Saturday, December 19, 2015

MURNIKAN KEBAJIKAN BERSAMA ADALAH IBADAT KERANA ALLAH SWT

  (Disiarkan pada 19. 12. 2015)
Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. telah menerima perintah Allah (wahyu) melalui Malaikat Jibril, untuk mentarbiahkan umat manusia cara hidup yang diredhai Allah SWT. dengan berpengang kepada ilmu tauhid: “Laillaha illallah Muhammad Rasulullah.” Tiada Tuhan yang wajib di sembah melainkan Allah dan Muhammad itu Pesuruh Allah. Dengan kalimah tersebut seluruh jentera kehidupan makhluk manusia telah diperbetulkan mengikut landasan yang diredhai Allah SWT.
Baginda telah mengubah konsep dasar etika dan kerohanian dan moral sehingga kesucian itu tidak dapat dicapai melainkan dengan tidak hanya menitik beratkan masalah duniawi tetapi jestru lebih mengutamakan bidang kebersihan rohaniah  dan ukrowi. Dalam erti kata lain ukhuwah kemanusiaan menjadi dasar pembangunan manusia sejagat.
Allah menyarankan dalam dokumen wahyunya supaya umat manusia sentiasa berma- syarakat dan bersosial, memelihara ukhuwah dan kasih sayang yang dimurnikan oleh ilmu tauhid serta membebaskan diri dari terjebak dalam elemen-elemen yang berunsur kepentingan diri dan kerakusan dalam menangani kehidupan di alam ini. Firman Allah surah Al-Hujerat ayat 49:13 yang bermaksud:
“Hai manusia sesungguhnya Kami menjadikan kamu dari laki-laki dan perempuan (ibu dan bapa) dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa (bermacam-macam umat) dan bersuku-suku, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya orang yang termulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertakwa. Sungguh Allah Maha mengetahui lagi Maha amat mengetahui.”
Kemuliaan umat manusia hidup di dunia, Allah tidak melihat dari keturunan, mahupun bangsa, kedudukan ataupun kecantikan raut wajah atau warna kuli, tetapi manusia yang termulia di antara semua umat manusia di sisi Allah SWT ialah orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah.
Orang yang bertakwa kepada Allah adalah mereka yang jiwanya selalu dekat dengan Allah. Untuk melaksanakan ketakwaan kepada Allah wajar dihiasi dengan ukhuwah dan kasih sayang antara sesama kerana mengenali Allah adalah terlebih dahulu mengenali diri kita sendiri serta murnikan hubungan kita antara satu sama lain. Maka itu orang yang beriman kepada Allah adalah bersaudara.
Pepatah Melayu mengatakan “Cubit paha kiri paha kanan terasa kesakitan” memberi tamsilan bahawa hidup bermasyarakat mempunyai perasaan kekitaan antara sesama. Masalah si pulan adalah masalah saya! Manusia mempunyai naluri menyayangi orang lain yang tidak ada kaitan kekeluargaan tetapi hidup seakidah..
               Nabi Muhammad saw berdiri untuk menghomati jenazah yang lalu untuk diusung ke perkuburan walau pun ia adalah orang musrikin. Para sahabat menegur baginda bahawa jenazah itu adalah orang kafir! Lalu Baginda berkata  dia adalah seorang manusia yang wajar diberi kehormatan tidak kira seakidah dengan kita atau sebaliknya.
               Keistemewaan manusia  adalah kehadiran roh serta fakulti-fakulti lain seperti akal, kemahiran berfikir yang membolehkan manusia memahami teka-teki pembangunan hidup. Dengan akal tersebut Allah sempurnakan dengan perasaan kasih sayang antara sesama yang akan mengikat hubungan yang erat dan mesrah yang dikenali sebagai ukhuwah kemanusiaan.
               Ilmu yang membina persaudaraan manusia sejagat, diperkukuhkan Allah dengan menurunkan wahyu-Nya yang mengandungi berbagai ilmu tauhid dan pembangunan, dibawa oleh malaikat Jibril untuk dipertanggungjawab kepada manusia pilihan Allah yang dikenali sebagai Nabi dan Rasul.
               Setiap individu wajar menggunakan akal fikiran serta naluri perasaan kasih sayang
antara sesama manusia. Allah mewujudkan makhluk manusia dengan satu tujuan iaitu menjadi khalifah Allah SWT untuk memakmurkan alam kehidupan agar bumi ini mempunyai keselesaan hidup berbagai makhluk ciptaan Allah. Firman Allah dalam Al-Quran surah Al-An’am ayat 6:165 yang bermaksud:
               “Dialah (Allah) yang menjadikan kamu penguasa (khalifah) di bumi.”
               Bekalan hidup manusia di muka bumi ini wajar berpaksi kepada falsafah hidup yang dihiasi dengan suasana saling kasih mengasihi; sayang menyayangi; bela membelai; hormat menghormati; harga menghargai; dan saling cinta mencintai adalah antara nadi persaudaraan yang menjadi tali Allah yang menjamin keselamatan di dunia dan diakhirat kelak.
               Allah turunkan ilmu-Nya yang berupa wahyu untuk menolong manusia membina kehidupan ke jalan yang lurus. Allah hamparkan segala nikmat dan rahmat-Nya di muka bumi ini untuk manusia menggunakan dalam membina tamadun kehidupan. Maka wajarlah  manusia bersyukur terhadap segala fasiliti yang  Allah hidangkan.
               Naluri kekitaan dalam kelangsungan hidup bermasyarakat menunjukkan satu budaya ukhuwah yang akan melahirkan kasih sayang antara sesama. Merasa dukacita mengetahui kemuskilan hidup orang lain melambangkan satu penyatuan naluri umat manusia. Dalam hidup tiada yang boleh dibanggakan sebab segala fasiliti hidup pada setiap insan adalah kepunyaan Allah secara mutlak dan manusia  hanya mempunyai hak guna pakai semata.
               Berkhidmat untuk kelangsungan hidup merupakan ibadat kerana Allah. Kita berkhid- mat untuk menjaga kebajikan diri dan keluarga dan pada masa yang sama khidmat itu adalah untuk kelangsungan tamadun kehidupan masyarakat manusia. Allah telah amanahkan manusia sebagai khalifah di muka bumi-Nya maka itu wajar melaksanakan perkhidmatan untuk mewujudkan suasana  keselesaan hidup makhluk manusia dan berbagai makhluk ciptaan Allah lainya yang ada  di muka bumi ini.
               Berkhidmat untuk kebajikan orang lain yang sedang dilanda malapetaka hidup seharusnya amalan yang mendahului daripada yang lain. Umat Islam tidak sama sekali senang untuk melihat atau mengetahui kebajikan mereka yang telah dicabuli oleh pihak-pihak yang tidak punya perikamunisaan. Umat Islam seluruh dunia mengutuk sekeras-kerasnya terhadap tindakan keganasan Yahudi itu ke atas masyarakat Islam di Palestin yang tidak berhati perut itu.
               Umat Islam mempunyai keunggulan dalam menangani kebajikan orang lain. Satu peristiwa telah berlaku sedikit masa dahulu, malang tidak berbau, anak kepada penulis Bicara Minda dari Sabah mengalami kemalangan  jalan raya di atas motosikal yang dipandunya di Jalan Karak, Kuala Lumpur yang amat dasyat sekali yang hampir meragut jiwanya.
               Akibat dari kemalangan tersebut anak Sabah itu koma selama satu bulan. Satu daripada buah pinggangnya hancur dan dia sekarang hidup dengan menggunakan satu buah pinggang sahaja. Kepalanya terhentak begitu kuat kepada timbuk di tepi jalan raya di mana kemalangan itu berlaku sehingga tali topi keledarnya terputus. Mujur topi keledar itu masih di atas kepalanya sewaktu terhempap timbuk berkenaan. Walaubagaimaan pun beliau menga- lami hilang fikiran buat seketika sehingga jawatannya di tukar kepada jawatan yang kurang menggunakan pemikiran.
               Apabila berita tersebut tersebar luas kepada masyarakat Islam di negeri Selangor, semua masjid di negeri tersebut melaksanakan sembayang hajat memohon doa kepada Allah agar anak Sabah yang mengalami kemalangan tersebut diselamatkan. Anak Sabah berkenaan apabila sedar dari komanya itu, amat hairan apabila mendengar khabar mengenai sembahyang hajat untuknya yang dilaksanakan oleh seluruh jemaah  di semua masjid di negeri Selangor.
Penulis Bicara Minda dari Sabah tersebut, mengambil kesempatan ini untuk mengucap kan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada rakyat muslimin negeri Selangor, semoga negeri Selangor akan sentiasa aman dan damai dan dikurniakan Allah rezeki yang tidak disangka-sangka! 
Umat Islam di mana sahaja mereka berada, mereka sentiasa berpegang kepada rasa ukhuwah dan persaudaraan yang erat  yang diikat dengan perasaan kasih sayang kerana Allah. Persaudaraan dalam Islam adalah lebih kuat ikatannya berbanding dengan persaudaraan dalam keluargaan.
Disiplin kehidupan yang diwarnai oleh kemurnian beragama memimpin manusia di atas landasan yang tunduk kepada kekuasaan Allah SWT. sebagai Zat yang Maha Pencipta dan Maha Bijaksana. Jaminan kesempurnaan hidup dipimpin oleh keunggulan beribadah yang dimurnikan dengan perasaan kasih sayang kelak melahirkan masyarakat berdisiplin.
Manusia adalah makhluk berbudaya menyukai kebersamaan dan persamaan. Kasih sayang Allah SWT. menjadikan mereka sebagai saudara yang saling mencintai, tolong-menolong, saling berhubungan dan berbalas kasihan. Manusia mempunai keperluan hidup yang serupa di mana sahaja belahan bumi Allah ini mereka berada.
               Semua umat manusia adalah pemegang saham (rahmat) Allah dalam hidupnya. Setiap manusia di alam kehidupan di seluruh pelusuk dunia atau alam sejagat adalah pemegang saham tersebut. Udara, cahaya mata hari, air, bumi dengan berbagai jenis rahmat Allah diperlukan oleh  segenap lapisan  masyarakat tidak kira masyarakat mukmin atau sebaliknya. Oleh sebab manusia di muka bumi ini membuntuhi rahmat Allah tersebut maka adalah wajar menghidupkan persaudaraan sejagat.
               Udara adalah suatu keperluan dalam kelangsungan hidup manusia serta juga makhluk-makhluk Allah yang hidup di bumi-Nya ini. Binatang dan haiwan berbagai jenis di alam ini semuanya memerlukan udara untuk terus hidup. Tumbuh-tumbuhan memerlukan udara yang bersih dengan bantuan cahaya mata hari dan air untuk memproses makanannya yang dikenali sebagai proses fotosintesis.
               Fenomena alam sedemikian rupa yang dibekalkan Allah kepada manusia mahupun segala kehidupan berbagai haiwan yang lain, mendidik kita manusia yang berakal fikiran bahawa Allah mewujudkan persaudaran sejagat. Mengkufurkan diri terhadap rahmat Allah  tersebut merupakan makhluk yang bertopengkan  manusia tetapi berjiwa kehaiwanan
Dalam pernafasan manusia memerlukan oksijen dari udara yang dibekalkan Allah untuk meneruskan kehidupan. Allah itu Maha adil. Segala nikmat tersebut adalah pemberian-Nya tanpa syarat. Maka itu patutkah manusia  bersengkita antara sesama kerana gagal mengenali fitrah persaudaraan sebagai keturunan Bani Adam? Nikmat Allah sedemikian besar faedahnya kepada manusia maka adalah wajar persaudaraan sejagat itu diikat dengan nikmat Allah yang kita kecapi.
Muslim yang saleh dan berjaya, bererti mampu mengarahkan halatuju fikirannya, emosinya, rohaninya, selari dengan kehendak fitrah murni yang telah ditetapkan Allah semenjak azali. Keharmonian juga sepadu mengikut acuan Illahi. Inilah yang ditegaskan oleh Allah SWT. dalam al-Qur’an dengan firman-Nya yang bermaksud:
“Maka hadapilah wajahmu kepada agama yang lurus, fitrah Allah yang memfitrah manusia ke atasnya, tidak ada tukar ganti ciptaan Allah, itulah agama yang benar, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah al-Rum ayat 30:30)
Insan kamil bukan hanya memiliki kehebatan intelektualnya (intelectual quality) sehingga mampu menguasai ilmu pengetahuan yang lurus, berkemampuan mengurus cara berfikir secara kreatif dan inovatif, pantas dan tepat dalam membuat penentuan dan pemilihan, tetapi mestilah ditunjangi oleh kekuatan spritualnya (spiritual quality) dengan memiliki sifat-sifat mahmudah seperti benar, amanah, adil, ikhlas, sabar, redha, syukur dan bertanggungjawab.
Menjadikan Islam sebagai cara hidup terutama mereka yang melibatkan diri dengan usaha mengislahkan dan menegakkan peraturan serta sistem kehidupan bermuamalah secara Islam dalam masyarakat. Sistem ekonomi, sistem politik, sistem pendidikan, sistem perundangan dan kehakiman dan lain-lain, harus menjadi fokus untuk ditegakkan peraturan dan  syariat Islam di dalamnya. Setiap muslim juga sepatutnya sentiasa bersedia memperguna kan seluruh kemampuan akan fikiran dan tenaga untuk mencapai matlamat tersebut.
Firman Allag SWT. dalam surah Ali Imran ayat 3:19 yang bermaksud:
“Sesungguhnya agama (yang sebenar) disisi Allah hanyalah Islam...”
Firman Allah lagi  surah yang sama ayat 3:85 yang bermaksud:
“ Dan sesiapa yang mencari selain Islam sebagai agama (pegangan hidup), maka tidak sekali-kali akan diterima (oleh Allah) dan dia pada hari akhirat adalah tergolong dari kalangan orang-orang yang rugi.”

Maka itu adalah wajar berpegang teguh kepada agama Allah(Islam) kerana jaminan keselamatan hidup di akhirat akan dapat diperolehi. Agama Islam sahaja  Agama yang menjamin manusia menikmati hidup bahagia  di akhirat kelak. Islam membentuk keperi- badian manusia dan melahirkan kesetiakawanan sosial sebagai nadi keunggulan hidup bermasyarakat. 

No comments:

Post a Comment