Saturday, March 28, 2015

PEMBANGUNAN INSAN DALAM PERSEPSI ISLAM

 (Disiarka pada 28. 3. 2015)
Insan merupakan ciptaan Allah yang mempunyai dua unsur iaitu jasmani dan rohani. Jasmani asalnya daripada tanah manakala rohani adalah ciptaan Allah yang bersifat ghaib. Maka pembangunan insan difahami sebagai pembangunan kedua-dua unsur manusia, jasmani dan rohani. Dalam erti kata lain pembangunan insan dilihat kemanfaatan dalam kedua-dua alam, iaitu jasmani (dunia) dan rohani (akhirat).
               Hidup insan di dunia ini hanyalah sementara. Cuma dunia ini adalah sebuah pelabuhan persingahan dalam satu perjalanan jauh menuju alam  kekal abadi di akhirat. Jasad hanyalah pinjaman Allah s.w.t. kepada setiap insan. Padanyalah roh menumpang. Lalu terciptalah insan itu yang terdiri dari jasad dan roh.  
Jasad akan hancur binasa pada satu ketika yang bernama kematian tiada yang tinggal daripadanya selain dari tulang dan dari situlah tubuh manusia terhimpun kembali menuju ke padang mahsyar di hari kebangkitan. Namun roh akan kekal. Roh akan kembali ke hadirat Allah s.w.t. untuk diperhitungkan samada roh itu diisi dan diimarahkan dengan iman, yakin dan amalan-amalan soleh atau sebaliknya.
Dunia adalah tempat santapan bagi rohani diberikan. Rohani ini hendaknya dihiasi dengan iman, yakin ihsan, muraqabah, amal-amal soleh, akhlak mulia… kesemuanya dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. bagi memperolehi keredhaan-Nya.
Manusia mempunyai potensi kekuatan dan kelemahan yang tertentu. Mana-mana kekuatan atau kelemahan akan berkembang subur dengan banyak berdasarkan beberapa seperti jiwa manusia, corak asuhan, pendidikan, persekitaran fisikal, dan persekitaran sosio-budaya. Satu kekuatan asas yang ada pada manusia ialah kebolehan untuk membina ilmu, membuat pilihan hidup, dan mengurus diri sendiri.
Kelemahan manusia yang paling utama ialah sifat lalai dan lupa. Sifat inilah yang menjadi punca kezaliman, kejahilan, penderhakaan dan ketidaktaatan manusia terhadap peraturan dan suruhan Allah. Manusia dinamakan insan kerana sifat pelupanya. Melalui unsur kesyaitanan dan sifat pelupa manusia terdedah kepada bisikan syaitan. Syaitan merupakan sejenis makhluk yang menjadi musuh manusia yang sentiasa berusaha untuk membawa manusia ke neraka.
Untuk membantu manusia menjalani kehidupan duniawi dengan baik, Allah menurunkan petunjuk dalam bentuk Al-Qur’an dan Sunnah. Dengan berpandukan  ilmu wahyu, pemikiran rasional, dan pengalaman yang konstruktif, maka manusia dapat menjalankan tugas sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi ini dengan baik.
Manusia merupakan sejenis makhluk ciptaan Allah yang terbentuk daripada cantuman jasad dan roh. Sebagai entiti yang hidup, manusia sentiasa berubah dan berkembang menurut perubahan masa dan tuntutan persekitaran. Semasa proses perubaan dan perkembangan itu, manusia sentiasa ingin mendapatkan sesuatu. Keinginan inilah yang mendorong manusia untuk terus berusaha dan merealisasi keinginan yang bermanfaat secara progresif bagi mencerminkan kejayaan dalam perkembangan diri.
Dalam konteks ini, kemanfaatan atau kegunaan tidak ditentukan berdasarkan kepada keuntungan dan keseronokan duniawi  semata-mata. Sebaliknya, kegunaan itu merujuk sesuatu yang memberi manfaat kepada kehidupan duniawi dan ukhrawi. Kekidupan duniawi yang bersifat sementara dilihat sebagai persediaan untuk menjalani kehidupan di akhirat yang bersifat kekal abadi.
Sesetengan keinginan perlu diperoleh kerana tapanya kehidupan manusia akan terjejas. Keinginan seperti itu disebut sebagai keperluan asas. Keinginan yang tidak menjejaskan kehidu-
pan jika tidak diperoleh pula disebut sebagi kehendak. Dalam proses perkembangan, kita perlu membezakan keperluan dengan kehendak supaya tumpuan yang sewajarnya dapat diberi kepada usaha untuk memuaskan keperluan asas.
               Secara khusus, keperluan asas berkait dengan unsur yang membentuk diri manusia. Misalnya, jasad yang berpunca daripada tanah melahirkan keperluan asas yang bersifat fisikal atau kebendaan seperti keperluan untuk mendapatkan makanan, minuman, pakaian, perhiasan, rehat, tidur, tempat tinggal, keamanan, kepuasan seks, pengalaman deria, mengeluarkan kotoran dan mengelakkan kecederaan.
               Roh pula yang berpunca daripada alam ketinggian dan kekudusan melahirkan keperluan asas yang bersifat psikologi atau kerohanian, seperti keperluan untuk membentuk kekuatan akidah, ilmu, akhlak, pencapaian diri, dan persucian diri.
               Untuk memuaskan keperluan asas dengan baik, manusia perlu mengikuti acuan atau kaedah yang ditetapkan oleh Allah. Acuan atau kaedah pembangunan yang ditetapkan oleh Pencipta mempunyai matlamat yang khusus. Misalnya, perkembangan dan pembangunan manusia bermatlamat untuk mempertingkatkan kebahagian diri ke tahap yang optimum dalam semua aspek kehidupan.
Dalam hal ini, aspek rohani yang dianggap sebagai pokok, iaitu penentu bagi system kehidupan mendapat tempat yang istemewa. Manakala aspek-aspek yang lain seperti teknologi, ekonomi, pengurusan, dan saintifik dianggap sebagai cabang yang mengeluarkan buah kerana patuh kepada sifat semula jadi pokok itu sendiri. Kuantiti dan kualiti buah yang dikeluarkan bergantung pada mutu perkembangan sesuatu pokok yang merupakan pembangunan rohani.
Untuk mencapai tahap yang optimum, perkembangan aspek kerohanian harus diseimbang kan dengan perkembangan aspek kebendaan (NikAzis, 1994). Bagaimanapun keseimbangan tersebut bukan bermaksud aspek kerohanian dan aspek kebendaan berada dalam satu bentuk timbangan yang sama berat atau persamaan martabat. Timbangan yang sama berat atau persamaan martabat tidak mungkin dicapai kerana aspek kerohanian mempunyai dimesi, realiti, dan kosmologi yang berbeza daripada aspek kebendaan.
Sebaliknya, keseimbangan antara aspek kerohanian dengan aspek kebendaan dalam pembangunan manusia terbentuk dalam satu konnfigurasi yang unik, dengan pembangunan aspek kebendaan yang bersifat sementara (lihat Nik Azis 1994).
Pembelajaran adalah satu pengembaraan yang berpanjangan. Education is a long life learning. Tidak ada cara singkat, kaedah pendek rengkas atau jalan pintas untuk menjadi insan yang pintar cerdas. Islam menyuruh manusia agar jangan berdiam diri sahaja tanpa melakukan sebarang aktiviti yang konstruktif dan bermanfaat. Kekuatan intelek tidak akan datang dengan sendirinya tanpa usaha dan pengorbanan. Manusia perlu berikhtiar dan berkorban untuk mengubah nasib masa depan anda. Perubahan itu bermuara dengan pembangunan diri secara menyeluruh.
Firman Allah dalam Surah Ar-Ra’d ayat 13:11 yang bermaksud: “Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum kalau kalau kum itu  sendiri tidak mengubahnya.”
Oleh yang demikian halusilah permasalahan yang datang memporak porandakan agenda pembangunan anda  sama ada dalam diri anda sendiri mahupun kepada keluarga dan masyarakat sekelilingnya. Ilmu pengetahuan itu diberi kepada manusia untuk menjadi pemangkin kepada usaha kita hadapi dalam hidup ini, yang semakin tinggi tanggungjawab tamadun manusia.
Menuntut ilmu adalah penting demi kesediaan kita memahami pembangunan kehidupan tetapi yang amat penting sekali ialah amal ibadah. Ilmu yang diperolehi wajar bersama kita dalam hidup kerana kedatangan ilmu tersebut mendewasakan pemikkiran kita sebagai khalifh di
alam kehidupan ini. Segala ilmu yang telah diperolehi seharusnya diterjemahkan dalam
kehidupan kerana dengan cara itu ilmu menjadi zat pembangunan sebenar.
               Ilmu itu ada bermacam jenis. Ilmu yang landasannya kepada syairat mendidik kita memahami disiplin kehidupan yang diredhai Allah S.W.T. Ilmu inilah yang wajar ditelusuri oleh setiap insan untuk melahirkan tamadun kehidupan.
               Dalam system bermasyarakat ilmu dianggap sebagai satu keutamaan dalam system nilai dan juga masyarakat manusia di setiap peringkat. Ilmu menjana pengetahuan yang tinggi dan menjadi kunci kepada segala kebaikan. Ilmu itu adalah ketibaan sesuatu makna, hasil daripada maklumat yang benar ke dalam diri seseorang. Kehadirannya dalam diri anda membolehkan kita memahami maknanya hidup.
               Bermasyarakat  akan melahirkan ukhuwah kemanusiaan kelak menelorkan perasaan kasih sayang antara sesama dan hasilnya ialah ibadah kerana Allah yang pasti ganjarannya  pahala sebagai zat pembangunan rohani kita. Ilmu semata tidak menghasilkan manfaat kepada kita tanpa menterjemahkan sebagai zat pembangunan jasmani. Maka itu ilmu yang diperolehi wajar menjadi sumber pembangunan jasmani dan rohani.
               Ilmu itu adalah hak gunapakai manusia dalam hidup. Hak mutlaknya ialah Allah S.W.T. Anda menggunakan ilmu itu sebatas umur kecuali ilmu itu telah digunakan yang menghasilkan amal jariah di mana produk amalan itu masih bermanfaat kepada orang yang masih hidup setelah anda meninggalkan alam dunia ini.
               Dalam menangani pembangunan manusia, Islam menggunakan faktor masa sebagai barometernya. Peredaran masa mempunyai satu faktor yang manusia wajar mencontohi. Masa begerak secara istikamah, dengan disiplin yang tidak berubah kelajuannya.
               Walau bagaimana pun jika manusia tidak membudayakan disiplin istikamah maka ia merasakan masa berlalu begitu pantas. Setiap ibadah yang dilaksanakan secara istikamah pasti menempah kejayaan kerana budaya demikian satu disiplin pembanguan yang mendapat keredhaan dari Allah S.W.T..
               Jika kita membaca al-Qur’an al Karim dua tiga muka setiap hari secara instikamah Allah lebih suka berbanding dengan orang yang membacanya sekali dalam satu juz kemudian tidak membacanya lagi. Orang yang membaca secara istikamah walaupun hanya dua muka sahaja lambat laun ia akan atam Al-Qur’an berbanding dengan orang yang membaca tidak mengikut  disiplin istikamah maka sampai bila-bila pun ia tidak akan dapat mengatam al-Qur’an.
               Islam mementingkan faktor masa sebab mengetahui pergerakan masa merupakan satu ibadah kerana Allah. Memahami pergerakan masa juga akan mendidik manusia supaya mengetahui peningkatan usianya. Usia adalah satu faktor pembangunan kerana masa membuat segala keperluan tamadun kehidupan, masa mudanyalah yang sesuai untuk melaksanakannya.
               Islam adalah agama ilmu. Al-Qur’an al Karim adalah kitab ilmu dan ayat yang pertama diturunkan ialah berkenaan ilmu, iaitu “Baca”. Membaca adalah pintu keilmuan. Orang yang berilmu sebagai orang bersaksi  kepada Allah dengan ketauhidan bersama Malaikat. Orang yang berilmu adalah orang yang paling takut kepada Allah serta bertakwa kepada-Nya. Firman Alla yang bermaksud:
“Sesungguhnya yang takut kepada Allah di kalangan hamba-bamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu.” Surah Faathir ayat 35:28.
Al-Qur’an adalah kitab teragung yang membangunkan “mentaliti ilmiah”. Al-Quran menolak segala perkara kurafat. Ia juga menolak keraguan dan hawa nafsu dalam kontek perbahasan hakikat akidah yang berdasarkan kepada keyakinan. Al-Qur’an menganggap analisa itu sebagai kewajipan, berfikir itu sebagai ibadah, mencari hakikat itu sebagi amalan mendekat
kan diri kepada Allah.
               Satu aktiviti pembangunan insan yang sangat penting ialah persucian diri. Istilah diri merujuk jasad dan roh manusia. Oleh itu, persucian diri membabitkan aktiviti mensucikan anggota badan daripada najis dan kotoran, mensucikan perilaku daripada amalan yang salah  dan berdosa, mensucikan kalbu daripada kepercayaan yang sesat dan menyelewing, mensucikan jiwa daripada akhlak yang terkeji, dan mensucikan akal daripada persepsi yang mengelirukan.
Potensi intelek tidak dapat berkembang dengan baik sekiranya kita mengalami krisis  keruntuhan akhlak atau kekosongan jiwa. Al-Ghazali (1992) menganjurkan satu pendekatan atau model persucian diri yang bersifat seimbang dan  menyeluruh.

Model persucian diri antara lain membabitkan empat kategori: Kategori 1: Melakukan ibadat kepada Allah. Kategori 2: Menjalankan aktiviti seharian dengan beradab. Kategori 3: Menjauhkan diri daripada perbuatan yang membinasakan dan kategori 4: Mengamalkan perbuatan yang menyelamatkan.

No comments:

Post a Comment