Friday, July 25, 2014

IBADAH SECARA ISTIQAMAH MELAHIRKAN PEMBANGUNAN

 (Disiar pada 26. 7. 2014)
Dalam fenomena pembangunan manusia, harus mengikuti perubahan masa yang lahir dari pergerakan bumi mengelilingi mata hari yang memancar cahaya ke permukaannya. Pergerakan bumi tersebut Allah ciptakan begitu teratur masanya sehingga kita mengalami fenomena siang dan malam.
               Pergerakan siang dan malam secara istikamah itu mendidik manusia untuk memahami serta menggunakan fenomena tersebut untuk diterjemahkan kepada disiplin pembangunan manusia. Maka itu lahirlah disiplin memanfaatkan masa beriringan dengan perubahan usia manusia hidup di alam dunia yang fana ini.                                                                                                                                
               Setiap pergerakan kehidupan itu mempunyai disiplin tersendiri dan itulah yang difahami sebagai ketakalan dalam menangani hidupnya. Pergerakan secara istikamah itu diatur oleh masa yang bergerak akibat dari disiplin putaran alam yang diwujudkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Tidak ada yang bakal bergerak tanpa kekuasaan Allah. Itulah yang dikenali sebagai sunat alam.
               Setiap ibadah atau aktiviti kehidupan harus mempunyai disiplin yang diatur sedemikian rupa bermula mengikut peringkatnya hinggalah agenda itu menjadi kenyataan. Perlaksanaan pemeringkatan itulah memerlukan disiplin istikamah. Budaya istikamah dalam pengurusan ibadah memerlukan semangat juang yang menjadi nadi kepada falsafah pembangunan kehidupan. 
               Mendidik anak murid adalah satu ibadah yang amat murni kerana anda mengisi jiwa para pelajar dengan ilmu yang akan mendewasakan mereka dalam pemikirannya. Mendidik wajar ditimang dengan perasaan kasih sayang yang berterusan atau secara istikamah untuk menjemput jiwa menggamit keseronokan belajar. Membuat perubahan pada diri sendiri atau mengilmukan diri seharusnya ada budaya istikamah kelak akan memudahkan pembelajaran itu mengambil bahagian.
               Mendidik dengan iringan kasih sayang sebenar adalah membentuk insan membina diri untuk mengenali dirinya sebagai hamba Allah kelak akan memahami tanggungjawabnya sebagai khalifah Allah Subhanahu wa Ta’ala. Hidup dengan ilmu ukhrowi lebih bermanfaat berbanding dengan ilmu duniawi semata. Mempunyai ilmu ukhorawi dengan sendirinya ilmu duniawi dapat dimanfaatkan tetapi ilmu duniawi semata, ilmu akhirt tidak ikut terbela.
               Kemahiran yang ada pada individu jika digunakan secara istiqamah maka ia menjadi mudah baginya mengendalikan sesuatu ibadah. Para pendidik mempunyai tanggungjawab yang berat untuk membantu pelajar mengenali kemahiran mereka masing-masing. Itulah yang dikenali sebagai membuat perubahan pada diri pelajar dari tahu sesuatu kepada yang lebih pantas dan mahir mengetahinya. Kepantasan mengolah pemikiran sebenar adalah ciri-ciri pembangunan yang wajar dibina dalam setiap individu.
               Budaya beristiqamah dalam segala urusan menegakkan ilmu tauhid menggamit keredaan Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana Islam adalah cara hidup dan bukan satu kebudayaan yang berpandu kepada suasana perlaksanaannya mengikut kehendak kemampuan individu. Hidup ini sentiasa dengan Allah kerana segala mekanisme perjalanan serta pergerakan berbagai organ jasmani kita adalah kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta’ala untuk menzahirkannya. Tiada yang wujud dengan sendirinya tanpa kekuasaan Zat yang Maha Pencipta, Pegasih dan Maha Bijaksana itu.
               Sesungguhnya adalah sangat bertepatan bagi setiap insan untuk mengetahui, selain dari usaha meneliti dan mengkaji bahan-bahan ilmu dalam Islam, bahawa amalan secara “Istiqamah” sangat-sangat penting dan diperlukan demi mendapatkan keredaan Allah Subhanahu wa Ta’ala.. Amalan-amalan yang berbentuk zikirullah di samping mendekati ilmu melalui ceramah agama oleh tokoh-tokoh agama amat membantu dalam mengembangkan ilmu tauihid.
               Pada suatu ketika Penulis Bicara Minda mendapat panggilan telefon dari rakan sekerja dahulu yang telah bersara lebih awal daripadanya. Beliau adalah antara pengikut Bicara Minda setiap minggu keluaran setiap hari Sabtu. Beliau tahu bahawa penulisnya adalah bekas penganut agama Krestian kemudian masuk Islam sebagai agamanya setelah separuh dari umurnya.
               Pemanggil dalam telefon ingin tahu sama ada penulis telah melanjutkan pelajaran dalam bidang agama Islam setelah bersara? Jawapan yang diberinya ialah “tidak”. Setelah memeluk agama Islam penulis sentiasa membaca buku-buku Islam dan mendengar ceramah-ceramah agama dari tokoh-tokoh agama Islam yang bertauliah secara istiqamah setiap masa apabila peluang itu ada. 
Setiap kali mengikuti ceramah, penulis sentiasa dengan buku catatannya. Sesudah itu beliau merujuk kepada dokumen  berkenaan dalam buku-buku berkenaan untuk membuat perkembangan ilmu berkenaan. Disamping itu sembahyang sunat tahajud juga sentiasa diamal kan secara istiqamah, meminta Allah terangkan jiwanya agar dimudahkan baginya untuk memahami Islam sebagai cara hidup.
Satu hikmah penulis menerima dari Zat Yang Maha Berkuasa ialah semangat “ingin tahu” itu menjadi pemangkin diri untuk terus menerokai Islam secara ilmiah. Beliau melaksanakan usaha tersebut dengan semangat “ketakalan atau consistency  atau istiqamah.
Kaset atau Compact Disk (CD) yang mengandungi ceramah-ceramah agama sentiasa menjadi teman hidup beliau di mana sahaja ia berada sama ada masa memandu kereta, dalam pejabat mahupun di rumah, masanya sentiasa dihiasi dengan ceramah agama. Ia lakukan itu secara istiqamah setiap hari di samping menggunakan ilmu yang didengarnya untuk ditarbiah kan kepada rakan-rakan seperjuangan.
Ceramah agama Kiai Haji Zainudin M.Z. melalui media kessetnya sentiasa menemani hidup penulis dalam membina disiplin pembangunan Rohani. Beliau amat bersyukur kerana dapat mengikuti ceramah berkenaan dan dapat mengecapi cara hidup sebagai Islam. Setelah ceramah  berkenaan dimainkan berulang kali saban hari, intisari ceramah diterjemah penulis  dalam hidup.
Menanamkan kecintaan kepada Allah wajar murnikan ibadah dengan budaya zikirul lah kerana dengan cara demikian sahaja jiwa dan pemikiran manusia sentiasa terpaut kepada kesucian beribadah. Istiqamah dalam segala ibadah hidupnya akan sentiasa Allah perkenankan pahala setipal dengan muamalah berkenaan.
Hidup beristiqamah dalam segala perlaksanaan ibadah, Allah akan membuka hidayah dalam diri hamba-Nya yang  tidak disangka-sangka. Sebagai contoh, sebelum menciburkan diri dalam penulisan amal-amal ibadah yang dilakukan oleh penulis secara istiqamah ialah berzikir lima jam sehari selama empat puluh  satu hari tanpa henti. Amalan demikian telah membentuk jiwa penulis ke arena penulisan. Ibadah berlandaskan kepada penulisan akan menguatkan motivasi dalaman penulis untuk menjelajahi alam kehidupan dalam ladasan akidah termasuklah juga alam akhirat.
Orang yang membudaykan hidupnya untuk menimba ilmu dan mengamalkannya serta menyebarkan ilmu berkenaan kepada masyarakat mukmin mahupun musrikin melalui berbagai media terutama sekali dalam bindang penulisan akan memperolehi keuntungan yang berganda. Kemanfaatannya ialah ia memurnikan kehidupan yang sentiasa melaksanakan ibadah scara istiqamah, di samping dapat mengukuhkan ilmu itu dalam diri apabila ia ditarbiahkan kepada orang awam.Semangat juang akan lahir dalam diri apabila penyakit jiwa yang bersifat “kebosanan” tidak dapat mempengaruhi semangat beribadah.
Dalam melaksanakan ibadah wajar meminta petunjuk dari Allah Subhanahu wa Ta’ala
demi kesempurnaan perlaksanaannya sebagai tangunggungjawab memakmurkan alam kehidupan. Allah akan sentiasa memberi hidayah melalui jalur-jalur ibadah yang berbentuk  zikirullah. Ibadah zikirullah merupakan landasan ibadah yang menzahirkan pembangunan rohani.
               Pohon-pohon kayu berzikir kepada Allah agar diberi cuaca yang baik dan dilindungi dari bencana alam seperti kemarau yang berpanjangan, api yang melanda hutan belantara, angin ribut yang kencang dan sebagainya. Pohon-pohon kayu di kawasan tadaan air sungai sentiasa bezikir kepada Allah memohon agar diturunkan hujan untuk pohon-pohon kayu berkenaan dapat menjalankan khidmatnya kepada manusia demi mengekalkan aliran air di perut bumi ke sungai kelak mengakalkan isipadu air sungai yang bermanfaat kepada berbagai makhluk lain seperti manusia, haiwan untuk di minum.
               Teguhnya iman membina khidupan yang sempurna yang diredai Allah Subhanahu wa Ta’ala berlandaskan alur-jalur ibadah zikirullah. Istiqamah dalam melaksanakan zikirullah membina insan yang kamil yang sentiasa menjauhi segala larangan-larangan Allah Subhanahu wa Ta’ala yang akan memuderatkan kesucian beragama.
               Ibadah zikirullah merupakan perisai untuk menghadang kemaraan iblis dan syaitan dengan niat untuk merosakkan dan membinasakan amal-amal ibadah manusia. Ibadah berbentuk zikirullah membentuk jiwa menangani kehidupan secara istiqamah yang Allah sentiasa perkenankan ganjaran setimpal dengan disiplin perlaksanaannya.
               Hidup berdisiplin yang dimurnikan dengan jiwa yang sentiasa mencintai Allah akan membina kekuatan semangat juang untuk merealisasikan kehidupan yang sempurna. Akhlaq manusia yang sentiasa dimurnikan  dengan ibadah zikirullah akan melahirkan “towering personality” yang dapat menyediakan agenda pembangunan tamadun kehidupan yang mantap mengikut piawayan alam sejagat.
               Istiqamah dalam perlaksanaan ibadah kerana Allah merupakan satu amal ibadah yang  sentiasa Allah galakkan kepada hamba-Nya demi mementingkan kesempurnaan hidup yang bermanfaat. Istiqamah adalah disiplin zikirullah yang mendekatkan kita kepada keredaan Allah dalam segala amal perbuatan.
               Manusia dilengkapkan oleh Allah dengan berbagai fitrah yang amat banyak sebagai kekuatan untuk menangani perjuangan demi memertabatkan kehidupan di alam dunia dan sebagai persediaan kehidupan di alam akhirat nanti. Masa remaja mempunyai berbagai kerenah hidup berupa cobaan Allah Subhanahu wa Ta’ala dan setiapnya wajar dilalui oleh individu sebagai kewajipan dalam hidup.
               Perjuangan tidak ada makna tanpa ketakalan atau istiqamah dalam melaksanakan agenda kehidupan. Perjuangan wujud dalam berbagai dimensi yang akan bertemankan manusia terutama sekali masa mudanya. Dalam hidup ini manusia menghendaki berbagai keperluan hidup dan keperluan itu tidak ada sempadannya seperti mana falsafah dalam ekonomi menggarisbawahkan bahawa “tidak ada penyudah kepada sesuatu kemahuan dalam hidup atau there is no end in wants.
               Apabila sesuatu yang dikehendaki itu telah berjaya memperolehinya ada sahaja yang lain yang diingini lagi. Oleh sebab kemahuan manusia itu sentiasa memikirkan yang baru maka adalah wajar disiplin hidup mempunyai intiqamah dalam segala jenis perjuangan demi ketamaduan hidup itu sendiri.
               Melaksanakan ibadat secara istiqamah akan memberi kepuasan kepada jiwa kelak akan mendekatkan anda kepada Tuhan yang Maha esa. Al-Quran juga diturunkan berpering-peringkat dalam masa lebih kurang 23 tahun. Kadang-kadang turun satu ayat secara bersendirian dan kadang-kadang beberapa ayat menurut keperluan yang menjadi sebab penurunan ayat itu. Penurunan seperti ini ialah untuk memberi kepuasan dan supaya dapat diterima serta menjadi hujah yang kuat kepada mereka.
               Pepatah Melayu mengatakan “alah bisa tanggal biasa”; memberi makna bahawa sesuatu kerja atau ibadah itu jika tidak dilaksanakan secara istiqamah untuk membiasakan diri akan menjadikan ia sukar dilakukan. Membiasakan diri tentang cara perlaksanaanya menjadi kan perkara yang susah  menjadi mudah. Demikianlah falsafah pembelajaran itu sepatutnya di fahami. Pelajar yang rajin mengulang kaji pelajaranya akan menemukan dirinya mudah hendak menjawab soalan-soalan yang dikeluarkan dalam peperiksaan.

               Rahsianya di sini ialah setiap amalan itu jika dilaksanakan secara istiqamah akan dimudahkan Allah urusan perlaksanaannya. Agenda yang telah kita sediakan adalah untuk dilaksanakan dan bukan dijadikan hiasan dalam mentadbir kehidupan. Anak yang belum pandai berjalan tetapi jika kita latihkan ia untuk berbuat demikian lambat laun ia akan pandai berjalan sendiri. Maka itu budayakan istiqamah dalam hidup demi menemukan kemudahan dalam menyelesaikan agenda kehidupan.

No comments:

Post a Comment