Saturday, July 19, 2014

KEKASIH ALLAH MURNIKAN IBADAH

 (Disiarkan pada 19. 7. 2014)
Allah Subhanahu wa Ta’ala mencipta  manusia dalam keadaan yang amat sempurna berbanding makhluk-makhluk ciptaan-Nya yang lain. Manusia dicipta-Nya dalam dua unsur iaitu jasmani yang asalnya dari tanah dan roh yang besifat ghaib yang asalnya dari Allah sendiri. Manusia juga dibekalkan dengan berbagai fasiliti hidup berupa fitrah seperti mempunyai hati, akal, kemahiran berfikir, nafsu membangun, serta sifat kasih sayang terhadap dirinya sendiri dan makhluk-makhluk lainnya samada di alam nyata ini mahupun di alam ghaib.
Dengan kejadian manusia sedemikian rupa maka wajar kita memahami bahawa manusialah menjadi kekasih Allah Subhanahu wa Ta’ala sehingga dia dijadikan khalifah-Nya atau diamanatkan sebagai pemakmur alam kehidupan di alam dunia ini. Tanggungjawab sebagai khalifah Allah semestinya mempunyai ilmu untuk memahami disiplin kehidupan di samping mewujudkan kefahaman tentang falsafah pembangunan makhluk alam sejagat yang ada di ala dunia ini.
Fitrah akal serta kemahiran berfikir menjadi pemangkin memahami kewujudan berbagai disiplin kehidupan termasuklah berbagai makhluk Allah sama ada yang hidup mahpun yang tidak hidup. Kedua-duanya menjadi agen pembangunan di alam nyata mahu pun di alam akhirat sebagai distinasi perjalanan hidup setiap mukmin. Kewujudan fenomena tersebut  menjadi rahsia alam yang Allah telah sediakan kepada manusia untuk diterokai dan dimanfaatkan demi mewujudkan pembangunan yang diredhai Allah Suhanahu wa Ta’ala.
Membongkar rahsia Allah yang ditaburkan di alam ini memerlukan ilmu kerana ilmu lah membina kekuatan manusia untuk menyelenggarakan tamadun kehidupan di alam sejagat ini. Ilmu itu terbahagi kepada dua kategori iaitu ilmu duniawi dan ilmu ukhrowi. Allah wujudkan satu tamsil kepada pembangunan manusia yang memberi kefahaman bahawa ilmu ukhrowi lebih diutamakan berbanding ilmu duniawi dalam kehidupan dunia.
Allah wujudkan makhluk tumbuh-tumbuhan di bumi ini bukan hanya sebagai agen pembangunan manusia semata tetapi juga mempunyai ilmu yang tersirat di sebalik kewujudannya. “Kalau kita tanam padi rumput tumbuh sama, tetapi jika kita tanam rumput padi tidak ikut tumbuh”. Tamsil ini memberi kefahaman dalam hidup bahawa jika pemberatan ibadat menuntut ilmu itu mengenai ilmu ukhrowi maka dengan sendirinya ilmu duniawi akan turut sama terbelah. Tetapi jika ibadat menuntut ilmu itu pemberatannya kepada ilmu duniawi semata, maka ilmu akhirat tidak ikut terbela.
Maka itu Ilmu tauhid wajar dijelmakan terlebih dahulu semasa muda mu atau semasa menuntut ilmu. Ilmu tauhid membicarakan mengenai sifat-sifat keEsaan atau  ketunggalan Allah. Mentauhidkan membawa maksud menjadikan keEsaan Allah itu sebagai satu keyakinan. Seorang muslim mestilah mentauhidkan Allah dalam apa jua keadaan. Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Manusia dijadikan Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan satu tujuan iatu beribadat kepada-Nya dan ibadat yang dimaksudkan ialah mentauhidkan Allah.
Manusia semasa dalam usia remaja, mempunyai kebolehan di luar jangkaan dan fitrah kemahiran berfikir boleh menemukan kebenaran satu-satu faktor kehidupan. Kefahaman seorang insan terhadap adanya kekuasaan Allah akan terjelma apabila ia dapat melihat dengan mata hatinya keadaan alam semulajadi.
Melihat cakerewala kewujudan alam itu sendiri membawa kita ke satu dimensi pemikiran bahawa setiap sesuatu fenomena kehidupan akan melahirkan satu inspirasi bahawa tidak ada kewujudan sesuatu itu tanpa sebab dan semestinya ada yang mewujudkannya, iaitu Allah Suhanahu wa Ta’ala sendiri.
Rahmat atau kasih sayang  Allah terhadap hamba-Nya tidak terkira banyaknya. Allah
menamakan dirinya Al-Rahman dan Al-Rahim, ertinya Yang Maha Pengasih dan Yang Maha
Penyayang. Tuhan adalah zat yang penuh dengan kasih dan sayang terhadap makhluk-Nya.
Segala yang dapat dilihat dengan mata kepala kita dan didengar  tanpa kecualinya
adalah rahmat Allah. Bumi dengan segala isinya, matahari dengan cahayanya yang memancar dan berpindah, bulan dengan sinarnya yang lunak, bintang dengan sinarnya yang berkedip-kedip, semua itu adalah rahmat atau kasih sayang Allah. Itulah rahmat Allah yang kelihatan
               Ada rahmat Allah yang ta’ dapat kita lihat, tetapi dapat kita rasakan. Perasaan enak dan nyaman ketika kita makan dan minum, perasaan enak dan nyaman ketika kita melihat pandangan yang indah adalah rahmat Allah jauh lebih tinggi dari benda kelihatan. Apalagi rahmat Tuhan yang berupakan cinta kasih sayang terhadap anak isteri dan keluarga kita atau terhadap manusia umumnya, adalah rahmat Tuhan yang jauh lebih tinggi lagi dari rahmat pertama dan kedua tadi. Cobalah bayangkan apa rasanya dan apa ertinya hidup kalau tidak ada rasa cinta dan kasih terhadap anak dan isteri, terhadap manusia dan keluarga.
               Fiman Allah Surah Al-Ruum ayat 21 yang bermaksud:
               “Sebahagian diri anda (rahmat) Allah, bahawa Allah telah menjadikan bagimu isteri agar kamu dapat bersenang-senang dengan mereka dan Allah timbulkan antara kamu dan isteri kamu itu rasa cinta dan kasih sayang. Dan dalam hal ini terdapat tanda kekuasaan Allah bagi orang yang dapat berfikir.”
               Manusia yang hidup ini diadakan pasangan untuknya yang terdiri dari bangsa manusia itu sendiri – sama ada pasangan itu isteri untuk orang lelaki mahupun suami untuk orang perempuan. Gunanya supaya manusia itu terus dapat hidup dalam suasana yang tenang dan mesra dengan pasangannya itu dan tidak akan merasa kesunyian.
               Pasangan suami insteri yang telah dijodohkan itu agar terus dapat hidup bersama lalu dikurniakan perasaan cinta dan kasih sayang antara satu sama lain sebagai rahmat sehingga rumahtangga mereka berkekelan dan dalam hidup yang teratur.
               Rahmat Allah yang berupakan malam dan siang, adalah satu rahmat yang maha besar dan penting kerana tanpanya makluk yang hidup di alam nyata tidak mampu hidup. Sama ada siang yang berkekalan atau malam kedua-duanya makhluk yang hidup susah nak hidup. Apabila siang berkekalan segala kehidupan termasuklah tumbuh-tumbuhan akan mati dan hangus. Begitu jugalah apabila malam itu berterusan, segalanya akan menjadi beku.
               Firman Allah Surah Al-Qashash ayat 73 yang ertinya:
               “Dan sebahagian dari rahmat Allah, ialah bahawa Allah telah menjadikan siang dan malam untuk kamu, agar kamu dapat berehat melepaskan lelah dan supaya kamu dapat mencari kerunia Allah. Dan mudah-mudahan kamu bersyukur kepada Allah.”
               Makhluk manusia sebagai kekasih Allah dengan segala rahmatnya wajar berterima kasih yang tidak terhingga. Maka untuk itu wajar diimbali dengan ibadah secara istiqmah kepada Zat yang Maha Berkuasa itu. Memakmurkan alam kehidupan menjadi amanat  yang dipertanggungjawakan kepada manusia.
               Menjauhi segala larangan-Nya dan melaksanakan segala perintah-Nya menjadi agenda utama dalam hidup bertamadun. Memelihara ukhuwah kemanusian demi melahirkan perasaan kasih sayang antara sesama yang menjadi teras untuk mewujudkan solidariti sosial wajar menjadi misi dalam hidup bertauhid.
               Sebagai kekasih Allah kita kena memikirkan segala ciptaan Allah sama ada yang besar seperti kejadian siang dan malam atau memikirkan hal-hal yang kecil seperti bagaimana dan apa gerangan yang akan terjadi kalau Tuhan tidak ciptakan kuda, unta, kucing, ulat, burung dan lain-lain; pasti kita menjadi orang yang beriman, menjadi orang yang salih, menjadi orang yang taat dan patuh menjalankan perintah Allah.
               Tetapi sebaliknya bila tak mahu sekali-kali memikirkan hal itu dan hanya memikirkan manisnya gula, enaknya makanan dan bagusnya auto, saban hari kita memikirkan duit dan pangkat, ola raga dan jabatan sahaja, maka kita akhirnya akan jatuh ke dalam cengkeraman hidup kebendaaan. Mata, telinga dan hati  kita semuanya hanya dikerahkan dan ditujukan kepada benda saja, berperigian ke sana-sini hanya untuk benda, bersusah payah dan membanting tenaga hanya untuk mendapatkan benda, ertinya kita sudah menjadi budak
benda.
               Alangkah jatuh dan merosotnya kedudukan kita sebagai manusia bila sudah diper- budakkan oleh benda. Sebab itu, hindarkanlah diri kita masing-masing dari perbudakan yang hina ini. Segala yang ada ini, iaitu segala yang kita lihat, segala yang kita dengar, segala yang dapat kita rasakan, semuanya penuh dengan kasih sayang atau rahmat Allah. Semuanya berupakan rahmat Allah.
               Semua bahagian dari batang tubuh manusia merupakan rahmat dan kasih sayang Allah. Tiap helai dari rambut dan alis mata kita, tiap helai bulu yang tumbuh di sekujur badan kita, merupakan rahmat Allah yang tidak ternilai harganya bagi kepentingan kehidupan kita. Tiap helai dari bulu dan rambut kita memberikan perlindungan yang besar sekali ertinya bagi badan kita.
               Kalau tiap helai bulu memberikan rahmat besar demikian itu, bagaimanakah besar dan tinggi nilai rahmat Tuhan yang berupakan mata dan telinga, kaki dan tangan, jantung dan paru, daging dan darah, tulang dan urat, kuku dan gigi dan lain-lain anggota badan kita.
               Batang tubuh kita, berupakan sumber rahmat dan kasih sayang Allah yang tak kering-kering dan tak putus-putusnya terhadap diri dan kehidupan kita di dunia ini, apalagi alam semesta yang maha luas ini. Kalau batang tubuh kita yang begini kecil, demikian besar rahmat Allah yang dihasilkan, cobalah fikirkan dan renungkan bagaimana besar dan hebatnya rahmat Allah yang disalurkan Allah kepada kita dengan perantaraan bumi dan bintang, dengan perantaraan hawa, udara dan cahaya.
               Perhatikan Firman Allah, Surah Al-A’raaf ayat 156 yang bermaksud:
               “Allah berfirman: Azabku Aku kenakan kepada orang yang aku kehendaki, tetapi (dan) tahmat-Ku meliputi tiap sesuatu”.
               Allah mengatakan kepada Nabi Musa: “Ada kalanya rahmat-Ku yang berupa kemur- kaan Kutimpakan khusus kepada orang-orang yang derhaka dan berbuat maksiat, sedang rahmat-Ku pula Aku kurniakan secara umum meliputi seluruh makhluk di merata alam. Bermakna seksa yang Ku-turunkan itu adalah daripada perbuatan-Ku yang menunjuk keadilan-Ku. Seandainya rahmat-Ku yang secara umum itu tidak ada dan tidak Aku kurniakan kepada setiap makhluk, nescaya musnahlah sudah setiap orang yang kafir dan yang derhaka sebaik-baik mereka itu melakukan dosa.”
               Firman Allah Surah Al-An’aam ayat 12 yang bererti:
               “Tanyakan kepada manusia hai Muhammad, kepunyaan siapakah langit dan bumi dengan segala isinya ini? Dan jawablah: semuanya itu adalah kepunyaan Allah, Allah telah mewajibkan dirinya memberi rahmat.”
               Ayat ini mengandungi pertanyaan dan jawapan, yang maksudnya Allah menyuruh rasul-Nya supaya menyatakan kepada orang-orang yang menyamakan Allah dengan yang lain dalam ibadatnya dan yang mendustakan-Nya, itu tanyakanlah: “Siapakah yang punya apa-apa yang di langit dan di bumi?” Kalau mereka tidak boleh menjawabnya, engkau menjawabnya. Katakan bahawa yang punya ialah Allah. Dialah yang berkuasa atas segala sesuatu. Dialah yang memiliki dan dialah yang memperhambakan segala sesuatu, bukannya berhala yang kamu sembah, dan bukannya patung yang kamu puja, bahkan semuanya itu adalah benda-benda mati yang tidak ada memiliki sesuatu, tidak dapat memberi manfaat dan tidak pula mendatangkan muderat. Suruhan supaya membuat pertanyaan kemudian jawapannya pula, menandakan betapa kuatnya ayat ini dalam memberi hujah.
               Setelah Allah menerangkan kesempurnaan kudrat-Nya terhadap sekalian makhluk-Nya, maka diiringi pula dengan menerangkan kesempurnaan rahmat-Nya dan belas kasihan-Nya terhadap makhluk. Allah mengingatkan kepada orang-orang yang berpaling daripada-Nya hendaknya mereka itu berbaliklah semula kepada-Nya. Tiadalah Allah itu terburu-buru
untuk menyeksa, bahkan bersedia memberi pengampunan kepada sesiapa yang telah
bertaubat.
               Ya, rahmat Allah meliputi segala sesuatu, dan Allah mewajibkan dirinya memberi rahmat. Ertinya semua rahmat Allah yang begitu hebat dan banyak, semuanya diberikan Allah kepada kita dengan tidak  kita minta atau tuntut, kerana Allah sudah mewajibkan dirinya untuk memberi rahmat
               Kita lahir di dunia bukan kerana tuntutan kita. Kita jadi lelaki atau perempuan, kita dapat tangan dan kaki, semua tidak kerana tuntutan, tetapi diberi Allah. Sekalipun tak kita minta.

               Menjadi kekasih Allah, tunjukkan kecintaan kita kepada Zat yang Maha pemberi dan Maha Bijakasana. Boktikan ibadatmu di bulan Ramadan Al-Mubarak ini. Makmurkan rumah Allah dengan semahyang fardu secara berjemaah, semerakkan masjid dengan sembahyang sunat Tarawih, bertahmit, bertasbih, Qiamullail dan tadarus Al-Quran. Muliakan malam hari mu dengan sembahyang sunat Tahajud. Kejarlah malam Lailatul Qadr yang telah mengagungkan kebesaran Al-Quran.

No comments:

Post a Comment