Friday, December 26, 2014

MENJAGA SYAHWAT DAN KEMARAHAN

 (Disiarkan pada 26. 12. 2014)
Fitrah manusia yang sentiasa merendahkan  sifat kemanusiaannya  ialah syahwat dan kemarahan. Maka itu kesihatan batin hendaklah dijaga dikongkong jangan sampai terpengaruh oleh kekuatan syahwat dan marah. Syahwat itu menimbulkan rindunya. Jika rindu telah timbul, timbullah daya upaya menyembah. Untuk itu manusia lupa pada apa yang patut dan janggal. Waktu itulah dia kehilangan pedoman.
               Orang yang berakal tidak akan membangkitkan angan-angan nafsu, tidak  mencari  dan mengorek yang akan menimbulkan marah. Melainkan dibiarkannya syhawat dan marah itu tidak untuk menyerang tetapi untuk mempertahankan diri.
               Walau bagaimana pun kalau syahwat dan marah tidak ada pada manusia, nescaya mereka tidak pula selamat dalam hidupnya, yang tidak bersyahwat dan tidak  berperasaan marah, akan ditindas oleh orang yang berperasaan marah. Gunanya pada diri manusia, ialah penjaga keselamatannya, bukan mengganggu dan menyerang keselamatan orang lain.
               Sebagai langkah supaya nafsu (batin) terpelihara, hendaklah  orang berjuang menying- kirkan perangai rendah. Biasakan diri untuk tidak menyetujui sesuatu kehendak tanpa sandarannya. Jika orang lain mengerjakan-nya, biasakan melatih diri  di dalam keutamaan. Paling berbahaya buat kesihatan rohani ialah  memandang murah kejahatan yang kecil.
               Jangan memikirkan enting perkara kecil kerana perkara kecil itu  menjadi pintu  buat yang lebih besar. Kalau dari kecil  sudah biasa menjaga perangai, dan lidah dari tutur kata yang tidak tentu arah, kelak akan terbiasalah mengerjakan pekerjaan itu di mana perlu, pada hal orang lain jauh daripadanya, sebab-sebab tidak diajar dan dibiasakan.
               Misalnya seorang khadam yang berkerja dengan seorang tuan yang kotor mulutnya dan kasar perangai. Mula-mula dia mendengar perkataan-perkataan yang keras itu  mende- nging telinganya. Tetapi lama-lama kerana sudah biasa, telinganya sudah tebal mendengar perkataan itu, sehingga pada suatu waktu, bagaimana marah tuannya dan bagaimana keras perkataannya, tidaklah akan memberi bekas kepada  perangai khadam itu, bahkan diterimanya dengan senyum saja.
               Manusia akan terdidik dengan keadaan alam di mana ia sering berada di tempat yang serbah serbih berbeza dengan pengalamannya sebelum itu. Diambil satu misalan semasa Nabi Adam a.s. bersama isterinya Siti Hawa tinggal di syurga Allah menikmati kehidupan yang serba mewah dan jauh dari suasana yang menyayatkan kepada perasaan. Segalanya dalam keadan sempurna. Keadaan alam yang cantik serta mempunyai bau-bauhan yang amat wangi dan menyegarkan pada perasaan.
               Walau bagaimana pun hidup dalam keadaan yang begitu mewah serta sempurna dari segi kewujudan kehidupannya Nabi Adam bersama isteri lupa terhadap kesyukuran yang Allah telah sediakan kepada mereka. Lalu mereka telah menghianati perintah Allah Subhanahu wa Tala yang mengakibatkan mereka disingkir dari Syurga dan ditempatkan di dunia sebagai manusia pertama menghuninya.
               Pada saat mereka ditempatkan di dunia seakan-akan mereka tidak dapat bertahan mencium bau bumi begitu menjijikan perasaan mereka. Tetapi tiada tempat lain hendak pergi lagi terpaksa bertahan membiasakan hidup yang tidak pernah dialami mereka sebelumnya. Bukan hanya itu sahaja mereka menanggung derita, tetapi mereka dipisahkan Allah selama lebih kurang dua ratus tahun baru dipertemukan semula di padang Arafah di Mekkah Al-Mukaramah, tempat para haji mengerjakan wukuf semaja musim haji.  
               Setelah sekian lama mereka hidup dalam keadaan begitu seksa, lama-lama mereka pun terbiasa dengan keadaan hidup tersebut dan tidak lagi merasa jijik dengan bau tanahnya hinggalah kepada keturunan Adam sekarang ini, anak dilahir dan membesar dalam keadaan
alam yang serba kekurangnya.
Untuk membina kehidupan baru mereka terpaksa berusaha sendiri untuk mendapatkan keperluan hidup. Allah telah menyediakan segala nikmat hidup di alam sekelilingnya tetapi mereka terpaksa menggunakan tenaga serta tawakal kepada Allah untuk menterjemahkan nikmat tersebut kepada pembangunan kehidupan manusia.
Pergaulan yang baik menjadi syarat utama dalam membentuk batin, ajaran sejak kecil menjadi tiangnya. Dalam membentuk kemuliaan batin contohilah kerajaan yang siasah. Sebelum musuh menyerang ke negerinya, dia cukup persiapan dalam segala segi kerana kadang-kadang musuh menyerbu ke dalam batin ialah kerana di dalamnya telah ada kekacauan lebih dahulu. Kemarahan dan syahwat telah berada maka jika benteng tidak cukup pertahanan, dalam sebentar waktu, jatuhlah kota itu dari tangan musuh.  
Maka benteng penjaga supaya syahwat dan marah itu tidak keluar dari batas penjagaannya, ialah sabar. Disinilah terpakainya pepatah Melayu mengatakan: “Sediakan payung sebelum hujan.” Kalau musuh masuk, baru akan mulai  bersiap atau kalau hunjan telah turun, baru hendak mencari payung, meskipun, berhasil juga, tetapi sukar. Lebih banyak bahaya dan kerugian dari keuntungan.
Dalam Surah Al-Baqarah ayat 2:45 Allah berfirman yang bermaksud:
“Minta tolonglah kamu  kepada Tuhan dengan sabar dan mengerjakan sembahyang, sesungguhnya sembahyang itu amat berat, kecuali di atas orang-orang yang khusyuk (taat).”
Allah telah menyuruh hamba-Nya, agar sentiasa memohonkan pertolongan-Nya, dengan mengurniakan sifat kesabaran di dalam melaksanakan sebarang kerjanya, dan mengur- niakan keteguhan hati di dalam menunaikan ibadat sembahyangnya, serta menahan diri dari perkara yang tidak disukai oleh kehendak hati. Dengan kesabaran akan tercapai kejayaan. Hingga pekerjaan sembahyan pun hanya dapat disempurnakan dengan banyak menggunakan sifat kesabaran.
Akan ibadat sembahyang pula, adalah satu-satunya ibadat yang paling utama, kerana ia mengandungi segala jenis ibadat, baik mengenai rohani mahupun mengenai jasmani. Setiap petugasnya mestilah bersiap diri di dalam waktu-waktunya. Hendaklah menyucikan dirinya terlebih dahulu, bersih badan, pakaian dan tempat, tertutup aurat dengan pakaian yang sopan, mengeluarkan wang kerana keperluan yang dihajati dalam menunaikan sembahyang. Menghadap kepada yang satu, ke arah yang satu dengan tujuan yang satu.
Waktu mengerjakan benar-benar dilakukan dengan sepenuh tugas, khuyuk dan ikhlas sepenuh hati, semata-mata  hanya untuk Allah. Berjuang bersungguh-sungguh melawan godaan syaitan yang sentiasa hendak memalingkan hati manusia. Merayu-rayu dan ber- munajat kepada Allah memohon kepada yang hak. Memohon dan meminta, bebas berkata-kata dengan tiada payah memakai pengantara.  Kalimat suci al-Qur’an dibaca, dan dua kalimah syahadah sebagai penyaksian diucapkan, dan banyak lain-lain lagi.
“Sesungguhnya sembahyang itu amat berat, kecuali di atas orang-orang yang khusyuk.”
Sesungguhnya ibadat sembahyang itu amat berat untuk dipikul, berat untuk dijalankan, kerana banyak syarat-syaratnya, banyak rukun-rukunnya dan banyak pula pantang  larangnya. Kecuali bagi orang-orang yang khusyuk yakni taat dan takut kepada Allah . Sembahyang itu merupakan ibadat yang ringan dan mudah, apabila telah merasakan kelezatannya akan merasa ketagih. Betapa tidak, kerana dengan sembahyang ia telah merasa dirinya benar-benar dihadapan Allah, terasa aman dan tenteram jiwanya. Meskipun Tuhan itu tiada dapat dilihatnya. Tetapi ia pecaya Tuhan ada melihatnya. Ia yakin di akhirat kelak dapat berjumpa Allah – sebagai mana yang difirmankan Allah dalam ayat ke 46 itu surah yang sama.
“Iaitu orang-orang yang yakin mengetahui bahawa mereka akan berjumpa dengan Tuhan, dan mereka akan kembali kepada-Nya.”
Dalam Surah Ali Imran ayat 3:200 Allah berfirman yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman! Sabarlah kamu (dalam ketaatan) bersabarlah (menghadapi musuh) besiap sedialah (menentang mereka), dan takutlah kamu kepada Allah, semoga kamu mendapat kemenangan.”
Bahawasanya Allah menyeru orang-orang mukmin itu supaya sabar di dalam sebarang usaha yang membawa kepada mentaati Allah dan melaksanakan kewajipan agamanya. Juga diseru supaya sabar di dalam menghadapi cubaan dan menghadapi musuh  dari sebarang gangguan serta cabarannya.Seraya bersiap sedia  dengan secukup-cukup kelengkapan yang menjadi kewajipan setiap umat Islam mengadakannya.
.Ketiadaan sifat marah pada diri manusia juga dianggap sebagai sifat yang tercela kerana seorang kehilangan harga diri sama sekali untuk menentang sesuatu yang menggangu kehormatan diri atau kehormatan keluarganya. Ini menimbulkan sikap tidak peduli ketika peribadi isterinya dihina oleh orang yang buruk akhlak.
Seterusnya sifat  marah dan lemah juga dianggap sebagai sifat yang tercela. Misalnya, manusia merasa terlalu lemah dan kecil untuk mempertahankan masuh isterinya daripada kecaman orang  lain. Perbuatan seperti ini termasuk dalam sifat yang buruk, sebab ia memupuk sikap tidak sensitif dan tidak  cemburu ke atas kemurnian maruah diri atau maruah keluarga, pada hal melindungi maruah tersebut daripada pencabulan merupakan suatu kewajipan asas (al-Ghazali, 1990).
Walaupun unsur syawat dan unsur marah dicipta oleh Allah untuk kepentingan manusia, mereka juga boleh menjadi punca kejahatan manusia. Misalnya, unsur syawat dan unsur marah yang patuh kepada daya intelek dalam roh rasional akan mendorong manusia membina budi pekerti yang mulia.
Sebaliknya, unsur syawat dan unsur marah yang memberontak dan membangkang tehadap daya intelek sehingga mereka dapat menguasai mekanisme pendorong akan menggalakkan manusia untuk melakukan maksiat. Dalam keadaan seperti itu, rosaklah akhlak manusia dan terputuslah perjalanan hidup manusia ke arah mencapai kebahagiaan yang abadi. Keinginan yang terbit  daripada mekanisme pendorong yang dikuasai unsur syahwat dan unsur marah dikenali sebagai hawa nafsu atau nafsu syahwat.
Pada umumnya, unsur syawat dan unsur marah agak mudah dipengaruhi syaitan yang memang berkerja mengajak manusia ke arah kejahatan. Sebab itulah kedua-dua unsur ini kadangkala disebut sebagai agen syaitan (hizb ash syaitan)
Allah berfirman dalam al-Quran surah al-Furqan ayat 25:29 yang bermaksud: “Sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari Al-Qur’an ketika al-Qur’an itu telah datang kepadaku. Dan adalah syaitan itu tidak mau menolong manusia.”
               Jasad  merupakan alat bagi roh dalam kehidupan duniawi. Oleh itu, jasad perlu dipelihara dan dilindungi dengan baik. Manusia perlu mengambil bahan yang berfaedah dan bersesuaian dengan kesihatan badan (keperluan fisiologi) dan menolak atau mengelakkkan diri daripada sebarang perkara yang boleh mencacatkan dan membinasakan badan (keperluan keselamatan)’
               Keperluan fisiologi merupakan keperluan untuk mendapatkan makanan, minuman, oksigen, tidur, rehat, aktiviti fizikal, seks, dan kepuasan deria. Keperluan keselamatan pula merupakan keperluan untuk mengelakkan diri daripada kecederaan dan kesakitan, mendapat jaminan ketenteraana yang lahir daripada keadaan yang berstruktur, dan merasa terlindung daripada ancaman luaran dan dalaman.
               Allah telah mewujudkan dua mekanisme dalam roh kehaiwanan bagi memenuhi keperluan fisiologi dan keperluan keselamatan, iaitu  mekanisme pendorong dan mekanime penggerak. Mekanisme pendorong  mengarahkan dan memfokuskan keperluan yang ditimbul  kan oleh unsur syahwat dan unsur marah, manakala mekanisme penggerak pula menggerak kan anggota badan untuk mencapai pelbagai matlamat, termasuk memuaskan keperluan yang ditimbulkan oleh unsur syahwat dan unsur marah.
               Unsur syahwat terbit daripada sifat kehaiwanan. Unsur ini bertanggungjawab terhadap tabiat kehaiwanan yang ada pada diri manusia seperti makan, tidur, dan seks. Matlamat utama unsur syahwat ialah memuaskan keperluan fisiologi. Jika dikawal dengan baik, keinginan syahwat dapat memberi beberapa manfaat kepada manusia.

               Unsur marah pula terbit daripada sifat kekerasan, kebuasan, dan kebengisan. Matlamat utama unsur marah ialah untuk  memuaskan keperluan keselamatan. Sekiranya mekanisme pendorong dikuasi unsur marah, maka manusia akan memaparkan sifat-sifat yang ganas dan buas seperti dengki, dendam, suka membangkang tanpa pembaikan, buruk perangai, suka bermusuh, tidak  sabar, degil mempertahankan kelemahan dan keburukan diri, suka menghina dan merendakan usaha orang lain, tamak, suka memfitnah, cepat marah, bercakap luca suka menghukum, buruk sangka, suka mencarut dan suka mencerca. 

No comments:

Post a Comment