Friday, December 13, 2013

HIDUP ITU UMPAMA TUTUP LOBANG KOREK LOBANG

 (Disiarkan pada 14. 12 2013)
 Ada pepatah mengatakan “semakin dipotong semakin panjang!”. Pada kelazimannya dalam hidup kalau sesuatu benda itu dipotong atau dikurangkan tentu sekali menjadi pendek.  Tetapi ini semakin dipotong semakin panjang. Apa agak jawapannya?  Ini merupakan analogi hidup yang setiap insan wajar tangani dalam hidup.
Dalam philosophy atau falsafah kehidupan serupa juga pada sesuatu keadaan hidup. Jika kita membina terowong semakin kita potong tanahnya dan buang semakin memanjang terowong itu. Begitu juga halnya dalam bembina sebatang parit, semakin kita potong atau cangkul tanahnya  kemudian buang semakin panjang parit itu. 
Dalam hidup ini tidak ada yang sentiasa mudah. Suka dan duka; sukar dan mudah; manis dan pahit keadaan hidup merupakan garam dalam pembangunan kehidupan. Pepatah  bahasa Inggeris mengatakan, “One’s man meat is another man poison”. Pandangan baik bagi seseorang, tidak mungkin  baik bagi pandangan orang lain.
Mendiang Presiden Mandilah iaitu seorang pemimpin negara Afrika sebagai penentang apartheid yang terkenal seluruh dunia mengenai masalah hubungan kelit putih dengan kulit hitam telah dimasukkan ke dalam penjara selama lebih kurang dua puluh tahun kerana usahanya menentang kepimpinan kulit putih yang tidak memberi hak kepada kulit hitam dalam memimpin negaranya sendiri. Setelah  keluar dalam penjara beliau kembali memimpin bangsanya. Berbakti kepada nosa dan bangsanya sehingga usianya menjangkau 95 tahun, sebelum mengakhiri hayatnya.  
Hidup ini tutup lubang korek lubang memberi kefahaman bahawa Allah itu maha adil. Kemuskilan dalam menangani kehidupan merupakan ujian Allah s.w.t. kerana Allah tidak mengubah keadaan hidup sesuatu kaum kalau bukan kaum itu sendiri mengubahnya. Firman Allah dan surah Al-Ra’d ayat (13) 11 yang bermaksud (terjemahan):
“Manusia itu mempunyai pengiring-pengiring (malaikat-malaikat) yang mengikutnya di hadapan dan di belakangnya, mereka menjaganya dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki bahaya kepada sesuatu kaum, tiada siapa dapat menghalang-halanginya. Dan mereka tidak mempunyai pelindung  selain Allah.”
Allah menjadikan beberapa malaikat yang menjadi pengiring pada tiap-tiap manusia, sama ada Mukmin atau lainnya, ke mana sahaja mereka pergi, mereka akan mengawasi sebagai penjaga mereka dan pengawalnya dengan bergilir-gilir dan berganti-ganti siang dan malam. Mereka, ada yang berada di hadapan, ada di belakang, juga di kanan dan di kiri – 4 malaikat menjaga ketika siang dan 4 yang lain sesudah malam.
Rasulullah s.a.w. telah bersabda (riwayat Abu Hurairah (r.a.),) yang maksudnya: “Ada beberapa malaikat yang mengiringi kamu bergilir-gilir, iaitu malaikat pada waktu malam dan malaikat pada waktu siang. Mereka berhimpun dalam masa sembahyang Subuh dan sembahyang Asar. Kemudian  naik ke langit malaikat-malaikat  yang tadinya tinggal bersama-sama kamu, lalu Allah bertanya kepada mereka sedangkan Allah lebih mengetahui tentang mereka, kata-Nya: “Bagaimana keadaan hamba-hamba-Ku  ketika kamu meninggalkan mereka? Jawab malaikat: “Kami pergi mereka sedang sembahyang. Dan kami datang mereka juga sedang sembahyang.”       
Firman Allah dalam surah Al-Baqarah (2) 214 yang bermaksud (terjemahan): “Adakah  kamu menyangka bahawa (mudah sahaja) memasuki syurga dengan tidak kamu didatangi (cubaan). Seperti orang-orang dahulu sebelum kamu....?
Ayat ini diturunkan pada masa orang-orang Islam menghadapai peperangan Ahzab (setengan ulama mengatakan pada masa perang Uhud, dan setengah yang lain mengatakan pada permulaan orang Islam berhijrah ke Medinah).
Peperangan  Ahzab itu ialah peperangan di antara orang-orang Islam di Medinah dengan persatuan suku-suku bangsa Arab, bangsa Yahudi dan orang-orang Munafik Medinah sendiri yang telah berikat menjadi satu. Pada waktu itu orang Mukmin sedang  menghadapi  sebesar-besar bahaya yang belum pernah mereka hadapi pada masa yang lalu, kerana musuh yang terdiri dari beberapa Ahzab atau gulungan itu telah mengepung kota Medinah sehingga terpaksa mereka membuat  khandak (longkang besar) di sekeliling kota Medinah untuk menahan rempuhan musuh.
Peristiwa demikian, menyebabkan hati orang-orang Mukmin banyak yang berasa gerun dan kecut. Maka Allah turukan ayat itu, untuk menghibur hati orang-orang Mukmin tersebut, yang maksudnya: Janganlah kamu menyangka! Seseorang itu  dapat masuk  ke syurga dengan senang begitu sahaja, tanpa rintangan, penderitaan ataupun pengorbanan. Orang-orang yang hendak masuk syurga itu tidak dapat tidak mestilah menemui rintangan, mengalami penderitaan dan memberikan pengorbanannya terlebih dahulu di dalam hidupnya. Kerana bahagia itu tidak terasa nikmatnya bila tidak lebih dahulu mengalami derita.
Begitulah para Rasul dan orang-orang yang menjadi pengikut mereka yang terdahulu, tidak seorang pun di antara mereka yang tidak menemui derita seperti yang sedang mereka hadapi sekarang ini (peperangan Ahzab). Pada waktu mereka gementar ketakutan itulah mereka tertanya-tanya (mengharap-harap): Bilakah datangnya pertolongan Allah? Ketahui lah! Bahawasanya pertolongan Allah hampir tiba.
Tuhan akan memperkenan harapan orang-orang Mukmin yang betul-betul tabah hatinya, teguh pediriannya menghadapi segala derita kerana menegakkan yang hak, dengan menyegerakan datangnya pertolongan kepada mereka. Percayalah kepada pertolongan Allah, dan ia akan tiba tidak beberapa lama lagi.
Benarlah tidak berapa lama musuh yang mengepung kota Medinah telah berselisih sesama mereka, yang dituruti pula dengan turunnya angin ribut, hujan lebat dan petir sabung menyambung, sehingga mereka punah-ranah dan mengundurkan diri dengan ketakutan yang amat sangat.
Dalam usaha menuntut ilmu, pada hakikatnya, tidak wujud program menjadi pintar cergas dengan cepat yang menjanjikan perolehan kepintaram tanpa usaha. Dalam semua  aspek kehidupan, terdapat urutan peringkat perkembangan dan pembangunan manusia yang perlu dilalui oleh setiap individu yang ingin mencapai kejayaan.
Seorang kanak-kanak perlu belajar mengumpul dan memproses maklumat sebelum dia   dapat membina skim ilmu. Seterusnya selepas membina skim ilmu, barulah dia dapat mem- bina ilmu tentang sesuatu perkara atau fenomena. Dalam semua usaha tersebut wajar kita mempunyai ketabahan hati dan teguh pendirian bahawa ilmu itu akan sebati dengan kita setelah kita berusaha.   
Prinsip-prinsip hidup yang dianuti oleh manusia yang saling bergantung ialah sebaik-baik manusia yang paling berfaedah kepada orang lain kerana kehadiran orang membolehkan kita menilai di manakah tahap pencapaian kita dalam perkembangan diri. Potensi intelek individu seharusnya menjadi usaha memurnikan tahap perkembangan orang lain agar kita tidak mengkufuri fitrah hidup yang dihadiah oleh yang Maha Berkuasa.
Melaksanakan pembangunan wajar melalui budaya istiqamah kerana Allah sukakan hambanya yang tekun beribadah yang tidak mengenal kegagalan dalam usahanya. Tidak ada kekuasaan manusia untuk memperolehi sesuatu keperluan dalam hidupnya tanpa pertolongan dari Allah s.w.t. sepertimana firman-Nya dalam surah Al-Fatihah yang berbunyi iyyaka na’budu waiyyaka nasta’in itu  mengandungi dua aspek:
Satu pihak bagi hamba Allah, iaitu melakukan ibadah kepada Allah dan memohon pertologan-Nya, dan di pihak lainnya Allah s.w.t. yang berhak menerima ibadah dan memberikan pertolongan. Melakukan ibadah adalah satu kewajiban bagi hamba Allah. Apabila ia tidak melakukan ibadah, bererti ia bukan hamba Allah atau bukan bani Adam. Natijah apabila ia bukan hamba Allah atau bukan bani Adam, maka siapa? Oleh kerana itu kalau ingin diakui sebagai hamba Allah s.w.t. dan sebagai bani Adam wajib melakukan ibadah.  
Iyyaka na’budu adalah amalan yang ditamsilkan sebagai mengorek lobang dan waiyyaka nasta’in adalah amalan yang menutup lobang. Ini bermakan, jika na’budunya beres maka nasta’in pasti diperolehi; itu sebagai penutup kepada keaiban, kelemahan, kekurangan kita dan sebagainya. Segala usaha kita jika dilakukan dengan hati yang ikhlas kerana Allah maka past petolongan Allah akan tiba bila-bila masa.  
Segala ibadah yang dilaksanakan berupa tawakal kepada Allah kerana Dialah menentu kan segala keperluan hidup makhluk manusia di dunia. Tanpa tawakal tidak ada yang dapat dihasilkan dan segala keperluan hidup juga tidak datang dengan sendirinya. Usaha wajar dilaksanakan dengan menggunakan akal fikiran serta tenaga yang dibekalkan Allah s.w.t. kepada manusia. Menggunakan akal fikiran adalah sebahagian daripada tawakal.
Tawakal merupakan salah satu ibadah hati yang paling utama dan salah satu dari berbagai akhlak iman yang agung. Sebagaimana yang dikatakan Al-Imam Al-Ghazaly, tawakal merupakan salah satu manzilah agama dan kedudukan orang-orang yang beriman. Malahan tawakal termasuk darjat muqarrabin yang paling tinggi.
Menurut Ibnul-Qayyim, tawakal adalah separuh daripada agama dan separuh lainnya adalah inabah, kembali kepada Allah, seperti yang diisyaratkan Allah: “Hanya kepada Allah aku bertawakal dan hanya kepada-Nya aku kembali.” (hud:88)  
Di samping itu, agama adalah ibadah dan memohon pertolongan, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud (terjemahan): “Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.” (Al-Fatihah: 5)
Jadi tawakal adalah memohon pertolongan dan inabah  adalah ibadah.        
Perintah kepada Rasulullah s.a.w. agar bertawakal, juga merupakan perintah bagi seluruh umatnya. Allah juga memerintahkan orang-orang Mukmin secara umum agar bertawakal, dengan perkataan para rasul terdahulu, seperti firman Allah tentang sanggahan para rasul terhadap kaum mereka yang bermaksud (terjemahan):
“Rasul-rasul mereka berkata kepada mereka, ‘Kami tidak lain hanyalah manusia seperti kamu, tetapi Allah memberi kurnia kepada sesiapa yang Dia kehendaki antara hamba-hamba-Nya. Dan tidak patut bagi kami mendatangkan suatu bukti kepada kamu melainkan dengan izin Allah. Dan hanya kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang Mukmin bertawakal.”   (Ibrahim: 11)
Perintah tawakal juga datang melalui perkataan dua orang dari sahabat Musa, yang  menyuruh kaumnya agar memasuki tanah suci (Palestin) dan tidak perlu takut terhadap para pemimpin yang zalim di sana. Firman Allah  surah Al-Maidah ayat 23 yang bermaksud (terjemahan):
“Berkatalah dua orang di antara orang-orang yang takut (kepada Allah), yang Allah telah memberi nikmat kepada keduanya. ‘Serbuhlah mereka dengan melalui pintu gerbang (kota) itu, maka bila kamu memasukinya, nescaya kamu akan menang. Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakal, jika kamu benar-benar orang yang beriman.”
Al-Imam Ahmad berkata, “Tawakal adalah amalan hati. Maknanya, tawakal merupakan amalan hati yang tidak  boleh  diucapkan dengan lisan, juga bukan  amalan jawarih,  juga bukan temasuk masalah ilmu dan pengetahuan.
Sebahagian orang ada yang mentafsikannya dengan semangat dan kedamaian gerakan hati, dengan berkata, “Tawakal adalah kepasrahan hati di tangan Rabb, sebagaimana kepasrahan mayat di rangan orang yang memandikannya, dibolak-balik menurut kehendak nya. Tawakal juga bererti meninggalkan pilihan dan berjalan bersama kehendak takdir.”
               Orang lain mentafsirkannya dengan keyakinan terhadap Allah, ketenteraman dan kedamaian berada di hadapan-Nya. Ada pula yang mengatakan, tawakal adalah menghilang kan keragua-raguan dan berserah diri kepada Penguasa segala penguasa.

               Hakikat tawakal menurut Al-Ghazaly, termasuk masalah iman. Sedangkan semua masalah iman tidak boleh tersusun kecuali dengan ilmu, keadaan dan amal. Tawakal juga boleh tersusun dari ilmu yang merupakan dasar, dan amal yang merupakan buah dan keadaan yang merupakan kehendak atas nama tawakal.

No comments:

Post a Comment