Saturday, August 24, 2013

MANFAATKAN MASA MUDAMU DALAM MEMBINA KEJAYAAN

 (Disiarkan pada 24. 8. 2013)
Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. menyarankan kepada umat manusia mengenai pembangunan tamadun manusia dengan mengatakan: “Buat yang lima sebelum yang lima datang” (Hadith Shahih). Antara lima perkara tersebut satu daripadanya ialah manfaatkan masa mudamu sebelum masa tuamu datang – ia merupakan satu amalan yang amat penting dalam melaksanakan ibadah pembangunan.
               Masa mudamu wajar dimanfaatkan terutama sekali untuk menuntut ilmu pengetahuan. Orang yang berilmu tidak sama dengan orang tidak berilmu. Ilmu merupakan kekuatan diri sebagai pemain dalam pembangunan tamadun kehidupan. Tugas utama manusia dalam hidup di dunia ialah menuntut ilmu. Menuntut ilmu kerupakan satu pembangunan minda untuk membolehkan seseorang itu memahami serta mengenali dirinya tentang hubungannya dengan Allah, manusia dan juga alam ini.
               Manusia sebagai khalifah Allah mempunyai tugas dan tanggungjawab di hadapan Allah s.w.t. demi memakmurkan kehidupan di alam dunia. Maka itu hidupnya seorang insan berkewajipan membaca kalam Allah serta melaksanakan apa yang diperintah Allah iaitu yang terucap oleh Allah seperti al-Quran dan yang tercipta oleh Allah iaitu alam ini serta segala isinya.
               Allah telah melengkapkan nikmat hidup kepada makhluk manusia di alam dunia ini maka itu menjadi tanggungjawab kepada setiap individu memanfaatkannya dalam melahirkan pembangunan. Allah juga bekalkan manusia dengan akal dan fikiran untuk dijadikan kekuatan menterjemahkan segala nikmat tersebut kepada pembangunan manusia sebagai persediaan kehidupan di akhirat kelak.
               Masa muda mu adalah sebaik-baik masa yang digunakan untuk memakmurkan kehidupan. Masa tersebutlah segala fitrah dalam diri individu adalah dalam keadaan yang sesuai untuk dimanfaatkan dalam menangani pembangunan. Tenaga serta alam pemikiran adalah dalam keadaan yang baik maka itu wajar diambil kesempatan yang ada sebelum ia meninggalkan kita.
               Orang yang menggunakan masa mudanya demi memanfatkan kehidupan yang sempurna merupakan insan yang pandai bersyukur terhadap nikmat hidup Allah telah kurniakan kepadanya. Manakala mereka yang menghabiskan usia mudanya  untuk berpoya-poya semata, melayani buaian serta kelezatan hidup yang bergitu menyeronokan adalah orang yang mengkufuri nikmat hidupnya sebenar.
               Mengkufuri nikmat hidup yang Allah berikan kepadanya akan membawa kepada kedosaan yang tidak akan membawa apa-apa keuntungan di alam akhirat nanti. Malah orang yang mengkufuri nikmat hidup akan Allah tarik balik nikmat hidup berkenaan kelak akan mengalami hidup dalam kesengsaraan.
               Antara nikmat hidup yang paling tinggi nilainya ialah nikmat sihat. Mengkufuri nikmat sihat akan Allah tarik balik nikmat tersebut maka jadilah hidup kita sentiasa mengalami sakit dan kemuderatan dalam berbagai jenis sama ada dari segi pemikiran yang lemah, tenaga yang tidak bermayah atau tidak punya selerah sebarang makanan mengakibat kan badan menjadi letih dan tidak mampu melaksanakan sebarang ibadah.
               Orang yang tidak mementingkan kesihatannya untuk digunapakai dalam melaksana kan amal ibadah akan menemuhi hidup yang penuh dengan derita seperti mempunyai  masalah kencing manis kerana terlalu banyak memakan makanan yang mengandungi gula. Penyakit kencing manis adalah satu penyakit yang amat berat sekali resikonya kerana orang yang mengalaminya, harus berwaspada jangan mengalami kecederaan pada anggota badan kerana  peluang untuk sembuh amat sukar sekali maka hanya satu cara untuk mengatasinya ialah dipotong anggota badan yang tercedera. Kalau bahagian kaki yang luka maka kaki itu
harus dipotong untuk mengelak kumannya merebak ke atas.
               Hidup adalah satu perjuangan dan perjuangan itu adalah satu takwim kehidupan untuk
setiap insan harus melaksanakan dalam hidupnya. Masa mudanya harus disiapkan untuk berjuang kerana Allah. Allah berfirman yang bermaksud: “Aku tidak jadikan jin dan manusia melainkan supaya menyembah Aku.”(Az-Zariyat ayat (51) 56).
               Manusia diwujudkan oleh Allah s.w.t. dengan satu tujuan iaitu beribadah kepada-Nya. Melaksanakan ibadah kepada Allah merupakan perjuangan hidup untuk melaksanakan takwim kehidupan sebagai pemakmur alam kehidupan yang dikenali sebagai khalifah Allah s.w.t.
               Manusia dilengkapkan oleh Allah dengan berbagai fitrah yang amat banyak sebagai kekuatan untuk menangani perjuangan demi memartabatkan kehidupan di alam dunia dan sebagai persediaan kehidupan di alam akhirat nanti. Masa remaja mempunya berbagai kerenah hidup berupa cobaan Allah s.w.t. dan setiapnya wajar dilalui oleh individu sebagai kewajipan dalam hidup.
               Perjuangan tidak ada makna tanpa ketakalan atau istiqamah dalam melaksanakan agenda kehidupan. Perjuangan wujud dalam berbagai dimensi yang akan bertemankan manusia terutama sekali masa mudanya. Dalam hidup ini manusia menghendaki berbagai keperluan hidup dan keperluan itu tidak ada sempadannya seperti mana falsafah dalam ekonomi menggarisbawahkan bahawa “tidak ada penyudah kepada sesuatu kemahuan dalam hidup atau there is no end in wants.
               Apabila sesuatu yang dikehendaki itu  telah berjaya memperolehinya  ada sahaja yang lain yang diingini lagi. Oleh
sebab kemahuan manusia itu sentiasa memikirkan yang baru maka adalah wajar disiplin hidup mempunyai intiqamah dalam segala jenis perjuangan demi ketamadunan hidup itu sendiri.
               Hidup ini sentiasa berubah dalam keadaan berperingkat-peringkat. Peringkat pertama ialah dalam alam rahim; kemudian lahir ke dunia  dan mengalami peringkat kanak-kanak, diikuti oleh peringkat remaja. Kemudian menyusul peringkat alam dewasa dan seterusnya alam tua di mana pada lazimnya penantian mendapat giliran untuk berpindah ke alam barzakh.  
               Dalam semua peringkat kehidupan tersebut hanya satu peringkat sahaja yang setiap individu perlu memainkan peranannya sebagai pemain dalam pembangunan demi melayak kannya sebagai hamba Allah, iaitu masa muda atau masa remajanya.
               Masa muda wajar diisi dengan ilmu sebagai kekuatan melaksanakan ibadah kerana Allah. Ilmu yang dimaksudkan ialah samada ilmu fardu ain mahupun fardu kifayah; kedua-duanya amat penting bagi setiap individu demi memartabatkan disiplin kehidupan yang diredai Allah s.w.t..
               Tanggungjawab setiap individu masa mudanya adalah hanya tertumpu kepada usaha memperolehi ilmu pengetahuan yang akan memandunya untuk memahami perjuangan hidup di dunia dan juga di akhirat. Ilmu yang diperolehi sewajarnya menjadi pemangkin kepada setiap indivudu untuk menterjemahkannya dalam pembangunan.             
               Ilmu yang dituntut semestinya membuat perubahan kepada kepekaan manusia berfikir. Ilmu itu merupakan kedatangan sesuatu makna maka ufuk pemikiran seseorang yang telah bertambah ilmunya sewajarnyalah berubah kepada yang lebih menyerlah daripada keadaan yang sudah sedia ada. Dalam erti kata lain ilmu itu mentamadunkan pemikiran setiap individu dan mempunyai kepekaan untuk menemukan solusi penyelesaian kepada setiap kesulitan dalam menangani kehidupan.
               Keseronokan hidup masa muda mu  mengakibatkan manusia alpa terhadap tanggung jawabnya untuk mengilmukan dirinya. Mengorbankan keseronokan hidup yang berupa sementara sahaja dan menggunakan masa mudanya untuk membuat persediaan menghadapi
masa tua adalah lebih menguntungkan dan sentiasa menjanjikan kejayaan dalam hidup yang
diredai Allah s.w.t.
               Bagaimanakah mengorbankan masa mudamu untuk mendapatkan keuntungan dunia dan akhirat? Masa remaja sentiasa mempunyai keinginan yang kuat untuk mengetahui serta
megalami setiap ilmu yang dilaluinya. Keadaan demikian berlaku disebabkan kehadiran hawa nafsu dalam diri manusia. Nafsu manusia terbahagi kepada dua jenis berpandu kepada kekuatan iman serta akal pada diri seseorang itu. Nafsu yang membina ialah nafsu pembangunan dan nafsu  keduniaan semata ialah nafu kehaiwanan.
               Nafsu pembangunan berkiblat kepada naluri kekuatan dalaman individu untuk mencontohi orang lain yang telah berjaya dalam usahanya membangunkan dirinya serta keluarga, termasuklah memperolehi ilmu pengetahuan dan menterjemahkannya dalam hidupnya agar ia menjadi agen perubahan kepada masyarakat keseluruhannya.      
               Nafsu kehaiwanan pula ialah naluri manusia yang kiblat pemikirannya hanya untuk keseronokan dunia semata tanpa memikirkan kemanfaatannya kepada pembangunan kendiri. Ia tidak punya budaya ukhuwah kemanuiaan dan sering mementingkan diri dan tidak memikir kan bahawa hidup hormat menghormati antara satu dengan lain menjadi agenda bersama.
               Pada kelazimannya haluan haluan yang dilalui oleh nafsu kehaiwanan ialah keruntu- han moral dan menjadi duri dalam pembangunan masyarakat. Masa untuk memperolehi ilmu pengetahuan sebagai zat pembangunan insan dikorbankan untuk mencari kepuasan hawa nafsu kehaiwanan yang menjadi perosak ketamadunan hidup manusia. Selain daripada itu manusia yang tidak punya ilmu pengetahuan dan jauh  dari ilmu tauhid adalah masyarakat yang merelakan dirinya hidup sebagai sampah masyarakat dan kerap menjadi kutu bandar apabila masa tuanya tiba.
               Tanggungjawab manusia untuk mensyukuri nikmat hidup ini haruslah menjadi agenda dalam menelusuri kehidupan di dunia. Bagaimana manusia mewarnai hidupnya di alam jasmani akan menjadi penentu kepada corak kehidupan di alam rohani nanti yang bakal menyusul kemudian.
               Melaksanakan pembangunan seharusnya ada kerjasama antara masyarakat berbilang pengalaman dan ilmu maka itu ukhuwah kemanusiaan amat diperlukan dalam merealisasikan tamadun kehidupan. Hidup ini menyeronokkan kerana ada orang lain bersama kita. Kehadiran mereka dalam segala agenda kehidupan tidak dapat kita nafikan peranannya.
               Jadikanlah hidup ini seperti peranan kedua belah tangan kiri dan tangan kanan dalam melaksanakan pembangunan. Keduanya seia sekata saling bantu membantu dalam segala hal perlaksanaan tugas. Walaupun tangan kiri itu mempunyai tugas pada kelazimannya hanya melaksanakan di bidang pembersihan terutama sekali semasa berada di tandas tetapi ia sangat diperlukan dalam perlaksanaan tugas-tugas yang dilaksanakan oleh tangan kanan.
               Tangan kanan tugasnya amat mulia sekali seperti menerima dan memberi wang, berjabat tangan dengan gadis-gadis jelita, menanda tangan segala bentuk perjanjian yang akan menghasilkan kebahagian hidup dan sebagainya; tetapi tangan kiri tidak pernah merungut dan kecil hati. Malah ia turut sama bergembira dengan tangan kanan apabila berjabat tangan dengan menggunakan kedua belah tangan.
               Tangan kanan memberi keistemewaan kepada tangan kiri dengan memakainya jam tangan untuk merakamkan waktu mengingatkan tangan kanan masa melaksanakan tugas. Selain itu tangan kanan juga menghiasi jari tangan kiri dengan memasukkan cincin emas untuk menunjukkan kecantikan pada mata memandang.
               Penampilan masa muda mu jauh lebih baik berbanding dengan masa apabila sudah meningkat tua. Pemikiran serta hala tuju pembangunan masa muda jauh lebih cepat dan menepati wawasan yang disediakan berbanding dengan perlaksanaan agenda masa usia ‘dah lanjut kerana segalanya sudah berkurangan terutama sekali dari segi tenaga, kemahiran

berfikir serta wawasan pemikirannya tidak jauh menjelajah ke kehadapan lagi. Maka itu manfaatkan masa muda mu dalam membina kejayaan dalam hidup. 

No comments:

Post a Comment