Saturday, March 5, 2016

FALSAFAH PEMBANGUNAN MANUSIA MURNIKAN KEHIDUPAN

 (Disiarkan pada 5. 3. 2016)
Falsafah pembangunan mendasari ciri-ciri kehidupan manusia sebagai pemain dalam arena pembangunan kehidupan di dunia. Manusia pada pandangan Islam adalah makhluk Allah s.w.t. yang mulia (makhluk yang mempunyai tanggungjawab) dijadikan oleh Allah s.w.t. dengan sebaik-baik kejadian, dielokkan rupa paras manusia dan ditiupkan padanya roh. Para Malaikat telah sujud hormat kepada manusia kerana manusia lebih tinggi darjatnya daripada Malaikat.
Falsafah pembangunan manusia disediakan sedemikian rupa dengan memberi keuta- maan kepada pembangunan  akhirat daripada dunia; kerana kehidupan dunia digambarkan Allah s.w.t. dalam al-Qur’an sebagai permainan dan senda gurauan yang melalaikan. Sifat  kehidupan dunia hanya semantara sahaja tetapi kesenangan yang memperdayakan.
Firman Allah s.w.t. surah Al-Hadid ayat 57:20 yang bermaksud:
               “Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan.”
               Alam tumbuh-tumbuhan diwujudkan oleh Allah bukan dengan sia-sia tetapi memberi manfaat kepada kehidupan. Ia memberi tamsil kepada manusia bahawa: “Jika mereka tanam padi rumput tumbuh sama tetapi jika mereka tanam rumput  padi tidak ikut tumbuh.” Maksud nya ialah tanam padi memberi manfaat kepada kehidupan demi memelihara kepada  kebajikan akhirat yang mana juga dunia turut  terbela, kerana kita hidup di dalamnya.
Tetapi tanam rumput manfaatnya amat minimal kepada manusia dan padi tidak ikut tumbuh kerana rumput hanya untuk dunia semata dan kebajikan akhirat tidak turut sama terbela. Padi adalah kehidupan atau makanan asas manusia di dunia maka kepentingannya hingga ke akhirat.
Falsafah di sebalik kewujudan makhluk padi dan rumput menitik beratkan kepada pembangunan dunia dan akhirat. Makhluk padi adalah keutamaan manusia hidup di dunia dan seterusnya sebagai persediaan hidup di akhirat kelak, manakala makhluk rumput hanya keperluan pembangunan kehidupan di dunia semata.
               Manusia mengikut kaca mata Islam, adalah makhluk yang mempunyai tanggung jawab, mempunyai kemampuan untuk meningkatkan ke arah ketinggian dengan persediaan yang telah diberikan oleh Tuhan dan membolehkan manusia menerima taklif dari Allah s.w.t. dan menjadi insan kamil, manusia juga boleh turun ke bawah, ke darjat yang lebih rendah daripada binatang,
               Maka itulah manusia lebih tinggi daripada malaikat jika digunakan persediaan yang telah dibekalkan oleh Tuhan itu untuk bertakwa dan berkeyakinan kepada Allah s.w.t. sebagai manusia yang mukallaf. Begitu juga dia akan turun ke bawah apabila tidak menggunakan persediaan asas itu sesuai pada tempatnya.
               Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Isra’ ayat 17:70 yang bermaksud:
               “Sesungguhnya Kami (Allah) telah memuliakan anak-anak Adam. Dan Kami angkat mereka di darat dan di laut, dan Kami beri mereka  rezeki daripada jenis yang baik-baik, serta Kami lebihkan mereka daripada kebanyakan yang telah Kami ciptakan berbanyak-banyak kelebihan.” 
               Allah menerangkan tentang kemuliaan yang dikurniakan kepada manusia, iaitu kata Ibnu Abbas: Mereka makan menggunakan tangan, sedangkan  makhluk yang lain makan dengan mulut yang ditonyohkannya ke tanah.
               Atau manusia itu  dimuliakan dengan sebab mereka dibekal: Akal, dipandaikan ber- tutur kata, tahu memilih di antara yang baik dengan yang buruk, tahu menulis dan melukis, seterusnya dikurniakan kefahaman.
               Ataupun kemuliaan itu dengan menjadikannya berupa yang cantik dan bentuk
badannya yang molek. Atau kerana dapat menguasai apa yang ada  dimuka bumi dan meng- gunakannya untuk maslahat hidup manusia itu sendiri, atau dengan memberikan kepandaian untuk mentadbirkan urusan mereka dengan baik.
               “Dan Kami angkat mereka di darat  dan di laut.”
               Allah kurniakan kepada mereka bermacm-macam kenderaan yang boleh mengangkut mereka di darat dan di laut dan  di udara seperti: unta, kuda, keldai dan lain-lain daripada jenis binatang. Juga daripada berjenis kendraan yang berjentera seperti: kereta, kapal laut dan kapal
terbang.
               “Dan Kami beri mereka rezeki daripada jenis yang baik-baik.”
               Makanan dan munuman yang sedap lagi lezat sama ada daripada tumbuh-tumbuhan mahupun haiwan. Di antara yang baik lagi sedap rasanya, ialah yang sudah dimasak dan dirempahi pula, atau yang masak dipokoknya boleh dimakan begitu sahaja.
               “Serta Kami lebihkan mereka daripada kebanyakan makhluk yang telah Kami cipta kan berbanyak-banyak kelebihan.”
               Manusia itu Allah jadikan melebihi daripada makhluk yang lain tentang kemuliaan nya. Oleh sebab itu hendaklah mereka menyembah Allah – jangan menyekutukan-Nya dengan menyembah yang lain.
               Dipermulaan ayat ini Allah menyebutkan tentang kemuliaan dan di akhir ayat tentang kelebihan yang dikurniakan kepada manusia. Maksud kemuliaan di sini, iaitu Allah menjadi kan manusia lebih mulia daripada haiwan kerana dibekal akal, boleh bertutur kata, pandai menulis dan melukis serta bagus pula rupa dan bentuk tumbuh badannya.
Dan maksud kelebihan pula, iaitu Allah menjadikan manusia berkelebihan kerana dengan akal dan kefahamannya dapatlah  dia memperbaiki kepercayaan atau iktikadnya dengan betul serta memperbaiki budi pekertinya menjadi mulia.
Dan Allah melebihkan manusia itu daripada lain-lain makhluk, adalah terbatas kepada yang bukan malaikat. Setengah ulama pula mengatakan: Bahawasanya anak-anak Adam (manusia) yang kenamaan seperti para nabi, mereka lebih mulia daripada para malaikat yang kenamaan seperti: Jibril Mikail, Israfil, ‘Israil dan seumpama mereka.  Dan golongan malaikat yang kebanyakan lebih mulia daripada golongan manusia yang kebanyakan (awam). Kelebi- han ini hanyalah dikira daripada kalangan orang-orang Mukmin sedang orang kafir tidak  ada kemuliaannya langsung.
               Allah berfirman lagi dalam surah At-Tin ayat 95:4-5 yang bermaksud:
               “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami (Allah) kembalikan dia ke tempat serendahnya (neraka).”
               Allah bersumpah dengan benda-benda tersebut, untuk menguatkan kata-kata-Nya bahawa manusia itu benar-benar telah diciptakan dalam bentuk yang sebaik-baiknya, tidak seperti haiwan dengan bersusah payah menunyuhkan muka ketika makan dengan mulutnya. Tetapi manusia diciptakan bertubuh tinggi dan lampai, perawakannya cantik. Kalau makan dengan menggunakan tangan. Ia juga dihiasi dengan ilmu pengetahuan, fahaman, akal fikiran dan daya membezakan serta dapat pula bercakap-cakap, selain mempunyai adab dan kesopanan.
               Kemudian Allah telah mengembalikan manusia itu ke tempat yang serendah-rendahnya di dalam neraka. Mula-mula dikembalikan menjadi tua, lemah tubuh badannya dan berkurangan daya berfikirnya. Atau juga  dikembalikan menjadi lemah, menghidap sakit tua, sehingga  tidak sanggup dia membuat sebarang helah, tak dapat hendak berbuat apa-apa, sebab badannya lemah, pendengarannya lemah, penglihatannya lemah dan akalnya pun lemah. Yang dimaksudkan dengan neraka yang bertingkat-tingkat, semakin ke bawah semakin rendah. Ke situlah manusia nanti dikemlaikan.
               Kehadiran akal pada diri manusia membuatnya sentiasa memikirkan apa aktiviti kehidupan yang diisikan pada kehidupan itu. Manusia sentiasa merancang perjalanan hidupnya samada hari ini, hari esok  dan hari-hari seterusnya. Ahli falsafah Islam Ibnu Sina dalam bukunya:“Al-siasah” menyebutkan bahawa perbezaan manusai dengan segala binatang lain ialah manusia berfikir untuk hari esoknya. Pemikiran manusia tentang kehidupan sentiasa berubah dari semasa ke semasa, dan tidak statik.
               Selain daripada keperluan hidupnya untuk hari ini, dia juga memikirkan untuk hari esoknya dan hari-hari selanjutnya di samping memerlukan rumah-rumah kediaman dan juga memerlukan bangunan perniagaannya.
Keperluan memikirkan bahawa apa yang telah berlaku pada hari ini seharusnya lebih baik berbanding dengan apa yang telah berlaku  pada hari kelmarin dan sentiasa merancang  keperluan pada hari esok  adalah lebih baik berbanding hari ini dan seterusnya demi masa ada sahaja yang berubah dari masa ke semasa. Demikianlah falsafah pembangunan manusia untuk memurniakan kehidupannya sebagai khalifah Allah s.w.t. di bumi yang penuh dengan cabaran ini.
Setiap mukmin tidak akan melepaskan berlalunya sesuatu masa itu kecuali sentiasa dalam beribadat kepada Allah s.w.t. kerana masa adalah penting kepada manusia bagi menentukan atau pun untuk kesenangan hidup di dunia seperti menumpukan sepenuh masa bagi menyelesaikan sesuatu ibadat di samping berusaha dan tekun dalam bidang-bidang tertentu atau pun untuk kesenangan di akhirat dengan menentukan masa dalam zikir dan sentiasa mengingati Allah s.w.t. di mana mereka berada.
Tuhan telah bersumpah dengan masa dalam firman-Nya surah ayat 103:1-3 yang bermaksud:
“Demi masa sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, kecuali bagi mereka yang beriman dan beramal soleh serta orang-orang yang sentiasa menasihati suadara dengan kebenaran dan kesabaran.”
Kecuali yang tidak rugi, ialah orang yang mempunyai empat seperti berikut:
1. Orang yang beriman (percaya) dengan mengikrarkan lidahnya dan membenarkan hatinya; bahawa semua pengajaran Islam yang  dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. adalah betul.
2. Beramal salih (baik). Selain beriman, dia mengejakan apa yang diimankannya, dan mengerjakan amal kebajikan yang baik-baik dan  mendatangkan manfaat kepada umum, serta membawa orang yang beramal itu kepada mentaati Allah s.w.t.
3. Berpesan-pesan dengan yang baik (benar), iaitu ingat mengingatkan sesama orang mukmin, supaya berpegang dengan pengajaran Al-Qur’an, keimanan dan Tauhid, kerana semuanya itu benar tidak dapat diingkari.
4. Berpesan-pesan dengan bersabar (teguh hati), iaitu jangan mudah tergoda oleh pujukan syaitan untuk berbuat maksiat. Bahkan mestilah tabah dan tahan menghadapi segala macam ujian, penderitaan dan kesusahan. Jika ditakdirkan juga mendapat kesusahan, terima lah dengan hati yang rela dan bersyukur kepada Tuhan.
Adapun perbuatan ingat-mengingat itu tidak akan berkesan atau memberi faedah, kecuali orang yang mengingatkan itu ada mengerjakannya.
Maka orang-orang yang disebut sifat-sifatnya di atas akan mendapat keuntungan, iaitu hidupnya akan berbahagia di dunia dan akhirat, sedang orang yang menghabiskan masa dan umurnya dengan sia-sia dan  di dalam maksiat akan rugi, iaitu hidupnya akan celaka dan menyesal dibelakang hari.
Allah s.w.t menyedarkan manusia betapa penting masa dalam hidup ini, berjaya atau gagalnya seseorang itu adalah beruntung kepada setakat mana mereka telah laksanakan dari masa-masa itu. Bagi orang yang menghargai masa, dia dapat menghayati hidup ini dengan penuh erti dan  bahagia, seribu perkara boleh dilakukan. Setiap satu dipenuhi dengan kerja-kerja amal, hatinya tidak  pernah lupa terhadap anugerahan yang maha besar itu.
Lantas dari itu  dia sentiasa meluahkan rasa syukur kepada Allah s.w.t. di atas
anugerah tersebut. Tetapi bagi orang yang tidak pandai menghargai masa hidupnya bukan sahaja sengsara dan susah bahkan juga dikutuk oleh Allah s.w.t..
               Malam dan siang adalah tanda adanya Tuhan. Siang manusia boleh bekerja mencari rezeki dan kehidupan di bumi Allah s.w.t..  Dari pertukatan malam dan siang ini manusia dapat mengetahui akan hitungan hari, bulan dan tahun.
               Selain dari itu  patut diingat bahawa penciptaan malam dan siang tersebut bukan sahaja untuk memberi kemudahan kepada manusia bekerja di siang hari dan tidur di malam hari, bahkan juga dengan berlakunya malam dan siang itu dapat menentukan umur kita dari hari  yang silih berganti menjadi minggu, bulan dan tahun dan seterusnya akan sampai masa yang ditentukan Tuhan kita dipanggil menemui-Nya, seperti firman Allah s.w.t. Surah Al-An’am ayat 6:60 yang bermaksud:
               “Dan Dia (Allah) mematikan kamu pada waktu malam (menidurkan) dan mengetahui apa yang kamu kerjakan pada wakti siang, kemudian pada waktu siang ini kamu dibangkitkan-Nya (dibanguankan) semula untuk menghabiskan tempoh yang ditetapkan (umur yang masih tinggal), sesudah itu kamu dikembalikan kepada-Nya kemudian diberitahukan-Nya kepada kamu apa yang kamu kerjakan.”
               Maksudnya kamu ditidurkan di malam hari  dan dibangunkan di siang hari supaya dengan perputaran waktu itu cukuplah (habislah) umur yang telah ditentukan. Misalnya seseorang itu  sudah ditentukan oleh  Tuhan umurnya 70 tahun atau 60 tahun, maka  dengan berlalunya malam dan siang itu bererti umurnya semakin berkurang dan saat kematian semakin dekat.

Tetapi malangnya jika kita mengira bahawa perputaran malam dan siang itu hanya untuk memberi peluang kita tidur dan bekerja semata-mata tanpa menyedari umur kita susut dan tiba-tiba ajal datang, pergilah kita menemui Tuhan dengan penuh penyesalan. 

No comments:

Post a Comment