(Disirkan pada 4 10 .2014)
Manusia
mukmin dipilih Allah Subhanahu wa Tala sebagai khalifah-Nya di muka bumi ini
untuk melaksanakan amanat Allah sebagai pemakmur alam kehidupan. Amanat
tersebut dapat dilaksanakan oleh manusia atas dasar kehadiran akal dalam
dirinya yang membolehkannya membudayakan kemahiran berfikir sebagai nadi
pembangunan ummah.
Manusia wajar menggunakan akal
fikiran untuk mendekatkan diri kepada kefahaman sesuatu permasalahan. Akal itu
menemui jalan keluar manakala fikiran adalah kefahaman kepada masalah
berkenaan. Akal adalah satu alat untuk mencari jalan atau ikhtiar melakukan sesuatu agar
kerenah-karenah yang menghalang kita
untuk meneruskan agenda pembangunan sesuatu dapat diatasi.
Makhluk
Allah lainnya termasuklah gunung, bumi, mata hari dan sebagainya tidak
ada kemampuan untuk memegang amanat tersebut walaupun dari segi bentuk badannya
jauh lebih besar berbanding manusia. Manusia yang bertubuh kecil tetapi
kemampuannya melaksanakan amanah Allah jauh lebih gagah dan mendekati
kesempurnaan ibadah.
Jika akal itu bertemankan iman kepada
Allah perjuangannya memubuahkan pemba- ngunan tamadun. Rasul itu diwujudkan
Allah untuk berkhidmat kepada kebaikan umat manusia, maka itu akal yang
ditamsilkan sebagai rasul dalam diri manusia sentiasa mendokong cita-cita
pembangunan yang berkiblatkan kepada keredhaan Allah Subhanahu wa Tala.
Kedudukan al-Qur’an amat menarik
sekali apabila ia ditempatkan dari sudut akal, dan disebut juga dalam
perbahasan bahawa al-Qur’an ialah kitab
akal. Keseluruhannya merupakan seruan yang padu ke arah pembebasan akal daripada lingkarannya yang sempit.
Al-Quran dengan berbagai
pendekatannya membawa maksud penyeruan kepada manusia agak menggunakan akal
serta menjadikannya sebagai neraca penilain bagi setiap perkara yang hendak
dilakukan. Al-Quran memberikan kebebasan kepada kita untuk beriktikad dengan
apa yang dinilai baik oleh akal dan juga membenarkan kita mengikuti mana-mana
jalan asalkan ia lojik dan sesuai mengikut pertimbangan fikiran kita
masing-masing.
Akal, apabila bertemankan dengan iman
maka tindakannya menepati keredhaan Allah Suhhanahu wa Tala, tetapi jika akal
bertemankan kepada nafsu maka kiblat ibadahnya dilandasan yang sifatnya
kehaiwanan dan sukar baginya melaksanakan tindakan yang jujur dan ikhlas.
Inilah yang difahami dengan perjuangan kepentingan diri.
Dalam hal ini terdapat mereka yang
beriman dengan ikhlas dan berkhidmat mengikut pendekatan tersendiri demi
kepentingan agama di samping menjadikan
al-Qur’an sebagai pembantu iman mereka.
Orang yang menggunakan akal fikiran yang
Allah bekalkan kepadanya sentiasa melihat cahaya permasalahan itu dengan satu kefahaman bahawa setiap sesuatu
kewujudan fenomena alam semestinya ada pasangannya. Dalam erti kata lain setiap
masalah itu sememangnya ada solusi penyelesaiannya.
Mengapakah kehadiran masalah itu
menjadikan manusia gunda gulana? Sebenarnya kita tidak perlu gusar dan takut
kepada masalah kerana kehadirannya wajar difahami sebagai ujian Allah Subhanahu
wa Tala. Orang yang mendapat ujian wajar mengucap syukur kerana kita diuji atas
dasar bahawa Allah cinta kita. Ujian merupakan garam dalam hidup dan solusi
penyelesaiannya ialah tawakal kepada Allah subhanahu wa Tala. Masalah dalam
hidup sebenar akan mendewasakan pemikiran kita.
Di samping itu juga manusia dapat
meningkatkan ketamadunan berfikir apabila ia menggunakan akal fikiran untuk
menemukan penyelesaiannya kelak melahirkan satu perasaan kepuasan hati serta
kehebatan diri berserta dengan kelezatan hidup sebenar. Hidup ini sebenar
diumpamakan “Tutup lobang, korek lobang.” Masalah datang kita usahakan untuk
menyelesaikannya, seperti “masalah itu umpama korek lobang dan setelah berjaya
menyelesai masalah berkenaan kita telah menutupnya.”
Nabi Adam a.s. berserta isterinya Siti
Hawa sebagai manusia pertama yang telah
mewujudkan
masalah dalam hidup ini. Setelah keduanya disingkirkan oleh Allah Subhanahu wa
Tala daripada menikmati hidup yang senang di syurga, kerana mengkufuri larangan
Allah, mereka memulakan hidup mengharungi kesusahan dan kepayahan di bumi di
mana mereka tidak pernah mengalami hidup sebelumnya.
Bukan sahaja mengalami hidup susah
tetapi mereka terpaksa hidup bersendirian tanpa teman selama 200 tahun sebelum
mereka dipertemukan semula di padang Arafah tempat para jemaah Haji mengerjakan
wukuf untuk melaksanakan rukun Islam yang ke lima, sebelum beredar ke Minah
untuk tujuan melontar sebagai satu simbol permusuhan antara manusia dengan
iblis.
Kita tidak dapat bayangkan betapa
sukarnya hidup dengan segalanya mesti dipelajari demi meneruskan hidup di bumi
yang wajar memerlukan akal untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi demi “survival”sebagai hamba Allah.
Manusia terpaksa hidup bertemankan
masalah atau ujian Allah dengan catatan bahawa fitrah Allah Subhanahu wa Tala
yang dibekalkan kepada manusia seperti akal fikiran itu digunapakai untuk
keselamatan dunia dan akhirat hinggalah ke hari ini.
Agama datang sebagai pembawa hidayah
kepada akal dalam beberapa masalah seperti
berikut:
(a)
Pada
perkara-perkara di luar tabi’i iaitu persoalan-pesoalan aqidah yang khusus mengenai Allah, Rasul, Hari Akhirat dan
tentang ketuhanan yang ghaib (secara umum)
(b)
Pada
persoalan-persoalan akhlak iaitu berkaitan dengan kebaikan dan kelebihan (Fadilat) yang perlu kepada seseorang
untuk menjadi seorang Muslim yang salih.
(c)
Pada
persoalan-persoalan perundangan yang mampu memberi kedamaian kepada masyarakat.
Sesungguhnya agama datang membawa
hidayah kepada akal dalam persoalan-persoalan tersebut kerana penolakan agama
akan membawa kepada kegagalan dalam memberi sebarang penyelesaian yang boleh
diterima oleh semua. Maksudnya, jika dibiarkan kepada manusia dan akal
untuk menyelesaikan persoalan tersebut,
pasti mereka akan bertelagah kerana masing-masing menyokong pandangan yang
bersimpang siur, bercanggah dan berkrisis yang tiada penghujungnya. Oleh itu,
perpaduan dan persefahaman serta ketenangan dan kedamaian tidak akan tercapai.
Agama merupakan petunjuk akal dan akal
berkewajipan untuk tunduk dan sujud kepada wahyu Allah. Balik kepada persoalan
tentang al-Qur’an dan akal, persoalan yang timbul, “Tidakkah al-Qur’an itu
sentiasa menuntut kita supaya berfikir dan merenungi,” sebagaimana firman Allah
yang bermaksud (terjemahan):
....maka insaflah
dan ambillah pelajaran (daripada peristiwa itu) wahai orang yang berakal
fikiran serta celik mata hatinya. (Surah al-Hasyr: 59:2).
Ambillah apa-apa yang mengakibatkan
kecelakaan kepada mereka itu sebagai pengajaran kepada kamu wahai orang-orang
yang mempunyai akal fikiran, iaitu
janganlah kamu membuat tipudaya dan jangan bergantung selain Allah
nescaya dia akan terhina.
Firman Allah lagi:
Terjemahan: Sesungguhnya (keterangan-keterangan dan peristiwa-peristiwa) yang
tersebut itu, tidak syak lagi mengandungi pengajaran bagi sesiapa yang
mempunyai hati (yang sedar pada masa membacanya), atau yang menggunakan pendengarannya dengan
bersungguh-sungguh (kepada pengajaran itu) dengan menumpukan hati dan fikiran
kepadanya. (Surah Qaf 50:37)
Dalam beberapa ayat lain Allah telah
mencela orang Musrikin yang menurut jejak langkah bapa-bapa mereka. Firman
Allah:
Terjemahan:
.....Patututkah (mereka menurutnya)sekali pun datuk neneknya itu tidak faham
sesuatu (apa pun
tentang perkara-perkara agama) dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah
(daripada Allah). (Surah al-Baqarah 2:170)
Disamping
itu kita dapati banyak ayat al-Qur’an yang diakhiri dengan (Afalla Ta’kilun)
iaitu
apakah
kamu tidak berakal?(Afalla Ta’tafakilun) iaitu apakah kamu tidak berfikir?
(Afala tabsiruun) iaitu apakah kamu tidak
melihat? Ini jelas menunjukkan bahawa al-Qur’an mengarahkan manusia kepada menggunakan akal fikiran.
Wahyu itu diturunkan sebagai risalah
terakhir dari langit untuk dunia seluruhnya demi membuktikan bahawa risalah
yang dibawa semuanya haq dan semuanya
benar, tiada suatu pun yang merugikan dan tidak wujud sama sekali persoalan
yang berkemungkinan benar atau dusta.
Kedudukan akal di kalangan orang ramai
adalah tidak sama bahkan kecerdikan mereka pun berbeza-beza. Al-Syeikh Abu Sulaiman
al-Mantigi berkata, “Sesungguhnya kedudukan seluruh manusia adalah berbeza-beza
pada akal dan kekuatan, dan masing-masing juga mempunyai kemampuan akal yang
tidak sama antara satu sama lain.”
Akal mungkin sesuatu yang
dianggap ‘halus’ pada perhitungan akal seseorang tidak pula dikira ‘halus’ pada
perhitungan orang lain. Dengan itu akal
tidak seharusnya terlibat dalam hal
agama kerana dengan penglibatan akal,
pasti manusia akan bercanggah
pendapat dan tidak akan wujud sebarang
keselarian pendapat di kalangan mereka. Natijahnya mereka akan mengikut hawa
nafsu dan fikiran masing-masing.
Firman Allah dalam al-Qur’an
surah al-Jathiyah 45:23 yang bermaksud (terjemahan):
“Dengan yang
demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan
hawa nafsunya tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana
diketahui-Nya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas
pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya?
Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayat petunjuk kepadanya susudah Allah
(menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu
mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak mahu beringat dan
insaf?
Di samping itu umat manusia akan
berpecah belah daripada apa yang disukai dan apa yang diperintahkan oleh Allah.
Allah Subhanahu wa Tala berfirman yang bermaksud (terjemahan):
“Dan berpegang teguhlah kamu
sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai berai...”
(Surah ali-Imran 3:103)
Apakah pendapat akal terhadap agama dan
penderian agama terhadap akal? Agama diturunkan untuk memandu akal dalam semua
perkara yang sekiranya dibiarkan akal
berfikir mengenainya, pasti ia akan tersesat jalan dan gagal serta lemah untuk
sampai kepada hakikatnya. Perkara-perkara tersebut ialah:
1 Perkara Aqidah.
2 Prinsip-prinsip akhlak keseluruhannya.
3 Perundangan dan kaedah-kaedah hukum
serta penghuraiannya yang perlu dilaksana kan sepanjang zaman dalam pelbagai keadaan.
Adapun tentang tabiat (nature) dan alam semesta, termasuk
langit, bumi, bukit-bukau, lautan, binatang, bulan, matahari, benda-benda,
tenaga, dasar laut dan kaki langit (ufuk)... semuanya ini diserahkan kepada
manusia untuk mengkajinya melalui firma, makmal, alat-alat dan kelapangan yang
ada pada mereka.
Malah manusia diseru supaya menjelajahi
seluas mungkin alam ini sehingga terserlah pemahaman yang baik terhadap sistem
kejadian alam ciptaan Allah Yang Maha Bijaksana ini dan peraturan-peraturan
semula jadi yang Allah tetapkan. Sekali gus boleh dilihat ciptaan Allah yang unik, teliti dan rapi
iaitu agama tidak pernah melarang penerokaan seumpama ini.
Akan tetapi apa yang wajib menjadi
matlamat dalam penerokaan ini ialah ‘kebaikan’ (al-khair). Dengan ini nyatalah Islam sebagai agama akal
berdasarkan pengertian-pengertian yang tersebut diatas.
No comments:
Post a Comment