Sunday, February 21, 2016

CABARAN ADALAH IBADAT MENDIDIK KITA MANTAPKAN IMAN

 (Disiarkan pada 20. 02. 2016)
Hidup ini sentiasa tidak sunyi dengan cabaran kerana hidup merupakan ibadat kerana Allah. Nabi Adam a.s. setelah dimurkai Allah di syurga akibat kegagalannya memelihara amanat Allah yang dipertanggungjawabkan kepadanya, terpaksa mengharungi kehidupan di alam dunia yang amat mencabar tidak seperti mana semasa ia masih tinggal di syurga yang semua keperluan hidupnya disediakan.
Allah swt bekalkan manusia dengan berbagai macam fitrah tujuan untuk memahami teka teki pembangunan kehidupan. Manusia adalah makhluk Allah yang amat banyak fitrah Allah bekalkan. Antara  fitrah yang tertinggi berbanding dengan fitrah-fitrah lainnya ialah mempunyai akal dan kemahiran berfikir.
Dengan fakulti fitrah tersebuat manusia diberi tanggungjawab yang amat berat dan mencabar sebagai khalifah Allah di alam dunia. Memakmurkan alam kehidupan berbagai makhluk Allah merupakan tanggungjawab yang paling mencabar kerana untuk melaksanakan amanat tersebut setiap individu mukmin wajar mempunyai iman serta ketakwaan kepada Allah swt. yang amat tinggi yang membolehkan amanat itu dapat dipelihara.
Iman dan ketakwaan kepada Allah swt. sahaja belum menjaminkan kesempurnaan perlaksana kekhalifahnya. Setiap individu mukmin wajar mengisikankan jiwanya dengan ilmu pengetahuan dunia dan ukhrowi. Ilmu itu, mengikut Baginda Rasul Nabi Muhammad saw. merupakan satu ketinggian nilai manusia di sisi Allah s.w.t. Malah menuntut ilmu merupakan sepanjang hayat iaitu mulai dari buaian hingga ke liang lahad.
Orang yang berilmu adalah jauh lebih mulia berbanding dengan orang yang tidak punya ilmu. Orang yang berilmu mengenali dirinya maka ia mengenali Tuhannya. Orang yang berilmu adalah orang yang paling takut kepada Allah. Allah berfirman dalam surah az-Zumar ayat 39:9 yang bermaksud:
“Katakanlah. Adakah sama orang-orang yang berilmu dengan orang-orang yang tidak berilmu.“     
Penganugerahan akal oleh Allah kepada manusia adalah suatu hadiah yang paling berharga sekali dan tidak dapat dinilai; tanpa akal manusia tidak dapat menjalankan  tugas sebagai khalifah Allah swt. dan manusia adalah sama dengan binatang. Dengan akal manusia dapat berfikir dan bertindak sesuai dengan tugasnya sebagai hamba Allah swt.
Akal juga  merupakan alat bagi seseorang manusia untuk dapat menilai sesuatu dan menggunakannya untuk manfaat umum. Segala rahsia yang  selama ini terpendam dan tersembunyi dapat dibongkar oleh manusia. Untuk mengetahuinya manusia perlulah mengkaji dan menyelidik, akan tersingkaplah rahsia-rahsia tersebut. Itulah dia peranan akal yang menemukan sesuatu itu dengan hakikat kejadianya, manusia akan kagum terhadap hikmah dan kebijaksanaan ciptaan Allah swt.
Hidup di dunia sentiasa Allah hidangkan berbagai cabaran dalam pembangunan. Maka peranan akal untuk mengatasi cabaran yang diselimutkan kepada agenda pembangunan menjadi keutamaan. Dengan penggunaan akal untuk menyelesaikan permasalahan hidup, kita tidak merasakan cabaran itu amat berat kerana Allah tidak memberatkan manusia lebih dari kemampuannya.   
Para utusan Allah swt iaitu Rasul dan Nabi adalah manusia yang amat berat cabarannya dalam usaha menyebarkan dan mentarbiahkan ilmu agama kepada masyarakat musrikin. Kerap kali mereka ditertawakan malah hingga diancam di bunuh  supaya mereka berhenti menjalankan ibadatnya.
Baginda Rasul Nabi Muhammad saw telah mengharungi satu keadaan hidup yang amat getir sekali yang dirancang oleh kaumnya,  masyarakat Quraisy yang berikhtiar untuk menghentikan usaha Baginda untuk menyebarkan agama Islam kepada mereka. Baginda telah dicabar dengan hadiah yang amat tinggi sekali seperti menjadi pemerintah masyarakat 
Quraisy dan diberi peluang  untuk memilih wanita yang paling cantik dan kaya di antara
kaumnya sebagai isteri, namun semua itu ditolak oleh Baginda sambil berkata:
“Sekiranya Allah berikan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku  untuk supaya saya menghentikan diri menyebarkan dakwahku, namun saya tidak akan menerima hadiah tersebut dan memilih untuk meneruskan ibadat memperkenalkan Islam ke seluruh manusia sebagai cara hidup.”
Satu cabaran yang amat membahayakan keselamatan Baginda dalam menyebarkan Islam kepada kaum Quraisy ialah semasa Baginda diperintahkan Allah untuk berhijrah ke Medina al Mukaramah ialah diutus para pejuang Quraisy untuk menangkap nabi, hidup atau mati dan akan dihadiakan 100 ekor untah. Perjuangan Rasul mentarbiahkan Islam mendapat bimbingan dari Allah swt. maka segala ancaman musuh Islam untuk keselamatannya dapat diatasinya.
Firman Allah surah an-Nahl ayat 16:78 yang bermaksud:
“Allah telah mengeluarkan kamu dari perut ibumu sedangkan kamu tidak mengetahui sesuatu. Lalu Allah jadikan bagimu pendengaran, penglihatan dan hati (akal) supaya  kamu bersyukur.”       
Seringkali Allah swt menggesa supaya manusia  menggunakan akalnya demi manfaat kepada dirinya, keluarganya dan  masyarakat umum. Setiap individu yang tidak menggunakan akal yang diberikan itu  adalah suatu kesalahan yang besar dan dapat menjatuhkan dirinya ke jurang kebinasaan. Akal haruslah  diarahkan untuk mengkaji dan menilai kekuasaan Allah swt. bagi menguatkan lagi  akidah dan keimanan kepadanya. Firman Allah swt. surah Ar-Rum ayat 30:8 yang bermaksud:
“Tidakkah mereka memikirkan apa yang ada pada diri mereka sendiri. Allah tiada menjadikan langit, bumi dan apa-apa yang ada di antara keduanya melainkan dengan sebenarnya (bukan sia-sia), dan mengikut waktu yang ditetapkan-Nya. Tetapi kebanyakan manusia ingkar (tidak percaya) menemui
Tuhan mereka.”  
Setelah Allah menerangkan bahawa manusia itu kebanyakannya kufur, tidak mengetahui hanyalah perkara-perkara yang lahir sahaja dari kehidupan di dunia dan mereka pula cuai dari memikirkan tentang akhirat, maka  Allah telah mencela kecuaian mereka terhadap akhirat itu, padahal kedatangannya tidak diragukan lagi, dan siapa yang menging- karinya  telah digesa, supaya menggunakan akal fikiran mereka untuk  memperhatikan dan merenung apa yang ada pada diri sendiri, kerana diri seseorang itulah yang paling dekat  dari lain-lain makhluk.
Jelasnya hendaklah mengajak diri sendiri supaya berfikir mengenai ciptaan Allah yang berupa langit dan bumi serta segala isinya. Tidaklah semuanya itu dijadikan dengan sia-sia  bahkan dijadikan dengan kebenaran. Siapa yang menganggap bahawa ciptaan Allah itu dijadi kan sebagai sia-sia atau permainan, pasti diancam dengan api neraka – sesuai dengan firman-
Nya pada surah Saad  ayat 38:27 yang berbunyi:
“Dan tiadalah Kami (Allah) menjadikan langit dan bumi serta  barang yang di antara keduanya berkeadaan sia-sia. Yang demikian itu persangkaan orang-orang  yang kufur. Maka celakalah bagi orang-orang yang  kufur itu kerana mendapat neraka Wail.”
Setelah Allah menyebutkan seksaan bagi orang-orang  yang  tersesat dari jalan Allah  lantaran merlupakan hari Hisab dengan menyangkakan tidak ada  apa-apa yang dipekirakan di kemudian hari, maka  disebutlkanlah pula di sini pernyataan-Nya yang lain:
“Tiadalah Kami (Allah) menjadikan langit dan bumi serta barang yang di antara keduanya sia-sia.” 
Kejadian langit yang mengandungi bintang-bintang, bulan dan matahari hingga kelihatan indah dan menakjubkan bagi orang-orang yang mahu memikirkannya dan ingin mengetahui rahsia dan faedahnya, begitu pula kejadian bumi dengan segala isinya, yang sangat berguna bagi kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan – yang merupakan ciptaan yang ada tujuannya – bukan diciptakan  oleh Allah dengan sia-sia, secara main-main
atau sia-sia, bukanlah demikian! Malah Allah menciptakan alam tersebut mengandungi
hikmah yang besar, rahsia yang halus dan faedah yang banyak.
Dan diciptakan untuk kegunaan makhluk di dalam mentaati Allah dengan mengikuti perintah dan meninggalkan apa yang ditegah. Hal tersebut samalah juga dengan manusia dan jin, keduanya telah diciptakan  bukanlah untuk dibiarkan berkeadaan sia-sia, bahkan mereka akan dibangkitkan semula selepas matinya, kemudian akan diperkirakan segala amalannya dari yang sekecil-kecilnya hingga yang sebesar-besarnya, sama ada banyak mahupun sedikit, dan akhirnya akan diberi balasan, kalau baik dibalas baik, kalau  jahat balasannya setimpal dengan kejahatan yang dilakukannya. 
Bandingan ayat ini samalah dengan ayat 51:56 surah adz-Dzariat yang
berbunyi:
“Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mengabdikan kepada  Aku (Allah). Yang demikian itu pesangkaan orang-orang yang kufur.”
Orang yang kafir Makkah yang ingkar terhadap Allah dan terhadap keterangan-keterangan-Nya yang terdapat pada diri mereka dan pada kejadian alam -  menyangkakan terjadinya langit  dan bumi dengan segala isinya itu tidak ada hikmahnya. Pada hal ia dijadikan untuk membuktikan wujudnya Allah sebagai penciptanya.
Seterusnya Allah menyebutkan akibat dari keburukan perangai mereka dengan ancaman-Nya iaitu: 
“Maka celakalah bagi orang-orang yang kufur itu kerana mendapat neraka Wail.”    
Nasib malang yang bakal menimpa mereka ialah neraka Wail iaitu sebuah lembah di dalam neraka, yang disediakan menjadi tempat kediaman mereka.         
Allah tidak menciptakan makhluk-Nya melainkan dengan kebenaran, dan mereka setelah mati akan dibangkitkan semula, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui hal itu kerana telah cuai dan lali dari memikirkan akhirat, bahkan tidak percaya bahawa mereka akan bertemu dengan Tuhan mereka, untuk diberi pembalasan di atas amalan mereka, yang baik dibalas dengan baik dan yang jahat dibalas dengan kejahatan, kerana Allah tidak menganiaya walau seorang makhluk pun dengan menyeksa tanpa dosa atau menyia-nyiakan pahala bagi orang yang  yang beramal saleh.
Semuanya itu dilakukan dengan kebenaran atau keadilan. Lantaran itulah dijadikan langit dan bumi serta isinya dengan adil, untuk  menegakkan kebenaran berterusan sampai kedatangan hari kiamat yang telah ditetapkan. Maka apabila kiamat telah datang, semua makhluk akan dimusnahkan-Nya pula, dan ditukarkan bumi yang ada ini dengan bumi yang lain pula, kemudian diadakan hisab atau perkiraan kepada  semua makhluk dengan tidak ada siapa-siapa yang dikecualikan-Nya
Kemudian Allah menyebutkan pula, bahawa kebanyakan manusia mencuaikan akhirat kerana tidak  percaya bahawa mereka bakal menemui Tuhan. Kalaulah mereka mahu mengajak dirinya berfikir dan merenungkan serta mengenangkan kejadian ciptaan Allah, nescaya mereka akan mempecayainya dan pecaya bahawa  mereka disediakan tempat tinggal setelah mereka dimatikan.       
Manusia ditakdirkan hidup berjuang. Berdasarkan dari hakikat ini, manusia haruslah menginsafi bahawa hidupnya di dunia ini penuh dengan cabaran maka hidup adalah untuk perjuangan, pertarungan dan pesaingan. Setiap orang tidak  terlepas dari hakikat perjuangan ini, kerana hidup ini sendiri sudah mempunyai  erti berjuang, bergerak. Dengan pergerakan dan perjuangan ini menyebabkan wujudnya cita-cita hasrat kepada manusia.
Tanpa cita-cita manusia diibaratkan bangkai; tanpa berjuang manusia tidak bererti hidup.  Hidup, cita-cita dan berjuang adalah hakikat manusia. Oleh itu kalimat manusia adalah mencakupi hidup yang mempunyai cita-cita dan perjuangan.
Firman Allah  surah Al-Balad ayat 90:4 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah  menciptakan manusia itu  dalam kehidupan bersusah payah.”
Allah bersumpah dengan nama kota Makkah yang berada di tanah haram, (Ayat 1 surah Al-Balad), yang dimuliakan-Nya, kerana di sana ada bangunan tertua di dunia iaitu Kaabah, menjadi kiblat penduduk dunia dan dijadikan tempat turunnya  sekalian rahmat . iaitulah tanah suci yang aman tenteram dan disucikan oleh Allah semenjak terciptanya langit dan bumi. Lantaran kelebihannya yang sangat intemewa inilah, Allah bersumpah dengan menyebut namanya, untuk menerangkan bahawa manusia diciptakan oleh Allah berada di dalam kehidupan yang perit.
Begitu pula Allah bersumpah dengan mengaitkan nama Muhammad saw (ayat 2 surah yang sama) yang tinggal di sana sebagai penduduknya, menambahkan mulia kota tersebut kerana dia didiami oleh Nabi yang mulia.
Juga bersumpah dengan nama bapa (ayat 3 surah yang sama) maksudnya Nabi Adam bersama anak atau zuriatnya, bukan keturunan yang kafir. Oleh sebab itu orang kafir walaupun keturunan Nabi Adam, tidak mendapat kehormatan untuk  dibenarkan tinggal di kota Makkah.
 Allah bersumpah dengan nama-nama yang disebutkan itu, untuk menguatkan penyataan-Nya, bahawasanya manusia telah diciptakan Tuhan untuk menghadapi kehidupan yang  serba sukar, mestilah bersusuah-payah, bukan untuk bersenang-lenang, iaitu dari  semen jak ditiupkan roh ke dalam  jasadnya, sampailah roh itu dicabut dan akan berpisah dengan jasadnya.
                    Dia dilahirkan dengan bersusah-payah; mula-mula dikandung kemudian diperanakan, kemudian disusukan, setelah disapih (diceraikan susu), berkerja mencari sara hidup dan meneruskan hidup, akhirnya ketika datang ajalnya dia berjuang dengan maut. Memanglah seluruh hidupnya menempuh kesukaran dan kepayaan. Menerima cabaran akan mendidik kita memantapkan iman kepada Allah kelak akan memimbing kita ke jalan yang diredai Allah s.w.t.

                                                                

No comments:

Post a Comment