Saturday, August 31, 2013

KONOTASI "GARAM HIDUP" DALAM PANDANGAN ISLAM.

 (Disiarkan pada 31. 8. 2013)
Tidak ada yang dibanggakan dalam hidup seorang mukmin tanpa merasa syukur terhadap segala kejayaan yang dikurniakan Allah s.w.t.. Hidup ini adalah semata-mata bertawakal untuk mendapat keredaan Allah s.w.t. terhadap ibadah yang kita laksanakan. Tanpa keredaan-Nya segala ibadah akan menjadi sia-sia sahaja.
               Hidup itu untuk apa? Alangkan murahnya nilai hidup ini, kalau hanya semata-mata terbatas pada kebendaan. Apalah harganya manusia ini, kalau fikirannya hanya tertuju kepada nasi dan gulai, roti dan garam. Tak pernah matanya singga kepada bunga yang sedang mekar atau bintang  berkelip di halaman langit.
               Orang yang beriman adalah orang yang bersyukur kerana memiliki perasaan yang mendalam terhadap keindahan alam, kehidupan dan manusia. Orang yang sering bersiar di taman al-Quran akan dapat melihat dengan jelas, bagaimana al-Quran cuba menanam ke dalam setiap akal dan sanuberi orang  beriman dengan rasa keindahan yang terdapat pada setiap juzuk alam. Sama ada dari atas, bawah atau sekelilingnya: di langit, di bumi, tumbuh-tumbuhan, binatang dan insan.
               Allah s.w.t. berfirman tentang keindahan langit yang bermaksud (terjemahan): “Maka mereka tidak melihat langit yang ada di atas mereka, bagaimana Kami meninggikan dan menghiasinya, dan langit itu tidak mempunyai retak-retak sedikitpun.” (Qaaf:6)
               “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan gugusan bintang-bintang (dilangit) dan Kami telah menghiasi perkara itu bagi orang-orang yang memandangnya.” (al-Hijr:16)
               Allah s.w.t. telah berfirman tentang keindahan bumi serta tumbuh-tumbuhannya yang bermaksud (terjemahan): “Dan kami hamparkan bumi itu, dan Kami tumbuhkan padanya segala macam tanaman yang indah dipandang mata”. (Qaaf: 7)
                              Untuk melihat keindahan binatang  melalui ayat-ayat suci al-Quran, kita boleh melihat kepada ayat yang menjelaskan tentang binatang-binatang yang bermaksud (terjemahan): “Dan kamu memperolehi pandangan yang indah padanya, ketika kamu membawanya kembali ke kandang dan ketika kamu melepaskannya ke tempat pengembalaan.” (al-Nahl: 6)
                 Untuk melihat kecantikan manusia Allah berfirman yang bermaksud(terjemahan): Dialah yang memberi rupa kepada kamu dengan sebaik-baik rupa”. (at Taghabun: 3)
                Firman Allah s.w.t. lagi yang bermaksud(terjemahan): “Yang telah menciptakan kamu lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan (susunan tubuh) mu seimbang, dalam bentuk apa saja yang Dia kehendaki dan Dia menyusun tubuhmu”. (al-Infithar: 7 – 8).
               Setiap orang yang beriman akan merasa syukur kerana dapat melihat kekuasaan Allah yang mereka cipta itu pada setiap apa yang dilihatnya di dalam alam yang indah ini. Dia juga akan dapat melihat keindahan Allah pada setiap keindahan yang dijadikan serta dibentuk-Nya. Ia melihat padanya: “Perbuatan Allah yang membuat dengan kukuh tiap-tiap sesuatu”. (al-Naml: 88)
               Maksudnya (terjemahan): “Yang memperelokkan segala sesuatu yang Dia ciptakan”. (al-Sajadah: 7 )
               Dengan ini, orang yang beriman akan merasa syukur dengan keindahan yang terdapat pada setiap juzuk kewujudan yang berada disekelilingnya; lantaran ia adalah kesan dari keindahan Allah s.w.t.
                              Perasaan ialah garam hidup. Dengan perasaan manusia merenung, mencari ketenangan dalam pergolakan.  Menampak bahagian dalam sengsara. Menampak jernihnya masa depan dalam keruhnya yang sekarang. Imbangan nada tinggi melengking dengan nada rendah mengendur, itulah dia muzik dari kehidupan.
               Perasaan, apabila diasuh-diasah, tajamlah dia untuk mencari yang indah. Sehingga dilihat orang di luar dinding, disangka orang seksa, padahal bagi orang dalam dinding dirasai nikmat.
               Manusia sejak dia dijelmakan selalu merentangkan tali di antara alam dengan hatinya. Tumbuhlah kehalusan perasaan itu  dengan sederhana pada mulanya, kerana melihat keindahan langit, kesuburan bumi dan keluasan laut, warna-warni buluh burung dan mekarnya kembang, matahari terbit dan terbenam.
Tetapi kerana beratnya tekanan hidup, mencari beras seliter kadang-kadang  kendurlah tali hubungan  hati dengan alam itu  atau pudar sama sekali. Demi apabila keperluan sehari-hari beransur kemakmurannya, mulailah dirasai bahawa hidup bukanlah semata-mata  cari makan. Hidup bukanlah semata-mata tekun mencari ilmu. Ada yang lebih tinggi dari makan dan ilmu, iaitu kehalusan perasaan buat menangkap yang indah yang ada di keliling diri. Bila itu tercapai, inilah “Hidup”.  
Allah telah memberi manusia keutamaan yang menyebabkan dia lebih tinggi daripada makhluk yang lain. Pemberian Allah itu adalah akal dan fikiran. Bertambah maju kehidupan nya, bertambah maju pula fikiran. Sedang binatang  hanya mempunyai “instict” saja, sehingga kehidupan binatang tidak ada kemajuan. Maka itu wajarkan manusia besyukur?
Kehidupan lalat pada zaman sekarang masih sama saja dengan kehidupan lalat 100,000 tahun yang lalu. Ia membiak di atas benda-benda yang busuk. Telornya yang diletak  pada makhluk yang telah mati dan akan memakan daging yang telah reput. Lalat suka hinggap di atas benda-benda kotor maka ia membawa penyakit kepada manusia apabila ia hinggap pada makanan kita.  
Fikiran ingin mencari  dan mencari lagi; dan mencari lagi. Dan belum mahu berhenti sebelum bertemu dengan hakikat itu. Dan taraf kemajuan fikiran manusia itu bersangkutan pula dengan kecerdasan peribadi orang-seorang. Itulah sebabnya maka ada ahli falsafah dan ahli ilmu  pengetahuan.
Ahli falsafah mempertemukan waktu yang indah dahulu, yang sekarang dan masa depan. Ahli pengetahuan melihat ruang, iaitu tempat yang ditentukan oleh benda. Kedua-duanya, ahli falsafah dan ahli pengetahuan, mengorbankan usia, mempergunakan fikiran itu mencari hakikat dari yang nyata. Menggali sampai ke seberang yang nampak. Sampai yang tak nampak pun jadi nampak.
Tak nampak pun dengan mata, nampak jelas dengan mata hati atau fikiran. Walaupun baru jelas dengan fikiran sendiri dan belum jelas oleh fikiran orang lain. Atau belum diperbandingkan dengan pendapat orang lain.
Mengikut pendapat Prof. Dr. HAMKA berfikir bebas tetapi terbatas. Ahli fikir yang lain mengatakan bahawasanya meskipun  telah ribuan tahun  manusia hidup, namun corak  yang difikirkan dengan fikiran yang bebas, ternyata  terbatas  hanya dalam empat soal: Soal alam, soal manusia, soal hidup dan soal pencipta dari segalanya.
               Mengikut Sayid Jamaluddin Al-Afghani: “Berfikir yang mendalam, tak dapat tidak  akhirnya akan membawa kita ke dalam alam falsafah. Memang berfalsafah adalah puncak kesempurnaan  berfikir, dengan belajar dan menyelidik. Ada pun nubuwwah (kenabian) dan risalah  (kerasulan) adalah anugerah Illahi yang dilimpah kurniakan-Nya kepada hamba-Nya yang dipilih-Nya. Nabi maksum dan dituntun oleh wahyu Ilahi. Adapun ahli hikmat dan ahli falsafah adalah perjuang yang berjuang mencari hakikat, yang kadang-kadang bertemu, kadang-kadang tidak. Kadang-kadang tersalah, kadang-kadang benar. Kadang-kadang berhasil, kadang-kadang gagal” .
               Jika perasaan itu menjadi garam hidup manusia maka hidup sebagai hamba Allah yang bersyukur wajar diletakkan kepada konsep Islam di mana persudaraan yang tidak pernah mengenal kedudukan. Sama ada sesorang itu ahli falsafah mahupun ahli ilmu pengetahuan, persaudaraan di dalam Islam merangkumi semua kelompok masyarakat. Tidak terdapat di sana sekolompok manusia yang terlalu tinggi darjatnya untuk bersaudara dengan  orang lain dan tidak  terdapat  di sana sekolompok manusia yang terlalu rendah darjatnya untuk  bersaudara dengan orang lain.
               Pemerintah adalah saudara kepada yang diperintah dan pemimpin adalah saudara kepada yang dipimpin. Di dalam sebuah Hadith ada menyebutkan:
               “Sebaik-baik pemimpin kamu ialah orang-orang yang kamu sayangi mereka dan mereka menyayangi kamu, kamu mendoakan mereka  dan mereka mendoakan kamu. Sejahat-jahat  pemimpin kamu ialah orang-orang yang kamu bencikan mereka dan mereka membenci kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu” (Diriwayat oleh Muslim dari ‘Auf Ign Malik.)         
               Tuan kepada hamba adalah saudara kepada hambanya sekalipun pada waktu-waktu  tertentu hamba diwajibkan mematuhi tuannya. Di dalam sebuah Hadith shahih ada menyebutkan:
               “Para pembantumu adalah saudara-saudara kamu. Allah telah menjadikan mereka berada di bawah kekuasaanmu, jika Allah mahu maka Dia akan menjadikan kamu berbalik  berada di bawah kekuasaan mereka, maka barangsiapa yang saudaranya berada di bawah kekuasaannya maka hendaklah memberi makanan kepadanya sebagaimana ia  makan, memberikannya pakaian sebagaimana ia berpakaian, jangan kamu memaksa mereka untuk melakukan pekerjaan yang mereka tidak mampu lakukannya, dan memang kamu terpaksa memaksa mereka juga, maka bantulah mereka”. (Diriwayatkan oleh Muslim dari ‘Auf Ibn Malik).
               Orang-orang yang kaya dan miskin, kaum buruh  dan para majikan, tuan-tuan tanah dan para pekerjanya, semua mereka adalah  saudara  kepada  yang lain. Tiada sebab untuk berlakunya krisis sosial atau kecemburuan antara kelas sosial.
Bahkan tidak akan ada kelas-kelas sosial di dalam masyarakat Islam seperti mana yang sering berlaku di kalangan masyarakat Barat di zaman-zaman pertengan yang dikenali sebagai kelas menengah terpelajar, kelas penunggang kuda  mewah, golongan pembesar agama dan sebagainya. Kelas-kelas sosial ini diwarisi secara turun-temurun menurut nilai-nilai, budaya dan hukum berkuasa pada masa itu.
Di dalam Islam terdapat ahli agama. Tetapi mereka bukanlah satu kelas sosial yang mewarisi tugas ini. Sebaliknya ia adalah  tugas yang terbuka kepada sesiapa sahaja yang berkelayakan dari segi ilmu dan pengajian. Status ilmu bukanlah  seperti  status kependetaan sepertimana biarawan dan pembesar-pembesar agama di dalam agama-agama lain. Sebaliknya ia adalah satu tugas mengajar, mendakwa dan memberi fatwa. Mereka adalah ulama bukanlah pendeta.
               Muliakan hidup mu sebagai hamba Allah yang bersyukur!  Orang yang bersyukur semestinya memahami kedudukan hidupnya sebagai mukmin yang beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t., serta berkewajipan melaksanakan ibadah solat lima waktu sehari semalan secara intikamah.
Tatkala Rasulullah s.a.w. akan menutup mata, walaupun jasmaninya menderita sakit, masih dipaksa-paksakannya naik mimbar di masjid Madinah, memberikan nasihatnya yang terakhir kepada umatnya. Di antara nasihat yang terpenting  itu, dan semuanya penting, diperingatkannya benar agar sembahyang  lima waktu jangan ditinggalkan, jangan  disia-siakan. Baginda cemas kalau-kalau setelah dia mati, sembahyang itulah yang lebih dahulu diabaikan.
Sembahyang pada zaman moden ini kurang mementing peruntukan masa melaksanakan ibadah solat. Kita hidup dalam masyarakat yang majmuk yang mempunyai kepecayaan yang berbeza kadang-kadang gejala timbul dari mulut orang-orang yang penganut agama-agama lain, hahawasanya sembahyang  lima waktu itu sangat menghalang pekerjaan. “Sebab itu, kata mereka “Sembahyang menghalangi kemajuan.”

Setelah kita mengalami gelora kesibukan zaman yang dahsyat ini, mengalami segala sesuatu mesti serba cepat, yang dinamakan zaman mesin, zaman atom dan zaman sputnik, terasalah oleh kita, sehingga menjadi keyakinan hidup, bahawa sembahyang tidak boleh dilalaikan. Hanya sembahyang yang dapat mententeramkan jiwa dalam arus kesebukan ini.

No comments:

Post a Comment