Friday, March 29, 2019

IMAN TERAS PEMBANGUNAN UMMAH.
(Disiarkan pada 29. 3. 2019)
               Membina sikap hidup berasaskan keimanan. Iman diambil dari perkataan aman yang bermaksud tenteram. Firman Allah dalam surah Al-A’raf ayat 7:96 yang bermaksud: (terjemahan)
               “Kalau penduduk negeri itu beriman dan bertakwa kepada Allah, nescaya Kami (Allah) bukakan pintu keberakatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan juga, lalu Kami seksa mereka disebabkan perbuatan yang mereka usahakan.”
               Kalau mereka beriman dan bertakwa kepada Allah, nescaya Allah mewahkan hidup mereka dan memudahkan dengan segala macam keberakatan, sebagai ganti dari azab dan malapetaka yang setengahnya diturunkan dari langit dan setengahnya pula ditimbulkan dari bumi.
               Adalah menjadi dasar yang diakui oleh Al-Qur’an, bahawa adanya keimanan yang sejati dan adanya agama yang benar, akan menyebabkan pula adanya kebahagiaan di dunia. Itulah dinikmati oleh orang-orang mahu beriman. Dan di antara yang turut sama menikmati kebahagian  dalam segi kebendaan sahaja ialah orang-orang yang kufur, sebagaimana yang difirmankan Allah dalam surah Al-An’am ayat 6:44 yang bermaksud: (terjemahan)
               “Setelah mereka melupakan peringatan yang diberikan kepada mereka, Kami bukakan kepada mereka pintu segala sesuatu.”
               Sebenarnya pintu segala sesuatu (peluang-peluang) yang dibukakan kepada orang-orang yang kufur itu tak lain hanyalah merupakan ujian Tuhan, akibatnya nikmat yang mereka terima bertukar menjadi musibah dan keberaka tan bertukar menjadi malapetaka.
               Lain halnya dengan orang-orang yang beriman, maka pintu segala sesuatu atau peluang-peluang yang baik kalau dibukakan kepada mereka kesannya adalah baik, kerana akan menambahkan kesyukuran mereka kepada Allah. Dan ini akan menambahkan pula nikmat dan berkat yang akan mereka terima di dunia dan pahala di akhirat.
               Dari iman yang benar akan terpancar akhlaq yang baik, dari akhlaq yang baik terwujudlah perbuatan yang soleh termasuk di dalamnya kesediaan beramar ma’ruf dan nahyi mungkar.
               Kunci iman ialah ibadat. Benar tidaknya ibadat seseorang sangat berpenga ruh terhadap benar dan tidaknya iman dengan kata lain iman yang tidak terpelihara maka ibadatnya pun tidak teratur.
               Kita telah menyatakan dan mengakui iman kepada Allah, maka ibadat kita pun hendak lah kerana Allah dan menurut ketentuan-ketentuan-Nya  jadi petanda seorang mukmin ialah ibadat dan laku pebuatannya. Firman Allah dalam Al-Qur’an surah At-Taubah ayat 9:71 yang bermaksud: (terjemahan)
       “Dan orang-orang Mukmin lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadikan pemimpin kepada sebahagian yang lain. Mereka menyuruh memper buat kebaikan dan melarang daripada kejahatan. Mereka mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan mentaati Allah dan rasul-Nya. Itulah orang-orang yang akan dirahmati Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Perkasa lagi Bijaksana.  
               Mereka pimpin-memimpin dan bantu-membantu sesama mereka dengan rasa kasih sayang yang terjalin oleh semangat persaudaraan. Tugas pempin-memimpin  dan bantu mem- batu ini termasuklah juga kaum wanita kerana mereka turut memainkan peranan yang besar, umpamanya dalam masa berperang dan dalam urusan yang bersangkut paut dengan ketenteraan, pengorbanan harta. Isteri-isteri Nabi SAW dan isteri-isteri para sahabat pernah keluar bersama askar-askar Mukmin dalam medan perang untuk membantu memberikan minuman, menyediakan makanan, merawat askar-askar yang cedera dan meniupkan semangat perjuangan ke dalam jiwa perwira-perwira Islam yang sedang berperang itu.
               Rasa persaudaraan, tolong-menolang, bantu-membantu dan sayang menyayangi antara
seorang Mukmim dengan yang lain telah diumpamakan oleh Nabi SAW seperti suatu kumpulan yang menjadi tuguh yang satu atau berupa sebuah bangunan, yang satu menguatkan yang lain. Mereka bersatu untuk mempertahankan kebenaran, keadilan dan meninggikan kalimat Allah.
               Keimanan kepada Allah SWT menjadi sumber asasi ajaran agama Islam. Al-Qur’an bukan sahaja menegaskan tentang adanya Allah SWT tetapi juga menerangkan ajaran Islam mengenai ketuhanan yakni bagaimana corak dan bentuk kepercayaan kita kepada Allah SWT.
               Kepercayaan kepada Allah SWT bererti kita mempercayai Allah SWT itu ada dan Dia adalah Esa atau Tunggal dan tidak ada yang serupa dengan-Nya. Dalam Al-Qur’an Allah SWT befirman surah Al-Ikhlas ayat 112:1-4 yang bermaksud: (terjemahan)
               “Katakan (wahai Muhammad): (Tuhan) ialah Allah yang Maha Esa. Allah menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapa yang setera dengan-Nya.”
               Beriman kepada Allah SWT bererti mempercayai bahawa Dialah menjadikan alam ini dan alam akhirat. Segala sesuatu tidak berlaku melainkan dengan  kehendak-Nya. Allah SWT berfirman surah Al-An’am ayat 6:102 yang bermaksud: (terjemahan)
               “Yang demikian (sifat-sifat dan kekuasaan-Nya) ialah Allah Tuhan kamu, tiada tuhan (yang disembah dengan benarnya) melainkan Dia, yang menjadikan tiap-tiap sesuatu. Oleh itu beribadatlah kamu kepada-Nya dan (ingatlah), Dia lah yang mentadbirkan tiap-tiap sesuatu.”
               Beriman kepada Allah SWT bererti mempercayai bahawa Dialah yang menghidupkan dan mematikan. Dialah yang memberi rezeki dan kepada-Nya bergantung segala yang di langit dan di bumi.  Allah SWT berfirman surah Ali Imran ayat 3:27 yang bermaksud: (terjemahan)
               “Engkau memasukkan malam ke dalam siang (memperpanjangkan masa malam) dan Engkau masukan siang ke dalam  malam (mempanjangkan pula waktu siang).Engkau keluar kan yang hidup daripada yang mati  dan Engkau keluarkan yang mati daripada yang hidup dan Engkau beri  rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dengan tiada terkira.”
               Ayat yang bermaksud:Engkau masukkan malam ke dalam siang (memperpanjangkan  masa malam) dan Engkau masukkan siang ke dalam malam (memperpanjangkan pula masa siang).
               Engkau berkuasa menjadikan bahagian-bahagian kawasan muka bumi yang bulat dan mengelilingi mata hari dengan beratur ini bermusim-musim. Ada kalanya waktu malam lebih panjang daripada waktu siang sampai beberapa jam dan sebaliknya waktu siang pula lebih panjang dari waktu malam mengikut musim dan kawasan muka bumi masing-masing.
               Perbezaan masa malam dengan masa siang-manakala yang  lebih panjang – hal ini tidaklah begitu  terasa oleh penduduk-penduduk di kawasan “khatulistiwa” (garis lintang yang melingkari tengah-tengah bumi). Tetapi semakin menjauhi garis lintang khatulsitiwa, sama ada di utara atau di selatan akan semikan terasa perbezaan panjang atau pendiknya malam atau siang itu apatah lagi jika telah menghampiri kedua-dua kawasan kitubnya (kutub utara dan kutub selatan) adakalanya dalam beberapa bulan yang lain – dalam setahun – tidak terjumpa malam langsung – terus siang.
               Maka sekiranya peristiwa yang berlaku ini  Allah berkuasa mengadakan nya, betapa pula Allah tidak berkuasa mengurniakan pangkat kenabian kuasa kerajaan kepada hamba-Nya yang dikehendaki-Nya, seperti Muhammad dan umatnya dari bangsa Arab, dan tidak berkuasa pula mencabut pangkat dan kebesaran tersebut dari hamba yang dikehendaki-Nya Seperti kaum Bani Israel? Apa yang dapat Allah lakukan seperti itu ke atas manusia, tidak berbeza dengan yang dilakukan-Nya ke atas peredaran malam dan siang.
               Lanjutan ayat tersebut bermaksud:
               “Engkau keluarkan yang hidup daripada yang mati dan engkau keluarkan yang mati Daripada yang hidup.”
               Allah berkuasa mengeluarkan orang  yang berpengetahuan (alim) dari orang yang jahil. Orang yang berpengetahuan dianggap hidup fikirannya, dan orang jahil dianggap mati fikirannya. Dan Allah berkuasa mengeluarkan orang yang mukmin dari orang  kafir. Orang mukmin dianggap hidup hatinya dan orang kafir  dianggap mati hatinya.
               Erti hidup atau mati di sini, mengikut istilah maknawi (dalam pengertian). Dan erti hidup dan mati mengikut istilah kissi (dalam keyataan) pula ialah: Allah mengeluarkan pohon dari biji, manusia dari mani, dan burung dari telur. Pohon, manusia  dan burung itu hidup, dan biji, mani dan telur itu mati.
               Pada akhir ayat diterangkan yang ertinya:
               “Dan engkau beri rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dengan tiada terkira.”
               Allah mempunyai kurnia yang amat luas. Dikurniakan-Nya kepada hamba-hamba yang dikehendaki-Nya dengan mewah.
               Beriman kepada Allah SWT bermakna percaya bahawa semua makhluk ini adalah milik Allah SWT. Dialah tuannya dan dialah sahaja yang berhak mengatur perjalanannya, semua perkara yang mengatur perjalanan hidup manusia hendaklah bersumber daripada Dia. Allah berfirman surah Al-Fatihah ayat 1:1-3 yang bermaksud: (terjemahan).
               “Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara  dan mentadbir sekalian alam. Yang amat Pemurah lagi amat mengesihani. Yang menguwasi pemerintahan hari pembalasan (Hari akhirat)”
               Segala puji bagi Allah Tuhan yang memiliki alam ini, yang Pemurah dan Penyayang yang memiliki hari kemudian.
               Allah SWT befirman lagi surah Ali Imran ayat 3:83 yang bermaksud: (terjemahan)
               “Mengapakah mereka menghendaki agama yang bukan agama Allah? Padahal telah berserah (tunduk) kepada-Nya semua orang yang di langit dan di bumi, dengan sekarela atau  terpaksa, dan kepada Allah mereka kembali.”
               Mengapakah mereka itu berpaling dari yang hak setelah cukup diberikan kepada mereka berbagai-bagai keterangan? Masih juga mereka mencari agama lain yang bukan agama Allah, tidak mahu beragama Islam untuk beribadat yang setulusnya kepada Allah, baik semasa sembunyi atau terang terangan. Pada hal orang yang di langit seperti  Malaikat, dan di bumi seperti para Nabi dan orang orang mukmin, semuanya tunduk serta patuh kepada hukum-hukum  Allah.
               Orang-orang yang dilangit dan yang dibumi yang telah disebutkan – baik yang beriman secara rela mahu pun yang beriman secara terpaksa – semuanya telah runduk kepada Allah dengan menganut agama Islam, tetapi orang-orang ahli Kitab itu pula masih juga berdalih untuk mencari agama yang lain. Mereka kesudahaannya akan kembali juga kepada Allah untuk menerima balasan.
               Keimanan dan keyakinan kepada Allah SWT menurut Islam adalah muncul di dalam diri manusia sejak mula-mula lagi. Yang menyebabkan mereka lupakan Allah dan lupakan  kepadanya ialah kerana jiwanya tidak diasuh supaya sentiasa mengakui dan mengingati Allah SWT. Dosa-dosa yang dilakukan dan kejahilan yang menghalang mereka  daripada mengenal Allah SWT kekuatan semula jadi yang dapat mengenal dan mengakui Allah itu ditutup dan tidak bergerak. Mengenai keuatan semula jadi yang mengakui dan mengenali Allah itu, Allah SWT berfirman dalam surah Al-A’raf ayat 7:172 yang bermaksud: (terjemahan)
               “(Ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanku mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya: “Bukankah Aku Tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: Benar (Engkau Tuhan kami) kami menjadi saksi.
               Mangenali dan mengakui ketuhan Allah SWT bukan hanya sekadar mempercayai  Allah SWT serta keluasannya tetapi hendaklah dikuti dengan menyembah Allah dan tidak menyembah yang lain daripada-Nya.
               Kalau hanya sekadar percaya adanya Allah SWT dengan tidak mempunyai tanggapan yang sebenar mengenai Allah SWT dan tidak  menunaikan kewajipan yang sebenarnya terhadap Allah SWT samalah juga dengan orang jahiliah, kerana di antara mereka itu memang mempercayai adanya Allah SWT.
               Mereka mengerti bahawa yang menjadikan alam semesta ini ialah Allah. tetapi mereka dianggap jahiliah, kerana mereka tidak menjalankan kewajipan yang sebenarnya terhadap Allah SWT. Jika mereka beribadah, mereka beribadah kepada yang lain daripada Allah SWT mereka tidak taat kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya.
Mereka menyembah berhala-berhala, ketua-ketua mereka, dan pawang-pawang. Jika   ditanya mengapa mereka berbuat demikian mereka menjawab kononnya patung-patung, ketua-ketua dan pawang-pawang mereka menjadi penghubung dan perantaraan untuk menyembah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. (1)
(1) Dr. Harun Din: Manusia dan Islam SBP 2015.                  

No comments:

Post a Comment