Saturday, April 25, 2015

SISTEM PENGURUSAN MASA MENGIKUT ISLAM

 (Disirkan pada25. 4. 2015)
Islam mementingkan faktor masa dalam kelangsungan hidup di dunia. Kehidupan di dunia mengutamakan penggunaan masa yang sempurna yang diwujudkan oleh putaran bumi di atas paksinya menghadap mata hari sekali dalam 24 jam. Mana-mana bahagian permukaan bumi menghadap matahari mendapat siang dan yang membelakanginya  adalah dalam keadaan malam.
Bumi berputar di atas paksinya sambil mengelilingi mata hari sekali dalam masa 360 hari yang dikenali dalam kalinder dunia sebagai setahun. Manakalah bumi berputar di atas paksinya sendiri menghadap mata hari berlakunya siang dan malam yang dikenali sebagai satu hari. Itulah kejadian alam yang dicipta Allah S.W.T..
Begitu agungnya ciptaan Allah dalam mewujudkan kehidupan berbagai macam makhluk di dunia. Cahaya matahari memancar ke bumi menerangkan permukaan yang menghadapnya kelak memberi kemanfaatan kepada semua makhluk yang hidup.  Makhluk haiwan bermacam jenis berkeliaran di bumi untuk mencari makanan manakala tumbuh-tumbuhan pula menggunakan cahaya mata hari untuk memproses makanannya sendiri yang dikenali sebagai fotosintesis. Masa itulah tumbuh-tumbuhan mengeluarkan gas oksigen untuk menambahkan gas berkenaan yang sudah sedia ada di permukaan bumi.
Pergerakan bumi sedemikian rupa mengajukan satu fenomena alam kehidupan yang dikenali sebagai masa hadapan dan masa yang lalu. Islam mengajurkan manusia untuk memanfaatankan masa hadapan kerana banyak pembangunan yang boleh kita lahirkan. Manakala masa yang lalu kurang memberi impak kepada agenda pembangunan kerana itu adalah masa yang telah berlalu dan tidak dapat dikembalikan lagi.
Maka itu Allah mengingatkan manusia dalam Al-Qur’an Surah Al-Ashr, ayat (103:1-3) yang bermaksud:
“Demi masa manusia sentiasa dalam kerugian, kecuali orang-orang  yang beriman dan mengerjakan amal salih dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran”
Allah bersumpah dengan nama masa. Kerana di dalam masa itu ada mengandungi teladan yang pelik-pelik dan pengajaran yang ajaib. Adapun masa atau waktu itu selalu bertukar-tukar. Ada masa yang telah lalu, sekarang dan akan datang. Ada masa kaya atau miskin. Ada masa senang atau susah. Dan begitu juga seterusnya masa itu selalu berubah-ubah.
Perubahan tersebut menjadi bukti, bahawa alam ini ada yang mentadbirkannya, iaitu Allah. Maka kepada-Nya sajalah semua makhluk mesti menyembah. Tujuan Allah bersumpah, kerana hendak menguatkan firman-Nya; bahawa manusia itu sentiasa di dalam kerugian.
Dikatakan rugi, kerana manusia itu setiap masa telah menghabiskan umurnya. Lebih-lebih lagi rugi apabila umurnya dihabiskan untuk berbuat maksiat dan derhaka kepada Allah, bukan untuk mentaati-Nya. Maka janganlah menyalahkan masa, tetapi hendaklah menyalah kan dirinya sendiri yang telah berdosa dan menyebabkan celaka.
Kecuali yang tidak rugi, ialah orang yang mempunyai empat sifat seperti: Orang yang beriman (percaya) dengan berikrarkan lidahnya dan membenarkan hatinya, bahawa semua pengajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad (s.a.w.) adalah betul.
Kedua beramal salih (baik). Selain beriman, dia mengerjakan apa yang diimankannya, dan mengerjakan amal kebajikan yang baik-baik dan mendatangkan manfaat kepada umum, serta membawa orang yang beramal itu mentaati Allah S.W.T.
Berpesan-pesan dengan yang hak (benar), iaitu ingat mengingatkan sesama orang mukmin, supaya berpegang dengan pengajaran Al-Qur’an, keimanan, dan  tauhid, kerana semuanya itu benar dan tidak dapat dimungkiri.
Berpesan-pesan dengan bersabar (dengan hati), iaitu jangan mudah tergoda oleh puju
kan  syaitan untuk berbuat maksiat. Bahkan mestilah tabah dan tahan menghadapi segala macam ujian, penderitaan dan kesusahan. Jika ditakdirkan juga mendapat kesusahan terimalah dengan hati yang rela dan bersyukur kepada Tuhan.
Adapun perbuatan ingat-mengingatkan itu tidak akan berkesan atau memberi faedah kecuali orang yang mengingatkan itu ada mengerjakannya. Maka orang yang disebutkan sifat-sifatnya di atas akan mendapat keuntungan, iaitu hidupnya akan berbahagia di dunia dan akhirat, sedang orang-orang yang menghabiskan masa dan umurnya dengan sia-sia dan di dalam maksiat akan rugi, iaitu hidupnya akan celaka dan menyesal di belakang hari.
Setiap orang yang cuba mengkaji dan meneliti Al-Qur’anul Karim semenjak zaman Mekkah, akan didapatinya bahawa Al-Qur’anul Karim sentiasa mengarah pandangan kaum Muslimin ke masa hadapan yang penuh cita-cita dan harapan. Al-Qur’anul Karim menjelaskan bahawa alam raya ini terus berputar, dunia sentiasa berubah dan keadaan manusia selalu berganti-ganti.
Pihak yang tadinya kalah, boleh kemudian menjadi pemenang, dan yang pada mulanya menang berubah menjadi ‘kecundang’; yang lemah menjadi kuat, dan yang kuat pula beransur-ansur menjadi lemah. Pendek kata, seluruh gugusan alam raya ini terus mengamali perubahan, perputaran dan pergantian.
Oleh sebab itu, kaum muslimin diperintahkan untuk sentiasa berjaga-jaga dan mempersiapkan diri bagi menghadapi setiap kemungkinan yang akan datang di hari esok. Mereka tidak boleh bergantung kepada keadaan semasa dan leka daripada mengambil setiap sebab dan perbuatan yang menambah kekuatan, kebaikan dan kemajuan di masa-masa mendatang.
Malah mengambil iktibar dari apa yang telah berlaku boleh menjadi agenda sokongan untuk memperbaiki masa muka. Mengambil contoh satu keadaan apabila kita telah tersilap langkah maka berlaku keberhasilan yang mendatang, kerana kata orang “Experiance is the best teacher” atau pengalaman adalah guru yang paling bijaksana.
Islam amat mementingkan masa dalam mewujudkan pembangunan. Lahirnya pemba- ngunan adalah disebabkan kepekaan manusia menggunakan masa dan tidak membiarkanya berlalu begitu sahaja tanpa amal yang membuahkan perubahan pada keadaan hidup. Baginda Rasul Nabi Muhammad S.A.W. telah meninggalkan satu “Mutiara Hidup” berhubung dengan memanfaatkan masa dalam hidup.
Baginda menyarankan bahawa “Manfaatkan yang lima sebelum yang lima datang”. Konotasi demikian membawa maksud berbuatlah sesuatu yang bermanfaat sebelum datangnya yang lima yang bersifat bencana atau kemuderatan kepada kehidupan. Orang yang memahami masa sebagai nadi pembangunan ummah tidak tergiur berpatisipasi dalam buaian dunia yang fana ini.
Memanfaatkan yang lima sebelum yang lima datang sebenar satu gambaran pembangunan kehidupan yang wajar dilaksanakan oleh setiap insan untuk dirinya berlandas kan faktor yang dimainkan oleh masa. Hidup ini merupakan perjuangan dan untuk berjuang wajar bersedia berkorban demi masa. Tanpa berkorban, masa akan mengorbankan kebahagian hidup kita di dunia  dan lebih-lebih lagi di akhirat.
Memanfaatkan yang lima pertama ialah masa mudamu, masa lapangmu, masa sihatmu, masa kayamu dan masa hidupmu. Keadaan hidup di dunia akan mengalami lima perkara yang akan menyusul kemudian setelah yang lima pertama berlalu iaitu masa tuamu, masa sibukmu, masa sakitmu, masa miskinmu, dan masa matimu.
Setiap insan mesti melalui berbagai peringkat usia dalam hidupnya bermula dari kanak-kanak, beralih kepada remaja, kemudian peringkat dewasa lalu ke usia tua sebelum maut menjeput nyawa. Dalam menelusuri hidup berbagai peringkat, manusia pasti mengalami berbagai kerenah yang mesti ditangani. Keutamaan dalam hidup ialah melaksanakan ibadah kerana Allah. Jika agenda tersebut telah dilaksanakan maka faktor kedua yang menyusul
kemudian tidak memberi masalah kepada kehidupan di dunia.  
Masa mudamu adalah yang terpenting dimanfaatkan sebelum masa tuamu datang. Menuntut ilmu merupakan ibadah yang terpenting dilaksanakan kerana orang yang berilmu Allah lebih suka berbanding dengan orang yang tidak punya ilmu. Wahyu pertama Allah turun kepada manusia ialah “Baca”. Ini bermakna melalui pembacaan seseorang itu akan mendapat ilmu untuk memahami teka teki kehidupan.
Usia muda amat sesuai untuk diisi jiwanya dengan ilmu kerana belum banyak tanggungngan mengenai pembangunan keluarga. Pada lazimnya seorang insan dalam usia mudanya masih ada orang tuanya untuk menyarah kebajikannya. Maka itu tumpuan kepada mengilmukan diri dapat diselenggarakan dengan disiplin yang saksama, baik dan teratur. Setelah ilmu sudah bersama kita maka apabila masa tuanya datang tidak ada masalah yang berat akan dialami lagi.  
Dalam melaksanakan ibadah jangan amalkan budaya menunda masa kerana setiap kewajipan datang semestinya dilaksanakan segera kerana menangguhkan masa akan mengalami masalah kesibukan. Pepatah Inggeris mengatakan “Stich in time save nine” yang membawa maksud jika kita mengalami kain baju kita koyak sedikit sahaja hendaklah dijahit serta merta kerana kalau ditangguh masanya lagi koyak itu akan membesar dan memerlukan bukan satu jahitan tetapi sembilan jahitan.
Jangan membiarkan usia itu meningkat tanpa diisikan dengan aktiviti pembangunan. Budaya sentiasa mengingatkan Allah dan mendekati-Nya setiap detik masa dituntut oleh agama Islam. Dengan amalan sedemikian kita sentiasa sedar peredaran masa dan mesti dipergunakan tanpa membiarkan ia berlalu. Apabila masa mengizinkan untuk kita melaksanakan ibadah maka tunaikan serta merta tanpa menangguhnya kerana kelapangan masa datang hanya sekejap sahaja. Kerja menjadi sibuk apabila banyak kerja-kerja yang tertangguh tidak dibereskan pada masa yang sepetutnya.
Melaksanakan ibadah semestinya kita dalam keadaan sihat kerana masa itulah tenaga kita mengizinkan kita. Hidup ini tidak sentiasanya mengalami sihat dan sewajarnya kita juga akan mengalami sakit kerana fenomena itu merupakan ujian dari Allah S.W.T.. Suasana keadaan hidup sememangnya mempunyai pasangan seperti mempunyai positif dan juga negatif. Apabila sihat itu ada maka sakitnya pun pasti ada.
Begitu juga keadaan ekonomi kita, ada masa kita kaya dan pada masa yang lain kita menjadi susah atau miskin. Dalam semua pencaturan hidup kekayaan pada ekonomi menjadi keutamaan dalam semua bentuk pembangunan. Kekayaan itu sebenar merupakan pakaian manusia yang diredhakan Allah S.W.T. kepada individu tertentu. Ia adalah fenomena yang hanya berada di dunia sahaja yang berupa sementara. Kekayaan adalah peluang bagi setiap insan yang dikurniakan untuk berbuat persediaan diri semasa di dunia untuk mendapatkan seberapa banyak pahala sebagai bekalan hidup di akhirat nanti.
Ramai orang yang mendapat kekayaan di dunia menjadi papa kedana kerana gagal memanfaatkan kekayaan yang dianugerahkan Allah kepadaanya. Allah tarik balik kemewahan hidupnya. Maka itu mempuyai kekuatan ekonomi pergunakanlah sebaik mungkin dan janganlah laburkan kekayaan itu kepada  amalan-amalan yang mengundang kemurkaan Allah S.W.T..
Kekayaan itu tidak mengikuti kita ke liang lahad. Manusia hidup di dunia dibezakan dengan keadaan ekonominya. Mereka yang dikurniakan kekayaan harus bersyukur dan menghiasi dirinya dengan takwa kepada Allah S.W.T.. Manusia dilahir di duia ini tidak punya apa-apa malah ia dalam keadaan tidak berpakaian (bogel) dan tidak punyai ilmu pengetahuan. Tetapi apabila ia menjadi  orang kaya wajar difahami itu sebagai kurnian dari Allah. Dan harus kita bersyukur kerana dipilih oleh Allah hidup sebagai hamba-Nya yang kaya.
Kekayaan itu wajar dilihat sebagai amanah untuk  berbakti kepada masyarakat bangsa
dan negara kerana ketakwan kita kepada Allah merupakan barometer untuk hidup mulia di
sisi Allah S.W.T.
           Manusia hidup di dunia harus  melaksanakan amanah Allah S.W.T. Jika amanah itu diabaikan atau tidak dijaga atau dipelihara maka akibatnya amat buruk kepada kehidupan itu sendiri lebih lebih lagi apabila hidup itu beralih ke alam-alam berikutnya. Memanfaatkan hidup mu di dunia sebelum datangnya maut menjadi agenda utama setiap makhluk manusia.
         Penutup sejarah hidup anda harus dihiasi dengan catatan-catatan kemuliaan dan bukan mencorakkan satu perlakuan yang tidak ada tempatnya dalam masyarakat yang anda bakal tinggalkan. Biarlah bakti anda itu dikenang sepanjang zaman seperti mana pepatah Melayu mengatakan: Gajah mati meninggalkan gadingnya, harimau mati meninggalkan belangnya, dan manusia masti meninggalkan nama. Insya-Allah!

         Orang yang termulia di sisi Allah S.W.T. bukan kerana kekayaannya tetapi kemuliaan manusia dalam pandangan agama ialah orang yang lebih bertakwa kepada Allah S.W.T.. Maka itu pergunakanlah masa hidupmu untuk melaksanakan ibadah kepada Allah kerana matlamat hidup adalah kebahagian hidup di akhirat yang disediakan Allah yang Maha Pengasih dan Maha pengampun itu. 

No comments:

Post a Comment