Friday, April 3, 2015

IBADAH MERUPAKAN TAWAKAL KEPADA ALLAH

 (Disiarkan pada 4. 4. 2015)
Segala amal ibadah yang berpusat kepada hati yang khuysuk merupakan aktiviti pembangunan dalam hidup dan semestinya merupa tawakal kepada Allah kerana tidak ada kewujudan sesuatu fenomena alam kehidupan tanpa kekuasaan Allah S.W.T.. Kita berdoa bermunajat kepada Allah dengan hati yang ikhlas semoga doa kita itu dapat keredhaan-Nya.
               Tawakal merupakan salah satu ibadah hati yang paling utama dan salah satu dari berbagai akhlak iman yang agung. Sebagaimana yang dikatakan Al-Imam Al-Ghazaly, tawwakal merupa kan salah satu manzilah agama dan kedudukan orang-orang yang beriman. Malahan tawakal termasuk darjat muqarrbin yang paling tinggi. Sehingga menurut Ibnul-Qayyim, tawakkal adalah separuh daripada agama dan separuh lainnya adalah inabah, kembali kepada Allah, seperti yang diisyaratkan Allah yang bermaksud:
               “Hanya kepada Allah aku bertawakkal dan hanya kepada-Nya aku kembali.” Hud 11:88
               Di samping itu, agama adalah ibadah dan memohon pertolongan sebagai firman-Nya yang bermaksud:
         “Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.” Surah Al-Fatihah1:5.
           Bertawakal kepada Allah sebenar berserah diri memohon pertolongan kepada-Nya lewat usaha yang gigih serta sentiasa dalam keadaan sabar, tabah dan tetap hati, dan tetap pula di dalam mengerjakan solat, pengabdian atau ibadat terhadap Allah.
               Dalam Surah Ali-Imran ayat 3:200, Allah berfirman yang maksudnya:
               “ Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah, dan sabarkanlah kamu (dalam ketaatan), bersabarlah (menghadapi musuh) bersiap-sedialah (menentang mereka), dan takutlah kamu kepada Allah, semoga kamu mendapat kemenangan.”
               Dalam Surah An-Nahl ayat 16:127, Allah berfirman yang bermaksud:
               Bersabarlah engkau hai Muhammad, dan  kesabaranmu itu disertai selalu oleh Allah, janganlah engkau berduka cita atas mereka, dan jangan engkau merasa sempit dada lantaran tipu muslihat mereka.”
               Selama kita bersabar, selama itu Allah bersama kita. Tetapi bila kesabaran itu telah lenyap dan hilang, itulah tandanya Allah tidak  berserta kita lagi. Sebab itu rasa kesabaran itu harus kita pertahankan selalu agar Allah selalu pula berserta kita di dalam perjuangan kita menegakkan kebenaran, menghadapi segala halangan, rintangan, tantangan  permusuhan dan intimidasi-intimidasi dari musuh-musuh kita. Jangan merasa sempit dada menghadapi tupu muslihat musuh dalam perjuangan.
               Tawakkal merujuk penyerahan nasib diri dan nasib usaha kita kepada Allah setelah kita berikhtiar dengan bersungguh-sungguh untuk melaksanakan sesuatu tugas dan kita berdoa dengan ikhlas kepada Allah untuk mendapat kebaikan daripada usaha yang kita telah lakukan. Semangat tawakal yang sebenar mengimplikasikan bahawa kita sedar dan yakin bahawa penentuan terakhir berada pada kekuasaan Allah.
               Sesungguhnya Allahlah yang menentukan kebaikan, kejayaan, dan kebahagian hidup manusia. Bagaimanapun, Allah menetapkan sesuatu ketentuan di atas diri manusia dengan adil. Allah berfirman dalam Surah Ali-Imran ayat 3:18 yang bermaksud:            
               “Allah telah menyatakan bahawa tiada Tuhan melainkan Dia, dan Malaikat-Malaikat serta orang-orang yang berpengetahun pun naik saksi (bahawa Allah keadaan-Nya) berdiri dengan adil, tidak ada Tuhan melainkan Dia, yang Maha perkasa lagi bijaksana.”
               Allah menerangkan keesaan-Nya dan Malaikat serta orang-orang yang berilmu pengeta-
huan naik saksi – berikrar dengan lisan dan membenarkan di dalam hati – bahawa Allah itu berdiri sendiri dengan adil.
               Maksud berdiri dengan adil iaitu; berkuasa mentadbirkan semua makhluk-Nya dengan adil, Yakni melalui jalan tengah di dalam iktikad, ibadat, akhlak dan amalan. Adil atau jalan tengah di dalam istikad itu ialah, mentauhidkan Allah atau mengesakan-Nya. Maka tauhid atau pengesahan itu adalah terletak di tengah-tengah pengingkaran dan penyekutuan. Mengengingkari adanya Allah tidak adil, menyekutukan-Nya juga tidak adil.Yang adil ialah memilih jalan tengah iaitu, mengsahkan-Nya – tidak mengingkarinya dan tidak pula menyekutukannya.
               Pada akhir ayat disebut “Tidak ada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Pekasa lagi Bijaksana.”
               Ayat ini diulang sebut, untuk memberitahukan bahawa dialah kalimat yang maha agung
dan termulia membacanya terhitung semulia-mulia ibadat.
               Al-Kalbi menceritakan; Ayat ini diturunkan, kerana telah datang 2 orang pendeta dari negeri Syam ke Medinah. Manakala kelihatan negeri Medinah, salah seorang dari keduanya berkata: “Alangkah serupanya negeri ini dengan negeri Nabi Muhammad s.a.w. yang akan dibangkitkan pada akhir-zaman.”
               Bila keduanya memasuki kota tersebut, mereka pun mengenali sifat-sifat Nabi dan berkata kepada Nabi s.a.w.. “Adakah tuan ini Muhammad?”
               Nabi menjawab: “Ya”
               Keduanya berkata pula: “Dan tuan ini Ahmad?”
               Nabi menjawab: “Saya Muhammad dan Ahmad.”
               Keduanya berkata pula: “Kami akan menanyakan kepada tuan sesuatu. Sekiranya tuan khabarkan, kami akan beriman kepada tuan.”
               Nabi menjawab: “Bertanyalah!”
               Keduanya pun bertanya: “Khabarkanlah kepada kami tentang sebesar-besarnya syahadat di dalam kitab Allah Azza Wajalah.”
               Maka Allah turunkan ayat 18 ini, yang kemudian Nabi s.a.w. sampaikan kepada kedua nya. Mendengarkanlah ayat ini, keduanya pun masuk Islam.
               Tawakkal bukan merujuk perbuatan menyerah untung nasib diri kepada Allah dengan tidak perlu berusaha dan berikhtiar. Sebaliknya, tawakkal membabitkan dua proses yang saling berkait, iaitu penyerahan nasib diri kepada Allah dari satu sudut, dan  penggunaan  seluruh tenaga fizikal, mental, dan rohani untuk mengubah keadaan diri sendiri dari sudut yang lain.
               Berkait dengan Nasib Diri tiga konsep asas yang wajar difahami iaitu bertawakkal, berikhtiar dan takdir. Usaha kita ialah berikhtiar dan kalau tidak dapat mengatasi masalah maka tidaklah terkeluar dari garis tawakal, jika kita berusaha menghindarkan diri dari kemalaratan.
               Kalau bahaya yang mengancam itu akan datang sesama manusia, sekiranya ada jalan sabar, atau jalan untuk mengelakkan diri, pilihlah lebih dahulu yang pertama, iaitu sabar. Kalau tak dapat lagi, pilihan yang kedua, iaitu mengelakkan diri. Kalau tak dapat juga, barulah menangkis. Kalau satu-satunya jalan ialah menangkis, tidak juga ditangkis, tidaklah bernama tawakal lagi, tetapi sia-sia.
               Firman Allah Surah Al-Muzzammil ayat 73:9 – 10  yang bermaksud:
               “(Dialah) Tuhan (yang menguasai) timur dan barat dan tiada Tuhan melainkan Dia., maka ambilah Dia sebagai pelindung.”
               “Dan bersabarlah terhadap apa yang mereka ucapkan dan jauhilah mereka dengan cara yang baik.”
               Adapun kesabaran atau tawakkal menghadapi ular yang mematuk, binatang besar yang
hendak menerkam, kala jangking yang mengejar kaki, anjing gila yang kehausan, maka jika sabar jua menuggu, tidak berusaha menangkis, tidak bernama tawakkal lagi, tetapi sia-sia.
               Tidaklah keluar dari garis tawakkal jika dikuncikan pintu terlebih dahulu sebelum keluar rumah, ditutupkan kandang ayam sebelum hari malam, dimasukkan kerbau ke kandang sebelum senja. Kerana menurut Sunatullah, dikuncikan rumah dahulu baru pencuri tertahan masuk, ditutupkan pintu kandang baru musang tak mencuri ayam.
               Ingatlah ketika Rasulullah S.A.W. meninggalkan negeri Mekkah hendak pegi ke Medinah, bersembunyi di dalam gua di atas bukit Jabal Tsur ketika dikejar oleh Kafir Quraisy, berdua dengan sahabatnya Abu Bakar. Setelah bersembunyi dan tidak kelihatan oleh musuh lagi, barulah dia berkata kepada sahabatnya itu!
               “Jangan takut, Allah ada bersama kita.”
               Iaitu berserta mereka setelah mereka bersembunyi. Cuba kalau Rasulullah menampakkan dirinya, pada hal musuh sebanyak itu, tentu menurut sunatullah dia akan tertangkap atau binasa lantaran sia-sianya, dan Allah tidaklah bersertanya lagi!
               Akidah Ahli Sunnah wal-Jama’ah adalah “Ikatlah dan kemudian baru bertawakkal. Kerjakanlah dan kemudian baru bertawakkal kepada Allah Ta’ala dalam segala keadaan dan perbuatannya setelah terlebih dahulu mengerjakan segala upaya dalam berusaha.
Dia mencela orang-orang malas yang mendakwa diri mereka bertawakkal dan menyuruh mereka supaya berusaha dan bekerja. Segala sesuatu akan menjadi mudah sesuai dengan apa yang diciptakan Allah.
               Al-Jurjani mentafsirkan tawakkal iaitu yakin terhadap apa yang ada di sisi Allah dan tidak mengharapkan terhadap apa yang ada di sisi manusia.
               Syeikh Abdul Qadir al-Jailani berkata: “Hendaklah kamu bekerja dan gunakan strategi hingga iman mu menjadi kuat. Kemudian berpindahlah setelah melakukan usaha keras dan strategi yang mantap kepada Allah. Para nabi bekerja, berjual beli dan melakukan strategi yang kukuh pada permulaan urusan mereka dan barulah bertawakkal setelah itu. Mereka menggabungkan antara usaha dengan tawakkal pada permulaan dan penghujung sebagai bukti mengamalkan syari’at dan hakikat.
               Beliau menyuruh supaya berusaha dan berkerja dengan berkata: “Sembahlah Allah ‘Azza wa Jalla dan mintalah pertolongan untuk dapat menyembahNya sengan usaha yang halal. Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla amat mencintai seorang hamba mukmin yang taat dan memakan dari usaha yang halal. Dia mencintai orang yang makan dan mahu bekerja, namun Dia amat membenci orang yang hanya mahu makan namun tidak mahu bekerja.”
                    “Saya ingin mengatakan kepada kamu bahawa berusahalah dan janganlah kamu berpasrah diri kepada taqdir dan kisah masa lalu. Ia merupakan alasan yang selalu diperkatakan oleh orang-orang malas. Kami menyokong sifat kesederhanaan. Kami bersarah dan bekerja dan tidak mengatakan: “Dia telah berkata, maka kami pun berkata” dan “kenapa dan bagaimana”. Kami tidak memasuki ilmu Allah ‘Azza wa Jalla. Kami hanya mampu berusaha dengan bersungguh-sungguh dan Dia akan melakukan apa yang Dia kehendaki.”
                    Tawakal bagi orang Islam yang meniti jalan kepada Allah merupakan keperluan pokok, terutama dalam masalah rezeki; masalah ini biasanya menyesakkan fikiran dan hati manusia, membuat badan menjadi letih, jiwa menjadi kusut, gelisah pada waktu malam dan bertungkus-lumus pada waktu siang.
                    Malahan adakalanya di antara mereka sanggup mengorbankan jiwa, menjual kehormatan
dan  menganggukkan kepala, hanya untuk mendapatkan sesuap kehidupan, yang dianggap ada di tangan makhluk lain seperti dirinya, sehingga kalau berkenan dia akan memberinya suapan
kehidupan itu dan jika tidak berkenan dia boleh menahannya.
                    Al-Imam Ibnul-Mubarak berkata, “Barang siapa memakan harta yang haram, maka dia bukan orang yang bertawakal.”
                    Cara untuk melepaskan diri dari semua itu adalah dengan bertawakal kepada Allah. Orang Islam yang jauh lebih memerlukan tawakal ini adalah jika dia seorang da’i, penyampai risalah dan orang yang biasa memberi nasihat. Dia melihat tawakal itu seperti  sendi yang kukuh dan benteng yang teguh. Dia bersandar kepadanya dalam mengadapi taghut (suaitan), orang kafir, penguasa-penguasa zalim dan pemimpin-pemimpin yang tidak adil.
                    Dan memohon pertolongan dan perlindungan kepada Allah. Barang siapa mendapat pertolongan dari Allah, maka sekali kali musuhnya pasti dikalahkan. Barang siapa dicukupkan Allah, maka sekali-kali dia tidak akan merasa fakir dan barang siapa yang dimulikan Allah, maka sekali-kali dia tidak akan merasa hina.
                    Firman Allah  Surah Ali Imran ayat 3:160 yang bermaksud

                    “Jika Allah menolong kamu, maka tidak ada orang yang dapat mengalahkan kamu, dan jika Allah membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan), maka siapakah gerangan yang dapat menolong kamu (selain) dari Allah sesudah itu? Kerana itu hendaklah kepada Allah sahaja orang-orang Mukmin bertawakal.”

No comments:

Post a Comment