Friday, November 24, 2017

HIDUP, TANPA ISLAM AMAT MERUGIKAN

 (Disiarkan pada 25. 11. 2017)
               Hidup ialah masa antara kita dilahirkan dari perut ibu sampai kita mati dimasukan ke dalam liang lahad. Lamanya masa hidup itu tidak sama, ada yang pendek dan ada yang panjang, tetapi rata-rata atau kebanyakan adalah antara 60 dan 70 tahun lamanya. Berbagai-bagai keadaan manusia dalam masa hidupnya itu.
               Ada orang yang dilahirkan dari keluarga yang kaya, dan hidup dalam keadaan senang, tidak mengalami kesusahan dan kesulitan apa-apa. Ada pula yang dilahirkan yang miskin, hidupnya ditimpa kesusahan demi kesusahan, kesulitan demi kesulitan, tidak pernah senang dan tenang, mandi peluh dan berkuah air mata, akhirnya mati dimasukkan ke liang lahad dengan tidak meninggalkan apa-apa bagi anak dan isteri yang ditinggalkan.
               Ada yang hidup memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi, hidup terpandang dan ternama, dengan kekuasaan besar dan dihormati. Tetapi ada pula yang tidak punya ilmu apa-apa selain pengalaman-pengalaman yang  diberikan alam kepadanya, tidak terkenal dan tak dikenali selain oleh sanak keluarga dan orang kampung saja.
               Satu perkara yang harus kita ingat dan sedar dalam hidup ini ialah bahawa semua manusia yang hidup itu, dianggap oleh Allah dalam keadaan merugi, baik ia dalam keadaan kaya raya, apa lagi yang dalam keadaan susah, melarat dan miskin; baik dalam keadaan pintar, berkuasa dan ternama, apa lagi yang bodoh, semuanya disifat dalam kerugian jika dilihat mengenai faktor masa. Allah berfiman  dalam surah Al-‘Asri ayat 103:1-3 yang bermaksud: (Terjemahan)
               “Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman, dan beramal salih, dan orang-orang yang berwasiat-wasiat tentang yang hak, dan berwasiat-wasiat tentang sabar,”
               Kecuali yang tidak rugi, ialah orang yang mempunyai empat sifat iaitu:
Pertama: Manusia yang hidupnya memiliki kesedaran tertinggi yang dinamakan “iman”, iaitu orang yang yakin, bahawa di balik alam angkasa  raya yang besar dan luas ini, ada “Zat”  yang maha besar dan Maha kuasa, yang menciptakan dan mengendalikan alam ini seluruhnya. Dan  bahawa di sana di balik alam kehidupan yang nyata sekarang ini, ada lagi alam kehidupan yang lebih besar dan indah, iaitu kehidupan akhirat yang kekal dan abadi bagi setiap manusia.
               Siapa saja manusia yang meninggalkan dunia ini tanpa keimaan terhadap Allah dan kehidupan akhirat itu, akan sentiasa diombang-ambingkan oleh kesusahan dan menemui sesuatu alam yang tak dikenalnya, akhirnya ia akan terjerumus masuk jurang api neraka.
               Iman adalah keyakinan terhadap wujudnya Allah dengan hati, yang dilafazkan dengan kata-kata dan dilaksanakan dengan amalan. Ketetapan hati, kekuatan batin. Beriman, mempunyai iman, patuh kepada larangan dan suruhan Allah, berpegang kuat kepada ajaran agama. Keimanan adalah keteguhan iman, keyakinan, ketetapan hati.   
               Kedua: Orang yang meninggalkan dunia ini tanpa amal yang salih, tanpa kebaikan, adalah orang yang amat merugikan, sebab kehidupan di alam akirat itu tidak ditentukan oleh harta kekayaan atau pengetahuan dan pangkat, tetapi ditentukan oleh amal salihnya. Sebab itu pergunakan kehidupan yang tidak lama di dunia ini untuk melakukan pekerjaan-pekerjaan yang baik sebanyak-banyaknya.
               Semua kesenangan, kebahagian dan kemewawahan yang kita kecapi semasa hidup di dunia merupakan suatu hiburan yang bersifat sementara. Apabila kita meninggalkan dunia dan beralih ke alam barzakh semua kesenangan tersebut akan berpisah dengan kita dan kita pergi meninggalkan alam dunia dengan berbekalkan amal-amal kebajikan yang pernah kita laksanakan semasa hidup di dunia, tanpanya, kita pergi seorang diri.
               Semua apa yang ada di dunia akan terputus dengan kita 100 peratus kecuali amal-amal kebajikan,  jika kita pernah lakukan. Orang yang paling sayang kepada kita dengan cinta dan seluruh jiwanya seperti keluarga kita, isteri atau suami dan anak-anak sekalian pun tidak dapat menenami kita. Mereka hanya mampu menemani kita hanya sampai ke liang lahad sahaja di mana kita diletakkan buat selama-lamanya. Begitu juga harta kita seperti kereta yang mewah hanya setakat dapat menghantar kita ke liang lahad tempat kita beristerihat buat selamanya.   
               Antara amal salih yang wajar disumbangkan dalam hidup di dunia ialah yang bersifat amal jariah seperti membina masjid, surau atau rumah-rumah ibadat, mendirikan sekolah madrasah. Amalan demikian sangat berfaedah kepada masyarakat, sekalipun kita yang membinanya tidak ada lagi di dunia, khidmat kita masih bersama mereka yang hidup di dunia.
               Ketiga: Mengajar dan menyampaikan kebenaran yang berupakan wahyu-wahyu Allah yang bernama Al-Quran kepada siapa saja, membela dan mempertahankannya dengan segala kemampuan yang ada, adalah perbuatan terpenting dalam hidup. Tanpa ini di dunia hidupnya menjadi satu kehidupan yang merugi, penghidupan yang hampa  belak.
               Firman Allah surah Al-Dikhruf ayat 44:1-6 yang bermaksud: (Terjemahan)
               “Ha,mim (Allah yang mengetahui maksudnya). Demi kitab (Al-Quran) yang menjelas
kan. Sesungguhnya Kami (Allah) telah menurunkannya pada suatu malam yang diberkati, sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang rapi. Iaitu urusan yang (ditakdirkan) datangnya dari kami, sesungguhnya Kamilah yang mengutus(para rasul). Untuk menjadi rahmat dari Tuhanmu. Sesungguhnya Dia Maha mende
 ngar lagi Maha Mengetahui.”
               Orang yang hidup di permukaan bumi ini, sekadar makan dan minum, dan bersenang-senang saja, tidak turut mendukung kebenaran ini, mengajarkan dan membelanjanya, adalah orang yang merugi, satu macam hidup yang kurang nilai dan ertinya dalam pandangan Allah s.w.t..
               Hidup itu merupakan ibadah maka tunjukkanlah kesyukuran kepada Allah s.w.t. ibadat-ibadat yang mengimbali rasa syukur kerana kita hidup. Harus faham bahawa hidup ini wajar ditangani dengan kefahaman bahawa kita hidup untuk dunia seperti mana jasmani kehendaki dan juga akhirat untuk pembangunan ke atas rohani kita. Pembangunan dunia atau jasmani bersifat sementara saja manakala pembangunan akhirat untuk rohani kita yang bersifat kekal abadi.
               Kehidupan yang merugi adalah kehidupan tanpa menyediakan bekalan kehidupan akhirat. Setiap manusia mempunyi dua sifat iaitu jasmani yang Allah wujudkan daripada saripati tanah dan akan kembali kepada tanah setelah mati. Mati itu jasmani berpisah dengan roh. Sifat kedua ialah roh dari Allah s.w.t. dan akan kembali kepada Allah setelah berpisah dengan jasad.
               Keempat: Manusia yang mempergunakan hidupnya untuk menyempaikan nasihat dan wasiat kepada orang lain tentang kesabaran. Mempergunakan hidup yang tak lama di dunia ini untuk menyampaikan nasihat atau anjuran agar manusia tetap menjalankan segala perintah Allah yang merupakan ibadat-ibadat: solat, zakat, puasa, bertolong-tolangan dan lain-lain dan tetap di atas keimanan atas apa yang diajakan Allah dengan perantaraan Kitab Suci-Nya al-Quran, menjadikan yang tak lama ini menjadi satu macam hidup yang berharga.
               Satu hidup yang amat berharga kepada masyarakat terutama sekali kepada orang yang cintakan ilmu pengetahuan, ialah meninggalkan amal-amal ibadah yang berbentuk amal jariah seperti menghasilkan buku yang mengandungi ilmu yang bermanfaat kepada semua kumpulan masyarakat sama ada remaja mahupun yang kumpulan warga emas.
Buku-buku yang berbentuk dakwa Islamiah, terutama sekali yang memimpin masya- rakat mengenai kefahaman tentang makna Islam sebagai “Addin” atau cara hidup sangat bermanfaatan kepada pembanguan masyarakat. Walaupun penulisnya sudah tidak ada di dunia  lagi tetapi namanya masih segar  dalam ingatan apabila mereka dihidangkan dengan ilmu yang ada dalam buku hasil karyanya, tetap menjadi santunan jiwa terutama sekali kaum muslimin dan muslimat yang cintakan ilmu akidah.
Umat Islam harus ingat bahawa hidup di dunia wajar disulami dengan ilmu pengeta- huan kerana dengan ilmu akan mendewasakan manusia, kelak memahami dirinya sebagai khalifah Allah s.w.t. Allah menurunkan Al-Quran ke bumi dalam perantaraan Malaikat Jibril yang dipetanggungjawabkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk mentarbiahkan kepada umat manusia.
Wahyu pertama yang diturunkan Allah kepada manusia ialah lafaz “iqra” yang bermaksud “baca”, maka itu menjadi tanggungjawab dalam hidup seorang insan untuk menimba ilmu melalui pembacaan dari buku-buku hasil karya orang-orang terdahulu. Membaca buku merupakan satu strateji untuk mendapatkan ilmu selain dari membaca ilmu Allah yang telah tercipta seperti membaca alam ini. Maka itu muliakan hidup mu dengan membaca kedua-dua kalam Allah yang terucap oleh Allah iaitu al-Quran dan yang tercipta oleh Allah iaitu alam ini. 
Harus kita ingat bahawa kematian itu kita tidak ada lagi hubungan dengan aktiviti dunia. Semua aktiviti kehidupan akan terputus setelah roh meninggalkan jasad kita. Walau bagaimana pun jika kita telah melaksanakan ibadat semasa hidup di dunia  seperti amal jariah terutama sekali yang bersangkutan dengan pembangunan agama Islam, hubungan kita dengan dunia akan berkekalan kerana segala hasil yang telah kita tinggalkan di dunia akan dipusakai oleh masyarakat Islam yang masih hidup dan sebagainya.
Segala amal-amal kebajikan yang telah kita tinggalkan kerana Allah, akan memurni kan pembangunan rohani masyarakat dunia, kelak mengeratkan ukhuwah kemanusiaan serta melahirkan kasih sayang yang akan mendekatkan mereka kepada Zat yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang itu.
Kekayaan dan kemewahan dunia tidak ada jaminan kebahagian hidup di akhirat kerana Allah telah berfirman dalam Al-Quran surah Az-Zaariyat ayat 51:56 yang bermaksud: (Terjemahan)
“ Dan tidaklah Aku (Allah) menjadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah kepadaku.”
Tujuan Allah menjadikan makhluk  dari bangsa jin dan manusia tidak ada maksud yang lain, kecuali untuk memberi tugas kepada mereka supaya menyembah Allah dengan mengabdikan diri kepada-Nya dan mengesakan-Nya; bukan supaya mereka mencari kepenti- ngan hidup di dunia dan bertungkus-lumus untuknya. Kerana mereka tidak memiliki manfaat atau muderat bagi diri mereka, bahkan tunduk kepada qadak-Nya.
Kata Ibnu Abbas: Supaya mereka tetap beribadat kepada Allah dengan patuh atau terpaksa. Dan kata Mujahid: Supaya mengenal Allah. Mengenal Allah merupakan satu akhlaq yang amat mulia dan wajar menjadi perjuangan hidup setiap insan. Allah mewujudkan manusia berserta dengan berbagai fitrah sebagai kekuatan manusia untuk menelusuri kehidupan.
               Beriman kepada Allah, akan menghasilkan jiwa yang tenang dan tenteram, sebab dalam meyakini adanya Allah kita akan memahami akan sifat-sifat Allah S.W.T. yang Maha Agung. Akhirnya jiwa kita aman merasa damai dan hidup dalam suasana yang dicita-citakan.
               Islam tidak sukar diterima oleh setiap manusia, kerana ianya sesuai dengan kemanusiaan itu sendiri. Allah S.W.T.  dalam Al-Quran telah menjelaskan bahawa Dia-lah yang mengatur dan memiliki segala yang ada di alam ini. Firman Allah Surah Al-Hasyr ayat 59:22 yang bermaksud:(Terjemahan)
               “Dialah Allah Yang tiada Tuhan selain Dia. Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata. Dia-lah Allah Pemurah lagi Maha Penyayang.”
               Ayat di atas menjelaskan bahawa Allah-lah yang menguasai dan memiliki seluruh alam ini. Hanya Dia-lah Tuhan, tiada Tuhan selain dia, kerana Dia mempunyai kekuasaan mutlak terhadap sesuatu. Semua yang ada di alam ini ciptaan-Nya, lemah dan kecil di hadapan-Nya. Maka akan resahlah jiwa seorang jika mencari kebenaran itu selain Dia.
               Allah mengetahui segala yang ghaib dan segala yang nyata, semua yang dilakukan-Nya sesuai dengan pengetahuan-Nya yang luas meliputi segala sesatu. Dengan sifat-Nya itu membuktikan bahawa segala sesuatu itu berada dalam pengawasan Allah S.W.T.. Begitu juga pimpinan Allah terhadap alam semesta, berlaku menurut sunatullah dan dalam menempuhi kehidupan, manusia harus menurut hukum syariatullah.
               Sistem kehidupan yang diatur oleh Allah S.W.T. merupakan corak yang mutlak kebenaranya. Bukan seperti sistem yang dibuat oleh manusia yang selalu saja berubah,  kerana dianggap tidak sesuai perkembangan zaman. Jika manusia masih memegang pemimpin selain daripada Allah, maka akan bertambahlah keresahan jiwanya. Firman Allah S.W.T. Suarah At-Taubah ayat 9:32-33 yang bermaksud: (Terjemahan)
               “Mereka berkeinginan memadamkan cahaya agama Allah dengan mulut atau ucapan-ucapan mereka dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahaya-Nya walaupun orang-orang yang kafir tidak menyukai. Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk Al-Quran dan agama yang benar untuk menenangkan-Nya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukai.”

               Jika Allah mengetahui segala yang nyata dan ghaib, maka kita umat manusia hendaklah mengkaji segala sesuatu ciptaan Allah S.W. T. Ini untuk mencapai matlamat hidup bahagia. Jadikan benda yang nyata pada alam semesta ini sebagai pengetahuan dan keperluan hidup, serta jadikan pula sesuatu yang ghaib yakni Allah S.W.T. pegangan hidup dan tempat mengabdi.

1 comment:

  1. Website paling ternama dan paling terpercaya di Asia
    Sistem pelayanan 24 Jam Non-Stop bersama dengan CS Berpengalaman respon tercepat
    Memiliki 9 Jenis game yang sangat digemari oleh seluruh peminat poker / domino
    Link Alternatif :
    arena-domino.club
    arena-domino.vip
    100% Memuaskan ^-^

    ReplyDelete