(Disiarkan pada 7 November 2015)
Kesatuan adalah keperluan persaudaraan
maka semangat kerjasama menghidupkan ukhuwah kemanusiaan kelak melahirkan
suasana cintakan umat. Hidup di dunia seharusnya dimuliakan dengan semangat
tolong menolong dalam menyelenggarakan kemanfaatan hidup di dunia dan di
akhirat kelak kerana segala keperluan hidup dapat ditangani dengan adanya
kerjasama antara sesama.
Ahli-ahli falsafah mengatakan bahawa “Two heads are better than one”, yang
membawa maksud bahawa dalam menyelesaikan masalah pembangunan adalah lebih
bermanfaat jika dibawa ke meja perundingan bersama orang lain kerana di situ
percambahan fikiran atau pendapat boleh dilaksanakan untuk menemukan jalan
penyelesaian mengenai masalah yang dihadapi.
Kita tahu bahawa segala ilmu di alam
dunia ini tidak dapat dikuasi oleh seorang diri. Allah SWT taburkan ilmu-Nya
kepada hamba-hamba-Nya mengikut kadar yang ditetapkan kepada setiap individu.
Maka itu adalah wajar ada semangat kerjasama demi menyatukan umat dalam
memurnikan pembangunan kehidupan di dunia.
Dalam percambahan fikiran, kita dapat
mewujudkan ukhuwah demi melahirkan perasaan kasih sayang antara sesama yang
mengikatkan suasana kekitaan sebagai semangat keunggulan yang akan menelurkan
solusi penyelesaian yang boleh diterima oleh semua pihak. Solusi berkenaan merupakan
satu ilham dari Allah SWT kelak mendekatkan kita kepada-Nya sebagai Zat yang
Maha Berkuasa dan Bijaksana.
Dalam dunia pembangunan, ilham yang
merupakan hidayah yang kecil dari Allah SWT, wajar setiap individu menemuinya
kerana manusia hanya sebagai perintis pelaksana atau merancang pembangunan dan ketentuannya
terpulang kepada Allah SWT.
Segala agenda yang berkaitan dengan
ekonomi atau hal-hal pembangunan lainnya dalam kehidupan dunia adalah kepunyaan
Allah SWT dan manusia diamanahkan untuk menyeleggarakan sesuai dengan fitrah
kehidupan bermasyarakat.
Adalah menjadi dasar ekonomi Islam di
dalam masyarakat Islam ialah menganggap harta pada hakikatnya sebagai harta
Allah dan menganggap manusia hanya
sebagai pemegang amanah atau peminjamnya sepertimana yang disebutkan oleh
Al-Qur’an al-Karim dalam surah Al-Hadid ayat: 57:7 yang bermaksud:
“Hendaklah
kamu beriman dengan Allah dan rasul-Nya? Dan hendaklah kamu belanjakan
sebahagian daripada (harta) yang Allah telah jadikan kamu penguasa padanya.
Maka orang-orang yang beriman di antara kamu dan yang membelanjakan sebahagian
hartanya mereka itu memperolehi pahala yang besar.”
Allahlah Pemilik harta benda kerana
Dialah Penciptanya serta Pencipta sumber-sumbernya dan Pemudah kepada sarana
untuk mendapatkannya. Bahkan Allahlah Pencipta manusia dan alam sejagat. Setelah
Allah menyuruh manusia supaya beriman, disuruh-Nya pula membelanjakan harta
atau sebahaginnya dengan jalan memberikan nafkah untuk diri, isteri dan anak
dan dengan berderma atau bersedekah. Harta tersebut Allah telah jadikan mereka
penguasa padanya.
Sebenarnya harta itu pada hakikatnya
kepunyaan Allah, bukan kepunyaan manusia, kerana Allah yang menjadikannya.
Manusia disenangkan-Nya menerusi harta dan diberi kuasa membalanjakannya
sebagai wakil Allah yang tidak boleh menahan harta itu daripada dibelanjakan
pada perkara yang diperintah oleh Allah sebagai pemiliknya.
Islam menetapkan hak milik perseorangan
daripada segi harta, dengan jalan memilikinya secara syarak, sama; sama ada
dengan jual beli, mengupah, menyewa, menggadai, wasiat, pusaka dan lain-lain muamalat
yang halal, yang telah ditetapkan olehnya – bukan dengan jalan curi, rampas,
rompak, tipu, pemalsuan, khianat dan sebagainya.
Hak milik ini sentiasa dilindungi,
dengan membenarkan pula berbelanja dan menafkahkannya pada jalan Allah, dalam
perkara-perkara yang wajib, sunat dan yang mubah; bukan dibelanjakan dalam perkara-perkara
yang haram yang membazir atau yang menyebabkan kehilangannya.
Walau bagaimana pun, Islam tidak
membiarkan hak milik perseorangan itu lepas bebas tanpa ikatan atau batasan. Ia
menetapkannya dan menetapkan di sampingnya dasar-dasar yang lain; mengubahnya
daripada segi teori bukan daripada segi praktikal dan hampir-hampir pemiliknya
terlepas daripada hak miliknya sebaik-baik mencukupi apa yang dihajatkannya.
Pertama-tama dasar yang ditetapkan oleh
Islam, di samping hak milik persaorangan, ialah orang persaorangan seakan-akan
wakil daripada jemaah orang ramai di dalam harta tersebut dan penglibatan orang
tersebut tidak lain hanyalah sebagai seorang pekerja lebih daripada seorang
pemilik. Pada umumnya harta itu hak milik jemaah orang ramai. Sedang jemaah
orang ramai pula merupakan peninggalan (pusaka) Allah, yang tidak berhak
memiliki sesuatu melainkan Allah – di mana Allah telah menyatakan dalam ayat 7
surah al-Hadid).
Tujuan ayat ini untuk menggalakkan umat
Islam mengeluarkan nafkah yakni membelanjakan harta pada jalan Allah,
disertakan bersifat zuhud yakni tidak terlampau mencintai kemewahan dunia. Oleh
itu Allah melanjutkan firman-Nya yang bermaksud:
“Maka
orang-orang yang beriman di antara kamu dan membelanjakan sebahagian hartanya
mereka itu memperoleh pahala yang besar”.
Maksudnya: Mereka yang menghimpunkan
antara keimanan yang sejati dengan mengeluarkan nafkah pada jalan Allah,
semata-mata mengharapkan keredaan Allah akan memperolehi pahala yang besar
iaitu syurga.
Allah itulah Tuhan pencipta dan
menguasai seluruh alam baik di langit mahupun di bumi dan perlukan oleh-Nya,
mengikut sesuka-Nya. Firman-Nya dalam surah An-Najm ayat 53:31 yang bermaksud:
“Dan kepunyaan Allah apa yang ada di langit dan yang ada di bumi,
supaya Dia memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat jahat terhadap apa yang
telah mereka kerjakan dan memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik
dengan kebaikan (syurga).
Tidak siapa
boleh mengganggu gugat kekuasaan Allah.
Oleh sebab itu orang yang jahat dibalas dengan kejahatan dengan memasukkannya
ke dalam neraka, dan yang berbuat baik dibalas dengan kebaikan pula dengan
memasukkannya ke dalam syurga.
Dalam surah Yunus ayat 10:66 Allah berfirman yang bermaksud:
“Ingatlah! Sesungguhnya kepunyaan Allah siapa-siapa yang di langit dan
siapa-siapa yang di bumi, dan orang-
orang yang
menyembah selain Allah itu tidak akan mengikuti sekutu-sekutu (berhala). Tidak
lain yang mereka ikut kecuali
persangkaan, dan
tidak lain mereka kecuali berdusta.”
Allah mengingatkan, bahawa tidak
ada yang memiliki siapa-siapa yang berada di langit, makhluk yang berakal,
iaitu para malaikat. Begitu pula siapa-siapa yang berada di bumi – dimaksudkan
manusia dan jin. Kecuali yang memiliki mereka hanyalah Allah.
Perbuatan mereka menyembah
berhala itu sesuatu persangkaan mereka bahawa hal itu dapat memberikan syafaat
diri kepada Allah, maka itulah persangkaan mereka amat keliru! Dan tidak lain
mereka hanyalah berdusta, iaitu terhadap apa yang mereka dakwakan.
Islam mengharam pencarian yang
kotor kerana prinsip Islam ialah menghalalkan yang baik dan mengharamkan yang
kotor. Pencarian yang kotor ialah pencarian yang diperolehi melalui jalan
kezaliman dan mengambil harta orang lain secara tidak benar seperti: merompak,
mencuri, menipu, mengurangkan sukatan dan timbangan, monopoli, menggunakan
kesempatan atas keterdesakan orang lain untuk mengaut keuntungan dan lain-lain
lagi.
Begitu juga memperolehi sesuatu
tidak sepadan dengan usaha dan pengorbanan seperti riba dan judi (termasuk
loteri) dan sebagainya. Begitu juga pencarian melalui aset yang haram seperti:
arak, babi, berhala, patung, bijana yang
diharamkan, anjing yang diharamkan....dan sebagainya. Begitu juga dengan
pencarian yang dihasilkan melalui manfaat yang tidak diakui Syarak seperti upah
para dukun, tukang ramal, penenung nasib, pengurusan riba, atau berkerja di
bar-bar, disko dan tempat-tempat hiburan yang diharamkan....dan seumpama.
Rasulullah saw. memberi ancaman
terhadap pemakan harta yang haram dengan api neraka. Sabda baginda Nabi
Muhammad saw.
“Setiap jasad yang tumbuh dari benda yang haram maka neraka adalah
tempat yang paling layak untuknya.” (Diriwayatkan oleh Ahmad, al Darami dan
Ibn Hiban di dalam kitab Sahih al-Jami’ sepertimana yang disebutkan di dalam
kitab Sahih al-Jami al-Saghir).
Islam tidak menilai bagusnya niat
yang baik serta matlamat yang mulia jika ia dilakukan melalui jalan pencarian
yang haram. Oleh itu jika pemakan riba membina sebuah universiti atau
mengasaskan sebuah sekolah untuk anak-anak yatim atau seumpamanya, usahanya itu
tidak dihargai oleh Islam. Sebuah Hadith yang sahih ada menyebutkan:
“Sesungguhnya Allah Maha Baik dan Dia tidak menerima melaikan yang baik
sahaja”. (Diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Hurairah)
Sebuah Hadith yang lain ada
menyatakan:
“Sesungguhnya yang kotor itu tidak akan menghilangkan yang kotor juga.”
(Diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Hakim dari Ibn Mas’ud).
Sesuatu yang haram tetap menjadi
haram menurut perspektif Islam, sekalipun hakim menghukumnya sebagai halal
berdasarkan bukti yang ada padanya.
Firman Allah SWT dalam surah
Al-Bakarah ayat 2:188 yng bermaksud:
“Janganlah kamu memakan harta orang dengan jalan yang tidak halal
(batil), dan kamu bawa kepada hakim supaya dapat kamu memakan sebahagian
daripada harta orang dengan berdosa
(aniaya), sedang kamu mengetahui.”
Dilarang menguasai harta orang dengan jalan yang batil, melalui
mahkamah pengadilan. Iaitu dengan membawa saksi-saksi bohong yang menerima
upah, pada hal dia tahu bahawa tuan punyalah yang berhak atas harta itu,
meskipun ia tidak mempunyai bukti-bukti yang
boleh memberi puas hati pihak mahkmah. Maka harta demikian itu
adalah harta yang diperolehi secara zalim dan aniaya.
Berhubung dengan masalah ini
terdapat sebuah Hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Sesungguhnya kamu semua mengadu kepadaku, barangkali sebahagian kamu
lebih pandai berhujah daripada sebahagian yang lain, sehinggakan aku memutuskan
untuknya sebahagian yang aku dengar. Maka barang siapa yang aku putuskan
untuknya daripada hak saudaranya, maka itu adalah sepotong dari api neraka. Maka
tinggalkan atau ambilkan.”
(Diriwayatkan
oleh al-Bukhari dan juga Muslim).
Meskipun hakimnya adalah
Rasulullah s.aw. kerana Baginda memutuskan berdasarkan bukti yang jelas
padanya.
Lantaran ini, Islam telah
menjadikan hati nurani dan ketakwaan seseorang muslim sebagai pegawai kepada
kehidupan ekonominya. Jika seseorang hakim itu berhukum berdasarkan kepada
zahir maka Allah Maha Mengetahui hakikat yang tidak zahir.
Antara perkara yang sangat
diharamkan ialah pengeksploitasian golongan kuat terhadap golongan lemah.
Umpamanya pemegang wasiat yang memakan harta anak-anak yatim, para suami yang
memakan harta isteri secara tidak sebenar, pemimpin memakan harta rakyat,
majikan memakan hak pekerja dan pemilik tanah yang memakan hasil titik peluh
para petani tanpa bayaran upah.
Antara lain yang diharamkan oleh
Islam secara keras ialah; mengambil
harta awam secara salah, kerana setiap orang mempunyai hak ke atas harta awam.
Jika ia mencuri atau merampasnya bererti ia telah menzalimi mereka
keseluruhannya. Kelak mereka semua akan menuntutnya pada Hari Qiamat nanti.
Allah berfirman dalam Surah Ali Imran
ayat 3:161 ayang bermaksud:
“Barang
siapa yang menipu dalam urusan rampasan peperangan maka pada Hari Qiamat ia akan
datang membawa apa yang ditipunya itu; kemudian tiap-tiap diri akan diberikan
pembalasan terhadap apa yang ia kerjakan dengan pembalasan yang setimpal dan
mereka tidak akan dianiya”.
Begitu juga diharamkan menggunakan harta
awam ke atas harta pemerintah yang tinggi seperti mana ia juga haram ke atas
kerani-kerani yang rendah. Tidak harus
bagi mereka tidak boleh menggunakan jawatan mereka untuk menimbun kekayaan atas
alasan bonus atau hadiah. Semua orang yang berfikiran waras tahu bahawa ia
adalah rasuah dalam bentuknya
yang
samar.
Islam adalah agama fitrah. Tidak
terdapat satu pun prinsip Islam yang menyalahi atau merosakkan fitrah tersebut.
Sebaliknya di dalam Islam hanyalah terdapat prinsip yang bersesuaian dengan
fitrah, mendidiknya serta menaikkan martabatnya.
Antara fitrah yang telah ditentukan ke
atas manusia ialah sukakan pemilikan sepertimana yang kita lihat semenjak dari
alam kanak-kanak tanpa dijajar dan ditunjuk. Sebaliknya Allah telah
melengkapkan kepada manusia sifat naluri ini untuk bertindak sebagai faktor
yang kuat agar manusia lebih aktif,
tekun dan teliti apabila mereka mengetahui mereka akan memiliki hasil usaha
mereka kesudahannya.
Jestru
itu kehidupan menjadi berkembang, ketamadunan menjadi pesat dan produktiviti
bertambah dan berkualiti.
No comments:
Post a Comment