(Disiarkan pada
28. 11. 2015)
Masyarakat Islam mempunyai keunikan dari
segi adab dan budaya yang tersendiri yang terbentuk mengikut acuannya serta
terpancar dari nilai-nilai tersebut iaitu akidah, perkara-perkara yang
bersangkutan dengannya dan cabang-cabangnya.
Individu Islam mempunyai adab
serta budayanya sama ada dalam soal makan-minum, perhiasan dan pakaian, tidur dan bangun,
perjalanan dan kerehatan, persahabatan dan kasih sayang, hubungan antara lelaki
dan wanita, hubungan antara jiran tetangga, hubungan antara yang muda dan tua,
hubungan antara orang kaya dan orang miskin dan sebagainya.
Kebudayaan, kesopanan dan
adat-adat ini telah diwujudkan oleh Islam di dalam mayarakat Islam bertujuan
untuk menjadikannya berkhidmat kepada akidah, siar, emosi, akhlak dan
tatasusila Islam.
Memelihara hak berjiran adalah
tanggungjawab bersama kerana ia adalah sebahagian daripada nadi
pembangunan ummah di mana setiap
individu harus berkerjasama. Jiran tetangga
kita merupakan sebahagian
daripada keluarga kita kerana merekalah yang wajib menghulurkan tangan membantu
apabila diperlukan seperti mengawasi
keselamatan rumah kita apabila ditinggalkan untuk berziarah ke tempat lain.
Binatang-binatang kesayangan kita
seperti kucing, ayam dan sebagainya boleh dipelihara oleh jiran kita pada masa
ketiadaan kita di rumah dalam urusan berziarah kepada sanak saudara yang jauh
yang memakan masa sehari dua dalam perjalanan.
Mementingkan diri dan tidak
memberi ruang untuk membudayakan hak-hak berjiran akan melahirkan pergesaran
nilai di mana masing-masing menegakkan kebenaran sendiri. Jika suasana seperti
ini berlaku maka budaya bertimbang rasa
demi mewujudkan kerukunan hidup berjiran akan menjadi asing akibatnya kedamaian
dan perasaan kasih sayang tidak akan timbul; apa yang subur di kalangan
masyarakat kejiranan ialah tumbuhnya kepentingan diri yang tidak kesah amalan
kita itu ada manfaat kapada mereka atau sebaliknya.
Mementingkan diri dan tidak menghormati
hak berjiran akan membawa suasana ketegangan hidup. Pergaduhan sering berlaku
kerana saling mempersalah antara satu sama lain. Kelemahan jiran kita menjadi
buah mulut yang tersebar luar hingga
orang yang tidak wajar mengetahui pun menjadi pelanggan cerita kita yang
menimbulkan keaiban mereka.
Menyembah Allah SWT bererti
memusatkan penyembahan kepadanya semata-mata dengan cara menjalani dan mengatur
seluruh aspek kehidupan dunia ini secara zahir dan batin adalah sesuai dengan
kehendak Illahi, baik secara perseorangan dalam hubungan dengan Allah atau pun
sebagai anggota masyarakat, dalam hubungan terhadap sesama manusia.
Semua kegiatan seseorang hamba
Allah, sama ada yang berupa ibadat terhadap Illahi atau pun yang berupa
muamalat terhadap sesama manusia, semuanya itu hendaklah dilakukan dalam rangka
persembahannya kepada Allah SWT dengan niat hendak mencapai keredhaan Allah
semata-mata. Inilah tujuan hakiki dari hidup ini iaitu keredhaan Allah SWT. keredhaan
Illahi yang memungkin tercapainya hidup yang sebenar-benarnya.
Hidup berjiran merupakan ibadah
kerana Allah. Mengenali dan mengasihi jiran tetangga kita ditutut oleh Islam
kerana merekalah yang hidup hampir dengan kita yang lebih mengetahui permasalahan
domestik kita. Baginda Rasul Nabi Muhammad saw sentiasa menggalakkan umatnya
untuk memelihara kemurnian hidup berjiran sehingga beliau mencadangkan bahawa:
“Apabila kamu masak sayur banyakkan
kuahnya dan bagikan jiranmu.”
Beliau sememangnya amat prehatin terhadap
pemeliharaan hak-hak berjiran kerana
Merekalah
secara zahir merupakan manusia yang paling dekat dengan kita, lebih dekat
daripada anak-anak kandung kita sendiri yang bermastautin di merata tempat yang
jauh dari perkampungan kita.
Semasa keadaan hidup yang genting
sekalipun di mana kita memerlukan orang lain
membantu
kita, ahli jiranlah menjadi orang pertama yang boleh menyelesaikan masalah
kita. Walaupun ada masalah yang merunsingkan pemikiran kita pasti jiran
tetanggalah yang boleh sekadar memberi pandangan cara bagaimana menyelesaikan
masalah berkenaan. Boleh katakan hak berjiran adalah keutamaan diberi laluan dalam bermasyarakat
di mana sahaja kita bermastautin kerana merekalah merupakan sebahagian daripada
keluarga kita.
Sebagai contoh, pernah berlaku
dalam sebuah kawasan perumahan. Tuan rumah sebuah keluarga berkhidmat jauh dari
rumahnya yang memakan masa sehari suntuk untuk memandu sampai ke tempat
kerjanya. Maka terpaksalah tuan rumah
itu tinggal di rumah yang disediakan oleh kerajaan. Ia hanya menziarahi
keluarga sekali dalam dua minggu.
Isterinya tidak dapat bersamanya
kerana dia juga berkhidmat dengan kerajaan
yang sukar hendak berpindah ke tempat suaminya. Isteri tinggal bersama anak-anak
dan seorang ibu mentua yang sudah lanjut usianya. Pada suatu ketika tiba-tiba ibu
mentuanya jatuh sakit secara mengejut dan dalam masa yang singkat beliau balik
ke rahmatullah! Isteri serta anak-anak yang masih bersekolah saja berada di
rumah. Kemudian si isteri menyampaikan berita keluarga berkenaan kepada jiran
tetangganya yang terdekat.
Jiran tetangga berkenaan tidak
membuang masa terus mengurus peralatan permandian mayat. Kemudian berjumpa
dengan pengerusi jawatan kuasa perkuburan di kampung lain meminta izin menggunakan kawasan perkuburan
mereka untuk pengkubumian arwah yang baru meninggal. Kampung perumahan di mana
beliau bermastautin tidak mengizinkan untuk mengguna kawasan perkuburan yang
diuntukkan bagi perkampungan tersebut.
Tuan rumah (suami) sedang dalam
perjalanan pulang; tetapi segala persiapan untuk pengkubumian ibunya sedang
berjalan rancak. Setelah sampai beliau amat bersyukur kerana permasalahan yang
amat merunsingkan hatinya semasa dalam perjalanan pulang telah selesai. Beliau
tahu bahawa pengerusi kampung di mana beliau bermastautin sememangnya berkeras
hati tidak membenarkan diguna kawasan perkuburan mereka seperti mana
pengalamannya apabila memindahkan kuburan ayahnya dari satu tempat ke tempat
berkenaan.
Dengan pertolongan jiran yang
terdekat maka permasalahan yang mungkin akan berlaku antara pengerusi
Jawatan Kemajuan Kampung (JKKK) dengan
tuan rumah dapat di atasi. Pengerusi JKKK berkenaan tidak mementingkan hak-hak
berjiran sehinggakan tidak membenarkan mengguna kawasan perkuburan kampungnya.
Manusia diamanahkan Allah menjadi
khalifah-Nya di muka bumi ini untuk mentadbir dan mengurus segala makhluk serta
permasalahan kehidupan. Tanah ini adalah hak milik mutlak Allah SWT dan manusia
diamanahkan untuk mengurus segala kesulitan mengenai penggunaan tanah.
Tanggungjawab yang diberi kepada manusia ialah wajar berlaku adil dan saksama
dalam semua hal pembangunan kehidupan. Tanah bukanlah hak milik manusia tetapi hanya
hak gunapaki semata maka wajarlah bertimbang rasa serta berkerjasama dalam
semua hal demi keperluan orang lain.
Hak berjiran diumpamakan sebagai
aur dengan tebing sentiasa tolong menolong antara sesama sendiri yang
bersangkutan dengan masalah kebajikan. Apabila kita sakit jiran tetangga lah yang
boleh membantu membawa ke hospitan tetapi kalau kemampuan itu tidak ada pada
kita harus memberi tahu jiran lain yang berkemampuan untuk menolong.
Melaksanakan amanah Allah
wajar ada kerjasama sesama ahli
masyarakat yang tinggal sekampung. Kerjasama adalah suatu faktor untuk
meningkatkan kehidupan bermasya- rakat ke tingkat yang tinggi atau ke tingkat
kemewahan bersama. Tamadun moden mendapati kerjasama ini sangat penting. Oleh
demikian diadakan berbagai institusi kerjasama pada setiap bandar. Dan ini jelas
menunjukkan betapa penting wujud kerjasama itu untuk kebahagiaan masyarakat.
Asas kerjasama ini disebutkan
dalam al-Qur’an yang bermaksud:
“Bertolong-tolonglah kamu kepada kebaikan dan takwa dan janganlah kamu
ber- tolong-tolong pada perkara dosa dan permusuhan.” Al-Ma’idah ayat 5:2
Al-Qur’an menyuruh umat Islam
supaya berkerjasama dalam membuat
kebaikan dan takwa. Kebaikan atau Al-Birru
daripada segi bahasa boleh membawa pengertian: “pemberian, taat, benar dan
membuat damai”. Jadi al-Birru merupakan
suatu kalimah yang banyak mengandungi sifat-sifat baik. Sedangkan takwa itu pula ialah takutkan Allah dan
beramal dengan patuh kepada-Nya.
Jadi al-Birru dan at-Takwa ialah kerjasama kepada setiap
perkara yang dapat menghasilkan kebaikan
sama ada ianya berkerjasama untuk mendapatkan kebahagian di akhirat atau
kerjasama bagi kemajuan umat seperti membina
sekolah, hospital, tempat-tempat perlindungan atau kerja-kerja amal
yang lain.
Dalam bahagian kedua dari ayat di atas, ditegah bekerjasama dalam
perkara-perkara dosa dan permusuhan ‘Ithmun
dari segi bahasa ialah kerja-kerja yang hina. Sedang permusuhan (‘udwan) ialah kezaliman. Termasuk dalam
dosa dan permusuhan ialah setiap kerja yang mendatangkan keburukan kepada
individu atau masyarakat.
Jadi kerjasama yang sebenar yang
diserukan oleh Islam ialah kerjasama untuk kebaha- gian individu dan masyarakat
dan kerjasama yang apabila dilakukan oleh masyarakat akan menimbulkan
perdamaian di kalangan mereka.
Budaya berjiran wajar mempunyai sifat mulia yang patut ada
pada manusia seperti sifat ithar yang banyak membawa kebaikan kepada manusia.
Ianya sentiasa menjadi lambang kepada orang-orang yang berjiwa besar yang
berusaha untuk kebajikan umat manusia.
Ithar mempunyai kesan besar dalam
memperkukuhkan kasih sayang di kalangan anggota masyarakat. Menjadikan mereka
berperasaan tolong menolong. Inilah kebahagiaan yang dibawa oleh ithar kepada
tuannya. Salah satu penemuan yang penting yang ditemui oleh ilmu jiwa moden
ialah “Kebahagiaan tidak akan diperolehi tanpa pengorbanan oleh seseorang untuk
kebaikan”.
Al-Qur’an menyeru kepada ithar
serta memuji orang-orang yang bersifat demikian. Firman Allah surah Hasyr ayat
59:9 yang bermaksud:
“Dan mereka mengutamakan (orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri,
sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang terpelihara dari kekikiran
dirinya, mereka itulah orang-orang beruntung.”
Semasa Nabi Muhammad berhijarah ke Medinah orang tempatan atau yang
dikenali sebagai Ansor, Allah memuji mereka serta menerangkan kelebihan dan
kemuliaan mereka. Mereka itu ialah orang-orang yang telah sedia mendiami kota Madinah dan menetap
di sana serta telah beriman dengan Allah dan rasul-Nya sebelum kedatangan Nabi
Muhammad s.a.w. dan kaum Muhajirin ke Medinah. Kaum Ansor mencintai saudara-saudara
mereka dari kaum Muhajirin dengan memberi sebahagian hartanya kepada mereka
serta mengajak mereka tinggal serumah bersama-sama.
Sikap
mengutamakan orang lain itu bukanlah menunjukkan mereka tidak berhajat kepada harta tapi sebenarnya mereka
adalah juga orang yang berhajat. Hal ini untuk menunjukkan besarnya pengorbanan
mereka dengan mendahulukan orang lain daripada kepentingan diri sendiri.
Dan barang siapa yang dipelihara
daripada perasaan lokek dan kikir disebabkan rakus dan tamak yang merupakan
suatu naluri dari sifat semulajadi pada diri seseorang – maka siapa yang
dipelihara oleh Allah daripada sifat yang tercela itu – Kata Tuhan, maka mereka
itulah orang-orang yang beruntung.
Budaya berjiran melahirkan
pergaulan menurut norma-norma kemasyarakatan yang tidak bertentangan dengan
hukum syara’, serta memenuhi segala hak yang berhak mendapat kannya
masing-masing menurut kadarnya.
Agama Islam menyeru dan mengajak
kaum muslimin melakukan pergaulan di antara kaum musimin, baik bersifat
peribadi orang seseorang, mahupun badan dalam bentuk kesatuan. Kerana dengan
pergaulan, kita dapat saling berhubungan mengadakan pendekatan satu sama lain,
boleh saling tunjang menunjang dan saling isi mengisi dalam keperluan hidup
masing-masing.
Juga dengan pergaulan kita dapat
mencapai sesuatu yang berguna untuk kemasala- hatan masyarakat yang adil dan
makmur, dalam membina masyarakat yang berakhlaqul karimah. Kemasalahatan
masyarakat yang dilandasi dengan akhlaqul karimah tidak akan terwujud kecuali dengan kemurnian
pergaulan antara mereka.
Kerapkali pergaulan itu membawa
suara yang subang di antara mereka, hal ini dapat
terjadi
kerana ada orang-orang yang memandang dirinya lebih baik dari orang-orang yang
lain. Oleh kerana itu hilanglah daripadanya sifat menghormati orang lain dan
hilang pula sifat kemuliaan di antara mereka.
Islam adalah agama yang dilandasi
persatuan dan kasih sayang. Kecendurungan untuk saling mengenal di antara
sesama manusia dalam hidup dan kehidupan merupakan ajaran Islam yang sangat
ditekan. Islam bukan agama yang didasarkan pada
hubungan liar yang tidak mengenal
batas, tetapi Islam mempunyai garis hidup yang kongkrit dalam batasan-batasan
hidup bermasyarakat.
Oleh kerana itu Islam tidak mengajarkan
pemeluknya untuk melakukan ibadat di tempat-tempat terpencil sendirian yang
khusus dan terasing dari masyarakat, kerana Allah tidak menyediakan
derajat-derajat yang tinggi bagi orang-orang yang mengucilkan diri.
No comments:
Post a Comment