Saturday, October 3, 2015

CUBIT PAHA KIRI PAHA KANAN TERASA SAKIT

 (Disirkan pada  3. 10. 2015)
Manusia adalah makhluk bersosial. Hidupnya diserasikan Allah SWT dengan hidup bermasyarakat. Ia sukar menjalani kehidupan tanpa bantuan orang lain kerana ilmu pembangunan dalam hidup tidak semua dapat diperolehi oleh seorang diri. Maka itu Allah memerintakan Nabi Musa (a.s.) untuk belajar dengan Nabi Khidir demi menyedarkan Nabi Musa (a.s.) yang merasa bangga kerana mempunyai ilmu yang dapat menjatuhkan empire Firaun, raja yang paling zalim di muka bumi ini.
               Nabi Khidir dikurniakan oleh Allah dengan ilmu yang boleh melihat kejadian pemba- ngunan manusia masa depan. Setelah Nabi Musa (a.s.) mengikuti Nabi Khidir buat beberapa ketika, Nabi Musa dapati dirinya bahawa banyak ilmu yang dia belum mengetahui terutama sekali kejadian-kejadian yang akan berlaku di masa akan datang.
Maka itu manusia dikategorikan sebagai makhluk yang lemah. Sejak Nabi Adam (a.s.) sebagai orang pertama Allah wujudkan di alam dunia dan bapa pertama kepada manusia, sudah dilengkapi dengan kelemahan demi kelemahan. Adam gagal mematuhi perintah Allah untuk menjauhi diri supaya jangan menyentuh pohon khuldi yang terlarang itu.
Begitu juga berlakunya kelemahan kepada zuriatnya  bernama Khabil telah melanggar perintah Allah SWT supaya jangan mengawini Iklimah, adik kembarnya sendiri. Akibat dari kegagalan menuruti perintah Allah itu, maka berlakulah amalan pembunuhan manusia pertama apabila Khabil membunuh adiknya Habil yang mengawini Iklimah adik kembar kepada Khabil yang berwajah ayu berbanding dengan Labudah, adik kembar Habil yang diperintakan menjadi pasangan hidup kepada Khabil.
Kelemahan manusia menangani kehidupan dipengaruhi oleh perasaannya yang meng- hendaki sesuatu demi memenuhi kehendak nafsunya. Perasaan adalah garam hidup mengikut pendapat Prof. Dr. HAMKA. Dengan perasaan manusia merenung, mencari ketenangan dalam pergolakan. Menampakkan bahagia dalam sengsara. Menampakan jernih masa depan dalam keruhnya yang sekarang, Itulah muzik dari kehidupan.             
Dalam menangani kehidupan di alam dunia, makhluk manusia mempunyai perasaan amat sensitif terhadap kebajikan orang lain. Keadaan demikian berlaku disebabkan kewujudan semulajadi manusia semuanya sama iaitu mempunyai dua unsur yang sama. Unsur-unsur pembentukan manusia terdiri daripada dua unsur penting iaitu unsur kebendaan (material) dan unsur kejiwaan (spiritual) dari satu sudut.
Jasmani dari tanah dan roh dari ciptaan Allah SWT. Setiap individu dibekalkan Allah dengan berbagai fitrah yang serupa. Maka fenomena kejadian demikian melahirkan satu perasaan yang sama berlaku pada setiap individu. Ungkapan seperti cubit paha kiri paha kanan terasa sakit, satu bidalan bahasa untuk melambangkan pembangunan solidaritas sosial.
Cubit paha kiri, paha kanan terasa sakit merupakan sebuah tamsil atau bidalan bahasa kepada kehidupan manusia yang bersifat sensitif terhadap kebajikan orang lain. Budaya bermasyarakat melahirkan perasaan kekitaan di kalangan antara sesama mukmin. Perasaan itulah yang wujud pada setiap individu yang melahirkan ukhuwah kemanusiaan kelak merasai kebajikan orang lain menjadi tanggungjawab seperti mana juga berlaku kepada diri sendiri.
Hubungan manusia yang se akidah lebih rapat dan kukuh berbanding dengan hubung- an pertalian darah. Sepertimana berlaku kepada Nabi Nuh dengan putranya sendiri bernama Kan’aan yang tidak sama sekali mahu bersama dengan ayahnya masuk ke dalam bahtera yang dibinanya untuk menyelamatkan diri dari bahaya air bah yang menenggalamkan manusai yang kufur kepada ajaran Nabi Nuh supaya beriman dan menyembah Allah.
Agama Islam adalah agama persaudaraan. Firman Allah surah Al-Hujerat ayat 49:13 yang bermaksud:
“Hai manusia sesungguhnya Kami menjadikan kamu dari laki-laki dan perempuan (ibu dan bapa) dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa (bermacam-macam umat) dan
bersuku-suku, supaya kamu berkenal kenalan. Sesungguhnya orang yang termulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Amat Mengetahui.”
Allah memberitahukan, bahawasanya sekalian manusia itu asalnya telah dijadikan daripada seorang lelaki, iaitu Nabi Adam (a.s.) dan seorang perempuan iaitu isterinya Siti Hawa. Kemudian dari kedua-duanya Allah telah menjadikan pula berbagai-bagai bangsa dan suku.
Maka tiadalah seyogia manusia itu bermegah-megah antara satu sama lain, dengan
menyombongkan keturunannya, kebangsaannya atau pangkatnya. Jangan menghinakan orang lain, atau mengejek-ejek, mencela, mentetawakan dan sebagainya. Sedangkan  mereka semua nya berasal dari satu keturunan, walaupun berlain-lainan bangsa, bahasa, warna kulit dan bentuk roman mukanya. Apalah yang hendak dimegah-megahkan, walhal semuanya berasal dari air dan tanah.
               Allah menjadikan manusia berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, untuk berkenal-kenalan di antara satu sama lain. Dan untuk mendekatkan pengertian, persefahaman dan perbaikan, agar tercipta di dalam dunia ini ketenteraman dan kerukunan.      
               Sesungguhnya manusia yang hidup di dunia ini sentiasa berlumba-lumba di antara satu dengan yang lain, untuk mencari kemuliaan. Dalam hubungan ini, Ibnu Abbas (r.a.) ada mengatakan: Bahawa kemuliaan di dunia ialah kekayaan, sedangkan kemuliaan di akhirat pula ialah takwa (kebaktian kepada Allah)
               Allah mencela manusai yang  membangga-banggakan keturunannya, atau apa sahaja yang dengannya dia menganggap lebih mulia. Maka bagi Allah, orang yang paling mulia disi-Nya ialah yang banyak kebaktiannya kepada Allah, atau  yang paling berbakti kepada-Nya. Dan caranya berbakti kepada Allah itu hendaklah menjalankan segala apa yang diperintahkan-Nya, dan meninggalkan semua yang ditegah-Nya.
               Allah tahu akan apa yang dilahirkan oleh seseorang dan juga tahu tentang susur-galur keturunannya. Mengerti tentang apa yang disembunyikan atau rahsia sesesorang.    
Manusia diwujudkan Allah SWT lengkap dengan fitrah kehidupan yang serupa. Antara fitrah yang Allah bekalkan kepada manusia ialah suka berkenalan dan suka tolong-menolong di antara satu sama lain. Dengan kedua-dua fitrah inilah manusia dapat berkenal di antara satu sama lain sekali pun berlainan bangsa dan negara serta berjauhan tempat tinggal dan berlainan cara hidup.
Di dalam al-Qur’an banyak ayat-ayat yang menyatakan tentang hidup bermasyarakat, antaranya firman Allah SWT surah Al-Maidah ayat 5:2 yang bermaksud:
“.....Dan bertolong-tolonglah kamu dalam perkara kebajikan dan kebaktian tetap janganlah bertolong-tolongan  dalam perkara dosa dan melanggar peraturan. Takutlah kamu kepada Allah. Sesungguhna Allah itu bersangatan keras seksanya.”
Allah menyeruh sekalian umat Islam itu hendaklah antara satu sama lain bertolong-tolongan dalam perkara kebajikan, iaitu segala kerja yang baik dan membawa faedah kepada masyarakat, dan bertolong-tolongan dalam kebaktian, iaitu beramal yang baik yang mengan- dungi jasa – sesuai  yang diperintahkan oleh Allah dan jauh dari yang ditegah-Nya.
Dan Allah melarang bertolong-tolongan dalam perkara maksiat yang mendatangkan dosa, demikian pula dalam perkara permusuhan dan melanggar hukum. Jika seruan ini di pegang teguh, dan dilaksaanakan sepenuhnya dalam hubungan masyarakat, maka akan tercip- talah kesucian, kebahagian dan pedamaian dalam perhubungan umat manusia.
Keamanan hidup adalah di antara kelebihan manusia dari makhluk lain, ianya lahir dari keluhuran budi, dan keutamaan pekerti dan perangai yang baik dan menghasilkan rasa suka dan kasih di antara mereka serta rasa suka dan menghormati terhadap hak milik orang lain.
Terjadinya keamanan di kalangan manusia adalah hasil daripada didikan agama, di
mana manusia disuruh bermaaf-maafan di antara satu sama lain, andainya terdapat kesalahan dan kesilapan dalam pergaulan harian. Adalah wajar menghargai jasa dan kebolehan orang lain, dianjurkan supaya mengorbankan sebahagian hak miliknya untuk kepentinan umum, digesa supaya sentiasa mengamalkan sikap bantu membantu, tolong menolong, pesan-memesan ke arah bersifat sabar dan berlaku adil terhadap dirinya sendiri dan kepada orang lain.
               Cubit paha kiri paha kanan terasa sakit, sebenarnya merupakan satu tamsilan kepada kehidupan yang sentiasa berkerja sama, bertimbang rasa dan merasakan kebajikan orang lain merupakan kebajikan pada diri sendiri juga. Rasa kekitaan harus hidup dalam bermasyarakat dan menjadi kewajiban dan tanggungjawab untuk menjaga keperibadian orang lain terutama sekali dalam ukhuwah kemanusian kerana Allah SWT.
               Kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. adalah membuntuk akhlaq manusia seirama dengan kehendak Al-Qur’an yang diredhai Allah SWT. Seperti sabdanya:
               “Diutus aku ini adalah untuk menyempurnakan akhlaq yang mulia.”
               Tujuan utama Nabi Muhammad s.a.w. diutus menjadi rasul ialah untuk mengembali kan manusia supaya tetap berada di atas keperibadiannya yang asal iaitu tetap di dalam keutamaan budi pekertinya.
               Oleh kerana itulah Al-Qur’an sering kali menyarankan kepada manusia tentang ketinggian akhlak itu. Firman Allah surah Al-Baqarah ayat 2:109 yang bermaksud:
               “.......maka maafkanlah mereka dan tinggalkan! Sehingga Allah menurunkan perintah Nya. Sesungguhnya Allah berkuasa di atas segala sesuatu.”
               Orang-orang yang menganjurkan kufur sesudah iman, membuat dusta terhadap Nabi, mencerca agama dan lain-lain perkara yang sudah-sudah. Maafkanlah mereka dan lepaskan lah, disebabkan kejahilan mereka, sehingga tiba masanya Allah memerintahkan apa yang patut dilakukan. Keampunan ini adalah amaran kepada orang-orang Ahli Kitab(orang Yahudi pada masa itu), kerana Tuhan belum memerintahkan orang-orang Islam memerangi mereka.
               Firman Allah lagi dalam surah Al-Baqarah ayat 2:237 yang bermaksud:
               “....Hendaknya kamu melupakankanlah (kerana maaf itu) lebih hampir kepada takwa. Janganlah kamu melupakan kurnia (pemberian) sesama kamu. Sesungguhnya Allah Maha melihat akan apa-apa yang kamu kerjakan.”
         Firman ini ditunjukan kepada kedua suami dan isteri, iaitu suatu “suruhan”, hendaklah masing-masing itu saling bertolak ansur tentang hak dan tuntutannya dalam perkara mahar. Kemudian Allah mengingatkan lagi kepada kedua suami isteri yang bercerai atau berpisah itu dengan anjuran agar masing-masing menjadi orang yang bersifat pemurah, berhati mulia dan berbudi pekerti yang tinggi iaitu; kalau dia sebagai suami, berikanlah mahar isterinya itu dengan cukup. Dan dia sebagai isteri berikanlah bahagian yang telah menjadi miliknya (maharnya) sebagai pemberian kepada suaminya.
               Allah Maha mengetahui tentang kemaafan yang kamu berikan sesama kamu, di dalam perkara menuntut hak yang menjadi tanggungan masing-masing. Tiadalah hal yang  sedemi- kian itu tersembunyi di sisi Allah, dan pasti akan mendapat balasannya yang baik.                                                                                                                                                                                             
               Dalam menangani kehidupan bermasyarakat, bidalan bahasa  cubit paha kiri paha kanan terasa sakit sering ditamsil kepada maruah individu dalam hubungan antara sesama manusia  terutama sekali masyarakat yang seakidah. Masyarakat muslim mementingkan perasaan kekitaan dalam urusan pembangunan kehidupan serta tingkah laku dalam hubungan kemanusiaan.
               Allah menamakan dirinya Al-Rahman dan Al-Rahim, ertinya Yang Maha  Pengasih dan Yang Maha Penyayang. Tuhan adalah zat yang penuh dengan kasih dan sayang terhadap
makhluk-Nya. Segala yang kelihatan dan didengar tanpa kecualinya adalah rahmat Allah. Bumi dengan segala isinya, matahari  dengan cahayanya yang memancar dan berpindah, bulan dengan sinarnya yang lunak, bintang dengan sinarnya yang berkedip-kedip, semua ini adalah rahmat atau kasih sayang Allah. Itulah rahmat  Allah yang jelas dan kelihatan.
               Ada rahmat  Allah yang ta’ dapat kita lihat, tetapi dapat rasakan. Perasaan enak dan nyaman ketika kita makan dan minum. Perasaan enak atau nyaman ketika kita melihat pemandangan yang indah adalah rahmat Allah yang jauh lebih tinggi dari benda yang kelihatan.  
Apa lagi rahmat Tuhan yang berupa cinta dan kasih sayang terhadap keluarga kita atau  terhadap  manusia umum khususnya kepada masyarakat mukmin, adalah rahmat Tuhan yang jauh  lebih tinggi lagi dari rahmat pertama dan kedua tadi. Cuba bayangkan apa rasanya dan apa ertinya hidup kalau tidak ada rasa cinta dan kasih terhadap anak dan  isteri, terhadap manusia dan keluarga.
Dalam banyak hadiths dari Rasulullah saw. menegaskan bahawa seluruh macam rahmat dan nikmat Allah yang kita lihat dan dengar di dunia ini, segala macam kesenangan dan kemewahan yang diperolehi manusia di dunia ini, baru merupakan 1% dari rahmat dan nikmat Allah yang sebenarnya. 99% dari rahmat dan nikmat Allah itu disediakan Allah di alam akhirat nanti.

Sabda Rasulullah saw. : “Bahawa Allah SWT  menjadikan 100 rahmat. Satu rhmat di berikan untuk seluruh makhluk yang hidup di atas dunia ini. Dengan rahmat yang satu itulah berkasih sayang semua manusia, binatang dan jin. Sedang 99 rahmat disediakan Allah untuk di alam Akhirat nanti.”

No comments:

Post a Comment