Friday, February 26, 2016

UJIAN DALAM HIDUP MERUPAKAN TAPAK PEMBANGUNAN UMMAH

 (Disiarkan 27. 2. 2016)
Manusia di dunia ini baik disedari atau tidak  adalah dalam rangka perjalanan menuju kepada Tuhan. Walau bagaimanapun dia pasti akan menemui Tuhannya, untuk menerima pem balasana dari perbuatannya sama ada baik atau buruk. Firman Allah dalam surah Al-Insyiqaq ayat 84:6 yang bermaksud:
“Hai Manusia, sesungguhnya engkau telah berkerja keras sampai menemui Tuhanmu, maka pasti kamu akan menemuiNya.”
Allah tujukan firman-Nya kepada manusia seluruhnya iaitu: “Hai anak Adam, berkerja keraslah dengan rajin. Samada pekerjaanmu baik mahupun buruk sepanjang hidupmu, sampai engkau mati, kelak menemui Tuhanmu dan menemui hasil dari pekerjaan yang engkau usahakan dengan sungguh-sungguh.”
Allah s.w.t. dengan jelas telah menegaskan kepada manusia bahawa hidup di dunia ini pasti menghadapi berbagai rintangan, ujian dan dugaan sebelum manusia dapat berjumpa dengan-Nya demi menilai perjuangan manusia tersebut. Ini selaras dengan saranan Tuhan yang menjelaskan dunia ini adalah medan perjuangan hidup bagi mencari kurniaan Allah s.w.t. sebelum manusia ditemukan dengan Tuhannya.
Ujian dalam hidup merupakan tapak pembangunan manusia. Sebagai contoh dalam bidang pendidikan di mana setiap individu menyerah diri kepada sistem memanusiakan manusia atau mengilmukan insan sejak dari peringkat rebung iaitu zaman kanak-kanak ia melibatkan diri dalam sistem pendidikan yang dipanggil “TADIKA” atau taman didikan kanak-kanak dalam usia empat tahun hingga ke lima tahun.
Sistem peralihan pendidikan berpindah ke Sekolah Rendah dalam umur enam tahun hingga umur dua belas tahun. Peringkat sekolah menengah bermula tingkatan satu apabila umur murid  mencapai dua belas tahun hingga ke peringkat pra-Universiti atau Tingkatan enam atas. Selesai para-universiti ia beralih kepada pengajian tertinggi di universiti.
Dalam semua sistem pendidikan tersebut anak itu diuji setiap tahun untuk melintasi tahap pembelajaran yang ia telah dilaluinya selama setahun untuk membolehkan ia ditempatkan ke tahap yang lebih tinggi. Pada kebiasaannya mengilukan seorang insan, masa memakan lebih kurang 17 tahun termasuk Tadika  dan tiga tahun di peringkat universiti. Tempat-tempat ia menuntut ilmu tersebut ialah merupakan tapak-tapak pembangunan manusia. Dan inilah juga yang dikenali sebagai tahap perjuangan hidup setiap individu.
Setelah selesai sistem pembelajaran memanusiakan manusia selesai, setiap individu masuk sebagai ahli masyarakat yang dikenali sebagai pemain. Dalam arena pembangunan di mana setiap invividu menjadi pemain, ia mesti melalui gelombang karenah-karenah pemba- ngunan yang bersifat ujian Allah SWT. sejauh mana iman seseorang itu dapat bertahan untuk mencapai puncak kejayaan dalam hidup.
Dalam menumpuh gelombang perjuangan hidup ini manusia menghadapi dua keadaan iaitu berjaya atau gagal. Setiap kejayaan itu pula melahirkan dua suasana di mana membuat kan dia bersyukur kepada Allah s.w.t. di atas limpah kurnianya atau sebaliknya menimbulkan perasaan takbur dan lupa daratan.
Begitu juga dengan kegagalan yang dihadapi oleh manusia akan mencetus dua keadaan pula iaitu sama ada dia putus asa atau frustasi terhadap pejuangannya atau sebaliknya dia lebih meningkatkan lagi usahanya untuk melancarkan perjuangan baru berdasarkan pengalaman-pengalaman mereka dari perjuangan yang telah lalu.
Mengikut pendapat almarhum ustaz Zainuddin M.Z. pendakwa bebas dari Indonesia, mentafsirkan bahawa kegagalan itu bagikan satu kejayaan yang tertunda. Semangat  juang yang kental tidak mengenali kebosanan pada perjuangannya kerana ia memikirkan bahawa setiap amal yang dilaksanakan merupakan ibadat. Dia meyakini diri bahawa ibadat adalah berbentuk tawakal kepada Allah swt. satu amal yang sentiasa menginginkan keredhaan Allah
s.w.t..
Begitu juga dengan perjuangan manusia dalam menempuhi alunan gelombang hidup ini, kiranya dia orang beriman nescahaya dia tidak akan mengenal gagal dalam erti kata menghadapi perjuangan hidup. Masa diizinkan kepadanya dipenuhi dengan  berbuat bakti kepada Allah s.w.t. dan berjasa kepada masyarakat. Apa yang diharapkan ialah untuk cepat-cepat bertemu dan melaporkan perjuangan itu kepada Tuhan.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Barang siapa yang suka bertemu dengan Tuhan, Tuhan pun suka berjumpa dengannya dan sebaliknya barang siapa yang tidak  mahu bertemu dengan Tuhan (benci), Tuhan pun benci untuk bertemu muka dengannya.
Firman Allah surah Al-Asr ayat 103:1-3 yang bermaksud:
“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu sememangnya dalam kerugian. Melainkan orang-orang yang beriman dan beramal salih (baik), dan berpesan-pesan dengan yang hak (benar) dan berpesan-pesan dengan sabar (teguh hati).
Allah bersumpah dengan nama masa. Kerana di dalam masa itu ada mengandungi teladan yang pelik-pelik dan pengajaran yang ajaib-ajaib. Adapun masa atau waktu itu selalu bertukar-tukar. Ada masa yang telah lalu, sekarang dan akan datang. Ada masa kaya atau miskin. Ada masa senang atau susah. Dan begitulah seterusnya masa itu selalu berubah-ubah.
Perubahan tersebut menjadi bukti, bahawa alam ini ada yang mentadbirkannya, iaitu Allah. Maka kepada-Nya sajalah semua makhluk  mesti menyembah, memohon keredaannya dalam segala amal ibadat yang kita laksanakan.
Tujuan Allah bersumpah, kerana hendak menguatkan firman-Nya; bahawa manusia itu
sentiasa di dalam kerugian. Sebabnya dikatakan rugi, kerana manusia itu setiap masa telah menghabiskan umurnya. Lebih-lebih lagi rugi apa bila umurnya dihabiskan untuk berbuat maksiat dan derhaka kepada Allah, bukan untuk mentaati-Nya. Maka janganlah menyalahkan masa, tetapi hendaklah menyalahkah dirinya sendiri yang telah berdosa dan menyebabkan celaka.
               Bagi menilai sejauh  mana kesanggupannya untuk menempuh hidup yang penuh bergelora ini, berana mati demi mempertahankan keyakinan akidah, sanggup berkorban apa sahaja asalkan dirinya dan peribadinya tetap sebagai seorang muslim. Ini kerana orang-orang Islam tidak pernah gentar menghadapi perjuangan ini. Mereka tidak mengenal putus asa, penatjerih dan sebagainya mahupun mereka tetap di dalam tahap perjuangannya untuk berbakti kepada Allah s.w.t.. Sikap keunggulan orang-orang mukmin ini dinyatakan oleh Allah s.w.t. seperti firman-Nya surah Fushilat ayat 41:30 yang bermaksud:
               “Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan “Tuhan kami ialah Allah” kemudian mereka berpendirian tetap, para malaikat akan turun kepada mereka (seraya berkata): Janganlah kamu takut dan jangan berdukacita. Dan sambutlah berita gembira mengenai syurga yang dijanjikan kepada kamu.”
               Suatu sikap yang tidak luntur di kalangan orang-orang beriman ialah istiqamah atau teguh pendiriannya, tetap dengan perjuangan dan matlamat hidupnya, tidak mudah terpesona dan hidupnya tidak terumbang ambing oleh arus hidup yang penuh tipu hela ini.
               Segala ujian hidup baik berupa perhiasan dunia, kenikmatan hidup godaan syaitan, tuntutan hawa nafsu, baik dan buruk, lapar dan dahaga, harta dan anak atau pangkat dan pingat dihadapinya dengan tabah dan waspada agar dia tidak  tersasul di persimpangan jalan. Semua itu sebagai ujian Tuhan keadaanya, untuk menyelami dan menyelidik tahap-tahap keimanannya kepada Allah s.w.t.
               Demikianlah perjuangan hidup yang mesti dilalui oleh setiap manusia. Perjuangan itu tetap berjalan setiap saat dan setiap detik meski pun manusia tidak mengetahuinya. Proses perjuangan ini bermula dari lahirnya manusia ke dunia ini dan berakhir dengan kematian. Dengan kematian itu bukan bererti manusia sudah berakhir tetapi manusia tetap hidup dalam
ertikata lain sudah selesai daripada perjuangannya dan manusia akan menerima hasil perjuangan tersebut.
               Di saat kematian itulah manusia akan melihat sendiri terhadap perjuangan hidupnya di dunia ini sama ada baik berakhir dengan kematian yang indah atau buruk dengan ditutupi oleh kematian yang menakutkan. Di sini manusia akan menerima ganjaran yang wajar dari perjua- ngan itu sama  ada menuju ke neraka atau pun ke syurga.
               Maka itu setiap manusia haruslah menyedari akan hakikat perjuangan hidupnya. Aktiviti pembangunan memerlukan dua faktor dalam diri seseorang, iaitu iman dan takwa kepada Allah s.w.t. dan ilmu dalam dirinya untuk memandunya ke jalan yang benar. Ilmu itu akan membawa manusia ke jalan yang diredhai Allah, kerana orang yang berilmu adalah mereka yang dekat dengan Allah dan paling takut kepada Allah.
               Manusia adalah lebih tinggi darjatnya dari Malaikat dan binatang. Manusia diberi akal untuk menimbang yang mana yang benar dan yang mana salah atau yang mana suruhan Allah s.w.t. dan yang mana larangan-Nya serta yang mana ajakan syaitan. Tetapi yang mendukacita kan ialah ramai orang yang melakukan perbuatan yang boleh menghumban diri mereka ke dalam azab dan jurang kemusnahan.
               Al-Quran mengambarkan penilaian yang rendah terhadap kehidupan dunia ini. Ianya sebagai permainan, perhiasan dan sebagainya.
               Firman Allah s.w.t. surah Al-Hadid ayat 57:20 yang bermaksud:
               “Ketahuilah, hanyasanya kehidupan dunia itu ialah permainan dan senda gurauan (yang melalaikan) perhiasan dan bermegah-megah di antara kamu dan (berbangga-bangga dengan) banyaknya harta dan anak dimisalkan seperti hujan yang tanam-tanamannya menga gumkan para petani, kemudian (tanaman itu) menjadi kering dan engkau lihat  warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat kelak ada seksa yang keras dan ada pula pengampunan dari Allah serta keredaan-Nya. Dan tidak lain kehidupan di dunia itu hanyalah kesenangan yang memperdayakan.”
               Ayat ini jelas menunjukkan bahawa kehidupan dunia ini adalah sebagai permainan dan hiburan, tetapi bukan bererti untuk meremehkan kehidupan dunia ini, Cuma adalah sebagai suatu ingatan kepada manusia agar jangan sampai manusia terpesona atau tergoda dengan kenikmatan dunia yang sebentar dan menipu ini.
               Di samping itu dinyatakan bahawa kehidupan di akhirat itu adalah sebenar-benar hidup dan matlamat serta tempat tujuan seluruh manusia. Ianya digambarkan sebagai kehidu- pan Ilahi.
               Allah memaklumkan dengan perempumaannya mengenai hal-ehwal kehidupan dunia yang cepat menghilang iaitu: Wahai sekalian manusia, ketahuilah oleh kamu! Sesungguhnya kehidupan di dunia ini, tidak  lain yang diagung-agungkan oleh manusia hanyalah mengada kan permainan demi permainan yang akan memenatkan orang seperti kanak-kanak yang dipenatkan oleh permainannya.
               Dan senda gurawan, yang melalaikan daripada mentaati Allah dan daripada mengingat akhirat – hanya untuk  bersuka-suka sahaja.
               Dan merupakan perhiasan, yang dengannyalah  orang-orang yang jahil itu  menjadi kannya bermacam-macam model pakaian yang cantik-cantik, dipakai untuk menghiasi kein- draan yang bagus-bagus dan melengkapkan rumah-rumah besar yang mewah dengan beraneka rekreasi yang menarik.
               Dan bermegah-megah  di antara kamu.
Memegahkan keturunan, kebangsawanan, nama dan pangkatnya yang tinggi serta kekuasaan nya yang besar terhadap golongan yang lain yang kurang dan lebih rendah daipadanya.
               Dan berbangga-bangga dengan adanya harta dan anak.
Inilah gambaran kehidupan dunia laksana bunga-bunga indah yang akan layu dan fana dan
merupakan nikmat-nikmat menyenangkan yang cepat menghilang, telah digambarkan oleh
Allah seperti air hujan yang turun dengan lebatnya menimpa bumi, akan menyuburkan tanam-tanaman menyebabkan petani-petani merasa kagum melihatnya dan bergembira untuk mendapatkan hasilnya. Tetapi sayang! Kemudian para petani itu keadaannya bertukar menjadi panik apabila melihat tanam-tanaman tersebut berubah menjadi kering, warnanya kuning, kemudian hancur  dan diterbangnya angin.
               Lafaz al-Kufar di sini, di maksudkan ialah  para petani yang menanam benih. Dan di akhirat kelak ada seksa yang keras, sebagai balasan kepada  orang-orang yang kufur dan jahat. Dan ada pula pengapunan daripada Allah serta keredaan-Nya yang diberikan kepada orang-orang yang baik-baik.
               Dan tidak lain kehidupan di dunia itu, hanyalah kesenangan yang memperdayakan, yakni banyak orang yang terpedaya oleh pelbagai kesenangan, keindahan dan kemewahan dunia, sehingga  mereka  menyangka tidak  ada lagi dunia yang lain yang kekal dan abadi, iaitu akhirat, setelah dunia ini binasa.

               Maka itu manfaatakan segala ujian yang kita lalui dalam hidup kerana disitulah tapak kebahagian hidup dunia dan akhirat. Kita mesti tahu bahawa Allah tidak menyusahkan kita dalam hidup tetapi apa halangan yang kita tempuhi adalah satu ujian kepada kita sejauh mana cinta kita kepada Allah s.w.t. serta keinginan kita hidup bahagia yang kekal dan abadi di akhirat nanti setelah selesai agenda dunia berakhir.

No comments:

Post a Comment