Sunday, April 19, 2015

MEMUSATKAN PEMIKIRAN KEPADA ZAT YANG MAHA BERKUASA

 (Disiakan 18. 4. 2015)
Hidup ini merupakan aktiviti minda melihat di jendela iman tentang kewujudan alam dengan segala makhluknya memusatkan pemikiran betapa agungnya kekuasaan Allah S.W.T.. Tanggungjawab manusia sebagai hamba-Nya adalah mentafsir kewujudan berbagai jenis makhluk yang ada di alam kehidupan dan memahami kemanfaatannya kepada kehidupan. Allah mewujudkan berbagai makhluk semestinya ada tujuan kepada kehidupan manusia. Maka itu memakmurkan alam kehidupan menjadi tanggungjawab setiap insan sebagai khalifah Allah S.W.T..
Membaca alam kehidupan menjadi agenda utama dalam pembangunan tamadun manusia di samping membaca kalam Allah yang terucap-Nya beriringan dengan hadis  baginda Rasul Nabi Muhammad S.A.W., kekasih Allah yang teragung, dalam mentarbiahkan Islam sebagai ‘addin’ atau cara hidup kepada umatnya.
Apakah misi dan visi manusia diwujudkan Allah S.W.T. di dunia? Di alam dunia ini sama ada di permukaannya mahu pun di perut bumi, di angkasa, di dalam lautan, seluruhnya  Allah telah isikan dengan berbagai jenis makhluk, tujuan untuk diterokai oleh manusia  serta memahami kemanfaatannya kepada pembangunan kehidupan di dunia mahu pun di alam akhirat nanti.
Allah, bekalkan berbagai jenis makhluk, termasuklah manusia di alam kehidupan, bahkan Dia juga mengamanahkan kepada hamba-Nya untuk menyeleggarakan pembangunan kehidupan berpandukan Al Qur’an dan Hadis Rasululah S.A.W.. Al-Qur’an ini adalah dokumen wahyu yang diturunkan (Allah) dari langit melalui malaikat Jibril, dan dipertanggungjawabkan kepada kekasih Allah, baginda Rasul Nabi Muhammad S.A.W. untuk mentarbiahkan kepada umatnya, tentang falsafah hidup yang betul yang diredhai Allah S.W.T.  
Demi kemanfaatan kepada ilmu yang ditarbiahkan Rasul kepada umatnya, manusia wajar mengilmukan dirinya terlebih dahulu melalui proses pendidikan. Dalam usaha mengilmukan diri, setiap individu wajar melalui pendidikan di gedung-gedung ilmu sejak usia lima tahun untuk membetulkan persepsi ufuk pemikiran manusia sebagai khalifah Allah.
Allah bekalkan manusia dengan jiwa (roh) untuk hidup; akal sebagai rasul dalam dirinya; otak untuk kemahiran berfikir mengolah ibadah kepada Allah; hati untuk memurni kan kehidupan, dan perasaan kasih sayang sebagai zat yang memupuk hubungan ukhuwah kemanusiaan. Semua fitrah tersebut hanya dapat berfungsi  dalam pembangunan insan dengan kehadiran ilmu dalam diri setiap individu.
Manusia harus merasa syukur kepada Allah S.W.T. atas kurnian-Nya yang amat agung itu maka wajar diimbali dengan kegigihan individu dalam mengilmukan diri agar kita tidak mengkufuri segala fitrah tersebut dalam menelusuri kehidupan. Menuntut ilmu merupakan agenda kehidupan semasa berada di dunia. Baginda Rasul Nabi Muhammad S.A.W.  dalam mentarbiahkan umatnya supaya menuntut ilmu itu mulai dari buayan hingga ke liang lahad. Ini bermaksud tidak ada pension atau persaraan dalam usaha mengilmukan diri terutama sekali ilmu yang berkaitan dengan ilmu akidah.
Mengkufuri fitrah yang Allah telah bekalkan kepada seorang insan membawa kedosaan dan amalan demikian akan mengheretkan manusia ke neraka jahanam. Melaksanakan ibadah yang diperintahkan Allah secara istiqamah dalam hidup akan menjadi calun masuk ke syurga. Kedua-dua distinasi  manusia tersebut, syurga atau neraka, Allah sediakan untuk hamba-hamba-Nya yang telah dipetanggugjawapkan untuk melaksanakan amanah sebagai pemakmur alam kehidupan. Dunia ini disediakan Allah  adalah untuk manusia melaksanakan pembangunan selaras dengan kerdhaan Allah S.W.T..
Maka itu janganlah abaikan hidup di dunia ini dengan hanya  menghabiskan usia hanya untuk berpartisipasi dalam sandiwara dunia yang disediakan Allah. Kehidupan dunia hanya sementara sahaja maka akhirat juga ditujui oleh setiap makhluk manusia dalam
perjalanan hidup setelah agenda dunia yang fana ini selesai.                     
Beriman kepada Allah adalah sifat semulajadi dalam jiwa manusia. Pengajian-pengajian agama yang moden telah banyak menemukan perkara-perkara yang perlu diperhatikan secara mendalam iaitu  bahawa agama adalah  menjadi  sifat umum seluruh manusia baik yang lama ataupun yang baru. Sejarah menunjukkan bahawa tidak ada satu bangsa yang tidak beragama.
                Ramai ahli bijak pandai mengatakan bahawa pemikiran tentang Allah ataupun agama, secara umumnya adalah merupakan pemikiran semulajadi yang ada pada akal manusia. Ia dilengkapkan kepada  kita oleh Pencipta yang agung iaitu Allah S.W.T..
                Setip manusia membawa dalam dirinya “fikiran tinggi” dan fikiran itu adalah memadai untuk membentuk akidah. Tuhan adalah pencipta alam dan manusia mempunyai fikiran tentang kejadian sesuatu; ia yakin kepada adanya pencipta yang membuat sesuatu itu dan ia yakin bahawa ia sendiri tidak berdaya membuatnya.
                Allah berfirman dalam Surah  Ar-Rum ayat 30:30 -31 yang bermaksud:
                “Luruskanlah muka engkau menghadap agama (Islam) serta condong kepadanya, itulah agama Allah yang menciptakan manusia sesuai dengan kejadian (agama tersebut). Tidak boleh ditukar-ganti ciptaan Allah. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.Hendaklah kamu kembali (bertaubat) kepada-Nya, dirikanlah sembahyang dan jangan kamu menjadi orang-orang yang menyekutukan-Nya.”
                Allah menyuruh rasul-Nya dan umat Islam yang menjadi pengikutnya, supaya meluruskan muka, yakni supaya menumpukan tujuan hidup mereka lurus-lurus  ke arah agama Islam. Iaitu ke arah mentaati Allah atau agama Islam yang juga merupakan agama yang lurus tidak bengkok dan tidak membawa kepada kesesatan. Bahkan dia merupakan agama fitrah, yang sesuai dengan kejadian manusia. Dan Allah juga menyuruh supaya mereka condong atau cenderung selama-lamanya kepada agama tersebut, jangan sampai menyelewing dari kebenaran.
                Hendaklah benar-benar menumpukan perhatian kamu kepada agama Allah itu, kerana agama tersebut telah diciptakan sesuai dengan kehidupan manusia. Dan manusia itu dari asal mulanya telah diciptakan dengan mempunyai pembawaan dan tabiat semulajadi, untuk mentauhidkan Allah dan percaya akan adanya Allah, kerana kepercayaan dan keyakinannya selaras dan bersesuaian dengan apa yang ditunjukkan oleh akal fikirannya yang waras.
                Mengubah-ubah ciptaan Allah dan menukar-nukar agama-Nya dengan agama yang lain itu adalah dilarang. Jelasnya janganlah  kamu menukarkan agama Allah dengan menye- kutukan-Nya. Kesan dari ayat ini menunjukkan: Bahawa akal manusia itu ibarat sehelai kain putih yang akan menerima apa sahaja corak yang dicorengkan ke atasnya.
                Hal ini samalah juga seperti bumi, yang bersedia menerima segala macam benih yang ditanam orang di atasnya. Dia akan menumbuhkan hasil tanam-tanaman dan buah-buahan sama ada yang berguna kepada manusia dan haiwan, mahupun yang mengandung racun dan mendatangkan bahaya kepada mereka.
                Setelah Allah menyuruh Baginda S.A.W. bersama pengikutnya supaya menumpukan perhatian mereka kepada agama Allah yang lurus – semata-mata cenderung kepada Allah – maka disuruhnya supaya mereka kembali yakin bertaubat kepada-Nya dan supaya takut kepada-Nya iaitu dengan berhati-hati dalam mentaati Allah tanpa mencuai-cuaikan agama tersebut, jangan melakukan perbuatan maksiat atau derhaka kepada Allah.
                Mereka juga disuruh melazimkan kewajipan sembahyang yang dikerjakan tepat pada waktnya. Kerana sembahyang itu tiang agama, dia dapat mengingatkan orang yang beriman mengenang Tuhannya. Dan dalam sembahyang itulah seseorang berpeluang untuk bercakap-cakap, merayu dan memohon kepada Tuhannya, sekurang-kurang lima kali dalam sehari semalam. Di samping itu  dapat melarang orang dari melakukan dosa, kekejian serta perbuatan mungkar. Kerana  dengan sembahyang, diri manusia dapat dilatih menjadi khusyuk
dan patuh serta tunduk kepada perintah Allah sama ada dalam berterang-terangan atau sembungi-sebunyi.
                Hal ini sebgaimana tersebut dalam hadis yang berbunyi:
                “Hendaklah engkau sembah Allah seolah-olahnya engkau melihat-Nya. Sekiranya engkau tidak dapat melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihat engkau.”
                Alam dan segala kandungannya yang terdiri daripada benda-benda hidup dan benda-benda mati merupakan susuatu kesan dari kesan-kesan kekuasaan Allah yang  menciptakannya dari bentuk tiada kepada ada. Ianya  kekuasaan yang sempurna yang tidak  dapat dilemahklan oleh sesuatu apapun. Al-Qur’an menyebutkan:
                “Maha berkat Allah yang (ditangan-Nyalah) menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat), dan Dia Maha kuasa atas segala sesuatu.” Surah Al-Mulk ayat 67:
Allah yang Maha Tinggi lagi Agung telah memuji diri-Nya Maha Berkat. Yakni mempunyai kebaikan yang banyak dan dapat dirasakan atau difikirkan oleh makhluk-Nya. Keberakatan-Nya melimpah-ruah kepada seluruh makhluk-Nya dalam bentuk kebaikan yang beraneka.
Allah mengkhabarkan bahawa di tangan-Nyalah terletak kekuasaan untuk memerintah kerajaan di dunia dan di akhirat. Mengatur kerajaan yang ada di langit dan di bumi mengikut sekehendak-Nya.
Kata Ibnu Abbas: Di tangan-Nyalah terletak pemerintahan, memuliakan sesiapa yang disukai-Nya dan menghinakan siapa yang disukai-Nya, menghidup dan mematikan, mengikutnya dan memiskinkan, memberi dan menahan, kerana Dia berkuasa di atas segala sesuatu, tiada siapa yang dapat menegah dan menghalang kekuasaan-Nya.
Dan firman-Nya lagi dalam surah Al-Hajj ayat 22:6 yang bermaksud:
“”Yang demikian itu, kerana sesungguhnya Allah, Dialah yang hak dan sesungguhnya Dialah yng menghidupkan segala yang mati dan sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu”.
Allah memiliki kuasa penciptaan, tetapi penciptaan-Nya paling tinggi dan paling banyak dari keseluruhan jumlah penciptaan manusia. Manusia mempunyai akal dan fikiran yang terbantas ketika mencipta sesuatu. Ini berlainan dengan kekuasaan atau qudrat Allah yang sama sekali tidak terbatas.
Jenis-jenis  serangga umpamanya tidak dapat dicipta oleh manusia. Walaupun sebenarnya binatang itu  paling mudah kejadiannya  jika dibandingkan dengan kejadian makhluk Tuhan yang lain. Inilah perbezaan yang besar di antara kekuasaan manusia dengan kekuaaan Allah yang tidak mempunyai kesudahan.
Kesan-kesan kekuasaan Allah yang dapat kita perhatikan di alam ini, menunjukkan kepada keupayaan atau daya yang tidak terbatas. Adalah diketahui bahawa semua daya di atas bumi bergantung kepada cahaya matahari. Sedangkan matahari ialah sebuah bintang sama seperti bintang-bintang lain di langit yang tidak dapat dibilang kecuali Allah. Jadi, berapakah jumlah daya yang besar itu yang dikeluarkan oleh cahaya dari bintang-bintang di alam ini.
Allah mengetahui perkara-perkara seni dan rahsia alam. Pandangan Islam tentang Allah bukan semata-mata teori falsafah metafizika seperti mana yang dipercayai oleh kebanyakan orang-orang barat yang mempercayai bahawa Allah menjadikan alam, kemudian Dia naik ke langit dan tidak ada tugas lagi. Tetapi Allah bekerja dalam alam secara berterusan. Setiap perkara yang berlaku bergantung kepada pekerjaan Allah yang berterusan itu. Firman Allah dalam Surah Al-An’am ayat 6:59 yang bermaksud:
“Dia pada sisi Allah terdapat segala kunci perkara yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Allah. Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut. Tidak ada sehelai daun pun yang gugur kecuali Allah mengetahuinya. Tidak ada sebiji benih di dalam bumi yang gelap dan tiada pula benda yang basah dan kering, melaikan semua itu tertulis di dalam kitab yang terang.”
Allah ialah punca kehidupan. Dialah yang memberi kehidupan bagi setiap sesuatu yang hidup. Oleh demikian akal dapat nenerima bahawa Allah adalah bersifat dengan sifat hidup dengan bentuk yang sempurna. Hidup Allah adalah kekal, tidak bergantung kepada kebinasaan, tidak mengantuk dan tidak tidur. Tersebut dalam al-Quran surah Al-Baqrah ayat 2:255 yang bermaksud
“Allah, tidak ada Tuhan melainkan Dia. Yang hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhluk-Nya), tidak mengantuk dan tidak tidur”.

Ayat tersebut menerangkan bahawa, tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah sahaja, dia bersifat hidup yakni kekal selama-lamanya – tidak akan mati atau binasa, bersifat amat menjaga yakni bertanggugjawab mengurus dan mentadbir semua makhluk-Nya.  Tidak pernah mengantuk, apa lagi tidur. Maka pusatkan pemikian mengenai fenomena tersebut. Ia akan membawa kita khyusuk dan tawadhu memikirkan kekuasaan Allah yang Maha Agung dan maha sempurna itu.

No comments:

Post a Comment