Sunday, June 2, 2013

ZIKIR MELATIH JIWA MENDEKATI ALLAH


 (Disiarkan pada 1. 6. 2013)
Zikir merupakan ibadah kerana Allah. Ia melatih jiwa mendekati Allah serta mencintai-Nya. Zikir adalah cabang kepada amalan istiqamah dalam melaksanakan ibadah yang Allah sentiasa sukai. Orang yang membudayakan zikir, jiwanya sentiasa berpaut kepada kecintaannya kepada Zat Yang Maha Berkuasa itu.
                Wahyu pertama yang diterima oleh manusia (Muhammad s.a.w.) merupakan dokumen yang diturunkan dari langit(Allah) melalui Malaikat Jibril ialah “Iqra” iaitu “baca”. Allah memerintah manusia untuk membaca kalimah Allah yang terucap iaitu al-Quran dan kalimah yang tercipta oleh Allah iaitu alam ini dengan segala isinya termasuklah manusia.
                Mikanisme kehidupan manusia dikawal oleh organ jantung yang bergerak secara istiqa- mah mengepum darah ke seluruh anggota badan sejak seorang insan itu lahir ke dunia hinggalah akhir hayatnya. Pergerakan jantung secara istiqamah dikategorikan juga sebagai satu jenis zikir. Jika kita mendengar degupan jantung seolah-olah ia berzikir mengucapkan kalimah “Allah”, “Allah”, “Allah”.
Orang tua kita mengatakan bahawa Allah itu dekat dengan kita yang ditamsilkan bahawa
jarak antara mata putih dengan mata yang hitam lebih jauh berbanding dengan dekatnya Allah dengan kita. Tamsil yang paling baik yang digunakan mengenai hal ini ialah roh kita adalah kepunyaan Allah s.w.t. Maka itu menyempurnakan hidup di dunia semestinya dihiasai dengan zikirullah kerana ibadah berkenaan adalah kebajikan rohani kita.
                Makanan jasmani berbeza dengan makanan rohani maka itu setiap insan berikhtiar memberi kemanfaatan kepada kedua-dua unsur manusia tersebut. Jasmani kita memerlukan makanan bersifat pepejal. Tetapi makanan rohani kita adalah bersifat ghaib. Dengan itu kita berzikir dengan satu tujuan untuk mendapatkan reda Allah s.w.t. yang berbentuk pahala. Pahala adalah makanan batin (roh) kita yang akan menemaninya dalam kehidupan di akhirat nanti.
                Zikirullah merupakan satu disiplin ibadah demi menyerapkan seluruh anggota badan, pemikiran dan jiwa kita kedalam suasana untuk disebati dengan kalimah suci Allah. Maka itu jasmani kita dipimpin oleh rohani untuk mendukung kesucian dan kemuliaan amal-amal ibadah demi membina dan mendukung tamadun kehidupan yang sentiasa dalam keredaan Allah s.w.t.
                Para malaikat diwujdkan Allah untuk melaksanakan tugas hanya beribadah kepada Allah seperti berzikir, bertasbih, bertahmit serta memuji kebesaran Allah s.w.t.  Maka itu makluk malaikat tidak punya wawasan pembangunan seperti manusia. Ia tidak punya nafsu sama ada dalam bidang pembangunan mahupun dalam bidang pembiakan. Itulah sebabnya Allah mewujudkan manusia sebagai khalifah-Nya. Amanah ini tidak dipertanggungjawabkan kepada malaikat walaupun keinginan mereka amat sangat kuat, sehingga tidak merestui kehadiran mereka dan melebelkan makhluk berkenaan sebagai pembawa bencana serta menumpahkan darah di permukaan bumi.
                Menjadikan zikirlullah sebagai budaya dalam hidup seorang mukmin adalah satu disiplin ibadah yang paling tinggi di sisi Allah s.w.t.. Orang yang tidak puas-puas berzikir sangat dikasihi Allah. Insan yang sentiasa basah bibirnya kerana berzikir akan merasakan dunia sebagai neraka jika pembangunannya tidak dalam landasan  yang dipimpin oleh kesucian  beragama kerana Allah yang kelak akan mengheretkan manusia ke lembah kehinaan.
                Kebahagian dunia bersifat sementara sahaja yang hanya sebatas usia seorang mukmin sebagai pemain dalam pembangunan. Segala kebahagian dunia yang bersifat material adalah hakgunapakai manusia semata dan ia akan berpisah dengan kita apabila ajal menjemput nyawa. Tetapi kekayaan hakiki yang diperolehi yang berbentuk pahala dalam melaksanakan ibadah kerana Allah itulah yang akan menemani kita hingga ke alam akhirat.
                Menghadiri ceramah di masjid yang dilakukan oleh seorang ustaz atau ulama pasti
mendapat pahala dari Allah s.w.t. maka samalah juga dengan mendengar ceramah-ceramah melalui media kesset yang ditarbiahkan oleh Kiai Haji Zainuddun M.Z yang menjadi budaya hidup penulis dalam menimba ilmu akidah.
                Penulis sentiasa berdamping rapat dengan saudara sepupunya yang telah mendidiknya dahulu mengenai sembahyang sunat  tahajud secara istiqamah dalam usaha melaksanakan ibadan dibulan suci Ramadan. Beliau sering memuatkan ilmu pembangunan rohani dalam mentarbiah  penulis demi memperkukuhkan imannya kepada Allah s.w.t.  
                Antara strategi yang digunakannya ialah mengamalkan ibadah zikirullah. Penulis amat
sangat  berminat mengenai ibadah tersebut walaupun perlaksanaannya dalam keadaan yang bersifat sukar dilakukan sekalipun. Mengamalkan satu jenis ibadah secara instiqamah selama empat puluh satu hari tanpa henti adalah satu disiplin yang akan membina ketakwaan kepada Allah serta membuahkan keunggulan diri terutama sekali kepada rohani kita.
Mengikut saudara beliau amalan zikir adalah menguatkan iman kepada Allah di samping menanamkan semangat cintakan Allah. Antara zikir yang diperkenalkan oleh beliau kepada penulis ialah menggunakan empat daripada sembilan puluh sembilan nama-nama Allah. Pada setiap satu dizikirkan sebanyak tiga ribu kali setiap malam selepas solat Isyak.
Empat sifat Allah berkenaan ialah Al-Khabir(Yang Maha Mengetahui), Al-Ghaniy(Yang Maha Kaya), Al-Fattah(Yang Maha Membuka), dan Ar-Razzaq(Yang Maha Pemberi Rezeki). Kebiasaannya menerusi nama dan gelaran, kita boleh mengenali akan sesuatu. Dengan memper- hatikan maksud nama-nama Allah kita dapat  mengenali sebahagian daripada sifat-sifat Allah dan seterusnya dapat mengenali Allah itu sendiri.
Di dalam usaha berzikir dengan menggunakan nama-nama Allah kita bermatlamatkan untuk menterjemahkan maknanya ke dalam kehidupan kita sebagai hamba Allah.Semoga Allah dapat meredai ibadah kita dan dapat kiranya membentuk jiwa serta akhlaq yang masih bergelumang dengan amalan-amalan yang mengundang kemurkaan Allah s.w.t. Tafsiran-tafsiran keempat-empat nama Allah berkenaan adalah seperti berikut:-

Al-Khabir (Allah YangMaha Mengetahui).
Dialah yang mengetahui kejadian-kejadian batin yang tersembunyi di dalam segala sesuatu. Dialah yang mengetahui sudut-sudut paling dalam dan paling gelap dari kerajaanNya yang tidak dapat diketahui oleh ‘aqal manusia dan tidak dapat dimasuki oleh para MalaikatNya. Di mana pun di ‘alam semesta terjadi peristiwa-peristiwa yang tidak terbilang jumlahnya.
 Sebahagian di antaranya bersifat universal, sebahagian lagi kecil, di atas dan di bawah, di dalam dan di luar satu sama lain. Dia mengetahui semua itu sejak awal hingga akhir, dalam perincian bersifat mutlaq. Peristiwa-peristiwa yang belum terjadi, namun masih  dalam pembentu kan, atau masih direncanakan, tersembunyi, seperti rahsia di dalam rahsia, terlihat olehNya tak ada yang luput dari perhatianNya.
“….lalu Hafshah bertanya: “Siapakan yang telah memberitahukan hal ini kepadamu?” Nabi Menjawab: “Telah diberitahukan kepadaku oleh Allah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah At-Tahrim: Ayat 3)
“Dan Dialah yang berkuasa atas sekalian hamba-hamaNya. Dan Dialah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-An’am: Ayat 8)

Al-Ghaniy (Yang Maha Kaya)
Allah itu Maha Kaya yang mencukupi diriNya sendiri. Dzat dan sifatNya tidak memiliki
hubungan dengan sesuatu apapun yang lain.Yang kewujudan dan kesempurnaanNya tidak bergantung pada yang lain. KekayaanNya tidak ada hubungannya dengan yang lain, bahkan
semua yang lain bergantung padaNya.
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang bermaksud (terjemahan): “…..Maha Suci Allah,
Dialah Yang Maha Kaya, KepunyaanNya apa yang ada di langit dan apa yang di bumi….” (Surah Yunus: Ayat 68)
“Wahai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah, dan Allah Dialah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpiji”.  (Surah Fathir: Ayat 15)

Al-Fattah ( Yang Maha Membuka)
Dialah Pembuka dan pemberi jalan keluar, yang membuka semua yang terkunci, terikat dan yang di dalam kesulitan. Ada beberapa hal yang tertutup bagi kita. Ada beberapa keadaan dan persoalan yang terikat pada sebuah simpul. Ada hal-hal yang sulit  yang tidak dapat kita ketahui atau kita jangkaui
Sebahagian di antaranya merupakan hal-hal yang bersifat material, profesion, pekerjaan, pendapatan, kekayaan, tempat, kawan-kawan yang kita miliki. Ada juga hati yang terikat oleh belenggu kesedihan, fikiran yang terbelenggu oleh keraguan atau persoalan-persoalan yang tidak dapat di atasi.
Allah berfirman yang bermaksud  (terjemahan): “…..Dialah pembuka pintu rahmat lagi yang mengetahui.” (Surah Saba’: Ayat 26)
“….Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan  kepada mereka berkah dari bumi dan langit….” (Surah Al-A’raf: ayat 96).

Ar-Razzaq (Yang  Maha Pemberi Rezeki)
Dialah Pemberi Rezeki. Rezeki diperlukan agar makhluk dapat bertahan hidup. Dan ada makanan yang bersifat fisikal memberi kekuatan kepada tuguh dan melindunginya agar tetap hidup dalam jangka waktu tertentu. Sedangkan rezeki yang besifat spiritual memberikan kita kehidupan yang abadi. Dalam kaitannya dengan manusia, yang dimaksudkan dengan rezeki yang bersifat fisikal bukan hanya makanan, minuman, udara dan pakaian tetapi ayah dan ibu, suami atau isteri, mahupun anak-anak. Bahkan harta dan ‘ilmu kita merupakan sebahagian dari rezeki kita.
Allah berfirman yang bermaksud (terjemahan): “Sesungguhnya Allah  Dialah Maha Pemberi  rezeki……” (Surah Adz Dzariyat: Ayat 58)
“Dan Tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allahlah yang memberi rezekinya…” (Surah Hud: Ayat 6)
Melaksanakan zikirullah dalam bilangan yang ditetapkan pada setiap satu sifat Allah berkenaan memakan masa lima jam selama empat puluh satu malam. Walaubagaimanapun mukadimah pembuka zikirullah haruslah dimulai dengan membaca ayat kurdsi sebanyak seratus empat puluh satu kali. Masa diperuntukan melaksanakan ibadah ialah selama 41 malam, tidak boleh terputus. Jika berlaku tanpa istiqamahnya, walaupun pada sehari dalam penghujung waktu perlaksanaan ibadah berkenaan, harus bermula dari satu lagi. Demikianlah amalan penulis yang mendisiplinkan jiwanya untuk cinta kepada agama Islam.   
Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. melaksanakan solat sunat tahajudnya pada setiap malam begitu lama sehingga bengkak kakinya; walhal dosanya yang lalu, masa kini dan akan datang jika ada sudah diberi jaminan ampun oleh Allah s.w.t.
Penulis dalam melaksanakan ibadah zikirullah dalam masa lima jam setiap malam selama empat puluh satu hari mengalami masalah yang sama. Apabila kaki itu digerakkan untuk berdiri selepas berzikir selama lima jam seolah-olah lutut itu terkunci dan terpaksa diurut dahulu buat se ketika barulah dapat digerakkan. Duduk bersila dengan tidak bergerak khusyuk berzikir selama lima jam membuat kita sedar betapa beratnya ibadah itu jika dilaksanakan dengan hati yang ikhlas dan jujur demi kecintaan kita kepada Islam, agama Allah yang kita cintai itu. (Bersambung)

No comments:

Post a Comment