Sunday, October 6, 2013

ISTIGHFAR MENYELAMATKAN UMAT DARI AZAB ALLAH

 (Disiarkan pada 05. 10. 2013)
Istighfar merupakan lafaz setiap mukmin memohon ampun daripada Allah s.w.t. terhadap segala dosa yang dilakukan akibat kelemahan mereka dalam menangani kehidupan. Allah itu Maha Pengampun terutama sekali kepada masyarakat mukmin yang telah sedarkan diri dan ingin beristighfar kerana bertaubat terhadap segala salah laku dalam perlaksanaan hidup.
               Bertaubat adalah satu ibadah yang meninggalkan dosa yang telah ia lakukan serta merasa dalam hati penyesalan terhadapnya dan tidak melakukan lagi. Walaubagaimana pun kelemahan iman tidak menjanjikan keikhlasan dalam melaksnakan ibadah taubat apabila salah laku yang ia telah insaf akan diulanginya lagi apabila peluang itu menjelma. Taubat seperti itu   orang mengatakan sebagai “taubat sambal”.
Laksana orang yang memakan sambal pedas dan merasa seksa dimulutnya kerana pedasnya seolah-olah menggegar jantungnya. Ia berjanji tidak menyentuh makanan itu lagi tetapi apabila terhidang di hadapannya ia mengulangi lagi keseksaan merasa pedas. Maka itu bertaubat biarlah dengan ikhlas kerana iman kepada Allah.
               Islam ialah agama mendidik cara hidup yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. sepertimana yang difirmankan Allah s.w.t. dalam surah al-Ma’idah ayat 3 yang bermaksud (terjemaan): .....“Pada hari ini telah-Ku sempurnakan untuk kamu agama mu, dan telah Ku cukupkan kepada mu nikmat-Ku dan telah-Ku redhai Islam itu  menjadi agama bagimu.”
               Ahli-ahli bahasa, ahli tafsir dan para Orientalis melihat pengertian ‘Islam’ dari segi makna bahasanya mereka banyak menimbulkan perbincangan. Sebenarnya jika kita meneliti perkataan ‘salama’ dari segi bahasa kita dapati ia membawa pengertian-pengertian berikut:  Pertama, terlepas dan bebas dari keburukan-keburukan atau kekurangan-kekurangan yang zahir atau yang batin. Kedua aman dan damai. Dan Ketiga, taat dan patuh.                                        
               Pengertian dari segi syarak, Islam ialah  mentauhidkan Allah, tunduk, patuh  dan ikhlas kepada-Nya serta beriman dengan dasar-dasar agama yang diturunkan dari Allah. Al-Quran menganggap ‘Islam’ sebagai bertentangan dengan ‘Syirik’. Allah berfirman yang bermaksud (terjemahan):
               “Katakanlah, apa akan aku jadikan  pelindung selain dari Allah yang menjadikan langit dan bumi, pada hal Dia memberi makan dan tidak diberi makan?Katakanlah; sesungguhnya aku diperintah supaya aku menjadi orang yang pertama sekali menyerah diri (kepada Allah dan jangan sekali-kali kamu masuk golongan orang-orang musyrik”). Al-An’am: 14.
               Tatkala Rasulullah s.a.w. diseru oleh  orang-orang musyrikin supaya mengikuti agama nenek moyang mereka, maka Allah turunkan ayat ini, yang maksudnya: “Katakan ya Muhammad kepada mereka: Adakah  patut selain Allah akan saya jadikan Tuhan yang disembah dan akan saya jadikan pelindung tempat  meminta pertolongan?” Perbuatan ini tentulah tidak layak. Tak mungkin selain Allah hendak dijadikan pelindung.
               Terjadinya langit dan bumi ini, yang tercipta tanpa memakai model yang ditiru terlebih dahulu, adalah bukti tentang kemahiran sang penciptanya, iaitu Allah. Mengapa hendak dicari juga perlindungan selain Allah?
               Allah itu Maha Kaya. Dialah yang memberi rezeki makan minum kepada hamba-hamba-Nya, dan memberikan segala yang mereka hajati, sedang Allah tiada berhajat kepada sesuatu apapun. Maka Tuhan yang demikian sifatnya sahajalah yang layak dijadikan pelindung tempat meminta pertolongan.
               Setelah alasan-alasan tadi diberikan yang menetapkan wajibnya Allah itu dipertuhan – bukan yang lain – katakanlah pula ya Muhammad kepada orang-orang musyrikin itu: Sesungguhnya aku diperintahkan oleh Allah supaya menjadi orang yang pertama sekali dari golongan umat Islam kerana bersedia menyerahkan diriku kepada  Allah untuk mematuhi segala perintah-Nya dan menjauhi segala tegahan-Nya. Dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang menyekutukan Allah disebabkan memilih pelindung kepada yang lain.
               Beristighfar memohon bertaubat daripada Allah terhadap segala salah laku yang ditegah Allah s.w.t. Al-Quran menjadikan istighfar (minta ampun) sebagai jalan untuk mencapai rahmat Allah serta jalan mendapat kebaikan dan anugerah Allah  dalam kehidupan dunia. Firman Allah dalam al-Quran surah Hud ayat 3 yang bermaksud (terjemahan): “Dan (dia berkata): Hai kaumku, mohonlah ampun kepada Tuhanmu lalu bertaubatlah kepada-Nya nescahaya Dia menurunkan hujan  yang sangat deras atasmu dan Dia akan menambahkan
Kekuatanmu.”
               Dan Allah bercakap kepada Nabi Muhammad dengan firman-Nya dalam al-Quran surah Al-Anfal ayat 33 yang bermaksud (terjemahan):
               “Dan Allah sekali-kali tidak mengazabkan mereka, sedang kamu di antara mereka, dan tidaklah (pula) Allah akan mengazab mereka, sedang mereka meminta ampun” 
               Sebab-sebab  Allah menangguh turunnya  seksa ke atas mereka (musyrik) pinta ada dua sebab. Pertama ialah Nabi s.a.w. masih berada di kalangan mereka sebagai rasul, kerana Baginda adalah utusan yang membawa rahmat – bukan membawa seksa dan azab. Kedua, Allah belum mahu menyeksa, kerana di kalangan mereka masih terdapat orang-orang Islam yang lemah  yang sentiasa memohon keampunan atau beristigfar kepada Allah dari segala seksa dan azab.
               Al-Quran menjadikan istighfar (minta ampun) sebagai jalan untuk mencapai rahmat  Allah serta jalan mendapat kebaikan dan anugerah Allah dalam kehidupan dunia. Firman Allah  dalam al-Quran surah Hud ayat 3 yang bermaksud (terjemahan):
“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubatlah kepada-Nya (jika kamu mengerjakan yang demikian ), nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik  (terus menerus) kepadamu sampai kepada waktu yang telah ditentukan dan Dia akan memberikan  kepada tiap-tiap orang  yang mempunyai keutamaan (balasan)keutamaannya”. 
“Taubat” pada bahasa  bermakna “kembali”. Jika seseorang bartaubat bermakna ia meninggalkan dosa yang telah dilakukannya serta menyesali perbuatannya. Taubat yang dituntut oleh al-Quran ialah taubat yang segera dilakukan sesudah sahaja seseorang itu melakukan dosa. Firman Allah dalam Al-Quran surah An-Nisa’ ayat 17 yang bermaksud (terjemahan):
“Sesungguhnya taubat disisi Allah hanyalah  taubat bagi orang-orang yang mengerja kan kejahatan lantaran kejahilan  yang kemudian mereka bertaubat  dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”
Bertaubat merupakan satu kesedaran diri terhadap hubungan dengan Allah dan telah mengenali kelemahan-kelemahannya dalam melaksanakan amal-amal ibadah. Mengenali kelemahan merupakan langkah pertama untuk menimbulkan ketenangan dalam jiwa manusia. Untuk itu harus diikuti dengan aktiviti ibadah yang akan memantapkan jiwa untuk membuang kesusahan hati dan keluh kesah yang menjadi musuh  utama kepadanya. Sesungguhnya zikirullah merupakan suatu cara yang berkesan untuk sampai kepada ketenangan jiwa.
Punca kesusahan hati dan tidak tenteramnya jiwa adalah lahir dari perasaan seseorang yang merasakan dirinya lemah apabila berhadapan dengan peristiwa-peristiwa hidup. Tetapi keimanan yang kukuh kepada Allah boleh memberi ketenangan kepada jiwa manusia serta memberi kekuatan kepadanya untuk berhadapan dengan peristiwa-peristiwa hidup itu dan dia menganggapkan semua yang dilihatnya merupakan perkara kecil yang tidak harus dirisaukan.
Hakikat ini diakui Dr. Brell yang mengatakan: “Sesungguhnya seorang yang beragama sebenarnya tidak mengalami penyakit jiwa”. Katanya lagi: “Sesungguhnya doktor-doktor jiwa 
mendapati bahawa keimanan yang kuat memberi jaminan kepada tidak berlakunya perasaan
tidak tenang atau penyakit saraf, malah keimanan tersebut dapat mengubati penyakit-penyakit itu.”
               Zikirullah atau mengingatkan Allah adalah satu dari kesan-kesan iman. Ianya menjadi santapan rohani dan menimbulkan ketenangan jiwa. Ini diakui oleh Al-Quran surah Ar-Ra’du ayat 28 yang bermaksud (terjemahan):
               “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah , hanya dengan mengingat  Allah hati menjadi tenteram”.
               Zikirullah ialah satu cara  seseorang menghampirkan diri kepada Allah. Orang-orang yang berzikir itu diberi ganjaran dan rahmat oleh Allah. Maka dengan itu lihat ayat berikut dalam surah Al-Baqarah ayat 152 yang bermaksud (terjemahan) yang menyatakan kelebihan zikir:
               “Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat  (pula) kepadamu dan bersyukurlah kepada-Ku  dan janganlah kamu mengingkari  (nikmat)-Ku”.
Begitu juga dengan surah Al-Ahzab ayat 41-43 yang bermaksud (terjemahan):
               ‘Wahai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya, dan bertasbihlah kepada-Nya pada waktu pagi  dan petang . Dialah yang memberi rahmat  kepada-Mu dan malaikat-Nya (mohonkan ampun untukmu), supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan  kepada cahaya (yang terang), Dan Dia adalah Maha Penyayang kepada orang-orang  yang beriman.”
               Zikirullah mempunyai kesan dalam pendidikan rohani. Seseorang yang mengingati Allah dan mengagungkan kebesaran-Nya, akan menjadikan hatinya khusyuk dan lembut. Perbuatan-perbuatan yang dilakukannya semua baik belaka, sebab dia mengetahui bahawa Allah memerhatikannya. Sedang mereka yang tidak ingatkan Allah dan tenggelam dalam keseronokan hidup, hati mereka keras dan akan melahirkan perbuatan-perbuatan keji. Oleh sebab itulah Allah memberi amaran kepada kita supaya jangan sampai kepada keadaan yang tidak diingini ini.
               Islam sangat mementingkan zikirullah, maka ia menjadikan sembahyang itu dilengkap kan dengan zikir-zikir. Islam menetapkan sembahyang itu nesti dilakukan lima kali sehari semalam, malah dituntut supaya ditambah  pada waktu malam yang dinamakan tahajud, sebab waktu malam jiwa menjadi bersih dan tenang membolekan seseorang yang berkeadaan demikian bermunajat
               Allah berfirman dalam surah Al-Isra’ ayat 78 – 80.
“Dirikanlah sembahyang dari sesudah dan matahari tergelincir sampai gelap malam dan (dirikan pula sembahyang) subuh. Sesunguhnya sembahyang subuh itu disaksikan (oleh malaikat). Dan pada sebahagian malam hari bersembahyang tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji. Dan katakanlah: “Ya Tuhanku, masukkan aku secara masuk yang benar dan keluarkanlah  (pula) aku secara keluar yang benar dan berikanlah  padaku  dari sisi Engkau  kekuasaan yang dapat menolong.”
               Sembahyang adalah patinya ibadat. Kerana di dalam sembahyang, seorang hamba itu menyembah Tuhannya, untuk memohon dan merayau, serta meninggalkan segala pekerjaan dan ingatan yang lain – semata-mata ingatannya itu  ditumpukan bulat-bulat kepada Allah. Inlah yang dimaksud oleh hadis yang berbunyi:
               “Hendaklah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, dan sekiranya tak dapat engkau melihatnya sesungguhnya Allah melihatmu”.
               Allah berfirman bahawa sembahyang Subuh itu disaksikan oleh malaikat. Orang yang mengerjakan sembahyang Subuh pada permulaan waktunya hingga berpanjangan dibacanya Quran, nescahaya  perbuatannya itu disaksikan oleh para malaikat malam (yang akan mela-
porkannya  kepada Tuhan) dan juga disaksikan oleh malaikat siang.

               Allah berfirman dalam surah An-Nur ayat 55 yang bermaksud (terjemahan): “Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang saleh bahawa mereka akan diberi warisan kekuasaan di muka bumi”. 

No comments:

Post a Comment