Sunday, June 23, 2013

ZIKIRULLAH MENZAHIRKAN PEMBANGUNAN ROHANI


 (Disirkan pada 22. 6. 2013)
Pembangunan kehidupan adalah dalam dua kategori iaitu pembangunan yang berunsur jasmani dan yang kedua ialah yang berunsur rohani. Kedua-dua disiplin tersebut mempunyai perbezaan dari segi perlaksanaan ibadahnya. Pembangunan jasmani landasannya nyata dan boleh dilihat kesannya manakala pembangunan rohani berunsur ghaib dan hanya iman sahaja yang menentukan perlaksanaannya.
                Pembangunan kehidupan seorang insan sedemikian rupa disebabkan manusia diciptakan Allah dalam dua unsur iaitu jasad yang asalnya daripada tanah dan roh adalah ciptaan Allah s.w.t. Jasad bersifat benda, tidak punya perasaan dan mengalami kemuderatan. Tetapi roh  bersifat zat yang kekal yang Allah tiupkan ke dalam jasad maka jadilah makhluk manusia yang berperasaan dan berkemahuan dalam segala segi pembangunan yang diredai Allah s.w.t..
                Manusia diwujudkan Allah dengan satu tujuan supaya beribadah kepada-Nya. Ibadah kepada Allah adalah amal-amal yang berbentuk muamalat yang akan mendapat ganjaran dari Allah sama ada yang bersifat nyata demi kemanfaatan jasmani atau yang bersifat ghaib yang berbentuk pahala untuk kemanfaatan rohani. Maka itu pembangunan kehidupan seorang insan berpandu kepada disiplin muamalatnya. Maka itu tanpa berusaha keperluan hidup tidak akan datang dengan sendirinya.
                Ibadah merupakan perintah Allah dan menjadi amanah yang setiap insan wajar laksana kan demi kemanfaatan hidup samada di dunia mahupun di akhirat kelak.  Ibadah yang dimaksud kan ialah tangungjawab sebagai khalifah Allah untuk memakmurkan alam kehidupan. Manusia dibekalkan Allah dengan berbagai fitrah, antaranya ialah kemahiran berfikir, ilmu pengetahuan, akal dan nafsu serta kasih sayang. Fitrah inilah menjadi senjata manusia untuk melaksanakan ibadah kerana Allah.
                Dalam melaksanakan ibadah wajar meminta petunjuk dari Allah demi kesempurnaan perlaksanaannya sebagai tangungjawab memakmurkan alam kehidupan. Allah akan sentiasa memberi petunjuk melalui jalur-jalur ibadah yang berbentuk zikirullah. Ibadah zikirullah merupakan landasan ibadah yang menzahirkan pembangunan rohani.  
                Zikirullah merupakan amal-amal yang bersifat intiqamah dalam melaksanakan ibadah. Segala makhluk yang hidup di alam dunia sentiasa berzikir kepada Allah demi memohon ganjaran berupa makanan untuk terus hidup dan berkhidmat sebagai agen perubahan kepada kehidupan makhluk yang lain. Pohon-pohon kayu juga berzikir memohon perlindungan dari Allah agar keselamatan hidup diperkanankan kepadanya.
                Pohon-pohon kayu berzikir kepada Allah agar diberi cuaca yang baik dan dilindungi dari bencana alam seperti kemarau yang perpanjangan, api yang melanda hutan rimba, angin rebut yang kencang, dan sebagainya. Pohon-pohon  kayu di kawasan tadahan air sungai sentiasa berzikir kepada Allah memohon agar diturunkan hujan untuk pohon-pohon kayu berkenaan dapat menjalankan khidmatnya kepada manusia demi mengekalkan aliran air di perut bumi ke sungai kelak mengekalkan isipadu air sungai yang bermanfaat kepada berbagai makhluk lain seperti manusia, haiwan untuk di minum. Air dalam badan amat diperlukan untuk menseimbang kan suhu badan serta mengekaklkan proses metabolism dalam badan.
                Pokok-pokok bunga yang ditanam dalam halaman rumah berzikir kepada Allah memohon agar diberi kuntum bunga yang cantik untuk menghiasi halaman rumah manusia. Begitu juga pokok buah-buahan seperti mangga, rambutan, pisang, nangka, langsat dan sebagainya. Semua tanam-tanaman tersebut sentiasa berzikir kepada Allah agar ia tumbuh subur dan dapat mengeluarkan buah demi kemanfaatan manusia dan juga makhluk-makhluk lainnya
sebagai pengguna.
                Tanaman lainnya seperti sayur-sayuran berbagai jenis  tidak terkecuali berzikir kepada
Allah untuk memohon kesihatan dan dapat tumbuh subur. Ia memohon pada Allah agar diturunkan hujan membasahi bumi serta udara yang bersih agar ia dapat memproseskan makanan dalam tanah untuk ditukar menjadi cabohidrat dan protein yang menjadi pembangunan makhluk
manusia sebagai pengguna.
Manusia sebagai pemakmur alam kehidupan harus menjaga keselamatan tumbuh-tumuhan agar pencemaran udara, pencemaran air  dan pencemaran tanah tidak berlaku untuk kemanfaatan kepada tumbuh-tumbuhan. Makhluk tumbuh-tumbuhan tidak punya kemahiran berfikir seperti manusia tetapi ia boleh memproses baja uria kepada zat  makanan seperti proten, cabohidrat, vitamin dan zat galian yang bermanfaat kepada makhluk manusia.
Manusia hanya menjadi pengguna semata dan tidak punya kemahiran untuk memproses makanan seperti halnya tumbuh-tumbuhan. Maka itu wajarlah manusia sentiasa bersyukur  kepada Allah kerana memberi kemampuan kepada tumbuh-tumbuhan memproses makanan sendiri yang bermanfaat kepada manusia melaluli khidmat zikirullahnya kepada Allah.
Ibadah zikirullah adalah amalan berunsur istikamah. Ia melatih jiwa mengenali diri tentang  kelemahan dalam melaksanakan ibadah. Ibadah secara istikamah merupakan amalan yang sering diabaikan oleh manusia. Pada kehidupan itu sendiri budaya istikamah sentiasa berlaku sama ada secara fisik mahu pun secara spiritual. 
Istikamah secara fisik adalah satu amalan yang dikenali sebagai rajin berusaha. Usaha merupakan ibadah yang berterusan. Matlamatnya ialah kejayaan dalam bidang yang diceburinya. Kejayaan itu sebenar ialah ganjaran dari Allah s.w.t. kerana usaha yang kita laksanakan adalah tawakal kepada Allah. Tawakal itu  adalah ibadah bersifat zikirullah demi mendapat anugerah dari-Nya. Segala hasil ibadah yang kita lakukan adalah prerogatif Allah s.w.t.
Istikamah secara spiritual adalah merupakan ibadah yang kita lakukan saban hari berlandaskan pemikiran melalui jalur-jalur zikirullah. Menerima pertolongan orang yang sering membantu kita dalam usaha beribadah dan ganjarannya yang tidak kita sangkakan berlaku. Orang yang menolong tentu sekali mempunyai perasaan dan kasih sayang kepada orang yang ditolong dan perasaan itu sentiasa bersifat zikirullah.
Kurnian kesihatan dari Allah merupakan satu bentuk zikir kerana Allah. Kita memerlu kan kesihatan agar badan kita sentiasa dapat melakukan ibadah dengan sempurna. Sentiasa mensyukuri kesihatan yang Allah berikan kepada kita merupakan ibadah mulia di sisi Allah s.w.t.. Dalam perlaksanaan solat lima waktu pun wirid kita sentiasa dimuliakan dengan zikirullah seperti subhanallah, Alhamdulillah, dan Allahuakbar. 
Kalimah ‘subhanallah’ merupakan kalimah sejagat kerana Allah itu Maha Mengetahui apabila hamba-Nya mengalami kesulitan. Kalimah ini dizikirkan di mana saja kita berada dan dalam segala keadaan apa sekali pun jika dizikirkan dengan hati yang khyusuk dan tawadu, pertolong Allah akan diperkanankan.
Dalam ibadah sembahyang lima waktu kalimah subhanallah pasti digunakan untuk memurnikan wirid kita. Mengucap subhanallah adalah sebutan bagi mengagungkan kesucian Allah Yang Maha Esa serta Maha Berkuasa itu. 
Samasa Allah menciptakan arashNya para malaikat diperintahkan untuk memegang tiangnya. Oleh sebab terlalu berat maka para malaikat merujuk kepada Allah bahawa mereka kurang mampu bertahan lama sebab terlalu berat. Maka Allah perintahkan para malaikat “Bacalah Subhanallah”. Para malaikat berzikir kalimah subhanallah maka mudah bagi mereka
mengangkat arash Allah.
Kalimah subhanallah jika dizikirkan dengan niat untuk memohon dipermudahkan oleh Allah dalam segala urusan pada masa-masa tertentu maka perlaksanaan ibadah dalam pembangunan akan dimudahkan oleh-Nya. Segala urusan dalam berbagai agenda pembangunan dalam sehari suntuk Allah beri kelapangan pada perjalanan ibadah jika kalimah subhanallah disebatikan dalam jiwa setiap insan. Masalah-masalah menangani penggunaan masa, ibadah yang berunsur disiplin pengurusan, melaksanakan agenda yang rumit, dan sebagainya akan Allah bukakan pintu kesulitan dan dipermudahkan oleh Allah segala urusan untuk menyelesaikannya.
Dalam mendirikan solat lima waktu sehari semalam yang dikatigorikan sebagai tiang agama, bahagian wiridnya wajar dihiasi dengan zikirullah dengan menggunakan tiga kalimah suci iaitu dimulai dengan subhanallah sebanyak tiga puluh tiga kali, diikuti dengan kalimah Alhamdulillah sebanyak tiga puluh tiga kali dan ditutup dengan kalimah Allahuakbar juga tiga puluh tiga kali.
Setiap mukmin dalam melaksanakan ibadah harian atau yang biasa dikenali sebagai muamalat, kiblat pemikiran kita wajar terlebih dahulu dituju kepada Allah dengan mengucap kalimah bissimillahirahmanirahim untuk meminta perlindungan-Nya agar dimudahkan urusan. Ini wajar kerana sebagai hamba Allah kita sentiasa dicuragi oleh iblis laknatullah yang sentiasa berikhtiar hendak menyulitkan segala urusan dalam pembangunan kehidupan.
Makhluk iblis dalam usahanya memohon kebenaran dari Tuhan untuk membalas dendam kepada anak-anak cucu Nabi Adam a.s. kerana gara-gara beliau(Adam) iblis telah diharamkan Allah untuk menikmati hidup bahagia di syurga-Nya; Allah s.w.t. telah memperkanankan iblis dikecuali hamba-hambaNya yang dekat dengan-Nya. Maka itu dengan mengucap bisimilla- hirahmanirahi (dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang), maka iman kita teguh bersama Allah yang menjadi perisai kepada segala amal ibadah kita kelak memudahkan segala urusan ibadah kerana Allah.
Maka itu kalimah subhanallah, setiap mukmin wajar dizikirkan yang akan memudahkan segala perlaksanaan agenda pembangunan dalam hidup bertamadun. Ia dizikirkan sebanyak tiga puluh tiga kali setiap fardu sembahyang. Dalam usaha solat lima waktu sehari semalam kita telah berzikir subhanallah sebanyak 165 kali setiap hari.
Zikir kedua dalam wirid solat fardu ialah ‘Alhamdulillah’, ini adalah juga penting kerana segala nikmat Allah berikan kapada kehidupan wajar kita berterimakasih dengan mengucap Alhamdulillah. Satu nikmat Allah berikan yang amat besar dan tidak terkira nilainya ialah nikmat hidup. Ramai orang tidak memikirkan bahawa hidup ini adalah kekuasaan Allah. Jantung berdenjut mengepumkan darah ke seluruh anggota badan yang mengakibatkan hidup adalah kekuasaan Allah untuk menggerakkan mikanisme dalam system kehidupan yang dipertanggug- jawabkan kepada jasmani kita.
Nikmat-nikmat lainnya yang tidak kurang pentingnya dalam hidup seorang insan ialah perasaan cinta dan kasih sayang; sihat dan bahagia; mempunyai akal dan kemahiran berfikir; nafsu dan kemahuan; mempunyai keluarga bahagia serta anak-anak yang comel-comel belaka; kecantikan pada urat wajar diri dan berbagai-bagi lagi nikmat yang kurang difahami orang sebagai nikmat hidup yang Allah berikan. Maka itu wajar kita bersyukur dengan mengucapkan Alhamdulillah setiap kali kita mendirikan solat iaitu bersama Allah s.w.t. Kalimah ini juga dizikirkan saban hari lima waktu sehari semalan sebanyak 165 kali.
Kalima Allahuakbar pada zikirullah yang ketiga dalam wirid sembahyang mempunyai kemurnian dan kemulian yang tersendiri. Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Ia mengasihi setiap makluk manusia, ia memberi hidup pada setiap makhlukNya di alam kehidupan tetapi ia hanya menyayangi hamba-Nya yang mukmin. Maka itu masyarakat mukmin harus tahu diri mengenai kebesaran Allah s.w.t. dan wajib memujinya dan mengangkat kemartabatanNya sebagai Allah bagi sekalian alam.
Kewujudan alam kehidupan adalah atas kekusaan dan keredaan Allah s.w.t. Makhluk manusia yang diberi akal dan kemahiran berfikir telah diberi amanah sebagai khalifah di muka bumi-Nya. Maka itu murnikanlah hidupmu dengan disiplin bersyukur serta memuji Allah melalui jalur-jalur ibadah zikirullah. Semoga Allah perkenankan segala niat dalam hati yang murni demi pembangunan rohani.  

No comments:

Post a Comment