Saturday, February 7, 2015

UKHUWAH KEMANUSIAAN

 (Disirkan pada 7. 2. 2015)
Allah wujudkan makhluk manusia di bumi-Nya ini sebagai Khalifah-Nya. Walau bagaimana pun rancangan Allah tersebut ditentang oleh malaikat kerana mereka berkeyakinan  bahawa makhluk manusia akan membawa kemusnahan, kekufuran, kemaksiatan dan pertumpahan darah di dunia. Antara tujuan para Malaikat berkata demikian disebabkan mereka mempunyai cita-cita untuk menjadi khalifaah di muka bumi ini.
               Allah memberi alasan kepada tindakanNya bahawa para malaikat tidak mengetahui mengapa Allah mewujudkan manusia. Antara fakta-fakta yang Allah memilih manusia sebagai khalfah ialah manusia mempnyai ilmu yang makhluk malaikat tidak mempunyainya. Apabila Allah meminta sebutkan nama-nama benda yang ada di bumi maka para malaikat tidak tahu mengenainya dan begitu juga kepada makhluk lainnya seperti iblis, syaitan, bulan, bintang, bukit, gunung dan sebagainya.  
Kesemua makhluk tersebut tidak mampu memberi tahu Allah nama-nama benda yang ada di bumi; tetapi giliran manusia diminta menamakannya, ia dengan mudah memberi tahu semua nama-nama benda yang ada di dunia pada masa itu. Maka Allah perintahkan semua sujud (hormat) kepada manusia (Adam). Semua makhluk mengikuti perintah Allah dikecuali iblis.
               Pembangunan manusia dihiasi dengan hubungan sesama agar berlaku system “Give and Take”. Tidak semua keperluan makhluk manusia boleh disediakan oleh mereka sendiri. Ini berlaku sebab setiap individu, Allah bekalkan berbagai kebolehan berupa fitrah kepada setiap individu. Maka berlakulah budaya tolong menolong antara satu sama lain. Pepatah bahasa Inggeris mengatakan: “You scratch my back and I scratch yours.”
               Ukhuwah kemanusiaan lahir atas dasar bahawa perasaan ingin menolong kepada orang lain sentiasa ada. Naluri kekitaan itu ada pada setiap individu maka jiwa mereka suka menolong tanpa undangan pun. Biasa kita dengar konotasi berbunyi: “mereka sentiasa ringan tangan hendak membantu.”
               Lahirnya budaya ukhuwah kemanusiaan akan menyinarkan cahaya perasaan kasih sayang antara sesama. Maka teguhlah prinsip hubungan kemanusiaan demi membina solidaritas sosial. Pembangunan sosial merupakan antara elemen yang wajar ada dalam suasana bermasyarakat. Maka keunikan makhluk manusia berbanding makluk Allah lainnya ialah ia sentiasa bermasya- rakat.
               Kedatangan Islam menguatkan lagi suasana ukhuwah kemanusiaan kerana Islam adalah agama persaudaraan. Jalinan atau ikatan semangat keIslaman lebih teguh memelihara jaringan persaudaraan berbanding dengan persaudaraan yang lahir dari keturunan. Sebagai contoh persaudaran sedarah iaitu sebapa tidak mustahil mempunyai kerenggangan dalam hubugan kasih sayang berbanding dengan persaudaraan yang lahir dari keimanan kepada keIslaman.
               Kelemahan manusia menelusuri kehidupan adalah antara  faktor  yang memaksa manusia menerima dan membudayakan semangat ukhuwah kemanusiaan. Dalam pepatah bahasa Inggeris mengatakan “Two heads are better than one,” membawa maksud berfikir seorang dalam menyelesaikan masalah tidak sebaik berbanding dengan dua orang atau lebih yang dilibatkan untuk mencari penyelesaiannya. Ukhuwah kemanusiaan melandaskan falsafah tersebut demi memudahkan urusan.
               Ukhuwah kemanusiaan juga menelurkan semangat kesetiakawanan sosial yang akan menghasilkan perasaan kasih sayang antara sesama. Perasaan kasih sayang itu menghalalkan persempadan ethnik kelak merapatkan siraturahim sebagai bibit-bibit ketamadunan kehidupan. Maka Islam menggalakkan umatnya untuk membudayakan ukhuwah sebagai satu lambang persaudaraan umat manusia sejagat.
               Semangat ukhuwah ini dapat kita saksikan  dalam lapangan rekreasi bersukan seperti main bola sepak, hockey, bola keranjang dan sebagainya. Dalam arena main bolasepak  satu pasukan itu mempunyai sebelas ahli. Kesebelasan ahli itu mempunyai satu disiplin iaitu memasukkan bola ke dalam gawang lawan. Untuk menjayakan misi tersebut haruslah menggunakan semangat ukhuwah sebagai taktik untuk membolekan bola itu sampai ke gawang lawan.
               Setiap ahli dalam permainan bola sepak mempunyai tugas masing-masing Penjaga gawang tugasnya ialah menjaga bola supaya jangan sampai masuk ke dalam gawang.  Kemudian dua orang ditugaskan sebagai fullback atau tugu pertahanan; di atasnya ada tiga orang ditugaskan sebagai permain tengah dan kemudian yang dekat dengan pihak lawan ada empat orang iaitu dua orang pemain sebagai sayap kanan dan kiri dan dua orang lagi ialah penyerang tengah atau center forward.
               Dalam permain bola sepak disiplin kerja sama amatlah penting. Semasa bermain semestinya ada kesepaduan dalam membawa bola ke kawasan lawan. Kesepaduan yang dimak- sudkan disini ialah kita sebagai pemain dan pada masa yang sama kita memikirkan juga pemain yang lain serta memahami posisi masing-masing.  
Permainan yang biasa diamalkan ialah jangan terlalu lama menyimpan bola di kaki dan haruslah memikirkan pemain lain maka wajar menghantar bolah kepada kawan seberapa cepat yang boleh. Ukhuwah kesebelasan pemain wajar dijelmakan; dengan cara demikian akan menggamit semangat juang akan tertanam dan hati semua pemain.
               Tanpa ada ukhuwah dalam perlawanan bola sepak, sukar hendak mengalahkan pihak lawan sebab akan berlaku kekucar-kaciran dalam mengatur stratigi permainan dan kelemahan seperti ini pihak lawan akan mengambil kesempatan untuk membuat serangan bertubu-tubi hinggalah mereka berjaya menembusi gawang lawan.
               Dalam pembangunan umat manusia kita disarankan untuk membudayakan semangat kekitaan. Budaya ukhuwah amat penting dalam membina masyarakat yang berkerja sama demi melahirkan rukun hidup bertamadun. Kekuatan naluri manusia untuk melahirkan ukhuwah kemanusiaan berlandaskan kepada fitrah kasih sayang lahir dari ciri-ciri kerohanian setiap individu.
               Rohani manusia merupakan ciptaan Allah. Allah yang mewujudkan roh sebagai fakulti manusia dalam menelusuri kehidupan. Tanpa roh tidak ada manusia wujud di alam kehidupan. Firman Allah dalam al-Quran surah Al-Hijr ayat 15:29 yang bermaksud:
               “Apabila telah siap Ku buat dan Aku tiupkan ke dalamnya roh-Ku (yang Aku jadikan), maka hendaklah kamu merendahkan diri kepada-Nya berkeadaa sujud (tunduk)”
               Allah mengatakan kepada malaikat-malaikat itu, Apabila telah siap tanah yang kering itu  Aku buat menjadi bentuk manusia dan Aku tiupkan ke dalamnya roh-Ku. Yakni, Allah menyan- darkan perkataan roh kepada diri-Nya, adalah sebagai penghormatan kepada Nabi Adam. Perkataan roh Allah disini dibahaskan sebagai roh yang dijadikan oleh Allah. 
Penampilan manusia sebagai khalifah Allah wujud kerana kehadiran roh kepunyaan Allah. Allah itu Maha Pengasih dan maha Penyayang maka itu wajar manusia mempunyai ciri-ciri tersebut sebagai kekuatan naluri mewujudkan persaudaraan.
               Ukhuwah kemanusiaan itu ciri-cirinya didasari oleh perasaan kasih sayang. Jika fitrah kasih sayang itu tidak dijadikan sebagai intisari membina ukhuwah maka kita telah mengkufuri nikmat mempunyai rohani. Jika budaya demikian berlaku maka manusia dipimpin oleh nafsu kehaiwanan yang sukar menginap naluri kasih sayang dalam bermasyarakat.
               Konotasi yang biasa diungkapkan oleh para ulamak mengatakan “kenali diri mu sebelum anda mengenali Tuhan;” membawa maksud memahami diri bagaimana kewujudan anda sebagai hamba Allah dan mengapa dipertanggungjawabkan sebagai khalifah di muka bumi. Apa maknanya hidup ini dan apa tujuan pembangunan rohani dalam melahirkan pembangunan jasmani dalam kehidupan.
               Melahirkan ukhuwah adalah antara ciri-ciri kefahaman mengenai hubungan kemanu- siaan itu mempunyai kesamaan dan persamaan dari segi fitrah. Hanya yang membezakannya ialah ketakwaan kepada Allah s.w.t.. Orang yang takwah dan beriman kepada Allah adalah umat
yang bersaudara. Maka itu Islam mendasari naluri persaudaraan yang dibalut  dengan ketakwaan kepada Zat yang Maha Pencipta dan Maha Berkuasa serta Maha pengasih dan penyayang kepada makhluk ciptaan-Nya.
               Ukhuwah boleh membawa makna kepada ikatan sesuatu yang kita sayangi dalam kelangsungan hidup. Islam adalah addin yang membawa maksud cara hidup. Islam adalah juga agama persaudaraan. Maka itu manusia hidup sewajarnya mempunyai ukhuwah kepada Agama Islam yang bermaksud bahawa Islam itu adalah agama Allah maka itu sewajarnyalah manusia ada ukhuwah dengan Allah yang semestinya wujud kerana hidup ini ada kerana Allah sayangkan kita.
               Allah berfirman dalam al-Quran Surah Az-Zariyat ayat 51:56 yang bermaksud:
               “Tidaklah Aku jadikan manusia melainkan supaya mereka menyembah Aku”
Menurut Islam, manusia mempunyai dua tugas yang berbeza, tetapi saling berkaitan antara satu sama lain, iaitu tugas sebagai hamba Allah dan juga tugas sebagai khalifah Allah di dunia ini. Perlaksanaan kedua-dua tugas tersebut manusia dianggap beribadah kepada Allah.
               Allah itu Maha Pengasih dan Maha penyayang kepada hamba-Nya. Kejadian manusia dibekalkan Allah dengan rahmat dan  nikmat yang tidak terkira banyaknya. Dalam diri manusia itu segala yang ada dalam kelangsungan hidup adalah milik Allah yang ditumpangkan-Nya sebagai firah hidup.
Untuk membetulkan cara hidup kita Allah bekalkan dengan agama. Allah berfirman dalam al-Quran Surah Al-Maaidah ayat 5:3 yang bermaksud:
“….Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agama mu dan telah Ku cukupkan kepada mu nikmat-Ku dan telah Ku redhai Islam  itu jadi agama bagi mu.”
Dengan turunnya ayat ini, nyatalah kepada kita bahawa agama Islam telah sempurna, berisikan perkara-perkara yang fardu dan sunat, ada batas-batas hukuman, terangkan perkara-perkara yang halal dan haram sehingga tindak ada diturunkan lagi selepas itu. Syariatnya berkekalan hingga  hari kiamat.
Dengan sempurnanya Islam, menjadikankanlah  ia suatu nikmat dari Allah, di antaranya orang-orang mukmin dapat mengerjakan haji dengan aman, tidak ada pula yang turut mengerjakan haji semenjak itu. Agama Islam telah diredai oleh Allah. Sehingga siapa yang menghendaki agama lain dari Islam, tidaklah Allah terima agamanya, dan rugilah ia di akhirat.
Ukhuwah dalam Islam mewajibkan umatnya mempunyai ikatan demi melahirkan kesatuan dan persatuan di dalam satu landasan Islamiah. Jiwa Islam kiblatnya ialah Allah S.W.T. sebagai pencipta yang berkuasa terhadap segala-galanya yang ada dalam kehidupan.

Kewajiban beragama menunjukkan kecintaan kepada Allah S.W.T.. Islam memimpin umat manusia untuk sentiasa dekat dengan Allah dan mematuhi segala laranganya dan melaksanakan segala yang difardhukan demi memelihara keutuhan bermasyarakat. Utuhnya masyarakat merupakan hasil ketakwaan serta keimanan yang sempurna kepada Allah S.W.T.

No comments:

Post a Comment