Wednesday, April 16, 2014

KEWAJIPAN SEBAGAI HAMBA ALLAH

 (Disiarkan pada 12. 4. 2014)
Setiap yang hidup itu mempunyai kewajipan tersendiri. Kewajipan utama bagi semua makhluk Allah ialah memenuhi keperluan perutnya tetapi kewajipan seorang hamba Allah adalah jauh lebih luas daripada makhluk-makhluk yang lain. Ini disebabkan manusia dicipta  Allah dalam dua unsur iaitu unsur jasmani dan unsur rohani. Maka itu kita mempuyai tanggungjawab terhadap penciptanya.
               Allah berfirman dalam al-Quran surah Az-Zaariyat (51)56 yang bermaksud (terjemahan): “Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya menyembah kepada Ku”
               Allah menjelaskan, bahawa tujuan-Nya menjadikan makhluk dari bangsa jin dan manusia tidak ada maksud yang lain, kecuali untuk memberi tugas kepada mereka supaya menyembah Allah dengan mengabdikan diri kepada-Nya dan mengesakan-Nya – bukan supaya mereka mencari kepentingan hidup di dunia dan bertungkus-lumus untuknya. Kerana mereka tidak memiliki manfaat atau muderat bagi diri mereka, bahkan tunduk kepada qadak-Nya.
               Jika seorang telah mengakui beriman kepada Tuhan, tidaklah dia akan mahu jika hidupnya di dunia ini kosong sahaja. Dia tidak boleh menganggur. Selama nyawa dikandung badan, manusia harus ingat bahawa tempohnya tidak boleh kosong dari pengabdian. Seluruh hidup hendaklah dijadikan ibadat.
               Menurut riwayat dari Ali bin Abu Thalhah, yang diterimanya dari Ibnu Abbas, erti untuk beribadat, ialah mengakui diri adalah hamba dari Allah, tunduk menurut kemahuan      Allah, baik secara sukarela atau secara terpaks, namun kehendak Allah berlaku juga. Mau tidak mau jika datang ajal mesti mati. Ada manusia yang hendak melakukan di dalam hidup ini menurut kemahuannya, namun yang berlaku ialah kemahuan Allah jua.
               Oleh sebab itu ayat ini memberi ingat kepada manusia bahawa sedar atau tidak dia mematuhi kehendak Tuhan. Maka jalan yang lebih baik bagi manusia ialah menginsafi kegunaan hidupnya, sehingga dia pun tidak  merasa keberatan lagi mengerjakan berbagai ibadat kepada Tuhan.
               Sejak  mulai lahir dari perut ibu sampai kepada masa habis tempuh di dunia ini dan kita menutup mata, tidaklah dapat dihitung dan dinilai betapa besar nikmat dan kurnia Allah kepada kita. Maka timbullah pertanyaan, apakah  tidak patut kita berterima kasih kepadaNya atas seluruh kurnia itu?
               Di situlah Tuhan menjuruskan hidup kita, memberi kita pengarahan. Allah mencipta kan kita, jin dan manusia tidak untuk yang lain hanya untuk  satu macam tugas sahaja, iaitu mengabdi, beribadat. Beribadat iaitu mengakui bahawa kita ini hambaNya, tunduk kepada kemahuanNya.
               Ibadat itu dimulai dengan IMAN, iaitu  percaya bahawa ada Tuhan yang menjamin kita. Percaya akan adanya Allah ini sahaja, sudah jadi  dasar pertama dari hidup itu sendiri. Maka IMAN yang telah tumbuh itu, wajib dibuktikan dengan amal yang salih, iaitu perbuatan yang baik. IMAN dan AMAL SALIH  inilah pokok ibadat. Bila kita telah mengaku beriman kepada Allah, nescaya kita pun percaya kepada RasulNya. Maka pesan Allah yang disampai kan oleh Rasul itu kita perhatikan. PerintahNya kita kerjakan, laranganNya kita hentikan.         Maka dapatlah kita jadikan seluruh hidup kita ini ibadat kepada Allah. Sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, berzakat kepada fakir miskin, adalah bahagian kecil, sebagai pematri dari seluruh ibadat yang umum itu. Semuanya itu kita kerjakan, kerana kita IMAN kepadaNya, dan kita pun beramal yang salih, untuk faedah sesama kita manusia. Kalau tidak ini yang kita kerjakan, tidaklah ada ertinya hidup kita yang terbatas di dalam dunia ini.
               Allah telah memberikan tuntunan hidup bagi kita berupa agama Islam, sebagai pedoman yang sempurna, kerana di dalamnya terkandung hukum dan ketentuan-ketentuan yang bertalian dengan  urusan dunia dan akhirat. Difinasi tentang agama iaitu “Agama ialah tuntunan illahi untuk segenap orang yang berotak waras untuk mencapai kesejahteraan dunia dan akhirat.”    
               Pengertian difinisi atau takrifan tentang agama ialah Islam adalah agama hidup dan kehidupan; oleh sebab itu Islam mengatur tata-hidup manusia, baik  dalam hubungan dengan sesamanya, mahupun hubungan manusia dengan Maha Penciptanya. 
               Kita menyedari perlunya hubungan sesama hamba Allah dalam melaksanakan tugas-tugas, lantaran kita tidak boleh melepaskan diri dari masyarakat, bahkan saling memerlukan satu sama lain.
               Hal ini kita sedari pula kerana keterbatasan kemampuan manusia, meskipun Allah telah memberikan anugerah akal-fikiran yang merupakan kelebihan manusia atas segala makhluk. Memang dengan akal kita dapat membedakan baik dan buruk, perintah dan cegah, sehingga bagi manusialah Allah mengamanatkan Agama.
               Firman Allah dalam al-Quran Surah Al-Baqarah, ayat 132 yang bermaksud (terjemahan): “Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Ya’qub. (Ibrahim berkata): Hai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam.”
               Sebagai pertanggunganjawab, maka hendaklah kita menyerahkan hidup-mati, ibadat dan pekerjaan kita hanya kerana mengharap rida Allah semata-mata.
               Firman Allah dalam Al-Quran Surah Al-An’am, ayat 162 – 163 yang bermaksud (terjemahan): “Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadahku hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagiNya;dan demikian itulah yang diperintah kan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama menyerahkan diri (kepada Allah)”.
Dengan demikian semua amal perbuatan yang kita lakukan adalah benar-benar merupakan pancaran cahaya iman; dari sanalah terbentangnya akhlaqul karimah dan laku perbuatan terpuji amal salih.
               Kepada merekalah Allah akan memberikan kebahagian dunia dan tempat yang baik kelak di akhirat, sebagaimana firmanNya yang bermaksud (terjemahan): “orang-orang yang beriman dan beramal salih, bagi mereka kebahagiaan dan tempat kembali yang baik.” (Surah Ar-Ra’d, ayat 29). 
               Mereka yang beriman dan beramal salih itu mendapat keuntungan  yang baik dan akan mendapat tempat kembali yang bagus, ia tentulah syurga. Semua ini merupakan daya penarik dan menjadi galakan kepada setiap orang supaya mentaati Allah dan jangan derhaka dengan berbuat maksiat kepada-Nya. Memanglah seseorang  itu apabila telah memasuki syurga dia akan dapati apa sahaja yang disukainya di sana seperti yang diterangkan dalam hadis:
               Di dalam syurga itu banyak perkara yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telnga dan tidak pernah terlintas di dalam hati manusia.
               Mudah-mudahan kita sekalian dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang menjadi penghuninya, amin.
               Allah menjanjikan kepada mereka rahmat yang akan dikurniakan di dunia dan akhirat berkepanjangan – disebabkan ketaatan mereka terhadap Allah dan rasul-Nya. Dan ini adalah menjadi lawan kepada apa yang dijanjikan Allah iaitu melupakan orang-orang munafik di akhirat kelak dan melaknat mereka.
               Firman Allah dalam Al-Quran Surah At-Taubah ayat 72 yang bermaksud (terjemahan): “Allah menjanjikan kepada orang-orang Mukmin lelaki dan perempuan beberapa buah syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka berkekalan di sana serta mendapat tempat tinggal yang bagus di dalam syurga ‘Adn dan keredaan daripada Allah adalah paling  besar (nikmat-Nya), itulah dia kejayaan yang benar.”
Berbahagialah mereka yang memperolehi kenikmatan janji Allah! Kita menyedari bahawa hakikat hidup manusia adalah untuk beribadat kepada Allah, sebagaimana firman-Nya dalam Al-Qur’ Surah Alzariaat ayat 56 yang bermaksud )terjemahan): “Tidaklah Aku jadikan manusia dan jin melainkan untuk memberikan pengabdia yang luas.”
               Mengingat terbatasnya umur yang diberikan Allah kepada makhluk-Nya, maka marilah kita isi sepanjang hidup dengan akhlaq dan amal yang baik serta ibadat yang benar, sebagai membuktikan pernyataan iman terhadap Allah s.w.t.
               Antara kewajipan-kewajipan sebagai hamba Allah dalam hidup ini ialah memperguna kan waktu sebaik mungkin kerana waktu adalah milik manusia yang paling berharga. Waktu apabila telah berlalu tidak akan dapat diharapkan kembali lagi. Berbeza dengan sesuatu benda yang telah hilang, masih mungkin boleh dapat ditemukan kembali.
               Manusia yang berakal, menghadapi masa bagikan orang yang kikir menghadapi harta bendanya yang mahal. Ia tidak mensia-siakan sekejap pun terhadap sesuatu yang sedikit, apa lagi yang banyak. Ia selalu menghitungkan setiap wang yang keluar harus mendapat imbalan yang wajar. Ia juga selalu berusaha untuk menempatkan sesuatu pada tempatnya yang layak. Begitulah orang yang mempergunakan wang dan demikian pula seharusnya kita memperguna kan masa.
               Apabila kita memikirkan tentang masa maka timbul fikiran tentang usia kita. Masa berjalan tanpa henti, begitu jugalah usia kita hari demi hari, bulan berganti bulan dan seterunya tahun berganti, usia semakin meningkat tua tetap bagaimana persediaan kita untuk akhirat. Tidak seorang pun tahu tentang usia kita bila masanya ajal datang menjemput nyawa, bagikan buah kelapa; yang masih kecil pun jatuh, sederhana besar pun juga jatuh; dan yang sudah besar sampailah kepada yang tua hanya menungguh masa sahaja ia jatuh ke tanah.
               Sebagai muslim yang baik, hendaklah sedar bahawa masa itu sebagai sesuatu yang berharga kerana masa adalah umurnya. Perjalanan hidup manusia melaju dengan cepat menuju kepada Allah s.w.t. Sedang setiap kemajuan yang keluar pada suatu pagi, tidak lain merupakan satu fasa dari fasa-fasa perjalanan yang tidak berhenti sampai di sini sahaja, melainkan untuk selamanya.                                         
               Sebagai muslim yang baik wajib menyedari kenyataan ini dan berjalan sambil mengikuti tumtunan yang digariskan oleh Allah dan Rasul-Nya, sebagai bukti keimanan dan tanda bagi orang yang takwa. Firman Allah dalam Al-Qur’an surah Yunus ayat 61 yang bermaksud (terjemahan):
               “Bahawasanya pada pertukaran malam  dan siang itu, dan pada sesuatu yang diciptakan Allah di langit dan di bumi, terdapat tanda-tanda kekuasaan-Nya, bagi orang yang beriman.”
               Orang yang lalai terhadap hari esok, Islam menganggap mereka sebagai orang yang tenggelam dalam hari ini, yang mudah  tergiur oleh kesenangan dunia yang fana dan mereka sebagai orang yang bodoh dan merugikan.
               Sungguh kepergian kita ke akhirat itu cukup lama, bukan sahaja lama tetapi juga kekal, tidak kembali lagi ke dunia. Memerlukan berbagai bekal, untuk itu bekal yang paling utama ialah taqwa kepada Allah. Barang siapa yang berbekal dengannya ia selamat dapat menempuh perjalanan itu dengan aman.
               Barang siapa yang tidak berbekal dengannya, maka ia merugi. Orang yang berbahagia
adalah orang yang berbekal untuk perjalanannya dan menyiapkan persiapannya sedangkan orang yang celaka ialah orang yang terpedaya di dunia ini, tenggelam dan bergelumang  dalam syahwat dan kelezatan dunia; waktu hidupnya habis dan ia dijemput  oleh  mati, pada hal ia masih dalam kemaksiatan dan meninggalkan ketaatan. Firman Allah dalam Al-Quran surah Al-Baqarah, ayat 197 yang bermaksud (terjemahan):-
               “Berbekallah, sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah taqwa, dan bertaqwa kepada-Ku hai orang-orang yang berakal”.
               Pelayaran menuju akhirat pun perlu kepada perbekalan yang dinamakan perbekalan akhirat, iaitu berupa ketaatan, kebaktian, dan takwa  kepada Allah. Perbuatan ini adalah lebih penting dari yang lainnya.

               Perbekalan dunia hanya boleh menyampaikan kepada kepuasan nafsu dan kehendak syahwat belaka, sedang perbekalan akhirat akan menyampaikan kepada kenikmatan yang kekal dan kelezatan yang abadi di akhirat. Allah telah memberi ingat kepada orang-orang yang berakal yang tahu akan hakikat sesuatu perkara. Hendaklah takut kepada seksa-Nya.

No comments:

Post a Comment