Tuesday, April 22, 2014

AMANAT KEKHALIFAHAN MEMAKMURKAN ALAM KEHIDUPAN

 (Disiarkan 19 April 2014)
Amanat ialah segala hak yang dipertanggung jawabkan kepada seseorang, baik hak-hak itu milik Allah haqqullah maupun hak hamba (haqqul adami), baik merupakan pekerjaan mahupun perkataan dan kepercayaan hati.
Amanat itu melengkapi segala yang dipertaruhkan kepada kita, yakni amanat  harus kita pelihara, kita laksanakan serta kita layani, baik  berupa harta, kehormatan, mahupun berupa sesuatu hak yang lain. Bahkan amanat melengkapi undang-undang yang Tuhan telah pertaruhkan dalam tangan kita dengan maksud supaya kita menjaganya dan menyampaikan nya kepada manusia umumnya.
Manusia sebagai khalifah Allah di dunia diamanatkan untuk memakmurkan alam kehidupan. Makhluk manusia diberi tanggungjawab tersebut atas dasar manusia mempunyai ilmu serta kemahiran berfikir sebagai alat dalam menyeleggarakan amanat tersebut. Oleh yang demikian manusia wajar terlebih dahulu melengkapkan dirinya dengan ilmu pengeta- huan sama ada ilmu keduniaan mahupun ilmu keakhiratan atau ilmu kejasmaniaan dan kerohanian.
Firman Allah dalam Al-Quran surah Al-Ahzab, ayat 72 yang bermaksud (terjemahan): “Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuwatir akan mengkhianantinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia.”
Makhluk-makhluk langit, bumi, gunung yang telah dijadikan Allah di alam ini, iaitu makhluk yang besar pada bentuknya dan besar pula kekuatannya – jika dibandingkan dengan manusia. Meskipun besar, namun makhluk-makhluk tersebut itu tidak  mempunyai pesediaan untuk menanggung bebanan yang berupa perintah dan tegahan daripada Allah, bahkan tidak ada persediaan untuk memperhatikan mengenai urusan agama dan dunia.
Sebaliknya pula bangsa manusia sebagai makhluk yang bentuknya lebih kecil dan tenaganya terlalu lemah, namun demikian telah dijadikan oleh Allah ada mempunyai persediaan untuk menanggung bebanan yang berupa perintah dan tegahan daripada Allah, bahkan tidak ada persediaan untuk menerima bebanan yang berat-berat berupa tanggungjawab yang dinamakan dengan “amanat”.
Ilmu dunia adalah untuk memakmurkan alam kehidupan yang ada semasa hidup  di alam dunia. Segala makhluk yang Allah wujudkan di alam dunia menjadi tanggungjawab manusia untuk memakmurkan kehidupannya di samping menggunakan atau memanfaatakan nya terutama sekali makhluk yang tidak hidup seperti segala  jenis logam, tanah, batu. Pasir, Air, udara, cahaya matahari dan sebagainya.
Hidup ini merupakan satu perjuangan dan perjuangan itu adalah satu pengorbanan maka itu kita hendak hidup harus berkorban dengan menggunakan tenaga, ilmu dan kemahiran berfikir. Berani berjuang wajar berkorban demi kemanfaatan hidup. Kalau ta’ mahu berkorban ta’ payah berjuang dan jika ta’ mahu berjuang berhenti hidup!
Amanat dalam pandangan Islam ialah segala sesuatu yang dipertaruhkan kepada seseorang menjadi kepercayaan berupa perintah dan tegahan mengenai urusan agama dan dunia. Islam mewajibkan kaum muslimin agar berlaku jujur dan dapat dipercahaya. Mengerti kewajibannya dengan jelas dan bertanggungjawab kepada Tuhannya.
Amanat ialah bebanan dalam segi keagamaan seperti sembahyang, puasa, zakat, haji, bercakap benar, menjelaskan hutang, menyukat dan menimbang dengan cukup, bahkan anggota badan dan kehormatannya hendaklah digunakan sesuai dengan maksud ia dijadikan dan lain-lain perkara lagi.
Maka dia dinamakan “amanat” kerana dia merupakan kewajipan-kewajipan yang ditetapkan oleh Allah kepada orang-orang mukallaf sebagai suatu amanat yang mesti dipikul
dengan patuh dan taat. Allah berfirman dalam surah Az-Zaariyat ayat (51) 56 yang bermaksud (terjemahan): “Tidak  Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya menyembah kepada Ku”
               Allah menjelaskan, bahawa tujuan-Nya menjadikan makhluk dari bangsa jin dan manusia adalah memberi tugas kepada mereka supaya menyembah Allah dengan mengabdi kan diri kepada-Nya dan mengesakan-Nya, bukan supaya mereka mencari kepentingan hidup di dunia dan bertungkus-lumus untuknya.
               Dalam Surah Al-Asr’ ayat 1 – 2 yang bermaksud: “Demi masa manusia sentiasa dalam kerugian.” Masa bergerak tidak menungguh  sesiapa pun. Manusia sentiasa tidak dapat memanfaatkan masa sebaik mungkin, yang bergerak pantas. Ada orang yang beranggapan bahawa masa itu masih banyak; tetapi  tahukah anda setiap saat dalam hidup ini denjutan jantung sentiasa memberi tahu bahawa umur manusia sentiasa berkurangan.
Setiap hari perjalanan hidup menjadi pendek menghampiri liang lahad. Bagaimana pula dengan bekalan kita di akhirat nanti? Manusia sentiasa lupa dan tidak memahami mengenai kewujudannya di dunia ini. Kita memakmurkan kehidupan kita dengan menghiasi                                                     nya dengan amal ibadah kerana Allah di samping melaksanakan tugas memakmurkan kehidupan makhluk lain di alam ini.
Hidup manusia dilengkapi oleh Allah dengan berbagai nikmat hidup. Segala nikmat berkenaan membuatkan hidup ini selesa dan menggembirakan. Oleh itu manusia tentu bersedia untuk menunaikan janji kepada Allah. Satu nikmat yang paling unggul dan membahagiakan ialah nikmat hidup. Maka itu kalau kita menerima nikmat hidup  kita wajar berjanji kepada Allah  untuk melaksanakan tanggungjawab  tujuan Allah wujudkan kita.
Setia kepada janji merupakan bahagian dari pada iman. Satunya kata dengan perbuatan. Menyempurnakan janji ialah salah satu sendi hidup bersosial. Islam menuntut sekeras-kerasnya kepada sekalian mukmin supaya sentiasa  tetap berperangai dengan menyem purnakan janji. Jika berjanji wajib menepatinya. Itulah ajaran Islam dan itulah peribadi muslim, sehingga dikenal dilingkungannya, setiap perkataannya merupakan perjanjian yang kuat, tidak dikhawatirkan akan menyalahi dan mengingkarinnya.
Akhlak yang mulia merupakan buah keimanan dan punca akhlak itu ialah amanah dan menepati janji. Siapa yang telah hilang sifat amanah dan tidak menepati janji, yang demikian itu merupakan suatu tanda merosotnya iman dan jauh dirinya dari ketakwaan kepada Allah. Akhlak yang buruk itu bertentangan dengan keimanan dan tidak akan dapat bertemu antara keimanan dengan akhlak yang keji. (Al-Hadis)
Manusia adalah makhluk berbudaya menyukai kebersamaan dan persaudaraan. Kasih sayang Allah s.w.t. menjadikan mereka sebagai saudara yang saling mencintai, tolong menolong, saling berhubungan dan berbalas kasihan. Manusia mempunyai keperluan hidup yang serupa di mana sahaja belahan bumi Allah ini mereka berada.
Semua umat manusia pemegang saham (rahmat) Allah dalam hidupnya. Setiap manusia di alam kehidupan di seluruh pelusuk dunia atau alam sejagat adalah pemegang saham tersebut. Rahmat tersebut ialah udara, cahaya mata hari, air, bumi dengan segala jenis logamnya, kayu kayan dan sebagainya. Rahmat Allah tersebut diperlukan oleh segenap lapisan masyarakat tidak kira masyarakat mukmin ataupun yang kafir. Oleh sebab setiap manusia di muka bumi ini memerlukan rahmat Allah tersebut maka adalah wajar menghidupkan persaudaraan sejagat.
               Udara adalah sesuatu keperluan hidup dalam kelangsungan hidup manusia dan juga berbagai haiwan serta makhluk Allah yang lain yang ada di alam ini. Maka itu semestinya ia bersifat bersih dengan segala keperluan lainnya yang ada dalam udara seperti oksijen, karbondioksida, hyadrogen serta gas-gas yang lainnya. Manusia menangani pembangunan memerlukan rahmat Allah tersebut.
               Fenomena alam sedemikian rupa yang dibekalkan Allah kepada makhluk manusia
mahupun segala kehidupan (haiwan) yang lain mendidik kita manusia yang berakal fikiran bahawa Allah mewujudkan persaudaraan sejagat. Mengkafirkan diri terhadap rahmat Allah tersebut merupakan makhluk yang bertopengkan manusia tetapi berjiwa kehaiwanan.
               Haiwan tidak punya kemahiran berfikir seperti manusia. Ia bergerak mencari makanan kerana perutnya memaksa berbuat demikian secara naluri semula jadi atau instinct. Manusia boleh berfikir apa yang baik dan apa yang tidak baik bagi dirinya tetapi mengapa tidak menggunakan kemahiran berfikir itu mengenai nikmat Allah s.w.t. serta merasa syukur terhadapnya.
               Antara kita sesama manusia tidak ada yang dibanggakan sebenar. Semuanya berasal dari keturunan yang sama iaitu masyarakat Bani Adam. Kita lahir ke dunia semua melalui dua lobang yang hina, iaitu loban kencing seorang bapa semasa kita dalam bentuk air mani yang terpancar ke dalam rahim seorang ibu semasa  berlaku hubungan kelamin lalu bercantum dengan air mani di ibu maka jadilah segumpal darah.
               Segumpal darah tersebut kemudian menjadi janin. Janin itu dibekalkan dengan  tulang kemudian dibungkus degan kulit lalu menjadi lembaga. Lembaga itu, oleh Allah dihembukan roh-Nya setelah usianya 120 hari atau empat bulan dalam rahim ibu lalu menjadi manusia yang berperasaan. Setelah membesar dalam rahim ibu hingga usianya sembilan bulan sepuluh hari maka ia dilahirkan ke dunia melalui lobang kedua iaitu lobang kencing si ibu.
               Lahirnya kita di dunia wajar bersedia melaksanakan amanat yang Allah sediakan untuk hamba-Nya. Melaksanakan amanat tersebut kita kena lengkapkan diri dengan ilmu terlebih dahulu kerana ilmulah membetulkan ufuk pemikiran manusia ke jalan yang diredhai Allah. Allah sukakan hambaNya  hidup berilmu kerana manusia berilmu jauh lebih baik berbanding dengan orang yang tidak berilmu. Orang berilmu kiblat pemikirannya memberi keutamaan kepada pembangunan akhirat kerana dengan sendirinya pembangunan dunia akan turut sama terbela, seperti yang ditamsilkan kepada falsafah hidup: “Tanam padi rumput turut tumbuh sama tetapi tanam rumput padi tidak ikut tumbuh.”
               Islam agama ilmu dan agama akal. Kerana itu sebelum Islam membebankan pengikutnya-pengikutnya supaya menghasilkan maksud-maksud keduniaan, lebih dahulu Islam mewajibkan kepada pengikut-pengikutnya menjadi orang yang berilmu, berakal, sehat, faham, cemerlang pemikirannya, elok penglihatannya, berpandangan luas, dapat mendalami segala urusan sebelum mengerjakannya, dapat membanding sesuatu dengan berbagai perbandingan, agar perbuatannya bersesuaian dengan kebenaran, keadilan, kemaslahatan dan kewajiban.
               Ayat Al-Quran yang pertama kali turun, ternyata bahawa Allah memberikan perhatianNya kepada qalam dan tulis-menulis dan baca-membaca kepada ilmu dan mempelajarinya. Di samping itu banyak sekali dalam al-Qur’an perintah-perintah dikira sebagai dasar yang asasi untuk membangun iman yang kuat. Inilah  yang membuka hati terhadap kebudayaan moden yang baik, sehingga memudahkan bagi penemuan –penemuan besar tentang rahsia-rahsia alam, dan menaklukkan manusia pada sesuatu yang belum pernah memimpikannya.
               Islam menganggap, bahawa agama tidak akan mendapat  tempat yang baik, apabila orang-orang  Islam tidak mempunyai pengetahuan yang matang dan fikiran yang sihat. Oleh kerana itu pengetahuan bagi Islam bagikan ruh (nyawa) bagi manusia.
               Ini terkandung dalam Al-Qur’an mencakup semua ruang lingkup kehidupan manusia, sebagaimana firman Allah surah Ibrahim ayat 52 yang bermaksud (terjemahan):
               “(Al-Qur’an) ini adalah penjelasan yang cukup bagi manusia, dan supaya mereka diberi peringatan dengan dia, dan supaya mereka mengetahui bahawasanya Dia adalah Tuhan Yang Maha Esa dan agar orang-orang yang berakal mengambil pelajaran”.
               Allah menurunkan wahyu yang pertama kepada Nabi Muhammad s.a.w. merupakan pemberitahuan dan seruan yang pertama dari Allah, yang juga menyatakan perang terhadap kebodohan dan menetapkan membaca serta belajar merupakan landasan pertama dalam pembangunan tiap-tiap orang besar. Yang memperkuatkan pendapat ini adalah Allah sendiri
telah bersumpah dengan qalam dan meninggikan peranannya, sebagaimana firman Allah dalam surahAl-Qalam ayat 1 yang bermaksud: “Nun, demi qalam dan apa yang mereka tulis.”

               Allah bersumpah dengan qalam, iaitu alat tulis yang dipakai oleh manusia, untuk menuliskan ilmu dan pengetahuan, kerana qalam atau pena  itulah saudara kandung kepada lidah, yang mempunyai peranan besar, sama-sama dapat mentakbirkan dan melahirkan bayang hati. Dan qalam itu merupakan nikmat yang terbesar dari Tuhan kepada hamba-Nya. Bermakna, Allah bersumpah dengan qalam yang dipakai untuk menulis kejadian alam di dalam Lohmahfuz dan juga perkara-perkara yang baik dan berguna yang telah ditulis oleh para malaikat.

No comments:

Post a Comment