(Disiarkan pada
5. 7. 2014)
Unsur
utama bagi persaudaraan ini ialah perasaan kasih sayang. Peringkat kasih sayang
yang paling rendah ialah bersihnya hati dari perasaan hasad dengki, kebencian,
iri hati dan punca-punca yang menyebabkan permusuhan dan pertengkaran.
Suasana permusuhan dan kebencian
sebenarnya adalah suasana yang buruk lagi busuk. Ketika itu syaitan akan
menawarkan barang dagangannya seperti prasangka buruk, mencari kesalahan orang
lain, menceritakan keaiban orang lain, mengadu domba, berdusta, mencaci dan
melaknat sehingga menyebabkan seorang saudara
sanggup membunuh antara satu sama lain. Inilah bahaya yang diingatkan
oleh Rasulullah saw. Serta dianggap Baginda sebagai sisa-sisa Jahiliyyah. SabdaRasulullah saw.
“Janganlah
kamu menjadi kafir setelahku, iaitu dengan memukul leher antara satu sama lain”
(HR Muslim bil.(1811).
Oleh sebab itu, memperbaiki hubungan
persaudaraan adalah termasuk di dalam ibadah yang paling mulia. Firman Allah swt. Surah
Al-Hujerat ayat 10 yang bermaksud:
“Sesungguhnya
orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara kerana itu berdamailah antara
kedua saudara kamu dan bertaqwalah kepada Allah semoga kamu akan mendapat
rahmatNya”.
Allah menjelaskan, bukan dikatakan
orang-orang yang beriman kalau tidak mengaku bersaudara sesama mereka,
iaitu saudara seagama yang terjalin oleh ikatan iman. Oleh itu tidak patut
orang yang mengaku dirinya “Mukmin” yakni
beriman kalau dia masih menyimpan rasa
permusuhan terhadap sesama Mukmin, atau masih bersengkita, bertelagah apalagi
berperang dan berbunuh-bunuhan.
Ayat ini juga menetapkan, bahawa ukhuwah Islamiah yakni persaudaraan di
dalam Islam itu lebih kuat hubungannya daripada persaudaraan senasab
(keturunan). Malahan persaudaraan seketurunan itu tak ada ertinya tanpa
mempunyai hubungan ukhuwah Islamiah.
Firman Allah swt Surah Al-Nisa ayat 114
yang bermaksud:
“Tidak
ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecualilah bisikan-bisikan
dari orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat ma’ruf, atau mengadakan
perdamaian di antara manusia. Dan barang siapa yang berbuat demikian kerana
mencari keredhaan Allah, maka kelak Kami memberikan kepadanya pahala yang
besar.”
Allah mencela perbuatan orang-orang yang
suka membanyakkan berbisik-bisik sesama mereka. Kerana perbuatan berbisik-bisik
itu dapat menimbulkan persangkaan yang tidak baik. Terutamanya jika isi
kata-kata yang dibisik-bisikkan itu mengandungi tujuan buruk atau pakatan
jahat. Sebenarnya berbisik-bisik itu tidak perlu sekiranya tidak merupakan
rahsia yang takut diketahui orang.
Berbisik-bisik untuk merancangkan suatu
kerjasama yang baik dan bertujuan mulia tidak pula dilarang. Bahkan
kadang-kadang perlu sesuatu kerjasama yang baik itu dirahsiakan yang hanya baik atau sesuai
diperkatakan dengan jalan berbisik-bisik sahaja supaya tidak diketahui orang,
kerana jika diketahui orang mungkin rancangan itu akan gagal di tengah jalan
atau merosakkan rancangan tersebut.
Peringkat yang lebih tinggi dari “bersih
sanuberi dari segala kedengkian dan kebencian” ialah peringkat yang digambarkan oleh sebuah Hadith
sahih yang bermaksid: “Tidak beriman
seseorang dari kamu sehinggalah ia
mengsihi saudaranya sepertimana ia mengasihi dirinya sendiri” Al-Tabaqat:
415/8 dan A’lam al-Nubala: 278-279/2
Ia juga bererti membenci segala sesuatu
yang menimpa saudaranya sepertimana ia membencinya jika menimpanya.
Jika
ia suka menikmati kemakmuran hidup, ia suka orang lain juga menikmati
kemakmuran hidup.
Jika ia suka rumah tangga yang rukun
damai ia juga suka rumah tangga orang lain rukun dan damai.
Jika
ia sukakan anaknya menjadi pandai, ia juga suka anak-anak orang lain menjadi
pandai.
Jika ia tidak sukakan seseorang
menyebutkan keburukannya di khalayak ramai, ia juga tidak suka pekara tersebut
berlaku kepada orang lain.Ia mengaggap saudara-saudaranya sepertimana dirinya
sendiri dalam semua perkara sama ada yang disukai atau dibencinya.
Peringkat yang lebih tinggi dari yang
sebelum ini ialah peringkat itsar ialah
menda- hulukan kepentingan saudaranya lebih dari kepentingannya sendiri dalam
semua perkara yang disukainya. Ia sanggup berlapar dan berdahaga semata-mata
untuk mengenyangkan saudara nya, ia sanggup berjaga malam semata-mata untuk
menidurkan saudaranya, ia sanggup mengerah tenagga semata-mata untuk merehatkan
saudaranya dan ia sanggup menadah dadanya kepada peluru semata-mata untuk menyelamatkan
saudaranya.
Al-Quran al-Karim telah memaparkan
kepada kita gambaran yang murni tentang masyarakat Islam di Medinah. Terserlah
di dalam masyarakat tersebut nilai-nilai mengutama kan orang lain dan
pengorbanan tanpa kikir dan bakhil. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud
(terjemahan):
“Dan
orang-orang yang menetap di Medina dan telah beriman sebelum kedatangan
orang-orang Muhajirin, mereka mencintai orang-orang yang berhijrah kepada
mereka. Mereka tidak menaruh keinginan apa-apa di dalam hati mereka terhadap
apa yang mereka berikan, dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin) lebih
dari diri mereka. Sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan). Dan
sesiapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang
beruntung”. (al-Hasyr: 9)
Gambaran yang lain boleh kita dapati di
dalam hadith Rasulullah s.a.w. sepertimana yang telah diriwayatkan oleh Al-Bukhari:
Pada
suatu hari Sa’ad Ibn al-Rabi’ telah
menawarkan kepada Abdul Rahman Ibn ‘Auf untuk memberikan separuh dari hartanya,
salah sebuah rumahnya dan salah seorang dari isterinya yang akan diceraikannya
sebelum diserahkannya. Kata Abdul Rahman Ibn Auf kepada Sa’ad Ibn al-Rabi’:
“Semoga Allah memberaktimu dan keluargamu, semoga Allah memberkati rumahmu dan
semoga Allah memberkati hartamu. Adapun aku adalah seorang peniaga, tunjukkan
kepadaku di mana pasar.”
Gambaran mengutamakan orang lain dan
dibalas dengan penjagaan kehormatan diri yang sangat mulia seperti ini aneh dan
amat sukar untuk kita ketemui seumpamanya di zaman ini. Kedua mereka telah
menampilkan contoh ideal ciri-ciri masyarakat Islam yang telah dibangunkan oleh
Rasulullah s.a.w. di Medinah, yang
sentiasa kita idam-idamkan
seumpamanya,
sebagai teladan yang paling tinggi untuk pembinaan masyarakat.
Islam amat prihatin agar
tersebarnya perasaan kasih sayang dan persaudaraan di kalangan umat manusia
keseluruhannya tanpa dipisahkan antara
mereka oleh perbezaan keturunan, warna kulit, bahasa mahupun iklim. Islam juga mahukannya berlaku di
kalangan pelbagai status manusia, agar tiada ruang perbelahan atau iri hati
sekalipun mereka berbeza dari segi kekayaan dan kedudukan kerana Allah telah
melebihkan antara satu sama lain di dalam kurnian rezeki.
Islam juga mahukan berlaku di antara
para pemerintah dengan yang diperintah agar tiada tempat untuk kesombongan para
pemerintah terhadap yang diperintah kerana pemerintah adalah wakil atau orang
upahan umat. Juga tiada tempat orang yang diperintah untuk membenci terhadap
pemimpin selagimana tidak melanggar hak mereka dan menunaikan kewajipannya
dengan sempurna. Di dalam sebuah Hadith ada menyebutkan:
“Sebaik-baik pemimpin kamu ialah orang-orang yang kamu mendoakan mereka
dan mereka mendoakan kamu” (Diriwayat oleh Ahmad: 271/5, 371/6, dan Abu Daud,
jil.3, bil. (2729).
Di samping itu, Islam juga
mengharamkan semua bentuk kerosakan akhlak dan kejahatan sosial yang boleh
mengakibatkan lenyapnya perasaan kasih sayang dan kemesraan antara manusia.
Oleh kerana itu, kita dapat melihat bagaimana setelah menyatakan bahawa
orang-orang yang beriman itu bersaudara, al-Quran telah menyusulinya dengan
larangan terhadap sebilangan perkara buruk yang boleh menggugat serta
meruntuhkan persaudaraan.
Antaranya ialah menghina,
mencela, memanggil dengan gelaran yang tidak menye- nangkan, mencari kesalahan
orang lain, mencari keaiban orang lain, buruk sangka, dan menceritakan
keburukan orang lain semasa ketiadaannya.
Firman Allah s.w.t. dala Al-Quran
surah Al-Hujurat ayat 11 – 12, yang bermaksud (terjemahan):
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah satu kaum mencela satu kaum
yang lain, boleh jadi mereka yang dicela itu lebih baik dari yang mencela dan
janganlah para wanita mencela para wanita lain, boleh jadi wanita-wanita itu
lebih baik dari wanita-wanita yang mencela, dan janganlah kamu mencela dirimu
sendiri, dan janganlah kamu saling memanggil dengan gelaran-gelaran yang
buruk-buruk. Seburuk-buruk panggilan itu ialah yang buruk sesudah beriman dan
barang siapa yang tidak bertaubat maka
mereka itulah orang-orang yang zalim”.
“Wahai
orang-orang yang beriman jauhilah banyak buruk sangka, sesungguhnya sebahagian
dari buruk sangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan
orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain.
Sukakah salah seorang dari kamu memakan danging saudaranya yang sudah mati.
Maka sudah tentulah kamu merasa jijik terhadapnya. Dan bertakwalah kepada
Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang”.
Allah mendidik kaum mukminin supaya
memelihara hak sesama mereka, iaitu tidak boleh sekumpulan mereka mengejek
kepada sekumpulan yang lain atau orang perseorangan. Kerana boleh jadi pihak
yang diejek itu lebih baik di sisi Allah – disebakan hatinya bersih dari
penyakit batin dari pihak yang mengejek-ejek itu.
Begitu pula dilarang kaum wanita
mengejek-ejek sesama wanita sejenisnya, kerana boleh jadi pihak yang diejek itu
lebih baik dan mulia disisi Allah dari yang mengejek. Larangan mengejek-ejek
itu bukan hanya ditujukan kepada kaum
lelaki, malahan lebih dikuatkan lagi jangan dilakukan oleh kaum wanita, kerana
yang lebih banyak berbuat demikian itu terdapat di kalangan kaum wanita.
Janganlah kamu mencaci sesama kamu
dengan menyingkapkan keburukan orang lain sedangkan diri sendiri mempunyai
keburukan yang lebih, supaya jangan dikata
seperti
peribahasa:
“Kuman disebarang laut nampak, gajah dipelupuk mata tak nampak.”
Jangan pula panggil memanggil
dengan gelaran yang buruk seperti memanggil saudaranya sesama muslim: Hai
munafik, atau kepada orang yang telah Islam: Hai Yahudi, hai Nasrani!
Allah melarang orang-orang yang
beriman, jangalah mereka membuat prasangka yang buruk yang selalu banyak dengan
tohmah dan khianat, kepada sesama manusia, apa lagi kepada keluarga dan orang
Mukmin. Berjaga-jagalah agar manusia tidak terburu nafsu membuat sangkaan buruk
tentang sesuatu kepada seseorang secara sembarangan. Kerana sebahagian dari
prasagka itu ada mengandungi dosa, menyebabkan orang yang melakukannya diseksa.
No comments:
Post a Comment