak dan membolehkan dia melihat padahal sebelumnya dia buta.
               Semua ini adalah merupakan bekalan yang sangat ajaib dan tidak terkira banyaknya yang telah dibekalkan oleh Allah kepadanya, sama ada bekalan yang lahir mahupun yang batin yang merupakan naluri dan tabiatnya yang semula jadi.
               Manusia terbentuk daripada unsur jasad dan unsur roh. Oleh sebab unsur jasad berasal daripada bumi, maka segala keperluan hidup yang bersifat jasmani atau kebendaan adalah juga berasal daripada benda-benda yang terdapat di bumi. Keperluan itu membabitkan beberapa aspek seperti fisiologi, keselamatan, ekonomi, emosi dan sosial.
               Unsur roh pula mempunyai keperluan yang berbeza daripada unsur jasad. Sebahagian keperluan jasad yang berpunca daripada alam nyata, maka demikian juga keperluan roh itu berpunca daripada alam kekudusan. Keperluan roh membabitkan aspek akidah, akhlak, tazkiyah, dan pengabdian dari kepada Allah. Dari sudut fungsian, jasad hanyalah merupakan alat yang digunakan oleh roh untuk mencapai matlamat kerohanian semasa menjalani kehidupan di alam dunia yang bersifat benda.
Menurut Islam, keperluan jasad hanya merupakan jalan ke arah pemuasan keperluan  roh. Oleh itu, manusia yang memberi tumpuan semata-mata dianggap sebagai manusia kebendaan. Manusia seperti ini betaraf lebih rendah daripada benda, kerana manusia yang sepatutnya menjadi tuan kepada benda, telah menurunkan tarafnya menjadi hamba kepada benda.
Manusia mempunyai potensi kekuatan dan kelemahan yang tertentu (surah al-Insyirah ayat 4: 5 – 6 ). Kekuatan atau kelemahan mana yang berkembang subur banyak begantung padas faktor kosmologi jiwa manusia, corak asuhan, pendidikan, persekitaran fisikal, dan persekitaran sosiobudaya. (Nik Azis, 1990). Dari segi kekuatan, manusia diciptakan oleh Allah dalam bentuk yang sempurna sebagai sebaik-baik kejadian (surah at-Tin ayat 95:4). Mereka telah mengenali Allah sebagai Tuhan yang Maha Esa semenjak dari alam roh (surah al-A’raf ayat 7:172) dan mempunyai sifat suci atau fitrah (surah ar-Rum ayat 30: 30).
Allah menjadikan benda-benda di bumi untuk kegunaan manusia (Surah al-Baqarah ayat 2: 29) dan manusia melebihi makhluk lain dengan diangkat menjadi khalifah Allah di muka bumi (Surah al-Baqarah ayat 2 : 30). Mereka  dimuliakan dan diberi segala macam keistemewaan dan kebolehan (surah al-Isra’ ayat 17 : 70). Seterusnya, manusia dibekalkan dengan potensi atau keupayaan terpendam untuk membezakan di antara yang baik dan yang buruk (Surah al-Syams ayat 91 : 7 – 10 ).
Menurut Islam, Manusia mempunyai dua tugas yang berbeza, tetapi saling berkait antara satu sama lain, iaitu tugas sebagai hamba Allah dan tugas sebagai khalifah-Nya di dunia.  Dengan penyempurnaan kedua-dua tugas ini, manusia dianggap beribadah kepada Allah. Allah berfirman dalam surah Az-Dzariyat ayat 51:56 – 58 yang bermaksud: (terjemahan)
(“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-
Ku. Aku tidak menghendaki rezeki daripada mereka dan tidak pula menghendaki supaya mereka memberi Aku makan. Sesungguhnya Allah pemberi rezeki lagi mempunyai kekuatan yang sangat kukuh.”
               Ilmu adalah satu alat penting bagi pembangunan diri dan masyarakat. Ilmu yang mengandungi kebenaran dan keyakinan membawa manusia mengenali Allah dan membolehkan manusia mentafsir ciptaan Allah dengan betul. Dari sudut keilmuan, Islam hanya mengiktiraf dua golongan manusia sebagai golongan yang produktif, iaitu orang pintar cerdas yang berfungsi sebagai pengajar dan orang kurang pintar cerdas yang berfungsi pelajar. Manusia akan menjadi jahil dan mundur sekiranya mereka mengabaikan proses keilmuan serta memandang rendah kepada proses pembudayaan dan pengislaman (Nik Azis, 1994).
               Ilmu merupakan faktor utama bagi perlaksanaan amal (kerja, tugas, tindakan, gerak balas, atau usaha) yang soleh. Manakala amal saleh bukanlah sebarang perbuatan, tetapi merupakan sejenis perbuatan diredai Allah yang batasnya ditentukan oleh iman dan ilmu. Perbuatan tersebut membabitkan penyempurnaan dua tugas insan, ia itu tugas sebagai hamba
Allah dan tugas sebagai khalifah Allah di muka bumi.
               Terkandung dalam pengertian hamba Allah ialah semua perkara yang terdapat pada diri manusia adalah menjadi hak milik Allah dan seharusnya digunakan mengikut kehendak Allah yang menciptakannya. Jadi tanggungjawab asas setiap hamba Allah ialah melakukan sujud dan menyerah diri kepada Allah dengan mematuhi suruhan dan larangan-Nya. Firman Allah Surah an-Nisa’ ayat 4:125 yang bermaksud: (terjemahan)
               “Dan tiadalah orang yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah.”
               Seterusnya, terkandung dalam pengertian khalifah  Allah pula ialah menguasai dan mentadbir, ataupun sifat ketuanan. Sebagai khalifah atau pewaris Allah di muka bumi, manusia diberi mandat dalam bentuk amanah untuk menjadi “tuan” ke atas segala ciptaan Allah di dunia. Bagaimanapun, sifat ketuanan hanya terpakai dalam kontek perlaksanaan tugas khalifah mengikut petunjuk Allah. Untuk menjadi khalifah Allah dimuka bumi, seseorang wajib mengabdikan diri kepada Allah semoga tugas tersebut dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
               Sesiapa yang gagal bebuat demikian, dan semata-mata menurut kehendak hawa nafsu akan hilang  sifat ketuanan yang dianugerahkan Allah secara automatik. Sebagai khalifah Allah di dunia, manusia perlu hidup menurut peraturan dan adab yang ditetapkan oleh Allah demi kebahagian diri dan kesejahteraan makhluk lain di bumi.
               Tugas sebagai hamba  dan khalifah Allah membabitkan empat tanggungjawa asas, iaitu tanggungjawab kepada Allah, tanggungjawab kepada manusia, tanggungjawab kepada alam dan tanggungjawab kepada diri sendiri. Tanggungjawab kepada Allah merupakan kewajipan yang utama. Manusia yang melaksanakan keempat-empat tanggungjawab ini dengan sempurna dianggap manusia yang bertakwa kepada Allah. Allah berfirman dalam surah al-Hujurat ayat 49:13 yang bermaksud: (terjemahan)
               “Sesungguhnya orang yang termulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu.”
               Misi untuk menjadi Khalifah Allah di dunia merupakan misi yang dipertanggung
jawabkan kepada semua manusia. Misalnya, setiap individu bertanggungjawab terhadap
manusia dan makhluk lain dan ada dalam persekitarannya. Oleh itu, tugas sebagai khalifah Allah meliputi tiga tanggungjawab asas, iaitu tanggungjawab kepada manusia, tanggung jawab kepada alam, dan tanggungjawab kepada diri sendiri.(1)
               Dalam menjalani kehidupan duniawi, Allah memberi peringatan kepada manusia bahawa mereka tidak dijadikan dengan sia-sia (Surah an-Nur ayat 23 :115) dan tidak akan dilahirkan begitu sahaja (Surah al-Qiyamah ayat 75:36). Malah setiap perbuatan manusia, walaupun sebesar zarah (atom) sekalipun akan dinilai dan diberi balasan yang sewajarnya (Surah al-Zalzalah ayat 99:7 – 8 )
                    Kehidupan yang paling baik ialah kehidupan yang bersifat sederhana. Gambaran kehidupan yang sederhana adalah seperti firman Allah Surah al-Qasas ayat 28:77) yang bermaksud: (terjemahan)
                    “Dan carilah  daripada apa yang telah  dianugerahkan oleh Allah kepadamu (kebahagian) negeri akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan dimuka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-oramg yang berbaut kerosakan.”
                    Ayat ini ada kaitannya dengan kisah Qarun dari bangsa kamum Bani Israil yang menyobongkan diri dengan kekayaannya yang banyak. Lantaran itu ia ditegur dan dinasihati oleh kaumnya, supaya ia jangan leka dengan bersenang-lenang sahaja.
                    Seterusnya ia diingatkan dengan nasihat-nasihat yang baik seperti yang tersebut dalam ayat ini. Tentunya yang menjiwai nasihat-nasihat itu ialah Allah sendiri. Walaupun pada lahirnya kepada Qarun, namun tujuan nasihat-nasihat itu untuk umum, supaya dijadikan panduan oleh sesiapa sahaja.
                    Hendaklah engkau tuntut keselamatan di kampung akhirat dengan kekayaan yang dianugerahkan Allah kepada Engkau. Hendaklah engkau cari pahala yang ada di sisi Allah di akhirat dengan membelanjakan harta yang dikurniakan Allah kepadamu pada jalan yang mendatangkan keredaan Allah. Hendaklah engkau rebut kebahagiaan hidup di kampung akhirat itu dengan membelanjakan kemewahaan dunia yang sedang engkau nikmati, kerana kebahagian hidup di kampung akhirat itu lebih baik dan lebih kekal dari bersenang-lenang dengan kemewahan dan kelazatan dunia.
(1) Nik Azis Nik Pa: POTENSI INTELEK. Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur 1999.

No comments:

Post a Comment