Friday, March 18, 2016

KESUNGGUHAN MELAKSANAKAN IBADAT MELAHIRKAN KEMULIAAN

 (Disiarkan pada 19. 3. 2016)
Kesungguhan dalam semua ibadat akan melahirkan kemuliaan hidup dunia dan  akhirat. Pepatah  Melayu mengatakan: “Alah Bisa Tangal biasa” yang membawa maksud setiap amal ibadat walau serumit mana sekali pun  jika dilaksanakan secara istiqamah akan memudahkan dalam mengerjakan berbanding dengan orang yang belum pernah membuatnya. 
Saya dengar saya tahu; saya lihat saya ingat; saya buat saya faham. Konotasi ini melambangkan satu falsafah hidup bahawa setiap amal ibadat itu lebih bermanfaat berbanding dengan hanya mengetahuinya sahaja. Maka ilmu dan amal semestinya berjalan sama kerana setiap ilmu yang diamal  telah mengukuhkan fondasi kefahaman kepada setiap pelakunnya.
Kesungguhan merupakan satu akhlak kerja yang dilaksanakan secara istiqamah. Kesungguhan hati dalam memahami sesuatu ilmu adalah melaksanakan amal ibadat secara berterusan dan akan menghasilkan satu kejayaan yang sungguh luar biasa. Kesungguhan melaksanakan sesuatu ibadat tidak mengenal kebosanan kerana nadi perjuangannya ialah mendapatkan kejayaan yang cemerlang.
Rasulullah s.a.w. pada mula perjuangannya dalam hidup ialah ingin benar mencari sesuatu kebenaran. Beliau melihat perbuatan masyarakat Quraisy yang menyembah patung yang direka mereka sendiri, baginda tidak sama sekali medekati amalan itu. Dia berkata dalam hatinya bahawa: “There must be a truth in understanding this life!” Semestinya ada sesuatu yang bersifat benar dalam hidup ini!
Maka itu beliau sentiasa suka bersendirian di tempat-tempat yang sunyi dan aman yang tidak ada mengganggu alam pemikirannya seperti di gua dan seumpama. Dia sentiasa memikirkan bahawa di alam yang luas ini semestinya ada sesuatu yang bersifat benar. Kesungguhannya hendak mencari sesuatu yang bersifat benar akhirnya menemuinya.
Nabi Muhammad telah menerima wahyu Illahi melalui Malaikat Jibril di Gua Hira. Wahyu pertama diterima Nabi Muhammad ialah perintah dari Allah s.w.t. untuk membaca. Membaca adalah satu cara mencari ilmu pengetahuan dan membawa kita ke suatu sudut untuk memahaminya. Membaca yang dimaksudkan dalam wahyu pertama tersebut ialah membaca wahyu Illahi, ilmu yang terucap oleh Allah s.w.t. iaitu Al-Qur’anul Karim dan seterusnya membaca ilmu yang tercipta oleh Allah iaitu alam ini dan segala isinya.
Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. menerima wahyu dari Allah melalui malaikat Jibril selama 22 tahun 2 bulan 22 hari atau 23 tahun. Wahyu diturunkan secara bertahap, sedikit demi sedikit. Biasanya wahyu turun  sehubungan dengan berbagai peristiwa. Maka itu Nabi Muhammad mempunyai cukup masa serta memudahkan beliau  menghafalnya dan menterjemahkan dalam dirinya apa yang dibawa oleh wahyu berkenaan.
Sebagai contoh surah Ar-Rahman ayat 55:46 yang bermaksud:
“Dan orang yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya) disediakan baginya dua syurga.”
Terdapat suatu riwayat yang mengemukan bahawa pada suatu hari Abu Bakar menerangkan tentang kiamat, timbangan, syurga dan neraka. Di samping itu juga, beliau menambah bahawa dirinya ingin menjadi seperti tumbuh-tumbuhan yang dapat dimakan oleh bintang sehingga tidak dijadikan oleh Allah seperti keadaannya sekarang.
Maka ayat di atas turun sebagai petunjuk kepada orang yang takut menghadapai pengadilan dari Allah dengan menyiapkan diri melaksanakan perintahnya.
       (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dan Abu Syaikh di dalam kitabul Idhamah dari Atha)
Mereka yang telah meninggalkan maksiat, memperolehi dua syurga: Yang satu menjadi tempat kediamannya dan yang satu lagi menjadi tempat isteri-isteri dan khadam-khadamnya seperti halnya raja yang ada di dunia mempunyai istana yang khas untuknya dan istana yang lain untuk para permaisurinya. Tujuannya supaya penduduk syurga dapat bersenang-lenang dari sebuah syurga ke sebuah syurga yang lain.
Dalam dua Surah Ibrahim Allah berfirman  yang bermaksud:
“Tidakkah engkau melihat (dan merasa ajaib) terhadap orang kafir yang telah menukar kesyukuran nikmat Allah dengan kekufuran, dan yang telah menempatkan kaum mereka dalam kebinasaan?” (Surah Ibrahim ayat 14:28)
“Iaitu: Neraka Jahanam yang mereka akan menderita bakarannya; dan (ingatlah),
seburuk-buruk tempat tetap ialah Neraka Jahanam.” (Surah Ibrahim ayat 14:219)
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa kedua ayat di atas turun berkenaan dengan pembesar-pembesar Quraisy yang terbunuh dalam peperangan Badar. Ayat ini menjelaskan bahawa pengorbanan mereka demi kekufuran mereka telah membinasakan diri, kaum dan negara mereka sendiri dan tempat mereka di akhirat adalah neraka jahanam. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Atha bin Yasin)
Para pelajar yang menuntut ilmu di institusi pendidikan sewajarnya bertemankan dengan budaya kesungguhan dalam melaksanakan ibadat mengilmukan diri. Pelajar yang mementingkan budaya istiqamah dalam semua amal perbuatan menuntut ilmu akan menem- puhi kejayaan. Kejayaan dalam mengilmukan diri akan memperolehi kemuliaan hidup di sisi Allah s.w.t. kerana Allah lebih suka manusia yang berilmu daripada yang tidak berilmu. “Orang yang berilmu adalah jauh  lebih mulia daripada orang yang tidak berilmu”.
Kesungguhan ada kaitan dengan akhlak individu berkenaan. Akhlak adalah tentang pengertian baik buruk, serta menerangkan apa yang patut manusia lakukan dalam hubungan sesama mereka. Ia juga menerangkan tujuan yang perlu dicapai oleh mereka dalam tingkah laku mereka di samping menunjuk jalan tentang apa yang perlu untuk sesuatu pekerjaan.
Akhlak ialah asas utama untuk memelihara hakikat kewujudan bangsa-bangsa. Dengan sebab itu kita lihat para penyelidik dan ahli-ahli falsafah bersetuju bahawa akhlak itu wajib ada pada seseorang demi untuk kebajikan dirinya sendiri dan masyarakat seluruhnya. Kalaulah individu dapat dirosakkan oleh perbuatan yang dusta, dengki, jahat dan tipu, maka demikian juga masyarakat menjadi rosak dengan merebaknya salah satu dari sifat-sifat itu dalam masyarakat.
Dengan sebab itulah ahli-ahli falsafah dan ahli-ahli perundangan dalam memajukan masyarakat manusia, pertama sekali menyeru kepada akhlak yang mulia sebab akhlak mulia itu menjadi tiang pertama dalam pembinaan masyarakat yang sejahtera.
Ahato Brayn tidak  boleh dikatakan apabila ia mengatakan: “Akhlak ialah asas bagi setiap masyarakat”. Dengan sebab itulah  agama-agama yang dibawa oleh nabi-nabi mengga- lakkan manusia supaya, berakhlak mulia. Al-Qur’an juga sentiasa menyeruh umat Islam supaya berakhlak dengan akhlak yang mulia kerana tingkah laku demikian akan menjaminkan kejayaan di akhirat.
Kesungguhan Rasulullah saw dalam usaha dakwahnya sudah menjadi darah, daging  dalam diri beliau. Akhlak baginda sudah dipenuhi dengan iman dan takwa kepada Allah s.w.t. Kesungguhannya untuk menyeru manusia beriman dan beramal salih bererti mencabut dan menghindarkan manusia dari jurang kesengsaraan dunia dan jurang kesengsaraan akhirat.
Dengan pada itu Rasulullah s.a.w. menumpahkan semua tenaga, fikiran, harta hingga lah kepada jiwanya sendiri untuk menyeru manusia kepada Allah dan beramal salih. Sekalipun diancam dengan beraneka ragam ancaman, beliau  takkan mundur selangkah pun dari pekerjaan yang paling mulia itu.
Baginda lakukan pekerjaan suci siang dan malam, pagi dan petang, dikala susah dan dikala senang, di waktu perang dan di waktu damai, di waktu dalam keadaan lapar selapar-laparnya sekalipun. Beliau lakukan pekerjaan itu tanpa mengharapkan upah dari siapa pun, kecuali ganjaran pahala dari Allah semata.
Sesudah 5 tahun menjadi Rasul, Nabi Muhammad saw. baru berhasil mendapatkan pengikut kira-kira 50 orang yang kebanyakan terdiri atas orang-orang yang lemah, tetapi halangan dan rintangan yang merupakan ancaman dan hinaan sudah hebat sekali. Semua halangan dan ancaman itu tampaknya tak berkesan sedikit jua atas diri Nabi Muhammad saw. bahkan terus saja berda’wah dan menyeru manusia kepada Allah; pemimpin-pemimpin bangsa Quraisy mulai memikirkan jalan lain dari ancaman untuk menghentikan Rasulullah saw. berdakwah itu.
Pemuka-pemuka Quraisy berkumpul untuk mencari cara (jalan) lain yang bagaimana
dapat dihentikan Nabi Muhammad saw. Akhirnya diutus seorang yang paling berwibawa dan terhormat di kalangan bangsa Quraisy, yang paling pandai berkata-kata, iaitu Utbah bin Rabi’ah. Utbah  diutus menemui Muhammad saw. mengemukan 3 tawaran kepada baginda.
Tiga tawaran tersebut ialah pertama: menjadi orang yang terkaya  di kalangan bangsa Quraisy; kedua diberi peluang memilih sepuluh orang wanita-wanita Quraisy yang cantik-cantik menjadi isteri; dan ketiga ialah menjadi raja bagi bangsa Quraisy.
Setelah mendengar ketiga-tiga tawaran tersebut Rasulullah lalu berkata dengan membaca Surah Hamim Sajadah ayat 1 hingga ayat 13, yang bermaksud:
 (1)“Alif Lam Mim Allah mengetahui akan maksudnya.
 (2) Turunnya Kitab (al-Qur’an) tidak  diragukan lagi  adalah daripada Tuhan semesta alam.
(3)Mengapakah mereka katakan: Al-Qur’an ini diada-adakan oleh Muhammad? Sebaliknya      dia kitab yang benar datangnya dari Tuhan-Mu, untuk engkau peringatkan kepada kaum yang belum didatangi oleh orang yang memberi peringatan sebelum engkau. Mudah-mudahan mereka mendapat pertunjuk.
(4)Allah itulah yang menciptakan beberapa langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya dalam enam hari. Kemudian Dia(Allah)telah bersemayam di atas singgah sana. Tidak ada bagi kamu pemimpin dan penolong selain daripada-Nya, mengapakah kamu tidak  beringat?
(5) Dia (Allah) yang mengatur urusan (pemerintahan) dari langit ke bumi, kemudian urusan itu naik kepada-Nya pada hari yang anggarannya seribu tahun mengikut perhitungan kamu.
(6) Begitulah, Allah itu Maha Tahu akan perkara yang tersebunyi dan yang terang lagi Perkasa lagi pula Penyayang.
(7) Iaitu yang menjadikan sesuatu dengan sebaik-baiknya. Dan memula menciptakan manusia itu daripada tanah.
(8) Kemudian dijadikan-Nya keturunan manusia itu daripada pati air yang hina.
(9) Kemudian dibentuk-Nya dan ditiupkan ke dalamnya sebahagian dari rohnya (Allah), dan dijadikan bagi kamu pendengaran, penglihtan dan hati, sedikit sekali kamu bersyukur.
(10) Berkata orang-orang (yang kufur) itu; Apabila badan kita telah hancur-luluh di dalam tanah adakah kejadian kita akan dibaharukan (hidupkan kembali)? Sebaliknya mereka menyangka  mengenai  pertemuan dengan Tuhan mereka.
(11) Katakanlah: Kami dimatikan oleh Malakul maut(Izrail) yang telah  diwakilkan kepadanya untuk mematikan kamu, kemudian kepada Tuhan kamu dikembalikan.
(12) Kalau sekiranya engkau lihat (engkau akan hairan), ketika orang-orang yang berdosa  itu menundukkan kepala kepada Tuhan mereka (seraya berkata): Wahai Tuhan kami! Kami telah melihat dan telah mendengar (seruan rasul), sebab itu kembalikanlah kami ke dalam dunia supaya kami kerjakan amalan yang salih, sesungguhnya kami sekarang sudah yakin.
(13)  Kalau Kami mahu, Kami  dapat memberikan pertunjuk kepada setiap orang tetapi ketetapan kata dari-Ku iaitu, Aku pasti akan penuhkan neraka Jahanam itu dengan bangsa jin dan manusia semuanya.
Uthbah menjadi terpukau mendengar: ayat-ayat tersebut, kerana kata-kata dan susunan yang indah dan pengertiannya yang amat mendalam, yang berisi seruan untuk beriman dengan Allah agar mendapatkan kebahagian, dan mengancam jangan mengabaikan apa yang pernah menimpa kaum ‘Aad dan Tsamuud.
Utbah tidak berkata apa-apa lagi, lalu meminta  untuk kembali pulang. Rasulullah pun tidak berkata apa-apa lagi selain membaca ayat tersebut.
Beberapa bulan kemudian, pemuka –pemuka Quraisy kembali berkumpul berunding
sesuatu stratigi lagi untuk menghentikan  Muhammad untuk terus berdakwah. 5 orang yang paling terkemuka di kalangan  bangsa Quraisy iaitu Abu Jahl bin Hisyaam, Umayyah bin Khalaf, Abu Sofyan bin Harab, Utbah bin Rabi’ah dan Syaibah bin Rabi’ah. Mereka diutus hendak bertemu dengan Abu Thalib.
Di hadapan 5 orang utusan Quraisy, Abu Thalib sebagai pelindung Rasulullah, berkata kepada Rasulullah untuk menghentikan dakwahnya kerana beliau (paman) tidak sanggup melindungi keselamatannya. Dengan perkiraan yang demikian itu, Rasulullah saw dengan air mata yang berlinang-linang di permukaan Quraisy atau musuh-musuhnya, beliau berkata kepada paman Abu Thalib:
“Hai pamanku, sekiranya mata hari diletakkan di tagan kananku dan bulan di tangan kiriku, tidaklah aku akan berhenti dari pekerjaan ini, sehingga Allah memenangkan apa yang akau ajarkan itu atau aku binasa dalam memperjuangkannya.”
Selepas mengucapkan kata-kata itu, Rasulullah lalu menangis. Demikianlah tingginya nilai pekerjaan yang bernama dakwah, iaitu menyeru manusia untuk beriman dan beramal salih sehingga pekerjaan itu tidak dapat ditukar dengan harta benda yang bagaimana juga banyaknya, sehingga tidak dapat diganti dengan bulan dan ditambah matahari sekali pun.

Kesungguhan baginda Rasul Nabi Muhammad saw. dalam dakwahnya menemui kejayaan sehingga seluruh dunia dapat ditarbiahan.  Mereka yang menggunakan akal fikiran yang sihat menerima Islam sebagai agama yang benar atau cara hidup yang diredai  Allah s.w.t..

No comments:

Post a Comment