Friday, September 25, 2015

KELEZATAN HIDUP DALAM PERSPEKTIF ISLAM

 (Disiarkan pada 26. 09. 2015)
Hidup yang lezat ditamsilkan kepada kehidupan yang bahagia. Kebahagiaan hidup  di dunia berpangkal kepada kehadiran iman dan ketakwaan kepada Allah SWT. Ia akan melahirkan  suasana ukhuwah kemanusiaan serta kasih sayang dalam bermasyarakat di samping keluarga yang saleh dan salihin, kelak mewujudkan fenomen pembangunan keluarga yang berkiblat kepada rumahku adalah syurgaku.
               Rumahku  syurgaku, merupakan satu konotasi mulia yang melambangkan kebahagian hidup beragama. Institusi kekeluargaan bermula sejak kewujudan manusia di alam dunia ini. Keluarga terbentuk dari sepasang suami isteri yang diikat dengan satu perundangan yang dipanggil nikah melalui ijab kabul yang diselenggarakan oleh seorang hakim (imam) dan di hadiri oleh dua orang saksi.
               Rumah tempat tinggal merupakan satu kediaman yang melahirkan keseronokan dan kegembiraan bersama keluarga di bawah pimpinan  seorang suami yang taat kapada agama. Sebuah keluarga yang dibangunkan dalam sebuah rumah tangga sewajarnya dihiasi dengan suasana perasaan kasih sayang antara suami isteri bersama anak-anak bahagia.
               Kasih sayang yang lahir dalam membina keluarga bahagia berpangkal dari pengurusan seorang isteri dibawah bimbingan seorang suami yang dimuliakan dengan iman dan ketakwaan kepada Allah SWT. Cinta kepada agama Allah SWT akan melahirkan kelezatan hidup yang mulia yang sentiasa dihiasi dengan suasana tujuh belas rakaan sehari semalam yang menjadi tiang lahirnya  keluarga tercinta.
               Membina keluiarga bahagian semestinya berlandaskan kepada disiplin serta akhlak yang mulia terutama sekali kepada seorang suami sebagai pemimpin dalam pembinaan keluraga mithali. Seorang suami harus menangani kesabaran dalam urusan beribadat sama ada secara zahir atau secara batin kerana segala amalannya akan terpancara kepada pembangunan akhlak generasi pelapis dalam keluarganya.
               Dalam surah Ali Imran atau kelurga  Imran iaitu surah ke tiga mengandungi 200 ayat, kesemuanya diturunkan di Medina selepas turunnya surah Al-Anfal. Perkataan Ali Imran yang menjadi nama surat ini, terambil dari firman Allah dalam ayat 33 yang berbunyi:
               “Sesungguhnya Allah telah memilih Adam, Nuh, keluarga Ibrahim dan keluarga Imran di antara segala orang-orang yang di dalam alam.”
               Allah telah pilih mereka sebagai pati dari segala penduduk alam, kerana merekalah orang-orang yang menyandang pangkat Nabi dengan tugas seruan (risalah), yang dimuliakan dengan Nabi Adam (a.s.) iaitu bapa segala manusia, yang dari keturunannyalah terbit para Nabi dan Rasul-Nya.
               Kedua Nabi Nuh (a.s.) iaitu bapa manusia yang kedua, kerana pada zamannya telah berlaku taufan yang kencang dan bah yang besar yang memusnahkan semua keturunan manusia, hanya dia dan ahli-ahlinya yang taat terselamat berada di atas bahterah yang besar. Dari anak cucunya pula terbit para Nabi dan Rasul. Kemudian anak cucu mereka berselerak di permukaan bumi, dan selang beberapa lama kemudian telah meresap pengaruh dari adat menyembah berhala di kalangan mereka.
               Kemudian Allah bangkitkan pula Nabi Ibrahim (a.s.) sebagai Nabi dan Rasul. Sesudah itu berturutan anak cucunya dilantik menjadi Nabi ataupun Rasul, seorang demi seorang dan semasa ke semasa seperti Ismail, Ishaq, Yaakub dan Asbaat (campuran keturunan Yaakub). Dan di antara keturunannya yang mempunyai sebutan tinggi dan ternama ialah keluarga Imran iaitu Nabi Isa dan ibunya Maryam, anak perempuan Imran  Dan keturunan Ibrahim itu telah di akhiri dengan Nabi Muhammad (s.a.w.) dari keturunan Ismail (a.s.).
               Adapun surah “Ali Imran” sebagai mana yang disebut dalam berita-berita yang diriwayatkan oleh para Sahabat Nabi (s.a.w.) di antara kelebihannya ialah perbendaharaan bagi orang yang fakir dan menjadi penghujah di akhirat bagi yang membacanya.
               Barang siapa membaca ayat-ayat yang akhir dari surah Ali Imran pada malam hari, akan dtuliskan pahalanya seperti pahala beribadah sepanjang malam. Firman Allah surat Ali Imran ayat 3: 200 yang bermaksud:
               “Hai orang-orang yang beriman! Sabarlah kamu (dalam ketaatan), bersabarlah (menghadapi musuh) bersedia-sedialah (menentang mereka) dan takutlah kamu kepada Allah, semoga kamu mendapat kemenangan.”
               Menegakkan iman kepada Allah bukanlah mudah rupanya. Bertambah suci tujuan, bertambah banyaklah kesulitan yang dihadapi. Musuh ada dari luar, iaitu kaum kafir yang selalu menentang. Tetapi ada lagi musuh yang lebih berbahaya dari itu, iaitu lawan yang mengakui dirinya jadi kawan, iaitu kaum munafik. Dan lalu menipudaya kamu. Dan ada lagi musuh yang berbahaya dari itu, iaitu hawa nafsumu, kalau tidak terkendali. 
               Tetapi kamu ada mempunyai modal yang tidak akan habis, iaitu IMAN. Bahkan iman itulah yang mereka musuhi. Maka supaya imanmu terpelihara dan citamu berhasil, iaitu kalimah Allah tertegak tinggi dari kalimat kafir runtuh ke bawah, hendaklah kamu pegang empat perkara:   1. Sabar: Tahan hati, teguh, sabar menahan nafsu, sabar mengedalikan diri, baik waktu bertahan, atau waktu menyerang, sabar sedang cubaan menimpa, dan sabar melakukan perintah Allah. 2. Menangkis atau melawan sabar; Sabar yang setingkat lagi kerana orang yang lebih lama tahan, itulah yang menang. 3. Hendaklah bersiap terus. Perkuat penjagaan. Kokohkan kewaspadaan. 4. Hendaklah takwa kepada Allah. Disinilah terletak kunci sebenarnya daripada yang tigadi atas.                                                                                                                               
               Perkahwinan dalam Islam merupakan satu perjanjian antara suami isteri. Allah berfirman  dalam surah An-Nisa ayat 4:21 yang bermaksud:
               “Dan mereka (isteri-isteri mu) telah mengambil dari kamu perjanjian yang kuat.”
               Ia merupakan perjanjian antara lelaki dengan perempuan yang setiap pihak bertang- gungjawab ke atas pihak lain. Ia memberi ta’bir atau saranan supaya memelihara kebajikan dan berkasih sayang. Ia bukan sahaja setakat ‘aqad untuk memiliki tetapi hubungan antara lelaki dengan wanita dalam perkahwinan ialah hubungan kedamaian yang sama kedua pihak, mendapat ketenangan jiwa, berkongsi keseksaan dan saling kasih mengasihi.
               Apa tujuan hidup ini sebenar? Kelahirah manusia di dunia ini adalah lanjutan daripada kewujudannya di alam arwah dahulu sebagai tempat ujian kepada manusia akan sejauh mana keimanannya kepada Allah SWT dan sumpah setia, sebelumnya. Allah SWT tidak menjadikan manusia dan jin melainkan untuk berbakti dan beribadat kepadanya.
               Firman Allah surah Adz-Dzariyat ayat 51: 56-58 yang bermaksud:
               “Dan Aku tidak jadikan jin dan manusia melainkan supaya menyembah Aku, Aku tidak sekali-kali  menghendaki rezeki sedikitpun dari mereka dan Aku tidak kehendaki mereka memberi makan kepada-Ku, sesungguhnya Allah SWT Dialah pemberi rezeki yang mem- punyai kekuasaan yang sangat teguh.”
               Menyembah Allah SWT. bererti memusatkan penyembahan kepadanya semata-mata dengan cara menjalani dan mengatur seluruh aspek kehidupan dunia secara zahir dan batin adalah sesuai dengan kehendak llahi, baik secara perseorangan dalam hubungan dengan khaliknya atau pun sebagai anggota masyarakat dalam hubungannya terhadap sesama manusia.
               Dengan maksud lain bahawa semua kegiatan seseorang hamba Allah sama ada yang berupa ibadat terhadapi llahi atau pun yang berupa muamalat terhadap sesama manusia, semuanya itu hendaklah dilakukan dalam rangka persembahannya kepada Allah SWT. dengan niat hendak mencapai keredhaan Allah semata-mata.
Inilah tujuan hakiki dari hidup ini iaitu keredhaan Allah SWT. keredhaan Ilahi yang memungkinkan tercapainya hidup yang sebenar-benarnya. Hidup yang lebih tinggi mutunya dari hidup yang duniawi, hidup yang bukan  bermaksud kebendaan sebagai kelanjutan hidup material ini iaitu  hidup di alam akhirat yang puncak kebahagiannya terletak dalam pertemuan
dengan Khalik. Inilah ertinya menyembah Allah SWT. sebagai tujuan hidup.
Di samping itu manusia semuanya telah bersumpah dan berjanji kepada Allah SWT. serta mengakui bahawa Allah adalah Tuhan yang perlu disembah dan Dialah yang mengatur seluruh  makhluk ini.
Allah SWT. menyatakan bahawa manusia telah mengakui keesaan-Nya dan berjanji untuk berbakti dan beribadat kepada-Nya di alam arwah. Maka setiap perjanjian itu perlu menempuhi neraca ujian, apakah iman itu benar dan kuat, sadurankah atau sejati (waja). Para rasul dalam melaksanakan ibadat untuk menyemerakkan akidah Islam sentiasa melalui berbagai kesulitan dan ujian. Sehingga ujian itu meragukan keselamatan para rasul.
Dalam menjalankan ibadat untuk mengembangkan akidah Islam kekuatan iman diperlukan sebagai benting yang teguh. Iman yang tidak goyah walaupun dia diuji dengan berbagai kesengsaraan dan malapetaka iman yang teguh tetap berdiri di sisi Allah SWT. Konotasi iman belandaskan kepada naluri individu terhadap keyakinannya  kepada adanya kewujudan Zat dan kekuasaan Allah SWT dalam cakerewa kehidupan di alam dunia mahupun di alam akhirat.
Iman yang disertakan dengan taat dan perjanjian yang disertakan dengan pengor- banan adalah dikira iman yang teguh. Oleh itu taat dalam menjunjung perintah Allah SWT. serta diboktikan dengan pengorbanan suci untuk menampakkan kalimah Allah SWT. dikira sebagai tanda bahawa seorang itu telah pun benar-benar beriman dan percaya kepada Allah SWT.
Dunia yang kita diami sekarang ini bukanlah merupakan syurga yang aman dan bahagia. Bahkan sebaliknya merupakan tempat ujian, tempat percubaan, tempat persaingan, pentas drama untuk manusia berlakon dan memainkan peranan penting sekali dalam menentukan nasib hidupnya di masa akan datang iaitu alam akhirat. Seandainya manusia dapat menghadapi segala cubaan-cubaan hidupnya dan dapatlah dia mempertahankan keperibadian sebagai manusia yang sebenar-benarnya.
Untuk memberi kemampuan diri kepada manusia dalam menghadapi perjuangan ini, maka manusia dilengkapkan dengan keistmewaan dan keutamaan-keutamaan tertentu. Manusia dilengkapi dengan lima perkara di antaranya: Agama, Ilmu, Akal, Jiwa, harta dan keturunan.
Barang siapa yang dapat menjaga kelima-lima perkra ini, maka bahagialah hidupnya dan terjaminlah keperibadiannya sebagai manusia, tetapi jika menempuihi kegagalan maka hinalah hidup mereka dan akan merana sepanjang masa serta sia-sialah sifat-sifat keisteme- waan dan keutamaan yang diberikan kepada mereka.
Kehidupan berumah tangga tidak boleh dipisahkan dengan kehidupan masyarakat seluruhnya. Kebahagian manusia secara umum diukur mengikut kebahagiaan kehidupan rumahtangga.. Kerukunan rumahtangga adalah asas kepada keteguhan dan kemajuan masyarakat.
Kebanyakan bangsa menganggapkan bahawa perkahwinan adalah salah satu jenis perhambahaan wanita kepad alelaki. Tetapi Al-Qur’an telah menyamakan kedudukan wanita dan laki-laki menerusi pembahagian tugas dan hak-hak, di samping menjadikan ketua perkongsian rumah tangga kepada lelaki. Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 2:228 yang bermaksud:
“”Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajibannya menurut cara yang Ma’ruf. Akan tetapi para suami, mempunyai satu tingkat lebih daripada isterinya.”
Kerukunan berumah tangga dituntut oleh Islam kerana masyarakat yang bertamadun terbentuk dari keluarga  bahagia. Kasih sayang yang terbentuk dalam jiwa anak-anak akan membina masyarakat yang sentiasa memelihara ukhuwah kemanusiaan. Terbinanya budaya demikian akan melahirkan masyarakat yang cintakan keamanan dan kedamaian yang diredai oleh Allah s.w.t..
Bagaimana pun membentuk akhlak anak-anak yang  mulia supaya sentiasa mempu- nyai penampilan yang seirama dengan pembangunan sosial yang berlandaskan kemurnian beragama. Ketahuilah bahawa pembangunan sosial bermula sejak pertemuan jodoh kedua suami isteri. Jika si suami mempunyai hati yang jauh dari amalan hidup beragama maka adalah amat sukar  menjinakkan hati anak-anak kepada amalan-amalan yang berunsurkan ketamadunan beragama.
Begitu juga keadaan sebaliknya, jika si isteri adalah wanita yang  keji maka  akhlak tersebut akan dipusakai oleh  zuriatnya. Apabila bahan yang membentuk anak dalam rahim ibu adalah bahan yang kotor (haram) maka bagaimana acuan pembangunan yang disedia kepada anak itu apabila lahir kelak sukar membentuknya sebagai insan yang bermoral. Dan jika akhlaq suami isteri kelak sukar berkompromi dengan peraturan pembangunan sosial maka pembentukan akhlaq anak-anak mereka  akan menemui jalan buntu.

Melahirkan keluarga bahagia asasnya adalah zuriat yang terbentuk dan terpimpin dengan ilmu agama. Kasih sayang antara suami isteri merupakan pemurni kepada pembangunan akhlak anak-anak yang kelak akan menjadi ahli masyarakat yang akan membentuk pembangunan kehidupan yang bertamadu. Anak yang baru lahir  dianggap sebagai kain putih yang bersih. Maka ibubapalah yang menentukan coraknya. Corak yang paling ampuh dan sempurna ialah didikan agama yang sempurna iaitu agama Islam. 

No comments:

Post a Comment